JABATAN PENERANGAN MALAYSIA SARAWAK
KUCHING, 28 Julai - Pembukaan Hotel voco Kuching, hotel pertama di bawah jenama voco Hotels oleh IHG Hotels & Resorts di Malaysia, dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor perkhidmatan dan pelancongan di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata ketika merasmikan pembukaan Wisma Elica yang menempatkan Hotel voco Kuching, hari ini, penyediaan kemudahan penginapan bertaraf antarabangsa yang disokong oleh infrastruktur moden dan cekap merupakan antara faktor penting dalam menarik lebih banyak pelaburan serta meningkatkan kedatangan pelancong ke negeri ini.
Menurut beliau, pembukaan hotel berkenaan bukan sahaja menjadi satu pencapaian penting kepada Elica Equity Sdn. Bhd. dan rakan strategiknya, malah turut mencerminkan keyakinan sektor swasta terhadap potensi ekonomi Sarawak.
“Perasmian Hotel voco pada hari ini mewakili sesuatu yang jauh lebih besar daripada sekadar penyiapan sebuah bangunan.
"Ia melambangkan keyakinan terhadap masa depan kita serta mencerminkan kesediaan sektor swasta untuk melabur dalam ekonomi kita,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak sedang mempergiat usaha memperkukuh infrastruktur awam, termasuk pelaksanaan sistem Transit Aliran Autonomi (ART) berkuasa hidrogen yang dijangka mula beroperasi bagi laluan tertentu menjelang penghujung tahun ini.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, penyediaan kemudahan penginapan jangka panjang seperti yang ditawarkan oleh Hotel voco Kuching juga selari dengan perancangan kerajaan negeri untuk memperkasa sektor pelancongan kesihatan.
Katanya, pembangunan hospital baharu termasuk di Batu Lintang dan North Bank dijangka mampu menarik lebih ramai pesakit antarabangsa mendapatkan rawatan serta menjalani tempoh pemulihan di Sarawak.
Beliau turut menjelaskan bahawa peningkatan hasil pendapatan Sarawak daripada RM7 bilion kepada RM14 bilion membolehkan kerajaan negeri terus melaksanakan pelaburan strategik dalam projek-projek infrastruktur yang menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri, Pengarah Urusan Elica Equity Sdn. Bhd., Datuk Bobby Ting Sie Ching serta Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan Asia Timur dan Pasifik IHG Hotels & Resorts, Rajit Sukumaran.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Safik Effendi Kassim (BMKK)
Jurufoto: Mohamad Rizal (BKVS)
KUCHING, 22 Julai – Sarawak membuka laluan baharu dalam pembangunan ekonomi halal serantau menerusi penganjuran sulung Borneo International Halal Showcase (BIHAS) 2026, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai pintu masuk ke pasaran halal Borneo.
Mengangkat tema 'Sustainable Halal Ecosystem in Borneo', BIHAS 2026 telah dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di sebuah hotel terkemuka, di sini semalam.
Program yang berlangsung dari 21 hingga 23 Julai itu dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) dengan kerjasama Majlis Islam Sarawak (MIS) dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) serta disokong oleh Business Events Sarawak dan Shapers Malaysia Sdn. Bhd.
Menurut Premier, industri halal perlu dilihat sebagai sektor ekonomi bernilai tinggi yang berteraskan kualiti, integriti dan pematuhan piawaian antarabangsa bukan sekadar memenuhi keperluan pengguna Islam.
Katanya, beliau turut mengajak negara-negara serantau, khususnya Malaysia, Indonesia, Brunei, China dan India, memperluas jaringan kolaborasi bagi membangunkan sektor halal yang berdaya saing dan mampan sekali gus membuka lebih banyak peluang perdagangan, pelaburan serta akses ke pasaran global.
Tambahnya, Sarawak memberi penekanan terhadap penyelidikan berasaskan sains, pembangunan modal insan dan pendidikan sebagai asas pertumbuhan industri halal, di samping memanfaatkan teknologi baharu termasuk semikonduktor, pusat data dan satelit orbit rendah bagi menyokong transformasi ekonomi negeri.
Pada majlis sama, Premier Sarawak turut melancarkan Pelan Pembangunan Industri Halal Sarawak 2026–2030 sebagai dokumen strategik bagi memacu pertumbuhan sektor halal negeri selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Majlis turut menyaksikan penyampaian Sijil Halal kepada Biport Bulkers Sdn. Bhd.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur BIHAS 2026 yang juga Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata BIHAS menjadi platform strategik untuk memperluas hubungan perniagaan, merangsang inovasi serta menarik peluang perdagangan dan pelaburan dalam sektor halal.
Katanya, BIHAS 2026 menghimpunkan kira-kira 600 delegasi persidangan, 133 peserta pameran dan 33 penceramah dari dalam serta luar negara, selain penyertaan pemain industri, pelabur dan penyelidik dari Brunei, Indonesia, Singapura, China, Arab Saudi, Pakistan, Turkiye, Brazil, Amerika Syarikat, Sri Lanka dan India.
Sepanjang tiga hari penganjuran, BIHAS 2026 menampilkan Persidangan Halal Antarabangsa, pameran perdagangan, sesi padanan perniagaan, forum pakar, pembentangan teknologi halal, program pembangunan usahawan muda serta demonstrasi kulinari menerusi Borneo Halal Kitchen yang dijangka menarik kira-kira 50,000 pengunjung.
Majlis turut menyaksikan pertukaran tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan syarikat luar negara, dewan perniagaan dan rakan strategik serantau dalam bidang eksport halal, pembangunan kapasiti, penyelidikan, pendidikan serta peluasan akses pasaran antarabangsa.
Antara kerjasama yang dimeterai melibatkan Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS), Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS) serta Kamar Dagang dan Industri Indonesia Provinsi Kalimantan Barat (KADIN Kalbar) bagi memperluas perdagangan rentas sempadan dan pembangunan industri halal di rantau Borneo.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi. - PENERANGAN - - TAMAT -
Disediakan oleh: Mohamad Munir (BMKK)
Foto: Khairul Anwar (BKVS)
KUCHING, 20 Julai - Sarawak secara rasmi melancarkan penerbangan sulung AirBorneo bagi laluan Kuching-Kuala Lumpur sebagai langkah strategik memperkukuh keterhubungan udara dan menstabilkan kadar tambang penerbangan untuk rakyat.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata penubuhan syarikat penerbangan milik negeri itu bertindak sebagai jambatan perkhidmatan awam yang bukan berteraskan keuntungan semata-mata sebaliknya bagi memastikan tambang siling RM375 yang diumumkan dapat dipertahankan demi kesejahteraan pengguna.
"Apabila kita mengumumkan kadar tambang RM375, syarikat penerbangan lain turut mula menurunkan harga mereka sekali gus membuktikan objektif utama kita untuk menstabilkan harga pasaran telah tercapai,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Sarawak yang terletak di Kepulauan Borneo memerlukan medium logistik udara sendiri tanpa bergantung kepada pihak luar demi merangsang sektor perniagaan, pelancongan perubatan serta pembangunan ekonomi makro negeri.
Katanya, fasa seterusnya menyaksikan AirBorneo bakal melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa melalui penerbangan ke Singapura sempena Hari Sarawak pada 22 Julai diikuti penambahan armada pesawat ATR baharu yang lebih moden untuk memenuhi keperluan laluan domestik dan pelajar.
Terdahulu, Pengerusi AirBorneo, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata pelancaran penerbangan sulung tersebut menanda titik permulaan era jet komersial syarikat berkenaan yang beroperasi menggunakan dua pesawat Boeing 737-800.
Beliau menjelaskan bahawa penubuhan AirBorneo merupakan cetusan idea serta visi strategik Premier Sarawak bagi menangani bebanan rakyat yang sekian lama berdepan isu tambang udara yang tinggi dan tidak menentu.
Tambah beliau, kejayaan mengendalikan industri penerbangan yang berstruktur teknikal dan kompleks itu membuktikan keupayaan serta kapasiti Sarawak dalam menguruskan aset megah berskala nasional.
Istimewanya, pencapaian bersejarah itu disifatkan sebagai hadiah paling bermakna buat seluruh rakyat Sarawak sempena sambutan Perayaan Hari Sarawak yang bakal diraikan.
Pihak pengurusan syarikat AirBorneo turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, Kementerian Pengangkutan Malaysia serta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) atas sokongan dalam merealisasikan operasi penerbangan berkenaan.
Inisiatif terbaharu itu dijangka memantapkan lagi sektor penerbangan domestik, merapatkan hubungan komuniti antara Wilayah Borneo dan Semenanjung Malaysia serta membuka peluang ekonomi yang lebih luas.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo Airways Sdn. Bhd., Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin serta barisan ahli lembaga pengarah syarikat. -PENERANGAN- -TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Saiful Rahman Sabri / Lance Dunstan (BKVS)
KUALA LUMPUR, 20 Julai - Syarikat penerbangan AirBorneo secara rasmi memulakan operasi penerbangan komersial pertama bagi laluan Kuching ke Kuala Lumpur selepas Kerajaan Sarawak ambil alih syarikat penerbangan MASwings daripada Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Langkah strategik tersebut diambil dengan persetujuan Kerajaan Persekutuan bagi memperkukuh jaringan logistik udara sekali gus merancakkan lagi sektor ekonomi domestik.
Syarikat penerbangan milik penuh kerajaan Sarawak ini menggalas dua fungsi utama termasuklah meneruskan operasi perkhidmatan udara luar bandar (RAS) sedia ada di wilayah Sarawak dan Sabah.
Pengambilalihan turut membolehkan AirBorneo melebarkan sayap perniagaannya sebagai entiti penerbangan komersial yang beroperasi di luar kawasan kepulauan Borneo termasuk jaringan pasaran ASEAN.
