JABATAN PENERANGAN MALAYSIA SARAWAK
MIS Raikan Aidilfitri Perkukuh Ukhuwah Agensi Islam Sarawak
KUCHING, 30 Mac - Majlis Islam Sarawak (MIS) telah menganjurkan Majlis Kesyukuran Aidilfitri Agensi-Agensi Islam Sarawak Tahun 1447H/2026M bagi memperkukuh ukhuwah umatnya yang bertempat di Dewan Kompleks Islam Sarawak, semalam.
Kehadiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr.Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah menambah seri serta kemeriahan majlis tersebut.
Program tahunan yang dihadiri kira-kira 1,000 jemputan ini bertujuan menzahirkan kesyukuran selain memperkukuh jalinan silaturahim antara kakitangan agensi Islam dengan pimpinan tertinggi kerajaan negeri.
Penganjuran bertemakan 'Beraya di Perantauan' itu menyaksikan penyertaan 16 buah gerai daripada pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang menampilkan kepelbagaian juadah serta kreativiti budaya.
Majlis turut mempamerkan semangat toleransi kaum yang tinggi menerusi kehadiran wakil-wakil organisasi pelbagai agama antaranya daripada Association of Churches Sarawak dan Malaysia Hindu Sangam.
TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak kemudiannya menyempurnakan upacara pemotongan kek bersama ketua-ketua agensi sebagai simbolik kebersamaan dan keharmonian umat Islam di bumi Kenyalang.
Acara tersebut diakhiri dengan penyampaian hadiah pertandingan serta cabutan bertuah kepada para tetamu sebagai tanda penghargaan atas sokongan padu terhadap agenda pembangunan ummah di Sarawak. -PENERANGAN- -TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Cassidy Lisut (BKVS)
KPWKM mempergiat inisiatif kebajikan melalui Anjung Kasih
KUCHING, 26 Mac – Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mempergiat inisiatif kebajikan menerusi pelaksanaan program Anjung Kasih.
Anjung Kasih merupakan kemudahan penginapan sementara secara percuma yang disediakan khas untuk waris pesakit di hospital kerajaan khususnya bagi mereka dari luar bandar yang terpaksa menunggu tempoh rawatan yang panjang.
Menteri KPWKM, Dato’ Sri Nancy Shukri semasa Program Ziarah Kasih Bersama Menteri KPWKM di Kampung Tabuan Lot di sini, hari ini berkata, inisiatif itu dilaksanakan oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dengan sokongan pelbagai pihak.
“Di Sarawak, fokus diberikan kepada Hospital Umum Sarawak (HUS) yang berperanan sebagai hospital rujukan utama bagi pesakit dari seluruh negeri, termasuk kawasan pedalaman dan pesisir.
“Sehubungan itu, sebuah bangunan bekas kuarters jururawat lama berhampiran HUS kini sedang dipulihara dan dinaik taraf menjadi Anjung Kasih baharu,” kata Nancy yang juga selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN.
Menurut beliau, inisiatif ini bukan sahaja menyediakan kemudahan kepada waris pesakit, malah turut memelihara nilai sejarah bangunan tersebut daripada dirobohkan.
Setakat ini, terdapat 19 Anjung Kasih di seluruh negara, termasuk di Bintulu yang bakal mempunyai kemudahan antara tercantik di Malaysia.
Program pada hari ini turut menyaksikan penyerahan sumbangan wang tunai, bakul makanan serta kerusi roda kepada beberapa penerima bantuan di Kampung Tabuan Lot, Kampung Bintawa Ulu, Kampung Selang Laut dan Kampung Nyabut, Trombol. –PENERANGAN-
– TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Lance Dunstan/Cassidy Lisut (BKVS)
Kehadiran masyarakat berbilang kaum meriahkan Majlis Ramah Mesra Rakyat
KUCHING, 22 Mac - Kehadiran masyarakat berbilang kaum memeriahkan Majlis Ramah Mesra Rakyat bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB di sini, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) tiba seawal jam 10 pagi bersama isteri bagi menghadiri majlis anjuran Gabungan Penghulu dan Ketua Masyarakat P.194 Parlimen Petra Jaya.
Fadillah memuji semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat Sarawak yang kekal kukuh tanpa mengira latar belakang sekali gus mencerminkan keunikan negeri ini yang dihuni pelbagai kaum dan budaya.
Pelbagai lapisan masyarakat termasuk penduduk dari Miri sanggup menempuh perjalanan jauh dengan menaiki empat buah bas semata-mata untuk bersama-sama memeriahkan program berkenaan.
Dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang ditemani isteri, Toh Puan Fauziah Mohamad Sanusi telah menyerikan lagi majlis tersebut.
Menurut Fadillah lagi, sambutan yang amat menggalakkan itu mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan selain memperlihatkan hubungan erat antara pemimpin dan rakyat yang terus diperkukuh.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian serta beberapa pemimpin tempatan dan wakil komuniti setempat. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Lance Dunstan (BKVS)
Kerajaan perkukuh kestabilan bekalan tenaga dan air susulan cabaran global dan cuaca panas
KUCHING, 22 Mac - Kerajaan terus memperkukuh kestabilan bekalan tenaga dan air negara bagi memastikan keperluan rakyat kekal terjamin meskipun berdepan ketidaktentuan global serta cuaca panas yang melanda beberapa kawasan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melaksanakan pelbagai langkah proaktif dan menyeluruh bagi menangani isu bekalan tenaga dan air.
