Jurnal Reflektif
Jurnal Reflektif
Pada mulanya, memilih untuk menjalani latihan industri di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hanyalah idea daripada seorang pensyarah. Tanggapan naif saya pada ketika itu menganggap bahawa tempat ini kurang tepat kerana sifat sebuah organisasi kerajaannya yang 'terlalu berperaturan' pasti akan mengurung saya yang suka menyimpang daripada garis konvensional. Namun, perjalanan selama 10 bulan di sini telah membuktikan hal yang sebaliknya.
Saya amat bernasib baik kerana ditempatkan di bawah penyeliaan Encik Muhammad Ikhram Fadhly bin Hussain (Unit Sastera pada ketika itu, kini dipanggil Unit Pemupukan dan Penggalakkan) pada awal permulaan latihan industri. Beliau merupakan seorang pegawai yang berkaliber dan berpemikiran luas. Ketika melaksanakan tugas, beliau memiliki karisma. Beliau juga mempunyai semangat cinta yang mendalam terhadap sastera Melayu.
Encik Ikhram kepada saya menjadi bukti kukuh bahawa minat terhadap bahasa itu boleh diterapkan dalam segala perkara yang dilakukan dan walau di mana jua kita berada.
Sejujurnya pada minggu-minggu pertama, saya bimbang jika di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) tidak dapat diterapkan ilmu penulisan kreatif yang dipelajari sepanjang di universiti.
Jika disenaraikan segala tugas yang pernah diberi: (copywriting)—menyediakan poster hebahan, kad undangan, surat undangan, sijil digital, buku program, buku atur cara, tirai latar belakang, bunting, slaid mesyuarat, montaj perasmian program, montaj pelancaran buku, menyunting manuskrip, merangka prakata manuskrip, membuat teks ucapan, teks doa, (teknikal)—mendokumentasikan segmen radio, memahami fungsi-fungsi dalaman Microsoft Word, Microsoft Excel, Microsoft Powerpoint, Canva, Google Workspace, penggunaan mesin fotokopi, projektor, mikrofon, urusan kawalan layar latar belakang sesebuah program dan (praktikal)—keurusetiaan program-program yang dilaksanakan seperti pembantu jualan, pembantu jurufoto, pengiring, persediaan tempat, makanan, cenderamata, menulis buletin, berurusan dengan pihak luar.
Hanya segelintir sahaja yang mengaplikasikan kreativiti menulis. Namun dengan bimbingan Encik Ikhram, saya dapat melihatnya dari sudut yang berbeza.
Sebuah penghasilan grafik (poster hebahan) yang berkesan adalah seperti mengarang sebuah perenggan. Maklumat penting yang ingin ditonjolkan diibaratkan seperti mesej utama yang ingin diketengahkan. Sifat grafik tersebut pula adalah perasaan yang ingin disampaikan. Konsep yang sama, cuma medium yang berbeza. Hakikatnya kreativiti itu mampu mengalir di atas apa-apa sahaja yang dihamparkan.
Malahan sebenarnya perihal kreativiti juga sering diaplikasikan semasa menyelesaikan masalah:
Ketika diberikan tugas membuat banyak surat dan perlu mengedarkannya dalam masa yang singkat, kaedah pelaksanaannya akan mencerminkan kreativiti berfikir. Puan Zahani (Dahulu Unit Sastera, kini Unit Pembudayaan dan Pengiktirafan), penyelia industri kedua bermula semester 6 saya telah mengajarkan kekemasan dan pengurusan tugas yang teratur. Jika Encik Ikhram mengajarkan cara berfikir, Puan Zahani pula mengajarkan struktur berfikir.
Beliau menjadi contoh dalam operasi kerja. Segala urusan laporan, dokumentasi, surat-menyurat diajarkan supaya disusun dengan kemas dan teliti, juga sentiasa disimpan agar proses kerja menjadi lebih teratur dan jelas. Perihal seperti menaip maklumat penyerahan karya anugerah Hadiah Sastera Kelantan 2025 yang merangkumi banyak bahan dan kategori menjadi lebih mudah apabila diklasifikasikannya masing-masing secara tersusun.
