Kepanduan atau kepengakapan merupakan sebuah pergerakan atau organisasi yang bertujuan untuk membimbing golongan belia secara fizikal, memupuk semangat dan mengasuh cara pemikiran melalui pendidikan tidak formal tanpa mengira asal usul, bangsa dan kepercayaan agama selaras dengan prinsip dan kaedah yang diilhamkan oleh pengasasnya. Para anggota dalam pergerakan ini diberi nama pengakap, pandu atau pramuka.
Penekan pergerakan ini adalah kepada kegiatan praktikal di luar rumah agar remaja dapat dididik serta mengambil peranan sebagai anggota masyrakat yang berguna. Pergerakan ini diasaskan pada tahun 1907 di England oleh Lord Robert Baden-Powell yang dianggap sebagai pelopor "Bapa Pengakap Sedunia".
Di Malaysia, pergerakan ini direalisasikan melalui organisasi Persekutuan Pengakap Malaysia dan Persatuan Pandu Puteri.
Mengembangkan kebolehan mental, minat, bakat serta perkembangan rohani dan jasmani mereka;
Mengukuh dan memperkayakan pengalaman yang dipelajari di dalam bilik darjah;
Menyediakan mereka dalam proses penyesuaian bermasyarakat dengan cara memberi pengalaman untuk berhubung, bergaul dan bekerjasama;
Memaju dan mengembangkan minat, bakat dan kemahiran muri-murid dalam bidang-bidang tertentu;
Menyemai dan memupuk disiplin, nilai dan sikap positif di kalangan mereka selaras dengan hasrat Rukunegara;
Melatih murid mengisi masa lapang dengan gerakerja yang berfaedah di samping dapat meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan diri mereka; dan
Menggalakkan murid-murid untuk melibatkan diri dan memberi sumbangan kepada sekolah dan masyarakat.
Majlis Ketua Patrol
Majlis Ketua Patrol (Court of Honour - C.O.H) adalah satu badan yang mengandungi Ketua Pasukan dan Ketua Patrol. Pemimpin Pengakap dan Penolong Pemimpin Pengakap boleh hadir sebagai penasihat.
C.O.H bertanggungjawab menjaga maruah Pasukan, mentadbir dan mengatur aktiviti-aktiviti, perjumpaan-perjumpaan dan perkhemahan-perkhemahan Pasukan termasuk urusan perbelanjaan. Juga sebagai saluran untuk memberi latihan kepada Ketua-Ketua Patrol.
Ketua Patrol (Patrol Leader)
Ketua Patrol dilantik oleh Pemimpin Pengakap setelah berunding bersama dengan C.O.H. Ketua patrol melatih patrolnya melalui kegiatan-kegiatan dalam perjumpaan-perjumpaan Pasukan dan Patrol dan dalam perkhemahan-perkhemahan.
Ketua Patrol juga merancang aktiviti-aktiviti perjumpaan Patrol dan perkhemahan dengan bantuan Penolong Ketua Patrol dan tertakluk kepada nasihat Pemimpin Pengakap dan Majlis Ketua Patrol.
Penolong Ketua Patrol dipilih oleh Ketua Patrol dengan persetujuan Pemimpin Pengakap dan C.O.H. untuk menolong Ketua Patrol dan mengambil tempatnya jika tiada.
Ketua Patrol dan Penolong Ketua Patrol masing-masing memakai tanda jawatan berupa 2 jalur dan 1 jalur di atas poket kiri.
Ahli-ahli akan dibahagikan kepada 4 hingga 6 patrol dengan setiap satunya dianggotai seramai 6 hingga 8 orang ahli termasuk seorang Ketua Patrol dan seorang Penolong Ketua Patrol dan dipimpin oleh seorang Pemimpin Pengakap dan beberapa orang Penolong Pemimpin Pengakap yang bertanggungjawab memberi latihan kepada Ketua-Ketua Patrol.
Nama-nama patrol adalah menggunakan nama burung (Unit Pengakap Muda) dan nama pahlawan tanah air (Unit Pengakap Remaja) dipakai di bahu kiri.
Setiap kumpulan pengakap di sekolah lazimnya dipanggil trup. Trup ini mempunyai pengenalan khusus berupa lencana-lencana yang dipakai di bahu kanan terdiri daripada nama negeri, nama daerah dan nombor kumpulan. Setiap kumpulan atau trup mempunyai nombor unik mengikut giliran ia ditubuhkan. Contohnya, pasukan atau sekolah yang memakai lencana (KELANTAN), (KOTA BHARU) dan (80) ialah pasukan yang ke-80 ditubuhkan di daerah Kota Bharu di Kelantan.
Trup-trup kelana pula lazimnya dipanggil krew. Pasukan-pasukan krew ini tidak mempunyai nombor sebaliknya menggunakan abjad A,B,C dan sebagainya. Kumpulan Latihan Malaysia dan Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia pula menggunakan lencana atau flash nama institusi pengajian mereka.