"Hari ini merupakan permulaan satu perjalanan penting dari Kuching ke Kuala Lumpur bersempena dengan sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai ini," kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semasa sesi sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1, di sini hari ini.
Katanya, perluasan laluan ke Kuala Lumpur itu bakal mempererat hubungan antara penduduk di Semenanjung Malaysia dengan wilayah Sarawak serta Sabah melalui penyediaan 'jambatan' udara.
Syarikat penerbangan AirBorneo turut komited untuk menetapkan kadar tambang tetap yang berpatutan dan mampu milik sepanjang tahun bagi mengurangkan beban kewangan para pelajar serta pelancong.
Fasa pengembangan seterusnya menyaksikan AirBorneo bakal memulakan penerbangan antarabangsa sulung bagi laluan Kuching - Singapura pada 22 Julai ini diikuti destinasi Jakarta dalam tempoh terdekat.
Langkah komersial tersebut dijangka mampu memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab pelaburan hijau dunia berikutan kemasukan pelabur asing dalam sektor tenaga boleh diperbaharui serta semikonduktor.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Dato Awang Bemee Awang Ali Basah; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, Dato Sri Nancy Shukri, Menteri Perpaduan Negara Malaysia, Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia, Dato Lukanisman Awang Sauni, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia, Dato Sri Huang Tiong Sii, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Wilson Ugak Kumbong, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato Hanifah Hajar Taib, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Tokoh Korporat, Tan Sri Dato’ Seri Ahmad Johan dan Tan Sri Dr Azmil Khalid serta tetamu kenamaan lain.-PENERANGAN.
-TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Saiful Rahman Sabri (BKVS)
KUCHING, 20 Julai - Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak hari ini memulakan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 menerusi pemasangan bendera di perkarangan Ibu Pejabat JAPEN Sarawak.
Simbolik pemasangan bendera tersebut diketuai oleh Timbalan Pengarah JAPEN Sarawak, Sri Kestury Mohammed Zamhari bersama pegawai dan warga kerja jabatan sebagai tanda komitmen JAPEN Sarawak dalam menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan.
Menurut Sri Kestury, usaha tersebut bertujuan menyemai rasa cinta terhadap negara dan menggalakkan penghayatan nilai patriotisme dalam kalangan masyarakat berbilang kaum agar ia menjadi amalan yang berterusan, bukan sekadar sempena sambutan kebangsaan.
"Selain Kempen 1 Rumah, 1 Jalur Gemilang, pemasangan bendera di premis kerajaan merupakan antara fokus utama pada tahun ini bagi mewujudkan suasana sambutan yang lebih menyeluruh.
"Inisiatif ini diharap menjadi pemangkin kepada sektor swasta, pertubuhan komuniti dan orang ramai untuk turut mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbol perpaduan, patriotisme dan kecintaan kepada Malaysia," katanya hari ini.
Beliau turut mengajak agar orang ramai mengambil bahagian dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, premis perniagaan dan pejabat masing-masing sepanjang sambutan HKHM 2026.
Simbolik pemasangan bendera itu merupakan antara pengisian awal JAPEN Sarawak dalam menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di negeri ini sekali gus meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menghayati semangat kemerdekaan dan perpaduan. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Alya Sukri (BMKK)
Foto : Cassidy Lisut (BKVS)
KUCHING, 19 Julai - Program Kasih Ibu Tunggal (KasihnITa) 2026 Peringkat Negeri Sarawak terus menjadi platform penting dalam memperkasa golongan ibu tunggal menerusi penyediaan latihan, peningkatan kemahiran serta sokongan menyeluruh bagi membantu mereka membina kehidupan yang lebih stabil, berdaya tahan dan berdikari.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, ibu tunggal bukan sekadar memerlukan bantuan, sebaliknya peluang untuk bangkit, memperkasa potensi diri dan membina masa depan yang lebih baik bersama keluarga.
Katanya ketika merasmikan Program Kasih Ibu Tunggal (KasihnITa) 2026 Peringkat Negeri Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini di sebalik gelaran ibu tunggal terdapat wanita yang memikul pelbagai tanggungjawab sebagai ibu, pencari nafkah, pendidik serta sumber kekuatan kepada anak-anak.
Beliau berkata, berdasarkan Bancian Penduduk dan Perumahan 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat lebih 341,000 ketua isi rumah wanita di Malaysia termasuk lebih 27,000 di Sarawak sekali gus membuktikan kepentingan usaha memperkasa golongan tersebut sebagai pelaburan jangka panjang kepada kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negara.
Nancy berkata, bagi tahun 2026,
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperuntukkan sebanyak RM3.5 juta untuk melaksanakan Program KasihnITa di 13 negeri dengan sasaran penyertaan seramai 5,000 ibu tunggal di seluruh negara.
Katanya, di Sarawak sebanyak 417 permohonan diterima, namun hanya 150 peserta dipilih untuk mengikuti program tersebut pada sesi kali ini.
Katanya lagi, sambutan yang diterima membuktikan kesungguhan golongan ibu tunggal untuk meningkatkan ilmu, kemahiran serta taraf kehidupan melalui peluang pembangunan diri yang disediakan.
Tambahnya, Program KasihnITa bukan sahaja menyediakan latihan peningkatan kemahiran, malah memberi pendedahan berkaitan hak wanita, pengurusan kewangan, pembangunan sahsiah dan pembinaan keyakinan diri bagi membantu peserta mencapai kehidupan yang lebih mampan.
"Kejayaan program tidak hanya diukur berdasarkan jumlah penyertaan, sebaliknya melalui keupayaan peserta menjana pendapatan sendiri, meningkatkan kesejahteraan keluarga dan menjadi contoh kepada masyarakat," katanya hari ini.
Nancy turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pembangunan Wanita, kerajaan Sarawak serta semua rakan strategik daripada sektor awam dan swasta yang terus memberikan komitmen dalam menjayakan Program KasihnITa.
Katanya, beliau berharap kerjasama strategik tersebut dapat diperkukuh bagi membuka lebih banyak peluang kepada golongan ibu tunggal untuk meningkatkan taraf hidup, memperkasa potensi diri serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Hanani Sapit, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Nordina Haron, Ketua Pejabat Wilayah Bank Negara Malaysia (BNM) Kuching, Rantai Naga, Pengarah Jabatan Bantuan Guaman (JBG) Sarawak, Zubaidah Sharkawi, Pegawai Syariah (Hakim Syarie) Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS), Suhardi Bujang serta ketua-ketua jabatan.
-PENERANGAN-
-TAMAT -
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Eddie Alan (BKVS)
KUCHING, 19 Julai — Alumni mahasiswa Universiti Nanyang membuktikan semangat perpaduan global mereka merentas sempadan negara dan generasi kekal utuh dalam satu majlis perhimpunan rasmi di salah sebuah hotel terkemuka, di sini malam tadi.
Majlis Makan Malam Perhimpunan Global Ke-20 Alumni Universiti Nanyang itu telah menghimpunkan ratusan alumni serta tetamu kehormat dari dalam dan luar negara serta diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Acara anjuran Persatuan Alumni Universiti Nanyang Sarawak bertujuan untuk mengenang sejarah penubuhan universiti selain memperkukuh jalinan ukhuwah sesama ahli persatuan.
Abang Johari dalam ucapan perasmiannya memuji sumbangan besar institusi pendidikan berkenaan yang berjaya melahirkan barisan pemimpin, usahawan, pendidik dan profesional berwibawa di rantau ini.
"Semangat Nanyang yang dibina berasaskan kecekalan, perpaduan, kecemerlangan dan pembelajaran sepanjang hayat kekal relevan hari ini sama seperti ketika universiti ini mula dibuka dahulu,” ujarnya.
Beliau turut berkata kerajaan negeri akan terus memartabatkan sektor pendidikan melalui pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) serta penyediaan peruntukan tahunan khas sebanyak RM10 juta untuk sekolah Cina di Sarawak.
Perhimpunan tersebut dilihat telah mencerminkan kekayaan identiti dan budaya dalam kalangan alumni di samping memaparkan kesediaan alumni untuk terus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi global.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Hii Chang Kee, Pengerusi Alumni Universiti Nanyang Datuk Tiong Thai King, Pengerusi Pengelola Majlis David Wong Siew Chow dan tetamu kehormat lain. -PENERANGAN- -TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Khairul Anwar (BKVS)
SIBU, 11 Julai - Program Sarawakku Sayang (SKS) terus menjadi platform strategik kerajaan Sarawak dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat menerusi penyediaan pelbagai perkhidmatan di samping mendapatkan maklum balas secara langsung bagi menambah baik dasar serta mutu penyampaian perkhidmatan awam.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pendekatan tersebut membolehkan kerajaan mendekati rakyat secara lebih menyeluruh, sekali gus memastikan setiap dasar dan inisiatif yang dilaksanakan memenuhi keperluan masyarakat.
Katanya ketika merasmikan Program Sarawakku Sayang Bahagian Sibu yang berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Julai di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang, di sini, hari ini, program Sarawakku Sayang menjadi medium penting bagi kerajaan mendengar sendiri pandangan, cadangan dan keperluan rakyat sebelum sesuatu dasar atau penambahbaikan dilaksanakan.
Tambahnya, antara maklum balas utama yang diterima sepanjang program tersebut melibatkan aspek kesihatan dan pendidikan, termasuk hasil saringan kesihatan yang membolehkan kerajaan mengenal pasti isu kesihatan masyarakat lebih awal, selain sambutan positif terhadap inisiatif pendidikan tinggi percuma yang ditawarkan Kerajaan Sarawak dalam bidang strategik seperti aeroangkasa, semikonduktor, kejuruteraan dan psikologi.
