ayuni's Story

Epilepsi Mengubah Hidupku Dalam Sekelip Mata



Aku hanyalah seorang gadis biasa yang ingin mencecah umur 24 tahun. Pada usia aku 13 tahun aku telah disahkan oleh doktor bahawa aku menghidap epilepsi dan dalam sekelip mata hidup aku berubah. Pada awalnya aku tak boleh terima semua ni dan aku selalu anggap yang ini semua hanyalah mimpi. Aku sentiasa menyalahkan takdir kenapa penyakit ni perlu muncul di saat aku baru nak memasuki alam remaja di mana di usia inilah aku nak mengejar cita-cita, membina masa depan aku, mengenal dunia luar. Hanya disebabkan satu penyakit yang sampai sekarang tidak diketahui puncanya, zaman remaja aku berubah dalam sekelip mata.


Semua orang dekat sekolah tak nak berkawan dengan aku dan aku selalu diejek "budak sawan". Perkataan tu ibarat perkataan wajib yang aku perlu dengar setiap hari aku di sekolah. Aku langsung tak boleh terlibat dalam apa saja aktiviti di sekolah lebih lebih lagi aktiviti lasak. Aku tak pernah ada keyakinan dalam diri aku dalam apa keadaan sekalipun. Aku sentiasa berhadapan dengan situasi yang akhirnya akan memalukan diri aku sendiri dimana satu hari di sekolah sewaktu guru tengah mengajar aku diserang sawan dan masa tu semua orang tengok aku dengan pandangan yang pelik. Ada yang risau,ada yang menyindir dan ada yang ketawakan aku. Masa itu sudah tidak ada perasaan lain melainkan rasa malu yang teramat sangat. Sejak kejadian itu, aku sampai tak nak datang sekolah sebab tak sanggup nak menahan malu tapi memikirkan itu adalah tahun penting untuk aku dimana aku akan mengambil SPM jadi aku terpaksa lawan perasaan malu dan kuatkan diri. Dengan dorongan guru dan juga keluarga aku kuatkan diri.


Tapi dugaan aku tak terhenti di situ kerana pada hari pertama aku ingin ke sekolah untuk mengambil peperiksaan SPM sekali lagi aku diuji. Aku kena sawan di rumah dan kalau ikutkan memang keadaan aku sangat lemah dan aku tak larat langsung untuk datang peperiksaan tapi memikirkan aku tak nak ambil sorang-sorang jadi aku kuatkan diri datang walau dalam keadaan yang tak stabil dan Alhamdulilah aku berjaya hinggalah ke hari yang terakhir. Setelah habis sekolah aku ibarat orang yang tiada arah tujuan. Dengan keadaan aku yang semakin teruk dan kerap diserang sawan, hospital ibarat rumah kedua aku. Keluar masuk hospital dah biasa untuk aku. Jarum dah sebati dalam diri aku begitu juga dengan jururawat dan doktor yang merawat aku. Mereka seolah olah sudah tahu jika nampak aku di hospital. Pada awalnya bila doktor di Kuantan inginkan aku untuk membuat rawatan dengan lebih teliti di hospital Kuala Lumpur, aku tiada pilihan melainkan setuju dengan cadangan tersebut walaupun sebenarnya aku tak nak buat.


Bila fikirkan keluarga aku yang nak sangat tengok aku sembuh maka aku setuju. Bermulalah kehidupan baru aku bila hampir setiap bulan aku perlu ke Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan dan selama itulah aku perlu mengambil ubat setiap hari. Pada awalnya aku masih boleh bersabar tapi lama kelamaan tahap kesabaran aku hilang bila dah masuk beberapa tahun aku buat rawatan tapi masih takde apa-apa perubahan pada diri aku. Aku sampai menangis sambil berkata apa guna aku teruskan rawatan kalau keadaan aku masih juga sama? Aku makan ubat setiap hari selama bertahun tahun tapi aku masih kena sawan. Apa gunanya aku pergi hospital kalau aku kena dengar ayat yang sama keluar daripada mulut doktor sampai dah hafal apa yang doktor akan cakap dekat aku. "Ok buat masa sekarang awak teruskan makan ubat nanti pada rawatan seterusnya kita akan tengok macam mana". Dari umur aku 13 tahun hingga sekarang 24 tahun aku kena dengar ayat yang sama. Aku sampai dah nak putus asa hingga pernah cakap dengan mak ayah aku yang aku tak nak teruskan dengan rawatan yang sia-sia untuk aku dan aku cakap dengan doktor kalau tidak ada apa yang boleh tolong aku tak perlulah teruskan lagi rawatan ni.


Sakit ini sentiasa buatkan aku benci dengan diri aku sendiri dan sentiasa marah kenapa aku mesti jadi macam ini? Aku cuma nak ada kehidupan yang bahagia macam orang lain. Aku selalu berkata disebabkan sakit ni aku terpaksa korbankan semua benda yang aku suka! Aku tidak ada kawan disebabkan kau! Aku tak dapat sambung belajar pun disebabkan kau! Aku susah untuk minta kerja disebabkan kau! Semuanya disebabkan penyakit Epilepsi! Aku tak dapat buat apa-apa untuk banggakan keluarga aku sendiri. Aku terpaksa simpan semua yang aku rasa ni sendiri sebab aku tahu kalau aku cerita pun belum tentu orang dapat faham termasuk keluarga aku sendiri sebab diorang tak duduk di tempat aku dan tak rasa apa yang aku rasa.


Jadi itulah sedikit sebanyak apa yang aku lalui dari awal aku kena sawan hingga sekarang. Sejujurnya sepanjang aku menulis kisah aku ini, tanpa aku sedar air mata aku mengalir laju bila terpaksa kenangkan perkara yang aku sendiri memang dah tak nak ingat. Alhamdulilah, hidup aku sekarang jauh lebih baik dari sebelumnya. Rupanya baru aku sedar yang aku tak keseorangan tapi aku sentiasa dikelilingi keluarga yang sentiasa memberi sepenuh perhatian pada aku dan banyak memberi aku semangat. Disebabkan mereka aku kembali semangat untuk meneruskan rawatan dan kini sudah setahun aku tidak kena serangan sawan.

Berkat kesabaran selama 11 tahun akhirnya aku nampak perubahan positif pada diri aku. Memang tak dinafikan pada awalnya kita akan rasa lemah dan susah nak terima sesuatu yang kita tak duga dalam sekelip mata tapi janganlah jadikan itu semua sebagai pengakhiran hidup kita. Kita memang akan perlukan masa untuk terima semua tu. Percayalah sabar itu sesuatu keajaiban. Buatlah sesuatu yang kita suka dan sentiasa ingat ada orang lain yang lebih teruk diuji berbanding kita. Apapun saya seronok dapat luahkan kisah saya yang tak pernah saya ceritakan pada sesiapa tapi bila saya dapat luahkan dalam persatuan ini dimana orang yang ada di dalam ni kebanyakkannya mengalami masalah yang sama seperti saya dan mungkin lebih faham apa saya rasa.



By Ayuni Adam

February 2022