JABATAN PENERANGAN MALAYSIA SARAWAK
“Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Peribahasa ini menggambarkan pentingnya pembentukan nilai dan keperibadian sejak awal bagi melahirkan generasi yang kukuh jati diri. Dalam konteks pengisian kemerdekaan, belia bukan sekadar pewaris, tetapi pencorak masa depan negara yang perlu dibentuk dengan nilai, ilmu dan rasa tanggungjawab.
Kemerdekaan yang diwarisi perlu diteruskan melalui tindakan yang membawa kemajuan, memperkukuh perpaduan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat. Dengan kreativiti, keberanian dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan, belia mempunyai potensi besar untuk merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI melalui lima citra utama, iaitu berjati diri, berilmu dan berfikiran kritis, menjadi penyatu masyarakat, pencipta diri serta pemimpin masa depan.
Belia Berjati Diri
Jati diri merupakan asas kepada pembentukan generasi yang teguh prinsip dan pendiriannya. Dalam dunia yang semakin terbuka, belia terdedah kepada pelbagai pengaruh, budaya dan pemikiran dari seluruh dunia. Keterbukaan ini memberikan peluang untuk menimba pengetahuan, namun pada masa sama menuntut kebijaksanaan untuk memilih perkara yang baik tanpa kehilangan identiti sendiri.
Menghayati kemerdekaan juga bermakna mengenang jasa dan pengorbanan pejuang terdahulu yang menjadi asas kepada pembentukan negara. Belia perlu mengenali sejarah perjuangan kemerdekaan agar tidak melihat kebebasan yang dinikmati hari ini sebagai sesuatu yang datang tanpa pengorbanan. Penghayatan sejarah dapat menyemai rasa syukur, cinta akan negara dan tanggungjawab untuk mempertahankan keharmonian yang telah dibina.
Belia berjati diri ialah mereka yang mempunyai integriti, disiplin, adab dan rasa tanggungjawab. Penghayatan terhadap prinsip Rukun Negara juga penting dalam membentuk nilai tersebut. Kelima-lima prinsipnya bukan sekadar untuk dihafal, tetapi perlu
diterjemahkan dalam kehidupan melalui kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada Raja dan Negara, keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan.
Semangat patriotisme turut dizahirkan melalui penghormatan terhadap simbol kebangsaan. Belia perlu memahami dan menghormati lagu Negaraku serta Jalur Gemilang sebagai lambang identiti, kedaulatan dan perpaduan negara. Penghormatan terhadap simbol kebangsaan bukan sekadar amalan ketika majlis rasmi, sebaliknya mencerminkan rasa bangga dan kecintaan terhadap tanah air.
Penghayatan terhadap kemerdekaan juga perlu dizahirkan melalui penglibatan aktif dalam aktiviti kenegaraan dan khidmat masyarakat. Penyertaan dalam sambutan bulan kebangsaan, program patriotik, aktiviti kemasyarakatan dan kerja sukarela bukan sahaja menyemarakkan semangat cintakan negara, malah membentuk belia yang prihatin terhadap keperluan masyarakat. Melalui penglibatan sedemikian, belia dapat memahami bahawa kemerdekaan bukan sekadar hak untuk menikmati kebebasan, tetapi amanah untuk menyumbang kepada kesejahteraan negara.
Belia Berilmu dan Berfikiran Kritis
Ilmu menjadi kekuatan utama dalam membentuk belia yang mampu menghadapi dunia yang kompleks. Pada hari ini, generasi muda mempunyai akses kepada maklumat yang luas melalui teknologi digital. Namun, banyaknya maklumat tidak semestinya menjadikan seseorang lebih berilmu.
Cabaran sebenar ialah keupayaan menilai kesahihan maklumat, memahami konteks dan membezakan fakta daripada pandangan. Justeru, belia perlu membudayakan pemikiran kritis dengan menyemak sumber, menilai bukti dan membuat pertimbangan sebelum mempercayai atau menyebarkan sesuatu maklumat.
Keupayaan ini semakin penting dalam menghadapi berita palsu, manipulasi maklumat, kandungan mengelirukan serta perkembangan kecerdasan buatan. Belia perlu menjadi pengguna teknologi yang bijak, bukan sekadar pengguna yang pantas. Pada masa sama, ilmu
perlu diterjemahkan kepada tindakan melalui penguasaan kemahiran teknologi, komunikasi, teknikal, keusahawanan dan bidang profesional yang dapat meningkatkan daya saing.
Belia Penyatu Masyarakat
Kepelbagaian kaum, agama, budaya dan latar belakang merupakan kekuatan yang membentuk identiti Malaysia. Dalam konteks ini, belia perlu tampil sebagai generasi yang merapatkan perbezaan dan memperkukuh perpaduan.
Perpaduan tidak cukup sekadar dilaungkan ketika sambutan tertentu. Ia perlu diterjemahkan melalui sikap saling menghormati, memahami perbezaan dan kesediaan untuk hidup bersama secara harmoni. Penglibatan belia dalam aktiviti kemasyarakatan, kesukarelawanan, kebudayaan dan sukan dapat membuka lebih banyak ruang interaksi antara komuniti.
Peranan tersebut turut penting dalam ruang digital. Media sosial boleh menjadi platform yang menyatukan masyarakat, tetapi juga boleh menjadi punca perpecahan sekiranya digunakan untuk menyebarkan kebencian, fitnah dan provokasi. Belia perlu memilih untuk menjadi penyebar mesej yang membina dan menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat.
Belia Pencipta Diri
Dunia yang berubah pantas menuntut belia supaya tidak hanya menunggu peluang, tetapi berani mencipta peluang. Citra belia sebagai pencipta diri membawa maksud generasi muda yang mengenal potensi, membina kemahiran dan berani menentukan hala tuju kehidupan sendiri.
Keusahawanan, inovasi, ekonomi digital dan industri kreatif menyediakan ruang yang luas untuk belia mencipta nilai. Mereka boleh membina perniagaan, menghasilkan kandungan, mencipta produk atau mengembangkan kemahiran yang sesuai dengan keperluan ekonomi masa kini.
Namun, penciptaan diri bukan hanya tentang kejayaan semata-mata. Ia juga berkaitan dengan keberanian untuk keluar daripada zon selesa, belajar daripada kegagalan dan sentiasa
memperbaiki diri. Belia yang mampu mencipta diri tidak mudah menyerah kepada keadaan, sebaliknya berusaha membina masa depan dengan kemampuan sendiri.
Belia Pemimpin Masa Depan
Setiap pemimpin masa depan bermula dengan kemampuan memimpin diri sendiri. Kepimpinan tidak semestinya bermula dengan jawatan, sebaliknya melalui keberanian mengambil tanggungjawab, membuat keputusan dan memberi pengaruh positif kepada orang lain.
Belia perlu diberikan ruang untuk memimpin dalam pelbagai bidang, sama ada komuniti, pendidikan, kesukarelawanan, keusahawanan, sukan, organisasi mahupun bidang profesional. Pengalaman tersebut dapat membentuk keyakinan, kemahiran komunikasi, kebolehan bekerja dalam pasukan dan kesediaan memikul amanah.
Namun, pemimpin masa depan bukan hanya perlu berani. Mereka perlu mempunyai integriti, empati, kebijaksanaan dan keupayaan mendengar. Belia hari ini bakal mengisi pelbagai ruang kepimpinan negara pada masa hadapan. Oleh itu, pembinaan kepimpinan perlu bermula sekarang melalui pengalaman, nilai dan keberanian untuk menyumbang.
Akhir kalam, “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Begitulah juga dengan masa depan negara yang tidak akan terbina tanpa usaha dan kesungguhan generasi mudanya. Kelima-lima citra yang diketengahkan iaitu jati diri, ilmu dan pemikiran kritis, perpaduan, keupayaan mencipta diri serta kepimpinan saling melengkapi dalam membentuk belia yang mampu mengisi kemerdekaan dengan makna yang lebih besar.
Kemerdekaan yang diwarisi perlu diteruskan dengan tindakan kerana belia bukan sekadar pewaris masa depan Malaysia, tetapi pencipta masa depan negara.
Oleh: Muhammad Izzat Muzaqeer bin Zamri
KUCHING, 3 September — Kerajaan Sarawak terus memperkasa penyertaan kontraktor Bumiputera dalam agenda pembangunan negeri, seiring peralihan kepada ekonomi hijau, tenaga boleh baharu dan sektor berasaskan teknologi yang menawarkan peluang baharu kepada industri tempatan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, berkata transformasi sektor pembinaan merupakan sebahagian daripada agenda pembangunan negeri yang lebih menyeluruh, meliputi pembangunan infrastruktur, tenaga boleh baharu, ekonomi hijau, teknologi digital serta peningkatan nilai sumber Sarawak.
Beliau berkata pembangunan ekonomi negeri kini dilaksanakan dengan memberi perhatian terhadap keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar, termasuk melalui pengembangan tenaga hidro, solar dan biojisim serta penerapan teknologi waste-to-energy.
“Dalam kita menguruskan ekonomi kita, dengan kekuatan yang ada pada kita untuk kita menyelaraskan keseimbangan daripada pembangunan dan juga alam sekitar, sebab itu kita menuju ke arah green economy berteraskan kepada tenaga yang boleh diperbaharui,” katanya ketika merasmikan Majlis Makan Malam dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Cawangan Negeri Sarawak Kali Ke-27 Tahun 2026 di sini, malam tadi.
Menurut Abang Johari, perkembangan sektor tenaga dan teknologi hijau, termasuk penerokaan perdagangan karbon serta teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), menyediakan ruang kepada kontraktor tempatan untuk memperluas kepakaran daripada pembinaan konvensional kepada bidang berteknologi tinggi dan industri masa hadapan.
Beliau turut menyarankan PKMM memainkan peranan lebih proaktif dalam membangunkan kapasiti kontraktor Bumiputera, khususnya dari aspek kemahiran pembinaan, penguasaan teknologi baharu, pengurusan perniagaan dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan landskap industri.
Majlis turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara PKMM Sarawak dengan Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sarawak.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, Datuk Ir. Yusuf Abd Wahab, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo, Presiden PKMM, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz, Naib Presiden PKMM, Dato’ Ismail Suut dan Presiden Kehormat Seumur Hidup Dewan Perdagangan dan Perindustrian Sarawak (SCCI), Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg. - PENERANGAN -
-TAMAT-
Disediakan oleh: Mohamad Munir (BMKK)
Foto: Bolhan Haji Basah (BKVS)
KUCHING, 3 September - Jurutera memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan Sarawak dalam memastikan pembangunan negeri dilaksanakan secara mampan, berdaya tahan dan inklusif selaras dengan keperluan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, berkata pembangunan Sarawak kini memasuki fasa baharu yang mengintegrasikan aspek infrastruktur, tenaga, teknologi, alam sekitar dan pembangunan bakat manusia.