Menurut beliau, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) telah merangka pelan alternatif bagi memastikan bekalan gas dan minyak kekal stabil, termasuk memantau sumber bekalan dari Australia dan rantau Asia Pasifik bagi mengurangkan kebergantungan kepada laluan berisiko seperti Selat Hormuz.
Katanya, kerajaan turut menggalakkan amalan penjimatan tenaga dengan menyarankan pejabat kerajaan menetapkan suhu pendingin hawa pada 24 darjah Celsius serta melaksanakan kaedah bekerja dari rumah (WFH) bagi sektor tidak kritikal.
Tambahnya, kerajaan juga kekal komited menanggung subsidi petrol RON95 yang dianggarkan mencecah kira-kira RM2 bilion sebulan bagi mengurangkan beban rakyat walaupun harga minyak global meningkat.
Mengulas lanjut, Fadillah memaklumkan penguatkuasaan akan dipertingkat bagi membanteras aktiviti penyeludupan diesel susulan perbezaan harga ketara antara Malaysia dan negara jiran.
“Kerjasama erat antara kerajaan, syarikat minyak dan pemain industri amat penting bagi memastikan integriti bekalan tenaga negara terus terpelihara,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Rakyat di Pusat Konvensyen CIDB, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut memberi perhatian terhadap situasi bekalan air berikutan amaran cuaca panas tahap dua di beberapa kawasan utara Semenanjung.
Menurut beliau, PETRA bekerjasama rapat dengan syarikat perkhidmatan air di setiap negeri bagi memastikan bekalan mencukupi untuk kegunaan harian rakyat.
Antara langkah dilaksanakan termasuk pemantauan paras air di kolam takungan utama, penyediaan bekalan air alternatif melalui tangki dan lori ke kawasan terjejas serta kempen kesedaran penggunaan air secara berhemah.
Selain itu, orang ramai turut dinasihatkan agar berjimat dalam penggunaan air, khususnya ketika musim kering bagi mengelakkan pembaziran dan memastikan bekalan mencukupi.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Lance Dunstan (BKVS)
Majlis Rumah Terbuka Raya pertama meriah dihadiri 25,000 tetamu
KUCHING, 21 Mac - Sambutan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 25,000 pengunjung di Dewan Besar, Astana Negeri, Petra Jaya, hari ini.
Majlis yang diadakan seawal jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang itu menyaksikan kehadiran pemimpin persekutuan dan negeri serta orang awam yang tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra dengan Tuan Yang Terutama (TYT) dan isteri.
Tun Wan Junaidi bersama Toh Puan Fauziah tiba sekitar jam 9.00 pagi dan meluangkan masa berinteraksi dengan para tetamu yang hadir.
Bagi menambah kemeriahan sambutan, pihak Astana Negeri turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak.
Terdahulu, Tun Wan Junaidi menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di Masjid Jamek, Petra Jaya sebelum menghadiri sesi beramah mesra bersama ahli kabinet negeri dan persekutuan.
Antara kenamaan yang hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, selain tetamu kehormat lain. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Jurufoto: Lance Dunstan (BKVS)
Premier saksikan penyerahan zakat korporat SACOFA kepada TBS
KUCHING, 19 Mac - SACOFA Sdn Bhd menyumbang zakat sebanyak RM2,933,495 kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) bagi tahun kewangan 2025 dalam satu majlis yang berlangsung di Kompleks Satria Pertiwi di sini hari ini.
Sumbangan tersebut menunjukkan peningkatan berbanding RM2,903,514 yang disalurkan pada tahun 2024.
Penyerahan zakat telah disampaikan oleh Pengerusi SACOFA, Dato Sri Julaihi Narawi kepada Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha dan disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Sumbangan berkenaan bertujuan membantu golongan memerlukan di samping menyokong usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat melalui pelbagai program kebajikan.
Inisiatif tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan SACOFA dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat.
Turut hadir Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohammad Shibli Abang Mohd Nailie, Ketua Pegawai Eksekutif SACOFA, Jafer Sadiq Abdul Lathiff, Pemangku Ketua Pegawai Kewangan SACOFA, Zulfikri Morshidi, Ketua Unit Capaian Asnaf TBS, Uztaz Mohd Nazir Kiprawi serta Mohd Huzaid Husaini.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Lance Dunstan (BKVS)
Abang Johari dilantik semula sebagai Pro Cancelor UNIMAS
KUCHING, 17 Mac - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dilantik semula sebagai Pro Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi tempoh tiga tahun bermula 15 Mac 2026 hingga 14 Mac 2029.
Watikah pelantikan tersebut disampaikan dalam satu kunjungan hormat oleh pengurusan tertinggi UNIMAS yang diketuai Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie bersama Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit di Kompleks Satria Pertiwi di sini.
Pelantikan semula itu merupakan kali keempat Abang Johari memegang jawatan Pro Canselor UNIMAS sejak lantikan pertama pada 15 Mac 2017.
Dalam sesi tersebut, kedua-dua pihak turut membincangkan pelbagai inisiatif berkaitan pendidikan dan latihan termasuk pengambilan pelajar, penglibatan pakar industri dalam latihan profesional serta perkembangan dan pencapaian terkini universiti berkenaan dalam bidang akademik, penyelidikan dan pembangunan.
Pada masa sama, pihak pengurusan UNIMAS turut memaklumkan mengenai penubuhan Fakulti Undang-Undang yang baharu sekali gus menjadikannya fakulti ke-11 di universiti tersebut.
