JABATAN PENERANGAN MALAYSIA SARAWAK
KUCHING, 1 Nov – Pembangunan bangunan tambahan Gurdwara Sahib Kuching mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak dalam memperkukuh keterangkuman, keharmonian dan kesejahteraan masyarakat berbilang kaum serta agama di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, komuniti Sikh yang mempunyai sejarah panjang di Sarawak telah banyak menyumbang kepada pembangunan negeri, khususnya dalam bidang perubatan, perundangan, pendidikan dan perkhidmatan profesional.
Menurut beliau, meskipun komuniti Sikh merupakan kelompok minoriti dari segi jumlah penduduk, sumbangan mereka terhadap pembangunan Sarawak amat signifikan dan wajar terus dihargai.
Menurut Abang Johari lagi ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Tambahan Gurdwara Sahib Kuching di sini hari ini, pembangunan bangunan tambahan itu bukan sahaja menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada komuniti Sikh, malah menjadi simbol keterangkuman serta keharmonian dalam masyarakat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama.
Beliau turut menyifatkan pembangunan berkenaan sebagai sebahagian daripada transformasi kawasan pusat bandar Kuching yang terus berkembang menerusi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan dan penyediaan infrastruktur moden.
Sehubungan itu, katanya kerajaan Sarawak akan terus memastikan setiap komuniti mempunyai peluang untuk berkembang serta menikmati manfaat pembangunan negeri tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
Abang Johari turut berharap agar komuniti Sikh akan terus berganding bahu bersama komuniti lain dalam menyokong agenda pembangunan Sarawak di samping mengekalkan nilai perpaduan, kerjasama dan sikap saling menghormati demi masa depan negeri yang lebih maju dan makmur.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian serta tetamu jemputan yang lain.
-PENERANGAN-
– TAMAT –
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Mohamad Rizal Matasan (BKVS)
KUCHING, 31 Okt – Majlis Perasmian Festival Gendang Sarawak 2026 yang bertemakan 'Nadi Warisan Irama Tradisi' telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Kuching Waterfront semalam.
Majlis yang mengetengahkan keunikan seni gendang sebagai tarikan budaya itu turut diserikan dengan kehadiran isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan Sarawak sentiasa meletakkan komitmen tinggi untuk memperkasa ekonomi kreatif dan usahawan seni budaya.
Katanya, kementeriannya telah meluluskan 346 acara dengan agihan Geran Peruntukan Sektor Pelancongan dan Warisan berjumlah RM46.43 juta bagi sepuluh bulan pertama tahun ini.
"Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan turut menyediakan Dana Industri Kreatif Belia Sarawak bernilai RM5 juta setahun dalam bentuk geran atau pemberian terus untuk memudahkan golongan belia dan usahawan seni kreatif mengembangkan potensi bakat mereka," katanya semasa menyampaikan rakaman ucapan.
Dalam pada itu, beliau mengumumkan inisiatif projek menaik taraf bangunan lama Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Pusat Seni Persembahan Sarawak bertaraf dunia.
Projek yang diterajui oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu dijangka siap beroperasi menjelang Jun 2027, serta bakal menjadi hab utama kepada seluruh penggiat seni budaya mempamerkan karya kreatif mereka.
Mengulas mengenai penganjuran festival tersebut, Abdul Karim berkata pelaksanaannya diatur menjadi satu gandingan strategik dengan penganjuran lumba perahu Sarawak Regatta bagi menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa.
Menurut beliau, program itu tidak hanya tertumpu kepada seni gendang Melayu, malah turut menyajikan pelbagai instrumen etnik yang unik seperti Gendang Pampat, Taboh Iban dan Sape.
Pada majlis yang sama, dua penerima Anugerah Khas Gendang Melayu Sarawak turut diumumkan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam seni pergendangan tradisional.
