Bulan Jun dimulakan dengan Cuti Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong negeri Kelantan.
Selepas kembali ke pejabat, kerja-kerja menjadi lenang sikit kerana kebanyakan program yang akan datang adalah selepas Hari Raya Haji, iaitu selepas pertengahan bulan Jun.
Antara tugas yang saya lakukan adalah mendokumentasikan puisi Di Bumi Palestin karya Dato' A. Aziz Deraman dan Palestin di Tanah Milikmu Jilah Tak Pernah Kering Darah karya Abdul Hadi Yusoff kepada bentuk salinan digital. Hal ini adalah bagi kegunaan para pegawai DBPWT yang bakal bersaing dalam pertandingan dekon peringkat DBP.
Memandangkan masa berkelapangan, saya memilih untuk terus mengemas kini dokumen penyerahan karya bagi anugerah Hadiah Sastera Kelantan 2025 ke dalam Microsoft Excel yang mula dilakukan pada bulan lepas. Proses ini akan memakan masa sedikit lama kerana jumlah karya dihantar adalah banyak, terutamanya puisi berbentuk eceran.
Juga seperti hari-hari sebelumnya, saya masih meneruskan pendokumentasian segmen radio 1 Hari 1 Peribahasa yang disiarkan di Terengganu FM setiap hari pada pukul 2.15 petang, kemudian menyatukannya dengan poster yang bersesuaian untuk tujuan penghebahan.
Pada minggu seterusnya pula cuti umum sempena Hari Raya Aidiladha ditambah dengan cuti peribadi yang saya mohon untuk lanjutkan urusan perayaan.
Kemudian kembali ke pejabat, saya menyambung urusan mengemas kini dokumen penyerahan karya bagi anugerah Hadiah Sastera Kelantan 2025. Satu kelebihan melakukan tugas sulit ini adalah dapat meneliti jenis karya yang dihantar mengikut jenis penulis yang tertentu. Saya tidak melepaskan peluang untuk membaca karya-karya yang dihantar. Secara tidak rasmi, saya menjadi 'panel penilai' sendiri secara seorang diri.
Dalam minggu ini juga, Puan Hidayah meminta saya menyediakan satu poster hebahan bagi program Perkampungan Penulis Wilayah Timur yang akan dilaksanakan awal bulan Julai. Sebelum memahami tahap 'serius' program ini, saya telah membuat poster hebahan dengan gaya yang biasa:
Pada hujung minggu hari Sabtu, saya bersama pelatih industri lain telah menghadiri Forum Korban Penipu Siber: Lindungi Diri, Lindungi Keluarga yang dianjurkan di AEON Mall, Kota Bharu, sebuah program di bawah projek Puan Hidayah. Selain menjadi peserta, saya turut memainkan peranan seorang urus setia bagi urusan rakaman siaran langsung di Facebook.
Menjelang minggu ketiga, kerancakan tugas mula meningkat perlahan-lahan.
Bersama bahagian jualan Kedai Buku DBPWT, saya telah ke Sekolah Kebangsaan Pangkal Kalong di Ketereh untuk menjual buku bersempena dengan program Majlis Peluncuran Nilam, Bulan Bahasa dan Program Majalah Dalam Kelas.
Kemudian di pejabat, beberapa tugas ringkas saya lakukan seperti seperti menyunting dokumen laporan berbentuk PDF agar selaras dengan permintaan pengarah DBPWT, dan mencari maklumat serta mengedarkan surat emel pelantikan dan undangan kepada ahli jawatankuasa IPTA untuk program Syarahan 152 dan Bicara Buku yang akan diadakan pada minggu hadapan.
Selain itu, saya diminta menyediakan poster hebahan bagi Program Perkampungan Penulis Wilayah Timur yang baharu supaya ia lebih menepati sifat program itu.
Dalam masa yang sama, saya juga telah membuat poster hebahan, tirai latar belakang, dan mengedarkan kad undangan bagi program Malam Bahasa Jiwa Bangsa yang akan diadakan hujung minggu ini.
Kemudian pada 18 Jun, saya bersama pelatih industri lelaki dibawa oleh Encik Ikhram ke UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang bagi menghadiri program Ekspresi Seni Remaja 2025 sebagai urus setia rakaman siaran langsung di Facebook. Program ini dilaksanakan di Foodcourt, dan perihal ini membuatkan ia mendapat sambutan ramai di kalangan penduduk kolej berdekatan. Sepanjang menjalani latihan industri di DBPWT, program ini adalah program paling meriah pernah saya sertai.
