Memasuki bulan Mac, Pengarah DBPWT, Puan Ariza ingin melaksanakan hasrat beliau untuk menaiktaraf penampilan bangunan DBPWT. Jika urusan di luar bangunan seperti mengecat diselesaikan oleh pekerja luar, urusan di dalam pula, seperti di Dewan Seminar, diuruskan oleh kami bersama-sama selama seminggu penuh kerana di sini mengandungi banyak dokumen sulit.
Antara tugas yang dilakukan oleh saya dan beberapa pegawai lain adalah menghimpunkan, mengemas kini dan melupuskan kertas rekod laporan lama di Dewan Seminar. Sekali gus, barang-barang hak milik DBPWT dipilih dan disesuaikan agar urusan menukar karpet keseluruhan dewan ini dipermudahkan.
Saya telah merincih sebilangan kertas rekod lama yang tidak boleh dibuang sewenang-wenang. Sudah tentu, saya mengambil kesempatan melihat-lihat laporan itu dan membayangkan alur pergerakan DBPWT sepanjang tempoh ia beroperasi.
Dalam urusan menaiktaraf penampilan bangunan DBPWT, saya juga membuat beberapa kerja di pejabat. Seperti yang diminta Encik Ikhram, saya telah menghimpun kumpulan cerpen pilihan penulis (yang pernah diterbitkan oleh DBP) ke dalam satu manuskrip baru bagi projek beliau untuk meghasilkan sebuah buku antologi cerpen baru.
Juga seperti minggu-minggu sebelumnya sejak bulan Ferbuari, saya telah mendokumentasikan segmen radio 1 Hari 1 Peribahasa, Peribahasa Pagi dan Ceria Bahasa yang disiarkan oleh Kelantan FM dan Terengganu FM, kemudian menyatukan mereka semua dengan poster segmen yang bersesuaian bagi tujuan penghebahan.
Pada minggu seterusnya, saya masih lagi dengan urusan menyunting manuskrip antologi cerpen pilihan penulis minggu lalu, dan juga, antologi cerpen pemenang Sayembara Cerpen Kemanusiaan Peringkat Wilayah Timur yang saya mula sunting pada bulan Januari lepas. Kini, antologi cerpen pemenang sayembara ini diberikan tajuk: Hari Bertemu Tuhan.
Memasuki peringkat seterusnya untuk menerbitkan sesebuah antologi cerpen, minggu ini, saya telah mengedar dan mengumpulkan surat perakuan karya asal penulis dan borang izin terbit kepada kesemua penulis yang terlibat dalam projek ini. Proses ini merangkumi tugas seperti mengemas kini format surat, mencari maklumat penulis dan mengemelkan dan menghubungi para penulis.
Dalam minggu ini, saya masih mendokumentasikan ketiga-tiga segmen radio: 1 Hari 1 Peribahasa, Peribahasa Pagi dan Ceria Bahasa dalam siaran Kelantan FM dan Terengganu FM untuk menyatukan mereka dengan poster bersesuaian.
Dalam minggu ketiga, buat pertama kali, saya disuruh membuat montaj profesional bersempena dengan pelancaran buku Sebuah Puisi Panjang: Pelayaran Qalbu karya Dato' A. Aziz Deraman mantan Ketua Pengarah DBP. Menurut pegawai Puan Anis (Unit Penerbitan Dan Pemasaran), montaj ini akan ditayangkan semasa Majlis Pelancaran dan Bicara Buku bagi buku tersebut nanti. Maka, segala pengisian montaj tersebut seperti kandungan dan teks saya bincangkan bersama dengan Encik Ikhram.
Selain itu, saya juga membantu menghasilkan muka depan dan belakang bagi Buku Perancangan Tahunan DBPWT 2025, bersama dengan beberapa helai isi kandungannya. Meskipun hanyalah buku pejabat, saya berasa semangat seperti sedang menghasilkan muka depan buku yang akan diterbitkan.
Semasa di pejabat minggu ini, saya telah menghasilkan sijil penyertaan digital bagi Bengkel Penulisan Cerpen Kanak-kanak dan Remaja 2025 yang akan berlangsung hujung minggu ini.
Juga, tugasan harian saya, setiap hari saya telah mendokumentasikan segmen 1 Hari 1 Peribahasa, Peribahasa Pagi dan Ceria Bahasa yang disiarkan dalam kedua-dua Kelantan FM dan Terengganu FM pada waktu-waktu yang telah ditetapkan.
Memandangkan pada minggu terakhir bulan Mac ini akan diadakan Majlis Pelancaran dan Bicara Buku Sebuah Puisi Panjang: Pelayaran Qalbu, saya telah diminta untuk menghasilkan satu sijil penyertaan digital.
Selain itu, saya telah diberi peluang untuk membaca doa di hadapan beberapa tetamu penting seperti Dato' A. Aziz Deraman sendiri dan YB Sahibus Samahah Dato' Haji Mohamad Shukri bin Mohamad (Mufti Kerajaan Negeri Kelantan).
Saya mengambil kesempatan ini untuk membuat teks doa yang berpuitis dan menyertakan beberapa ayat daripada buku Pelayaran Qalbu itu sendiri agar ia menjadi lebih menarik dan istimewa (jika menurut Encik Ikhram, hal ini adalah untuk mengambil hati Dato' A. Aziz Deraman).
Maka pada hari berlangsung majlis tersebut, buat pertama kali saya telah mengaminkan doa di hadapan khalayak ramai dan beberapa tetamu penting. Perihal ini membuatkan situasi tersebut terasa lebih 'serius' berbanding majlis atau program-program sebelum ini. Namun, seperti raptai yang telah diadakan sehari sebelumnya, segala alur pergerakan majlis tersebut telah berjalan dengan lancar.
Menutup bulan Mac, saya dan pihak DBPWT telah menghasilkan video ucapan ikhlas Selamat Hari Raya memandangkan pada minggu hadapan seluruh umat Islam akan menyambut bulan Syawal.
Saya menjadi lebih selesa bekerja dengan pegawai-pegawai berbeza. Perihal ini telah mendedahkan ciri-ciri unik cara masing-masing melakukan kerja. Saya juga secara tidak langsung diperkenalkan dengan skop tugas yang baharu.
Saya menganggap peluang membaca doa di hadapan tetamu-tetamu penting sebagai pengalaman yang bermanfaat dan memberi impak, kerana saya adalah seorang yang kurang berani.