Anugerah Tokoh Seni Gendang Melayu Sarawak diberikan kepada Dahlan Morni, manakala Anugerah Primadona Seh Gendang Melayu Sarawak dianugerahkan kepada Jemon Sitam.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohd Amran Mohd Haris, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara Dato Hilmy Othman, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datu Morshidi Fredrick, Residen Bahagian Kuching Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi, ketua-ketua jabatan serta dif-dif jemputan yang lain.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Safik Effendi Kassim (BMKK)
Foto : Khairul Anwar (BKVS)
KUCHING, 1 Nov - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg merasmikan 'Seri Batang Ai', bot elektrik berintegrasi solar pertama yang dibina khusus oleh Sarawak Energy bersempena dengan penganjuran Sarawak Regatta 2026 di Pangkalan Sapi di sini, hari ini.
Bot sepanjang 10 meter yang dibina oleh syarikat tempatan, Global Fibreglass Industries itu menampilkan seni bina sistem pendorongan elektrik dan susun atur komponen marin yang direka bentuk oleh pasukan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalaman Sarawak Energy.
Aset terbaharu tersebut dibina khas untuk menyokong kelancaran operasi di Loji Hidroelektrik (HEP) Batang Ai yang merangkumi tugasan pemeriksaan keselamatan empangan, pemantauan alam sekitar serta pengangkutan kakitangan merentasi kawasan takungan air berkenaan.
'Seri Batang Ai' dikuasakan oleh dua motor sangkut elektrik 40 kilowatt (kW) yang menghasilkan kuasa gabungan 80 kW serta sistem penyimpanan tenaga bateri berkapasiti 92 kilowatt-jam (kWh).
Menjelang majlis penamaan hari ini, Sarawak Energy telah menerima Lesen Bot serta Permit Pengangkutan Sungai (RTP) secara rasmi untuk pengoperasian 'Seri Batang Ai' pada 21 Oktober lepas.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Datuk Dr. Hazland Abang Hipni dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sarawak Energy Datuk Ruslan Abdul Ghani.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Safik Effendi Kassim (BMKK)
Foto : Lance Dunstan (BKVS)
SRI AMAN, 1 November – Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Sri Aman berjaya menarik kehadiran kira-kira seramai 108,452 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, pelaksanaan program berkonsepkan One Stop Centre Rakyat itu membolehkan pelbagai agensi kerajaan menyediakan perkhidmatan secara berpusat bagi memudahkan masyarakat mendapatkan akses kepada kemudahan, bantuan dan khidmat nasihat yang diperlukan.
Tambahnya, sebanyak 170 kaunter perkhidmatan melibatkan 52 agensi kerajaan disediakan sepanjang program berlangsung bagi memastikan urusan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih mudah, cepat dan teratur.
Jelasnya, pendekatan turun padang itu turut membantu mengurangkan beban masyarakat, khususnya dari segi kos perjalanan dan jarak ke pejabat agensi kerajaan untuk mendapatkan perkhidmatan berkaitan.
“Melalui pendekatan ini, pelbagai urusan termasuk dokumentasi, bantuan kebajikan serta khidmat nasihat dapat diakses dengan lebih mudah tanpa rakyat perlu menanggung kos perjalanan yang tinggi atau menempuh jarak yang jauh untuk berurusan di pejabat kerajaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Sri Aman di sini, hari ini.
Program Sarawakku Sayang 2026 akan diteruskan ke Bahagian Serian sebagai lokasi seterusnya, sebelum menjelajah ke Kota Samarahan dan Kuching.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Hii Chang Kee, Residen Sri Aman Mahra Salleh dan jemputan lain. -PENERANGAN-
- TAMAT -
Berita Oleh: Safariza Bujang (JAPEN Sri Aman)
Foto Oleh: Stanley Clarance Eddie (JAPEN Sri Aman)
KUCHING, 1 November – Pasukan Todak Berjaya muncul juara kategori Perahu Bidar 30 Pekayuh Lelaki (Tempatan) sekali gus merangkul gelaran Raja Sungai dan Piala Yang di-Pertua Negeri Sarawak sempena Sarawak Regatta 2026 di Tebingan Sungai Sarawak, di sini hari ini.
Pasukan Landas Saga Sebuyau 3 menduduki tempat kedua dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, manakala pasukan Udak 8 meraih tempat ketiga dengan hadiah RM10,000.
Bagi kategori Piala Premier Sarawak, pasukan Kelisa Indomarine muncul juara, diikuti Puteri Dang Balai Yayasan di tempat kedua dan Landas di tempat ketiga.
