Keunikan pengakap sebagai unit beruniform yang asal ialah ia menerima ahli daripada pelbagai lapisan masyarakat. Asal sahaja seseorang itu menerima prinsip-prinsip yang terkandung dalam Persetiaan Pengakap dan Undang-undang Pengakap, beliau boleh menyertai pergerakan ini. Keahlian yang bersifat universal ini memupuk perpaduan antara ahli tanpa mengira bangsa, budaya dan fahaman agama. Keahlian pengakap juga tidak dihadkan oleh faktor usia. Malah, seseorang itu boleh menjadi pengakap hingga akhir usia dan daripada inilah timbul ungkapan "Sekali Berpengakap, Teruskan Berpengakap".
Secara umumnya, terdapat lima unit dalam pengakap di dalam Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM):
Pengakap Kanak Kanak, ahli-ahli yang berumur antara 8 hingga 12 tahun
Pengakap Muda, ahli-ahli yang berumur antara 13 hingga 15 tahun
Pengakap Remaja, ahli-ahli yang berumur antara 16 hingga 17 tahun.
Pengakap Kelana, ahli-ahli yang berumur antara 18-40 tahun.
Pengakap Raja, ahli-ahli yang telah mengikuti Pentarafan Pengakap Raja dan dianugerahkan Sijil Pengakap Raja yang ditandatangani oleh SPB Yang Di-Pertuan Agong serta 9 Sultan-Sultan Melayu.
Pergerakan Pengakap Kanak-kanak merupakan salah satu badan beruniform (berpakaian seragam) yang giat bergerak di negara ini. Salah satu cabang dalam pergerakan ini ialah Pengakap Kanak-kanak. Pengakap Kanak-kanak mengandungi ahli-ahli yang berumur antara 8-12 tahun (murid-murid sekolah rendah).
Pergerakan Pengakap Kanak-kanak menjadi salah satu gerakerja kumpulan yang memberi khidmat kepada sekolah dan masyarakat. Di bawah program KBSR Pergerakan Pengakap Kanak-kanak telah dipilih sebagai salah satu gerakerja kokurikulum yang diwajibkan di semua sekolah rendah. Ini disebabkan ianya didapati amat sesuai dijalankan oleh murid-murid pada peringkat ini.
Pergerakan Pengakap Kanak-kanak merupakan satu cara didikan yang boleh dijalankan di dalam dan di luar sekolah. Aktiviti Pergerakan Pengakap Kanak-kanak mudah diikuti dan menarik minat murid-murid. Di samping itu, ia dapat menyemaikan sifat-sifat kepemimpinan, bekerjasama, tolong-menolong dan sedia berkhidmat di kalangan mereka.
Unit pengakap muda adalah salah satu daripada beberapa unit dalam persaudaraan Pengakap yang lain. Unit ini ialah bagi remaja yang berumur dari 12 hingga 15 tahun. Had Umur untuk menyertai Pasukan Pengakap Muda telah dinyatakan di dalam Perkara 244; Bahagian 6; Pertubuhan Kumpulan di dalam Dasar, Pertubuhan dan Peraturan Persekutuan Pengakap-Pengakap Malaysia:
244
Untuk menjadi seorang Pengakap Muda seorang kanak-kanak itu mestilah telah berumur 12 tahun, tetapi belum sampai umur 16 tahun.
Seorang Pengakap Muda apabila sampai umur 15 tahun mesti menerima latihan sesuai dengan umurnya. Apabila dia samapi ke peringkat ini dalam kepengakapannya, satu Istiadat Meningkat Naik hendaklah diadakan dan dia akan melafazkan semula Persetiaan Pengakap, dengan makna yang lebih besar sesuai dengan umurnya yang telah meningkat itu.
Seorang Pengakap Muda hendaklah meningalkan pasukannya apabila sampai umur 16 tahun.
Seseorang remaja itu boleh manjadi Pengakap Muda terus daripada Pengakap Kanak-Kanak ATAU sebagai seorang ahli baru apabila telah berumur 12 tahun dan telah mendapat Lencana Keahlian setelah diuji dalam beberapa perkara yang tertentu.
Unit ini ialah peringkat yang kedua dalam sistem latihan yang progresif dalam Pergerakan Pengakap bagi menggalakkan dan memperbaiki lagi kesuburan rohani, jasmani, akal dan pergaulan di kalangan ahli-ahlinya.
Unit ini dibahagikan kepada beberapa patrol, setiap satu seramai 6 hingga 8 orang yang diketuai oleh seorang Ketua Patrol di bawah pimpinan seorang Ketua Kumpulan Pengakap Muda dan dibimbing oleh seorang lelaki atau wanita dewasa yang dipanggil Pemimpin Pengakap Muda.
