Menjelang bulan Februari, saya belajar untuk menjadi lebih kompeten dalam melakukan kerja. Kebergantungan terhadap orang lain hari semakin hari kian berkurangan.
Pada minggu pertama, saya telah mengemas kini dan menyerahkan dokumen nama peserta yang berdaftar, dan menghantar cerpen dalam Sayembara Penulisan Cerpen Kemanusiaan tahun lalu. Seramai 205 nama dikumpulkan dalam Google Excel dan diserahkan kepada Encik Ikhram bagi tujuan laporan.
Selain itu, saya membantu Puan Hidayah mencari maklumat mengenai tetamu VIP yang akan diundang ke program Malam Bahasa Jiwa Bangsa 2025 akan datang. Pencarian dilakukan dengan melayari Google dan beberapa laman sesawang yang lain.
Di bahagian Kedai Buku DBP (aras 1 bangunan DBPWT) pula, saya telah membantu mengemas kini stok buku jualan yang baru sampai setelah ditempah. Buku-buku ini kebanyakannya ialah buku teks dan buku aktiviti yang akan dijual ke sekolah-sekolah di wilayah timur.
Di pejabat, saya melakukan beberapa suntingan terakhir terhadap poster hebahan Program Santai Seni dan Malam Bahasa Jiwa Bangsa yang bakal digunakan sebagai layar latar belakang pada hari program berlangsung hujung minggu nanti.
Maka pada Khamis dan Jumaat, saya bersama pegawai-pegawai lain telah ke Gua Musang bagi menjayakan kedua-dua program ini. Antara tugas yang diberi kepada saya ialah menjual buku DBP, menjadi pembantu jurufoto serta memakai maskot rasmi DBP bagi memeriahkan lagi program yang menghimpunkan sejumlah kanak-kanak ini.
Pada minggu kedua bulan Februari, di pejabat, kebanyakan pegawai kelihatan lebih sibuk. Mereka banyak terlibat dengan mesyuarat di pelbagai tempat berbeza. Saya beranggapan bahawa ini adalah persediaan untuk program yang akan datang pada minggu hadapan.
Saya diberikan beberapa kerja yang ringkas, seperti membantu Puan Zahani menyiapkan slaid Anugerah Hadiah Sastera Kelantan 2025 yang akan digunakan dalam antara mesyuaratnya minggu ini. Saya diberikan slaid tahun lepas dan kertas kerja sebagai rujukan dan panduan bagi perisian slaid.
Selain itu juga, saya telah membantu Puan Zahani membuat sijil digital bagi Bengkel Penulisan Buku Cerita Rakyat Negeri Kelantan dan Terengganu Siri 1 yang akan berlangsung minggu hadapan.
Pada minggu ini, saya diperkenalkan dengan segmen radio baharu yang perlu saya dokumentasikan setiap hari bagi membantu Puan Basirah. Segmen "1 Hari 1 Peribahasa" yang merupakan idea Puan Basirah (Unit Promosi Dan Penguatkuasaan) disiarkan dalam Terengganu FM setiap hari pada pukul 2.15 tengah hari. Saya akan merekodnya kemudian menyatunkannya dengan poster yang disediakan.
Pada minggu ketiga, saya telah menyiapkan beberapa bahan yang diperlukan bagi program hujung minggu ini.
Bahan tersebut ialah poster hebahan, kad undangan, buku program dan sijil penyertaan digital bagi kedua-dua program Malam Apresiasi Puisi Ramadan (MAPR) 2025, dan Dialog Editor "Dari Naskhah ke Pasaran" dan Majlis Penutupan Bengkel Penulisan Kreatif dan Deskriptif 2025.
Selain daripada urusan kedua program tersebut, saya juga telah mengemas kini beberapa edaran sijil bagi Bengkel Penulisan Buku Cerita Rakyat Negeri Kelantan dan Terengganu Siri 1 terhadap beberapa peserta yang tidak menerima sijil tersebut. Selepas beberapa proses penyelidikan, saya mengenal pasti punca mereka tidak menerima sijil iaitu kerana semasa pendaftaran, mereka telah memasukkan alamat emel yang salah.
Beberapa tugas lain yang berkaitan dengan urusan teknikal berjaya saya selesaikan seperti apabila Encik Ikhram meminta bantu memuat turun beberapa dokumen yang mengalami ralat di dalam telefon bimbitnya. Antara dokumen tersebut ialah Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) Edisi Kedua Kementerian Pendidikan Malaysia yang akan digunakan dalam urusannya.
Pada hujung minggu hari Sabtu, saya telah menghadiri kedua program Malam Apresiasi Puisi Ramadan dan Dialog Editor di Dewan Aisyah, Kolej Vokesional Pengkalan Chepa, Kelantan. Program ini disambut meriah oleh lebih 200 orang pelajar sekolah yang telah hadir membawakan aura bulan Ramadan yang saya rasakan ada nilai sentimental.
Beberapa hari kemudian, Mingguan Malaysia menyertakan berita tentang keberjayaan program Malam Apresiasi Puisi Ramadan dalam akhbarnya, bersertakan poster hebahan yang saya hasilkan.
Pada minggu terakhir bulan Februari, memandangkan program-program bulan ini telah tamat, saya kembali melakukan kerja pejabat yang lebih santai.
Juga, sebagai pengisian masa, Encik Ikhram mencadangkan supaya saya menyertai program Bicara Ramadan Kehadiranmu Ku Nanti Penuh Harapan anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) secara siaran langsung di Facebook. Selain itu juga, kami bersama telah berbincang dan membedah makna puisi Kasih Ramadan karya Encik Ikhram sendiri yang ada digunakan dalam program Malam Apresiasi Puisi Ramadan (MAPR) 2025 minggu lalu.
Seperti minggu-minggu lain, setiap hari pada minggu ini juga, saya telah mendokumentasikan segmen "1 Hari 1 Peribahasa" yang disiarkan dalam Terengganu FM kemudian menyatukannya dengan poster yang disediakan bagi tujuan penghebahan.
Bulan ini menjadi bulan pertama sepanjang latihan industri saya berseorangan. Selepas kedua orang pelatih industri menamatkan tempoh latihannya bulan lalu, saya mengambil inisiatif untuk belajar menjadi lebih kompeten.
Ketika dilaksanakan program seperti Malam Bahasa Jiwa Bangsa yang turut membawakan pekerja DBP dari ibu pejabat hadir ke Gua Musang, saya mengambil kesempatan untuk meningkatkan skil bersosial dengan mereka.
Juga, pada bulan ini saya mendapat pengalaman baru, iaitu memakai maskot dan menceriakan kanak-kanak sebagai salah satu usaha memeriahkan program.