LAGU PENGENALAN UNTUK NEGERI MELAKA YANG MENCERITAKAN MASYARAKAT DAN BUDAYA NEGERI MELAKA
KREDIT: Luncai Emas Sdn Bhd
Melaka, sebuah negeri di bahagian selatan Semenanjung Malaysia, terkenal sebagai tapak sejarah yang memainkan peranan penting dalam perkembangan tamadun Melayu. Sebagai pusat perdagangan utama pada abad ke-15, Melaka pernah menjadi empayar maritim yang berpengaruh di Asia Tenggara. Kajian dialektologi yang telah dilakukan berada di Taman Tamby Chik Karim, Masjid Tanah, Melaka. Masjid Tanah adalah sebuah bandar kecil yang terletak di daerah Alor Gajah, Melaka. Ia merupakan kawasan yang kaya dengan sejarah dan budaya, serta dikenali dengan suasana desa yang tenang. Nama "Masjid Tanah" dipercayai berasal dari masjid yang dibina di kawasan tanah tersebut pada zaman dahulu. Manakala, Alor Gajah pula salah satu daripada tiga daerah utama di negeri Melaka, terletak di bahagian utara negeri ini. Ia terkenal dengan suasana desa yang tenang serta kaya dengan sejarah dan budaya. Bandar Alor Gajah berfungsi sebagai pusat pentadbiran daerah dan menjadi tumpuan utama bagi penduduk sekitar. Seterusnya, Taman Tamby Chik Karim ini salah satu taman perumahan yang berkembang pesat dan dikelilingi oleh suasana kampung yang tenang. Taman ini dinamakan sempena Dato Tamby Chik Karim, seorang tokoh terkenal dalam sejarah tempatan, sebagai penghormatan terhadap sumbangan beliau kepada komuniti setempat.
MUZIUM SAMUDERA
KREDIT: ARAIAN Channel
MENARA TAMING SARI
KREDIT: Christopher Tan
PANTAI KLEBANG
KREDIT: Fawwaz Media
DUTCH SQUARE
KREDIT: Bihaye Ni Fitz
KAWASAN KAJIAN PENGKAJI
Dalam kajian ini, tujuan utama adalah untuk mengenal pasti dialek Melaka di kawasan kampung pengkaji. Oleh sebab kawasan kampung pengkaji berada di sempadan Negeri Sembilan sebelah utara, data yang dikutip dapat menunjukkan pengaruh dan perbezaan dialek yang wujud dalam kalangan komuniti di sekitar kawasan tersebut. Metodologi kajian ialah kualitatif, pengkaji lebih menekankan analisis naratif dan pengalaman subjektif iaitu pengumpulan data melalui pengalaman dan perspektif informan. Temu bual dilakukan di rumah informan dengan engan suasana yang santai, data yang lebih semulajadi dan relevan diperoleh. Persetujuan telah diperoleh daripada informan untuk turut serta dalam kajian ini, dan ia akan dilakukan dengan menghormati hak serta keperluan informan. Selain itu, data yang diperoleh akan dikendalikan dengan penuh kerahsiaan. Selepas temu bual, data yang dikutip akan dianalisis dengan memberi perhatian kepada ciri-ciri khas dalam pertuturan dan pemilihan kata penduduk setempat.
Cepat = Deghas/Doghéh
Pergi = Pegi/Poie
Benar = Benau
Pukul = Sesah/Titik/Dobik
Apa Khabar = Ape Kabau = Apo Koba
Sangat = Nau/Bona
Bangun = Bangkét/Bongka
Tuala Mandi = Tawel Mandi/Kénsal
Makan = Baghah/Mentedaghah
Kena = Kene/Kono
Melalui perkataan-perkataan di atas, pengkaji mendapati bahawa dialek Masjid Tanah, Melaka ini mempunyai unsur fonologi seperti pengguguran konsonan, penggantian vokal dan penggantian konsonan kepada vokal menjadi diftong.
Pengguguran konsonan.
Leksikal dialek /Pegi/ menggugurkan konsonan /r/ daripada leksikal bahasa Melayu Standard iaitu /Pergi/, rumusnya ialah r → ∅ / _ #
Penggantian Vokal.
Leksikal dialek /Pehe/ menggantikan vokal /a/ daripada leksikal bahasa Melayu Standard iaitu /Peha/ kepada vokal /e/, rumusnya ialah a→e/h_
Penggantian konsonan kepada diftong.
