Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (NPANM) merupakan pelan tindakan jangka masa panjang untuk menangani masalah dan cabaran pemakanan dalam negara. Pelan ini menggunakan pendekatan pelaksanaan secara trans- dan multi-sektoral dan merupakan komitmen kerajaan Malaysia untuk menangani masalah pemakanan rakyat. Pembentukan NPANM pertama pada tahun 1996 adalah susulan daripada Deklarasi Rome dalam Persidangan Pemakanan Antarabangsa (ICN) pada 1992. Pada tahun 2005, Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia telah digubal dan diluluskan oleh Kabinet. Bagi menterjemahkan strategi-strategi Dasar tersebut kepada bentuk tindakan, NPANM Kedua telah dibentuk bagi tempoh 2006 hingga 2015.
Selari dengan perkembangan dan perubahan situasi pemakanan di peringkat antarabangsa, Deklarasi Rome yang kedua telah dibentangkan dalam Persidangan Pemakanan Antarabangsa (The Second International Conference on Nutrition, ICN2) pada tahun 2014. Deklarasi ini menyeru semua negara ‘To End All Forms of Malnutrition Problems’ dan Malaysia sekali lagi telah menyatakan komitmen untuk deklarasi ini. Justeru itu, NPANM Ketiga telah dibentuk bagi tempoh 2016 hingga 2025, selari dengan saranan ICN2 serta turut mengambil kira situasi pemakanan dalam negara termasuk komitmen dan saranan dalam beberapa pelan tindakan berkaitan pemakanan di peringkat antarabangsa, serantau dan dalam negara. NPANM III, 2016-2025 bermatlamat ’Mencapai Kesejahteraan Pemakanan yang Optimum dalam Kalangan Rakyat Malaysia’.
Tiga objektif utama pelan ini adalah:
Meningkatkan status pemakanan rakyat.
Mengurangkan penyakit tidak berjangkit berkaitan pemakanan dalam kalangan rakyat.
Mengukuhkan sekuriti makanan dan pemakanan.
Bagi mencapai objektif pelan ini, pelbagai program dan aktiviti telah dikenal pasti di bawah tiga strategi utama iaitu strategi asas, strategi pemboleh dan strategi pemudah. Pelaksanaan aktiviti adalah melibatkan pelbagai sektor kerajaan dan bukan kerajaan. Bagi memastikan komitmen dan sokongan yang berterusan daripada pelbagai pihak, adalah menjadi strategi asas pelan ini untuk memasukkan objektif, pertimbangan dan komponen pemakanan ke dalam dasar pembangunan negara dan pelan-pelan tindakan kementerian dan agensi berkaitan.
SENARAI AGENSI PELAKSANA NPANM