Sementara itu, pasukan Yayasan Sarawak Dang Balai 3 menjuarai kategori Piala Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) bagi acara Borneo International Open Bidar 30 Lelaki, diikuti Pusaka 4 dan Sinaran Ratu Siska Sambas.
Majlis penyampaian hadiah menyaksikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori Raja Sungai manakala Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyampaikan hadiah bagi kategori Piala Premier Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran Sarawak Regatta-Kuching Waterfront Festival 2026 yang berlangsung selama seminggu berjaya menawarkan pelbagai pengisian sukan, kebudayaan dan aktiviti ekonomi kepada pengunjung.
Katanya, penyusunan tapak jualan tahun ini turut ditambah baik dengan menempatkan gerai jualan kraf di satu bahagian bagi memastikan ruang pergerakan pejalan kaki lebih teratur dan selesa.
Tambahnya, 'Sarawak Kitchen' turut mendapat sambutan menggalakkan selain maklum balas positif daripada peserta antarabangsa yang menyertai acara perahu naga berhubung aspek penganjuran, pilihan jualan dan keramahan masyarakat tempatan.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian; Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta barisan menteri dan Timbalan Menteri kabinet Sarawak. -PENERANGAN- -TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Cassidy Lisut Tubong (BKVS)
KUCHING, 4 Nov – Kerajaan Sarawak terus memperkukuh transformasi perkhidmatan awam melalui tadbir urus berkesan, pendigitalan dan pembudayaan inovasi bagi memastikan penyampaian perkhidmatan memenuhi keperluan masa hadapan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, penjawat awam perlu mempercepat pelaksanaan dasar, mempermudah proses kerja dan membuat keputusan apabila diperlukan bagi memastikan setiap inisiatif kerajaan memberikan manfaat nyata kepada rakyat.
“Bertindak tangkas, buat keputusan dengan tegas, pikul tanggungjawab dan paling utama, pastikan setiap tugas dilaksanakan dan hasil dicapai.
"Itulah standard yang perlu kita tetapkan dalam diri masing-masing bagi memenuhi tuntutan masa hadapan,” ujar beliau ketika menyampaikan amanat sempena Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Sarawak 2026 bertemakan 'Future Ready Civil Service : From Idea to Impact' di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Abang Johari turut menekankan kepentingan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026–2030 yang perlu diselaraskan dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) menerusi pemantauan prestasi dan pengurusan berasaskan hasil.
Dalam memperkukuh perkhidmatan digital, kerajaan katanya memperkenalkan Pembantu Kecerdasan Buatan ADAM AI bagi membantu penjawat awam mendapatkan maklumat rasmi serta melaksanakan penyelidikan dan analisis dasar selain memperuntukkan RM25 juta kepada Leadership Institute of Sarawak Civil Service menerusi Belanjawan 2027 untuk pembangunan kepimpinan dan kompetensi penjawat awam.
Dalam pada itu, sebanyak 51 pasukan telah menyertai Sarawak Civil Service Innovation Convention Awards (SCSICA) 2026 manakala enam penjawat awam menerima Anugerah Pegawai Contoh Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan Sarawak Tahun 2025, masing-masing Peguam Besar Negeri Sarawak, Yang Arif Dato Sri Saferi Ali (Pengurusan Tertinggi Negeri); Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dato Dr. Veronica Lugah (Pengurusan Tertinggi Persekutuan); Pegawai Daerah Belaga, Bidah Lujah (Pengurusan dan Profesional Negeri); Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Siti Zulaiha Ibrahim (Pengurusan dan Profesional Persekutuan); Penolong Juruukur, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Ho Mei Mei (Pelaksana Negeri) serta Pegawai Forensik Bahagian Bintulu KB7 Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak, Tawang Lingem (Pelaksana Persekutuan).
Bagi Anugerah Inovasi SCSICA 2026, Kumpulan OK daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia memenangi kategori Persekutuan, Kumpulan EAGLE daripada Majlis Perbandaran Sibu bagi kategori Pihak Berkuasa Tempatan, Kumpulan TAPOW daripada Pejabat Residen Bahagian Mukah bagi kategori Pejabat Residen dan Daerah serta Kumpulan ALL STARS daripada Jabatan Kerja Raya Sarawak bagi kategori Agensi Utama SOS.