Pengambilan pertama pelajar bagi fakulti berkenaan dijadualkan bermula September ini dengan sasaran seramai 30 orang pelajar.
Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UNIMAS, Profesor Ir. Ts. Dr Al-Khalid Othman, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Fitri Suraya Mohamad Hapni Joblie, Pendaftar UNIMAS, Azlan Ramli serta Dekan Fakulti Undang-Undang, Johan Shamsudin Sabaruddin. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto: Cassidy Lisut (BKVS)
Program CSR BKKI perkukuh semangat kebajikan dan siratulrahim
Kuching, 17 Mac – Badan Kebajikan Kakitangan Islam (BKKI) Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak hari ini menyantuni para pesara JAPEN dan anggota yang ditimpa musibah menerusi Program Sentuhan Kasih Ramadan BKKI 2026.
Ia dilaksanakan sebagai usaha memupuk semangat kebajikan dan keprihatinan dalam kalangan ahli Kelab BKKI terhadap kebajikan bekas kakitangan.
Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang menyantuni pesara Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) yang uzur itu adalah sebagai tanda penghargaan atas jasa dan sumbangan mereka sepanjang perkhidmatan.
Pengarah Penerangan Sarawak, Sabri Said yang mengetuai rombongan itu terlebih dahulu menyantuni mantan Kerani/Jurutaip, Hayati Bujang yang mengidap sakit saraf di kediamanya di Penrissen Kuching.
Seterusnya Sabri serta rombongan turut melawat Juruaudio Visual Daerah Lundu, Othman Morni, yang kini menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak akibat kemalangan jalan raya.
Lawatan diteruskan dengan melawat mantan Pegawai Penerangan, Ahmad Nahap dan Hamka Othman, mantan Operasi Wayang Gambar, Abdullah Abdul Rahman Sujang dan mantan Pekerja Am Rendah, Majinah Usop.
Sepanjang lawatan tersebut, Sabri telah menyampaikan sumbangan berbentuk duit raya dan bakul makanan sebagai usaha meringankan beban yang ditanggung oleh penerima.
Selain mengeratkan hubungan silaturahim antara warga JAPEN sedia ada dengan pesara, program itu juga dapat memupuk budaya menghargai jasa dan pengorbanan dalam organisasi selaras dengan nilai murni perkhidmatan awam.
Para pesara yang disantuni sangat berbesar hati, menyambut baik serta merakamkan penghargaan atas kunjungan itu kerana ia amat bermakna bagi mereka dan sebagai tanda bahawa JAPEN tidak pernah melupakan jasa pesaranya.
Turut hadir pada program itu ialah Pengerusi Badan Kebajikan Kakitangan Islam (BKKI), Muhd Shazriq Kaderi, wakil PENERANG Masuri Shafiee dan Hindon Sirat serta ahli jawatankuasa BKKI yang lain.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Juliana Abdullah (BMKK)
Foto : Lance Dunstan (BKVS)
Tun Wan Junaidi Terima Kunjungan Perpisahan Naib Canselor
KUCHING, 16 Mac – Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan perpisahan daripada Naib Canselor Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Profesor Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid di Kasuma Resort, pagi tadi.
Kunjungan hormat tersebut diadakan bersempena dengan berakhirnya tempoh perkhidmatan Profesor Datuk Dr Khairuddin sebagai peneraju utama universiti milik penuh Kerajaan Sarawak itu pada bulan ini.
Sepanjang tempoh kepimpinan beliau, UTS berjaya mencatatkan pelbagai pencapaian termasuklah transformasi daripada status kolej universiti kepada universiti penuh.
Dalam pertemuan tersebut, Tun Wan Junaidi menekankan kepentingan universiti tempatan mengutamakan pengambilan pelajar daripada pelbagai latar belakang kaum bagi menjamin keseimbangan pembangunan modal insan di Sarawak.
Beliau turut menegaskan bahawa penerapan budaya kerja yang positif merupakan tunjang utama dalam memperkukuh daya tahan sesebuah organisasi bagi mendepani cabaran global yang semakin kompleks.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Abdul Hakeem (BKVS)
Ahmad Zahid akhiri lawatan kerja rasmi di Kuching
KUCHING, 15 Mac - Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Patinggi Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengakhiri lawatan kerja rasmi selama dua hari di Kuching hari ini.
Beliau berlepas ke ibu negara pada jam 2.00 petang dari Pangkalan Udara TUDM Kuching dengan menaiki pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Beliau diiringi oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, serta Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah telah menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan serta Program Kemakmuran Pekebun Kecil Tahun 2026 di Masjid Darul Istiqamah Kampung Niup petang semalam. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto oleh: Cassidy Lisut/Lance Dunstan (BKVS).
Kerajaan Naikkan Bantuan Tanam Semula Getah Kepada RM23,000 Sehektar di Sarawak
𝗞𝗢𝗧𝗔 𝗦𝗔𝗠𝗔𝗥𝗔𝗛𝗔𝗡, 𝟭𝟱 𝗠𝗮𝗰 – Kerajaan menaikkan kadar Bantuan Program Tanam Semula Getah (TSG) kepada RM23,000 sehektar bagi memperkukuh kemakmuran komuniti pekebun kecil getah, khususnya di Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Patinggi Ahmad Zahid Hamidi berkata kadar baharu itu meningkat daripada RM14,808 sehektar sebelum ini, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan memperkasa sektor pekebun kecil.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Santunan Kasih Ramadan dan Program Kemakmuran Pekebun Kecil RISDA Negeri Sarawak 2026 di Masjid Darul Istiqamah, Kampung Niup, di sini, semalam.