Unit Pengakap Remaja ialah bahagian yang ketiga dalam siri latihan berpengakap. Bahagian ini ialah bagi budak-budak yang berumur 15 tahun hingga 18 tahun. Had Umur untuk menyertai Pasukan Pengakap Remaja telah dinyatakan di dalam Perkara 247N; Bahagian 6; Pertubuhan Kumpulan di dalam Dasar, Pertubuhan dan Peraturan Persekutuan Pengakap-Pengakap Malaysia:
247N
Untuk menjadi seorang Pengakap Remaja seorang kanak-kanak itu mestilah telah berumur 15 tahun, tetapi belum sampai umur 18 tahun.
Seorang Pengakap Muda hendaklah meningalkan Pasukan Remajanya apabila sampai umur 18 tahun.
Tujuan bahagian ini ialah bagi membolehkan Pengakap meneruskan latihan hingga tamat bagi satu peringkat latihan hingga tamat bagi satu peringkat latihan sesuai dengan pertumbuhan jasmani dan rohaninya setelah menempuhi latihan Pengakap Muda. Peringkat ini tidak kurang pentingnya bagi melengkapkan Pengakap untuk menghadapi hari mukanya agar ia dapat memainkan peranannya yang cergas dan positif dalam masyarakat.
Bagi Pengakap Muda yang sudah sampai umurnya 15 tahun mestilah menjadi Pengakap Remaja. Jika sekiranya belum lulus Lencana Jaya,dia boleh meneruskan latihan hingga tercapai lencana ini.
Seorang Pengakap yang belum pernah menjadi Pengakap dan berumur 15 tahun boleh menjadi Pengakap Remaja sebagai ahli baru:
Setelah mendapat Lencana Keahlian Pengakap
Menjalani latihan bagi mendapatkan Lencana Usaha, Lencana Maju dan Lencana Jaya mengikut Skim Latihan Pengakap Muda dalam masa yang singkat tetapi berpatutan sebelum memulakan kerja bagi Lencana Tertinggi.
Peraturan pembentukan unit dan patrol Pengakap Remaja adalah sama seperti bagi Pengakap Muda.
Pengakap Kelana ialah pengakap bahagian dewasa di bawah Persekutuan Pengakap Malaysia, terbuka kepada belia yang berusia di antara 17 ½ tahun hingga 25 tahun. Pengakap Kelana memberikan keseronokan, mewujudkan persahabatan dan menawarkan aktiviti yang menarik kepada semua belia yang menyertainya. Aktiviti-aktiviti Kelana dijalankan bersama ahli-ahli yang bersefahaman dan aktif di dalam satu kumpulan yang di panggil Krew Pengakap Kelana.
Program Krew Kelana menawarkan aktiviti dan keseronokan di serata dunia dari segi fizikal dan cabaran mental, memberi peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat luar serta menyediakan peluang untuk melancong dalam Malaysia dan juga ke luar Negara. Ahli-ahli Krew Kelana akan diberi tugas untuk menguruskan krew sendiri dan memastikan program Latihan Pengakap Kelana dilaksanakan.
Menyertai Krew Kelana adalah salah satu langkah bijak dan berfaedah dalam hidup. Ia membuka pintu kepada persahabatan baru, memberikan keseronokan, cabaran dan pengalaman berharga yang sukar untuk dilupakan.
Program Kelana adalah berasaskan kepada beberapa aktiviti utama seperti berikut:
Perkhidmatan (Service)
Sosial (Social)
Cabaran luar (Outdoor Adventures)
Aktiviti Mental (Mental Challenge)
Pembinaan Semangat (Spiritual Development)
Krew Pengakap Kelana boleh mengadakan program sendiri yang boleh dipelbagaikan mengikut minat dan idea ahli-ahli krew. Pengurusan dalaman Krew Kelana adalah terletak di tangan ahli-ahli krew. Pelantikan pihak krew atasan adalah di bawah pemilihan ahli kelana yang menguruskan hubungan antara krew dengan bantuan dan bimbingan daripada Penasihat Kelana.
Pengakap Raja atau dikenali juga sebagai Anugerah Pengakap Raja merupakan anugerah yang paling tertinggi bagi Persekutuan Pengakap Malaysia. Sijil Diraja Pengakap Raja telah ditandatangani oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta semua Sultan di Malaysia.
Anugerah Pengakap Raja ini mempunyai taraf yang sama dengan Eagle Scout di Amerika Syarikat dan Filipina, Queen's Scout di United Kingdom, Australia, New Zealand dan Hong Kong, President's Scout di Singapura, Pramuka Garuda di Indonesia, Tiger Scout di Korea, Fuji Scout di Jepun, Crown Scout di Belgium dan Belanda, King's Scout di Thailand, Queen's Venturer Award di Kanada dan banyak lagi.
Demi melayakkan diri menerima anugerah yang paling berprestij ini, seseorang pengakap mesti mendapatkan lencana-lencana tertentu dan perlu melalui proses-proses tertentu.
Untuk maklumat lebih lanjut, sila ke laman Pengakap Raja.