Kumpulan ALL STARS daripada Jabatan Kerja Raya Sarawak turut menerima Anugerah Inovasi Premier Sarawak, dengan setiap pemenang kategori SCSICA membawa pulang trofi dan wang tunai RM5,000 manakala penerima anugerah utama tersebut menerima trofi serta RM15,000.
Anugerah Pengurusan Aset Cemerlang pula diberikan kepada Pejabat Residen Bahagian Limbang dan Pejabat Residen Bahagian Betong sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan pengurusan aset.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian serta Menteri-Menteri, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Ketua-Ketua Jabatan dan tetamu kehormat lain -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Cassidy Lisut (BKVS)
KUCHING, 6 Nov – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Disember 2026 sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13 susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada 26 Oktober lalu.
Pengerusi SPR, Dato’ Sri Ramlan Dato’ Harun berkata, keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat khas SPR hari ini selepas menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak berhubung pengisytiharan pembubaran DUN Sarawak Ke-19.
Menurutnya, SPR turut menetapkan 28 November sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal akan berlangsung pada 8 Disember ini, sementara writ pilihan raya dikeluarkan pada 6 November 2026.
Beliau berkata, permohonan undi pos bagi semua kategori dalam dan luar negara telah dibuka sejak 26 Oktober lalu dengan tarikh tutup bagi Kategori 1A melibatkan petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis, tentera serta petugas media pada 25 November manakala Kategori 1B bagi warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara dan Kategori 1C bagi agensi serta organisasi ditutup pada 20 November ini.
Dalam memastikan kelancaran pengurusan pilihan raya, SPR telah melantik seramai 82 Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang dibantu 305 Penolong Pegawai Pengurus serta akan menubuhkan 82 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) dengan penglibatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan dan wakil calon bertanding.
Seramai 2,058,781 pemilih disenaraikan dalam Daftar Pemilih Pilihan Raya terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan September 2026 yang dikemas kini pada 25 Oktober lalu, terdiri daripada 2,034,373 pengundi biasa, 13,575 anggota tentera serta pasangan dan 10,833 anggota polis dan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan.
Dalam perkembangan berkaitan, SPR memperluas pelaksanaan projek rintis sistem 'Optical Character Recognition – Voter Attendance' (OCR-VA) ke semua saluran di setiap pusat mengundi melibatkan keseluruhan 82 bahagian pilihan raya negeri Sarawak bagi merekod dan menandakan kehadiran pemilih secara automatik melalui pengimbasan maklumat pada dokumen pengenalan diri.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Pengerusi SPR, Dr. Azmi Sharom; Setiausaha SPR, Dato’ Ikmalrudin Ishak; dan Pengarah Pilihan Raya Negeri Sarawak, Abang Noraffian Abang Ibrahim. -PENERANGAN- -TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Cassidy Lisut Tubong / Abdul Hakeem (BKVS)
KUCHING, 7 Nov – Sarawak memperkukuh komitmen ke arah pembangunan mampan dengan menyasarkan pencapaian pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050 menerusi pelancaran Strategi Net Zero dan Pelan Karbon Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semalam berkata, strategi berkenaan menetapkan sasaran pengurangan pelepasan karbon sebanyak 35 peratus, sekali gus menjadi kerangka tindakan negeri dalam mempercepat peralihan kepada ekonomi rendah karbon melalui pembangunan mampan, penggunaan teknologi serta pengurusan sumber secara bertanggungjawab.
Tambahnya, pembangunan ekonomi dan perindustrian perlu dilaksanakan secara seimbang dengan usaha pemeliharaan alam sekitar bagi memastikan kemajuan negeri tidak menjejaskan kelestarian sumber semula jadi.
Menurut Abang Johari lagi, sasaran sifar bersih bukan bermaksud menghentikan pembangunan, sebaliknya memerlukan pendekatan lebih mampan melalui penggunaan teknologi dan pendigitalan bagi mengawal pelepasan karbon tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi negeri.