Menurut beliau, menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, Sarawak memberi tumpuan kepada tiga matlamat utama iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Katanya, peranan jurutera bukan terhad kepada pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, sistem bekalan air, elektrik dan telekomunikasi, malah turut merangkumi usaha memastikan kemudahan tersebut dapat memperluas akses masyarakat kepada pendidikan, kesihatan serta peluang ekonomi.
“Dalam sektor tenaga, hidro akan kekal sebagai tulang belakang campuran tenaga Sarawak, di samping usaha meneroka sumber tenaga solar, bio tenaga, hidrogen, teknologi penyimpanan tenaga dan penyelesaian rendah karbon,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan pembangunan bakat tempatan bagi memastikan Sarawak mempunyai tenaga mahir yang mampu mengadaptasi teknologi baharu serta menghasilkan penyelesaian inovatif yang bersesuaian dengan keperluan negeri.
Sehubungan itu, katanya, Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) merupakan antara inisiatif kerajaan dalam menyediakan anak Sarawak dengan ilmu dan kemahiran yang diperlukan bagi menghadapi ekonomi masa depan, selain membuka peluang kepada mereka memperoleh pendedahan di peringkat antarabangsa.
Abang Johari turut menyifatkan Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP) sebagai platform penting dalam menghubungkan jurutera Sarawak dengan institusi profesional, industri serta komuniti kejuruteraan di rantau Asia Pasifik.
Menurut beliau, jaringan tersebut berpotensi memperkukuh kerjasama dalam bidang penyelidikan, pelaburan, inovasi dan pembangunan bakat kejuruteraan, katanya ketika berucap pada Majlis Pembukaan Perhimpunan Agung Ke-34 Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP) di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Perhimpunan berkenaan menghimpunkan wakil daripada 25 ekonomi anggota FEIAP dari rantau Asia dan Pasifik bagi membincangkan perkembangan serta kerjasama dalam bidang kejuruteraan.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Presiden FEIAP, Profesor Dr Aung Kyaw Myat, Presiden Institusi Jurutera Malaysia (IEM), Ir Yau Chau Fong; Pengarah Unit Diplomasi Iklim dan Tenaga Sarawak (SACED) merangkap Pengerusi IEM Sarawak dan Pengerusi Penganjur FEIAP 2026, Ir Dr Angelia Liew San Chuin serta tetamu kenamaan lain.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Eddie Alan (BKVS)
BELAGA, 3 September - Pelaksanaan projek di bawah Rural Transformation Projects (RTP) di kawasan Belaga terus diberi keutamaan berdasarkan analisis keperluan dan kepentingan masyarakat setempat bagi memastikan setiap peruntukan yang disalurkan memberikan manfaat serta impak yang jelas kepada komuniti.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.65 Belaga, Datuk Liwan Lagang, berkata penentuan keutamaan projek dibuat berdasarkan analisis oleh Pejabat Residen dan Pejabat Daerah dengan mengambil kira keperluan serta permohonan yang dikemukakan oleh masyarakat.
Menurut beliau, peruntukan RTP sebanyak RM5 juta setahun perlu diuruskan secara berhemah berikutan jumlah permohonan yang diterima melibatkan pelbagai keperluan penduduk.
“Dengan peruntukan RM5 juta setahun, kita mempunyai banyak permohonan untuk dipertimbangkan. Sebab itu kita perlu melihat kepada keutamaan dan keperluan yang dikenal pasti melalui analisis Pejabat Residen dan Pejabat Daerah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ruai Komuniti Uma Kayan Long Amo, di sini.
Datuk Liwan berkata, walaupun peruntukan yang tersedia adalah terhad, kerajaan tetap komited memastikan manfaat pembangunan melalui RTP dapat diperluaskan kepada semua kampung secara berperingkat.
“Walaupun peruntukan kita terhad dan permohonan yang diterima banyak, fokus kita adalah supaya semua kampung mendapat peluang untuk menikmati pembangunan melalui RTP. Kita mahu manfaat daripada peruntukan ini dapat dirasai oleh masyarakat secara menyeluruh,” katanya.
Menurut beliau, pembangunan kemudahan awam seperti Ruai Komuniti Uma Kayan Long Amo membuktikan bahawa RTP memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur yang memenuhi keperluan sebenar masyarakat setempat.
Katanya, kemudahan tersebut bukan sahaja menyediakan ruang yang lebih selesa untuk pelbagai aktiviti komuniti, malah berperanan mengeratkan hubungan serta memperkukuh interaksi dalam kalangan penduduk.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam meneruskan pelaksanaan RTP sebagai salah satu instrumen penting bagi memperkasa pembangunan di kawasan luar bandar.
Beliau berkata, penyediaan kemudahan awam yang lebih baik merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh tanpa mengira lokasi.
Terdahulu, Pegawai Daerah Belaga, Bidah, berkata RTP merupakan antara komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan turut dinikmati masyarakat di kawasan luar bandar, termasuk komuniti di rumah panjang.
Menurut beliau, cadangan projek RTP seperti kemudahan asas dan infrastruktur dikemukakan melalui permohonan daripada ketua-ketua kaum sebelum direkodkan dalam data bank pembangunan projek di Pejabat Daerah.
Katanya, senarai tersebut kemudiannya menjadi rujukan dalam bengkel pemilihan projek yang melibatkan Pejabat Daerah, Pejabat Residen, wakil rakyat serta agensi teknikal berkaitan.
“Setiap cadangan yang kita terima akan dimasukkan dalam data bank pembangunan projek. Namun, tidak semua permohonan dapat dilaksanakan pada tahun yang sama kerana pemilihan dibuat berdasarkan keutamaan dan pelbagai aspek yang perlu dipertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata, proses cabutan undi turut diusahakan untuk dilaksanakan dengan lebih kerap, termasuk hampir setiap bulan, bagi mempercepatkan proses pemilihan dan pelaksanaan projek serta memastikan manfaat pembangunan dapat disampaikan kepada masyarakat.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Evelyn Lungan Ajang (JAPEN Belaga)
Foto: Clarence Chin (JAPEN Belaga)
KUCHING, 3 Sept – Pengurusan tertinggi Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) tiba di Kuching hari ini bagi meneruskan persiapan dan penyelarasan berhubung penganjuran Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026.
Ketua Pengarah JAPEN, Erwin Khairul Ahmad, bersama Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik), Rubaayah Osman, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada jam 3.35 petang dan disambut Pengarah JAPEN Sarawak, Sabri Said, serta timbalannya, Sri Kestury.
Kehadiran pengurusan tertinggi JAPEN itu adalah bagi menghadiri mesyuarat jawatankuasa kerja dan pengelola serta mesyuarat jawatankuasa induk yang membincangkan perkembangan, persiapan dan penyelarasan pelaksanaan sambutan berkenaan.
Mesyuarat Jawatankuasa Kerja/Pengelola dijadual berlangsung pada 4 September, manakala Mesyuarat Jawatankuasa Induk dan Sidang Media dijadual pada 5 September di Kuching.
Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 dijadual berlangsung pada 16 September di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Khairul Anwar (BKVS)
KUCHING, 3 Sept – Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah tiba di Kuching pada 5.15 petang hari ini bagi mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Kerja/Pengelola Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 bersama Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Mesyuarat itu akan berlangsung pada 9 pagi esok di salah sebuah hotel terkemuka, di sini.
Agenda mesyuarat meliputi perutusan Pengerusi Bersama, pembentangan Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2026, perbincangan serta hal-hal lain berkaitan sambutan.
Ketibaan beliau bersama Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi, Datuk Aminurrahim Mohamed di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) disambut Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak, Sabri Said.
Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 akan berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) pada 16 September ini, dengan Sarawak menjadi tuan rumah selepas penganjuran tahun lalu di PICCA Convention Centre @ Butterworth Arena, Pulau Pinang.
Pada 5 September, Datuk Abdul Halim dijadual menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2026 serta menyaksikan pratonton persembahan Sambutan Hari Malaysia di Dewan Undangan Negeri Sarawak sebelum berangkat pulang.
Turut hadir ialah Pengarah Kanan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Wilayah Sarawak Adiman Ajem, Pengurus Besar Telekom Malaysia Berhad (TM) Sarawak Mohd Zulkifli Ismuni, Timbalan Pengarah Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak Norjihan Yahya, Timbalan Pengarah JAPEN Sarawak Sri Kestury Mohammed Zamhari serta Ketua Penolong Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Sarawak Mohamad Azman Ismail.
-PENERANGAN- -TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Khairul Anwar (BKVS)
KUCHING, 5 Sept – Sarawak sekali lagi diberi kepercayaan menjadi tuan rumah Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang akan berlangsung pada 16 September ini di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK).
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sambutan berkenaan dijangka menghimpunkan kira-kira 5,000 tetamu serta menjadi platform penting untuk menyemarakkan semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat Malaysia.
Beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak serta Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan perayaan tersebut pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang dipengerusikan bersama Menteri Komunikasi Dato Seri Fahmi Fadzil yang hadir secara atas talian di sebuah hotel di sini hari ini berkata, penganjuran sambutan itu amat bermakna kerana Sarawak kembali menjadi tuan rumah selepas kali terakhir menganjurkan sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan pada tahun 2023.
Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan diadakan secara bergilir-gilir dengan Sarawak menjadi tuan rumah pada 2023, diikuti Sabah pada 2024 dan Pulau Pinang pada 2025 sebelum kembali ke Sarawak pada tahun ini.
Abdul Karim berkata, pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah mencerminkan peranan penting negeri ini dalam memperkukuh semangat perpaduan serta meraikan kepelbagaian rakyat Malaysia merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Sambutan berkenaan akan diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Turut dijangka hadir ialah Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Anwar Ibrahim bersama isteri Dato Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Abdul Karim berkata, keseluruhan perhimpunan sambutan itu bermula dengan ketibaan tetamu-tetamu kenamaan disusuli dengan pengisian utama, ucapan Ketua Menteri Sabah yang akan disampaikan menerusi rakaman, diikuti ucapan Premier Sarawak dan Perdana Menteri.
Majlis turut melibatkan acara menandatangani Buku Khas Hari Malaysia, simbolik perasmian serta perarakan masuk Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang bagi menyerahkan Jalur Gemilang kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak sebelum bendera itu dinaikkan.
