Pada minggu pertama bulan November, saya banyak menawarkan diri untuk membantu kerja di pejabat. Antaranya adalah menghubungi pemenang Kuiz Bulan Bahasa Kebangsaan yang berlangsung di radio Kelantanfm dan pemenang Caraban Pantun Bulan Bahasa Kebangsaan yang berlangsung di radio Terengganufm.
Perkara ini adalah bagi melengkapkan memo pembayaran. Dokumen yang diperlukan seperti no kad pengenalan, surat penyata bank dan alamat e-mel. Dalam masa yang sama, saya juga dapat menambah ilmu pengetahuan berdasarkan jawapan soalan yang diajukan di radio tersebut.
Selain itu, saya juga membantu membuat buku program, cenderamata dan sijil penghargaan bagi kegunaan program Palu Festival Ekspresi Musik Jalanan 2024 untuk Pertandingan Sayembara Lagu Puisi.
Maka pada hari Sabtu, saya telah menghadiri program Palu Festival Ekspresi Muzik Jalanan tersebut sebagai urus setia pembantu jurufoto. Oleh kerana bersama Encik Ikhram, saya diberi peluang untuk duduk di kerusi penilai. Secara tidak langsung, saya dapat menilai unsur seni dan bahasa dalam penghasilan lagu puisi para peserta dan memahami bagaimana keputusan pemenang dibincangkan.
Pada minggu ini, saya telah menghasilkan dan mengedarkan poster pemenang dan sijil penyertaan digital kepada semua peserta Sayembara Penulisan Cerpen Kemanusiaan Peringkat Wilayah Timur 2024.
Saya diberi kebebasan mereka bentuk selagi perisiannya adalah lengkap. Perihal ini membuatkan saya lebih senang.
Saya juga membantu menyampaikan peringatan mesra kepada pemenang Pertandingan Lagu Puisi Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu 2024 serta memberikan panduan kepada mereka bagi memastikan dokumen yang dihantar adalah lengkap.
Selain itu, saya turut membantu menyediakan bahan sumbangan sebagai hadiah kepada pemenang Pertandingan Lagu Puisi Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu 2024.
Poster Pemenang Sayembara Penulisan Cerpen
Kemanusiaan Peringkat Wilayah Timur 2024.
Sijil Penyertaan Sayembara Penulisan Cerpen Kemanusiaan Peringkat Wilayah Timur 2024.
Pada minggu ketiga, saya telah membantu mencetak bahan bacaan untuk kegunaan Program Bimbingan Penulisan Kreatif dan Program Pemugaran Jawi Negeri Terengganu 2024. Perihal ini secara tidak langsung memberikan saya pendedahan mengenai alur proses menjalankan sesebuah program yang berkesan.
Selain itu juga, saya telah belajar untuk menyunting Google Excel agar sijil digital Sayembara Penulisan Cerpen Kemanusiaan Peringkat Wilayah Timur 2024 tempoh lalu dapat dihantar secara automatik kepada para peserta yang telah mendaftar bagi program tersebut.
Saya juga telah melibatkan diri mendengar taklimat mengenai kewangan insurans daripada pihak BSN bersama-sama dengan pegawai DBPWT.
Juga, ada taklimat berkenaan rasuah dan perhimpunan Ceramah Integriti DBP yang melibatkan semua pegawai DBP di Malaysia.
Saya telah mengambil kesempatan ini untuk mendengar dan mengambil faedah daripadanya.
Pada minggu akhir bulan November, saya telah membantu menghubungi juri Sayembara Puisi Tari 2024 bagi mendapatkan dokumen penting urusan pembayaran.
Selain itu, saya juga menyediakan dan membungkus hadiah pemenang Sayembara Puisi Tari 2024 bagi tujuan pengeposan kepada pihak yang belum menerima hadiah secara bersemuka. Hal ini kerana cuaca hujan telah menyukarkan urusan pemberian hadiah tempoh lalu.
Kemudian, saya bersama pelatih industri lain membantu Unit Bahasa menyediakan bahan sebagai papan cerita untuk menghasilkan montaj merangkumi keseluruhan aktiviti DBPWT sepanjang tahun 2024. Ini adalah bagi kegunaan pembentangan sesi libat urus bersama-sama pengarah.
Memandangkan sudah hampir mencapai bulan akhir, kebanyakan aktiviti pada bulan ini dilakukan di pejabat. Perihal ini telah memberi ruang kepada saya untuk belajar melakukan tugas pejabat.
Antaranya seperti menghasilkan poster, sijil, buku program, memo program, menghubungi orang, menyunting Canva, Google Excel, Powerpoint dan pelbagai lagi.
Penglibatan diri dalam taklimat dan ceramah rasmi DBP tempoh hari juga telah memberikan saya kesedaran, selain mengenai perkara yang dibincangkan, juga tentang aspek sosiologi alam pekerjaan; bagaimana berlakunya komunikasi antara pegawai di pejabat setempat, dan antara pegawai di pejabat berbeza.
Secara kesuluruhannya, bulan November telah memberikan lebih banyak pendedahan kepada saya mengenai alur pekerjaan DBP.