Peta Negeri Sabah
Latar Belakang Negeri Sabah
Sabah ialah negeri kedua terbesar di Malaysia, terletak di utara Pulau Borneo. Ia dikenali sebagai "Negeri Di Bawah Bayu," kaya dengan keindahan alam semula jadi, kepelbagaian budaya dan biodiversiti yang luar biasa. Keluasan negeri ini kira-kira 73,904 kilometer persegi, bersempadan dengan Sarawak di barat daya, Kalimantan (Indonesia) di selatan dan Laut China Selatan serta Laut Sulu di utara dan timur. Ibu negerinya adalah Kota Kinabalu, yang juga menjadi pusat pentadbiran dan ekonomi bagi negeri ini.
Papar ialah sebuah bandar kecil yang terletak di Daerah Papar, Bahagian Pantai Barat, Sabah, Malaysia Timur. Bandar ini merupakan pusat pentadbiran bagi Daerah Papar dan terletak kira-kira 38 kilometer di selatan Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah. Papar turut termasuk dalam kawasan Greater Kota Kinabalu bersama Kota Kinabalu, Penampang, dan Tuaran. Lokasinya yang strategik menjadikan Papar destinasi persinggahan utama di Sabah, terletak di laluan tengah antara Putatan dan Kota Kinabalu di utara serta Membakut dan Beaufort di selatan. Papar juga dikenali sebagai destinasi akhir laluan North Borneo Railway, yang menyediakan pengalaman menaiki kereta api stim hybrid untuk pelancong. Bandar Papar menempatkan beberapa bangunan penting antaranya bangunan Perpustakaan Negeri Sabah cawangan Papar, pasar am, stesen kereta api, pejabat urusetia, stadium mini dan beberapa deret kedai. Antara deretan kedai ini ada yang dibina dengan papan. Kedai-kedai ini dibina pada tahun 1950-an dan 1960-an dan boleh dianggap sebagai bangunan bersejarah.
Antara pekan lain yang terletak di daerah ini termasuklah Kimanis, Bongawan dan Kinarut. Majoriti penduduk di daerah Papar merupakan masyarakat Melayu Brunei. Daerah Papar ditadbir oleh Majlis Daerah Papar yang berpusat di Pekan Papar. Daerah Papar juga dibahagikan kepada tujuh mukim yang merangkumi 81 buah kampung;
Mukim Benoni
Mukim Bongawan
Mukim Kawang
Mukim Kimanis
Mukim Kinarut
Mukim Kuala
Mukim Pengalat
Informan bagi kajian ini berasal dari Mukim Kawang, salah satu daripada tujuh mukim di Daerah Papar. Kawasan ini dipilih berdasarkan keunikannya yang berkait rapat dengan sejarah dan budaya masyarakat Melayu Brunei, yang merupakan majoriti penduduk di sini. Kampung Kawang terletak di Daerah Papar, merupakan sebuah kawasan yang unik dan kaya dengan sejarah serta tradisi tempatan. Kampung ini berada kira-kira 21 kilometer dari Pekan Papar dan 26 kilometer dari Kota Kinabalu, menjadikannya salah satu kawasan yang strategik dari segi lokasi.
Nama Kampung Kawang diilhamkan daripada buah sengkuang, yang banyak terdapat di kawasan ini pada masa dahulu. Keunikan ini memberikan identiti tersendiri kepada kampung tersebut. Selain itu, Kampung Kawang menempatkan penduduk daripada empat buah kampung yang digabungkan menjadi satu komuniti besar, menjadikannya kawasan yang kaya dengan kepelbagaian tradisi dan budaya.
Kedudukan kampung ini yang berdekatan dengan dua pusat utama, Papar dan Kota Kinabalu, menjadikannya sebuah kawasan penting dalam Mukim Kawang, yang masih mengekalkan ciri-ciri tradisional sambil berkembang seiring dengan arus pembangunan.
Sejarah Awal Kawang 1884
Daerah Kawang, di penghujung abad ke 19 adalah sebuah Wilayah Jajahan Sungai Tulin Kesultanan Brunei di bawah pentadbiran Sharif Jair Ibni Sharif Maulana Abdul Rahman. Tetapi apa yang berlaku, penduduk Kawang dari suku Bajau Samah sebenarnya bersumpah taat setia dan membayar cukai kepada Pengiran Abdul Rauf Bin Pengiran Abdul Rajit dari Karambunai, Wilayah Jajahan Sungai Tulin Mengkabong.