Acara berkenaan juga akan diserikan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang diiringi lagu kebangsaan serta bacaan Ikrar Rukun Negara.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, segmen persembahan akan menampilkan gabungan artis jemputan, muzikal teater serta persembahan finale yang melibatkan tiga wilayah iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Antara artis yang dijangka membuat persembahan ialah Dayang Nurfaezah, Faizal Tahir dan Stacy selain dari artis tempatan pelbagai etnik seperti Nur Hijrah, Gibrael Mawat, Dewi Liana Seriestha, Phoebe Chloe, Ng Chien Nhien, Firdaus Materang, Dion Das Louis dan Band Pengiring, AGURA.
Selain sambutan utama, pelbagai program sisipan turut dirancang termasuk Pameran Mini Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang akan berlangsung dari 10 hingga 16 September di Plaza Merdeka, Kuching.
Pameran Mini Sambutan Perayaan Hari Malaysia Tahun 2026 juga akan diadakan di kesemua 10 bahagian di Sarawak iaitu Sri Aman, Sibu, Miri, Limbang, Sarikei, Kapit, Bintulu, Mukah, Betong dan Serian dan turut dicadangkan di beberapa lokasi di luar Sarawak, termasuk di Sabah dan Putrajaya.
Dua majlis kesyukuran peringkat Sarawak juga akan diadakan sempena sambutan berkenaan iaitu Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain yang akan dikendali oleh Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (UNIFOR) pada 14 September di Hotel Pullman, Kuching serta Majlis Kesyukuran pada 15 September di Masjid Jamek, Kuching.
“Semoga sambutan kali ini akan menjadi platform penting untuk meraikan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kepelbagaian rakyat Malaysia kerana semangat perpaduan itu penting bagi memastikan Malaysia terus bergerak maju tanpa meninggalkan mana-mana pihak, selaras dengan aspirasi penubuhan negara,” kata Abdul Karim lagi.
Beliau turut yakin Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Sarawak mampu menjadi antara penganjuran terbaik seperti sambutan-sambutan terdahulu yang pernah diadakan di negeri ini hasil kerjasama erat antara kakitangan kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak dalam memastikan setiap perancangan dan persediaan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa satu item cenderamata peringatan edisi terhad akan disediakan sempena sambutan tersebut, yang diyakini akan menarik perhatian khususnya dalam kalangan pengumpul barangan peringatan.
Turut hadir semasa sidang media ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datuk Hii Chang Kee, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), Kementerian Komunikasi, Datuk Aminurrahim Mohamed, Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS) Datu Hamdan Sharbini serta ketua-ketua Jabatan dan agensi.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Cassidy Lisut (BKVS)
KUCHING, 5 September 2026 – Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengurusan Tertinggi Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) iaitu Ketua Pengarah JAPEN, Erwin Khairul Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik), Rubaayah Osman telah mengakhiri lawatan kerja selama tiga hari di Kuching, Sarawak, hari ini.
Turut menyertai lawatan kerja tersebut ialah Pengarah Bahagian Penerbitan Dasar Negara Salwani Salim, Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Visual dan Senireka Nor Azli Mohd Nor Azian serta Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Sharon John Joseph.
Pada lawatan kerja tersebut, mereka telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja / Pengelola Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang akan berlangsung pada 16 September 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) selain menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 pada pagi tadi.
Selesai mesyuarat, KSU bersama Pengurusan Tertinggi JAPEN turut menghadiri sidang media bersempena Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 sebelum meneruskan agenda dengan menghadiri pratonton persembahan teater muzikal di Dewan Undangan Negeri Sarawak.-PENERANGAN-.
-TAMAT-
Disediakan oleh: Alya Sukri (BMKK)
Foto : Eddy Allan Blanking (BKVS)
KUCHING, 7 Sept – Perlindungan kanak-kanak merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan penglibatan kerajaan, komuniti dan seluruh anggota masyarakat bagi memastikan setiap kanak-kanak membesar dalam persekitaran yang selamat, terlindung dan sejahtera.
Menurut kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri, perlindungan kanak-kanak bukan hanya tanggungjawab ibu bapa, kerajaan atau agensi penguat kuasa sahaja, tetapi turut melibatkan guru, jiran, pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan dan seluruh anggota masyarakat.
“Masyarakat perlu meningkatkan kepekaan dan keberanian untuk bertindak apabila mengesan tanda-tanda kanak-kanak berisiko, di samping memastikan usaha pencegahan, pengesanan awal, intervensi dan sokongan dilaksanakan secara berterusan,” katanya ketika merasmikan Simposium Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak (PPKK) Kebangsaan Tahun 2026 bertemakan “Melakar Perlindungan Inklusif Menuju Generasi Sejahtera” di sebuah hotel terkemuka, di sini, malam tadi.
Keperluan memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak semakin penting apabila seramai 10,904 kanak-kanak direkodkan memerlukan pemeliharaan dan perlindungan pada 2025, manakala 6,266 kes dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Jun 2026.
Sehubungan itu katanya, Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak (PPKK) perlu terus berperanan sebagai ‘Mata dan telinga’ komuniti menerusi pengesanan awal kanak-kanak berisiko, penyaluran maklumat dengan segera serta pelaksanaan advokasi dan pencegahan secara berterusan di peringkat komuniti.
Bagi tempoh 2024 hingga 2026, seramai 1,225 anggota daripada 141 PPKK telah dilantik, manakala 1,174 anggota daripada 138 Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) turut dilantik bagi memperluas jaringan perlindungan dan kebajikan kanak-kanak di peringkat komuniti.
Dalam usaha mendekatkan perkhidmatan kepada kanak-kanak dan keluarga, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaksanakan projek rintis 15 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) sebagai Hab Perkhidmatan Kanak-Kanak atau "One Stop Centre" menerusi Dasar Baharu Tahun 2026, berkonsepkan satu PAKK satu Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi setiap negeri.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Semawi Mohamad serta Pengarah Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak, Dr. Sopian Brahim. - PENERANGAN -
- TAMAT -
Disediakan oleh: Mohamad Munir (BMKK)
Foto oleh: Mohamad Rizal (BKVS)
KUCHING, 7 September - Sarawak dijangka mencapai status negeri menua menjelang tahun 2029 susulan peratusan penduduk mudanya yang diunjurkan mengalami penurunan secara berterusan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata perubahan demografi itu memberi isyarat bahawa negeri ini sedang melalui fasa transisi struktur penduduk, sekali gus menuntut persiapan rapi bagi memperkukuh modal insan serta produktiviti.
Beliau berkata berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2025, penduduk Sarawak dianggarkan berjumlah 2.5 juta orang dengan penduduk berusia sifar hingga 14 tahun merekodkan 19.6 peratus, kumpulan 15 hingga 64 tahun, 71.2 peratus dan 65 tahun ke atas, 9.2 peratus.
"Demografi dividen Sarawak iaitu jumlah fasa penduduk muda yang tinggi dijangka semakin berkurangan apabila penduduk usia bekerja diunjurkan berkembang pada kadar yang semakin perlahan iaitu sekitar 0.76 peratus setahun antara tahun 2020 hingga 2040.
"Sebaliknya, penduduk tanggungan dijangka terus meningkat pada kadar 1.06 peratus setahun bagi tempoh 2020 hingga 2040 dan 0.59 peratus setahun antara 2040 hingga 2060," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 Peringkat Negeri Sarawak di Kolej Universiti i-CATS di sini, hari ini.
Menurut beliau, peningkatan nisbah tanggungan berkenaan perlu diberi perhatian serius kerana ia berpotensi memberi tekanan yang lebih besar kepada generasi usia bekerja, selain meningkatkan keperluan terhadap perkhidmatan kesihatan, penjagaan sosial serta perbelanjaan awam.
Menyentuh mengenai tema sambutan iaitu 'Generasi Sejahtera, Pemacu Masa Depan Sarawak', Nancy menjelaskan bahawa kumpulan belia berumur 15 hingga 29 tahun di Sarawak yang kini berjumlah sekitar 644,000 orang merupakan aset paling berharga yang akan mencorakkan landskap masa depan negeri ini.
Beliau berkata dapatan awal Tinjauan Pendapat Umum bersempena sambutan itu menunjukkan aspirasi utama generasi muda pada masa kini masih tertumpu kepada usaha membina kehidupan yang stabil, sejahtera dan bermakna.
"Aspirasi utama yang dinyatakan ialah mendapatkan pekerjaan yang baik dan stabil sebanyak 68.3 peratus, diikuti mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi, 66.7 peratus, memiliki rumah idaman, 63.3 peratus, dan yang hasrat untuk berkahwin serta membina keluarga sendiri sebanyak 46.7 peratus," jelasnya.
Bagi merealisasikan aspirasi tersebut dalam persekitaran yang kondusif, kementerian komited memperkasakan sokongan menerusi kerangka strategik Dasar KASIH Keluarga Negara dan Pelan Tindakan Keluarga Negara 2026-2030.
Tambah beliau, komitmen itu diterjemahkan oleh Pusat Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sarawak melalui pelbagai penyampaian perkhidmatan bersepadu seperti Program Pendidikan Praperkahwinan SMARTSTART, kaunseling keluarga, pendidikan kesihatan reproduktif, Klinik Nur Sejahtera serta rawatan subfertiliti buat pasangan yang memerlukan sokongan.
Terdahulu, turut diadakan sebuah Forum Kependudukan bertajuk "Dinamik Penduduk: Perubahan Landskap dan Cabaran Orang Muda di Sarawak.
Turut hadir ialah, Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) i-CATS, Profesor Dato’ Dr. Shazali Abu Mansor, Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Dato' Abdul Shukur Abdullah dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Hanani Sapit.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Safik Effendi Kassim (BMKK)
Jurufoto : Lance Dunstan (BKVS)
KUCHING, 9 September – Generasi muda khususnya para pelajar diseru untuk mengisi erti kemerdekaan negara dengan melengkapkan diri menerusi ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi mendepani cabaran dunia tanpa sempadan serta perkembangan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak, Sabri Said berkata berbeza dengan generasi terdahulu yang terpaksa berjuang secara fizikal menentang komunis, anak muda pada masa kini berhadapan dengan cabaran ledakan maklumat dan pengaruh sosial yang memerlukan kebijaksanaan tinggi.
"Saya harap peluang penganjuran program ini dapat menjadikan para pelajar mendapat ilmu dan memanfaatkannya untuk meneruskan kehidupan dalam menghadapi cabaran semasa," katanya ketika berucap merasmikan Program JIWA@Komuniti sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 di Kolej Komuniti Kuching, hari ini.
Mengulas mengenai tema HKHM 2026 iaitu 'Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati', beliau menjelaskan konsep kesejahteraan bagi seorang pelajar merujuk kepada peluang untuk belajar, membina kemahiran, mendapatkan pekerjaan dan seterusnya mengubah taraf hidup keluarga.