Menurutnya, kenaikan tersebut melibatkan pertambahan kira-kira RM8,950 atau sekitar 55 peratus berbanding kadar sebelumnya dan bantuan akan disalurkan dalam lima fasa ansuran meliputi penyediaan kebun, benih, baja serta input pertanian lain.
“Kerajaan mengambil pendekatan realistik bagi memastikan kebajikan pekebun kecil getah terus terbela serta membantu meningkatkan hasil dan pendapatan mereka,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pengumuman itu dibuat atas permintaan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai bukti komitmen Kerajaan MADANI dalam memahami cabaran dihadapi rakyat, khususnya golongan pekebun kecil.
Pengumuman kadar bantuan TSG bagi Semenanjung dan Sabah dijangka dibuat dalam masa terdekat.
Ahmad Zahid berkata sektor getah kekal sebagai sumber pendapatan penting masyarakat luar bandar dan kerajaan komited memastikan sektor itu terus berdaya saing melalui pelbagai inisiatif pembangunan termasuk program tanam semula oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Sarawak mempunyai lebih 98,000 pekebun kecil getah yang mengusahakan kira-kira 100,000 lot kebun dengan keluasan melebihi 160,000 hektar, manakala 25,252 daripadanya diselia secara langsung oleh RISDA.
Bagi tahun 2026, kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyalurkan RM29.25 juta kepada RISDA Negeri Sarawak bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan komuniti pekebun kecil.
Kerajaan juga mempergiat usaha mempelbagaikan penggunaan getah termasuk dalam penurapan jalan raya dan pembangunan bahan industri lain bagi meningkatkan permintaan komoditi tersebut.
Langkah itu dijangka dapat meningkatkan permintaan terhadap getah sekali gus memberi manfaat kepada pekebun kecil melalui harga komoditi yang lebih stabil dan tinggi pada masa hadapan.
Pada majlis sama, RISDA menyampaikan 120 bakul makanan kepada penduduk Kampung Niup serta meraikan 30 pelajar Pusat Pengajian Tafaqquh Tahfiz Al-Makki dan 20 anak yatim dari kampung berkenaan sempena Ramadan.
Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak merangkap ADUN Muara Tuang, Dato Idris Buang, ADUN Rungkup, Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya, Orang Besar Jajahan Perak Daerah Bagan Datuk, Toh Seri Lela Paduka Dato Khalid Ismai, Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang, serta Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Mohamad Borhan Ahmad Ulis (BMKK)
Foto oleh: Bolhan Haji Basah & Cassidy Losut (BKVS).
RISDA peruntuk RM29.26 juta perkasa pekebun kecil getah di Sarawak
𝗞𝗢𝗧𝗔 𝗦𝗔𝗠𝗔𝗥𝗔𝗛𝗔𝗡, 𝟭𝟱 𝗠𝗮𝗰 - Kerajaan Persekutuan terus komited memperkasa komuniti pekebun kecil getah di Sarawak melalui pelbagai program pembangunan yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Pengerusinya, Manndzri Nasib berkata bagi tahun 2026, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM29.26 juta bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan pekebun kecil di negeri ini.
Menurut beliau, peruntukan tersebut dijangka memberi manfaat kepada seramai 25,252 pekebun kecil yang mengusahakan tanaman getah meliputi kawasan seluas lebih 41,000 hektar di Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Santunan Kasih Ramadan dan Program Kemakmuran Pekebun Kecil Tahun 2026 di Masjid Darul Istiqamah, di sini semalam yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Patinggi Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, penganjuran program berkenaan bukan sahaja menghimpunkan masyarakat setempat, malah menjadi platform mengeratkan hubungan antara kepimpinan kerajaan, agensi pelaksana dan komuniti pekebun kecil.
“Program seperti ini menjadi wadah kebersamaan antara pemimpin dan rakyat, selain memberi peluang kepada masyarakat khususnya pekebun kecil memahami pelbagai bantuan dan inisiatif yang disediakan kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata RISDA turut melaksanakan inisiatif Harga Getah Bermaruah bagi membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil melalui peranan agensi itu sebagai antara pembeli utama getah.
Menurutnya, usaha tersebut mula menunjukkan perkembangan positif apabila harga getah sekerap mencatat peningkatan sekali gus memberi pulangan lebih baik kepada penoreh getah di beberapa kawasan.
Selain itu, RISDA turut meneroka potensi baharu dalam industri getah termasuk penyelidikan berkaitan penghasilan biofuel atau bahan api hijau daripada getah dengan kerjasama institusi penyelidikan tempatan bagi meningkatkan nilai ekonomi komoditi tersebut.
Usaha berterusan kerajaan dan RISDA itu diharap dapat memperkukuh industri getah negara serta meningkatkan kesejahteraan komuniti pekebun kecil khususnya di kawasan luar bandar. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Mohamad Borhan Ahmad Ulis (BMKK).
Foto oleh: Bolhan Haji Basah & Cassidy Lisut (BKVS).
Ahmad Zahid tiba di Kuching untuk lawatan kerja rasmi
KUCHING, 14 Mac - Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Patinggi Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Kuching untuk lawatan kerja rasmi, hari ini.
Ketibaan beliau pada jam 5.00 petang di Pangkalan Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching dengan menaiki pesawat khas TUDM disambut oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang.
