Setiap ahli Persaudaraan Pengakap Raja Malaysia perlu mematuhi Persetiaan Pengakap dan Undang-undang Pengakap, prinsip-prinsip- Tanggungjawab kepada Tuhan, Tanggungjawab kepada Masyarakat, dan tanggungjawab kepada diri sendiri dan diinspirasi oleh Persetiaan Pengakap dan Undang-undang Pengakap yang telah dibentuk oleh Pengasas Pengakap, Lord Baden-Powell.
Bahawa dengan sesungguhnya, saya berjanji dan bersetia yang saya dengan sedaya berapa upaya saya akan:
Taat kepada Tuhan, Raja dan Negara
Menolong orang pada setiap masa
Menurut undang-undang Pengakap.
Pengakap adalah seorang yang sentiasa dipercayai maruah dan kehormatan dirinya.
Pengakap adalah seorang yang taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan Raja-Raja, Pemimpin-Pemimpin Pengakapnya, ibu bapanya, majikannya serta orang-orang di bawahnya.
Pengakap adalah wajib menjadikan dirinya berguna, dan menolong orang pada setiap masa.
Pengakap adalah sehabat kepada sekelian orang dan saudara kepada lain-lain Pengakap walau apa pun negara, negeri, bangsa, pangkat dan agamanya.
Pengakap adalah seorang yang baik dan sempurna budi pekertinya.
Pengakap adalah baik dan kasih kepada haiwan.
Pengakap adalah seorang yang sentiasa menurut perintah dan suruhan ibu bapanya, Ketua Patrolnya, atau Pemimpin-Pemimpin Pengakapnya tanpa persoalan.
Pengakap adalah seorang yang sentiasa sabar dan sentiasa senyum walaupun semasa kesusahan.
Pengakap sentiasa berjimat dan cermat.
Pengakap adalah bersih dan suci fikirannya, perkataannya dan perbuatannya.