Tambahnya, kesejahteraan tersebut hanya dapat dicapai sekiranya negara terus berada dalam keadaan harmoni dan membangun di samping memanfaatkan pelbagai sokongan bantuan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan.
Dalam pada itu, Sabri turut mengingatkan generasi muda agar sentiasa menghayati titik tolak sejarah negara, terutamanya peristiwa kemerdekaan pada bulan Ogos dan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 yang mengangkat status Sarawak sebagai satu daripada tiga wilayah di negara ini.
Menurut beliau, amalan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, kenderaan dan institusi pendidikan pada setiap tahun bukanlah untuk tujuan menunjuk-nunjuk, sebaliknya sebagai satu terjemahan rasa cinta terhadap negara serta tanda peringatan terhadap sejarah masa lampau.
Bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme pada masa akan datang, beliau turut menyarankan pihak Kolej Komuniti Kuching untuk mengambil inisiatif awal pada tahun hadapan dengan merancakkan aktiviti pemasangan bendera bersama komuniti setempat sebaik sahaja kempen Bulan Kebangsaan dilancarkan oleh Perdana Menteri.
Katanya, langkah proaktif tersebut disifatkan bukan sahaja dapat memperkukuh perpaduan, malah boleh dijadikan medium yang berkesan bagi mempromosikan institusi pendidikan itu kepada masyarakat sekitar.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah (Pengurusan) Kolej Komuniti Kuching, Elfy Fariza Sharkawi, Timbalan Pengarah JAPEN Sarawak, Sri Kestury Mohammed Zamhari dan Pegawai Pembangunan Pelajar Kolej Komuniti Kuching, Jefferyson Adam Henry Adam.
-PENERANGAN-
– TAMAT –
Disediakan oleh : Safik Effendi Kassim (BMKK)
Jurufoto : Abdul Hakeem Well (BKVS)
KUCHING, 10 September - Sarawak terus mempergiat pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi dengan memberi tumpuan kepada penyelidikan berimpak tinggi yang mampu diterjemahkan kepada teknologi, penjagaan kesihatan, industri bernilai tinggi serta manfaat langsung kepada rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, penyelidikan tidak seharusnya terhenti di makmal atau sekadar menghasilkan penerbitan akademik, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada teknologi baharu, dasar berasaskan bukti, peluang ekonomi serta perkhidmatan awam yang lebih baik.
katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sarawak SHInE International Conference 2026 (Science, Health, Innovation & Engineering) di sebuah hotel terkemuka di Kuching hari ini, Sarawak Infectious Disease Centre (SIDC) merupakan antara pelaburan strategik kerajaan Sarawak dalam memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada impak sebenar, termasuk melalui pelaksanaan program pengawasan penyakit berasaskan komuniti.
Menurutnya lagi, SIDC kini mempunyai lebih 30 kerjasama aktif dengan rakan strategik tempatan dan antarabangsa, antaranya Murdoch University, Asia Pathogen Genomics Initiative dan UK-SEA Vax Hub, yang meliputi bidang pembangunan vaksin, pengawasan genomik, pemindahan teknologi serta pembangunan bakat bioperubatan.
Dalam perkembangan sama, majlis turut menyaksikan pertukaran lima memorandum persefahaman (MoU) melibatkan SIDC dengan Institut Pasteur du Cambodge (IPC) dan National Center for Genetic Engineering and Biotechnology (BIOTEC).
Sementara itu, Sarawak Research and Development Council (SRDC) turut memeterai kerjasama strategik dengan University of Technology Sarawak (UTS), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan BioVerde Technologies Sdn. Bhd.
Kerjasama antara SRDC dan BioVerde Technologies turut melibatkan pembangunan Sarawak Bioeconomy and Biotechnology Roadmap 2026–2035 yang bertujuan mengenal pasti serta memperkukuh peluang dalam penyelidikan, inovasi, pelaburan dan pengkomersialan sektor bioekonomi serta bioteknologi.
Pada majlis berkenaan, Abang Jo turut menyampaikan Premier’s BrightSparX Innovation Award kepada tiga pasukan terbaik yang terdiri daripada pelajar dan guru sebagai pengiktirafan terhadap idea serta inovasi generasi muda menerusi program BrightSparX.
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Pengurus Besar SRDC, Ts. Dr. Peter Morin Nissom serta Ketua Pegawai Eksekutif SIDC Profesor Madya Dr. Ivan K.S. Yap. -PENERANGAN -
-TAMAT-
Disediakan Oleh: Mohamad Munir (BMKK)
Jurufoto: Mohamad Rizal (BKVS)
KUCHING, 10 September - Pameran Hari Malaysia 2026 di Sarawak mengetengahkan perjalanan sejarah pembentukan Malaysia menerusi paparan dokumen, tokoh dan peristiwa penting yang menjadi asas kepada pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol berkata, pameran yang berlangsung di Atrium Utama, Plaza Merdeka dari 10 hingga 16 September 2026 itu memaparkan proses pembentukan Malaysia yang melibatkan Sarawak, Sabah, Tanah Melayu dan Singapura, selain mengetengahkan tokoh-tokoh yang terlibat dalam perjalanan bersejarah.
Katanya ketika ditemui media selepas menghadiri sesi pratonton Pameran Hari Malaysia 2026 di Plaza Merdeka, pagi tadi antara kandungan utama pameran ialah dokumen berkaitan proses pembentukan Malaysia termasuk perjanjian, hasil mesyuarat dan pertemuan serta peruntukan yang menyentuh kedudukan wilayah-wilayah yang membentuk Malaysia.
"Pameran tersebut turut memberi penekanan terhadap aspek identiti dan kedaulatan negara menerusi paparan Perlembagaan serta Jalur Gemilang sebagai simbol maruah, perjuangan dan kedaulatan Malaysia,"katanya.
Tambah Abdullah Saidol lagi, penganjuran pameran berkenaan penting dalam memastikan fakta sejarah yang tepat dapat disampaikan kepada masyarakat, khususnya dalam menghadapi pelbagai tafsiran dan perspektif mengenai pembentukan Malaysia yang semakin tersebar menerusi media sosial.
“Sejarah perlu difahami berdasarkan fakta dan dokumen yang sahih agar masyarakat, khususnya generasi muda, dapat memahami perjalanan pembentukan Malaysia dengan lebih jelas,” katanya.
Menurut beliau lagi, selain pameran utama di Kuching, pameran mini dengan kandungan yang sama turut diadakan di 10 bahagian di seluruh Sarawak bagi memberi peluang kepada masyarakat di luar Kuching memahami sejarah pembentukan Malaysia.
Menurutnya, usaha tersebut diharap dapat meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan 16 September serta memupuk sikap matang dalam menghargai perjalanan lebih enam dekad pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang.
Pameran berkenaan menampilkan lima segmen utama iaitu Denai Masa Pembentukan Malaysia, Dokumen Pembentukan Malaysia, Jawatankuasa dan Suruhanjaya Pembentukan Malaysia, Galeri Tokoh serta Galeri Kenegaraan: Jejak Identiti Malaysia.
Selain pameran, pengunjung turut berpeluang menyertai Kuiz Kenegaraan dan Kahoot, menyaksikan persembahan PENTARAMA serta demonstrasi pemuliharaan dokumen oleh pihak Arkib Negara Malaysia, sekali gus menjadikan pengalaman memahami sejarah lebih menarik dan interaktif.
Pameran tersebut bertujuan memperluas penghayatan masyarakat terhadap makna Hari Malaysia, menyemarakkan semangat patriotisme serta memupuk rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak, Sabri Said; Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan; dan Pengarah Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak, Afham Jauhari Aldi.
-PENERANGAN -
-TAMAT-
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Abdul Hakeem Well /Eddie Alan (BKVS)
KUCHING, 10 Sept - Program JIWA@Komuniti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 menjadi platform untuk menyemarakkan semangat patriotisme serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat menerusi penglibatan pelbagai agensi dan komuniti.
Program kerjasama strategik antara Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak serta Angkatan Zaman Mansang (AZAM) itu berlangsung di Dewan Seminar JBPM Sarawak, dengan turut memberi penekanan terhadap kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang.
Timbalan Pengarah JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, sambutan Hari Kebangsaan mengingatkan rakyat terhadap perjuangan dan pengorbanan generasi terdahulu dalam membina sebuah negara yang merdeka dan berdaulat manakala Hari Malaysia pula mengingatkan rakyat bahawa kekuatan negara terletak pada perpaduan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan latar belakang.
“Peranan kita adalah untuk mengekalkan apa yang telah diperjuangkan oleh generasi terdahulu, khususnya meneruskan dan mengekalkan perpaduan yang sedia ada dalam negara kita,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.
Menurutnya, kepelbagaian budaya, etnik dan agama di Sarawak perlu dilihat sebagai kekuatan yang menyatukan masyarakat, bukannya perbezaan yang boleh memecahbelahkan perpaduan.
"Program JIWA@Komuniti merupakan platform berkesan untuk merapatkan hubungan antara agensi kerajaan dengan masyarakat menerusi pendekatan turun padang, mendengar suara rakyat dan memahami keperluan komuniti,” katanya.
Dalam pada itu, Tiong menegaskan kepentingan kerjasama antara JAPEN dan JBPM dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih kepada masyarakat, khususnya berkaitan keselamatan, kesiapsiagaan menghadapi bencana dan pendidikan pencegahan kebakaran.
“Dalam era perkembangan teknologi dan media sosial yang begitu pantas, penyampaian maklumat yang tepat, jelas dan mudah difahami amat penting bagi memastikan masyarakat mendapat informasi yang sahih serta tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu,” katanya.
Tiong turut mengalu-alukan kerjasama berterusan antara JAPEN dan JBPM Sarawak melalui pelaksanaan program kesedaran serta pendidikan keselamatan kepada komuniti di seluruh negeri dan bersedia memberi peluang kepada pegawai JAPEN dan media untuk mengikuti program simulasi serta latihan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Sarawak.
Pada program itu, turut berlangsung segmen Sembang Santai Semangat Patriotisme bersama Badan Beruniform x AZAM, kuiz Kahoot Kemerdekaan serta persembahan bertemakan patriotik.
Kit HKHM 2026 turut diserahkan oleh Timbalan Pengarah JAPEN Sarawak, Sri Kestury Mohammed Zamhari kepada Tiong dan Ketua Pegawai Eksekutif AZAM, Ali Suhaili.