Daerah Kawang terletak di antara daerah Papar di sebelah Selatan dan Kinarut di sebelah Utara serta mempunyai persisiran pantai berhadapan dengan laut sepanjang 3 batu. Sungai Kawang agak sukar dilalui oleh sebarang jenis kapal pada ketika air surut kecuali perahu kecil dengan kedalaman Sungai sekitar 1 hingga 5 kaki sahaja. Apabila waktu air pasang pula kedalaman Sungai Kawang boleh mencapai sehingga 12 kaki. Sekitar setengah batu di sebelah tepi kiri Sungai Kawang terdapat sebuah rumah besar penduduk tempatan dan mempunyai jambatan panjang hingga ke sungai. Di tepi rumah tersebut ada sebiji meriam lama yang berkarat di mana kita boleh bayangkan bahawa rumah itu milik seorang ketua masyarakat zaman dulu kala yang mungkin meninggal dunia disebabkan jangkitan penyakit kolera sekitar tahun 1882.
Dalam lebih kurang, 3 batu masuk ke dalam Sungai Kawang, Sungai tersebut agak melebar umpama sebuah tasik. Di tepi sungai itu terdapat beberapa rumah penduduk tempatan yang sedang memproses serbuk garam. Dari kawasan ini dan masuk ke dalam lagi Sungai Kawang agak menyempit berliku liku dan selepas setengah batu mengayuh sampai ke kawasan lumpur landai di mana terdapat 25 buah rumah penduduk awal yg dikenali sebagai Kampung Kawang Laut. Sungai Kawang selepas itu agak sukar masuk ke dalam lagi disebabkan ada sebuah jambatan merentasi Sungai tersebut. Suku Bajau Samah yang tinggal di kawasan ini hidup berkelompok dan agak mudah mesra dengan sesiapa saja.
Sebelah kanan Kampung ini ada sebuah paya dan jika jalan terus ke hadapan akan menghala ke jalan Papar dan sebelah kiri Kampung ini menuju ke Kinarut dengan suasana dan pandangan bukit bukau Ulu Papar di bahagian belakangnya. Kampung Kawang Ulu terletak beberapa jam perjalanan kaki dari Kampung Kawang Laut dan terdapat lebih kurang 50 buah rumah penduduk tempatan. Pengiran Abdul Rauf mengutip cukai kepala terhadap semua penduduk Kawang dan Syarif Jair dari Putatan wakil Sultan Brunei cuma mengutip cukai dari beberapa Kampung Suku Dusun di sebelah pedalaman.
Suku Bajau Samah Kawang di zaman itu merupakan golongan yg agak miskin dan yg tertindas menyebabkan ada antara mereka terpaksa mencari apa saja pekerjaan sehingga di Papar untuk menampung kehidupan yg amat susah dan perit. Mereka cuba mengelak sama sekali agar tidak menbuat sebarang masalah atau persengketaan di Kinarut disebabkan Suku Dusun Kinarut terkenal akan menyerang balas serta merta. Pengambilan Wilayah Kawang pada 20.2.1885 dari Sharif Jair, telah di lakukan secara paksa dengan alasan bahawa kawasan tersebut tidak mematuhi sebarang peraturan serta undang undang dan perlu di tadbir oleh pihak kompeni.
Tetapi dalam catatan dalaman pihak kompeni pula, sebenarnya pengambilan Daerah Kawang dari pentadbiran Wilayah Jajahan, Kesultanan Brunei adalah tidak digalakkan dari sudut ekonomi kerana daerah Kawang agak sukar menghasilkan pungutan cukai kepala, cukai kastam dan hasil dari royalti kerana jumlah keseluruhan cukai yang di kutip cuma sekitar $350 setahun.
Bajau Samah adalah gelaran etnik yang diberikan kepada suku kaum Bajau yang menetap di kawasan barat Sabah. Majoriti suku ini boleh ditemui di Kota Belud, Tuaran, Likas, Petagas, Putatan, Ketiau, Kinarut, Beringgis, Kawang, Pengalat Besar, Pengalat Kecil di Papar, sehingga ke Kota Ayangan, Keningau. Secara umumnya, gelaran Samah menjadi sinonim dengan kaum Bajau Pantai Barat, sehingga mereka sendiri merujuk kepada kumpulan mereka sebagai Bajau Samah untuk mengelompokkan kumpulan etnik penutur dialek Samah Pantai Barat di Sabah.
Dialek ini mencerminkan identiti budaya masyarakat Bajau Samah dan kaya dengan ciri linguistik tersendiri dari segi sebutan, kosa kata, dan intonasi. Menurut Omar (2012), dialek ini bukan sekadar alat komunikasi harian, tetapi juga memainkan peranan penting dalam seni tradisional seperti tarian Igal-Igal dan dalam upacara adat. Kajian terhadap dialek ini membantu melestarikan warisan budaya, memahami sejarah masyarakat Bajau Samah dan memastikan generasi muda terus mengenali serta menghargai identiti bahasa dan budaya mereka.
