Jajahan (daerah) Tanah Merah merupakan salah satu daripada 10 jajahan pentadbiran Negeri Kelantan yang telah mengalami proses urbanisasi yang pesat dan menjadi tumpuan penduduk. Daerah Tanah Merah meliputi 3 buah daerah (mukim) iaitu Kusial, Jedok, dan Ulu Kusial. Bilangan Penduduk Tanah Merah pada tahun 2021 dianggarkan berjumlah 152,400 orang yang terdiri daripada bumiputera (96.1%), Cina (3%), India (0.3%) dan lain-lain kaum (6%). Lebih kurang 70% penduduk di Jajahan Tanah Merah tertumpu di Bandar Tanah Merah.
Perkhidmatan kesihatan di Bandar Tanah Merah yang bermula pada tahun 1960 an disediakan oleh Pusat Kesihatan Kecil Pohon Tanjung di Jalan Tanah Merah –Pasir Mas bagi rawatan pesakit luar dan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak di Jalan Klinik bagi perkhidmatan kesihatan ibu dan anak. Bermula tahun 1986, perkhidmatan pesakit luar telah berpindah ke Hospital Tanah Merah sepenuhnya. Perkhidmatan kesihatan pergigian telah bermula pada tahun 1972 di Klinik Kesihatan Ibu Anak Tanah Merah.
Pejabat Kesihatan Daerah Tanah Merah yang ada sekarang telah dibina pada tahun 1990 berpindah dari tempat asal Pusat Latihan Kesihatan dan sekarang dijadikan Klinik Kesihatan Tanah Merah dan mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 1993 dan seterusnya bertukar menjadi salah satu Pusat Tanggungjawab (PTJ) kesihatan bagi Negeri Kelantan.
Anggota kesihatan yang bertugas pada waktu permulaan dibuka adalah sekitar 200 anggota bagi keseluruhan PKD Tanah Merah dan beroperasi pada waktu itu dalam serba kekurangan. Kini, anggota kesihatan di bawah PKD Tanah Merah adalah seramai hampir 500 orang yang memberi perkhidmatan kesihatan di klinik desa, klinik komuniti, klinik kesihatan dan juga di pejabat kesihatan.