Turut hadir pada program tersebut ialah Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Fazli Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat JAPEN, Hairol Hisham Hamdan, anggota JBPM dan pelajar institusi pengajian tinggi. - PENERANGAN
-TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Lance Dunstan (BKVS)
MIRI, 11 September – Pameran Mini Hari Malaysia Bahagian Miri 2026 yang berlangsung di Ruang Legar, Aras 1, Bintang Megamall di sini, bermula semalam, menjadi platform untuk memperkukuh penghayatan masyarakat terhadap sejarah pembentukan Malaysia, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta kepentingan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, sambutan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun merupakan detik bersejarah yang memperingati pembentukan Malaysia pada 1963 melalui penyatuan Sarawak, Sabah dan Tanah Melayu.
Menurut beliau, kestabilan dan kemajuan yang dinikmati sejak pembentukan Malaysia turut menyumbang kepada perubahan pesat Miri daripada sebuah pekan yang berasaskan industri minyak dan gas kepada hab ekonomi di wilayah utara Sarawak.
“Perkembangan Miri kini turut dipacu oleh pelbagai projek strategik berimpak tinggi termasuk Projek Pembesaran Lapangan Terbang Miri, Projek Jambatan Marina, Projek Pembangunan Kuala Baram dan Pelabuhan Miri serta Kenyalang Smart City,” katanya.
Beliau berkata, pameran berkenaan memberi peluang kepada masyarakat, khususnya generasi muda, untuk menelusuri kronologi pembentukan negara selain memahami dokumen dan fakta sejarah berkaitan asas pembentukan negara serta hak Sarawak di bawah MA63.
Katanya, pemahaman yang tepat mengenai sejarah pembentukan Malaysia penting bagi memastikan generasi muda menghargai perjuangan tokoh terdahulu serta memahami tanggungjawab bersama dalam memelihara keharmonian dan perpaduan negara.
Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan sistem pengangkutan moden, hijau dan inklusif di Sarawak turut memainkan peranan penting dalam menyokong kemajuan negara, khususnya melalui peningkatan hubungan antara kawasan bandar dan pedalaman.
“Apabila sistem perhubungan semakin mantap, jurang fizikal dan sosial antara masyarakat dapat dirapatkan, sekali gus mewujudkan peluang pembangunan yang lebih menyeluruh,” katanya.
Tambahnya lagi, sambutan Hari Malaysia bukan sekadar memperingati sejarah pembentukan negara, tetapi turut mencerminkan aspirasi terhadap kemajuan, keadilan sosioekonomi dan pembangunan infrastruktur yang memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh masyarakat Miri, termasuk ibu bapa, guru, persatuan komuniti dan golongan muda, agar mengambil peluang mengunjungi pameran tersebut sebagai wadah pembelajaran untuk mendalami sejarah negara serta menyemarakkan semangat patriotisme.
Pameran anjuran bersama Pejabat Penerangan Daerah Miri dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) itu turut dihadiri Residen Bahagian Miri, Galong Luang, Pegawai Penerangan Daerah Miri, Aidawatie Mustapha, Pegawai UKAS Bahagian Miri, Dayang Norazelina Hamdan, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Daerah Miri, ketua-ketua jabatan kerajaan, kaunselor, rakan media serta pelajar dan guru pengiring Kelab Malaysiaku SMK Agama dan Kelab Malaysiaku Kolej Dato Tuanku Haji Bujang, Miri.
– PENERANGAN –
-TAMAT-
Disediakan oleh: Geoffery George Sultan (JAPEN Miri)
Foto oleh: Adam Malik Suhardi (JAPEN Miri)
KUCHING, 11 September – Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak terus memperkasa usaha menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan masyarakat sempena Sambutan Hari Malaysia 2026 menerusi temu bual khas bersama Pengarah JAPEN Sarawak, Sabri Said dalam rancangan Sarawak FM, pagi tadi.
Dalam temu bual berkenaan, Sabri berkata, Sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini bukan sekadar memperingati sejarah pembentukan Malaysia, malah turut menjadi platform untuk memperkukuh semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat merentasi wilayah.
Menurut beliau, sambutan yang berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) tahun ini turut memberi penekanan kepada kepentingan menghayati sejarah serta peranan Sarawak dan Sabah dalam pembentukan Malaysia.
Beliau turut menyeru orang ramai agar mengambil peluang mengunjungi Pameran Hari Malaysia yang sedang berlangsung di Atrium Utama, Plaza Merdeka sebagai salah satu pengisian sempena sambutan Hari Malaysia 2026.
Katanya, pameran tersebut yang bermula semalam sehingga 16 September 2026 dan dari jam10 pagi - 10 malam mengetengahkan sejarah dan perkembangan pembentukan Malaysia, sekali gus memberi ruang kepada masyarakat untuk memahami perjalanan negara serta menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh:
Ninie Gumbang (BMKK)
Foto:Mohamad Rizal Matasan (BKVS)
KUCHING, 13 September - Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah hari ini telah mengedarkan sebanyak 200 bungkusan barangan penajaan dan bahan promosi Hari Malaysia 2026 kepada orang awam di Balai Pelepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).
Pengedaran yang disempurnakan sebaik sahaja beliau tiba di balai ketibaan itu merupakan satu pendekatan untuk menyampaikan hebahan, edaran bahan promosi serta tanda penghargaan kepada orang awam bersempena dengan sambutan peringkat kebangsaan tahun ini.
Ketibaan beliau di LTAK bagi memulakan siri lawatan kerja dan tinjauan persiapan sambutan Hari Malaysia tersebut telah disambut oleh Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak, Sabri Said.
Dalam rangka lawatan rasmi tersebut, Datuk Abdul Halim dijadualkan menghadiri beberapa program utama termasuklah Majlis Perasmian Pameran Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang akan diadakan di Atrium Utama, Plaza Merdeka, Kuching pada 14 September.
Pada hari yang sama, beliau juga akan meninjau kelancaran Raptai Penuh Sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bagi memastikan segala persiapan teknikal dan logistik berada pada tahap optimum.
Selain itu, beliau juga dijadualkan menghadiri acara Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang dijadualkan berlangsung gilang-gemilang di BCCK pada 16 September ini.
Turut hadir sama mengiringi beliau dalam sesi penyerahan bahan promosi tersebut ialah barisan pengurusan tertinggi kementerian, iaitu Setiausaha Bahagian Teknologi Komunikasi Kementerian Komunikasi, Nik Yusaimi Yussof; Setiausaha Bahagian Kawalan dan Pematuhan Kementerian Komunikasi, Kamarudin Abdul Rani; dan Setiausaha Bahagian Komunikasi Strategik dan Korporat Kementerian Komunikasi, Naim Fahmi Ahmad Tajuddin.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Safik Effendi Kassim (BMKK)
Jurufoto : Lance Dunstan (BKVS)
KUCHING, 13 September – Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Fahmi Fadzil tiba di Kuching hari ini bagi memulakan lawatan kerja ke Sarawak bersempena Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026.
Ketibaan beliau di Sarawak adalah bersempena lawatan kerja yang turut melibatkan beberapa program berkaitan Sambutan Hari Malaysia 2026 sepanjang 14 hingga 16 September.
Antara acara utama Menteri Komunikasi Malaysia pada 14 September ialah menghadiri Majlis Perasmian Pameran Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Plaza Merdeka serta Raptai Penuh Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Lawatan kerja tersebut turut diteruskan dengan penglibatan dalam Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA pada 15 September sebelum menghadiri Sambutan Hari Malaysia 2026 di BCCK pada 16 September. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Alya Sukri (BMKK)
Foto : Lance Dunstan (BKVS)
KUCHING, 14 September – Generasi muda perlu memahami sejarah pembentukan Malaysia, menghargai kepelbagaian serta memelihara perpaduan sebagai asas kekuatan negara dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Fahmi Fadzil berkata, rakyat perlu mengambil iktibar daripada sejarah dan memahami bahawa pembentukan Malaysia berasaskan persefahaman serta konsensus antara pelbagai kaum dan wilayah.
Menurut beliau, antara cabaran yang pernah diberi perhatian oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein ialah komunisme, perkauman sempit (communalism) dan rasuah (corruption).
“Komunisme dan perkauman sempit telah berjaya kita tangani, namun kita perlu sentiasa berwaspada terhadap rasuah kerana ia boleh merosakkan masa depan negara,” katanya ketika berucap merasmikan Program JIWA@Komuniti sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 di Politeknik Kuching Sarawak, di sini, hari ini.
Fahmi turut mengingatkan golongan muda supaya tidak mudah mempercayai segala kandungan yang diterima menerusi media sosial berikutan tidak semua maklumat yang dikongsikan adalah benar.
Beliau berkata, pengguna media sosial perlu lebih berwaspada terhadap pelbagai bentuk penipuan dalam talian termasuk 'love scam', selain mengambil tindakan segera dengan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menjadi mangsa.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa penggunaan kecerdasan buatan (AI) perlu dilakukan secara bertanggungjawab dan tidak seharusnya menggantikan keupayaan manusia untuk berfikir dan membuat pertimbangan.
“AI boleh membantu dan memudahkan usaha, tetapi jangan sesekali membenarkan AI menggantikan pemikiran kita,” katanya.
Beliau turut menggalakkan golongan muda memanfaatkan teknologi AI bagi meningkatkan kemahiran dan keupayaan diri, khususnya dalam mendepani perubahan landskap pekerjaan.
Menurut Fahmi, perkembangan AI berpotensi mengubah sebahagian bentuk pekerjaan, namun mereka yang tidak mempunyai keupayaan untuk menggunakan teknologi berkenaan berisiko lebih ketinggalan berbanding individu yang mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi.
Program JIWA@Komuniti merupakan antara pengisian sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 yang bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme serta memperkukuh kefahaman generasi muda mengenai sejarah, perpaduan dan masa depan negara.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Erwin Khairul Ahmad; Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Bukhari Yahya; Pengarah Politeknik Kuching Sarawak, Mohamad Nazri Ismail serta ketua-ketua jabatan. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh:
Ninie Gumbang (BMKK)
Foto:Bolhan Haji Basah /
Mohamad Rizal Matasan (BKVS)
KUCHING, 14 September- Pameran sempena Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 di Plaza Merdeka mencatat hampir 9,000 pengunjung setakat hari keempat penganjuran.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Visual dan Senireka, Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak, Muhamad Syazwan Abd Rahman berkata sambutan berkenaan amat menggalakkan dan melebihi jangkaan awal penganjur meskipun keadaan cuaca berjerebu.
Menurutnya, pameran berkonsepkan Koridor Zaman Pembentukan Malaysia itu menampilkan lima segmen utama, iaitu kronologi sejarah pembentukan Malaysia, dokumen pembentukan Malaysia, Jawatankuasa dan Suruhanjaya Pembentukan Malaysia, Galeri Tokoh serta Galeri Kenegaraan.
