Logo kumpulan pengakap kami, Pengakap 21.
Kami adalah sekumpulan pelajar dari sekolah SMK Gombak Setia (SMKGS). Kami semua juga ialah ahli-ahli pengakap. Tujuan asal kami membuat blog/laman web ini adalah untuk menyertai pertandingan. Walau bagaimana, kami tetap meneruskan pembangunannya dengan tujuan untuk membina sebuah laman web yang mempunyai maklumat komprehensif tentang semua perkara pengakap.
Lencana sekolah kami
Pintu gerbang sekolah kami.
SMKGS mula ditubuhkan pada tahun 1969 iaitu selepas peristiwa 13 Mei 1969 yang pada ketika itu dikenali sebagai Darjah Menengah Kebangsaan, bertempat di Sek. Ren. Setapak (menumpang) selama seminggu. Bilangan pelajar ketika itu 200 orang. Pengetuanya yang pertama ialah Cik Badariah bt. Hj Ibrahim. Kemudian, pada Mei 1969 juga pelajar-pelajar ini dipindahkan ke Sek. Ren. Keb. Gombak Setia kerana ibu bapa mahukan anak-anak mereka bersekolah di tempat yang lebih dekat dan selamat. Pengetuanya ialah En. Mohamad Zaid b. Ramli.
Pada Mac 1974, para pelajar dipindahkan ke bangunan sendiri Sek. Men. Keb. Gombak Setia. Pada 1976, Peperiksaan Sijil Penilaian Malaysia (SPM) pertama diadakan di sekolah ini dan pada 1979 aliran Sains bagi Tingkatan Empat pula diadakan. Pada 1977, bangunan baru Blok C dan Blok D mula dibina dan siap akhir tahun 1980 serta mula digunakan sepenuhnya pada awal tahun 1981.
Pada tahun 1982, satu lagi bangunan baru dibina khas untuk Tingkatan Empat Sains Rumah Tangga yang mula dibuka pada awal tahun 1984. Manakala kelas Tingkatan Enam Satera dan Sains juga ditubuhkan pada Mei 1984 (merupakan sekolah pertama di daerah Gombak yang mempunyai Tingkatan Empat bagi menampung pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah di Daerah Gombak).
Kini, SMKGS mempunyai pelajar-pelajar dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 seramai 2713 orang pada sesi pagi dan petang dan jumlah gurunya 128 orang. Kini, pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 belajar di sebelah petang, manakala pelajar Tingkatan 3, Tingkatan 4, Tingkatan 5, dan Tingkatan 6 belajar di sebelah pagi.
Sekolah kami sering menjadi buah mulut masyarakat disebabkan koperasi sekolah kami yang cemerlang. Namun, bukan itu sahaja yang istimewa tentang SMKGS.
SMKGS sangat aktif dalam aktiviti kokurikulum. Sekolah kami sering menyertai pelbagai pertandingan dan kerap mewakili daerah mahupun negeri. Antara pencapaian yang paling membanggakan baru-baru ini ialah sekolah kami mewakili Malaysia serta membawa pulang pingat gangsa dalam Pertandingan Robotik Antarabangsa 2019 yang berlangsung di Korea Selatan.
Infrastruktur di SMKGS juga tidak boleh dinafikan keunikannya. Surau di sekolah kami asalnya adalah sebuah bangunan kecil yang terletak di belakang sekolah kami, tiada bezanya dengan kebanyakan surau-surau sekolah lain. Walau bagaimanapun, dengan usaha murni semua warga sekolah, dana yang mencukupi telah dikumpul untuk membina Surau Al-Falihin yang baharu.
Kini, surau baharu tersebut adalah salah satu perkara yang menarik perhatian pelawat-pelawat yang datang ke sekolah kami. Surau Al-Falihin kini adalah sebuah surau yang luas, mempunyai dua tingkat dan lengkap dengan penyaman udara.
Road to King's Scout bukan dibuat oleh sebarangan pelajar. Kami sudah pun mempunyai beberapa kemahiran IT yang membenarkan kami membina blog ini dengan lebih baik berbanding kebanyakan orang lain.
Sebahagian besar daripada kumpulan yang membina blog ini adalah daripada sebuah persatuan sekolah kami yang bernama Cyber Masters (CM). CM adalah sebuah persatuan yang mengutamakan aktiviti-aktiviti digital, khususnya kami sering menyertai pertandingan-pertandingan membuat video digital. Contoh karya kami yang pernah memenangi pertandingan boleh dilihat di atas.
Segala ilmu dan kemahiran kami pelajari dengan menjadi ahli CM telah diaplikasikan dalam pembinaan Road to King's Scout.
Walaupun kami celik komputer, masih terdapat beberapa jurang dalam ilmu kepengakapan kami. Warga-warga sekolah SMKGS telah memberi bantuan yang banyak dalam proses pencarian maklumat untuk blog ini. Guru-guru pengakap kami telah membekalkan kami dengan petikan-petikan daripada buku-buku pengakap serta ilmu mereka sendiri, manakala pengakap-pengakap senior sekolah kami telah meluangkan masa mereka untuk membuat video-video tutorial untuk pelbagai jenis ikatan dan simpulan, di samping berkongsikan gambar-gambar kenangan manis mereka.
Kami ingin memberi penghargaan kepada salah satu individu yang telah meninggalkan impak positif pada pengakap SMKGS. Beliau bernama Datu Danial Haqimi.
[OC]
Nama: DATU DANIAL HAQIMI BIN OMAR ALI
Tarikh lahir: 08/10/1996
Pencapaian:
Ketua Krew Kelana Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLKM) Uitm Sri Iskandar (2014; Pengakap Laut)
Ketua Krew Kelana Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLKM) Kolej Kemahiran Tinggi MARA Rembau (2015 - 2017)
Anugerah Khas Jurulatih (2018)
Penolong Pemimpin Pengakap
Tujuan masuk pengakap: Minat dari bangku sekolah rendah.
Sumbangan kepada pengakap sekolah:
Jurulatih Kawad Kaki
Jurulatih Perkhemahan
Johan kawad kaki (2018, 2019; perempuan)
Naib johan kawad kaki (2018; lelaki)
Tuntasnya, Road to King's Scout ialah produk daripada sinergi semua pihak yang terlibat dalam pembinaanya. Kami berharap dengan kewujudan blog ini, ahli-ahli pengakap di serata Malaysia akan melakukan anjakan paradigma dengan berusaha sedaya upaya untuk menjadi seorang pengakap yang lebih baik. Kalau tidak pun, kongsikanlah blog kami ini supaya ada orang akan memanfaatkannya.