Memasuki tahun baharu, kebanyakan program DBPWT masih berada di dalam proses perancangan. Oleh itu, pergerakan kerja di pejabat menjadi agak perlahan.
Saya hanya ditugaskan membantu Unit Bahasa menyediakan bahan peribahasa bagi disiarkan dalam segmen Peribahasa Pagi menerusi radio KelantanFM.
Selain itu, saya turut melibati Majlis Amanat Tahun Baharu yang disampaikan oleh pengarah DBPWT, Puan Ariza binti Che Ismail. Barulah saya sedar bagaimana permulaan tahun baharu sesebuah jabatan kerajaan diperkenalkan. Saya amati visi dan hasrat beliau dalam menjalani tahun 2025.
Pada minggu kedua, saya masih membantu Unit Bahasa namun kali ini adalah untuk menyediakan istilah Bahasa Inggeris yang biasa kita dengar, bersama terjemahannya dalam Bahasa Melayu bagi disiarkan dalam Segmen Ceria Bahasa menerusi siaran radio KelantanFM.
Selain itu, saya turut diminta oleh penyelia untuk mengarang bahagian prakata bagi memperkemaskan draf buku antalogi cerpen kemanusiaan yang mengumpulkan karya-karya pemenang dalam Sayembara Penulisan Cerpen Kemanusiaan peringkat Wilayah Timur tahun lepas.
Saya juga ada mengambil peluang untuk melibatkan diri dalam mesyuarat antara pihak DBPWT dengan pihak radio KelantanFM bagi membincangkan tentang segmen yang ingin diselitkan dalam siaran radio mereka sepanjang tahun 2025.
Pada minggu ketiga, saya telah membantu membuat poster hebahan bagi Bengkel Penulisan Buku Cerita Negeri Kelantan dan Terengganu 2025.
Saya juga menolong Unit Penerbitan dan Pemasaran untuk menyediakan kad semakan stor bagi kegunaan menyemak bahan buku jualan DBPWT yang akan berlangsung sepanjang seminggu hadapan.
Kemudian, pihak DBPWT telah menyambut hari perpisahan pelatih industri lain yang telah menamatkan tempoh latihannya sebagai tanda penghargaan. Perihal ini memberikan gambaran ringkas kepada saya mengenai bagaimana nanti jika rakan sekerja dipindahkan ke cawangan lain atau memilih untuk menukar kerjaya.
Sepanjang minggu keempat bulan Januari, saya bersama kebanyakan pegawai DBPWT telah melakukan 'Semakan Stok Fizikal' iaitu dengan menentukan jumlah kesemua bahan jualan (buku) yang ada di kedai buku kami.
Menerusi semakan ini juga, kami akan mengenalpasti jika ada buku yang rosak agar tidak dijualkan.
Segala data akan direkodkan, bagi tujuan menganalisis efisiensi pekerjaan Unit Penerbitan dan Pemasaran di DBPWT sepanjang tahun 2025 ini.
Pada minggu akhir, saya telah membantu menyediakan borang dan kod QR penyertaan Taklimat Penerbitan Menulis Buku Cerita Rakyat Kelantan dan Terengganu 2025.
Selain itu, saya turut membantu dalam membuat poster hebahan bagi Program Santai Seni Sempena Program Pelancaran Selamat Datang ke Sekolah 2025 yang akan berlansung pada bulan hadapan.
Akhir sekali, saya banyak mengambil peluang untuk mengisikan masa lapang dengan membuat puisi dan cerpen bagi disiarkan dalam laman WadahDBP serta majalah-majalah yang diterbitkan oleh DBP. Aktiviti menulis ini merupakan tugas yang dicadangkan oleh penyelia, dan menjadi antara tugas yang paling saya gemari.
Bulan ini telah mendedahkan saya terhadap permulaan tahun baru bagi sesebuah jabatan kerajaan. Ia dipenuhi dengan perbincangan, perancangan, hasrat dan semangat meskipun tidak ada banyak kerja yang perlu dilakukan.
Saya banyak mengisi kekosongan ini dengan menulis puisi dan cerpen bagi disiarkan di bawah DBP. Meskipun penulisan ini bergerak perlahan, namun ia telah banyak membantu mengasah kebolehan menulis, dan juga pemahaman saya terhadap platform berkarya serta kebolehpasaran sesebuah karya yang dihasilkan.
Juga, terdapat perubahan besar dalam suasana pekerjaan apabila rakan pelatih industri yang lain menamatkan latihan industri mereka. Saya dapat belajar meletakkan diri sebagai seorang pekerja yang tidak bergantung kepada rakan sekerja yang lain.