Ahmad Zahid yang juga merupakan Menteri KKDW dijadualkan menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan dan Program Kemakmuran Pekebun Kecil Tahun 2026 di Masjid Darul Istiqamah Kampung Niup, Kota Samarahan.
Turut hadir menyambut ketibaan beliau ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan. - PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Lance Dunstan (BKVS)
Perdana Menteri akhiri lawatan kerja rasmi di Kuching
KUCHING, 13 Mac – Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengakhiri lawatan kerja rasmi di Kuching, hari ini.
Beliau dan rombongan berlepas pulang ke ibu negara menaiki pesawat khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada jam 8.20 malam tadi.
Terdahulu, Anwar sempat meluangkan masa menghadiri Mesyuarat Pembangunan Negeri di Kompleks Satria Pertiwi, mengunjungi Bazar Ramadan Sukma Ria serta menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI 2026 di Masjid Jamek Negeri Sarawak.
Turut hadir mengiringi beliau di KIA ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni. - PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Cassidy Lisut/ Lance Dunstan (BKVS)
PM hadiri mesyuarat pembangunan Negeri Sarawak di Kuching
KUCHING, 13 Mac - Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri Mesyuarat Khas serta Taklimat Pembangunan Negeri Sarawak yang berlangsung di Kompleks Satria Pertiwi, sempena lawatan kerja sehari beliau ke Sarawak.
Ketibaan beliau pada pukul 2.10 petang disambut oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Mesyuarat bersama Kerajaan Sarawak itu berlangsung kira-kira sejam bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan pembangunan negeri serta keperluan lain yang memerlukan perhatian Kerajaan Persekutuan.
Antara yang turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Ts. Mustapha Sakmud.-PENERANGAN-
-TAMAT -
Disediakan:Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Bolhan Haji Basah/ Abdul Hakeem Well
PM santuni peniaga dan pengunjung Bazar Ramadan Sukma Ria
KUCHING, 13 Mac – Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim meninjau suasana Bazar Ramadan Sukma Ria di sini, petang tadi sempena lawatan kerja beliau ke Sarawak.
Ketibaan beliau pada pukul 5.28 petang disambut oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Terdahulu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg tiba di lokasi pada pukul 5.09 petang.
Sepanjang lawatan tersebut, Anwar turut meluangkan masa menyantuni peniaga serta pengunjung selain meninjau pelbagai juadah berbuka puasa yang dijual.
Selepas sesi tinjauan itu, beliau kemudiannya bergerak ke Masjid Jamek Negeri Sarawak bagi menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI 2026 peringkat Sarawak. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Nur Alya Adriana Ahmad Sukri (BMKK)
Foto : Lance Dunstan (BKVS)
Perdana Menteri tiba di Kuching untuk lawatan kerja rasmi
KUCHING, 13 Mac - Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada jam 1.40 petang tadi bagi memulakan lawatan kerja rasmi ke Sarawak.
Ketibaan beliau disambut oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian.
Sepanjang lawatan tersebut, beliau dijadualkan menghadiri Mesyuarat Pembangunan Negeri di Kompleks Satria Pertiwi, mengunjungi Bazar Ramadan Sukma Ria serta menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI 2026 di Masjid Jamek Negeri Sarawak.
Turut hadir menyambut ketibaan beliau ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang serta Timbalan Menteri Pengangkutan (Laut dan Sungai), Datuk Henry Harry Jinep. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Cassidy Lisut/ Lance Dunstan (BKVS)
RM2.69 juta diperuntukkan perkasa tahfiz Sarawak
KUCHING, 13 Mac – Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM2.69 juta bagi memperkasa institusi pendidikan agama seperti sekolah pondok dan tahfiz di Sarawak sebagai usaha memastikan institusi berkenaan terus berkembang seiring arus pendidikan semasa.
Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan tersebut bertujuan membantu pembangunan institusi pondok, sekolah tahfiz serta kebajikan guru-guru agama di Sarawak.
Menurut beliau, kerajaan tidak akan mengganggu pendekatan pendidikan sedia ada di institusi pondok, namun menggalakkan agar institusi tersebut turut dilengkapi dengan kemahiran tambahan seperti penguasaan bahasa Inggeris, sejarah negara serta penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).
“Teruskan manhaj tarbiah yang ada, tetapi kita tidak mahu institusi pondok tersisih daripada arus perdana pendidikan.
"Kita mahu pelajarnya turut menguasai bahasa, sejarah negara serta teknologi,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI Tahun 2026 Peringkat Sarawak di Masjid Jamek, Petra Jaya yang turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa beberapa projek infrastruktur penting di Sarawak akan diberikan perhatian segera oleh Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata kerajaan bersetuju meluluskan peruntukan kira-kira RM150 juta bagi membaiki infrastruktur yang memerlukan tindakan segera, selain meneliti beberapa cadangan projek yang dikemukakan oleh kerajaan Sarawak.
Menurutnya, terdapat juga projek yang masih tertangguh di peringkat jabatan Persekutuan, khususnya berkaitan bekalan air dan elektrik, yang memerlukan penyelesaian segera.
“Saya akan maklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Patinggi Ahmad Zahid Hamidi supaya mencari jalan penyelesaian dan kita harap selepas Aidilfitri keputusan dapat dibuat bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak,” katanya.
Dalam ucapannya, Anwar turut menyentuh perkembangan geopolitik global yang memberi kesan kepada ekonomi dunia termasuk kenaikan harga minyak mentah.
