JABATAN PENERANGAN MALAYSIA SARAWAK
KUCHING, 30 Mei - Kerajaan Sarawak memperuntukkan dana awal sebanyak RM20 juta bagi pembinaan Bangunan Tun Openg yang bakal menjadi ibu pejabat baharu Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak di Seksyen 37, Jalan Batu Lintang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembinaan prasarana moden itu menggantikan bangunan lama yang telah berusia hampir 60 tahun dan musnah sepenuhnya dalam kebakaran pada 6 Februari 2024.
Menurut beliau, bangunan berkenaan dinamakan sempena Almarhum Tun Datuk Abang Haji Openg bin Abang Sapiee sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan tokoh tersebut yang dimasyhurkan sebagai Ketua Pengakap Sarawak pada tahun 1963.
Beliau berkata, peruntukan pembangunan itu dijangka ditambah bagi menampung cadangan pembinaan kemudahan tambahan seperti asrama atau hotel butik serta galeri pameran khas yang akan melengkapkan fungsi bangunan berkenaan.
“Bangunan ini bukan sekadar sebuah pejabat, malah akan menjadi pusat pembangunan belia yang menyediakan ekosistem sokongan sosial untuk membentuk generasi muda yang berdisiplin, berdaya tahan dan berintegriti melalui pergerakan pengakap,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Bangunan Tun Openg di sini, hari ini.
Pada masa sama, beliau menekankan keperluan pergerakan pengakap untuk terus relevan dengan perkembangan semasa khususnya dalam mendepani perubahan yang dipacu oleh teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) dan pengurusan data masa nyata.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Majlis Pengakap Sarawak merangka silibus latihan baharu yang memberi pendedahan kepada bidang aeroangkasa selaras dengan penubuhan Fakulti Aeroangkasa di Universiti i-CATS.
Dalam sidang media selepas majlis tersebut, Abang Zohari turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri telah mewartakan sebidang tanah di kawasan Matang sebagai tapak perkhemahan rasmi untuk kegunaan bersama pergerakan Pengakap dan Pandu Puteri.
Menurut beliau, pembangunan kemudahan di tapak berkenaan kini telah mencapai kira-kira 70 peratus dan dijangka menjadi pusat aktiviti belia yang mampu menarik penyertaan peserta dari seluruh negara.
“Apabila siap kelak, kemudahan ini akan menyediakan ruang yang kondusif untuk belia berkumpul, menjalani latihan serta menyertai pelbagai aktiviti pembangunan sahsiah dan kepimpinan,” tambah beliau.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak, Tan Sri Dato Sri William Mawan Ikom, Naib Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara, Dato Mohamad Safri Datuk Abdillah, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Jumaat Ibrahim serta Ketua Pesuruhjaya Pengakap Sarawak, John Lim Boon Beng.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Safik Effendi Kassim (BMKK)
Jurufoto: Saiful Rahman Sabri (BKVS)
KUCHING, 29 Mei - Semangat pengorbanan, perpaduan dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan terus diperkukuhkan melalui Majlis Pengagihan Daging Ibadah Qurban Kampung Sinjan yang diadakan di Surau Darul Ikhsan, Kampung Sinjan, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, ibadah korban bukan sekadar amalan tahunan umat Islam, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, pelaksanaan ibadah korban yang dijayakan secara gotong-royong oleh penduduk kampung, masjid, surau dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mencerminkan semangat kerjasama yang menjadi tunjang kekuatan masyarakat.
“Tujuan utama program ini adalah untuk mengeratkan hubungan perpaduan masyarakat, membantu golongan yang memerlukan serta menyemai semangat pengorbanan dalam kehidupan seharian.
“Kejayaan tidak akan dicapai tanpa pengorbanan. Semangat inilah yang perlu terus dipupuk dalam kalangan masyarakat demi memastikan kesejahteraan keluarga, negeri dan negara,” katanya ketika ditemui media selepas majlis agihan tersebut.
Dalam perkembangan lain, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan bahawa pembangunan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (Battery Energy Storage System - BESS) akan terus diperluaskan bagi menyokong kestabilan grid elektrik negara susulan pertambahan projek tenaga boleh diperbaharui khususnya tenaga solar.
Beliau berkata penggunaan tenaga solar yang semakin meluas memerlukan sistem penyimpanan tenaga yang mampu menampung lebihan tenaga yang dijana pada waktu puncak sebelum disalurkan semula apabila diperlukan.
Menurutnya, pelaksanaan BESS penting bagi memastikan bekalan elektrik kekal stabil memandangkan penjanaan tenaga solar bergantung kepada keadaan cuaca dan cahaya matahari.
Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa tender berkaitan pembangunan BESS telah dibuka di Semenanjung Malaysia termasuk di Pantai Timur, manakala lokasi lain akan ditentukan berdasarkan keperluan sistem dan proses penilaian tender yang sedang berjalan.
Sementara itu, sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA), beliau turut mengucapkan selamat menyambut Hari Wartawan kepada seluruh pengamal media dan berharap mereka terus memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat yang tepat serta membantu memupuk semangat perpaduan rakyat Malaysia.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Alya Sukri (BMKK)
Foto : Saiful Rahman Sabri (BKVS)
KUCHING, 28 Mei - Sebanyak 16 ekor lembu disumbangkan bagi pelaksanaan ibadah korban di kawasan Parlimen Santubong sempena Aidiladha tahun ini hasil sumbangan strategik beberapa syarikat korporat menerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan sektor korporat dalam menyokong program kebajikan komuniti serta membantu golongan yang memerlukan.
Menurut beliau, syarikat yang terlibat ialah Ancom Nylex Berhad, Perdana Petroleum Sdn Bhd, Hyraxx Oil Sdn Bhd dan Shapadu Sdn Bhd.
Beliau yang juga Ahli Parlimen P193 Santubong berkata, daripada jumlah keseluruhan tersebut, sebanyak tiga ekor lembu disembelih hari ini untuk diagihkan kepada penduduk dari 15 kampung di bawah Zon Jakaseh.
“Baki 13 ekor lembu korban yang lain diagihkan secara berperingkat ke beberapa kawasan di bawah Parlimen Santubong.
“Ia melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai di Zon Jakata dan Zon Jaksa, serta DUN Demak Laut di Zon Bako dan Zon Tabuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ibadah Korban 1447H Peringkat Parlimen P193 Santubong yang berlangsung di perkarangan Rumah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bintawa Hilir, hari ini.
Mengulas lanjut, Nancy berkata sumbangan yang disalurkan bukan sahaja membantu melancarkan pelaksanaan ibadah korban, malah turut membawa kegembiraan kepada masyarakat setempat.
Pada majlis sama, beliau turut menyempurnakan perasmian Rumah JKKK Kampung Bintawa Hilir yang telah siap dinaik taraf sepenuhnya.
Menurut beliau, bangunan baharu itu kini lebih selamat dan selesa untuk digunakan, khususnya bagi menempatkan kanak-kanak Tabika KEMAS menjalani sesi pembelajaran.
“Sebelum ini, keadaan bangunan agak usang dengan lantai kayu berlubang serta kemudahan tandas dan dapur yang kurang memuaskan.
“Syabas kepada JKKK Kampung Bintawa Hilir, pihak kontraktor dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) atas kerjasama erat sehingga projek ini berjaya disiapkan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kemudahan komuniti, Nancy turut mengumumkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM16,000 kepada badan jawatankuasa setempat.
Jumlah tersebut melibatkan RM8,000 kepada JKKK Kampung Bintawa Hilir dan RM8,000 lagi kepada Masjid Darul Islam Bintawa Hilir bagi menyokong pelaksanaan pelbagai program sepanjang tahun 2026.
Beliau turut memberi komitmen bahawa kerajaan akan menyelaras usaha bersama Pejabat Pembangunan Negeri (SDO) Sarawak dalam masa terdekat bagi melaksanakan kerja membaik pulih atap Masjid Darul Islam Bintawa Hilir.
Program berkenaan dianjurkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sarawak dengan kerjasama Pejabat Parlimen Santubong dan JKKK Kampung Bintawa Hilir.
