Pada minggu pertama bulan April, saya telah mengambil cuti rehat selama dua hari bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri selama seminggu, saya telah kembali menjalankan latihan industri di DBPWT pada minggu kedua bulan April.
Terdapat beberapa tugas yang perlu dikejar semula. Antaranya ialah poster hebahan anugerah Hadiah Sastera Kelantan 2025. Saya perlu mengemas kininya segera kerana tarikh pencalonan pemenang sudah hampir tiba.
Selain itu, saya telah diminta Puan Zahani untuk mendapatkan maklumat emel persuratan dan membuat surat lantikan panel penilai untuk diedarkan kepada calon panel penilai bagi anugerah Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI).
Saya juga telah membuat, mengemas kini dan mengedarkan surat undangan bagi peserta Program Bimbingan Penulisan Buku Cerita Rakyat Kanak-kanak dan Remaja 2025 yang akan berlangsung pada hujung bulan ini.
Dalam urusan emel persuratan, saya diajarkan untuk menggunakan letterhead dalam situasi-situasi tertentu. Antaranya dalam hal ini, adalah apabila surat itu dihantarkan kepada majikan dan bukannya kepada orang tersebut secara terus.
Maka pada minggu ini, saya banyak belajar, membuat dan menghantar surat mengikut kaedah yang sebetulnya.
Juga, sejak kemasukan pelatih industri baharu pada bulan Mac lepas, saya kini hanya perlu mendokumentasikan satu segmen radio sahaja iaitu 1 Hari 1 Peribahasa yang disiarkan setiap hari pada pukul 2.15 petang di radio Terengganu FM. Segmen-segmen lain seperti Ceria Bahasa dan Bahasa Pagi kini diuruskan oleh pelatih industri baharu tersebut.
Pada minggu seterusnya, saya masih lagi menyambung tugasan minggu lepas.
Poster hebahan anugerah Hadiah Sastera Kelantan 2025 masih lagi dalam proses pembaikian dan kemas kini. Memandangkan anugerah tersebut bersifat 'mewah' dan 'berkelas' (fancy, classy), saya perlu mengambil sedikit masa bagi mendapatkan gambaran tersebut.
Saya juga masih meneruskan dengan urusan surat undangan bagi peserta Program Bimbingan Penulisan Buku Cerita Rakyat Kanak-kanak dan Remaja 2025. Melihat pada jumlah peserta di Google Excel, tidak hairan jika proses ini memakan masa berminggu-minggu.
Tugas baharu yang diberikan pada minggu ini adalah untuk memindahkan cerpen dan puisi yang hanya ada dalam bentuk fizikal, kepada digital. Kedua-dua Karangan Pulau dan Aku Pulang ke Kebun Rawa-rawa ialah karya Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, dan akan digunakan untuk diadaptasikan kepada pementasan teater bagi program bulan hadapan.
Selain daripada itu, saya juga ada membantu pelatih industri lain bersama-sama mengedarkan kan undangan bagi Program Borak Orang Timur (BOT) 2025 "Penulis Timur Mutakhir: Antara Jati Diri, Kuantiti dengan Kualti" dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri DBPWT yang akan berlangsung pada minggu hadapan.
Dalam masa yang sama, saya telah membantu membuat sijil digital Bengkel Menulis dan Melukis Komik 2025 yang diadakan pada minggu ini.
Saya juga telah membuat poster infografik "Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul" yang bertujuan menampakkan kesalahan tatabahasa atau ejaan yang biasa dilakukan oleh masyarakat.
Menjelang minggu keempat bulan April, beberapa tugas masih diteruskan.
Tugas seperti mengedarkan kad undangan bagi Program Borak Orang Timur (BOT) 2025 "Penulis Timur Mutakhir: Antara Jati Diri, Kuantiti dengan Kualiti" dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri DBPWT disegerakan kerana tarikh kejadian sudah semakin hampir.
Saya juga telah membuat montaj profesional pelancaran Sayembara Penulisan Cerpen Madani Peringkat Wilayah Timur Sempena Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-69 yang akan ditayangkan semasa Program Borak Orang Timur (BOT) 2025 ini nanti. Pada tahun ini, tema sayembara cerpen yang dipilih adalah berdasarkan enam nilai teras Malaysia: Kemampanan, Kesejahteraan, Daya cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.
Urusan surat undangan juga disambung tetapi pada minggu ini, surat-surat ini adalah untuk Program Bimbingan Cerpen Remaja 2025.
Selain itu, saya telah membantu Puan Anis dan Puan Zahani menyediakan sijil digital bagi Program Borak Orang TImur (BOT) 2025 ini, Majlis Diskusi dan Pelancaran Karya Penulis Wilayah Timur, Bengkel Penulisan Buku Sains dan Teknologi dan Bengkel Penulisan Buku Cerita Rakyat Negeri Kelantan dan Terengganu yang akan berlangsung dalam masa terdekat.
Juga, seperti program pada bulan Mac lalu, saya telah diminta membacakan doa bagi Program Borak Orang Timur 2025.
Maka pada minggu ini, DBPWT telah menyambut Hari Raya Aidilfitri sejurus selesai Program Borak Orang Timur 2025. Kami menyediakan pelbagai aneka makanan dan menjemput ramai tetamu dari organisasi-organisasi kerajaan dan bukan kerajaan, persatuan-persatuan dan ahli keluarga masing-masing.
Keesokan harinya, saya bersama pelatih industri lain dan beberapa pegawai telah menghadiri Dewan Kuliah Rebana Ubi di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk menjalankan Majlis Diskusi Dan Pelancaran Karya Penulis Pantai TImur sebagai urus setia juruvideo.
Pada minggu akhir bulan April, saya kembali berkerja dengan lebih lenang berbanding minggu-minggu sebelumnya.
Tugas yang dilakukan adalah seperti menyediakan sijil digital bagi Bengkel Penulisan Cerpen Remaja yang akan berlangsung pada minggu ini selama dua hari.
Maka, sebahagian minggu ini saya bersama pelatih industri lain meluangkan masa di Dewan Seminar DBPWT sebagai urus setia dan peserta Bengkel Penulisan Cerpen Remaja. Selain daripada melakukan tugas-tugas seperti menangkap gambar, kami turut mengambil kesempatan untuk memanfaatkan bengkel tersebut.
Saya juga telah membuat satu montaj profesional bagi tujuan penghebahan anugerah Hadiah Sastera Kelantan 2025.
Juga seperti hari-hari yang lain, saya telah mendokumentasikan segmen radio 1 Hari 1 Peribahasa menerusi siaran Terengganu FM dan kemudian menyatukannya dengan poster segmen yang bersesuaian.
Kemudian sebelum memasukan bulan Mei, saya bersama-sama pelatih industri lain dibawa oleh Encik Ikhram untuk menghadiri program Kem Dai Pena Muda 2025 Peringkat Negeri Kelantan (Siri 2) dan Program Majalah Dalam Kelas di SMKA Falahiah sebagai urus setia.
Memandangkan Malaysia menyambut Hari Raya Aidilfitri pada minggu pertama bulan April, minggu-minggu seterusnya selepas itu sejurus sahaja menjadi sibuk secara drastik.
Pada bulan ini, saya banyak belajar untuk melakukan banyak tugas berbeza dalam satu masa (multitask).