“Walaupun keadaan global tidak menentu, keputusan kerajaan ketika ini adalah untuk mengekalkan harga RON95 dan pada masa sama mencari langkah penjimatan lain supaya kewangan negara terus terurus,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyeru semua pihak termasuk pemimpin, penjawat awam dan sektor swasta supaya memperkukuh ketahanan domestik negara dengan meningkatkan kecekapan tadbir urus, mengelakkan ketirisan serta mengamalkan gaya hidup sederhana.-PENERANGAN.
TAMAT.
Oleh: Norhayati Sarkawi (BMKK)
Foto: Bolhan Basah (BKVS)
Seramai 37 anak yatim dirai dalam Majlis Berbuka Puasa bersama Premier
KUCHING, 13 Mac - Sarawak Multimedia Authority (SMA) meraikan seramai 37 anak yatim daripada Kompleks Kebajikan Laila Taib Kuching (PERYATIM) sempena Majlis Berbuka Puasa bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan SMA berjumlah RM10,000 kepada PERYATIM bagi membantu membiayai kos operasi institusi tersebut.
Sumbangan disampaikan oleh Pengurus Besar SMA, Dato Dr Anderson Tiong Ing Heng kepada Ketua Pegawai Eksekutif PERYATIM, Siti Hatizah Abang Sebit.
Selain itu, anak-anak PERYATIM turut menerima duit raya daripada SMA sebagai tanda keprihatinan sempena bulan Ramadan.
Sejurus selepas majlis penyerahan sumbangan, Abang Johari bersama kakitangan SMA mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang disampaikan oleh bilal, Ustaz Muhamad Addaha Zaidi sementara menunggu waktu berbuka puasa.
Selepas berbuka, Abang Johari bersama para hadirin menunaikan solat fardu Maghrib, diikuti solat Isyak dan solat sunat Tarawih sebelum majlis diakhiri dengan moreh.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Ahli Lembaga SMA, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Toslin Meyub (BMKK)
Foto : Mohamad Rizal Matasan (BKVS)
TYT Sarawak hadir majlis berbuka puasa anjuran SEDC
KUCHING, 12 Mac - Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menghadiri Majlis Berbuka Puasa, Solat Maghrib, Isyak dan Tarawih anjuran Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), di sini, semalam.
Dalam majlis berkenaan, SEDC turut menyalurkan sumbangan berjumlah lebih RM50,000 kepada tiga institusi tahfiz iaitu Madrasah Tahfiz Al-Hannah (MADTAH), Madrasah Darul Uloom Islamiyyah serta Pondok Hidayatul Mubtadi-ien Wa Tahfizul Al-Quran.
Sumbangan tersebut merangkumi peralatan asas serta barangan keperluan dapur bagi menyokong kelancaran operasi harian institusi berkenaan selain membantu meningkatkan kebajikan para pelajar yang menuntut ilmu di pusat pengajian tersebut.
Inisiatif tersebut merupakan usaha SEDC dalam menyokong institusi pendidikan Islam di samping mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan, sektor korporat dan masyarakat setempat khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Turut hadir ialah, Pengerusi SEDC, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dr. Juanda Jaya, Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak, Rakayah Hamdan serta tetamu-tetamu kenamaan lain.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Nur Alya Adriana Ahmad Sukri (BMKK)
Foto : Lance Dunstan (BKVS)
Premier Sarawak hadiri Majlis khatam Al-Quran dan Iftar Perdana Agensi Islam Sarawak
𝗞𝗨𝗖𝗛𝗜𝗡𝗚, 𝟭𝟮 𝗠𝗮𝗰 – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menghadiri Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Perdana Agensi-Agensi Islam Sarawak yang berlangsung di Dewan Kompleks Islam Sarawak, malam tadi.
Majlis dimulakan dengan bacaan khatam Al-Quran oleh dif kenamaan yang didahului oleh Premier Sarawak sebelum diteruskan dengan majlis berbuka puasa bersama para hadirin.
Para hadirin kemudiannya menunaikan solat fardu Maghrib secara berjemaah yang diimamkan oleh Timbalan Imam Besar Sarawak, Ustaz Mohammad Ihsan Haidzir.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Sumbangan Aidilfitri kepada 50 penerima terdiri daripada 12 lelaki dan 38 wanita melibatkan peserta muallaf dari Kuching dan Samarahan yang mengikuti Kelas Saudara Kita anjuran Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).
Setiap penerima menerima sumbangan Aidilfitri sebanyak RM100 bagi membantu membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Majlis kemudian diteruskan dengan solat fardu Isyak secara berjemaah diikuti solat sunat tarawih dan witir serta moreh.
Sebanyak 14 agensi Islam terlibat dalam penganjuran majlis berkenaan, antaranya Pejabat Majlis Islam Sarawak, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS), Jabatan Mufti Sarawak, Jabatan Pendakwaan Syariah Sarawak, Pusat Pengembangan Al-Quran Darul Hana, Tabung Baitulmal Sarawak, Biro Perkhidmatan Pendidikan, Pusat Penerangan Islam (IIC), Yayasan Wakaf Sarawak, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS), Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) serta Lembaga Tabung Haji Negeri Sarawak.
Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, serta Mufti Sarawak, Datu Khalidi Ibrahim.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Mohamad Borhan Ahmad Ulis (BMKK).
Foto oleh: Bolhan Haji Basah (BKVS).
TYT terima kunjungan hormat Mufti Kerajaan Negeri Sarawak
KUCHING, 11 Mac - Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini berkenan menerima kunjungan hormat daripada Mufti Kerajaan Negeri Sarawak, Datu Khalidi Ibrahim di Kesuma Resort.