Kolaborasi tunjuk ajar daripada Encik Ikhram dan Puan Zahani telah menjadikan saya seorang yang kompeten.
Saya berterima kasih kepada Pengarah DBPWT, Yang Berusaha Puan Ariza binti Che Ismail kerana membenarkan dan mengalu-alukan semua pegawai di pejabat memberikan tugas kepada pelatih industri. Kepelbagaian ini telah mendedahkan bermacam-macam jenis dan cara berkerja kepada saya.
Daripada Puan Nor Hidayah binti Ilias (dahulu Unit Bahasa, kini Unit Promosi dan Penguatkuasaan), saya belajar membuat banyak kerja berbeza dalam satu masa. Cara berkerja beliau menjadi tunjuk ajar kepada saya mengenai pengurusan masa. Juga, saya banyak belajar mencari maklumat untuknya. Maklumat untuk menghubungi, kepada siapa perlu dihubungi, latar belakang tetamu jemputan, rekod anugerah seseorang tokoh dan pelbagai lagi informasi yang menjadi dokumen penting dalam melaksanakan sesebuah program.
Kerja-kerja dokumentasi kebanyakannya diajarkan oleh Puan Basirah binti Ariffin (juga Unit Promosi dan Penguatkuasaan). Selain daripada meneliti beliau merangka dan menjayakan segmen untuk disiarkan dalam radio, saya turut berkongsi tangan untuk mencari bahan kepadanya. Bahan seperti peribahasa, makna perkataan, dialek Kelantan dan Terengganu, kesalahan tatabahasa yang dibiasakan semua secara tidak langsung menambah ilmu Bahasa Melayu kepada saya dan juga khususnya dalam urusan pendokumentasian.
Sementara itu, Puan Nur Anis Salwani binti Awang (Unit Penerbitan dan Pemasaran) banyak berkongsi pengetahuan mengenai buku-buku. Membantunya sebagai urus setia bahagian jualan telah mendedahkan perihal jenis buku dan sasaran pembeli. Beliau banyak berkongsi pengetahuan tentang proses buku diterbitkan, format yang digunakan, tatabahasa dalam konteks penerbitan serta penggunaan bahasa yang menarik perhatian. Semasa membuat montaj pelancaran buku, saya banyak menanyakan pendapat daripada Puan Anis untuk membuat isi kandungan video tersebut.
Juga selain daripada kerja-kerja teknikal, saya sangat beruntung kerana dapat melibatkan diri sebagai urus setia dalam program-program yang dianjurkan DBPWT. Program seperti Seminar Pemikiran, Minda Kreatif, Bengkel, Forum dan Dialog menjadi seperti perkongsian ilmu percuma sepanjang saya di sini. Saya berpeluang berjumpa dengan tokoh-tokoh besar seperti Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, Dato' Rahman Shaari, Sasterawan Negeri S.M Zakir, Hilmi Rindu, Rosli K. Matari dan bercakap-cakap serta menanyakan soalan yang saya ragui. Juga, penerbit buku, majalah DBP, Kata-Pilar dan persatuan-persatuan penulis wilayah timur banyak mengongsikan nasihat mereka kepada saya.
Namun seperti di mana-mana tempat kerja, di DBPWT juga memiliki permasalahan dan cabaran. Hal-hal seperti kekurangan tenaga pekerja, berkerja lebih masa atau isu dalaman bukanlah perkara baru. Kadangkala ia menjadi pemutus semangat untuk pergi berkerja. Tetapi jika dilihat dari sudut lain, perkara ini tetap menyumbang kepada pengalaman yang mematangkan. Sebuah refleksi.
Sepanjang 10 bulan menjalani latihan industri di DBPWT, saya telah berjaya menjadi seorang yang lebih baik dan lebih bersedia.
Harapan saya agar DBPWT terus meningkatkan prestasinya seperti yang berlaku pada tahun lepas dan juga tahun ini. Peranan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara adalah sangat penting. Gunakanlah bahasa kebangsaan kita, bahasalah menyatukan kita semua. Yakinlah bahasa jiwa bangsa.
Warga Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur