Robert Baden-Powell, pengasas Pergerakan Pengakap Dunia.
Biodata Robert Baden-Powell [OC]
"Tuhan memimpin dan membantumu di dalam kerja-kerjamu. Berpengakap satu permainan bagi kanak-kanak,tetapi satu tanggungjawab kepada orang dewasa..."
- Lord Baden-Powell
Pengakap telah diasaskan oleh seorang bangsa lnggeris bernama Robert Stephenson Smyth Baden-Powell yang terkenal dengan nama Lord Baden-Powell atau BP. Baden-Powell dilahirkan di bandar London, England pada 22 Februari 1857, dan meninggal dunia pada 8 Januari, 1941. Bapa Baden-Powell bernama Reverend H.G. Baden-Powell adalah seorang mahaguru di Universiti Oxford, London, England. Ibunya ialah anak kepada Laksamana British bernama W.T. Smyth.
Sewaktu Baden-Powell berusia tiga tahun, bapanya meninggal dunia dan tinggallah beliau bersama ibunya dalam keadaan yang sederhana. Pada zaman persekolahan Baden-Powell banyak menceburkan diri dalam kegiatan sekolahnya seperti berlakon, menyanyi dan menembak. Dalam masa cuti sekolah Baden-Powell bersama-sama tiga orang abangnya selalu pergi mengembara berjalan kaki berkhemah, belayar dan berperahu. Setelah berjaya dalam peperiksaan tentera, BP telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dan mula berkhidmat dalam tentera di India dan Afghanistan dalam tahun 1876, kemudian ke Natal (Zululand) dan Malta sebagai penolong Setiausaha Tentera.
Beberapa tahun kemudian beliau dihantar bertugas di Afrika Barat untuk menamatkan satu peperangan di Ashanti, Ghana. Di situ beliau digelar KANTANKYE yang bermaksud Topi Besar. Dalam peperangan Baden-Powell sentiasa berhati-hati terhadap pergerakan musuh hinggakan beliau digelar IMPEESA yang bermaksud Serigala yang tak pernah tidur. Dalam tahun 1897, BP dinaikan pangkat menjadi Kolonel dan ditempatkan di India untuk memimpin Dragoon Guard ke 5. Beliau telah memberi hadiah kepada askar-askar yang menunjukkan kebolehan yang baik dengan satu lencana bergelar SCOUTS (Peninjau).
Dalam tahun 1899 Baden-Powell pulang ke England membawa sebuah buku yang dikarangnya semasa di Kashmir berjudul "Aids To Scouting". Buku itu mengandungi kisah peninjauan di India. Tidak lama kemudian, Baden-Powell telah dihantar ke Afrika Selatan untuk menambahkan dua rejimen askar berkuda untuk mempertahankan sempadan British dari serangan orang Boer iaitu puak keturunan pendatang Belanda. Orang-orang British telah mengepung bandar Mafeking, iaitu sebuah bandar jajahan British, dengan itu mencetuskan satu peperangan besar yang dinamakan Peperangan Boer. Dalam peperangan itu, Baden-Powell hanya mempunyai seramai 1,000 orang askar berbanding dengan 9,000 orang Boer. Dengan tipu helah, beliau meletakkan periuk api pasir dan papan tanda "BAHAYA" sehingga beliau telah berjaya memperdayakan orang-orang Boer.
Buku yang dikarang oleh Baden-Powell, Aids To Scouting.
Beliau telah menggunakan budak-budak untuk mengintip rahsia musuh. Akhirnya Baden-Powell berjaya memenangi peperangan itu. Di atas kemenangan itu, beliau telah dinaikkan pangkat Mejar Jeneral ketika berumur 43 tahun, pegawai yang termuda menerima pangkat itu. Selepas perang Boer, Baden-Powell diarahkan menubuhkan pasukan polis Afrika Selatan dan dilantik sebagai Jeneral Tentera Berkuda. Beliau menjadi Jeneral pasukan tentera Simpanan ketika berumur 50 tahun.
Setelah bersara dari tentera, Baden-Powell pulang ke England dan telah menganjurkan satu perkhemahan di Pulau Browsea selama 10 hari pada tahun 1907. Seramai 21 orang budak-budak turut serta dalam perkhemahan itu. Baden-Powell menggunakan idea berpandukan kepada pengalamannya dalam peperangan Mafeking dan buku “Aids To Scouting”. Budak-budak itu dibahagikan kepada empat patrol. Mereka belajar dan berlatih cara berkhemah, memasak, memerhati, mengembara, berperahu, menyelamat nyawa dan mengesan jejak. Pada malamnya diadakan unggun api. Perkhemahan di Pulau Browsea berjaya dan amat diminati oleh budak-budak yang menyertainya.
Selepas itu dalam tahun 1908, Baden-Powell pula mengarang sebuah buku berjudul “Scouting For Boys”. Kandungannya berdasarkan kepada pengalaman beliau semasa menjadi askar di India dan Afrika serta perkhemahan budak-budak di Pulau Browsea. Buku itu telah memikat hati budak-budak. Dengan itu wujudlah Pergerakan Pengakap. Dalam tempoh setahun sahaja Pergerakan Pengakap berkembang di England dan merebak ke Australia, Canada, New Zealand dan Afrika Selatan. Berikutnya pada tahun 1909, Pergerakan Pengakap ditubuhkan di Chile, Amerika Syarikat, Ghana, India dan selepas itu di seluruh dunia.
Kulit buku asal Scouting For Boys Part II.
Pergerakan Pengakap telah tersebar luas melalui peneroka dan pedagang British. Tanpa diduga, pergerakan pengakap telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada negara-negara Eropah, Asia dan Amerika dalam masa beberapa tahun sahaja ia ditubuhkan. Beliau telah mengelilingi dunia pada tahun 1912 untuk menemui beberapa pergerakan pengakap di seluruh dunia. Pada tahun 1920, Jambori Pengakap Dunia yang pertama telah diadakan di Olympia, London. Di sinilah beliau telah dilantik sebagai Ketua Pengakap Dunia manakala kerajaan British menganugerahkan ”Lord Baden of Gillwell” kepada beliau. Banyak pingat kebesaran negara pengakap telah beliau perolehi diatas sumbangan beliau mewujudkan pergerakan pengakap. Pada tanggal 8 Januari 1941, beliau telah meninggal dunia di Nyeri, British Kenya sebelum sempat menyambut ulang tahun ke 84.
Logo-logo pengakap di negeri-negeri Melayu/Malaysia dari 1908 hingga kini
Trup pengakap pertama Jesselton (Kota Kinabalu), The All Saints Secondary School , 1950
Pengakap di Malaysia Pergerakan Pengakap mula berkembang di Malaysia (Malaya) apabila F.C. Sands menubuhkan pasukan Pengkap Kanak-Kanak (Cubs) di Singapura pada tahun 1910 (Dua tahun setelah BP mengasaskan Pergerakan ini di England).
Bergerak dari tarikh itu, pada tahun 1919 Pasukan Pengakap untuk budak-budak Melayu telah diasaskan oleh Kapten N.M. Hashim dan Encik A.Z.Alsagoff, juga di Singapura. Negeri Melayu yang pertama memulakan Pergerakan Pengakap ialah Pahang (Pekan) oleh G.M.Laidlow .Namun begitu, pergerakan ini terus terkubur setelah G.M.Laidlow meninggal.
Pada tahun 1927, pergerakan Pengakap dihidupkan semula oleh H.P.Hertslet, Frisby dan Wheeler dari Jabatan Pelajaran Pahang memajukan pergerakan ini. H.R. Cheeseman (seorang ahli pendidikan yang terkenal) telah menubuhkan pergerakan Pengakap di Pulau Pinang iatu di Penang Free School pada tahun 1915.
Mendiang juga menjawat jawatan sebagai Penolong Pesuruhjaya Pengakap Malaya selama 13 tahun lamanya. Di Perak pula, pergerakan pengakap ditubuhkan di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada tahun 1926 oleh I.R. Wheeler. Pada tahun 1922, pergerakan Pengakap bermula di Kedah. Manakala di Johor pula, pergerakan ini bermula pada tahun 1928 dengan kumpulan pertamanya di Maktab Sultan Abu Bakar.
Melaka dan Negeri Sembilan memulakan pergerakan Pengakap pada tahun 1926 oleh Brunstone. Selangor menubuhkan pergerakan Pengakap pada tahun 1926 oleh Ameen Akbar. Terengganu dan Kelantan memulakan pergerakan ini pada tahun 1927. Pengasas di Terengganu ialah A.J. Gracle, dan di Kelantan pula ialah YM Tengku Ahmad Temenggong.
Perlis pula ialah pada tahun 1931. Sarawak menubuh pergerakan pengakap pada tahun 1913 dan Sabah pada tahun 1915. Setelah merdeka pada tahun 1957, Persekutuan Budak-Budak Pengakap Tanah Melayu, menjadi ahli dalam Persidangan Pengakap Sedunia. Pada tahun 1963 (penubuhan Malaysia), Persekutuan Budak-Budak Pengakap Tanah Melayu ditukar kepada Persekutuan Pengakap Malaysia.
Kronologi penubuhan pasukan pengakap di negeri-negeri [OC]
Setelah aktiviti kepengakapan tersebar luas, keperluan untuk mewujudkan badan penyelaras disedari. Sejurus selepas Perang Dunia Kedua, pergerakan pengakap di Tanah Melayu disusun semula menjadi Persekutuan Budak Pengakap Tanah Melayu. Apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, persekutuan ini diterima sebagai ahli Pesekutuan Pengakap Sedunia pada 1 September 1957. Seterusnya, apabila Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung bersama Tanah Melayu membentuk Malaysia, pergerakan pengakap negeri-negeri tersebut juga turut bergabung. Hasilnya pada November 1964 Persekutuan Pengakap Malaysia ditubuhkan.
Jambori Pertama Pengakap Malaysia di Teluk Bahang, Pulau Pinang pada 5 Disember 1966
Pada tahun Ogos 1965, Singapura telah keluar daripada Persekutuan Budak Pengakap Malaysia sejajar dengan Singapura keluar dari gagasan Malaysia.
Persekutuan Pengakap Malaysia diperbadankan melalui Akta Persekutuan Pengakap Malaysia (Pemerbadan) 1968, dan (Semakan) 1989. Dengan keistimewaan ini Duli-duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu serta Tuan-tuan Yang Terutama merupakan penaung pergerakan pengakap di peringkat negeri dan nasional.
Sejarah pergerakan pengakap negeri Selangor Darul Ehsan turut meliputi kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sempena penubuhan Wilayah Pesekutuan Kuala Lumpur, Majlis Pengakap Negeri Selangor dan Majlis Pengakap Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah dengan rasminya menjadi dua entiti yang berasingan mulai 27 Februari 1974. Upacara pengisytiharan telah diadakan di Kem Kotaraya, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Pejabat pentadbiran pengakap Selangor terletak di Kem Kotaraya, Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Kem ini lebih dikenali dengan nama "Castle Camp" kerana bentuk bangunannya yeng meyerupai sebuah 'castle' seperti bentuk bangunan lama di England. Pihak kerajaan telah memberikan kawasan ini yang merupakan bekas tapak projek hospital yang telah dibatalkan kepada pergerakan pengakap untuk latihan berpengakap pada tahun 1933. Pada tahun 1934, ahli-ahli pengakap telah berusaha keras memperindahkan bangunan Kem Kotaraya yang terbengkalai bagi meraikan lawatan Lord Baden-Powell ke Malaya. Lawatan Lord Baden-Powell, pengasas pergerakan pengakap telah mencatatkan beberapa detik sejarah penting kem tersebut.
Lord Baden-Powell telah meninggalkan kesan tapak kaki dan juga kasut beliau di kem tersebut. Beliau dan ahli rombongannya yang terdiri daripada Lord Rowallan, Ketua Pengakap Dunia, dan Sir Charles Maclean, bekas Ketua Pengakap Komenwell turut menanam pokok di sekitar kem tersebut.
Pergerakan pengakap di Malaysia tidak dapat melupakan jasa bakti seorang pegawai perkhidmatan pendidik Inggeris bernama Frank Cooper Sands (F.C. Sands), MBE, FRAS yang terlibat dengan pengakap di England, Malaya dan Singapura selama 38 tahun bermula dari tahun 1908 hingga 1948. Beliau telah menjawat jawatan Pesuruhjaya Pengakap untuk cawangan Malaya dalam tempoh tersebut. Beliau memulakan pergerakan pengakap di Singapura pada tahun 1910 dengan dua kumpulan terdiri daripada 30 orang ahli pengakap. Tahun 1910 adalah satu detik penting sebagai tanda berkembangnya pergerakan pengakap di Malaysia.