Leksikal dialek /Benau/ menggantikan konsonan /r/ daripada leksikal bahasa Melayu Standard iaitu /Benar/ kepada vokal /u/ menjadikan hujung leksikal diftong, rumusnya ialah r → u / a_
Melalui perkataan-perkataan di atas, pengkaji mendapati bahawa dialek Masjid Tanah, Melaka ini suka menyampaikan sesuatu leksikal itu dengan menyingkatkan perkataan. Oleh itu, proses yang berlaku ialah pengguguran suku kata. Hal ini kerana masyarakat setempat ini lebih suka menyampaikan sesuatu dengan cepat dan ringkas. Sebagai contoh:
Leksikal dialek /Kat/ yang sama maknanya dengan leksikal bahasa Melayu Standard /Dekat/. Di sini, proses pengguguran telah dilakukan dengan menggugurkan suku kata hadapan leksikal /De/. Penyampaian akan menjadi lebih ringkas dan cepat untuk pemahaman pendengar.
Contoh ayat: "Atok kau oghang Melake boto, kat Umbai sanan" - sumber temu bual informan pengkaji.
Leksikal dialek /Kopék/ diambil daripada leksikal bahasa Melayu Standard /Mengopék/. Proses pengguguran juga telah dilakukan dengan menggugurkan imbuhan awalan iaitu /Meng-/.
Contoh ayat: "Akak kopék udang tu, kejap agi nénék nak masak"
Leksikal dialek /Dokék/ digunakan sama dengan leksikal bahasa Melayu Standard /Mendekat/. Proses pengguguran imbuhan awalan telah berlaku akan tetapi leksikal dialek ini mengalami proses fonologi mengikut keunikan dialek yang digunakan setempat.
Contoh ayat: "Kau jangan duk dokék ngan die, die cekau kau nanti kang"
Melalui perkataan-perkataan di atas, pengkaji mendapati bahawa dialek Masjid Tanah, Melaka ini banyak menggunakan kata dasar lain tetapi maksud yang hampir sama dengan maksud yang ingin disampaikan. Sebagai contoh:
Leksikal dialek /Deghas/ memberi maksud /Cepat/ dalam penyampaiannya dimana leksikal dialek tersebut sebenarnya berasal daripada leksikal bahasa Melayu Standard /Deras/. Leksikal bahasa Melayu Standard ini banyak digunakan dalam mendeskripsikan aliran air yang laju seperti sungai. Walaupun sebegitu, penggunaan /Deghas/ ini sesuai digunakan di dalam dialek setempat ini untuk menyampaikan maksud laju dalam pelbagai aspek.
Leksikal dialek /Bangkét/ memberi maksud /Bangun/ dalam penyampaiannya dimana leksikal dialek tersebut sebenarnya berasal daripada leksikal bahasa Melayu Standard /Bangkit/. Leksikal bahasa Melayu Standard ini sering digunakan untuk menyampaikan maksud mengatasi kesukaran dan berada di dalam lingkungan maksud abstrak bukan perlakuan yang konkrit. Walau sebegitu, leksikal dialek ini boleh digunakan untuk menyampaikan perlakuan seperti bangun daripada tidur atau bangun daripada duduk.
Leksikal dialek /Titik/ menyampaikan maksud /Pukul/ dimana leksikal dialek tersebut sebenarnya berasal daripada leksikal bahasa Melayu Standard /Titik/. Leksikal bahasa Melayu Standard ini secara asalnya menyampaikan makna dalam penandaan berhentinya sesuatu ayat, sesuatu tanda bulat yang kecil. Penggunaan leksikal dialek ini memang tidak berkaitan langsung dengan makna sebenar leksikal asalnya, akan tetapi, penggunaan ini merujuk kepada cara perlakuannya yang sangat sederhana dan kecil.
Dialek Melaka di kawasan Masjid Tanah menunjukkan ciri-ciri linguistik yang unik hasil gabungan pengaruh dialek tempatan dan faktor sejarah serta geografi. Elemen seperti intonasi, leksikal, dan gaya pertuturan mencerminkan identiti masyarakat setempat yang kaya dengan budaya dan tradisi. Kepelbagaian ini mencerminkan hubungan antara dialek dan budaya yang terus berkembang di kalangan masyarakat Masjid Tanah, sekali gus menjadi lambang warisan yang perlu dipelihara.
INFO TAMBAHAN
LAGU KEBANGSAAN NEGERI MELAKA
KREDIT: Twin G