(3 Mei, Sabtu) Saya telah membuat poster hebahan untuk Program Minda Kreatif Sasterawan Datuk Dr. Siti Zainon Ismail yang juga akan digunakan sebagai tirai latar belakang semasa program berlangsung. Juga, saya turut telah menyediakan sijil penyertaan digital dan buku atur cara yang akan diberikan kepada para peserta nanti.
Minggu pertama bulan Mei dimulakan dengan Program Sastera Kita Bersama-sama Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail di Dewan Seminar, SMK Long Gafar 2, Kota Bharu. Saya dibawa Encik Ikhram bersama kedua-dua pelatih industri lain menghadiri program tersebut sebagai urus setia rakaman siaran langsung di Facebook dan jurufoto.
Sejurus sahaja tamat program, saya dan seorang lagi pelatih industri lelaki bertolak ke Kemaman menaiki kereta Encik Ikhram. Terdapat dua program yang harus kami kejari.
Program pertama di Kompleks Sukan Rakan Muda ialah Kem Dai Pena Muda 2025 seperti yang dilaksanakan pada hujung bulan lepas, kecuali, program kali ini adalah pada peringkat negeri Terengganu.
Kami menghadiri program tersebut hanya sekali pada malam hari pertama dan sekali lagi pada pagi keesokannya. Sepanjang di kompleks tersebut, saya membuat beberapa kad undangan bagi Majlis Tautan Kasih Mesra (majlis makan malam bersama Datuk Dr. Siti Zainon Ismail dan Ketua Pengarah DBP) yang akan berlaku pada malam hari tersebut. Juga dalam masa yang sama, saya membantu segerakan kad undangan bagi Program Minda Kreatif yang akan berlangsung keesokannya.
Maka pada malam tersebut kami telah ke BB Seafood bagi menjamu selera bersama tokoh sastera. Namun begitu, Ketua Pengarah DBP tidak dapat hadir dan mewakilkan pembantunya, Encik Azimin.
Keesokannya, kami telah menghadiri Auditorium Sulaiman di Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk melaksakan Program Minda Kreatif Sasterawan Datuk Dr. Siti Zainon Ismail.
Sebelum majlis bermula, saya bersama Encik Ikhram sempat merangka teks ucapan perasmian bersama-sama untuk digunakan oleh Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari.
Selesai itu, saya mengambil kesempatan untuk menjadi salah seorang peserta dan mendengar perkongsian daripada Sasterawan Negara ke-14, serta mengamati karyanya diadaptasikan menjadi sebuah pementasan teater oleh kumpulan teater UMT.
Selepas hari yang panjang, kami akhirnya pulang ke pejabat.
Di pejabat, saya sempat membuat poster hebahan bagi Pertandingan TikTok Bijak Jawi 2025 dan mendokumentasikan segmen radio 1 Hari 1 Peribahasa menerusi siaran radio Terengganu FM.
Pada minggu seterusnya, saya telah membantu Puan Zahani menyediakan poster hebahan bagi Bengkel Penulisan Skrip Drama Radio 2025 yang akan menampilkan Puan Maizura Mohd Ederis, iaitu Munsyi Dewan (Sastera) dan Penulis Skrip yang akan berlangsung pada hujung minggu ketiga bulan Mei.
Selain daripada kerja di pejabat, pada minggu ini saya bersama pelatih industri dan pegawai-pegawai juga telah berkongsi tangan dalam menaiktaraf penampilan Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) yang berada di aras empat bangunan DBPWT. Proses ini penting sebagai salah satu langkah meningkatkan efisiensi peranan DBPWT untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara.
Kemudian, saya telah membantu Puan Hidayah untuk menyediakan tiga poster hebahan bersempena program besar yang akan dilaksanakan olehnya: Syarahan Profesor Adjung dan Seminar Teknologi Bahasa "Inovasi dan Teknologi Menjulang Bahasa Kebangsaan Dalam Era Digital". Keperluan tiga poster hebahan berbeza ini adalah kerana program ini merangkumi dua program dalam satu masa.
Minggu ketiga bulan Mei merupakan minggu persediaan menyambut Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025. Meskipun DBPWT terletak di Kota Bharu, namun kami turut akan meraikannya dengan program-program instimewa akan datang.
Antara tugas minggu ini adalah menyediakan poster hebahan bagi Pelancaran dan Bicara Buku Antologi Cerpen: Lelaki Kedai Kopi, yang merupakan salah satu program dianjurkan bersempena dengan PBAKL 2025 dan akan dilaksanakan pada hujung bulan Mei.
Juga sempena PBAKL 2025, ialah program Didik Hibur: Mari Bercerita dan Bersajak yang akan berlangsung pada hari yang sama dengan Pelancaran dan Bicara Buku Antologi Cerpen: Lelaki Kedai Kopi minggu hadapan. Persiapan untuk program Didik Hibur ini adalah meniup belon kerana pesertanya nanti ialah kanak-kanak tadika.