Pergerakan pengakap mula diperkenalkan di Selangor pada tahun 1909 dengan tertubuhnya satu kumpulan pengakap di Victoria Institution (VI) - Sekolah Victoria pada 15 Mac 1909 dan diikuti dengan penubuhan pengakap di Sekolah St. John dan Sekolah Methodist, Kuala Lumpur tetapi pergerakan di dua sekolah ini kurang cergas dan dibubarkan pada tahun 1913. Pembubaran kumpulan pengakap ini menyaksikan perjalanan pengakap begitu malap sehingga tahun 1926.
Pada bulan Mei 1926, Persekutuan Tempatan (Local Assosiation) Selangor telah ditubuhkan yang tarafnya sama dengan Majlis Pengakap Negeri pada hari ini. Encik J.R. Kellam telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Daerah (jawatan Pesuruhjaya Daerah pada masa itu adalah setaraf dengan jawatan Pesuruhjaya Negeri pada hari ini) dan Encik Ameen Akbar sebagai Penolong Pesuruhjaya Daerah.
Encik Ameen Akbar telah menubuhkan bahagian kelana (rover) pada tahun 1926. Pergerakan pengakap semakin berkembang melalui usaha gigih Encik Ameen Akbar yang memperkenalkannya di sekolah-sekolah Melayu di Kuala Lumpur pada tahun 1925 dan diikuti oleh sekolah-sekolah Melayu di luar Kuala Lumpur kemudiannya. Pergerakan pengakap turut berkembang ke sekolah-sekolah Cina dan Tamil di Selangor.
Dua tokoh penting yang membawa pergerakan pengakap ke sekolah-sekolah Melayu ialah Encik Ameen Akbar dari Selangor dan Encik S.M Zainal Abidin dari Pulau Pinang. Mengikut pendapat F.C Sands, Encik Ameen Akbar adalah tunggak utama pergerakan pengakap di Selangor pada masa itu. Encik Ameen Akbar dan Encik S.M Zainal Abidin berusaha keras memberi latihan kepada guru-guru Melayu. Beberapa buku pengakap telah diterjemah ke bahasa Melayu oleh Encik S.M Zainal Abidin. Usaha menterjemah buku-buku pengakap ini banyak membantu meningkatkan lagi perkembangan pergerakan pengakap di sekolah-sekolah Melayu.
Antara tokoh-tokoh lama yang telah banyak menyumbangkan tenaga kepada pengakap di Selangor termasuklah Encik Marcus Dukes, Encik Westrop, Encik Burton, Encik Lancaster dan Kapten Headlam yang kesemuanya pernah menjawat jawatan Pesuruhjaya Daerah Selangor sebelum perang dunia kedua dan diikuti oleh Encik G.D Muir selepas perang. Anak-anak tempatan juga tidak kurang ketokohan mereka dalam memajukan pergerakan pengakap di Selangor.
Antaranya ialah Encik Ameen Akbar. Encik Yusof Ahmad, Kapten Mohamad Ali yang merupakan anak tempatan pertama menjadi Pesuruhjaya Negeri Selangor. Selepas Kapten Mohamad Ali, jawatan Pesuruhjaya Negeri Selangor disandang oleh Encik Ng Khiew Tin, Encik Victor, Encik Phang Piang Pah, Encik Ibrahim bin Samad, Tuan Haji Zainuddin bin Jantan, Tuan Haji Karim Ahmad, Tuan Haji Akasah bin Haji Taib dan sekarang Tuan Haji Ishak bin Jonid.
Perkembangan pergerakan ke daerah-daerah di negeri Selangor turut lancar dengan penubuhan pergerakan pengakap seperti berikut:
1945: Sabak Bernam
1947: Kajang
1948: Kepong
1950: Klang
1951: Banting
1954: Petaling
1959: Hulu Langat
1960: Rawang
1961: Hulu Selangor
1963: Sepang & Kuala Selangor
1974: Tanjung Karang & Gombak
2009: Putrajaya