“Sifar bersih tidak bermaksud kita menghentikan pembangunan, sebaliknya, kita perlu mengimbangi pembangunan menerusi penggunaan teknologi dan pendigitalan bagi mengawal pelepasan karbon, di samping terus mengembangkan ekonomi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Strategi Net Zero dan Pelan Karbon Sarawak yang berlangsung bersempena Malam Apresiasi Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty) 2026.
Beliau turut menyatakan bahawa Sarawak mempunyai kelebihan strategik menerusi kepelbagaian sumber tenaga termasuk hidroelektrik, solar, gas, hidrogen dan biojisim yang berpotensi dimanfaatkan bagi memperkukuh peralihan kepada tenaga bersih.
Dalam aspek pemeliharaan alam sekitar, Abang Johari menekankan kepentingan melindungi kawasan hutan, tanah lembap dan ekosistem bakau yang berperanan sebagai penyerap karbon semula jadi, selain memelihara biodiversiti, sumber air dan keseimbangan ekosistem.
Strategi Net Zero dan Pelan Karbon Sarawak berteraskan 15 keutamaan strategik yang merangkumi lapan sektor utama penyumbang pelepasan karbon serta tujuh pemudah cara rentas sektor bagi memperkukuh pelaksanaan agenda penyahkarbonan negeri secara menyeluruh.
Majlis tersebut turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MEESty dengan Global Compact Network Malaysia & Brunei menerusi inisiatif 'Decarbonising Sarawak’s Supply Chains for a Net Zero Future' yang memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan pelepasan karbon dalam rantaian bekalan.
Selain itu, sembilan peserta Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Green Guardians turut menerima pengiktirafan atas penyertaan dan sumbangan mereka dalam memupuk budaya inovasi serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Mohamad Munir (BMKK)
Foto : Khairul Anwar Ali (BKVS)
KUCHING, 7 November – Program Pelikat Batik Fun Walk 2026 anjuran Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat, malah menjadi platform memperkukuh semangat perpaduan, kebersamaan dan penghargaan terhadap warisan budaya tempatan.
Program yang berlangsung di Dataran Pangkalan Sapi itu hari ini telah menyaksikan pelepasan peserta Pelikat Batik Fun Walk 2026 disempurnakan oleh Isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi yang turut menyertai acara berjalan kaki seawal jam 7 pagi.
Pengerusi Negeri PPWS merangkap Penasihat Jawatankuasa Pengelola, Dato Norhyati Mohd Ismail berkata, penganjuran program itu bukan sekadar aktiviti sukan dan riadah, sebaliknya turut menekankan kepentingan penjagaan kesihatan fizikal dan mental serta meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan rakan-rakan.
Katanya, tema Batik Pelikat dipilih bagi menyemarakkan penghargaan terhadap warisan budaya tempatan, khususnya dalam kalangan generasi muda, agar khazanah tersebut terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Dalam pada itu, katanya PPWS berhasrat menjadikan program Fun Walk sebagai aktiviti tahunan dengan mengetengahkan tema kebudayaan yang berbeza pada setiap penganjuran, selaras dengan usaha memperkukuh pembangunan wanita dan memelihara identiti negeri.
Beliau turut berkongsi kejayaan PPWS menerima Anugerah Kecemerlangan Kebajikan Sosial 2026 daripada Majlis Kebajikan Sosial Sarawak sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan pertubuhan itu dalam memperkasakan wanita, keluarga dan melaksanakan aktiviti kebajikan sepanjang enam dekad penubuhannya.
Program berkenaan turut menyaksikan penyerahan sumbangan cek kepada Persatuan Autisme Kuching sebagai tanda keprihatinan PPWS terhadap kebajikan dan kesejahteraan komuniti, selain diserikan dengan aktiviti senamrobik serta cabutan bertuah.
-PENERANGAN-
– TAMAT –
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Mohamad Rizal Matasan (BKVS)
MIRI, 7 November – Penubuhan Pusat Kebudayaan Persatuan-Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) menjadi platform penting dalam memelihara warisan dan identiti masyarakat Orang Ulu, selain memperkukuh perpaduan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pusat kebudayaan itu mencerminkan semangat keterangkuman masyarakat Sarawak yang sentiasa menghormati kepelbagaian budaya dan identiti, sekali gus terbuka untuk dimanfaatkan oleh semua kaum.
