Memandangkan telah berada di bulan akhir tahun 2024, kesemua program anjuran DBPWT bagi tahun ini telah diselesaikan. Kebanyakan tugas yang diberi adalah melibatkan urusan laporan penutupan dan persediaan bagi tahun 2025.
Dalam minggu pertama bulan Disember, saya ada membantu pegawai melengkapkan urusan mesyuarat sesi libat urus bersama pengarah DBPWT, dengan menghasilkan graf laporan jualan buku Ujana DBPWT sepanjang tahun 2024 menggunakan Microsoft Excel.
Selain itu, saya juga ada menolong mengambil bahan artikel yang berkaitan dengan Bahasa Melayu daripada surat khabar bagi kegunaan Pusat Dokumentasi Melayu (PDM), yang merupakan salah satu unit di DBPWT.
Dalam masa yang sama juga, saya turut menghimpunkan surat khabar yang telah diambil bahan artikelnya, bagi tujuan pelupusan.
Pada minggu kedua bulan Disember, saya bersama pelatih industri lain masih membantu mengambil bahan artikel yang berkaitan dengan Bahasa Melayu daripada surat khabar bagi kegunaan PDM.
Kemudian, surat khabar yang telah diambil bahan artikelnya dilupuskan bagi tujuan pembersihan penampilan PDM.
Selain itu, saya dan pelatih industri lain telah membantu mendapatkan dokumen Unit Bahasa berkenaan urusan surat menyurat pada tahun 2020 yang telah 'hilang' ekoran kes kebakaran pada waktu itu. Secara tak lansung, saya dapat memahami bagaimana dokumen-dokumen yang telah selesai kegunaannya, disimpan dalam stor.
Di pejabat, saya juga telah membantu Encik Ikhram menghimpunkan 13 cerpen (3 nombor dan 10 sagu hati) daripada Sayembara Penulisan Cerpen Kemanusiaan Peringkat Wilayah Timur bagi menghasilkan sebuah buku antalogi cerpen terbitan DBP.
Pada minggu ini, saya melakukan beberapa tugas di pejabat seperti membantu menghubungi pemenang Kuiz Cuit Bahasa tajaan Imedikel di Radio KelantanFM bagi mendapatkan maklumat untuk melengkapkan dokumen pembayaran hadiah.
Saya juga telah mengikuti ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Amir Fahmi bertajuk 'Pendidikan Anak Soleh' bersama-sama pegawai DBPWT.
Ekoran itu, saya turut melibati Mesyuarat Bahagian DBPWT bersama-sama pegawai lain, di samping cuba memahami alur perbincangan mesyuarat penutup tahunan sesebuah jabatan kerajaan.
Memandangkan bulan ini agak lenang, saya disarani Encik Ikhram untuk melakar apa-apa karya bagi dihantarkan ke laman WadahDBP. Oleh itu, saya telah menulis sebuah puisi.
Pada minggu keempat, saya telah membantu Unit Bahasa menyediakan istilah dalam Bahasa Inggeris untuk digunakan dalam Segmen Ceria Bahasa yang bersiaran menerusi radio KelantanFM.
Selain itu, saya turut membantu pegawai menghias ruang bacaan yang dipanggil sebagai Ruang Madani, bagi mewujudkan suasana yang lebih selesa dan 'menjemput', sebagai langkah penambahbaikan infrastruktur pembangunan DBPWT.
Pada minggu akhir Disember, saya telah menyediakan bahan peribahasa untuk digunakan dalam Segmen Peribahasa Pagi yang disiarkan melalui radio KelantanFM.
Selain itu, saya turut membantu menghasilkan montaj untuk mempromosikan Ruang Madani yang telah siap disediakan sebagai sebuah ruang bacaan di DBPWT.
Saya turut diberikan tugas pejabat, seperti membantu menyediakan dan menyusun salinan pasca laporan bagi Unit Sastera.
Kebanyakan tugas yang diberi adalah melibatkan proses penutupan tahun 2024. Iaitu seperti membantu melengkapkan laporan, pelupusan, serta perbincangan mengenai tahun akan datang.
Oleh itu, saya banyak mengambil masa untuk berkarya dengan hasrat untuk memberikan sumbangan kepada pihak DBP. Meskipun tidak digesa, namun penyelia industri sering menggalakkannya agar saya dapat belajar mengenai proses penerbitan dan pemasaran.