Semasa kembali ke pejabat, saya telah diberi tugas untuk menyediakan sijil penyertaan digital bagi program Pemantapan Jawi Negeri Terengganu 2025, program Malam Bahasa Jiwa Bangsa dan program Borak Orang Timur: Nadi dan Nafas Teater di Kelantan.
Maka pada hujung minggu hari Jumaat dan Sabtu, saya bersama pelatih industri lain telah menghadiri kedua-dua program Malam Bahasa Jiwa Bangsa di Dataran Bandaraya Kota Bharu, dan program Borak Orang Timur: Nadi dan Nafas Teater di Galeri Kotak Seni, Kota Bharu. Di kedua-dua program tersebut, saya ditugaskan menjaga rakaman siaran langsung untuk Facebook DBPWT.
Kebanyakan tugas pada minggu keempat adalah memfokuskan pada program Syarahan 152: Obor Semangat Nan Abadi dan Bicara Buku: Wadah dan Madah Jalur Pemikiran A. Aziz Deraman yang akan diadakan pada 25 Jun bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-69 DBP.
Antara tugas yang diberi adalah untuk menyediakan tiga poster bagi tujuan penghebahan dan sebagai tirai latar belakang semasa program itu berlangsung nanti.
Saya juga turut menyediakan sebuah montaj profesional yang memaparkan perihal program tersebut, dan akan disiarkan di hadapan Dato' A. Aziz Deraman sendiri.
Maka sehari sebelum kejadian, kami pelatih industri dan para pegawai telah menjalankan sesi raptai terlebih dahulu agar program sebesar begini berjalan dengan lancar.
Pada 25 Jun, kami telah menghadiri Dewan Tengku Mahmud di Maktab Sultan Ismail untuk menjalankan program Syarahan 152: Obor Semangat Nan Abadi dan Bicara Buku: Wadah dan Madah Jalur Pemikiran A. Aziz Deraman. Saya diberi tugas untuk menjaga bahagian teknikal dan mengawal slaid tirai latar belakang sepanjang program.
Kemudian ketika kembali ke pejabat, saya telah membantu menyediakan sijil penyertaan digital bagi Program Bimbingan Intensif Penulisan Novel dan Bengkel Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Ke-39 2025 Peringkat Negeri Kelantan yang akan berlangsung hujung minggu ini.
Pada minggu akhir bulan Jun, tugas-tugas kebanyakannya adalah untuk program Perkampungan Penulis Wilayah Timur yang akan dilaksanakan pada awal bulan Julai iaitu minggu hadapan.
Namun seperti minggu sebelumnya, saya masih lagi meneruskan urusan mengemas kini dokumen penyerahan karya bagi anugerah Hadiah Sastera Kelantan 2025 ke dalam Microsoft Excel.
Kemudian barulah saya ditugaskan untuk menyediakan poster hebahan bagi program Wacana Penulis Muda: Menulis Untuk Masa Depan: Kuasa Naratif Penulis Muda, dan program Seminar Pemikiran Sasterawan Negeri Kelantan Dr. Fatimah Busu.
Kedua-dua program ini ialah program yang akan dilaksanakan semasa Perkampungan Penulis Wilayah Timur Nanti.
Selain itu juga, saya diminta menyerahkan dokumen mengenai kehadiran peserta dalam kesemua program yang telah dilaksanakan di bawah projek Puan Zahani. Melihat pada dokumen-dokumen tersebut, saya dapat membuat rumusan ringkas mengenai program-program yang banyak mendapat sambutan dan yang kurang mendapat sambutan.
Sementara dengan tugas-tugas latihan industri, pada 29 Jun penyelia universiti saya Dr. Zainatul Shuhaida telah datang ke pejabat DBPWT untuk melawat tempat dan melihat perkembangan saya sepanjang berada di sini.
Juga, seperti hari-hari sebelumnya, setiap hari saya telah mendokumentasikan segmen radio 1 Hari 1 Peribahasa yang disiarkan oleh Terengganu FM setiap hari pada pukul 2.15 petang, kemudian menyatukannya dengan poster yang bersesuaian untuk tujuan penghebahan.
Pelaksanaan tugas yang fleksibel (pelbagai jenis dan diberikan oleh pegawai berbeza) memberikan pendedahan yang lebih jelas mengenai skop pekerjaan di DBPWT.
Fleksibeliti ini juga telah membuatkan saya lebih tenang dan teratur dalam menyelesaikan tugas-tugas tersebut secara efektif dan efisien.