Menurut beliau lagi ketika merasmikan Pusat Kebudayaan FORUM di sini hari ini, perpaduan dan kerjasama antara komuniti merupakan asas penting dalam mengekalkan kestabilan negeri serta memastikan Sarawak terus maju dalam menghadapi perubahan ekonomi dan cabaran global.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Majlis merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bangunan FORUM, Dato’ Dennis Ngau berkata, pusat kebudayaan berkenaan berpotensi dibangunkan sebagai antara destinasi pelancongan utama di Miri menerusi pelbagai tarikan berasaskan warisan Orang Ulu.
Antara tarikan yang dirancang termasuk pengenalan makanan tradisional, persembahan kebudayaan, galeri sejarah, kraftangan serta alat muzik tradisional seperti sape bagi memperkenalkan keunikan budaya Orang Ulu kepada pengunjung.
Menurutnya, sejak mula beroperasi pada awal 2025, bangunan tersebut telah menjadi lokasi penganjuran lebih 200 acara dan program, sekali gus membuktikan peranannya sebagai kemudahan komuniti yang turut dimanfaatkan oleh agensi kerajaan dan masyarakat umum.
Beliau turut menyatakan aspirasi FORUM untuk menubuhkan sebuah kolej pendidikan sebagai laluan persediaan ke universiti, sekali gus memperluas akses dan peluang pendidikan kepada generasi muda Orang Ulu.
-PENERANGAN-
– TAMAT –
Disediakan/foto : Philip Johnny (JAPEN Miri)
MIRI, 8 November – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg merakamkan penghargaan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat atas sumbangan serta sokongan dalam menjayakan pembangunan Pusat Dialisis Buah Pinggang Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSM) Miri yang baharu di Permyjaya semalam.
Katanya, pembangunan pusat dialisis berkenaan merupakan satu inisiatif penting dalam memperluas akses kepada kemudahan rawatan kesihatan, khususnya bagi pesakit yang memerlukan rawatan dialisis secara berterusan.
Tambahnya, sokongan pelbagai pihak termasuk NGO dan masyarakat amat bermakna dalam memastikan kemudahan kesihatan seperti itu dapat disediakan bagi memenuhi keperluan penduduk setempat katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Dialisis Buah Pinggang BSM Miri yang baharu di Permyjaya.
Menurut Abang Johari, Miri kini mempunyai dua pusat dialisis, manakala Sarikei turut memerlukan kemudahan rawatan seumpamanya menerusi cadangan pembinaan dua pusat dialisis yang masing-masing akan dilengkapi 10 mesin dialisis.
Katanya, cabaran utama dalam pengoperasian pusat dialisis bukan hanya melibatkan kos pembelian mesin, malah turut merangkumi perbelanjaan rawatan, ubat-ubatan serta keperluan operasi dan penyelenggaraan yang memerlukan pembiayaan berterusan.
Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat terus memberikan perhatian terhadap aspek penjagaan kesihatan bagi membentuk komuniti yang sihat serta menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik.
Pada majlis berkenaan, Abang Johari turut menyampaikan Anugerah Ahli Kehormat Seumur Hidup Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia kepada mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Dr. George Chan Hong Nam dan Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan serta komitmen mereka dalam gerakan kemanusiaan. -PENERANGAN-
– TAMAT –
Disediakan/Foto : Geoffery George Sultan (JAPEN Miri)
KUCHING, 10 November – Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan ekonomi berasaskan tenaga hijau, teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan negeri ini kekal berdaya saing serta menjadi destinasi pelaburan utama dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak mempunyai kelebihan dari segi sumber tenaga termasuk hidroelektrik, tenaga solar dan gas asli yang mampu menyokong peralihan kepada ekonomi hijau.
Menurut beliau, kepelbagaian sumber tenaga tersebut menjadi asas penting untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi, selain membolehkan Sarawak menghasilkan produk bernilai tinggi yang memenuhi keperluan pasaran global katanya ketika sesi 'Fireside Chat'.
