Negeri Terengganu merupakan negeri yang terletak di Pantai Timur semenanjung Malaysia berkeluasan 12, 955 km2. Negeri Terengganu mempunyai lapan daerah iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Maran, Dungun, dan Kemaman. Negeri Terengganu mempunyai keunikan dan keistimewaan khazanah alam, masyarakat, budaya dan bahasa yang tersendiri. Hal ini terbukti apabila keunikan dan keistimewaan bahasa tempatan negeri Terengganu, khususnya dialek Melayu Terengganu, telah menarik perhatian ramai, termasuk ahli linguistik dari dalam dan luar negara, yang memberi fokus kepada kajian dialektologi. Menurut Mahsun, 1995, dialektologi merupakan ilmu tentang dialek atau cabang dari linguistik yang mengkaji perbezaan isolek dengan memperlakukan perbezaan tersebut secara utuh. Di Terengganu, antara dialek yang menarik untuk dikaji ialah dialek Hulu Terengganu. Varian Hulu Terengganu (VHT) antara varian dialek Terengganu yang dituturkan oleh penutur Melayu Terengganu di kawasan Hulu Terengganu. Bentuk fizikal geografi daerah Hulu Terengganu yang berbukit bukau ini menunjukkan bahawa daerah ini menyimpan khazanah alam yang tidak ternilai harganya. Tambahan pula, penemuan artifak paling bersejarah tenang bukti perkembangan bahasa Melayu di Hulu Terengganu iaitu artifak batu bersurat di Kuala Berang.
“The specimens of Ulu Trengganu speech which are given reveal striking dissimilarity, not only
in pronunciation but also in diction.” (Brown, 1935)
Berdasarkan petikan yang dinyatakan oleh Brown, ciri pertuturan Hulu Terengganu menjadi salah satu sebab kawasan ini menjadi kawasan popular dalam kalangan ilmuan luar dan tempatan membuat kajian penyelidikan dialektologi berhubung dialek Melayu Terengganu. Misalnya, pengkaji tempatan seperti Abdullah Junus (1976) yang menganalisis tentang aspek-aspek fonologi dan leksikal secara khusus di daerah Ulu Telemong, Hulu Terengganu manakala pengkaji dialek luar negara terkenal iaitu Collins J.T. (1983) telah meneroka kajian dialek Ulu Terengganu dan juga beberapa kawasan lain di daerah dan mukim negeri Terengganu juga. Lantaran itu, bagi meneruskan penerokaan bidang kajian kepada kepelbagaian perspektif, pengkaji telah mengambil inisiatif untuk memberi fokus kepada aspek keunikan dan keistimewaan dialek Hulu Terengganu. Oleh yang demikian, pengkaji memfokuskan kajian dari aspek-aspek fonologi, morfologi, dan semantik yang melibatkan pengumpulan kepelbagaian kosa kata tempatan.