Antara pengisian program ialah aktiviti gotong-royong melapah daging korban serta pengagihan kepada penduduk setempat.
Turut hadir ialah Pengarah YADIM Sarawak, Awang Dulhadi Awang Mat, Timbalan Pengarah (Persekutuan) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, Mohd Ali Taib, Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Mohammed Kamaluddin Mohd Effendie, Pengerusi Zon Jakaseh, Sidek Sitam serta Penghulu Kampung Bintawa, Lahan Sabu. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Safik Effendi Kassim (BMKK)
Jurufoto: Cassidy Lisut (BKVS)
KUCHING, 27 Mei - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menghadiri Majlis Kesyukuran Aidiladha 1447 Hijrah/2026 Masihi anjuran Majlis Islam Sarawak yang berlangsung di Masjid Jamek Negeri Sarawak, Petra Jaya, pagi tadi.
Majlis dimulakan dengan lafaz ibadah korban yang disempurnakan oleh beliau sebagai simbol penghayatan terhadap nilai pengorbanan, keikhlasan dan kesyukuran yang menjadi teras sambutan Aidiladha tahun ini yang bertemakan 'Ibadah Korban Mendidik Mujahadah Dalam Beribadah'.
Acara diteruskan dengan simbolik penyembelihan dua ekor lembu korban sebelum Premier Sarawak menyaksikan pelaksanaan ibadah tersebut serta menyempurnakan simbolik pelapahan daging korban.
Dalam majlis sama, beliau turut menyempurnakan pengagihan sumbangan Aidiladha dan daging korban kepada 30 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf serta saudara baru sekitar Bahagian Kuching sebagai tanda keprihatinan dan semangat kebersamaan dalam menyantuni masyarakat yang memerlukan.
Terdahulu, Abang Jo bersama para jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid berkenaan.
Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, Mufti Sarawak, Datu Khalidi Ibrahim, serta Setiausaha Majlis Islam Sarawak merangkap Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Ustaz Mu’al Su’ud.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Mohamad Munir (BMKK)
Foto: Lance Dunstan & Eddie Alan Blanking (BKVS)
KUCHING, 21 Mei - Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi serta rombongan dijadualkan berlepas ke Tanah Suci Makkah pada 22 Mei 2026 bagi menunaikan ibadah haji musim 1447H/2026M.
Terdahulu, satu Majlis Doa Selamat sempena keberangkatan TYT dan rombongan telah diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Majlis yang penuh keberkatan itu bertujuan memohon keselamatan, kesejahteraan serta kelancaran sepanjang perjalanan dan urusan ibadah TYT bersama delegasi di Tanah Suci.
Ibadah haji bagi musim 1447H dijadual bermula secara rasmi pada 23 Mei 2026.
Rombongan TYT dijangka tiba di Kuala Lumpur pada 2 Jun 2026 selepas selesai menunaikan ibadah haji sebelum pulang ke Kuching pada 5 Jun 2026.
Sementara itu, Setiausaha Sulit Kanan kepada TYT, Dato’ Sri Syed Hamzah Syed Paie dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas sokongan dan perhatian yang diberikan dalam memastikan urusan keberangkatan haji TYT berjalan lancar.
Beliau berkata, Pejabat Pentadbiran Astana Sarawak amat menghargai komitmen serta sokongan padu yang diberikan oleh Premier Sarawak dalam membantu segala persiapan dan urusan berkaitan keberangkatan tersebut.
Pada masa sama, beliau turut mengajak seluruh rakyat Sarawak untuk bersama-sama mendoakan agar TYT, Toh Puan serta delegasi dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan ibadah serta memperoleh haji yang mabrur.
Turut hadir mengiringi keberangkatan TYT ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah serta tetamu kehormat lain. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Mohamad Rizal (BKVS)
KUCHING, 22 Mei - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) secara rasmi menerbitkan dua kod baharu iaitu Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Jun ini bagi memperkukuh keselamatan ekosistem digital negara.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, penerbitan kod di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) itu merupakan langkah penting dalam memastikan penyedia perkhidmatan digital memikul tanggungjawab yang lebih jelas dalam menangani kandungan memudaratkan.
Menurut beliau, pelaksanaan kod tersebut merangkumi langkah kawalan umur serta sekatan terhadap akaun digital pengguna di bawah usia 16 tahun.
“Usaha ini bukan sahaja memperkukuh benteng terhadap ancaman eksploitasi dalam talian, malah memberi keyakinan dan ketenangan kepada ibu bapa dalam memastikan keselamatan anak-anak ketika menggunakan internet,” katanya ketika merasmikan Program Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat Peringkat Daerah Kuching 2026 di Tropics City, hari ini.
Tambah beliau, langkah proaktif itu diambil susulan peningkatan kes jenayah dan ancaman siber yang semakin membimbangkan di negara ini.
Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes penipuan dalam talian meningkat lebih dua kali ganda pada tahun 2025 dengan 74,744 kes melibatkan kerugian RM2.9 bilion berbanding 35,470 kes dengan kerugian RM1.5 bilion pada tahun sebelumnya.
Bagi tempoh Januari hingga April tahun ini sahaja, sebanyak 23,367 kes penipuan dalam talian direkodkan melibatkan kerugian berjumlah RM680.3 juta.
Menurut Teo, ancaman siber kini bukan sahaja melibatkan kerugian kewangan, malah turut merangkumi penyebaran kandungan negatif di media sosial seperti buli siber, kandungan jelik, perjudian dan berita palsu.
Mengulas usaha meningkatkan kesedaran masyarakat, beliau memaklumkan Kempen Internet Selamat yang dilancarkan sejak Januari 2025 telah berjaya menjangkau lebih 1.8 juta peserta di seluruh negara menerusi pelbagai program lapangan dan inisiatif literasi digital.
Beliau turut menyeru masyarakat agar segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menjadi mangsa jenayah siber.
Katanya, usaha membina ekosistem digital yang selamat tidak boleh digalas kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik, pemimpin komuniti dan masyarakat.
Program karnival tersebut dianjurkan bagi memperkasa literasi digital dan meningkatkan kesedaran keselamatan dalam talian khususnya dalam melindungi individu, kanak-kanak dan keluarga daripada ancaman siber.
Selaras dengan hala tuju strategik MCMC, program itu turut memberi fokus kepada pengukuhan kesedaran komuniti akar umbi termasuk warga emas mengenai penggunaan internet secara selamat dan bertanggungjawab.
Turut hadir Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen, Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong Wui Wui serta Pengarah Kanan MCMC Wilayah Sarawak, Adiman Ajem. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Safik Effendi Kassim (BMKK)
Jurufoto : Khairul Anwar dan Cassidy Lisut (BKVS)
KUCHING, 22 Mei - Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada jam 2.30 petang hari ini bagi memulakan lawatan kerja rasmi di Kuching.
Sejurus tiba, beliau berangkat ke Tropics City untuk menghadiri Program Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat Peringkat Daerah Kuching anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Sepanjang lawatan tersebut, beliau dijadual menghadiri beberapa pengisian program bersama komuniti serta agensi berkaitan sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada tengah hari esok.
Turut hadir menyambut ketibaan beliau di LTAK ialah Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak, Sabri Said, Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sarawak, Norjihan Yahya, Pengarah MCMC Pejabat Wilayah Sarawak, Adiman Ajem, Ketua Biro BERNAMA Sarawak, Muhammad Ammar Syafiq Hamzah, Pengurus Negeri Pos Malaysia, Che Rusdi Yusaini Che Yusop, Pemangku Pengurus Besar Telekom Malaysia Sarawak, Zakinah Tuah serta Ketua Penolong Pengarah FINAS, Mohamad Azman Ismail. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Toslin Meyub (BMKK)
Foto : Lance Dunstan (BKVS)
KUCHING, 20 Mei - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan BlackBerry Ltd di Pejabat Premier Sarawak, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Delegasi UKM diketuai Naib Canselornya, Profesor Dato’ Dr. Sufian Jusoh manakala delegasi BlackBerry Ltd diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, John Giamatteo.
Menurut Sufian, kunjungan tersebut bertujuan membincangkan potensi kerjasama strategik dalam bidang teknologi sempadan (frontier technologies) menerusi usahasama antara Kerajaan Sarawak, UKM, BlackBerry Ltd dan institusi tempatan.
Beliau berkata, kerjasama itu memfokuskan penerokaan teknologi melibatkan tenaga solar, hidrogen, semikonduktor, pengkomputeran kuantum dan komunikasi selamat.
Tambah beliau, kerjasama komprehensif berkenaan turut melibatkan universiti antarabangsa berprestij seperti Massachusetts Institute of Technology (MIT) dan University of Cambridge.
“Matlamat kami adalah untuk membangunkan teknologi ini bersama institusi di Sarawak dan pada masa yang sama menjadikan Sarawak sebagai hab teknologi perintis bagi merealisasikan matlamat negeri maju menjelang 2030,” katanya ketika ditemui media selepas sesi kunjungan hormat tersebut di sini.
Sementara itu, John Giamatteo berkata, BlackBerry Ltd menawarkan set teknologi komunikasi selamat yang komprehensif khususnya berkaitan keselamatan data bagi membantu kerajaan melindungi maklumat penting.
Menurut beliau, syarikat itu turut membawa teknologi penyulitan keselamatan serta sistem pemberitahuan kecemasan yang relevan untuk kegunaan di Sarawak.
“Sistem pemberitahuan kecemasan ini amat penting khususnya bagi negeri yang berdepan risiko bencana alam seperti banjir kerana ia membolehkan penyampaian maklumat yang tepat kepada rakyat mengenai tindakan yang perlu diambil ketika kecemasan,” jelasnya.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UKM, Profesor Dr. Ismanizan Ismail Ahmad Sukri Abdul Kadir, ahli Majlis Penasihat Industri Antarabangsa UKM, Ts. Johan Mohamad serta Ketua Pegawai Strategi BlackBerry Ltd, John Dimitropoulos. -PENERANGAN_
-TAMAT-
Disediakan oleh: Safik Effendi Kassim (BMKK)
Jurufoto: Bolhan Basah (BKVS)
KUCHING, 19 Mei – Sarawak terus mengorak langkah memperkukuh kedudukannya dalam industri semikonduktor global menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) strategik melibatkan SMD Semiconductor Sdn Bhd bersama rakan teknologi antarabangsa bagi memacu pembangunan cip semikonduktor dan penyelesaian tenaga pintar berteknologi tinggi.
SMD Semiconductor telah memeterai kerjasama strategik dengan Photovoltaic Foundry Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura serta Linyang Energy Technology Co. Ltd. dari China menerusi pemeteraian MoU yang disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Dewan Undangan Negeri Sarawak, hari ini.
Menurut Setiausaha Kewangan Negeri, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, inisiatif tersebut mencerminkan perkembangan signifikan Sarawak yang kini semakin menghampiri pelaksanaan sebenar dalam pembangunan industri semikonduktor, khususnya menerusi SMD Semiconductor yang disifatkan sebagai syarikat utama kerajaan negeri dalam sektor berteknologi tinggi.
“Kerjasama ini bertujuan membangunkan cip bagi teknologi tenaga generasi baharu melibatkan sistem solar, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), teknologi pembuatan pintar serta infrastruktur pintar, sekali gus menyokong usaha Sarawak memperluaskan keupayaan teknologi bernilai tinggi dan mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian industri semikonduktor global.
“Ia juga laluan penting kepada Sarawak untuk mengembangkan teknologi semikonduktor daripada peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada aplikasi industri komersial, termasuk pembangunan kandungan tempatan menerusi peralatan yang menggunakan cip keluaran SMD Semiconductor bagi pasaran tenaga global,” ujar Wan Lizozman.
Tambah beliau, inisiatif berkenaan turut menyokong pembangunan projek solar berskala besar dan solar atas bumbung sebagai sebahagian agenda tenaga hijau Sarawak, selain memberi tumpuan bukan sahaja kepada pasaran negeri tetapi juga pasaran serantau dan global.
Kerjasama itu mencerminkan peralihan jangka panjang Sarawak ke arah ekonomi berteraskan teknologi tinggi, inovasi dan kelestarian yang dipacu pemilikan harta intelek lebih kukuh, pembangunan industri maju serta pertumbuhan sektor bernilai tinggi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil berkata syarikat tersebut memberi fokus kepada reka bentuk cip dan pembangunan harta intelek (IP), manakala proses fabrikasi cip dilaksanakan melalui kerjasama dengan X-FAB Sarawak yang merupakan antara fasiliti faundri utama dunia berpangkalan di Kuching.
Beliau menjelaskan, kerjasama bersama Linyang dan rakan industri lain membolehkan cip keluaran SMD dimasukkan ke dalam produk komersial untuk pasaran tempatan dan global, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui serta teknologi pintar.
“Kolaborasi ini unik kerana kami menumpukan kepada teknologi cip semikonduktor dan bekerjasama dengan rakan produk untuk menembusi pasaran global,” katanya.
Dalam aspek komersialisasi, Shariman berkata tahun ini merupakan tahun pelaksanaan bagi SMD Semiconductor apabila syarikat itu memasuki fasa kedua pelan hala tuju pembangunan industri semikonduktor dengan memberi tumpuan kepada pengkomersialan cip, kerjasama bersama pemain global serta menarik pelabur ke Sarawak.
Antara produk yang sedang dibangunkan termasuk penyongsang kuasa (power inverter), panel solar, sistem penyimpanan tenaga bateri, meter pintar serta sistem berkaitan tenaga boleh diperbaharui bagi meningkatkan kestabilan grid tenaga dan menyokong agenda tenaga mampan negeri. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Toslin Meyub (BMKK)
Foto : Lance Dunstan (BKVS)
KUCHING, 16 Mei - Sambutan Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-65 Lembaga Pelabuhan Kuching semalam adalah penghargaan terhadap peranan strategik agensi itu dalam memperkukuh sektor pelabuhan, perdagangan maritim dan pembangunan ekonomi Sarawak sejak lebih enam dekad lalu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, bahawa pelabuhan merupakan nadi utama perdagangan dan pemangkin pembangunan ekonomi negeri selaras aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai ekonomi berpendapatan tinggi serta dipacu inovasi menjelang 2030.
Menurutnya, pertumbuhan Lembaga Pelabuhan Kuching mencerminkan kemajuan Sarawak secara keseluruhan apabila jumlah pengendalian kargo meningkat daripada hanya 138,975 tan pada tahun 1961 kepada 10.4 juta tan pada tahun 2025, iaitu peningkatan sebanyak 74 kali ganda.
“Pelabuhan ialah pintu gerbang perdagangan dan pembangunan ekonomi dan pertumbuhan Pelabuhan Kuching menceritakan perjalanan pembangunan Sarawak sendiri,” katanya semalam di salah sebuah hotel terkemuka di sini.
Katanya lagi, pelabuhan masa hadapan perlu berkembang melangkaui fungsi konvensional sebagai pusat transit kargo kepada pemangkin pertumbuhan ekonomi, pengembangan industri dan pengukuhan hubungan perdagangan serantau khususnya dalam kalangan negara ASEAN.
“Di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), pelabuhan Sarawak perlu diperkasakan sebagai pemudah cara perdagangan, penggerak industri serta penghubung strategik rantau ASEAN dan pasaran antarabangsa,” katanya.
Abang Jo turut menekankan bahawa transformasi sektor pelabuhan perlu dipacu menerusi digitalisasi, integrasi sistem pintar, kelestarian dan penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) termasuk potensi operasi pelabuhan autonomi pada masa hadapan.
Sepanjang 65 tahun penubuhannya, Lembaga Pelabuhan Kuching terus berkembang seiring kemajuan industri logistik moden dan kekal menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi serta perdagangan Sarawak.
Turut hadir Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Dato Awang Bemee Awang Ali Basah, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II serta Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan Satem, ahli-ahli lembaga pengarah KPA serta warga Kerja agensi berkenaan.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Mohamad Munir (BMKK)
Foto: Mohammad Rizal (BKVS)
Siburan, 15 Mei - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata kerajaan Sarawak meningkatkan kadar bantuan menerusi Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) daripada RM950 kepada RM1,100 bagi membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Menurut beliau, penyaluran bantuan fasa kedua itu mula dilaksanakan hari ini selepas pembayaran pertama dibuat pada Mac lalu.
“Isi rumah akan menerima kira-kira RM400 pada fasa kali ini, manakala baki bantuan akan disalurkan pada November depan,” katanya selepas sesi tinjauan penyaluran SKAS di sebuah pasar raya di Siburan hari ini.
Beliau berkata, pertambahan nilai bantuan itu diharap dapat meringankan beban kira-kira 800,000 rakyat di negeri ini.
“Bantuan ini disalurkan lebih awal menjelang sambutan perayaan bagi membolehkan rakyat membeli barangan dapur dan keperluan asas,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri turut menanggung sepenuhnya kos bantuan tersebut bagi membolehkan penerima menggunakan baki pendapatan mereka untuk keperluan lain.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Sarawak turut meningkatkan peruntukan bantuan rakyat daripada RM800 juta kepada RM1 bilion bagi seluruh negeri susulan tekanan kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik antarabangsa.
Selain bantuan tunai, kerajaan negeri turut memperkenalkan diskaun tarif elektrik sebanyak 25 peratus kepada rakyat Sarawak, manakala sehingga 30 peratus bagi kawasan luar bandar.
“Ini memberi penjimatan kepada semua lapisan masyarakat, bukan sahaja golongan bujang atau isi rumah tetapi seluruh rakyat,” katanya lagi.
Pada masa sama, kerajaan negeri turut memberi diskaun sewaan kepada peniaga yang menyewa premis milik pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan bagi mengurangkan kos operasi serta mengawal kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
Turut hadir semasa sesi tinjauan tersebut ialah Timbalan Premier Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Dr. Jerip Susil, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Martin Ben serta Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Toslin Meyub (BMKK)
Foto : Eddy Allans Blanking (BKVS)
KUCHING, 15 Mei - Sarawak Water Sdn Bhd mencipta sejarah apabila buat pertama kali menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM325,000 kepada Tabung Baitulmal Sarawak sebagai tanda komitmen berterusan syarikat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan pembangunan sosioekonomi negeri ini.
Majlis penyerahan zakat tersebut telah disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Sarawak Water, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki kepada Mufti Sarawak, Sahibus Samahah Datu Khalidi Ibrahim.
Majlis itu turut disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi di Pejabat Premier Sarawak, Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, pagi tadi.
Menurut Dato Sri Julaihi Narawi, pembayaran zakat tersebut bukan sahaja dapat membantu golongan yang memerlukan, malah turut mencerminkan peranan syarikat berkaitan kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat secara berterusan demi manfaat rakyat.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan juga selaras dengan usaha memperkukuh kesejahteraan masyarakat serta pembangunan sosioekonomi negeri.
Turut hadir wakil daripada Tabung Baitulmal Sarawak dan Sarawak Water Sdn Bhd. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Ninie Gumbang (BMKK)
Foto : Abdul Hakeem Wel (BKVS)
KUCHING, 15 Mei - Ombudsman Sarawak kini beroperasi sepenuhnya selepas memenuhi keahlian minimum yang diperuntukkan di bawah Ordinan Ombudsman Sarawak 2023, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap pentadbiran awam di negeri ini.
Perkembangan itu dimaklumkan dalam kunjungan hormat Pejabat Ombudsman Sarawak yang diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Pejabat Premier Sarawak, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini.
Menurut Datuk Dr Juanda, sejak pelantikan ahli Ombudsman pada April 2024, institusi berkenaan telah melalui fasa pengukuhan dan kini berfungsi sepenuhnya dengan lima ahli daripada maksimum tujuh ahli yang dibenarkan.
Beliau berkata, bidang kuasa Ombudsman Sarawak meliputi pemantauan terhadap agensi kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), badan berkanun negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta mana-mana entiti yang menerima peruntukan atau emolumen daripada kerajaan negeri.
Tambah beliau, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak turut meluluskan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas (Special Select Committee) bagi meneliti laporan tahunan Ombudsman sebelum dibentangkan di DUN.
“Langkah ini akan memastikan setiap cadangan dan teguran yang dikemukakan oleh Ombudsman dapat dinilai serta dipastikan pelaksanaannya oleh pihak kerajaan,” katanya.
Setakat ini, Ombudsman Sarawak telah menerima sebanyak 67 aduan dan kesemua aduan berkenaan telah melalui proses tapisan sebelum tindakan lanjut diambil.
Menurut beliau, aduan yang melibatkan unsur jenayah telah disalurkan kepada pihak polis, manakala kes yang mempunyai elemen rasuah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Selain itu, terdapat juga aduan yang tidak diproses kerana berada di luar bidang kuasa Ombudsman atau telah diputuskan oleh mahkamah.
Jelas beliau, fokus utama Ombudsman Sarawak adalah terhadap isu salah tadbir urus (maladministration) melibatkan agensi kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun serta GLC.
Orang ramai boleh mengemukakan aduan melalui surat, e-mel atau laman web rasmi Ombudsman Sarawak yang diklasifikasikan sebagai sulit.
Katanya, pada masa sama, pihaknya kini sedang membangunkan aplikasi mudah alih bagi memudahkan proses penyaluran aduan.
“Ombudsman Sarawak komited memperkukuh integriti, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang di negeri ini sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sistem pentadbiran Sarawak,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa laman web rasmi Ombudsman Sarawak telah merekodkan lebih 800,000 capaian setakat ini serta menerima perhatian delegasi antarabangsa yang berminat untuk memahami pelaksanaan sistem Ombudsman di Sarawak.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ketua Ombudsman, Dato Sri Abdul Ghafur Shariff, Pengarah Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, Datu Sharifah Rohana Datu Wan Alwi, Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman, Wan Mohamad Wan Drahman, Ombudsman, Datu Buckland Bangik,Albert Tang Yew Liong dan Toieyah Tioh serta Timbalan Ketua Ombudsman, Alexander Unya Ambon, Ombudsman -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Lance Dunstan (BKVS)
KUCHING, 14 Mei - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg hari ini menerima kunjungan hormat delegasi National Geographic Learning yang diketuai Pengarah Kanan Asia National Geographic Learning, Michael Cahill di Pejabat Premier Sarawak, Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini.
Kunjungan tersebut bertujuan membincangkan kerjasama dalam memperkukuh inisiatif pendidikan hijau, STEM serta kesedaran terhadap perubahan iklim di Sarawak.
Menurut Michael Cahill, pertemuan itu turut memfokuskan usaha memperluas kerjasama dalam bidang pendidikan, inovasi dan pembangunan lestari.
Beliau berkata, National Geographic Learning kini bekerjasama dengan komuniti pendidikan di seluruh Sarawak bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap perubahan iklim, kesejahteraan serta pendidikan hijau.
“Misi kami adalah membawa dunia ke bilik darjah, rumah dan komuniti di seluruh Sarawak serta membawa Sarawak ke pentas dunia,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat tersebut.
Tambah beliau, pihaknya turut menjemput Premier Sarawak untuk melawat pusat National Geographic Learning di Amerika Syarikat dan China bagi berkongsi kisah kejayaan Sarawak dalam pembangunan hijau dan pendidikan kepada masyarakat antarabangsa.
Menurutnya lagi, National Geographic Learning telah melaksanakan program pendidikan di Sarawak sejak tahun 2018 melibatkan sekolah awam dan institusi pendidikan dengan penekanan terhadap STEM serta Teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Pertemuan itu juga menjadi platform untuk menyampaikan penghargaan kepada Premier Sarawak atas sokongan yang diberikan selain membincangkan potensi memperluaskan program STEM dan teknologi di negeri ini.
Dalam pada itu, Premier Sarawak menyambut baik usaha berkenaan dan menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama dalam menjadikan Sarawak sebuah negeri yang lebih baik untuk generasi akan datang melalui pembangunan hijau dan pendidikan berkualiti.
Sarawak kini diiktiraf sebagai rakan pendidikan hijau UNESCO di Paris selain disenaraikan sebagai antara anggota STEM melibatkan 99 negara di dunia.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan kenamaan yang lain. - PENERANGAN.
-TAMAT-
Disediakan oleh : Ninie Gumbang (BMKK)
Foto : Khairul Anwar (BKVS)
KUCHING, 14 Mei - Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hari ini menerima kunjungan hormat delegasi Pengurusan Tertinggi Arkib Negara Malaysia yang diketuai Ketua Pengarahnya, Zaidin Mohd Noor di Astana Negeri Sarawak.
Kunjungan tersebut bertujuan menyampaikan warkah persilaan rasmi kepada TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak sebagai penyampai ucaptama bagi Persidangan Antarabangsa Sejarah Sarawak 2026 yang dijadual berlangsung pada 28 September 2026 di Kuching.
Dalam pertemuan itu, delegasi Arkib Negara Malaysia turut memaklumkan kepada Tun Pehin Sri mengenai perancangan pelaksanaan sesi rakaman Sejarah Lisan oleh agensi berkenaan.
Selain itu, Arkib Negara Malaysia turut menyatakan hasrat untuk memilih rekod peribadi Tun Pehin Sri yang berada dalam simpanan Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak untuk dipamerkan sempena Pameran Khas Perayaan Hari Lahir Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak 2026 akan datang.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Penyelidikan dan Pengembangan) Arkib Negara Malaysia, Ahmad Sukri Abdul Kadir, Pengarah Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak, Afham Jauhari Aldi, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sarawak, Dr. Haslina Hashim, Timbalan Dekan fakulti berkenaan, Dr. Auni Ugong serta Yang di-Pertua Ikatan Graduan Melayu Sarawak, Ir. Ts. Syed Hossin Wan Hamit. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Safik Effendi Kassim (BMKK)
Jurufoto : Lance Dunstan (BKSV)
KUCHING, 14 Mei - Inovasi dalam perkhidmatan awam perlu diterjemahkan kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, pantas dan memberi impak langsung kepada rakyat, bukan sekadar tertumpu kepada sesi percambahan idea, pembentangan atau pertandingan semata-mata.
Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan berkata, ukuran sebenar sesuatu inovasi bukan terletak pada kehebatan idea yang diketengahkan, sebaliknya sejauh mana ia mampu membawa perubahan positif terhadap sistem penyampaian kerajaan.
Menurut beliau, inovasi yang berkesan perlu membantu mempermudah proses kerja, mengurangkan pembaziran, menjimatkan kos awam, meningkatkan ketelusan serta mempercepat penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Dalam dunia yang semakin mencabar dan sukar diramal, inovasi bukan lagi sekadar aktiviti sampingan atau memenuhi keperluan pertandingan, sebaliknya perlu dijadikan budaya dan disiplin teras dalam tadbir urus perkhidmatan awam,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Jabatan dan Agensi Persekutuan Sarawak 2026 bertemakan 'Idea kepada Impak' di sebuah hotel terkemuka, hari ini.
Tambah beliau, rakyat kini menuntut perkhidmatan kerajaan yang lebih responsif, telus, mudah difahami dan disampaikan dengan penuh ihsan, sekali gus menuntut penjawat awam agar sentiasa bersedia menghadapi perubahan teknologi, risiko keselamatan siber, tekanan ekonomi global serta ketidaktentuan masa depan.
Katanya lagi, budaya inovasi perlu terus diperkasakan dalam kalangan penjawat awam kerana idea bernas boleh lahir daripada pelbagai peringkat perkhidmatan termasuk pegawai kaunter, juruteknik, pembantu tadbir, pegawai penguat kuasa, guru, jururawat dan pegawai teknologi maklumat yang berdepan secara langsung dengan cabaran di lapangan.
“Perkhidmatan awam masa depan perlu memiliki tiga ciri utama iaitu berpandangan jauh, berupaya menyesuaikan diri dengan perubahan serta bertanggungjawab dalam setiap keputusan demi mengekalkan kepercayaan rakyat,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, kumpulan KIK I GROW daripada Pejabat Pendidikan Daerah Miri dinobatkan sebagai johan menerusi projek SmartServe Prime.
Naib johan dimenangi kumpulan KIK CC GREENGROW daripada Kolej Komuniti Mas Gading menerusi projek SMARTLUX, manakala tempat ketiga disandang kumpulan KIK STA+AG daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia Negeri Sarawak dan Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Sarawak menerusi projek MySTEPPAY.
Konvensyen KIK Jabatan dan Agensi Persekutuan Negeri Sarawak 2026 merupakan penganjuran julung kali oleh Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak sebagai usaha menyuburkan budaya kreativiti dan inovasi dalam kalangan warga perkhidmatan awam persekutuan di Sarawak.
Sebanyak 36 kumpulan daripada pelbagai jabatan dan agensi persekutuan di seluruh Sarawak mengambil bahagian dalam konvensyen tersebut yang turut berfungsi sebagai platform saringan bagi memilih kumpulan KIK cemerlang untuk bertanding di peringkat negeri.
Kumpulan yang berjaya akan mara ke peringkat seterusnya menerusi Pertandingan Sarawak Civil Service Innovation Convention Awards (SCSICA) anjuran Unit Pemodenan Perkhidmatan Sarawak, Jabatan Premier Sarawak yang diadakan setiap tahun sempena Sambutan Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Persekutuan Sarawak, Mohamad Anuardi Hajani, Ketua Penolong Pengarah Unit Transformasi dan Inovasi Jabatan Premier Sarawak, Herlina Ajaib Jamahari serta ketua-ketua dan wakil ketua jabatan persekutuan di Sarawak. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Mohamad Munir (BMKK)
Foto : Eddie Alan Blanking (BKVS)
KUCHING, 13 Mei - Kerajaan Sarawak akan mengambil alih serta mewartakan semua jalan balak di negeri ini sebagai jalan negeri dalam usaha memperkukuh jaringan infrastruktur luar bandar khususnya di kawasan Baram yang masih bergantung kepada laluan tersebut sebagai akses utama penduduk.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala berkata, langkah itu membolehkan jalan berkenaan menerima peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan bagi tujuan penyelenggaraan, pembaikan dan kerja naik taraf.
Katanya lagi, kerajaan negeri telah memutuskan untuk mengambil alih semua jalan balak di Sarawak yang melibatkan lebih 7,000 kilometer dengan kira-kira 2,700 kilometer daripadanya terletak di bahagian Baram.
Menurutnya selepas mengetuai rombongan 27 ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) dari sub-daerah Bario mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini, keperluan menaik taraf jalan balak bukan sahaja penting bagi kawasan Bario, malah melibatkan keseluruhan kawasan Baram kerana kebanyakan rumah panjang di pedalaman masih menggunakan laluan tersebut sebagai jalan perhubungan utama.
"Penduduk turut menzahirkan penghargaan terhadap pelbagai projek pembangunan yang sedang dan telah dilaksanakan kerajaan negeri di kawasan pedalaman termasuk projek Jalan Miri-Marudi-Mulu-Long Lama (3M2L) yang kini dalam pelaksanaan.
"Laluan tersebut termasuk pembinaan persimpangan dari Long Panai ke Long Lama dijangka menjadi pemangkin utama kepada pembangunan sosioekonomi kawasan Baram," katanya.
Walau bagaimanapun, Gerawat berkata masih terdapat beberapa kawasan lain di Baram yang memerlukan perhatian khusus terutama laluan dari Pekan Lapok hingga ke Bario yang memerlukan kerja naik taraf bagi meningkatkan aksesibiliti penduduk.
Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan di Bario yang memberi impak besar kepada masyarakat setempat termasuk penyediaan bekalan elektrik 24 jam, kemudahan internet dan telekomunikasi serta bekalan air bersih.
Turut hadir semasa kunjungan tersebut ialah Pegawai Daerah Miri, Siti Rohanie Yusof dan Pemanca Kaum Kelabit, Celeena Lallang Sakai.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto: Mohamad Rizal Matasan (BKVS)
KUCHING, 12 Mei - Institut Pengurusan Sarawak (MASA) dan University of Melbourne hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan modal insan, pendidikan serta latihan kepimpinan bertaraf antarabangsa.
Majlis menandatangani MoU tersebut berlangsung di Dewan Kenyalang, Dewan Undangan Negeri Sarawak dan disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang juga penaung MASA.
Kerjasama berkenaan dilihat sebagai satu lagi langkah signifikan dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan dan pembangunan bakat di Sarawak selaras aspirasi kerajaan negeri untuk melahirkan masyarakat berkemahiran tinggi serta berdaya saing menjelang tahun 2030.
Premier Sarawak berkata, kerajaan negeri kekal komited menyokong pembangunan pendidikan di semua peringkat melalui pelaburan berterusan dalam pendidikan digital, latihan teknikal dan vokasional (TVET), pendidikan tinggi serta kerjasama antarabangsa yang mampu memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.
Menurut beliau, kerjasama dengan institusi pendidikan bertaraf dunia seperti Universiti Melbourne amat signifikan memandangkan universiti berkenaan diiktiraf di peringkat global menerusi kecemerlangan dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pendidikan.
“Melalui kerjasama ini, rakyat Sarawak akan memperoleh akses lebih luas kepada pendidikan bertaraf dunia tanpa perlu meninggalkan rantau ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Dekan (Interim) Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Melbourne, Professor Peter Gahan berkata universiti berkenaan kini disenaraikan antara 20 universiti terbaik dunia berdasarkan QS World University Rankings serta terus mengekalkan kecemerlangan dalam penyelidikan dan pendidikan global.
Menurut beliau, kerjasama dengan MASA menerusi pelaksanaan program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) yang dilancarkan hari ini akan memberi penekanan kepada pembangunan kepimpinan masa hadapan, termasuk pemahaman berkaitan kecerdasan buatan (AI) serta impaknya terhadap organisasi, kepimpinan dan komuniti.
“Program ini bertujuan membangunkan modal insan masa hadapan Sarawak serta memperkasakan keupayaan individu untuk membentuk masa depan mereka sendiri melalui pendidikan bertaraf dunia,” katanya.
Kerjasama strategik itu dijangka membuka ruang kepada pelaksanaan program latihan profesional, penyelidikan, pembangunan bakat dan pertukaran kepakaran akademik antara kedua-dua institusi, sekali gus memperluas jaringan kerjasama antarabangsa Sarawak dalam sektor pendidikan dan latihan.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) merangkap Presiden MASA, Dato Sri Dr. Abdullah Zaidel.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Mohamad Munir / Safik Affendi Kassim (BMKK)
Foto oleh : Bolhan Hj Basah (BKVS)
KUCHING, 11 Mei - Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri Majlis Jamuan Negeri bersempena dengan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 Tahun 2026 di Dewan Santapan, DUN Sarawak di sini, malam tadi.
Antara pengisian majlis ialah persembahan tarian bertemakan Sarawak Maju Makmur oleh Artis Tari Majlis Seni Sarawak, persembahan khas oleh Simfoni Okhestra Negeri Sarawak (SONS) di bawah pimpinan Pengarah Muzik, Saiful Hamdan serta persembahan nyanyian oleh artis-artis Sarawak seperti Dewi Liana Seriestha, Mal Imran, Spinney, Chien dan Mawat.
Persembahan penutup dinamakan 'Joget Kenangan Manis' sebagai penyudah majlis bagi meraikan persidangan pertama penggal kelima yang diadakan selama lapan hari bermula hari ini (11 hingga 20 Mei 2026).
Turut hadir ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Speaker DUN Sabah Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya, Ahli-ahli DUN bersama-sama isteri, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu kehormat lain.-PENERANGAN- -TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Jurufoto: Mohd Rizal, Khairul Anwar dan Cassidy Lisut (BKVS)
KUCHING, 11 Mei - Kestabilan politik, tadbir urus berkesan dan kesepaduan rakyat merupakan asas penting untuk memastikan Sarawak terus bergerak maju sebagai wilayah berpendapatan tinggi, mampan serta berdaya saing di peringkat global.
Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menyampaikan ucapan pemasyhuran sempena Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini pagi tadi berkata, Sarawak ketika ini berdepan cabaran global yang semakin kompleks susulan ketegangan geopolitik, ketidaktentuan ekonomi dunia serta gangguan rantaian bekalan yang turut memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat.
Namun begitu katanya , Sarawak masih mampu mengekalkan kestabilan ekonomi hasil pengurusan kewangan yang berhemah, dasar pembangunan yang jelas serta pentadbiran yang cekap.
TYT turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas pelbagai langkah proaktif yang dilaksanakan kerajaan negeri dalam mengurangkan beban rakyat melalui bantuan dan inisiatif kebajikan di samping memperkukuh daya tahan ekonomi negeri.
Katanya, Post COVID-19 Development Strategy 2030 (PCDS 2030) kekal menjadi panduan utama dalam memacu hala tuju pembangunan Sarawak khususnya menjelang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Tambahnya, penekanan perlu terus diberikan kepada pembangunan industri bernilai tinggi, transformasi digital, tenaga bersih, ekonomi hijau dan pembangunan modal insan bagi memastikan Sarawak terus menarik minat pelabur tempatan serta antarabangsa.
Dalam pada itu, TYT turut berkata Sarawak kini semakin dikenali sebagai antara peneraju tenaga bersih di rantau ini melalui pengembangan sumber tenaga boleh baharu seperti hidro, solar dan biotenaga yang bukan sahaja menyokong agenda kelestarian alam sekitar malah membuka peluang ekonomi baharu.
"Langkah kerajaan negeri meneroka sektor aeroangkasa, teknologi tinggi dan ekonomi digital bakal membuka lembaran baharu kepada pembangunan Sarawak dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada anak tempatan, " katanya.
TYT turut menekankan akan keperluan memperkukuh kerjasama antara kerajaan, institusi pengajian tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta sektor industri supaya pembangunan bakat dapat diselaraskan dengan keperluan industri masa depan.
Dalam aspek pembangunan luar bandar pula TYT berkata projek infrastruktur strategik seperti Jalan Pesisir, laluan penghubung Sabah-Sarawak serta jaringan jalan raya luar bandar akan terus memperkukuh kesalinghubungan dan membuka peluang ekonomi kepada rakyat di kawasan pedalaman.
"Pelaksanaan sistem Autonomous Rapid Transit (ART) dan penubuhan AirBorneo merupakan langkah penting dalam memperkukuh kesalinghubungan domestik serta serantau di samping menyokong pembangunan ekonomi dan pelancongan negeri," katanya.
Menurut beliau, kestabilan politik, keharmonian kaum dan perpaduan masyarakat berbilang etnik kekal menjadi kekuatan utama Sarawak serta faktor penting dalam menarik keyakinan pelabur luar.
TYT turut mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri supaya sentiasa menjaga kemuliaan institusi dewan, berbahas secara matang dan mendahulukan kepentingan rakyat demi memastikan Sarawak terus maju, makmur, aman serta dihormati. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Bolhan Haji Basah / Cassidy Lisut / Mohammad Rizal / Khairul Awnar / Eddie Alan (BKVS)
KUCHING, 9 Mei - Kerajaan bersetuju memperluaskan kemudahan Kad Konsesi BAS.MY kepada pelajar tingkatan enam serta pelatih institut latihan milik kerajaan di seluruh negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 2,350 pelajar tingkatan enam dan lebih 3,200 pelatih institut latihan kerajaan khususnya di kawasan Kuching dan Samarahan.
Katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Laluan Baharu BAS.MY Kuching di Summer Mall, hari ini peluasan kemudahan tersebut membolehkan kumpulan berkenaan menikmati perjalanan percuma di semua laluan BAS.MY sekali gus membantu mengurangkan beban kos perjalanan harian mereka.
Tambah beliau, sebelum ini kemudahan sama telah dinikmati pelajar sekolah berusia tujuh hingga 17 tahun, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta mahasiswa.
Dalam perkembangan sama, Anthony Loke turut mengumumkan pengurangan kadar Pas 30 Hari BAS.MY daripada RM50 kepada RM30 bagi warganegara Malaysia membolehkan pengguna menikmati perjalanan tanpa had dengan kos serendah RM1 sehari.
Pada majlis sama, beliau turut merasmikan enam laluan baharu yang mula beroperasi sejak 1 April lalu iaitu Q11 Arang Road, Q12 Taman Hui Sing, Q13 Siburan, Q14 Summer Mall, Q15 Stutong Baru/Kuching Sentral dan Q16 Taman Sukma.
Katanya, penambahan laluan tersebut dijangka memperluaskan liputan perkhidmatan sekali gus memudahkan pergerakan harian masyarakat di sekitar Kuching, Samarahan dan Serian.
Tambah beliau lagi, salah satu teras utama perkhidmatan BAS.MY ialah aspek inklusiviti termasuk penggunaan bas bandar berlantai rendah bagi memudahkan akses pengguna kerusi roda.
Program Transformasi Bas Berhenti-henti (SBST) atau BAS.MY Kuching merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan bagi menambah baik perkhidmatan bas dari aspek kemampuan, kebolehpercayaan dan peningkatan penggunaan pengangkutan awam.
BAS.MY Kuching kini menggunakan 56 buah bas baharu yang dilengkapi teknologi terkini termasuk Mesin Tiket Elektronik (ETM) untuk pembayaran tanpa tunai dan Sistem Kedudukan Global (GPS) bagi pengesanan masa nyata.
Selain itu, setiap bas tersebut turut dilengkapi enam unit kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terjamin.
Selain itu, Anthony Loke turut mengumumkan kelulusan Projek Menaik Taraf Bangunan Lapangan Terbang Miri dengan kos RM445 juta di bawah RP1 Tahun 2026 Rancangan Malaysia Ke-13.
Menurut beliau, projek itu akan meningkatkan kapasiti lapangan terbang berkenaan daripada 2.0 juta kepada 4.0 juta penumpang setahun selain menambah baik kawasan terminal, kemudahan digital dan kecekapan operasi.
Katanya, projek naik taraf itu penting memandangkan Lapangan Terbang Miri merupakan lapangan terbang kedua paling sibuk di Sarawak selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching serta berperanan sebagai hab utama Perkhidmatan Udara Luar Bandar yang kini dikendalikan oleh AirBorneo.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Dato Seri Jana Santhiran Muniayan, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak, Datu Wong Hee Sieng, Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, Michael Kong Feng Nian dan ketua-ketua jabatan. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Ninie Gumbang (BMKK)
Foto : Bolhan Hj Basah (BKVS)
KUCHING, 8 Mei - Premier Sarawak menerima kunjungan hormat Mufti Sarawak yang baharu, Sahibus Samahah Datu Khalidi Ibrahim dalam satu pertemuan rasmi yang berlangsung di sini, hari ini.
Datu Khalidi dilantik sebagai Mufti Sarawak berkuat kuasa mulai 1 Mac 2026 bagi menggantikan Datu Kipli Yassin yang menamatkan tempoh perkhidmatan beliau pada 28 Februari lalu selepas lebih sedekad menerajui institusi keagamaan negeri.
Sebelum pelantikan tersebut, beliau berkhidmat sebagai Pakar Rujuk di Jabatan Mufti Sarawak serta memainkan peranan penting dalam memperkukuh fungsi dan penyelarasan institusi berkenaan.
Pelantikan beliau dilihat sebagai kesinambungan kepimpinan dalam memastikan institusi fatwa negeri terus kekal berwibawa, relevan dan responsif terhadap perkembangan semasa khususnya dalam mendepani cabaran masyarakat yang semakin dinamik.
Kunjungan hormat itu turut menjadi platform memperkukuh hubungan kerjasama antara institusi agama dan kepimpinan negeri dalam usaha memperkasakan pentadbiran Islam serta memelihara kesejahteraan rakyat di Sarawak.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Pengarah Jabatan Mufti Sarawak, Ustaz Khalipah Juli. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Mohamad Munir (BMKK)
Foto oleh: Bolhan Haji Basah (BKVS)
KUCHING, 7 Mei – Jerman menyatakan keyakinan terhadap potensi besar Sarawak sebagai destinasi pelaburan strategik, khususnya dalam sektor tenaga, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan pembangunan infrastruktur.
Duta Besar Republik Persekutuan Jerman ke Malaysia, Puan Yang Terutama Silke Riecken-Daerr berkata, pihaknya berbesar hati kerana diberi peluang bertemu Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di pejabatnya, Kompleks Satria Pertiwi di sini, hari ini.
Pertemuan tersebut bertujuan memahami ekosistem ekonomi Sarawak dengan lebih mendalam serta meneroka peluang pelaburan yang berpotensi untuk syarikat-syarikat Jerman.
Menurutnya, delegasi itu turut disertai hampir 20 syarikat dari Jerman yang kini menjalankan program dan perbincangan bersama pelbagai pihak di Sarawak.
“Antara fokus utama yang dibincangkan ialah peralihan tenaga, kecerdasan buatan, semikonduktor serta projek infrastruktur yang menjadi keutamaan strategik Sarawak,” kata Silke.
Beliau turut melihat banyak kekuatan dan kepakaran syarikat Jerman yang mampu membantu mempercepat pembangunan ekonomi Sarawak ke tahap lebih tinggi.
Dalam masa sama, beliau memuji infrastruktur serta persekitaran kondusif untuk pembangunan syarikat pemula niaga (startup), terutama dalam bidang teknologi dan inovasi.
Silke juga menyatakan hasrat untuk kembali ke Sarawak pada masa hadapan bersama lebih banyak syarikat dan startup dari Jerman bagi meneroka kerjasama baharu.
Selain Kuching, mereka turut berminat untuk melawat bandar-bandar utama lain seperti Bintulu serta menikmati keunikan alam semula jadi dan biodiversiti Sarawak.
Turut hadir bersama semasa kunjungan ialah Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Setiausaha Kewangan Negeri, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar dan Executive Director of Malaysian-German Chamber, Hannes Richard Otto Farlock.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Cassidy Lisut (BKVS)
KUCHING, 5 Mei - Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, hari ini menerima kunjungan hormat daripada pengurusan tertinggi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Wong Chun Wai.
Kunjungan hormat tersebut bertujuan memaklumkan hasrat pihak BERNAMA untuk menerbitkan sebuah coffee table book mengenai perjalanan dan sumbangan Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi.
Dalam pertemuan itu, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi turut berkongsi beberapa hasil penulisannya, termasuk buku bertajuk “Evolusi Parlimen dan Evolusi Speaker Parlimen Malaysia Edisi Ketiga” yang diterbitkan pada 15 Januari 2024 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Selain itu, beliau juga berkongsi karya lain antaranya “A Policeman” yang mengisahkan pengalaman beliau mempertaruhkan nyawa dalam beberapa operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara di Miri, Sibu dan Kapit ketika berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang BERNAMA Arul Rajoo Durar Raj, Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Sharifah Zaini Syed Zain, Ketua Jabatan Komersial Mastura Hassan, wakil Pengurusan Pemasaran Foto Bahagian Perkhidmatan Langganan Jabatan Komersial BERNAMA, Fariz Rizal Madzri serta rombongan lain.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Abdul Hakeem Well (BKVS)
KOTA SAMARAHAN, 4 Mei - Sektor agrikomoditi negara kini berada pada landasan transformasi moden berasaskan teknologi, sekali gus membuka peluang kerjaya berkemahiran tinggi kepada generasi muda melalui pendekatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, penganjuran Program TVET MyKomoditi 2026 menjadi platform strategik dalam mencetus aspirasi serta meningkatkan keyakinan belia terhadap potensi kerjaya masa depan dalam sektor agrikomoditi.
Menurut beliau, sektor berkenaan tidak lagi wajar dilihat sebagai industri tradisional, sebaliknya berkembang pesat dengan penerapan agroteknologi, automasi dan pendigitalan.
“Pada tahun 2025, sektor agrikomoditi mencatatkan nilai eksport sebanyak RM196.72 bilion, membuktikan kepentingannya sebagai antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.
“Industri seperti sawit, getah, koko, lada, kenaf dan perkayuan bukan sahaja menjana pendapatan negara, malah menyediakan peluang pekerjaan kepada ratusan ribu rakyat, khususnya di luar bandar,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan, di sini.
Beliau menegaskan, TVET merupakan pemangkin utama dalam melahirkan tenaga kerja yang memenuhi keperluan industri di samping mengubah persepsi lapuk terhadap pekerjaan sektor perladangan yang sering dikaitkan dengan elemen 3D (kotor, berbahaya dan sukar).
Mengulas lanjut, beliau berkata pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah program adalah bertepatan memandangkan negeri itu memiliki kekayaan sumber asli serta komitmen tinggi terhadap pembangunan mampan.
Sehubungan itu, kerajaan komited untuk terus memperkukuh ekosistem TVET sebagai laluan perdana kerjaya, sekali gus melahirkan generasi bakat komoditi yang mampu memacu pembangunan ekonomi negara secara mampan dan inklusif.
Dalam perkembangan berkaitan, kementerian melalui Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia turut menjalin kerjasama strategik dengan institusi latihan seperti Sarawak Skills, Sabah Skills & Technology Centre dan Kolej RISDA bagi memperkukuh ekosistem pembangunan bakat.
Pada majlis sama, turut berlangsung pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara IMPAC, institusi TVET dan syarikat perladangan utama termasuk SD Guthrie, SALCRA Berhad, Genting Plantations dan TH Plantations.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, Pengerusi IMPAC, Datuk Profesor Dr. Mohamad Roslan Sulaiman, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Anielia Siam, Pengarah Eksekutif Sarawak Skills, Hallman Sabri serta Residen Bahagian Samarahan, Muhamad Irwan Bahari Bujang. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Bolhan Basah (BKVS)
LINGGA, 3 Mei– Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima penyerahan Bahan Warisan Banting-Lingga dalam satu majlis penuh bersejarah di Dewan Masjid Al-Hana, hari ini.
Majlis penyerahan tersebut merupakan satu detik bermakna dalam usaha memelihara, mendokumentasi serta memartabatkan warisan sejarah dan salasilah keluarga yang mempunyai nilai tinggi kepada negeri Sarawak.
Bahan warisan berkenaan diserahkan oleh Ayahanda Abang Bohari Abang Zein, yang merupakan wakil waris dan keturunan pemimpin Lingga, Lela Pahlawan Abang Hussin.
Penyelidikan mendalam terhadap khazanah tersebut telah dilaksanakan oleh UiTM Cawangan Sarawak bagi mengenal pasti nilai sejarah, keaslian bahan serta menelusuri hubungan genealogi berkaitan susur galur keluarga Tun.
Titik pertemuan nasab antara Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dengan pihak waris dikesan melalui Dayang Isah iaitu puteri kepada Laksamana Kidar sekali gus memperlihatkan hubungan kekeluargaan yang erat melalui jalur salasilah yang sama.
Antara bahan bersejarah yang dipamerkan dan diserahkan termasuklah Kanun Banting-Lingga, Manuskrip Salasilah Banting-Lingga, Salasilah Keluarga Bin Yahya Sarawak serta pelbagai artifak seperti pedang dan tombak.
Terdahulu, ketibaan Tuan Yang Terutama serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Jeti Nelayan Lingga disambut meriah dengan persembahan hadrah daripada Kumpulan Nur Islam.
Tun dan Toh Puan turut meluangkan masa meninjau Pameran Mini Salasilah Lingga-Banting yang memaparkan catatan sejarah oleh Cikgu Abang Salim Abang Ali sebelum menghadiri jamuan tengah hari bersama masyarakat setempat.
Turut hadir ialah Penasihat di Pejabat Premier Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.28 Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh dan tetamu kehormat lain. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Cassidy Lisut Tubong dan Khairul Anwar Ali (BKVS)
SEBUYAU, 3 Mei - Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, selamat tiba di Jeti Perikanan Sebuyau pada jam 3.00 petang semalam bagi meneruskan siri Program Kembara D’Astana ke Lingga.
Ketibaan delegasi menggunakan bot Interceptor milik Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) itu semalam merupakan persinggahan rasmi kedua dalam lawatan ke daerah berkenaan.
Sejurus tiba, Tun dan Toh Puan disambut dengan persembahan tradisi hadrah oleh Kumpulan Hadrah Nurul Hikmah Dua dari Kampung Jalan Sawmil diikuti bacaan doa kesyukuran oleh Pegawai Agama Islam Bahagian Samarahan, Ustaz Bahrin Kawi.
Sambutan turut diserikan dengan persembahan tarian Ngajat dari Kampung Bajong serta demonstrasi seni mempertahankan diri oleh Kumpulan Silat Helang Putih Perkasa dari Kampung Masjid Sebuyau yang mencerminkan kepelbagaian budaya masyarakat Sarawak.
Dalam jadual lawatan tersebut, Tun dan Toh Puan turut mengadakan kunjungan ziarah ke kediaman keluarga Allahyarham Wan Morsidi Tuanku Sait, sepupu kepada Tun yang telah kembali ke rahmatullah semalam.
Ketibaan mereka disambut oleh balu Allahyarham, Sharifah Hasiah Tuanku Mashor bersama ahli keluarga.
Tun dan Toh Puan seterusnya menyertai bacaan doa arwah yang dipimpin oleh Pegawai Agama dan Penyelidikan Astana Negeri Sarawak, Ustaz Syed Mohd Rusydi Wan Yusop.
Terdahulu, Tun dan Toh Puan menghadiri Majlis Wida’ Keberangkatan Haji serta mendengar tazkirah khas di Masjid Al Muflihin selain menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada pihak pengurusan masjid tersebut.
Turut hadir menyambut ketibaan delegasi ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Haji Narawi, Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang, Penghulu Osman, Ketua Kampung Abang Spawi Abang Junaidi serta Pemanca Merum Babu. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Cassidy Lisut Tubong (BKVS)
TRISO, 2 Mei – Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini mengadakan lawatan ke tapak warisan di Kampung Triso sempena Program Keberangkatan Kembara D’Astana ke Lingga.
TYT bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, memulakan pelayaran dari Terminal Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) seawal jam 6.26 pagi sebelum tiba di Jeti Perikanan Triso pada jam 9.50 pagi.
Ketibaan beliau disambut oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Belia dan Sukan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N. 36 Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu dan dipersembahkan hadrah oleh penduduk setempat sebelum meneruskan agenda lawatan.
Antara pengisian utama adalah ziarah ke Tanah Perkuburan Kampung Triso yang disusuli dengan bacaan tahlil ringkas serta doa arwah sebagai tanda penghormatan kepada penduduk terdahulu.
TYT kemudiannya meninjau beberapa tapak bersejarah di kampung tersebut termasuk tapak rumah lama dan telaga lama yang menjadi simbol warisan serta mencerminkan sejarah kehidupan masyarakat setempat.
Lawatan berkenaan diakhiri dengan solat Zohor berjemaah di Masjid Al-Muhajirin dan Tun berkesempatan menyerahkan sumbangan sejumlah RM20,000 kepada pihak pengurusan masjid serta bersama-sama menjamu makan tengah hari yang turut dihadiri oleh ahli keluarga dan komuniti setempat sekali gus memperkukuh hubungan silaturahim.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri N.29 Beting Maro Dato Razaili Gapor, Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas, Pegawai Daerah Pusa Hamdan Katang, Temenggong Bahagian Betong Ayahanda Piee Alwi, Pemanca Daerah Pusa Rasli @ Rosli Uji, Ketua Kampung Triso Awang Mos Sulaiman dan tetamu kehormat lain.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Cassidy Lisut Tubong dan Khairul Anwar Ali (BKVS)