Kebanyakan masyarakat Bajau menetap di 5 daerah seperti gambar rajah di atas. Walaupun kelima-lima daerah ini menggunakan dialek Bajau Samah, terdapat perbezaan dari segi sebutan, kosa kata dan intonasi bergantung kepada daerah masing-masing. Sebagai contoh, di Papar, sebutan bunyi cenderung lebih lembut dan santai, manakala di Kota Belud, dialek Bajau Samah lebih tegas dan mempunyai pengaruh kuat daripada bahasa Dusun. Di Tuaran, dialeknya sedikit berbeza kerana dipengaruhi oleh masyarakat Kadazan, manakala di Lahad Datu, terdapat unsur pinjaman daripada bahasa Suluk dan Bajau Laut.
Metodologi kajian ini menggunakan pendekatan kaedah kualitatif, iaitu informan ditemu bual secara dalam talian, iaitu melalui aplikasi Google Meet. Data yang diambil daripada temu bual ini direkodkan dengan kebenaran informan bagi memastikan ketepatan maklumat yang diperoleh. Rakaman temu bual kemudiannya ditranskrip untuk dianalisis dan dikategorikan mengikut tema yang berkaitan dengan kajian.
Proses analisis data dilakukan secara teliti dengan menumpukan kepada aspek fonologi, morfologi dan semantik. Dalam analisis fonologi, ciri-ciri bunyi bahasa seperti sebutan dan intonasi dikenal pasti untuk mengesan variasi atau keunikan dalam dialek yang digunakan. Bagi analisis morfologi, struktur kata termasuk imbuhan, kata dasar dan proses pembentukan kata dianalisis bagi memahami sistem morfologi yang terdapat dalam dialek tersebut. Sementara itu, analisis semantik memberi tumpuan kepada makna dan interpretasi ujaran, termasuk konotasi dan penggunaan konteks dalam komunikasi.
Kaedah ini memastikan pengumpulan data yang sistematik dan terperinci, sekali gus memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai ciri fonologi, morfologi, dan semantik dalam dialek yang dikaji.
Pengguguran Bunyi Vokal dan Konsonan
Penggantian Bunyi Vokal dan Konsonan
Penambahan Bunyi Vokal dan Konsonan
Tiada Penggunaan Imbuhan
Salah satu perbezaan utama yang mencirikan morfologi Bahasa Bajau Samah ialah ketiadaan imbuhan standard yang lazim dalam Bahasa Melayu Standard dan berlaku perubahan penuh pada struktur dan bentuk sesuatu kata itu.
Bahasa Bajau Samah memperlihatkan keunikan perbendaharaan kata yang tidak hanya berfungsi secara linguistik tetapi juga memainkan peranan dalam memelihara identiti etnik.
Nama : Normalah binti Ag Nasrudin
Umur : 52 tahun
Jantina : Perempuan
Pekerjaan : Pembantu Tadbir
Asal : Kampung Kawang, Papar
Tempoh Mastautin : 52 tahun
Jenis Penceritaan: Keluarga (Latar Belakang Adik-Beradik)
Transliterasi Penceritaan berdasarkan Dialek Bajau Samah
Transliterasi Penceritaan berdasarkan Dialek Bajau Samah
Secara keseluruhannya, fonologi Bahasa Bajau Samah memberikan gambaran yang kompleks dan mendalam tentang variasi bunyi yang mencerminkan dinamika budaya dan sosial dalam kalangan penuturnya. Keunikan fonologi ini bukan sahaja memperkayakan cara komunikasi, tetapi turut mencerminkan aspek identiti bersama masyarakat Bajau yang berkait rapat dengan warisan bahasa mereka.
Morfologi Bahasa Bajau Samah menunjukkan ciri linguistik yang sederhana namun kaya dengan nilai budaya, menjadikannya topik yang menarik dalam kajian bahasa minoriti. Struktur morfologi bahasa ini bukan sahaja mencerminkan perkembangan linguistik dari masa ke masa, tetapi juga berperanan sebagai gambaran terhadap fungsi sosial dan keperluan budaya yang membentuk kehidupan penuturnya. Kepelbagaian ciri morfologi ini turut memperlihatkan keupayaan bahasa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran sosial dan budaya masyarakat Bajau.
Manakala semantik Bahasa Bajau Samah di Sabah memberikan analisis yang mendalam tentang cara masyarakat Bajau menyusun makna perkataan dalam bahasa mereka. Bahasa Bajau Samah bukan sekadar alat komunikasi, tetapi juga menjadi medium utama untuk mengekspresikan konsep budaya, pandangan hidup, dan hubungan sosial melalui pilihan perkataan dan makna yang tersirat. Setiap elemen semantik dalam bahasa ini mencerminkan falsafah dan identiti budaya masyarakat Bajau, menjadikannya bidang kajian penting dalam linguistik minoriti.