Ketika pertama kali melaporkan diri ke pejabat Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), saya bersama pelatih industri lain disambut mesra oleh Pengarah DBPWT, Puan Ariza binti Che Ismail.
Kami didedahkan secara ringkas mengenai alur pekerjaan di DBPWT, skop tugas mengikut unit, serta tempat-tempat yang ada di setiap aras bangunan. Kemudian, masing-masing ditempatkan ke dalam unit tertentu mengikut penyeliaan.
Saya diletakkan ke dalam Unit Sastera di bawah penyeliaan Encik Muhammad Ikhram Fadhly bin Hussin.
Oleh kerana masih baru, pada minggu ini saya hanya diberikan tugas melengkapkan fail minit mengenai laporan bulanan DBPWT serta menguruskan dokumen kerja dan cenderamata bagi program Pertandingan Menulis Khat Terengganu 2024 yang akan datang.
Pada minggu ini, saya telah mengikuti program Pertandingan Menulis Khat Terengganu 2024 di Masjid Terapung Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai, Terengganu. Ekoran penglibatan ini, saya banyak belajar tentang seni khat serta memahami bagaimana keputusan juri dibincangkan.
Di pejabat, saya telah membantu menyemak dokumen pemenang Pertandingan Menulis Khat Terengganu 2024 di samping melengkapkan laporan memo bagi urusan pembayaran pemenang.
Selain itu, saya juga telah melibatkan diri dalam mesyuarat bersama Encik Ikhram bagi program akan datang iaitu Seminar Pemikiran Sasterawan Kelantan S.M. Zakir 2024 dan Palu Festival Ekspresi Musik Jalanan 2024.
.
.
.
.
.
.
.
Pada minggu ketiga, saya banyak menawarkan diri untuk membantu dalam menyediakan bahan bagi program Seminar Permikiran Sasterawan Terengganu 2024. Antaranya adalah poster, backdrop, buku program dan sijil penyertaan.
Dalam hal ini, saya dapat mempelajari asas perisian yang diperlukan dalam bahan bagi melaksanakan sesebuah program.
Selain itu, saya turut membantu menghasilkan kad undangan digital bagi mengundang tetamu dari pelbagai pihak seperti kerajaan, NGO, swasta dan orang-orang ternama bagi program Pementasan Karya Agung Teater Tok Janggut 13 Liang.
Maka pada hari Sabtu, saya bersama Encik Ikhram dan pegawai-pegawai lain bertolak ke USM Kubang Kerian bagi menghadiri program tersebut.
Selain daripada unsur seni yang disematkan, saya juga berasa bangga kerana pementasan tersebut mengangkat sejarah Kelantan, dan penggunaan bahasa yang sungguh ekspresif. Menurut Encik Ikhram, beliau ada membantu mereka menghasilkan dialog.
Pada minggu keempat, saya telah mengikuti dua program seminar pemikiran bersama Encik Ikhram, iaitu Seminar Pemikiran Sasterawan Terengganu 2024 dan Seminar Pemikiran Kelantan S.M. Zakir 2024 di IPGM Kampus Dato' Razali Ismail dan UMK Kampus Bachok.
Menerusi ini, saya dapat mendengar serta mengambil pandangan para pembentang terhadap karya Sasterawan Terengganu seperti Sharif Putera, S.M. Noor dan Hilmi Rindu dan karya Sasterawan Kelantan S.M. Zakir.
Saya juga telah mengikuti mesyuarat dan meninjau dewan yang bakal digunakan bersama Encik Ikhram bagi program Anugerah Bahasa Terengganu 2024 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.
Pada hari Jumaat, saya mengikuti program Larian Ceria Bahasa Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur sebagai urus setia. Keunikan yang ada pada program Larian Ceria ini ialah terdapat banyak permainan bahasa yang diselitkan. Antaranya seperti dam ular bahasa dan quiz bahasa.
.
.
.
.
.
Pada minggu terakhir bulan Oktober, saya telah menyertai program Jelajah Apresiasi Lirik yang diadakan di Dewan Seminar, DBPWT. Menerusi ini, saya telah belajar mengenai metrik sesebuah lagu, jenis lagu dan keberhasilan menghasilkan lagu di Malaysia.
Selain itu, saya mengambil peluang untuk belajar menyunting menggunakan Google Excel bagi mencetak kehadiran kedua-dua program seminar pemikiran minggu sebelumnya.
Kemudian, saya telah menyertai Syarahan Sasterawan Negara Dato' Rahman Shaari: Anjung Persinggahan dan Permata Puisi di UMT. Menerusi ini, saya banyak belajar mengenai cara untuk menghasilkan puisi yang bersifat lebih ikhlas dan tidak berpura-pura.
Sebagai penutup bulan Oktober, saya bersama pegawai DBPWT menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Bahasa Terengganu 2024 Majlis Penangguhan Sambutan Bulan Bahsa Kebangsaan Sektor Awam Peringkat Negeri Terengganu 2024 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.
Meskipun ada banyak program dalam bulan ini, namun saya telah tetap bersedia untuk menghadapnya. Malah, kepadatan jadual ini sebenarnya banyak memberi pengajaran dan pendedahan mengenai alam pekerjaan kepada saya.
Dalam masa sebulan, saya semakin dapat mengadaptasikan diri dengan pekerjaan. Antaranya adalah dalam hal melaksanakan tugas. Kebanyakan tugas perlu diselesaikan mengikut masa meskipun ada perkara lain yang perlu dibuat. Perihal ini mengajar saya untuk bekerja di bawah tekanan.
Saya juga tidak melepaskan peluang untuk mengumpul faedah daripada program-program yang dianjurkan. Selain daripada dapat memahami alur perlaksanaan sesebuah program sebagai seorang urus setia, saya juga sempat mencuri masa untuk tampil sebagai salah seorang peserta. Segala ilmu yang dikongsikan saya ambil sebagai ilmu tambahan.
Keberadaan di persekitaran yang mengangkat bahasa ini telah membuka peluang untuk saya mengenali pelbagai pihak, samaada kerajaan, NGO mahupun swasta. Perkara ini secara tidak langsung juga telah membuka ruang untuk saya bersemuka dengan orang-orang ternama, baik seorang karyawan mahupun orang yang bersungguh dengan kerjayanya.