Anugerah Pengakap Raja merupakan anugerah tertinggi yang boleh dicapai oleh seseorang pengakap. Semua ilmu berpengakap telah dipelajari akan diuji untuk mendapatkan pangkat Pengakap Raja.
Lencana Pengakap Raja.
Contoh Sijil Diraja Pengakap Raja.
Pengakap Raja atau dikenali juga sebagai Anugerah Pengakap Raja merupakan anugerah yang paling tertinggi bagi Persekutuan Pengakap Malaysia. Sijil Diraja Pengakap Raja telah ditandatangani oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta semua Sultan di Malaysia.
Anugerah Pengakap Raja ini mempunyai taraf yang sama dengan Eagle Scout di Amerika Syarikat dan Filipina, Queen's Scout di United Kingdom, Australia, New Zealand dan Hong Kong, President's Scout di Singapura, Pramuka Garuda di Indonesia, Tiger Scout di Korea, Fuji Scout di Jepun, Crown Scout di Belgium dan Belanda, King's Scout di Thailand, Queen's Venturer Award di Kanada dan banyak lagi.
Demi melayakkan diri menerima anugerah yang paling berprestij ini, seseorang pengakap mesti mendapatkan lencana-lencana tertentu dan perlu melalui proses-proses tertentu.
Selempang Pengakap Raja. [OC]
Pertama, calon hendaklah lulus semua lencana-lencana dari Lencana Keahlian, Lencana Kemajuan Pengakap Muda (Lencana Usaha, Maju dan Jaya serta 2 Lencana Kegemaran, 3 Lencana Pengetahuan dan 3 Lencana Perkhidmatan) pada peringkat Pengakap Muda (Tingkatan 1, 2 dan 3) sehingga Lencana-Lencana Tertinggi (Lencana Jayadiri, Kemahiran, Kegiatan, Ekspedisi dan Perkhidmatan) pada peringkat Pengakap Remaja (Tingkatan 4 dan 5).
Calon hendaklah merekodkan segala bentuk ilmu pengetahuan, kemahiran atau bukti ke dalam buku log masing-masing.
Seterusnya, calon yang berkelayakan akan menyerahkan borang permohonannya kepada pesuruhjaya pengakap daerah masing-masing beserta buku log dan sijilnya (semua lencana yang telah diterima). Mereka akan dinilai semasa Ujian Sikap Pengakap Raja (Kem Pentaksiran Pengakap Pra-Raja) dan akan berlangsung selama 4 hari 3 malam yang akan dianjurkan oleh Lembaga Penaraf Pengakap Raja Daerah masing-masing, yang mempunyai komponen-komponen ini:
Tanggungjawab,
Pengembaraan,
Perkhidmatan Masyarakat,
Kegiatan dan;
Berdikari.
Semua dokumentasi dan buku log yang dibuat oleh calon diperiksa sepenuhnya untuk penilaian oleh Lembaga Penaraf Pengakap Raja Daerah.
Setelah calon melengkapkan dan lulus Ujian Sikap Pengakap Raja, dia diakui dan diberikan keizinan untuk memakai Rambu Pengakap Remaja atau dikenali sebagai Anugerah Ketua Pengakap Negara, yang berwarna kuning diraja. Oleh hal yang demikian, calon mempunyai semua syarat yang siap untuk proses seterusnya.
Setelah itu, calon kemudian perlu menghadiri Kem Penarafan Pengakap Raja (Kem Pentaksiran Pengakap Raja), 5 hari 4 malam yang akan dianjurkan oleh Lembaga Penaraf Pengakap Raja Negeri masing-masing. Penilaian sedemikian mengikut skema kebangsaan dan melibatkan:
Perkhemahan,
Model projek perintis,
Pertolongan cemas,
Perkiraan,
Simpulan dan ikatan,
Pentaksiran peta,
Latihan kawad kaki dan kawad tongkat,
Masakan rimba dari kayu api,
Masakan moden,
Lagu dan tarian tradisional,
Wawancara secara peribadi dan berkumpulan,
Pembuatan Bushman's Thong,
Pembuatan kraftangan dan banyak lagi.
Semua dokumentasi dan buku log yang dibuat oleh calon diperiksa sepenuhnya untuk penilaian oleh Lembaga Penaraf Pengakap Raja Negeri.