Selain itu, memandangkan pihak DBPWT sudah mula menerima penghantaran karya bagi penganugerahan Hadiah Sastera Kelantan 2025, maka saya telah membantu Puan Zahani (pegawai yang menguruskan anugerah ini) untuk menyelaraskan segala maklumat penyerahan karya tersebut ke dalam Microsoft Excel.
Kemudian, berdasarkan pendaftaran peserta Bengkel Penulisan Skrip Drama Radio 2025, saya telah mengumpulkan maklumat-maklumat mereka dan menambah ahli mereka ke dalam grup WhatsApp untuk menghebahkan sebarang informasi terkini.
Saya juga telah menyediakan sijil penyertaan digital kepada peserta yang akan menghadiri Bengkel Penulisan Skrip Radio 2025 tersebut.
Juga seperti hari-hari lain, saya telah mendokumentasikan segmen radio 1 Hari 1 Peribahasa menerusi siaran Terengganu FM dan menyatukannya dengan poster segmen bersesuaian untuk tujuan penghebahan.
(24 Mei, Sabtu) Saya bersama kedua-dua pelatih industri yang lain telah hadir ke Rumah Puteri Harapan, Yayasan Kebajikan Anak Yatim Kelantan di Pengkalan Chepa sebagai urus setia Bengkel Asas Penulisan Kreatif (Novel). Saya mengambil kesempatan untuk menulis buletin berkenaan hal itu.
Menjelang minggu terakhir bulan Mei, alur pergerakan DBPWT menjadi semakin rancak.
Saya memulakan tugas dengan menyediakan sijil penyertaan digital untuk Bengkel Penulisan Artikel dan Jurnal yang akan berlangsung pada minggu ini.
Kemudian, Pengarah DBPWT mencadangkan supaya saya membuat satu montaj profesional bagi disiarkan semasa Majlis Perasmian Karnival Jualan Buku DBP Sempena PBAKL 2025 Peringkat DBPWT .
Pada hari Isnin, saya bersama-sama Puan Zahani menghadiri bengkel beliau, Bengkel Penulisan Artikel dan Jurnal di Bangunan ACC, Hospital Raja Perempuan Zainab II sebagai urus setia dan peserta. Antara tugas yang diberikan adalah sebagai jurufoto dan menjual buku DBP. Memandangkan kebanyakan peserta ialah golongan pelajar Ijazah Sarjana (Master's Degree) dan Doktor Falsafah (PhD), saya berasa kagum apabila mereka lebih interaktif di dalam bengkel tersebut dan membeli buku-buku intelektual.
Apabila kembali ke pejabat, saya telah menyegerakan sijil penyertaan digital bagi program Didik Hibur: Mari Bercerita dan Bersajak, membuat satu bunting bagi kegunaan semasa Majlis Perasmian Aras 2, Pejabat DBPWT, dan menyediakan slaid yang akan digunakan dalam program Bicara Buku "Memahami Karangan Murid Pekak: Analisis Kesilapan Bahasa", ketiga-tiganya akan berlangsung pada hari keesokannya.
Pada awal pagi seterusnya itu, saya telah menyegerakan buku atur cara bagi Syarahan Profesor Adjung dan Seminar Teknologi Bahasa "Inovasi dan Teknologi Menjulang Bahasa Kebangsaan Dalam Era Digital" yang akan berlaku keesokannya. Perihal ini adalah bagi mengelakkan daripada pertembungan tugas yang akan dilaksanakan pada hari ini.
Maka, saya bersama-sama pelatih industri lain telah menghadiri program Didik Hibur dan Program Bicara Buku yang dianjurkan di pekarangan DBPWT dan di Dewan Seminar DBPWT. Kedua-duanya adalah sebagai urus setia bahagian teknikal, pembantu jurufoto dan rakaman siaran langsung di Facebook.
Hari tersebut merupakan antara momen paling meriah berlaku di DBPWT, kerana peserta pada kali ini terdiri daripada kanak-kanak tadika dan golongan orang pekak.
Melihat lagu Negaraku dinyayikan dalam bahasa isyarat telah memalukan semangat patriotisme yang kurang di dalam diri saya.
Selesai sebuah hari yang panjang, saya menyegerakan pula sijil penyertaan digital bagi Program Semarak Jawi dan menghadirinya di UiTM Cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu pada 28 Mei sebagai urus setia pembantu jurufoto dan peserta.
Tugas terakhir bulan Mei disudahi dengan membuat satu montaj profesional yang akan digunakan semasa pelancaran buku Antologi Cerpen: Lelaki Kedai Kopi di bulan hadapan.
Mei 2025 merupakan bulan yang padat. Namun begitu, kepadatan ini telah memantapkan skil pengurusan masa saya.
Pelbagai jenis program baru (yang sebelum ini belum pernah saya sertai) telah mendedahkan banyak pengajaran dan ikhtibar. Setiap daripadanya mendorong kepada peningkatan tahap kemampuan saya pada bulan-bulan seterusnya.