“Pameran ini memberi peluang kepada masyarakat untuk memahami sejarah pembentukan Malaysia berdasarkan fakta dan dokumen yang sahih, selain menghayati perjuangan tokoh-tokoh terdahulu,” katanya ketika ditemu bual CATS AM Crew, Ardin Belarek, Fir Affandi dan Mia Manja, pagi tadi.
Beliau berkata kandungan pameran turut diperluaskan menerusi Pameran Mini Sambutan Hari Malaysia di 10 bahagian di Sarawak melalui kerjasama Pejabat Residen, UKAS bahagian dan Jabatan Penerangan daerah.
Katanya, konsep dan mesej utama yang sama turut dibawa ke beberapa lokasi strategik di Putrajaya dan Sabah.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai, khususnya di sekitar Kuching dan Samarahan, supaya mengunjungi pameran berkenaan yang berlangsung sehingga 16 September ini.
“Semangat patriotik perlu disemai setiap hari dan bukan hanya ketika sambutan Hari Malaysia, justeru itu marilah kita mengambil peluang ini untuk memahami sejarah serta menghargai pembentukan Malaysia,” katanya.
Pameran tersebut akan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Fahmi Fadzil bersama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah. - PENERANGAN-
-TAMAT -
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Cassidy Lisut (BKVS)
KUCHING, 14 Sept — Pameran Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 bertemakan 'Koridor Zaman Pembentukan Malaysia' dirasmikan hari ini oleh Menteri Komunikasi Dato’ Seri Fahmi Fadzil dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah di Plaza Merdeka, di sini.
Pameran yang berlangsung dari 10 hingga 16 September 2026 ini memaparkan bahan berkaitan sejarah pembentukan Malaysia, termasuk dokumen, maklumat mengenai jawatankuasa dan suruhanjaya serta tokoh yang terlibat dalam proses pembentukan negara.
Pameran tersebut dibahagikan kepada lima segmen utama, iaitu Denai Masa Pembentukan Malaysia, Dokumen Pembentukan Malaysia, Jawatankuasa dan Suruhanjaya Pembentukan Malaysia, Galeri Tokoh serta Galeri Kenegaraan: Jejak Identiti Malaysia.
Selain bahan pameran, pelbagai aktiviti disediakan kepada pengunjung sepanjang tempoh penganjuran, antaranya kuiz kenegaraan, permainan Kahoot!, Pocket Talk, pertandingan gambar kreatif, persembahan kebudayaan PENTARAMA dan demonstrasi pemuliharaan dokumen.
Pameran mini turut diadakan di 10 bahagian di Sarawak serta lokasi tambahan di Sabah dan Putrajaya sepanjang tempoh pameran.
Penganjuran pameran berkenaan merupakan sebahagian daripada program Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 dan dilaksanakan selaras dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, 'Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati'.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Erwin Khairul Ahmad.-PENERANGAN -
-TAMAT-
Disediakan oleh: Mohamad Munir (BMKK)
Foto oleh: Khairul Anwar, Eddie Allan Blanking dan Abdul Hakeem Well (BKVS)
KUCHING, 15 September - Persiapan Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) berjalan lancar dengan beberapa aspek teknikal terus diperkemas menjelang acara kemuncak pada 16 September ini.
Menteri Komunikasi, Dato' Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan dalam kunjungan hormat Ahli Jawatankuasa Sambutan Hari Malaysia ke atas Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di Astana Negeri, di sini hari ini.
Dalam majlis sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Sambutan Hari Malaysia 2026, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah turut menyerahkan warkah persilaan kepada TYT bagi menghadiri sambutan yang dijadualkan berlangsung di BCCK pada 16 September ini, dengan ketibaan Tun dijangka pada 8.15 malam dan acara berakhir sekitar 10.30 malam.
“Semua persiapan telah dimaklumkan berjalan dengan baik dan ada beberapa aspek teknikal yang akan diperkemas, insya-Allah acara akan berjalan dengan lancar esok,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat berkenaan.
Dalam masa sama, Fahmi turut menyampaikan maklumat mengenai status persiapan penerbitan sebuah buku khas oleh pihak Pustaka untuk dipersembahkan kepada Tun Pehin Sri Wan Junaidi.
Menurutnya, beberapa acara sisipan turut diusahakan bersempena sambutan Hari Malaysia, termasuk majlis kesyukuran di Masjid Jamek pada malam ini serta pameran yang sedang berlangsung di Plaza Merdeka.
Pameran berkenaan merupakan hasil kerjasama antara Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak, selain disokong melalui pameran mini yang melibatkan 10 bahagian di seluruh Sarawak.
Mengulas penglibatan veteran pasukan keselamatan dalam pengisian pameran, Fahmi berkata, inisiatif itu bertujuan mengetengahkan pengalaman mereka dalam memperjuangkan dan mempertahankan kedaulatan tanah air.
“Tun mempunyai banyak pengalaman ketika pernah berkhidmat dalam pasukan polis (PDRM) dan kita melihat usaha Datuk Abdullah Saidol untuk melengkapkan pameran dengan penglibatan beberapa veteran polis atau tentera yang terlibat pada ketika itu sebagai satu pengisian yang bermakna,” katanya.
Turut hadir sama ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Erwin Khairul Ahmad, Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS) Datu Hamdan Sharbini dan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak, Sabri Said. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Bolhan Haji Basah (BKVS)
KUCHING, 15 September – Sarawak terus memperkukuh industri semikonduktor sebagai sektor strategik dalam membina ekonomi masa depan berasaskan teknologi, inovasi dan industri bernilai tinggi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, berkata perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), automasi dan teknologi digital sedang mengubah ekonomi global, sekali gus menuntut Sarawak meningkatkan keupayaan mencipta, memiliki dan mengkomersialkan teknologi sendiri.
Menurut beliau, menerusi Post COVID-19 Development Strategy 2030 (PCDS 2030), Sarawak sedang mentransformasi ekonominya daripada berasaskan sumber semula jadi kepada ekonomi yang dipacu teknologi, inovasi dan industri bernilai tinggi.
“Daya saing masa depan kita bukan bergantung kepada berapa banyak teknologi yang kita gunakan, tetapi keupayaan kita untuk mencipta, memiliki dan mengkomersialkannya,” katanya ketika berucap pada Sarawak Semiconductor Flagship Talent Development Economy di CENTEXS (Centre for Technology Excellence Sarawak) di sini hari ini.
Beliau berkata kemajuan SMD Semiconductor sejak penubuhannya pada 2022 menunjukkan aspirasi Sarawak dalam bidang semikonduktor kini mula diterjemahkan kepada pencapaian nyata, selaras dengan Sarawak Semiconductor Roadmap 2030 – Beyond Moore’s Law.
Premier turut menyifatkan penghasilan cip pertama yang direka oleh pelajar menerusi SMD IC Design Competition 2025 dan difabrikasi di XFab Foundry, Kuching, sebagai pencapaian penting dalam pembangunan bakat semikonduktor tempatan.
Menurut beliau, kerjasama SMD Semiconductor dengan _Linyang Energy Group serta penubuhan SMD Industrial Lab @ UNIMAS akan membuka lebih banyak peluang dalam pembangunan teknologi, penyelidikan, pengkomersialan dan pembangunan bakat.
Tambah beliau, pembangunan semikonduktor turut menyokong sektor strategik lain termasuk AI, pembuatan termaju, tenaga boleh diperbaharui, elektronik kuasa, aeroangkasa dan teknologi satelit, termasuk penerokaan pembangunan satelit Low Earth Orbit(LEO) serta teknologi hyperspectral remote sensing.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Pengerusi SMD Semiconductor,Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar.Pengerusi CENTEXS (Centre for Technology Excellence Sarawak) Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan tetamu jemputan yang lain.
PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh:
Ninie Gumbang (BMKK)
Foto:Khairul Anuar (BKVS)
KUCHING, 15 Sept - Menteri Komunikasi Dato’ Seri Fahmi Fadzil hari ini menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada pengamal media, Chimon Upon, yang terjejas akibat kejadian bumbung bangunan bersebelahan runtuh dan menghempap kediamannya pada 25 Ogos lalu.
Menurut Fahmi, kejadian itu menyebabkan kerosakan pada struktur dinding rumah berkenaan dan berkemungkinan menjejaskan pendawaian elektrik.
Oleh itu katanya, pemeriksaan lanjut perlu dijalankan bagi memastikan keselamatan struktur rumah serta mengenal pasti sebarang kerosakan pada kemudahan telekomunikasi.
“Saya bersyukur kejadian itu berlaku pada waktu siang ketika hampir semua ahli keluarga berada di luar rumah, bagaimanapun, keadaan rumah terjejas dan memerlukan pemeriksaan lanjut,” katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan itu di sini hari ini.
Tambahnya, sumbangan berkenaan mencerminkan keprihatinan Kementerian Komunikasi dan rakan penderma terhadap pengamal media yang ditimpa musibah.
Beliau berkata seramai 58 warga media di Sarawak menerima bantuan Tabung Kasih@HAWANA berjumlah RM172,000, manakala 33 penerima di Sabah menerima bantuan berjumlah RM96,000.
Selain itu, seramai 76 penerima di Sabah, Sarawak dan Semenanjung menerima bantuan menerusi program bantuan Telekom Malaysia.
Katanya lagi, sejak penubuhan Tabung Kasih@HAWANA, seramai 845 penerima telah menerima manfaat berjumlah RM729,300.
Turut hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Datuk Bahria Mohd Tamil dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin. - PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Mohamad Munir (BMKK)
Foto: Lance Dunstan (BKVS)
KUCHING, 16 September – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) petang tadi bagi menghadiri sambutan Hari Malaysia 2026 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam ini.
Ketibaan beliau disambut oleh
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sebelum meneruskan program lawatan sempena Sambutan Hari Malaysia.
Sejurus tiba di KIA, Perdana Menteri menyaksikan upacara simbolik penyerahan Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sarawak.
Penyerahan tersebut menandakan satu perkembangan penting dalam pengurusan Pelabuhan Bintulu oleh kerajaan Sarawak, selaras dengan usaha memperkukuh peranan negeri dalam pembangunan sektor pelabuhan dan ekonomi maritim di bawah
acuan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Dalam majlis berkenaan, dokumen-dokumen perundangan utama telah diserahkan secara rasmi termasuk Perintah Pelabuhan-Pelabuhan (Penswastaan) (Pindaan Jadual) 2026, Perintah Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) (Tarikh Peletakhakan) 2026, serta Penetapan tarikh permulaan kuat kuasa Akta Pengisytiharan Suatu Kawasan dalam Daerah Bintulu Menjadi Suatu Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024 [Akta 858] dan Penetapan tarikh permulaan kuat kuasa Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 [Akta 859].