Kunjungan hormat tersebut merupakan yang pertama sejak beliau dilantik sebagai Mufti Kerajaan Negeri Sarawak pada 1 Mac 2026 bagi menggantikan Datu Kipli Yassin.
Dalam pertemuan itu, Datu Khalidi menzahirkan penghargaan serta menjunjung kasih kepada Tuan Yang Terutama atas perkenan melantik beliau sebagai Mufti Sarawak yang baharu.
Turut mengiringi beliau pada kunjungan berkenaan ialah Pengarah Jabatan Mufti Sarawak, Ahmad Sukarno Saini.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Juliana Abdullah (BMKK)
Jurufoto: Mohamad Rizal Matasan (BKVS)
Duta Besar Perancis ke Malaysia Hasrat Jalin Kerjasama Strategik
KUCHING, 11 Mac - Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hari ini berkenan menerima kunjungan hormat delegasi Perancis yang diketuai oleh Duta Besar Perancis ke Malaysia, Marc Abensour di Kesuma Resort.
Kunjungan tersebut bertujuan bertemu dengan Tun Pehin Sri bagi berbincang serta meneroka peluang pelaburan dan kerjasama strategik dalam beberapa sektor utama.
Antara bidang yang dibincangkan termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri marin serta penerbangan.
Selain itu, peluang kerjasama turut melibatkan sektor tenaga boleh diperbaharui, industri minyak dan gas yang merangkumi aktiviti huluan dan hiliran, serta teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
Sarawak dilihat sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan mampan dan berteknologi tinggi berikutan sumber tenaga boleh diperbaharui yang melimpah serta infrastruktur perindustrian yang kukuh.
Kunjungan hormat tersebut merupakan yang pertama kepada Tun Pehin Sri sejak Marc Abensour dilantik sebagai Duta Besar Perancis ke Malaysia pada Januari lalu.
Turut hadir ialah Pengarah Kementerian Luar Negeri Malaysia, Pejabat Wilayah Sarawak, Dato Fenny Nuli, Kaunselor Kerjasama dan Hal Ehwal Kebudayaan di Kedutaan Perancis di Malaysia, Thierry d’Anna, serta Timbalan Kaunselor Ekonomi, Bouthaina Harfi.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Juliana Abdullah (BMKK)
Jurufoto: Mohamad Rizal Matasan (BKVS)
Duta Besar Perancis ke Malaysia Hasrat Jalin Kerjasama Strategik
KUCHING, 11 Mac - Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hari ini berkenan menerima kunjungan hormat delegasi Perancis yang diketuai oleh Duta Besar Perancis ke Malaysia, Marc Abensour di Kesuma Resort.
Kunjungan tersebut bertujuan bertemu dengan Tun Pehin Sri bagi berbincang serta meneroka peluang pelaburan dan kerjasama strategik dalam beberapa sektor utama.
Antara bidang yang dibincangkan termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri marin serta penerbangan.
Selain itu, peluang kerjasama turut melibatkan sektor tenaga boleh diperbaharui, industri minyak dan gas yang merangkumi aktiviti huluan dan hiliran, serta teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
Sarawak dilihat sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan mampan dan berteknologi tinggi berikutan sumber tenaga boleh diperbaharui yang melimpah serta infrastruktur perindustrian yang kukuh.
Kunjungan hormat tersebut merupakan yang pertama kepada Tun Pehin Sri sejak Marc Abensour dilantik sebagai Duta Besar Perancis ke Malaysia pada Januari lalu.
Turut hadir ialah Pengarah Kementerian Luar Negeri Malaysia, Pejabat Wilayah Sarawak, Dato Fenny Nuli, Kaunselor Kerjasama dan Hal Ehwal Kebudayaan di Kedutaan Perancis di Malaysia, Thierry d’Anna, serta Timbalan Kaunselor Ekonomi, Bouthaina Harfi.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Juliana Abdullah (BMKK)
Jurufoto: Mohamad Rizal Matasan (BKVS)
Sarawak destinasi pilihan pelaburan mampan dan berteknologi tinggi
KUCHING, 11 Mac - Sarawak kini semakin menonjol sebagai destinasi pelaburan berteknologi tinggi dan mampan bagi pelabur luar, sejajar dengan kekuatannya dalam sumber tenaga boleh diperbaharui serta infrastruktur perindustrian yang kukuh.
Perkara tersebut terserlah menerusi kunjungan hormat Duta Besar Perancis ke Malaysia, Marc Abensour kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di pejabat beliau di Kompleks Satria Pertiwi, di sini hari ini.
Menurut kenyataan oleh Kedutaan Perancis, pertemuan tersebut membincangkan potensi kerjasama dalam beberapa sektor strategik termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri maritim dan penerbangan, tenaga boleh diperbaharui, industri minyak dan gas merangkumi aktiviti huluan serta hiliran, selain teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
Kenyataan tersebut turut memaklumkan, Sarawak memiliki kelebihan daya saing melalui sumber tenaga boleh diperbaharui yang melimpah, infrastruktur perindustrian yang kukuh serta persekitaran politik yang stabil sekali gus memberikan keyakinan kepada pelabur asing untuk membuat pelaburan jangka panjang.