Katanya lagi, kerajaan juga akan terus memperkasa agenda transformasi digital menerusi penggunaan teknologi serta kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, termasuk penyaluran bantuan kepada rakyat melalui platform digital seperti S Pay Global.
Menyentuh pembangunan Sibu, Abang Jo berkata kerajaan telah merangka pelan pembangunan jangka panjang selama 15 hingga 20 tahun bagi mentransformasikan bandar itu sebagai hab ekonomi moden, mampan dan berdaya saing.
"Antara fokus utama pelan pembangunan tersebut ialah menaik taraf sistem saliran bagi mengatasi masalah air bertakung, membangunkan Sibu Economic Zone, memperkukuh ekonomi hijau serta memanfaatkan tenaga hijau sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi selepas tahun 2030," katanya.
Menurutnya, pembangunan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil inspirasi daripada model pembangunan bandar Amsterdam yang mengimbangi pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar, selain disokong usaha mewartakan kawasan rizab alam semula jadi seluas 301 hektar atau 744 ekar bagi memelihara tanah gambut sebagai penyerap karbon semula jadi selaras dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Abang Jo turut berkata, semua inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang Kerajaan Sarawak untuk menjadikan negeri ini sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, mampan dan berdaya tahan, sekali gus merealisasikan aspirasi menjadikan Sarawak sebagai 'Bavaria Malaysia' berasaskan kekuatan ekonomi, teknologi, inovasi dan pembangunan inklusif demi kesejahteraan rakyat.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Tiong King Sing, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta barisan menteri dan timbalan menteri Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.– PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Mohamad Munir (BMKK)
Jurufoto : Bolhan Hj Basah (BKVS)
KUCHING, 18 Julai - Projek naik taraf jeti Pending Seberang Kampung Muhibah kini hampir siap dan dijangka akan beroperasi mengikut jadual, sekali gus memberi kemudahan lebih selesa dan selamat kepada penduduk yang menggunakan perkhidmatan penyeberangan sungai.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Sri Nancy Shukri berkata, kemajuan projek ketika ini amat memberangsangkan dengan hanya kira-kira 10 peratus kerja pembinaan berbaki sebelum ia dijangka siap sepenuhnya pada 24 Ogos ini.
Menurut beliau, kerja-kerja yang masih berbaki melibatkan pembinaan beberapa meter struktur jeti serta pemasangan tangga, selain bergantung kepada keadaan cuaca dan paras air sungai yang menjadi antara faktor utama mempengaruhi kelancaran pembinaan.
"Setakat ini semuanya berjalan lancar dan kita berharap kontraktor dapat menyiapkan projek ini mengikut jadual.
"Jika tiada gangguan cuaca yang ketara, jeti ini dijangka siap serta boleh digunakan oleh penduduk dalam tempoh yang ditetapkan," katanya pada sidang media selepas meninjau projek berkenaan hari ini.
Nancy berkata, projek bernilai kira-kira RM600,000 itu dilaksanakan bagi memudahkan penduduk Kampung Muhibah serta beberapa kampung berhampiran yang bergantung kepada laluan sungai sebagai penghubung utama untuk menjalankan urusan harian.
Beliau menjelaskan, pembinaan semula jeti tersebut bukan sekadar menyediakan kemudahan infrastruktur, malah bertujuan meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna yang menggunakan pengangkutan air setiap hari.
Mengulas mengenai cabaran pelaksanaan projek, beliau berkata faktor cuaca merupakan risiko utama kepada kontraktor memandangkan paras air sungai masih boleh dijangka, namun keadaan cuaca yang tidak menentu boleh menjejaskan jadual pembinaan.
Dalam perkembangan lain, Nancy turut mengulas insiden melibatkan sebuah tadika di Langkawi yang tular di media sosial, sambil menegaskan bahawa walaupun tadika berkenaan berada di bawah seliaan Kementerian Pendidikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetap memainkan peranan dalam melindungi kebajikan kanak-kanak.
Beliau berkata, JKM akan terus bekerjasama rapat dengan polis dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dalam siasatan kes tersebut, selain pelindung kanak-kanak akan menyediakan laporan yang diperlukan bagi membantu proses siasatan dan sekiranya kes dibawa ke mahkamah.
Nancy turut menasihatkan pengusaha tadika supaya mematuhi semua aspek keselamatan dan kebajikan kanak-kanak serta menghentikan sementara operasi jika diarahkan pihak berkuasa sehingga siasatan selesai, bagi memastikan hak dan keselamatan kanak-kanak sentiasa terpelihara.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Mohd Rizal Matasan (BKVS) See
KUCHING, 17 Julai - Pengamal media perlu terus mendukung integriti sebagai teras kredibiliti media negara dalam mendepani cabaran ekonomi global serta landskap politik semasa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata media berperanan penting dalam menyampaikan maklumat yang tepat, beretika dan dipercayai bagi memastikan masyarakat memperoleh informasi yang sahih.
Katanya ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 Peringkat Sarawak dan Sarawak Media Conference (SMeC) 2026 di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi yang mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kestabilan politik merupakan asas penting bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, usaha mengurangkan ketegangan politik akan membolehkan perhatian negara difokuskan kepada cabaran ekonomi global yang berpotensi memberi kesan terhadap struktur sosial dan pembangunan negara.
“Bagaimana kita mahu memastikan supaya ‘suhu’ politik itu dapat dikurangkan agar tumpuan dan fokus seluruh rakyat dapat dialihkan kepada usaha menghadapi cabaran ekonomi,” katanya.
Menyentuh perkembangan teknologi, beliau berkata kemajuan pesat teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) telah mengubah landskap kewartawanan sekali gus menuntut pengamal media mengutamakan ketepatan, integriti dan kepercayaan dalam setiap laporan.
“Cabaran media hari ini bukan lagi sekadar menjadi yang pertama melaporkan sesuatu berita tetapi menjadi yang paling tepat, paling berintegriti dan paling dipercayai,” katanya.
Tambahnya, kerajaan Persekutuan sentiasa komited melindungi keselamatan ruang digital domestik melalui penguatkuasaan undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA).
Beliau turut menyifatkan penubuhan Majlis Media Malaysia sebagai langkah signifikan ke arah memperkukuh amalan kawal selia kendiri industri kewartawanan berteraskan akauntabiliti dan profesionalisme.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan serta tetamu kehormat lain.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto : Bolhan Hj Basah (BKVS)
KUCHING, 16 Julai - Kebebasan media perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab, etika kewartawanan serta pematuhan kepada undang-undang bagi memastikan penyampaian maklumat yang tepat, berintegriti dan diyakini masyarakat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg ketika merasmikan Sarawak Media Conference 2026 (SMeC) yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka, di sini hari ini berkata, pengamal media memainkan peranan penting sebagai penyampai maklumat yang membantu rakyat memahami dasar serta agenda pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Menurut beliau, perkembangan pesat teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), media sosial dan teknologi pengecaman wajah (facial recognition) membuka pelbagai peluang kepada industri media, namun pada masa sama menuntut pengamal media supaya lebih bertanggungjawab dalam memastikan setiap maklumat yang disebarkan adalah sahih dan tepat.
Katanya, cabaran penyebaran maklumat palsu serta manipulasi kandungan digital memerlukan pengamal media terus berpegang teguh kepada prinsip kewartawanan yang profesional, objektif dan beretika.
Tambahnya, beliau turut menekankan bahawa media mempunyai peranan penting menyampaikan kepada rakyat pelbagai inisiatif pembangunan yang sedang dilaksanakan di Sarawak, termasuk pendidikan tinggi percuma, pembangunan ekonomi berasaskan hidrogen, teknologi hijau, pusat data, teknologi satelit serta penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS).
Justeru, beliau berharap kerjasama erat antara kerajaan dan organisasi media dapat terus diperkukuh bagi memastikan maklumat berkaitan pembangunan negeri disampaikan secara tepat, seimbang dan berfakta.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Menterii di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, barisan menteri dan timbalan menteri kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Bolhan Haji Basah (BKVS)
KUCHING, 15 Julai - Sarawak menyasarkan liputan bekalan air bersih di seluruh negeri mencapai 100 peratus menjelang 2030 menerusi pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar, pendigitalan sistem bekalan air serta pengukuhan kerjasama strategik bagi menjamin keselamatan bekalan air untuk rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, usaha tersebut merupakan antara agenda utama kerajaan negeri di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) bagi menyokong pembangunan ekonomi yang berpendapatan tinggi, mampan dan inklusif.
Katanya, Sarawak sedang memperkukuh sektor air melalui pembangunan infrastruktur yang lebih berdaya tahan, transformasi digital, reformasi institusi serta kerjasama strategik sebagai persediaan memenuhi keperluan pembangunan masa depan.
Menurutnya lagi, pembangunan sektor air menjadi keutamaan berikutan peranan Sarawak yang semakin berkembang sebagai hab tenaga boleh diperbaharui, ekonomi hidrogen, industri hijau, pembuatan berteknologi tinggi dan pusat data yang memerlukan sistem bekalan air mampan serta berdaya tahan.
Katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Borneo International Water & Wastewater Exhibition & Conference (BIWWEC) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini setakat ini liputan bekalan air di Sarawak telah mencapai 86.1 peratus, manakala liputan di kawasan luar bandar berada pada 71.9 peratus. Kerajaan negeri komited memastikan semua rakyat menikmati bekalan air bersih menjelang 2030.
Bagi merealisasikan sasaran itu, katanya, kerajaan negeri sedang melaksanakan Grid Air Sarawak yang melibatkan pembinaan kira-kira 2,800 kilometer saluran paip utama dari selatan hingga utara negeri, selain pembinaan dan penaiktarafan 21 loji rawatan air utama bagi meningkatkan kebolehpercayaan sistem bekalan air.