Beliau berkata demikian pada program 'Standard Chartered – Invest Sarawak BMCC Industrial Transition Forum' yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuching, hari ini.
Tambah beliau, perkembangan Revolusi Industri Kelima yang menekankan penggunaan teknologi, automasi, kecerdasan buatan dan Internet turut mengubah landskap ekonomi dunia, sekali gus menuntut Sarawak mempercepat pembangunan ekonomi digital.
Jelasnya, data kini menjadi sumber utama aktiviti ekonomi masa hadapan, manakala gabungan kepakaran manusia dan teknologi AI berpotensi membuka peluang kepada pembangunan industri baharu, termasuk bidang perubatan dan penyelidikan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pembangunan modal insan melalui pendidikan berkualiti, termasuk pendidikan percuma, merupakan pelaburan penting bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri masa hadapan.
Menyentuh peluang pembangunan industri, Abang Johari berkata, Bintulu berpotensi berkembang sebagai kluster perindustrian rendah karbon bertaraf dunia dengan mengutamakan penggunaan tenaga hijau, teknologi pintar dan proses pengeluaran yang mesra alam.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara kerajaan dengan sektor swasta melalui pendekatan pembiayaan hibrid bagi membangunkan infrastruktur dan merealisasikan projek strategik negeri.
Menurutnya, kerajaan berperanan menyediakan kemudahan serta dasar yang kondusif, manakala sektor swasta menjadi penggerak utama dalam pelaksanaan projek dan pembangunan ekonomi.
Tambahnya, kedudukan strategik Sarawak di rantau Asia Timur, berhampiran pasaran utama seperti China, India, Jepun dan Korea Selatan memberikan kelebihan kepada negeri ini dalam menarik pelaburan antarabangsa.
Katanya lagi, kestabilan dasar kerajaan, bekalan tenaga yang kompetitif serta keupayaan menerima teknologi moden merupakan antara faktor penting yang menjadikan Sarawak destinasi menarik kepada pelabur.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian serta tetamu jemputan yang lain.
-PENERANGAN-
– TAMAT –
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Khairul Annuar (BKVS)
KUCHING, 10 Nov – Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyempurnakan pelancaran sambutan Hari Enggang Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Sarawak bagi memperkukuh perlindungan lapan spesies burung enggang serta habitat semula jadinya.
Sambutan kali ketiga bertemakan 'Bumi Kenyalang: Memelihara Warisan, Melindungi Alam Semulajadi' yang berlangsung di Pusat Sains Sarawak (SSCiEX) itu dianjurkan Yayasan Sime Darby (YSD) dengan mengetengahkan penyelidikan saintifik, pemulihan habitat dan penglibatan komuniti dalam usaha memelihara biodiversiti negara.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kesemua lapan spesies burung enggang yang terdapat di Sarawak dilindungi sepenuhnya di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.
Katanya, kelangsungan hidup spesies itu berdepan ancaman kehilangan habitat, pemburuan haram dan penyeludupan hidupan liar yang memerlukan pendekatan pemuliharaan menyeluruh berasaskan penyelidikan saintifik, penguatkuasaan berkesan serta pemantauan jangka panjang.
“Kelestarian alam sekitar merupakan satu daripada tiga teras utama Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030) yang menekankan keseimbangan antara kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan perlindungan alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang,” ujar beliau.
Sementara itu, Pengerusi YSD, Y.A.M. Tunku Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar berkata usaha pemuliharaan burung enggang memerlukan kerjasama berterusan antara agensi kerajaan, penyelidik, pemain industri, organisasi pemuliharaan dan komuniti setempat bagi memastikan spesies ikonik itu terus menjadi sebahagian daripada warisan alam Malaysia.
Menerusi kerjasama YSD dan Explore Gaia Enterprise (GAIA), lebih 25 rongga pokok semula jadi berjaya dipulihkan sebagai tapak bersarang burung enggang, manakala pemantauan menggunakan 22 perangkap kamera menghasilkan lebih 25,000 imej yang merekodkan penggunaan tapak berkenaan oleh sekurang-kurangnya lima spesies burung enggang.