Proses penyerahan simbolik itu merupakan kemuncak kepada garis masa pengambilalihan panjang yang bermula sejak 30 Januari 2023 apabila Premier Sarawak menyatakan hasrat pengambilalihan, diikuti persetujuan oleh Perdana Menteri pada 13 Oktober 2023.
Komitmen itu dizahirkan lagi melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada 22 Mac 2024.
Kedua-dua pihak mencapai persetujuan nilai pengambilalihan berjumlah RM1.8 bilion pada 4 Februari, disusuli dengan Perjanjian Penyempurnaan (Completion Agreement) serta penyerahan cek pampasan di Bintulu pada 21 Jun.
Seterusnya, status Pelabuhan Bintulu bertukar sepenuhnya daripada Pelabuhan Persekutuan kepada Pelabuhan Negeri berkuat kuasa pada 1 September 2026.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan -Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri-Menteri, Timbalan Menteri dan ketua - Ketua Jabatan.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh:
Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Cassidy Lisut (BKVS)
KUCHING, 17 Sept — Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim berkata pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) merupakan tanggungjawab nasional yang perlu dilaksanakan bersama, bukan hanya tanggungjawab Sabah dan Sarawak.
Berucap pada Sambutan Perayaan Hari Malaysia 2026 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) semalam, beliau berkata semangat pembentukan Malaysia perlu terus diperkukuh berteraskan perpaduan, keterangkuman dan kepentingan bersama.
Menurutnya, Malaysia berjaya bertahan sebagai sebuah negara berdaulat kerana rakyat memilih untuk mengetepikan pandangan sempit berasaskan kaum, agama atau wilayah demi kepentingan negara.
"Dalam konteks MA63, kerajaan Persekutuan mengambil serius setiap perkara yang dipersetujui dan berusaha menyelesaikan isu berkaitan melalui rundingan bersama kerajaan Sabah dan Sarawak.
“MA63 itu bukan urusan Sabah dan Sarawak sahaja, tetapi tanggungjawab nasional,” katanya.
Beliau turut berkata pembangunan Sarawak dan Sabah tidak seharusnya dilihat sebagai persaingan dengan Semenanjung, sebaliknya sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan Malaysia secara keseluruhan.
Dalam pada itu, Anwar mengumumkan bayaran interim sebanyak RM1.5 bilion kepada Sarawak, sebagai langkah sementara dalam rundingan berkaitan MA63.
Beliau juga mengumumkan beberapa keputusan lain termasuk penambahbaikan kemudahan subsidi diesel bagi rakyat yang layak, bantuan khas RM500 secara sekali bayar kepada pelajar baharu institusi pengajian tinggi awam yang perlu menggunakan penerbangan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.
Tambahnya, kerajaan juga bersetuju secara prinsip terhadap penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak, dengan kaedah serta perinciannya akan dirunding dan dibawa bersama Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum dibentangkan di Parlimen.
Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan tahun ini menyaksikan Sarawak kembali dipilih sebagai lokasi penganjuran selepas kali terakhir menjadi tuan rumah acara berkenaan pada 2023.
Selain ucapan Perdana Menteri, acara rasmi yang bermula pada 8.15 malam itu turut menyaksikan majlis menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia, persembahan gabungan artis jemputan, muzikal teater serta persembahan final yang melibatkan tiga wilayah, iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Tetamu kehormat sambutan ialah Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor. - PENERANGAN
-TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Bolhan Basah/ Lance/Rizal/ Eddy (BKVS)
KUCHING, 17 September – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Fahmi Fadzil selesai lawatan rasmi di Kuching sempena Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di sini.
Kedua-dua pemimpin tersebut telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dengan menaiki pesawat khas selepas selesai melaksanakan beberapa majlis rasmi sepanjang berada di Kuching.
Semasa lawatan rasmi di sini, Dato Seri Anwar telah menghadiri beberapa majlis rasmi termasuk penyerahan Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sarawak, selain menghadiri Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK).
Sementara itu, Dato’ Seri Fahmi pula turut melaksanakan beberapa tugas rasmi termasuk Majlis Perasmian Pameran Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Plaza Merdeka, raptai penuh Sambutan Hari Malaysia di BCCK, penyampaian sumbangan Tabung Kasih @HAWANA serta menghadiri Majlis Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di BCCK.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Alya Sukri (BMKK)
Foto : Cassidy Lisut (BKVS)
KUCHING, 17 September – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Patinggi Dr.Ahmad Zahid Hamidi berlepas ke Jakarta, Indonesia dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching hari ini selepas selesai lawatan kerja rasmi selama dua hari di Kuching, Sarawak.
Sepanjang berada di Kuching, beliau menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi (HLC) Pengurusan Bencana Negara Tahun 2026 yang membincangkan perkara berkaitan pengurusan serta kesiapsiagaan bencana di peringkat negara.
Selain itu, Datuk Patinggi Dr. Ahmad Zahid turut menghadiri Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang berlangsung di BCCK. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Alya Sukri (BMKK)
Foto : Cassidy Lisut (BKVS)
BAU, 21 September 2026 – Projek pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin kini mencatat kemajuan sebanyak 11 peratus, iaitu enam hari mendahului jadual perancangan asal.
Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak projek ICQS Serikin, di sini, hari ini.
Menurut beliau, pencapaian tersebut merupakan perkembangan positif yang menunjukkan pelaksanaan projek berada pada landasan yang baik, meskipun berdepan cabaran berkaitan kedudukan tapak serta penyediaan kemudahan asas.
“Projek ini sekarang sudah mencapai 11 peratus dan kita mendapati ia berada enam hari lebih awal daripada perancangan yang sepatutnya. Ini satu perkembangan yang baik,” katanya.
Beliau berkata, antara cabaran utama pelaksanaan projek ialah lokasi tapak yang agak jauh serta akses yang terhad kepada kemudahan asas, termasuk jalan raya, bekalan air, elektrik dan rangkaian telekomunikasi.
Katanya, cabaran berkenaan sedang ditangani menerusi kerjasama dan penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sarawak serta agensi-agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.
“Perpaduan dan kerjasama yang baik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak merupakan antara faktor utama yang memastikan projek ini dapat berjalan dengan lancar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa projek ICQS Serikin merupakan projek yang berkepentingan terhadap aspek keselamatan negara, justeru sebarang kelewatan perlu diberikan perhatian serius.
Menurutnya, semua agensi berkaitan perlu memberikan keutamaan kepada projek berkenaan serta memastikan tindakan dan penyelarasan yang diperlukan dilaksanakan mengikut garis masa yang ditetapkan.
“Projek ICQS ini merupakan salah satu projek di bawah keselamatan negara. Jadi, sebarang kelewatan kita pandang serius. Semua agensi kerajaan yang berkaitan perlu memberikan keutamaan dan memastikan segala tindakan yang diperlukan dapat diselaraskan dengan baik supaya projek ini dapat mencapai garis masa yang telah ditetapkan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata pemantauan berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan kemajuan projek dapat dikekalkan, selain membolehkan sebarang isu dan kekangan dikenal pasti serta ditangani dengan segera.
Projek ICQS Serikin bernilai RM43.66 juta itu dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan dimulakan pada 10 Disember 2025, dengan tarikh siap kontrak pada 9 Disember 2027.
Pembangunan kompleks berkenaan merupakan antara usaha kerajaan dalam memperkukuh pengurusan, kawalan dan keselamatan sempadan Malaysia–Indonesia, khususnya di kawasan Serikin yang menjadi laluan penting bagi pergerakan orang dan aktiviti rentas sempadan.
Apabila siap kelak, ICQS Serikin akan menyediakan kemudahan yang lebih tersusun dan bersepadu bagi urusan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan, sekali gus menyokong kelancaran pergerakan orang serta aktiviti perdagangan dan ekonomi rentas sempadan.
Pembangunan tersebut turut dijangka memberi manfaat kepada Daerah Bau dan kawasan sekitarnya menerusi pengukuhan aktiviti perdagangan, pelancongan serta ekonomi setempat.
Lawatan kerja itu turut memberi peluang kepada Datuk Ts. Mustapha Sakmud untuk meninjau perkembangan fizikal projek serta mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan kemajuan dan cabaran pelaksanaannya.
Turut hadir ialah Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, serta pegawai-pegawai kanan agensi kerajaan dan pihak berkaitan.
-PENERANGAN -
-TAMAT -
Disedia oleh: Loseyeffer Molly (JAPEN Bau)
Foto: Jackson Abell (JAPEN Bau)
KUCHING, 22 September – Golongan belia Sarawak diseru untuk memahami asas demokrasi, sejarah pembentukan Malaysia serta menguasai bahasa Inggeris bagi membolehkan mereka berperanan lebih besar di peringkat antarabangsa.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar ketika menyampaikan ucapan perasmian Seminar Kenegaraan Aku Kasih Malaysia: Pimpinan Belia Negeri Sarawak yang berlangsung di Auditorium DUN Sarawak di sini hari ini berkata, demokrasi merupakan sistem pemerintahan yang memberi kuasa kepada rakyat untuk menentukan kepimpinan melalui proses pilihan raya.
Pada majlis sama, Asfia turut menjelaskan konsep Persekutuan dan kepentingan memahami kedudukan Sarawak dalam Malaysia, termasuk aspek institusi negeri dan peranan Dewan Undangan Negeri.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh sejarah Sarawak sebelum pemerintahan Brooke, termasuk perkembangan pentadbiran Sarawak di bawah Kesultanan Brunei serta perubahan pemerintahan yang berlaku selepas kedatangan James Brooke.
Menurutnya, pemahaman terhadap sejarah penting bagi generasi muda supaya mereka dapat menghargai perjalanan Sarawak serta kedudukannya dalam pembentukan Malaysia.
Tambahnya, penguasaan bahasa Inggeris turut ditekankan sebagai satu kelebihan penting kepada belia kerana bahasa berkenaan banyak digunakan dalam bidang perdagangan, sains, teknologi, pendidikan dan komunikasi antarabangsa.
Katanya, golongan muda tidak seharusnya hanya menjadi jaguh di tempat sendiri, sebaliknya perlu berani melangkah ke persada dunia dengan memperkukuh ilmu, kemahiran dan keupayaan berkomunikasi.