Menurutnya lagi, Program Sarawak Alternative Water Supply (SAWAS) yang menggunakan teknologi seperti sistem berkuasa solar dan graviti telah menyediakan bekalan air bersih kepada kira-kira 2,600 isi rumah di 79 kampung dan rumah panjang manakala lebih 1,300 kampung dan rumah panjang lagi dijangka menerima manfaat menerusi pelaksanaan fasa seterusnya.
Abang Jo turut menyentuh aspek transformasi institusi, di mana menurutnya, penyatuan tiga agensi bekalan air negeri di bawah Sarawak Water Sdn. Bhd. akan meningkatkan kecekapan, penyelarasan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan bekalan air di seluruh Sarawak, manakala Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) terus memainkan peranan penting dalam menyediakan bekalan air kepada komuniti luar bandar.
Menurutnya, pendigitalan sektor air akan diperkukuh melalui penggunaan Sistem Maklumat Geografi (GIS), meter pintar, sistem pengesanan kebocoran, Internet Pelbagai Benda (IoT), pusat kawalan SCADA serta teknologi Digital Twin berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kehilangan air dan memperkukuh pemantauan rangkaian bekalan air secara masa nyata.
Pada majlis sama, Premier Sarawak turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysian Water Association Sarawak Branch dan Netherlands Water Partnership selain lima kerjasama strategik melibatkan Sarawak Water Sdn. Bhd. bersama Puncak Telbina JV, Menara BumiMega Sdn. Bhd. (NR Aquatech), Comcore Technology Pte. Ltd., TeamSolve Pte. Ltd., BioVerde Technologies Sdn. Bhd. dan Accenture Solutions Sdn. Bhd. bagi memperkukuh pembangunan teknologi, inovasi serta pengurusan sektor air di negeri ini.
Turut hadir Timbalan Premier merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Safik Effendi Kassim (BMKK)
Jurufoto: Bolhan Basah (BKVS)
KUCHING, 13 Julai - Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, menerima dua kunjungan hormat di Astana Negeri Sarawak di sini hari ini.
Kunjungan hormat pertama melibatkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman bersama rombongan.
Kunjungan tersebut merupakan yang pertama oleh beliau sejak dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-31 pada 1 Januari lalu.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak membincangkan perkembangan Projek 1 Division Malaysian Infantry - Defence Package (1DMI-DP): Border Patrol Communication & Support Equipment, selain projek pembangunan yang melibatkan Tentera Darat di Sarawak.
Turut disentuh ialah pelaksanaan inisiatif Angkatan Masa Hadapan (AMH) yang melibatkan ketumbukan Tentera Darat di Sarawak sebagai sebahagian usaha memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan pertahanan negara.
Hadir sama ialah Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div), Mejar Jeneral Mohd Sobirin Mohd Yusof, Pengerusi Jemaah Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) Darat, Puan Sri Noor Ainy Mohd, Pengerusi BAKAT 1 Divisyen, Noor Hamiza Suhami serta rombongan.
Sementara itu, kunjungan hormat kedua disempurnakan oleh Jawatankuasa Majlis Sambutan Hari Sarawak yang diketuai Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin.
Kunjungan tersebut bertujuan mempersembahkan warkah persilaan kepada Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah sempena Sambutan Hari Sarawak yang dijadual berlangsung pada 21 dan 22 Julai ini di Sibu.
Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah dijadual menghadiri Majlis Kesyukuran di Masjid An-Nur, Sibu pada petang 21 Julai.
Pada 22 Julai, kedua-duanya dijadual menyertai program Unity Walk, melawat Pameran Hari Sarawak di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang, sebelum menghadiri Majlis Perhimpunan Hari Sarawak yang berlangsung di lokasi sama pada sebelah malam.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan I (Kesihatan Awam dan Perumahan), Datuk Dr. Penguang Manggil, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr. Juanda Jaya, Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS), Datu Hamdan Sharbini,Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Sarawak, Datuk Georgina Apphia Ngau, Residen Bahagian Sibu, Superi Awang Said serta rombongan.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Abdul Hakeem Well (BKVS)
KUCHING, 14 Julai - Sarawak memacu agenda ekonomi hijau menerusi pemuliharaan khazanah hutan secara lestari demi mendepani cabaran perubahan iklim global.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerajaan negeri komited melaksanakan pendekatan pembangunan mampan yang mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar.
"Kerajaan negeri mengunjurkan peralihan korporat daripada hasil pembalakan konvensional kepada perdagangan karbon antarabangsa bagi memastikan kelestarian ekosistem jangka panjang,” katanya di salah sebuah hotel terkemuka di sini ketika merasmikan Persidangan Perhutanan Malaysia (MFC) Ke-21 Tahun 2026 semalam.
Sarawak kini bekerjasama rapat dengan Bank Dunia bagi merangka formula boleh dipercayai dalam menentukan nilai pasaran kredit karbon serta mekanisme pelepasan sifar bersih (net zero carbon).
Penguatkuasaan Sarawak Greenhouse Gas Emission Ordinance memperkukuh kedudukan negeri dalam meneroka pasaran tenaga hidrogen hijau berasaskan teknologi pemisahan molekul air secara elektrolisis.
Majlis tersebut turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) serta Memorandum Perjanjian (MoA) antara Jabatan Hutan Sarawak dengan rakan strategik termasuk Sarawak Energy, Tulen International, Craun Research Sdn Bhd, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Jabatan Perhutanan Sabah.
Turut berlangsung ialah penyerahan sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi penanaman spesies pokok asli tersenarai dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) terbanyak di hutan simpan dalam tempoh setahun serta pengisytiharan Rizab Semulajadi Bukit Lima di Sibu sebagai kawasan tanah gambut bandar terpelihara terbesar negara seluas 301 hektar.
Persidangan dwi-tahunan bertemakan 'Hutan sebagai Pemangkin Ekonomi Hijau' itu menghimpunkan 79 kertas kerja teknikal bersempena sambutan ulang tahun ke-60 penubuhannya sejak tahun 1966.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Ketua Setiausaha Kementerian Kelestarian Alam Sekitar dan Sumber Asli Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin, Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datu Abang Ahmad Abang Morni, Pengarah Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad serta Ketua Konservator Jabatan Perhutanan Sabah Datuk Zulkifli Suara dan tetamu kehormat lain.-PENERANGAN- -TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Eddie Allan Blanking (BKVS)
KUCHING, 13 Julai - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, mencadangkan Amanah Saham Sarawak Berhad (ASSAR) mengkaji peluasan portfolio pelaburannya melalui pengenalan dana baharu yang lebih inklusif bagi membolehkan penyertaan semua lapisan masyarakat, termasuk bukan Bumiputera, selaras dengan perkembangan ekonomi Sarawak yang semakin pesat.
Beliau berkata, langkah tersebut diyakini mampu memperluaskan penyertaan pelabur, memupuk budaya menyimpan dan melabur dalam kalangan rakyat serta meningkatkan pengumpulan modal domestik bagi menyokong pembangunan ekonomi negeri secara mampan.
Pada Majlis Pengumuman Dividen ASSAR bagi Tahun Kewangan Berakhir 30 Jun 2026 di Hikmah Exchange Event Centre, di sini, hari ini Premier turut melancarkan logo rasmi Permodalan ASSAR Sdn. Bhd. (PASB) sebagai identiti korporat baharu yang mencerminkan aspirasi syarikat dalam memperkukuh pengurusan pelaburan serta memperluaskan portfolio strategiknya.
Dalam ucapannya, beliau turut mengumumkan pengagihan dividen ASSAR sebanyak 6.5 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, meningkat 8.3 peratus berbanding 6.0 sen seunit yang diagihkan bagi tahun kewangan 2025 dan 2024.
Menurutnya, jumlah pengagihan dividen berkenaan mencecah RM34.35 juta, melibatkan 57,926 pemegang unit. Agihan tersebut merangkumi dividen interim sebanyak 3.0 sen seunit yang telah dibayar pada 16 Februari lalu serta dividen akhir 3.5 sen seunit yang akan dibayar sebelum penghujung Julai ini berdasarkan pegangan unit setakat 30 Jun 2026.
Tambahnya, peningkatan kadar dividen itu disokong oleh prestasi pelaburan yang lebih kukuh apabila ASSAR merekodkan pendapatan kasar direalisasikan sebanyak RM51.02 juta, meningkat 33 peratus berbanding tahun sebelumnya. Selepas mengambil kira perbelanjaan sebanyak RM8.12 juta, dana itu mencatatkan pendapatan bersih berjumlah RM42.90 juta.
Katanya lagi, Nilai Aset Bersih (NAB) ASSAR turut meningkat kepada RM617.31 juta setakat 30 Jun 2026, iaitu pertumbuhan hampir 14 peratus berbanding tahun sebelumnya. Pada masa sama, jumlah unit dalam edaran meningkat kepada 546.08 juta unit berbanding 484.05 juta unit, manakala NAB seunit kekal stabil pada RM1.13, sekali gus mencerminkan kedudukan kewangan dana yang terus kukuh.
Menurut beliau, prestasi tersebut didorong oleh pengurusan portfolio yang berdisiplin, prestasi memberangsangkan pelaburan ekuiti serta sumbangan sekuriti berpendapatan tetap yang terus menyediakan aliran pendapatan stabil. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) atas peruntukan saham khas Bumiputera bagi Tawaran Awam Permulaan (IPO) yang memberi sumbangan signifikan kepada prestasi pelaburan ASSAR.
Selain mencatat peningkatan kadar dividen, ASSAR turut merekodkan peningkatan rizab pendapatan kepada RM20.54 juta, iaitu pertumbuhan 71.3 peratus berbanding RM11.99 juta pada tahun kewangan sebelumnya. Beliau berkata, kedudukan rizab yang lebih kukuh itu akan menyokong kesinambungan agihan dividen yang kompetitif serta meningkatkan daya tahan dana dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran.
Dalam pada itu, Premier menyeru rakyat Sarawak agar terus menjadikan ASSAR sebagai instrumen pelaburan jangka panjang di samping menggalakkan pemegang unit mengemas kini maklumat peribadi masing-masing bagi memastikan urusan pembayaran dividen dapat dilaksanakan dengan lancar.
Katanya, beliau turut berharap cadangan memperluaskan penyertaan pelabur dapat direalisasikan agar lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Turut hadir Pengerusi Yayasan Tun Jugah, Datuk Patinggi Tan Sri Leonard Linggi anak Tun Jugah, Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali, Pengerusi Kumpulan Syarikat Permodalan ASSAR, Dato Sri Wahab Dolah serta kenamaan yang lain. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Mohamad Munir (BMKK)
Jurufoto: Khairul Anwar Ali (BKVS)
KUCHING, 14 Julai - Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Sarawak (ACCCIS) menyerahkan Memorandum Isu Semasa kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi, hari ini.
Ketua rombongan ACCCIS, Kong Chiong Ung telah menerajui kunjungan hormat tersebut bagi mengetengahkan beberapa cadangan utama daripada komuniti perniagaan tersebut.
Memorandum penyerahan tersebut memberikan tumpuan khusus kepada implikasi kos tinggi yang dikenakan di bawah Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (FWTA).
Rombongan usahawan itu juga turut mengutarakan cabaran industri berkaitan pelaksanaan mekanisme subsidi diesel menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Semasa kunjungan tersebut, ACCCIS telah mengemukakan beberapa cadangan bagi membantu mengurangkan kos operasi perniagaan tempatan sekali gus meningkatkan daya saing sektor swasta.
Dewan perniagaan tersebut berkata, mereka memberi sokongan penuh terhadap agenda pembangunan kerajaan negeri demi mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Naib Presiden ACCCIS Datuk Wee Kok Hui, Naib Presiden ACCCIS Dato Tan Jit Kee, Setiausaha Agung ACCCIS Dato Chai Voon Tok, Timbalan Setiausaha Agung ACCCIS Andy Yek Hock Siang dan Bendahari ACCCIS Noel Yek Nae Shiuan.
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Khairul Anuar (BKVS)
KUCHING, 14 Julai - Sarawak memacu agenda ekonomi hijau menerusi pemuliharaan khazanah hutan secara lestari demi mendepani cabaran perubahan iklim global.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerajaan negeri komited melaksanakan pendekatan pembangunan mampan yang mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar.
"Kerajaan negeri mengunjurkan peralihan korporat daripada hasil pembalakan konvensional kepada perdagangan karbon antarabangsa bagi memastikan kelestarian ekosistem jangka panjang,” katanya di salah sebuah hotel terkemuka di sini ketika merasmikan Persidangan Perhutanan Malaysia (MFC) Ke-21 Tahun 2026 semalam.
Sarawak kini bekerjasama rapat dengan Bank Dunia bagi merangka formula boleh dipercayai dalam menentukan nilai pasaran kredit karbon serta mekanisme pelepasan sifar bersih (net zero carbon).
Penguatkuasaan Sarawak Greenhouse Gas Emission Ordinance memperkukuh kedudukan negeri dalam meneroka pasaran tenaga hidrogen hijau berasaskan teknologi pemisahan molekul air secara elektrolisis.
Majlis tersebut turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) serta Memorandum Perjanjian (MoA) antara Jabatan Hutan Sarawak dengan rakan strategik termasuk Sarawak Energy, Tulen International, Craun Research Sdn Bhd, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Jabatan Perhutanan Sabah.
Turut berlangsung ialah penyerahan sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi penanaman spesies pokok asli tersenarai dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) terbanyak di hutan simpan dalam tempoh setahun serta pengisytiharan Rizab Semulajadi Bukit Lima di Sibu sebagai kawasan tanah gambut bandar terpelihara terbesar negara seluas 301 hektar.
Persidangan dwi-tahunan bertemakan 'Hutan sebagai Pemangkin Ekonomi Hijau' itu menghimpunkan 79 kertas kerja teknikal bersempena sambutan ulang tahun ke-60 penubuhannya sejak tahun 1966.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Ketua Setiausaha Kementerian Kelestarian Alam Sekitar dan Sumber Asli Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin, Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datu Abang Ahmad Abang Morni, Pengarah Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad serta Ketua Konservator Jabatan Perhutanan Sabah Datuk Zulkifli Suara dan tetamu kehormat lain.-PENERANGAN- -TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Eddie Allan Blanking (BKVS)
KUCHING, 12 Julai - Pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi diseru supaya memainkan peranan lebih proaktif dalam memperkasa generasi muda dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi menghadapi cabaran ekonomi serta geopolitik global yang semakin kompleks dan tidak menentu.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, persediaan modal insan yang mantap amat penting bagi memastikan rakyat Sarawak tidak ketinggalan dalam merebut peluang pembangunan yang diwujudkan menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS).
Katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Regata Sejijak 2026 di Jeti Kampung Sejijak, di sini hari ini, ketidakstabilan geopolitik di peringkat antarabangsa mampu memberi kesan rantaian kepada ekonomi negara, termasuk meningkatkan kos sara hidup rakyat.
“Apabila bekalan tidak mencukupi, kos akan meningkat dan apabila kos meningkat, harga barangan lain turut naik kerana sektor pengangkutan dan penjanaan tenaga bergantung kepada minyak dan gas. Inilah cabaran yang sedang dihadapi di peringkat kebangsaan dan negeri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata aspek pendidikan perlu terus diberi keutamaan bagi melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing selaras dengan perkembangan teknologi serta keperluan industri masa hadapan.
Dalam pada itu, Fadillah turut menyeru masyarakat agar terus memelihara perpaduan, memperkukuh kerjasama dan mengekalkan kestabilan politik sebagai asas kepada kelangsungan pembangunan serta kesejahteraan masyarakat.
Menyentuh mengenai penganjuran regata, beliau berkata sukan air tradisional yang dianjurkan di 11 lokasi di seluruh Sarawak setiap tahun itu wajar diurus secara sistematik dan berimpak tinggi supaya dapat diperkasakan sebagai produk pelancongan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung.
Pada majlis sama, pasukan Todak Berjaya muncul juara kategori utama Raja Sungai Terbuka Antarabangsa Regata Sejijak 2026, diikuti pasukan Sinaran Ratu Siska di tempat kedua, manakala GP Binladin Pantai Damai menduduki tempat ketiga.
Turut hadir Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Abdul Wahab Rahim serta Pengerusi Regata Sejijak 2026 merangkap Ketua Kaum Kampung Sejijak, Mohd Nusi Jimali.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Safik Effendi Kassim (BMKK)
Jurufoto: Lance Dunstan (BKVS)
KUCHING, 12 Julai – Kerajaan Sarawak memperuntukkan dana endowmen berjumlah RM5 juta kepada Persatuan Alumni Bekas Pelajar Kolej Tanjong Lobang (TLC) bagi memperkukuh pelaksanaan aktiviti kebajikan, pembangunan persatuan serta program pembangunan masyarakat secara mampan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengumumkan perkara tersebut ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal Persatuan Bekas Pelajar Kolej Tanjong Lobang di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
“Saya menyumbangkan dana endowmen sebanyak RM5 juta kepada anda semua, uruskan dengan sebaik-baiknya,” kata Abang Johari yang turut menyeru alumni bekas pelajar TLC terus memainkan peranan membimbing generasi muda dengan berkongsi pengalaman, ilmu pengetahuan dan kepakaran yang diperoleh sepanjang kehidupan serta kerjaya masing-masing.
Menurutnya, pertemuan semula alumni bukan sekadar mengimbau kenangan ketika menuntut di TLC, malah menjadi platform mengukuhkan persahabatan, memperluaskan rangkaian dan membina asas kepada usaha melahirkan generasi pelapis yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.
Katanya, alumni digalakkan menyumbang kepada institusi dan masyarakat mengikut kemampuan masing-masing kerana amalan tersebut mampu memberikan manfaat berpanjangan kepada generasi akan datang serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Tambahnya, pengurusan dana endowmen perlu dilaksanakan secara berhemat bagi memastikan kelestarian dana untuk jangka panjang, dengan mengambil contoh kejayaan memulihkan prestasi Amanah Saham Sarawak (ASSAR).
Katanya, pengalaman lalu menunjukkan terdapat pelaburan dalam syarikat tersenarai dan tawaran awam permulaan (IPO) yang tidak memberikan pulangan sewajarnya, menyebabkan pendekatan pelaburan ASSAR dirombak.
“Sebanyak 70 peratus dana ASSAR kini dilaburkan dalam instrumen berpendapatan tetap seperti bon dan instrumen kewangan lain, manakala hanya 30 peratus dalam ekuiti. Alhamdulillah, ASSAR kini berjaya dipulihkan,” katanya.
Pendekatan sama boleh dijadikan panduan dalam mengurus dana endowmen supaya terus mampan dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat secara berterusan, katanya.
Mengimbau sejarah TLC yang kini dikenali sebagai Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang yang terletak di Tanjong Lobang, Miri, beliau berkata institusi itu merupakan antara pusat pendidikan penting di Sarawak yang berjaya melahirkan ramai pemimpin, pentadbir, profesional dan ahli akademik, termasuk pemegang ijazah doktor falsafah (PhD), sekali gus membuktikan kecemerlangan sistem pendidikan negeri pada ketika itu.
Beliau yakin Alumni Bekas Pelajar TLC akan terus menyumbang kepakaran, pengalaman dan kepimpinan dalam usaha membangunkan Sarawak yang mampan, makmur dan lestari.
Turut hadir semasa majlis ialah Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Presiden Alumni Bekas Pelajar TLC, Datu Mohd. Sepuan Anu serta barisan kepimpinan negeri dan tetamu kehormat yang lain. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Mohamad Rizal Matasan (BKVS)
KUCHING, 11 Julai - Pendekatan Pemikiran Islam Nusantara perlu terus diperkasakan sebagai landasan membina masyarakat Islam yang bersatu padu, sederhana, berakhlak mulia serta mampu menghadapi cabaran dunia moden.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Fadillah Yusof berkata ketika berucap merasmikan Seminar Kelestarian Pemikiran Islam Nusantara Tahun 2026/1448H di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), di sini petang tadi, seminar berkenaan bukan sekadar menjadi wadah perkongsian ilmu, malah merupakan platform penting bagi memperkukuh kefahaman Islam yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah serta mengangkat pendekatan dakwah yang berhikmah dalam mendepani cabaran semasa.
Katanya, sejarah membuktikan bahawa perkembangan Islam di Nusantara berlaku melalui kebijaksanaan para ulama, kejujuran para pedagang serta kemuliaan akhlak, bukannya melalui paksaan atau kebencian.
“Islam mengajar umatnya supaya berlaku adil, menghormati kepelbagaian serta hidup secara damai bersama masyarakat yang berbeza agama dan budaya tanpa berkompromi terhadap prinsip akidah dan syariat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Fadillah mengingatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada terhadap ancaman fahaman radikal dan ekstremis yang kini semakin mudah disebarkan menerusi media sosial serta pelbagai platform digital.
Menurut beliau, usaha membendung pengaruh tersebut memerlukan kerjasama bersepadu melibatkan institusi keluarga, institusi pendidikan, institusi agama, media serta agensi kerajaan bagi memperkukuh kefahaman Islam yang sahih berteraskan kesederhanaan.
Tambahnya, pendidikan akhlak dan penghayatan ilmu tasawuf perlu terus diperkasakan kerana kedua-duanya berperanan membentuk insan yang ikhlas, amanah, bertawaduk serta bertanggungjawab terhadap masyarakat.
“Nilai-nilai inilah yang perlu diterapkan dalam masyarakat Malaysia supaya kita dapat terus mengekalkan keharmonian serta menolak fahaman yang membawa kepada kebencian dan perpecahan,” katanya.
Turut hadir ialah Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha, Mufti Negeri Sabah, Datuk Dr. Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, Pengarah JAKIM Sarawak, Hamdan Jar’ee serta ketua-ketua jabatan. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Eddie Allan (BKVS)
SIBU, 11 Julai - Kerajaan Sarawak menubuhkan Agensi Sibu Economic Zone (SEZ) dengan peruntukan awal berjumlah RM1.5 bilion bagi menyelaras dan mempercepat pembangunan ekonomi baharu di wilayah tengah negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, agensi tersebut akan berperanan sebagai penyelaras utama pembangunan Sibu secara bersepadu melalui pelaksanaan projek strategik, penyediaan infrastruktur moden serta usaha menarik pelaburan bernilai tinggi.
Katanya ketika berucap merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sibu di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang, di sini, hari ini pembangunan Sibu akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 15 hingga 20 tahun dengan memberi tumpuan kepada pembaharuan bandar, peningkatan sistem saliran, penyelesaian isu air bertakung serta pembangunan kawasan ekonomi baharu.
Katanya, pendekatan pembangunan tersebut mengambil inspirasi daripada model pembangunan bandar Amsterdam yang menitikberatkan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
Katanya, penubuhan Sibu Economic Zone dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor ekonomi hijau, teknologi tinggi, industri berasaskan inovasi dan tenaga bersih sekali gus memperkukuh kedudukan Sibu sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu Sarawak.
Dalam pada itu, kerajaan turut memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar dengan mewartakan kawasan rizab alam semula jadi seluas 301 hektar atau 744 ekar bagi memelihara tanah gambut yang berfungsi sebagai penyerap karbon, selaras dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Menurutnya, langkah tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan ekonomi dilaksanakan secara seimbang dengan usaha memelihara alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.
Tambahnya lagi, kesemua inisiatif yang dilaksanakan merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang kerajaan untuk menjadikan Sarawak sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, berdaya tahan serta dikenali sebagai 'Bavaria Malaysia' menerusi kekuatan ekonomi, inovasi dan pembangunan mampan.
Program SKS Bahagian Sibu berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Julai, menghimpunkan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan secara langsung kepada rakyat di bawah satu bumbung. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Mohamad Munir (BMKK)
Jurufoto : Bolhan Hj Basah (BKVS)
KUCHING, 9 Julai - Jambatan Batang Lupar 1 menjadi bukti kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam merealisasikan pembangunan infrastruktur strategik demi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memperkukuh jaringan perhubungan di seluruh negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembinaan jambatan tersebut bukan sahaja menjadi mercu tanda baharu pembangunan negeri, malah mencerminkan keupayaan Sarawak melaksanakan projek infrastruktur berskala besar secara mandiri mengikut piawaian tinggi.
Menurut beliau, projek bernilai hampir RM1 bilion itu diteruskan oleh Kerajaan Sarawak walaupun berdepan pelbagai cabaran kerana kepentingannya kepada rakyat dan pembangunan negeri.
“Jambatan terpanjang merentasi sungai di Malaysia ini bukan sahaja melengkapkan rangkaian perhubungan darat dari Kuching hingga ke Miri, malah mencerminkan kualiti serta standard tinggi jurutera tempatan kita.
“Kejayaan menyiapkan jambatan ini membuktikan kemampuan jurutera tempatan melaksanakan projek infrastruktur berskala besar mengikut piawaian tinggi, sekali gus menyerlahkan keupayaan Sarawak merealisasikan pembangunan strategik,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Batang Lupar 1, hari ini.
Beliau berkata, pembangunan infrastruktur luar bandar yang komprehensif merupakan antara strategi utama kerajaan negeri bagi meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat melalui pemerkasaan sektor pertanian, perikanan, pendidikan serta ekonomi berasaskan teknologi dan inovasi.
Sehubungan itu, Kerajaan Sarawak akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan rangkaian jalan raya dan jambatan di seluruh negeri termasuk di kawasan pedalaman bagi memastikan tiada kawasan yang tercicir daripada arus pembangunan.
Abang Johari turut berkata status Sarawak sebagai wilayah berpendapatan tinggi perlu diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat melalui penyediaan infrastruktur berkualiti, akses ekonomi yang lebih luas serta peluang pembangunan yang lebih seimbang.
Beliau berkata, perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan agama turut menjadi asas kepada kejayaan pembangunan negeri, manakala Jambatan Batang Lupar 1 menjadi simbol penyatuan yang menghubungkan bukan sahaja dua kawasan yang dipisahkan oleh Sungai Batang Lupar, malah menghubungkan aspirasi rakyat ke arah masa depan yang lebih maju dan sejahtera.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Safik Effendi Kassim (BMKK)
Jurufoto: Lance Dunstan (BKVS)
KUCHING, 9 Julai — Strategi mega pembangunan Tanjung Embang fasa baharu transformasi ekonomi Sarawak kini dirancang untuk dilaksanakan secara menyeluruh dalam tempoh 15 tahun akan datang.
Pelan induk berimpak tinggi di kawasan enklaf tersebut bakal merangkumi pembinaan sebuah pelabuhan laut dalam, kampus grid Kecerdasan Buatan (AI) serta rangkaian data yang canggih.
Projek pasaran domestik itu turut menarik perhatian global apabila menerima kunjungan delegasi Bank Pembangunan Asia (ADB) yang menyatakan hasrat untuk menyokong pelaksanaannya menerusi instrumen pembiayaan hijau (green financing).
Perkembangan terbaharu itu dikongsikan semasa berlangsungnya Majlis Anugerah Kecemerlangan Vendor Sarawak Energy (SEVEA) 2026 yang diadakan di Pusat Acara Hikmah Exchange, di sini malam tadi dan telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Katanya, kecemerlangan kini bukan lagi satu pilihan malah platform seperti SEVEA memainkan peranan kritikal dalam menetapkan piawaian tinggi yang mesti dipertahankan seiring dengan usaha Sarawak mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa tenaga serantau.
“Apabila kerajaan, industri, perusahaan tempatan dan komuniti bergerak bersama-sama ke arah visi yang sama, kita bukan sahaja menjana pertumbuhan ekonomi malah membentuk sebuah negeri yang lebih berdaya tahan, inklusif dan makmur,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kejayaan Sarawak mengekalkan status sebagai negeri berpendapatan tinggi daripada Bank Dunia buat tahun keempat berturut-turut sebagai bukti komitmen padu seluruh tenaga kerja tempatan.
Selain pemantapan sektor digital, kerajaan negeri juga komited menubuhkan syarikat penerbangan sendiri bagi menstabilkan harga tambang pada kadar tetap RM375 sepanjang tahun demi merancakkan aktiviti ekonomi makro serta pelancongan domestik.
Terdahulu, Ketua Pegawai Ecsekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili menzahirkan kesyukuran atas penganjuran SEVEA 2026 yang menggabungkan Anugerah Penilaian Vendor serta Anugerah Kecemerlangan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE).
Sebanyak 18 anugerah telah disampaikan kepada 14 vendor yang mempamerkan prestasi cemerlang termasuk pengiktirafan status Anugerah Emas kepada kontraktor di bawah Program Transformasi Kontraktor (CTP).
Sarawak Energy setakat ini telah meluluskan peruntukan dana melebihi RM139 juta di bawah Program Pembangunan Vendor bagi membolehkan usahawan tempatan meluaskan penyertaan mereka dalam industri.
Nilai kontrak yang dianugerahkan kepada vendor Bumiputera turut melonjak daripada RM628 juta pada tahun 2024 kepada RM783 juta pada tahun 2025, mencatatkan peningkatan sebanyak RM155 juta.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy & PETROS) merangkap Pengerusi Sarawak Energy Datuk Ibrahim Baki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr. Hazland Abang Hipni serta tetamu kehormat lain.-PENERANGAN- -TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Cassidy Lisut (BKVS)
KUCHING, 6 Julai - Sarawak berpotensi menjadi hab orkid bertaraf antarabangsa berasaskan kekayaan biodiversiti unik yang dimiliki negeri ini serta prospek besar industri orkid sebagai pemacu ekonomi bernilai tinggi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata Sarawak dianggarkan memiliki lebih 1,300 spesies orkid yang mempunyai nilai komersial tinggi dan berpotensi diperkembangkan ke peringkat antarabangsa.
Ketika merasmikan Majlis Graduasi Sarawak Orchid Society (SARORSO) Kali Ketiga yang diadakan bagi meraikan pencapaian graduan daripada pelbagai program pembangunan industri orkid di sini hari ini, kekayaan biodiversiti, sumber semula jadi yang melimpah serta iklim yang sesuai meletakkan Sarawak pada kedudukan strategik untuk muncul sebagai hab orkid bertaraf antarabangsa.
“Beberapa negara seperti Taiwan, China, Thailand dan Belanda telah membuktikan bahawa industri orkid mampu berkembang sebagai sektor ekonomi berimpak tinggi serta menyumbang kepada pertumbuhan industri florikultur,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa pendekatan holistik yang menggabungkan aspek kepimpinan, keusahawanan dan kemahiran teknikal penting bagi meningkatkan nilai komersial produk berasaskan orkid mampu memperkukuh daya saing usahawan tempatan.
Majlis berkenaan menyaksikan penyampaian sijil kepada graduan daripada tiga program utama iaitu Program Perantisan Kepimpinan Wanita (Perantis), JOCC Kota Samarahan dan Program JIVOM MRSM Kuching.
Menurut Nancy lagi, program perantis yang dilaksanakan melalui Jabatan Pembangunan Wanita telah berjaya melahirkan ramai usahawan wanita dengan sebahagian peserta merekodkan pendapatan sehingga RM8,000 sebulan hasil penglibatan dalam perusahaan yang diceburi.
Tambahnya, beliau turut memaklumkan kerajaan persekutuan memperuntukkan RM4 juta bagi pelaksanaan Program Perantis sepanjang tahun ini sebagai sokongan berterusan terhadap agenda pemerkasaan wanita dan pembangunan keusahawanan.
“Saya menyeru para graduan agar terus mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang diperoleh di samping berkongsi pengalaman serta pengetahuan bagi melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri,” katanya.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto : Eddie Allan Blanking (BKVS)
KUCHING, 5 Julai — Sarawak bina pusat kebajikan warga emas bagi memperkukuh sistem sokongan sosial komuniti secara komprehensif di seluruh Bumi Kenyalang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyerahkan dana berjumlah RM1.7 juta kepada Persatuan Kebajikan Petra Jaya (PKPJ) bagi membina bangunan baharu Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sri Satok.
Bangunan baharu tersebut didirikan di atas sebidang tanah seluas 2,137 meter persegi bersebelahan Pusat Kebajikan Datuk Amar Juma'ani (PKDAJ) Jalan Kulas bagi menampung bilangan ahli yang kian meningkat.
"Kita telah mendapat satu bidang tanah di sebelah pusat ini yang akan menjadi pusat untuk warga emas khususnya di kawasan Satok dan juga kawasan sebelah Satok untuk menjalankan kegiatan kebajikan,” jelas beliau.
Langkah proaktif tersebut diambil sebagai persediaan rapi pihak pentadbiran bagi mendepani cabaran gelombang penuaan populasi masyarakat yang dijangka bermula menjelang tahun 2027.
"Semua maklum bahawa 2027 kita akan menghadapi populasi menua dan satu-satunya sokongan sosial kita ialah mewujudkan pusat kebajikan untuk orang tua,” tambahnya.
Beliau menjelaskan bahawa sebuah lagi pusat komuniti yang serupa bakal didirikan di kawasan Samariang, Petra Jaya bagi memperluas jaringan perlindungan sosial warga tua di kawasan bandar.
Selain pusat fizikal, dasar kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada penyediaan kawasan persekitaran hijau seluas 600 ekar di antara Kuching dan Samarahan selaras dengan Dasar Bandar Pintar Rendah Karbon.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Ibrahim Baki dan Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman.-PENERANGAN- -TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Eddie Allan Blanking (BKVS) )
KUCHING, 4 Julai - Kesedaran masyarakat mengenai pengesanan awal, diagnosis serta pendaftaran individu autisme sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) perlu terus diperkukuh susulan peningkatan ketara bilangan individu dalam kategori itu di seluruh negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, setakat 31 Mei 2026, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan seramai 843,759 orang OKU berdaftar di seluruh negara dengan 91,681 daripadanya merupakan individu autisme.
Tambahnya, jumlah itu meningkat hampir lapan kali ganda berbanding tahun 2015 sekali gus mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengesanan awal dan pendaftaran.
"Di Sarawak pula, seramai 56,980 orang OKU berdaftar direkodkan termasuk 24,743 dalam kategori pembelajaran dan 7,366 individu autisme dan statistik itu menunjukkan keperluan untuk terus memperkukuh intervensi awal, memperluas sokongan kepada keluarga serta menyediakan persekitaran yang lebih inklusif agar individu autisme dapat mengembangkan potensi mereka secara optimum," katanya ketika berucap merasmikan Program Advokasi Penjagaan Orang Kurang Upaya (OKU) Autisme Peringkat Sarawak di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Menurut Nancy lagi, peningkatan bilangan individu autisme yang berdaftar turut menunjukkan semakin ramai ibu bapa tampil mendapatkan diagnosis dan sokongan awal.
Namun menurutnya, masih ramai keluarga berdepan cabaran dalam aspek penjagaan, pendidikan, terapi dan kos, justeru sokongan berterusan daripada semua pihak amat penting bagi memastikan individu autisme mendapat peluang terbaik untuk berkembang.
Beliau berkata program advokasi tersebut bertepatan dengan keperluan semasa kerana bukan sahaja meningkatkan pengetahuan mengenai autisme, malah memperkukuh kemahiran keibubapaan, memperluas jaringan sokongan serta menggalakkan kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan sektor swasta dalam memperkasakan komuniti autisme.
Katanya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui JKM terus memperkukuh sokongan kepada komuniti autisme menerusi pelbagai inisiatif termasuk pengoperasian Taska Autisme di Sibu, pelaksanaan Subsidi Yuran Pembelajaran Autisme (SYPA) serta peluasan Pusat Perkhidmatan Autisme (PPA) ke Sabah, Sarawak dan Labuan bagi memperluaskan akses kepada diagnosis, terapi, latihan, intervensi awal dan sokongan kepada keluarga.
Beliau turut memaklumkan Belanjawan 2026 memperuntukkan RM12 juta bagi peluasan projek rintis Pusat Perkhidmatan Autisme di Sabah, Sarawak dan Labuan, termasuk RM4 juta untuk Sarawak.
Pada peringkat awal katanya, pusat berkenaan akan diwujudkan di Kuching, Sibu dan Miri sebagai pusat sehenti yang menawarkan perkhidmatan diagnosis, terapi, latihan, advokasi serta sokongan kepada keluarga.
"Usaha memperkasa komuniti autisme memerlukan kerjasama erat semua pihak bagi mewujudkan lebih banyak peluang kepada individu autisme berkembang dalam persekitaran yang selamat dan inklusif.
"Masyarakat menjadi ejen perubahan dengan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendaftaran OKU, sambil menegaskan bahawa setiap anak autisme mempunyai potensi untuk dikembangkan dan setiap keluarga berhak menerima sokongan sewajarnya," katanya.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Maziah Che Yusof, Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya, Pathmanathan a/l R. Nalasamy, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Semawi Mohamad; Pengerusi Persatuan Pemulihan dan Pemerkasaan Insan Istimewa Kuching/Samarahan (SUREABLE), Erdy Izwan Sohardi, serta Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sarawak, Jimbau Munggat.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Safik Effendi Kassim (BMKK)
Jurufoto : Lance Dunstan (BKVS)
KUCHING, 1 Julai - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg hari ini menerima kunjungan hormat perpisahan Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri, Dato Fenny Nuli di pejabatnya di Kompleks Satria Pertiwi, di sini.
Kunjungan tersebut diadakan sempena tamatnya tempoh perkhidmatan Dato Fenny di Sarawak sebelum beliau memulakan penugasan baharu sebagai Duta Besar Malaysia ke Austria dan Slovakia selain dilantik sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta organisasi antarabangsa di Vienna, Austria.
Bercakap kepada media selepas pertemuan itu, Dato Fenny merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak khususnya Premier Sarawak, atas kerjasama erat yang diberikan kepada Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri sepanjang hampir dua tahun beliau berkhidmat di negeri ini.
Menurut beliau, hubungan baik yang terjalin antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak telah banyak menyumbang kepada usaha memperkukuh hubungan diplomatik serta membuka lebih banyak peluang kerjasama di peringkat antarabangsa.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai potensi memperluas kerjasama antara Sarawak dengan Austria dan Slovakia dalam pelbagai sektor strategik termasuk pelaburan, perdagangan, teknologi serta pembangunan mampan.
Beliau berkata, Austria mempunyai kepakaran dalam bidang hidrogen hijau, pengurusan air dan teknologi termaju, manakala Slovakia pula terkenal dengan industri automotif yang berpotensi diteroka menerusi kerjasama bersama Sarawak.
