Saya telah ditempatkan ke dalam Unit Sastera di bawah penyeliaan Encik Muhammad Ikhram Fadhly bin Hussin. Di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), Unit Sastera ialah unit pengembangan yang menyebarkan pengetahuan sastera kepada semua lapisan masyarakat.
Memandangkan cawangan DBPWT memfokuskan kepada perlaksanaan program, maka kebanyakan kerja yang diberikan adalah melibatkan hal keurusetiaan.
Pelaksanaan Tugas
Saya diberi tugas mengedarkan surat undangan, kad undangan, menyediakan poster hebahan, sijil digital dan fizikal, buku program, dan slaid bagi kegunaan mesyuarat. Selain itu, saya turut menyunting manuskrip dan merangka pada bahagian prakata bagi sesebuah buku yang ingin diterbitkan.
Berkenaan hal dokumen, saya membantu melengkapkan, mengemas kini serta mengumpulkan maklumat yang diperlukan sebelum dan selepas melaksanakan sesebuah program.
Dalam urusan promosi bahasa seperti menerusi siaran radio, saya ditugaskan menyediakan bahan-bahan segmen seperti peribahasa, terjemahan istilah bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu serta kesalahan tatabahasa yang sering dilakukan.
Tugas ini banyak memberikan pendedahan terhadap proses kerja sesebuah organisasi. Selain itu, pelaksanaan tugas banyak mencabar kebolehan menyelesaikan masalah dan pemikiran kritikal.
Saya diberi tugas membantu melaksanakan program yang dianjurkan. Antaranya seperti penyediaan tempat, cenderamata, makanan, pembantu jurufoto, pengiring, penjualan buku dan pembantu bahagian teknikal seperti kawalan slaid, suara mikrofon dan lampu.
Tugas ini banyak membantu memberikan pendedahan mengenai alur pergerakan sesebuah program. Selain daripada mendapat pengalaman keurusetiaan, menjadi peserta dalam setiap program tersebut telah memberi banyak manfaat kepada saya.
Saya diberi tugas untuk menghasilkan penulisan bagi disiarkan sama ada secara digital (menerusi laman sesawang WadahDBP, JendelaDBP) ataupun fizikal (majalah Tunas Cipta, Dewan Siswa, Dewan Sastera, Dewan Bahasa, Pelita Bahasa, Dewan Tamadun Islam). Sehubungan dengan itu, saya juga digalakkan menyertai sayembara-sayembara penulisan yang dianjurkan pihak DBP serta persatuan-persatuan penulis di Kelantan.
Tugas ini banyak memberi pendedadahan tentang kebolehpasaran sesebuah karya yang dihasilkan. Seperti topik yang segar, kesesuaian konteks, penggunaan ayat, gaya penulisan dan suara.