Asfia turut mengingatkan bahawa masa muda perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan menimba ilmu, membina kepimpinan dan mempersiapkan diri untuk memikul tanggungjawab membentuk masa depan negara.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor; Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia Negeri Sarawak, Mohamad Faizal Lamat; serta Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Nur Azhar Bujang dan Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri ,Datuk Amar Fadillah Yusof, Ir. Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh:
Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Cassidy Lisut (BKVS)
BELAGA, 22 Sept -- Menteri Kerja Raya Dato' Sri Alexander Nanta Linggi hari ini meninjau cadangan pembinaan lorong memotong (Overtaking Lane - OTL) jenis 'Side-by-Side Passing Lines' yang melibatkan anggaran kos RM216 juta di sepanjang Jalan Bintulu-Bakun.
Projek dengan keseluruhan jajaran kira-kira 12 kilometer (km) itu dicadangkan di enam lokasi berasingan dan turut merangkumi kerja-kerja menaik taraf struktur berkaitan serta pemasangan lampu jalan bagi meningkatkan aspek keselamatan pengguna.
Enam lokasi yang dikenal pasti bagi pembinaan OTL tersebut ialah KM16 berhampiran Simpang Labang, KM39 berhampiran Logpond Tubau, KM49 di Simpang Tubau, KM75 sebelum Simpang Sungai Asap, KM106 berhampiran Menara Sarawak Energy Berhad (SEB) dan KM109 di Simpang Murum.
Pembinaan OTL dijangka dapat menangani pelbagai cabaran pemanduan yang sering dihadapi pengguna, khususnya di jajaran berbukit, beralun, berselekoh tajam serta kawasan yang mempunyai jarak penglihatan terhad.
Terdahulu, Alexander turut meninjau beberapa lokasi di bawah Arahan Kerja 2026 yang telah siap, merangkumi kerja-kerja penambahan asas jalan, kitar semula penurapan sejuk dan penurapan semula.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Keneddy Chukpai Ugon, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Dato' Seri Azman Ibrahim, Ahli Dewan Negara Senator Micheal Mujah Lihan, Residen Bahagian Kapit, Elvis Didit, Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak, Datu Ir. Dr. Cassidy Morris, Pegawai Daerah Belaga, Bidah Lujah, Ketua Pegawai Eksekutif DAL HCM, Datuk Dzulkarnaen Ahmad serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kerja Raya.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Evelyn Lungan (JAPEN Belaga)
Foto oleh : Clarence Chin (JAPEN Belaga)
KUCHING, 23 Sept: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima tiga kunjungan hormat di Pejabat Premier Sarawak, Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.
Kunjungan hormat yang pertama ialah daripada Duta Besar Republik Slovakia ke Malaysia, TYT Peter Spisiak, bagi membincangkan potensi kerjasama antara Slovakia dan Sarawak dalam bidang teknologi, alam sekitar dan pengurusan infrastruktur. Antara bidang yang dibincangkan termasuk pengurusan air dan banjir, pengurusan sisa dan kitar semula, teknologi alam sekitar, penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta pengurusan jalan raya.
Susulan perbincangan itu, satu sesi pembentangan secara dalam talian melibatkan syarikat-syarikat Slovakia akan dianjurkan bersama komuniti perniagaan Sarawak dengan kerjasama Sarawak Business Federation serta kementerian dan jabatan berkaitan bagi meneroka peluang kerjasama dalam bidang berkenaan.
Seterusnya, Abang Johari turut telah menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Ashwad Ismail yang antara lain membincangkan pengukuhan kerjasama antara Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Semasa kunjungan tersebut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, kerjasama berkenaan turut memberi tumpuan kepada aspek pendigitalan bagi memperluas penyampaian maklumat kepada masyarakat serta merapatkan jurang maklumat antara kerajaan Sarawak dan kerajaan Persekutuan.
Pertemuan itu turut membincangkan usaha perkongsian bahan arkib RTM, khususnya dokumentasi dan gambar lama untuk dimanfaatkan dalam usaha mendokumentasikan perjalanan 60 tahun Malaysia dan dikongsi dengan generasi muda.
Selain itu, kerjasama penyiaran dan pengurusan media bagi penganjuran Sukan SEA 2027 turut disentuh dengan RTM menyatakan kesediaan berkongsi kepakaran serta pengalaman dalam aspek penyiaran, teknikal dan pengurusan media bagi acara berskala besar.
Kunjungan hormat terakhir ialah kunjungan Naib Canselor baharu Universiti Teknologi Sarawak (UTS), YBrs Prof. Ir. Ts. Dr. Mohammad Shahril Osman yang memberi tumpuan kepada perkembangan semasa serta hala tuju universiti termasuk penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam proses kerja.
Beliau turut berkongsi perkembangan jumlah pelajar UTS yang kini kira-kira 5,700 orang termasuk lebih 2,000 pelajar yang menerima manfaat Free Tuition Education Scheme (FTES). Dalam pertemuan itu, UTS turut memaklumkan perancangan memperluas penawaran program akademik baharu serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan melalui penerapan AI.
Pada kunjungan tersebut, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohammad Shahril Osman turut menjemput Premier Sarawak menghadiri Majlis Konvokesyen UTS yang dijadualkan berlangsung pada 14 November 2026.-PENERANGAN.
-TAMAT-
Disediakan oleh: Azila Mustaffa (BMKK)
Foto : Mohamad Rizal Matasan & Eddie Allan Blanking (BKVS)
DARO, 23 September – Peranan Jabatan Penerangan (JAPEN) bukan sekadar menyampaikan maklumat dan dasar kerajaan, malah turut menjadi perantara dalam mendengar isu serta permasalahan masyarakat di peringkat akar umbi sebelum disalurkan kepada pihak yang bertanggungjawab untuk tindakan selanjutnya.
Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak, Sabri Said berkata, pendekatan komunikasi dua hala antara kerajaan dengan masyarakat amat penting bagi memastikan pandangan dan keprihatinan rakyat mendapat perhatian sewajarnya katanya ketika menghadiri Program Info On Wheels (IOW) Khas di Rumah Jantai Anak Elom, Nanga Semah dan Kampung Penasu, di sini, hari ini.
Menurut beliau, pelaksanaan program berkenaan merupakan antara usaha berterusan JAPEN Sarawak untuk merakyatkan penyampaian maklumat berkaitan dasar, program dan inisiatif kerajaan kepada masyarakat tanpa mengira lokasi.
Katanya, cabaran geografi termasuk perjalanan menggunakan laluan sungai tidak menghalang JAPEN untuk mendekati komuniti, khususnya masyarakat di kawasan luar bandar yang sukar dihubungi melalui jalan darat.
“Program ini memperlihatkan kesungguhan JAPEN dalam memastikan maklumat sampai secara terus kepada komuniti akar umbi, di samping memberi ruang kepada penduduk untuk menyuarakan pandangan dan permasalahan mereka,” katanya.
Sesi dialog bersama penduduk turut memberi ruang kepada masyarakat setempat mengemukakan pelbagai isu dan keperluan yang dihadapi untuk perhatian serta tindakan pihak berkaitan.
Sempena program tersebut, turut diadakan penyerahan sumbangan bakul makanan kepada 10 penerima dalam kalangan warga emas sebagai usaha membantu meringankan beban serta menjaga kebajikan golongan berkenaan.
Terdahulu, rombongan JAPEN Sarawak bergerak ke Nanga Semah menggunakan bot laju sebelum meneruskan perjalanan ke Kampung Penasu bagi menyantuni komuniti setempat. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan / foto oleh: Syahrulizan Madian (JAPEN Daro)
KUCHING, 25 September 2026 – Program Bicara@Integriti Bilangan 3 Tahun 2026 Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) menjadi platform memperkukuh kefahaman warga kerja terhadap kepentingan integriti, tadbir urus dan tanggungjawab dalam melaksanakan amanah sebagai penjawat awam.
Program yang berlangsung di Auditorium FINAS Cawangan Sarawak itu menghimpunkan warga JAPEN Sarawak secara bersemuka serta dalam talian menerusi dua sesi perkongsian yang memberi penekanan kepada isu ketirisan dalam perolehan dan penyalahgunaan dadah.
Sesi pertama disampaikan oleh Penolong Kanan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sarawak, Jackson Mingat Pinol menerusi ceramah bertajuk 'Ketirisan dalam Perolehan: Sebut Harga’ atau ‘Sebut Hadiah?'.
Perkongsian tersebut memberi pendedahan mengenai risiko ketirisan, salah guna kuasa serta salah laku dalam urusan perolehan, khususnya kepentingan mematuhi tatacara dan prosedur yang ditetapkan bagi memastikan pengurusan kewangan kerajaan dilaksanakan secara telus dan berintegriti.
Sementara itu, sesi kedua disampaikan oleh Kaunselor Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sarawak, Alimulia En menerusi tajuk 'Sayangi Kerjaya: Jauhi Dadah, Hidup Sejahtera'.
Sesi berkenaan memberi kesedaran mengenai kesan penyalahgunaan dadah terhadap diri, keluarga dan kerjaya, selain menekankan kepentingan menjauhi gejala tersebut bagi memastikan warga kerja dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik serta mengekalkan profesionalisme.
Dalam ucapan aluannya, Pengarah JAPEN Sarawak, Sabri Said berkata penganjuran program berkenaan merupakan komitmen berterusan JAPEN dalam memupuk, mengukuh dan menginstitusikan nilai integriti dalam kalangan penjawat awam sehingga menjadi budaya dalam organisasi.
Menurutnya lagi, sebagai jentera penyampaian maklumat kerajaan, warga JAPEN perlu sentiasa mempertahankan prinsip akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus yang baik dalam melaksanakan setiap tugasan.
Sabri turut berkata integriti tidak hanya berkaitan isu kewangan, rasuah dan salah guna kuasa, sebaliknya merangkumi disiplin diri, sahsiah serta moral peribadi setiap penjawat awam.
Katanya lagi, penyalahgunaan dadah juga mempunyai kaitan dengan aspek integriti kerana boleh menjejaskan pertimbangan seseorang, disiplin serta keupayaan melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan baik.
Sehubungan itu, Sabri menyeru seluruh warga JAPEN supaya menjadikan perkongsian yang disampaikan sebagai panduan dan iktibar serta sentiasa melakukan muhasabah dan penambahbaikan diri bagi menghindarkan diri daripada gejala rasuah, salah guna kuasa dan penyalahgunaan dadah.
Program tersebut turut memberi ruang kepada peserta untuk berinteraksi dan mengemukakan persoalan kepada penceramah bagi mendapatkan pencerahan berkaitan isu integriti, perolehan dan penyalahgunaan dadah.
Penganjuran Bicara@Integriti diharap dapat terus menyemai kesedaran serta membudayakan amalan integriti dalam kalangan warga JAPEN selaras dengan tanggungjawab sebagai penjawat awam dan penyampai maklumat kerajaan kepada masyarakat. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Alya Sukri (BMKK)
Foto : Khairul Anwar Ali (BKVS)