Setiap trup pula dibahagikan kepada patrol yang lazimnya mempunyai 6 pengakap. Setiap trup diketuai oleh ketua, manakala patrol dipimpin oleh ketua patrol dibantu oleh penolong ketua patrol. Di sekolah-sekolah, lazimnya guru-guru penasihat diangkat menjadi pemimpin dan penolong pemimpin, terutama guru-guru yang menyertai latihan manikayu. Di institut pendidikan guru, kolej-kolej dan universiti, ahli-ahli kanan yang telah menamatkan latihan manikayu menjadi pemimpin.
Logo Persekutuan Pengakap Malaysia
Persekutuan Pengakap Malaysia, ringkasnya PPM ialah suatu pertubuhan beruniform sukarela untuk para beliawan dan beliawanis. Pertubuhan ini adalah sebahagian daripada pertubuhan kepanduan atau kepengakapan global iaitu Persekutuan Pengakap Sedunia ataupun World Organization of the Scout Movement. Persekutuan Pengakap Malaysia bergerak di bawah Akta Persekutuan Pengakap Malaysia 1968. Sehingga kini, hanya PPM satu-satunya pertubuhan seumpamanya yang dikuatkuasakan melalui akta Parlimen.
Pertubuhan ini mempunyai pelbagai organisasi-organisi lain di bawahnya, seperti:
Majlis Pengakap Negara (MPN)
Pesuruhjaya Pengakap Negara (PPN)
PPM Negeri masing-masing
Antara ahli-ahli PPM yang berpangkat tinggi termasuklah:
Presiden Agung PPM
YAB Tun Dr. Mahathir bin Mohamad
Ketua Pengakap Negara; Yang Dipertua MPN, Ketua PPN
Mej. Jen. (B) Prof. Dato' Dr. Haji Mohd Zin bin Bidin
Timbalan Yang Dipertua MPN
Dato' Haji Ahmad Shazilly bin Ismail Bakti
Timbalan Ketua PPN
Datuk Dr. Haji Awang Zaini bin Haji Suntim
Antara kebaikan giat menyertai dalam pasukan badan beruniform ialah kita dapat mendisiplinkan diri agar tidak melakukan sesuatu perkara yang sia-sia sahaja seperti menghitung bulu kambing. Hal ini demikian kerana remaja yang terlibat dalam aktiviti kawad kaki akan perlu melakukan arahan yang diberi oleh ketua pasukan dan tidak boleh mengingkari arahan ketua mereka. Misalnya, kadet dalam pasukan kawad tidak boleh bercakap atau makan dalam pasukan semasa aktiviti kawad dijalankan. Melalui latihan tersebut, kadet dapat melatih jati diri agar tidak terikut-ikut hawa nafsu sendiri dengan sewenang-wenangnya dalam melakukan sesuatu. Secara tidak langsung, seseorang kadet dapat mengawal diri dengan baik dan akan melaksanakan perbuatan berlandaskan norma masyarakat dan undang-undang. Impaknya, remaja tidak mudah dibuai oleh arus songsang ibarat kapal tiada nakhoda sekali gus dapat meminimumkan gejala sosial di negara kita. Jadi, remaja yang giat menyertai dalam pasukan badan beruniform dapat mendisiplinkan diri agar tidak membuat tindakan yang membawa malu ibarat menconteng arang di muka sendiri terhadap negara.
Di samping itu, remaja dapat memupuk semangat kerjasama antara satu sama lain dengan aktif dalam pasukan badan beruniform. Tidak dapat disangkalkan bahawa pasukan badan beruniform merupakan satu organisasi yang besar dan memerlukan kolaborasi untuk menjayakan sesebuah badan beruniform. Persisnya, aktiviti suai kenal yang dianjurkan oleh pasukan badan beruniform adalah untuk memberi satu pentas kepada setiap ahli yang setahun jagung untuk mengenali antara satu sama lain. Tindakan ini penting kerana seseorang ahli akan sayang dan sedia berkhidmat untuk badan beruniform sekiranya setiap ahli mengetahui badan beruniform secara mendalam sebab “ tak kenal maka tak cinta.” Bukan itu sahaja, semangat sinergi ibarat aur dengan tebing dapat dilahirkan melalui penglibatan diri dalam aktiviti perkhemahan yang diadakan oleh pasukan badan beruniform. Dalam kem pasukan badan beruniform, ahli akan menghadapi kekangan bersama-sama dan menyelesaikan kemelut bersama-sama tanpa mengira kaum, bangsa dan umur. Misalnya, ahli dikenakan untuk mengharungi aktiviti merentas rimba yang memerlukan kerjasama antara ahli. Ahli yang berjaya perlu membantu dan memberi dorongan kepada ahli yang belum merentasi halangan tersebut. Tindakan ini bukan sahaja dapat melahirkan keyakinan ahli yang belum mengharungi, malah dapat mewujudkan semangat kerjasama dan kepercayaan antara ahli. Bak kata pepatah, sudah terang lagi bersuluh bahawa semangat kerjasama dapat dipupuk dalam sanubari remaja sekiranya remaja terlibat dalam aktiviti pasukan badan beruniform.