Setelah lulus semua ujian yang diperlukan, calon diberikan dan diizinkan memakai Bushman's Thong berwarna kuning, yang dibuat sendiri pada kem penarafan tersebut dan akan dipakai pada Istiadat Penganugerahan Sijil Pengakap Raja. Setelah calon melalui semua ujian yang telah ditetapkan, calon akan dimaklumkan oleh Lembaga Penaraf Pengakap Raja Negeri melalui pengetua sekolah sama ada mereka lulus atau tidak. Jika calon lulus kesemua ujian, surat rasmi jemputan akan dihantar ke rumah mereka tentang Istiadat Penganugerahan Sijil Pengakap Raja.
Mereka juga akan dijemput ke Istana Diraja negeri masing-masing (contohnya di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah bagi negeri Kedah atau Istana Maziah, Kuala Terengganu, Terengganu bagi negeri Terengganu) atau dewan yang ditempah khas (contohnya Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor bagi negeri Selangor atau Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, Perak bagi negeri Perak) untuk dianugerahkan Sijil Pengakap Raja yang berprestij oleh Sultan atau Yang di-Pertua Negeri di negeri tersebut.
Setelah seseorang calon dilayakkan untuk menerima Anugerah Pengakap Raja, calon akan memperoleh Lencana Pengakap Raja yang berwarna kuning, biru dan hijau dan akan dipakai di lengan kiri calon. Lencana ini hanya boleh dikeluarkan oleh Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) sahaja dan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya atau disalahgunakan oleh pihak lain.
Sijil Diraja Pengakap Raja atau dikenali juga sebagai Sijil Pengakap Raja, telah dikeluarkan oleh PPM dan diwakili oleh KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Malaysia sebagai Penaung PPM. Sijil ini unik kerana mempunyai 10 tandatangan, didahului oleh KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Malaysia sekarang dan 9 Sultan di negeri-negeri beraja. Setakat ini, tidak ada sijil lain yang boleh menyamai atau menandingi Sijil Pengakap Raja.
" Dengan ini kamu telah diiktiraf sebagai seorang Pangakap Raja dan telah dilatih supaya taat kepada TUHAN, RAJA dan NEGARA serta berkhidmat kepada Masyarakat. Jadikanlah diri kamu ahli dalam PERSAUDARAAN PENGAKAP yang luas dan dihormati. Mudah-mudahan Tuhan akan sentiasa bersama kamu dalam menjalani hidup dengan selamat dan memperolehi kebahagiaan. "
- Sijil Diraja Pengakap Raja
Seseorang Pengakap Raja telah diharapkan untuk menjadi contoh bagi pengakap lain dan menjadi pemimpin dalam kehidupan yang telah mereka tunjukkan untuk berada dalam pengakap. Oleh hal yang demikian, mereka boleh bergabung dan menjadi ahli Persaudaraan Pengakap Raja Malaysia dan Persatuan Pengakap Berprestasi Tinggi (ATAS).
Setelah lulus dan diiktiraf sebagai seorang Pengakap Raja, calon boleh mendaftarkan diri untuk menjadi ahli Persaudaraan Pengakap Raja Malaysia (Inggeris: The Malaysian King's Scout Brotherhood).
Calon yang telah mendapat Anugerah Pengakap Raja layak untuk memohon untuk menjadi ahli Persatuan Pengakap Berprestasi Tinggi (ATAS) (Inggeris: Association of Top Achiever Scouts) dan mendapatkan lencana yang dikeluarkan oleh ATAS. Lencana ini dipakai di lengan kiri calon dan di bawah Lencana Pengakap Raja.
Dalam Persekutuan Pengakap Malaysia, untuk melayakkan diri memakai lencana ATAS, seseorang calon hendaklah menerima salah satu anugerah ini, sama ada:
1. Anugerah Pengakap Raja (untuk peringkat Pengakap Remaja) ataupun;
2. Anugerah Baden-Powell (untuk peringkat Pengakap Kelana).
1. Datuk Seri Shamsul Iskandar @ Yusre bin Haji Mohd Akin
Bekas Timbalan Menteri Industri Utama (2018-2020) dan Ahli Dewan Rakyat untuk Bukit Katil, Melaka (2013-2018) & Hang Tuah Jaya, Melaka (2018-kini).
2. Eric Khoo Heng-Pheng
Bekas Ahli Jawatankuasa Pengakap Dunia, Bekas Pengerusi Regional Asia-Pasifik dan Mantan Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara.
3. Mejar (B) Haji Mior Rosli Bin Dato’ Haji Mior Mohd Jaafar
Bekas ahli tentera TUDM berpangkat Mejar, Mantan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Kuala Lumpur dan Penerima Bintang Semangat Rimba Kelas Dua – Perak (BSR – II) oleh PPM.