Sejak 2021, YSD memperuntukkan RM2.6 juta bagi tiga fasa program pemuliharaan bersama GAIA, dengan tambahan geran padanan RM980,000 daripada Kementerian Kewangan menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan sebanyak RM3.58 juta untuk menyokong penyelidikan ekologi, pemulihan habitat, pembangunan sarang tiruan dan pendidikan alam sekitar.
Pelbagai aktiviti turut diadakan sempena sambutan itu termasuk pameran pemuliharaan interaktif, pertandingan mewarna dan melukis, sesi kesedaran mengenai burung enggang, bengkel fotografi hidupan liar serta Program Kawan Enggang yang melibatkan murid sekolah dan sukarelawan dalam pendidikan ekologi dan pemuliharaan.
Turut hadir sama ialah Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Ahli Majlis Tadbir Urus YSD Datu Dr. Rashidah Bolhassan, Ketua Pegawai Eksekutif YSD Dr. Yatela Zainal Abidin, Pengarah Saintifik GAIA Dr. Ravinder Kaur serta tetamu kehormat lain.-PENERANGAN- -TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Mohd Rizal (BKVS)
KUCHING, 10 November – Anak Sarawak, khususnya pelajar Tingkatan Enam, digalakkan menguasai bidang teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), aeroangkasa dan ekonomi digital bagi memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta menyokong pembangunan ekonomi negeri menjelang 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, penguasaan ilmu dalam bidang berkenaan penting bagi membolehkan Sarawak membangunkan keupayaan teknologi sendiri, termasuk pemilikan data dan penerokaan industri angkasa lepas.
Katanya lagi ketika sesi Meet & Greet: Aspirasi Anak Sarawak bersama pelajar Tingkatan Enam sempena Konvensyen Kepimpinan dan Pemerkasaan Murid Tingkatan Enam Negeri Sarawak Tahun 2026 yang berlangsung di UCSI Hotel, Kuching, hari ini berkata, pelajar perlu tahu kepentingan AI dan aeroangkasa, dan pemilikan data sendiri amat penting bagi menjamin keselamatan maklumat serta membolehkan Sarawak memanfaatkan data untuk pelbagai sektor pembangunan.
Sehubungan itu katanya, Sarawak merancang melancarkan satelit sendiri ke orbit menjelang 2030, selain membangunkan kepakaran tempatan dalam bidang angkasa lepas dan astronomi.
Tambahnya, pembangunan pusat astronomi berhampiran Santubong dengan peruntukan kira-kira RM300 juta turut dirancang bagi menyediakan kemudahan serta peralatan terkini untuk penyelidikan dan pembangunan bidang berkenaan.
Beliau turut menjelaskan bahawa Sarawak sedang menyediakan asas pendidikan dan latihan aeroangkasa menerusi penubuhan agensi berkaitan serta pembangunan fakulti aeroangkasa di institusi pengajian tinggi tempatan.
Menyentuh teknologi yang bakal mengubah kehidupan rakyat dalam tempoh 20 tahun akan datang, Abang Johari berkata sektor tenaga, khususnya hidrogen, hidroelektrik dan biomas, akan menjadi pemacu penting kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Menurutnya lagi, penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian juga mampu meningkatkan pengeluaran makanan, termasuk membolehkan penanaman padi sehingga tiga musim setahun di samping memanfaatkan sisa kelapa sawit untuk menghasilkan baja, bahan api penerbangan dan makanan ternakan.
Menjawab soalan mengenai peranan pelajar Tingkatan Enam, beliau berkata peringkat pendidikan itu merupakan asas penting sebelum melangkah ke universiti kerana mampu membentuk pelajar yang lebih berdikari dan berdisiplin.
Sementara itu, mengenai harapan terhadap anak Sarawak yang menerima manfaat pendidikan tinggi percuma pula, Abang Johari berharap mereka dapat kembali berkhidmat di negeri ini dan menyumbang kepakaran masing-masing kepada pembangunan Sarawak.
Katanya, pembangunan pendidikan dan latihan perlu diselaraskan dengan keperluan ekonomi supaya graduan tempatan mempunyai peluang pekerjaan dalam industri yang semakin berkembang.- Penerangan.
-TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Bolhan Basah (BKVS)