chin yee's Story

Kawan PNES Saya


Saya bernama Yap Chin Yee. Sejak tahun 2007 saya disahkan oleh doktor neuro saya ada penyakit epilepsi. Sejak tahun 2017 penyakit epilepsi saya amat membimbangkan. Pada tahun 2017 saya telah dicadangkan oleh doktor Lim Kheng Seang dari klinik neuro untuk menjalani satu ujian Telemetry Video EEG di hospital University. Saya masuk wad pada 25 November 2018 beberapa hari untuk pemeriksaan ujian Telemetry Video EEG. Dalam pemeriksaan Video Telemetry EEG pada tahun 2018 tersebut, episode "seizures" berlaku tetapi gelombang otak dalam situasi normal. Doktor Lim dari klinik neuro memberitahu saya bahawa saya telah menghidap sejenis "seizures" yang berpunca daripada emosi, tekanan. Penyakit saya dinamakan PNES (Psychogenic non epileptic seizures).


Emosi keresahan dan kebimbangan apabila diberitahu oleh Doktor Lim Kheng Seang dari klinik neuro bahawa saya menghidap penyakit PNES. Walaupun saya tidak dapat menerima kenyataan, tetapi saya kuatkan semangat mendengar nasihat dan cadangan daripada Doktor Lim dan bersiap sedia menerima rawatan yang akan datang.


Pada permulaan saya menerima psikoterapi di dua tempat. Salah satu di bahagian psikiatri Hospital University dan lagi satu di MMHA (Malaysian Mental Health Association). Hatiku berdebar-debar sewaktu pertama kali menghadiri psikoterapi di bahagian psikiatri Hospital University dan MMHA (Malaysian Mental Health Association).


Pekerjaan saya ialah seorang guru. Beban kerja guru amat berat. Saya tidak dapat meluangkan masa sepenuhnya untuk menghadiri psikoterapi yang disediakan, oleh itu kekerapan "seizures" semakin banyak. Disebabkan "seizures" amat membimbangkan, Doktor Lim dari klinik neuro memberi satu cuti sakit yang panjang mulai 2/4/2019 untuk menerima rawatan.


Dalam cuti sakit panjang itu saya tiap-tiap minggu menghadiri psikoterapi, kadang-kadang dua kali dalam seminggu. Senaman amat penting untuk kesihatan oleh itu saya bersenam tiap-tiap hari. Saya juga mengamalkan cara pemakanan yang sihat.


Psikoterapi yang disediakan oleh Doktor Aida Syarinaz Ahmad Adlan ialah "psychodynamic". Rawatannya amat mencabar. Setap kali selepas psikoterapi saya dan Doktor Aida pun sangat penat seperti selepas berperang dalam medan peperangan. Kadang-kadang selepas psikoterapi akan tertimbul simdrom-sindrom aura atau "seizures" berlaku. Walaupun sindrom-sindrom aura dan "seizures" berlaku tetapi saya tidak berputus asa menerima rawatan. Kesemua sindrom-sindrom berlaku adalah tanda kesembuhan.


Selepas psikoterapi daripada Doktor Aida Syarinaz Ahmad Adlan. Doktor Aida mendapati PNES saya ada hubungkait dengan trauma psikologi. Tambahan pula Doktor Aida mengesahkan saya ada penyakit "anxiety".

Perjalanan dari rumah saya ke tempat psikoterapi agak jauh. Saya tidak pernah merungut malahan kuatkan semangat menghadiri psikoterapi yang disediakan.


Selepas psikoterapi yang diberi oleh Doktor Aida dari bahagian psikiatrik Hospital University dan MMHA, penyakit PNES saya semakin baik. Ubat epilepsi pun diberhentikan. Selepas sembilan bulan Doktor Lim dari klinik neuro dan Doktor Aida dari klinik psikiatri membuat keputusan bahawa saya boleh kembali ke ruang pekerjaan.


Walaupun kembali bekerja psikoterapi perlu diteruskan. Demi lebih memulihkan PNES saya memohon “Jawatan Pool” supaya kerja diringankan dan mempunyai masa yang mencukupi menerima rawatan. Saya telah menghadiri sebuah Mesyuarat Lembaga Perubatan pada 13 Mac 2020 di Jabatan Maklumat Pesakit, Hospital University. Doktor panel terdiri daripada doktor yang tidak pernah merawat saya. Episode "seizures" terjadi pada hari Mesyuarat Lembaga Perubatan tersebut. Doktor panel memutuskan saya persaraan awal. Walaupun keputusan doktor panel adalah untuk menjaga kepentingan saya dan untuk kebaikan saya tetapi hatiku sangat sedih. Saya tidak dapat mengawal kesedihan saya, saya sering menangis sehinggakan ada keinginan bunuh diri. Saya mengetahui fikiran saya dalam keadaan tidak normal. Saya beranikan diri menghantar mesej memberitahu Doktor Lim dan Doktor Aida bahawa fikiran yang tidak sihat saya. Kebetulan masa itu ialah MCO1.0, Doktor Aida dan Doktor Lim mencadangkan saya psikoterapi atas talian. Saya mendengar nasihat yang dicadangkan oleh doktor. Walaupun terdapat banyak sindrom-sindrom aura berlaku sewaktu psikoterapi atas talian tetapi saya tidak mengalah saya teruskan usaha.


Pada bulan Jun psikoterapi atas talian diberhentikan, saya kembali psikoterapi seperti biasa. Disebabkan banyak rintangan dan masalah dalam menguruskan borang persaraan awal. Situasi tekanan yang tinggi menyebabkan PNES dan aura sering berlaku.


Pada 7 Oktober 2020 saya menerima psikoterapi daripada seorang pakar klinikal psikologi yang pernah menjadi pelatih psikoterapi dan pernah memberi psikoterapi kepada saya semasa di MMHA. Namanya Grace Lim Shinn Yee, dia sanggup mengorbankan masannya untuk merawat penyakit PNES saya.


Rawatan untuk PNES bukan satu perkara yang mudah. Dalam rawatan PNES melibatkan tiga pihak iaitu Doktor Lim Kheng Seang dari klinik neuro, Doktor Aida Syarinaz Ahmad Adlan dari klinik psikiatrik, pelatih psikoterapi atau pakar klinikal psikologi. Walaupun perjalanan mengubati PNES menghadapi banyak rintangan dan masalah. Dengan adannya usaha kami beberapa pihak,k ami berjaya mengatasi dan menangani PNES. PNES sudah lima bulan tidak berlaku. Saya sangat terharu pengorbanan doktor yang diberikan.


Dalam sepanjang perjalanan mengubati penyakit PNES, wujudlah satu perasaan dalam hatiku iaitu Doktor Lim seperti ayah, Doktor Aida seperti ibu, Grace seperti kakak. Saya sentiasa mendengar nasihat mereka.


Mental dan fizikal saya semakin sihat. Saya semakin pandai hidup harmoni dengan kawan PNES saya. Jasa dan budi Doktor Lim Kheng Seang, Doktor Aida, pelatih psikoterapi, pakar klinikal psikologi, amat saya hargai. Saya akan kuatkan semangat memimpin anak yang ada masalah pembelajaran bersama-sama menuju ke arah hadapan.


By Yap Chin Yee

March 2021