Dato Fenny turut menyatakan komitmen untuk terus mempromosikan potensi Sarawak di kedua-dua negara berkenaan serta memudah cara hubungan perdagangan, pelaburan dan ekonomi melalui Kedutaan Besar Malaysia di Vienna.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa pertemuan tersebut turut memberi peluang kepadanya mendapatkan pandangan serta nasihat Premier Sarawak mengenai pelbagai perkara berkepentingan kepada Sarawak dan Malaysia sebagai persediaan menggalas tanggungjawab baharunya di peringkat antarabangsa.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Mohamad Munir (BMKK)
Jurufoto: Eddie Allan Blanking (BKVS)
KUCHING, 1 Julai - Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Sarawak menerusi kunjungan hormat Ketua Pengarahnya, Dato’ Dr. Roslan Hussin kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Pejabat Premier Sarawak, di sini, hari ini.
Kunjungan tersebut bertujuan mengukuhkan sinergi antara AKM dan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pelaksanaan program kenegaraan di negeri ini khususnya yang memfokuskan kepada pembinaan jati diri, pemupukan semangat patriotisme, pengukuhan perpaduan serta peningkatan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai pelbagai inisiatif baharu bagi memperkasakan pembangunan modal insan terutama generasi muda, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan semangat Segulai Sejalai.
Perbincangan turut menyentuh usaha menyelaras pelaksanaan program kenegaraan AKM dengan Post-COVID-19 Development Strategy 2030 (PCDS 2030) bagi menyokong agenda pembangunan Sarawak ke arah mencapai status negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
Sementara itu, Dr. Roslan menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas komitmen serta sokongan berterusan dalam menjayakan pelbagai program kenegaraan di negeri ini.
Menurut beliau, kerjasama strategik yang terjalin diyakini mampu memperkukuh agenda pembinaan negara bangsa melalui pembentukan masyarakat yang berilmu, berintegriti, bersatu padu serta mempunyai semangat cintakan negara yang tinggi.
Beliau turut menegaskan komitmen AKM untuk terus memperluaskan kerjasama dengan Kerajaan Sarawak menerusi pelaksanaan program yang lebih inklusif, berimpak tinggi dan memenuhi keperluan semasa rakyat, sekali gus menyokong aspirasi Sarawak Maju Makmur.
Rombongan AKM turut disertai Pengarah AKM Sarawak, Mohamad Faizal Lamat, Pegawai Khas kepada Ketua Pengarah, Fetty Azura Mohd. Yunus, Penolong Pengarah AKM Sarawak, Brendon Anderson Joseph serta Penyelia Pusat Latihan Kenegaraan Sampadi, Dorius Gumu.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Mohamad Munir (BMKK)
Jurufoto: Eddie Allan Blanking (BKVS)
KUCHING, 1 Julai - Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang hari ini membentangkan cadangan penganjuran Batu Lintang International Islamic Arts Festival 2026 (BLIIAF 2026) kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam satu kunjungan hormat di Kompleks Satria Pertiwi, di sini.
Timbalan Pengarah Kanan IPG Kampus Batu Lintang, Dr. Abang Ismail Abang Julhi berkata, hasil pembentangan itu mendapat maklum balas positif daripada Premier Sarawak yang mencadangkan agar elemen keantarabangsaan festival tersebut terus diperkukuh bagi meningkatkan pengiktirafannya di peringkat global.
Menurut beliau, Premier Sarawak turut mencadangkan supaya sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan festival melibatkan peserta dari luar negara sebagai usaha memperkukuh kedudukan BLIIAF sebagai acara seni Islam bertaraf antarabangsa.
" BLIIAF 2026 dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 23 November 2026 dengan mengangkat tema 'Empowering Islamic Arts through Dakwah bil Hikmah'," katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat tersebut.
Katanya, festival itu menyasarkan penyertaan warga pendidikan, tokoh akademik, pemimpin pendidikan serta siswa guru dari Malaysia, rantau Asia dan Asia Pasifik.
Menurut beliau lagi, sebagai institusi pendidikan guru tertua di Sarawak, IPG Kampus Batu Lintang komited menerajui penganjuran festival berkenaan sebagai platform memperkasa seni Islam menerusi pendekatan dakwah yang kreatif dan progresif di samping menyokong usaha menjadikan Sarawak sebagai hab pendidikan, seni Islam dan budaya bertaraf antarabangsa.
Festival tersebut dijangka menampilkan pelbagai pengisian termasuk pameran seni visual Islam, pertandingan kaligrafi dan tulisan Jawi, pertandingan nasyid, forum, wacana intelektual Islam kontemporari serta aktiviti berteraskan teknologi digital seperti pertandingan video kreatif Islam.
Penyertaan akan dibuka kepada pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi, Institut Pendidikan Guru, universiti antarabangsa serta komuniti setempat, manakala program dicadangkan berlangsung di IPG Kampus Batu Lintang, Dewan Majma’ dan Masjid Darul Hana.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Haji Abdul Rahman Junaidi.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Mohamad Munir (BMKK)
Jurufoto: Eddie Allan Blanking (BKVS)
KOTA SAMARAHAN, 1 Julai - Program Kepimpinan Wanita Dalam Sukan menjadi platform penting dalam memperkasa peranan wanita sebagai pemimpin dan pembuat keputusan dalam ekosistem sukan negara, selaras dengan komitmen Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam pelbagai peringkat kepimpinan sukan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, program tersebut bukan sekadar memberi tumpuan kepada penyertaan wanita sebagai atlet, malah bertujuan melahirkan lebih ramai wanita yang mampu menerajui organisasi sukan sebagai jurulatih, pegawai teknikal, pentadbir dan pembuat dasar.
"Program ini bukan sekadar melihat penglibatan wanita sebagai atlet, tetapi kita mahu melihat wanita memainkan peranan dalam keseluruhan ekosistem sukan dan kita mahu melihat lebih ramai wanita dalam kepimpinan kerana itu yang paling penting,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Kepimpinan Wanita Dalam Sukan di Dewan Jubli, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, hari ini.
Tambahnya, program berkenaan merupakan kesinambungan daripada penganjuran terdahulu di Bintulu yang mendapat sambutan amat menggalakkan sekali gus mendorong KBS meneruskannya di Kuching menerusi kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN), UiTM Cawangan Sarawak dan Majlis Sukan Negeri Sarawak.
Menurut beliau lagi, landskap sukan masa kini memerlukan lebih ramai wanita berada di barisan kepimpinan bagi memastikan tadbir urus sukan yang lebih inklusif, progresif dan mampu menyumbang kepada pembangunan industri sukan negara secara menyeluruh.
Mengulas lanjut perkembangan program berkenaan, beliau berkata KBS akan mempertimbangkan untuk memperluaskan penganjurannya ke lokasi lain berdasarkan maklum balas positif yang diterima daripada peserta.
“Program ini diteruskan di Kuching selepas menerima sambutan yang amat menggalakkan di Bintulu dan berdasarkan respons yang diterima, kita berharap dapat menganjurkannya di lebih banyak lokasi pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai Dana Sukan Komuniti (DSK), beliau berkata dana tersebut terbuka kepada semua negeri dan kelab sukan yang memenuhi syarat melalui saluran permohonan yang ditetapkan oleh KBS.
Tambahnya, KBS memperuntukkan RM20 juta bagi Dana Sukan Komuniti (DSK) dan RM30 juta bagi Geran Padang dan Sukan (GPS) tahun ini bagi menyokong pelaksanaan aktiviti sukan di seluruh negara, selain menggalakkan persatuan sukan yang berdaftar memanfaatkan kemudahan tersebut.
Program Kepimpinan Wanita Dalam Sukan menghimpunkan peserta daripada pelbagai agensi, institusi pengajian tinggi, persatuan sukan dan badan berkaitan bagi memperkukuh kompetensi, memperluas jaringan profesional serta melahirkan lebih ramai pemimpin wanita yang mampu memacu pembangunan sukan negara.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Alya Sukri (BMKK)
Foto oleh : Bolhan Hj Basah (BKVS)
KUCHING, 13 Julai – Barisan kepimpinan tertinggi Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) mengadakan lawatan kerja ke Sarawak bagi memperkukuh libat urus bersama warga JAPEN Sarawak melalui sesi interaksi yang menjadi platform perkongsian aspirasi, hala tuju jabatan serta pengukuhan kerjasama dalam kalangan warga kerja.
Pengurusan Tertinggi JAPEN diketuai oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Erwin Khairul Ahmad, bersama Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik), Rubaayah Osman dan Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital), Wan Saidatul Shafina Mohd Amin.
Lawatan kerja ini turut memberi ruang kepada pengurusan tertinggi untuk berinteraksi secara langsung dengan warga Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak, selain berkongsi fokus dan keutamaan strategik jabatan dalam memperkasakan penyampaian perkhidmatan serta komunikasi kerajaan.
Sepanjang lawatan, mereka akan menghadiri beberapa program utama termasuk Sesi Sembang Santai Bersama Pesara JAPEN Sarawak, Randau Aspirasi bersama warga JAPEN Sarawak serta Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Komunikasi Tahun 2025 Zon Sarawak.
Program-program yang dirancang menjadi platform untuk memperkukuh komunikasi dua hala, menghargai sumbangan warga kerja serta mempererat jalinan kerjasama dalam memastikan penyampaian maklumat kerajaan terus dilaksanakan secara berkesan, tepat dan berimpak.
Pengurusan Tertinggi JAPEN tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 8.15 malam dan disambut oleh Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Sarawak Sabri Said, bersama Timbalan Pengarah, Sri Kestury Mohammed Zamhari serta barisan pengurusan dan pegawai-pegawai JAPEN Sarawak. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Alya Sukri (BMKK)
Jurufoto : Lance Dunstan (BKVS)