Selain itu, kedudukan strategik Sarawak di Pulau Borneo turut menjadikannya pintu masuk penting ke pasaran serantau khususnya dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Kunjungan berkenaan dilihat memperkukuh hubungan dua hala antara Perancis dan Sarawak di samping membuka ruang kepada kerjasama pelaburan bernilai tinggi yang mampu menyokong kemakmuran ekonomi jangka panjang negeri ini.
Turut hadir semasa kunjungan ialah Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri Malaysia, Dato Fenny Nuli, Timbalan Kaunselor Ekonomi, Bouthaina Harfi, Kaunselor Kerjasama dan Hal Ehwal Kebudayaan di Kedutaan Perancis di Malaysia, Thierry d’Anna, Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak, Datu Ir. Ts. Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan, serta Penasihat Perubahan Iklim, Tenaga dan Pembangunan Mampan EPU Sarawak, Ir. Ts. Dr. Angelia Liew San Chuin.
Oleh: Norhayati Sarkawi (BMKK)
Foto: Abdul Hakeem Well (BKVS)
SDEC, CENTEXS, DBOS anjur majlis buka puasa
KUCHING, 11 Mac - Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) telah menganjurkan majlis berbuka puasa bersama Penghuni Kompleks Kebajikan Laila Taib (PERYATIM) dan Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah Kuching.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg dan diadakan di salah sebuah hotel terkemuka, di sini.
Menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), ketiga-tiga agensi itu telah menyerahkan sumbangan dana berjumlah RM10,000 masing-masing kepada Kompleks Kebajikan Laila Taib dan Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah bagi menyokong keperluan operasi institusi berkenaan.
Pihak penganjur turut meraikan seramai 40 orang kanak-kanak dari kedua-dua buah pusat jagaan tersebut dalam satu jamuan iftar yang menterjemahkan nilai ihsan dan keterangkuman kemanusiaan sempena bulan Ramadan.
Acara tersebut telah menghimpunkan lebih 400 orang tetamu bagi mengeratkan jalinan ukhuwah antara barisan pemimpin kerajaan, ahli lembaga pengarah, pemegang taruh korporat, rakan strategik serta warga kerja agensi.
Pengisian kerohanian diakhiri dengan pelaksanaan solat fardu Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah.
Turut hadir ialah Pengerusi SDEC, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Dato Ir. Ts. Sudarnoto Osman, Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Dato Syeed Mohd Hussien Wan Abd Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif DBOS, Datu Laura Lee Ngien Hion dan kenamaan lain.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Cassidy Lisut (BKVS)
𝐊𝐚𝐧𝐚𝐝𝐚-𝐒𝐚𝐫𝐚𝐰𝐚𝐤 𝐭𝐞𝐫𝐨𝐤𝐚 𝐤𝐞𝐫𝐣𝐚𝐬𝐚𝐦𝐚 𝐬𝐭𝐫𝐚𝐭𝐞𝐠𝐢𝐤 𝐩𝐞𝐥𝐛𝐚𝐠𝐚𝐢 𝐬𝐞𝐤𝐭𝐨𝐫
KUCHING, 10 Mac - Kanada dan Sarawak meneroka kerjasama strategik dalam pelbagai sektor utama termasuk tenaga, perlombongan mineral kritikal, aeroangkasa serta teknologi digital.
Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, Jodi Robinson berkata negaranya mempunyai banyak syarikat inovatif serta kepakaran dalam bidang yang selari dengan keutamaan pembangunan Sarawak.
“Kami melihat banyak peluang untuk bekerjasama dengan Sarawak sama ada dalam sektor tenaga, pertanian dan juga aeroangkasa yang kini sedang berkembang di negeri ini,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di pejabatnya di Kompleks Satria Pertiwi, di sini hari ini.
Menurutnya, antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut termasuk usaha Sarawak membangunkan dan memperkukuh grid tenaga melalui proses pendigitalan bagi memastikan penggunaan tenaga dapat dimaksimumkan.
Ujarnya, langkah tersebut penting bagi memastikan kecekapan bekalan tenaga khususnya apabila Sarawak berhasrat menyalurkan tenaga kepada negara jiran serta memenuhi keperluan domestik.
Selain itu, Robinson berkata perbincangan turut menyentuh mengenai pembangunan mineral kritikal dan industri perlombongan yang mampan.
Katanya, Kanada sedang bekerjasama dengan Malaysia dalam memperkenalkan standard perlombongan mampan yang dikenali sebagai “Towards Sustainable Mining” yang bertujuan memastikan aktiviti perlombongan dilaksanakan dengan mengambil kira kelestarian alam sekitar.
Beliau pada masa yang sama turut memuji usaha Sarawak dalam membangunkan industri tenaga hidrogen yang disifatkannya sebagai antara sumber tenaga masa depan.
“Saya amat kagum dengan pembangunan perindustrian serta visi kepimpinan Sarawak dalam memajukan sektor tenaga hidrogen yang berpotensi menjadi sumber tenaga penting pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Kanada dan Sarawak juga telah menjalin kerjasama dalam beberapa bidang termasuk rawatan air, penyelidikan penangkapan karbon, teknologi grid tenaga serta sektor teknologi maklumat dan komunikasi.
Beliau menambah, institusi seperti University of Alberta turut terlibat dalam penyelidikan berkaitan penangkapan karbon bersama rakan kerjasama di Sarawak.
“Kanada berharap dapat memperluaskan lagi kerjasama dengan Sarawak pada masa akan datang khususnya dalam sektor teknologi hijau dan tenaga bersih,” katanya lagi.
Turut hadir ialah Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri Malaysia, Dato Fenny Nuli, Pesuruhjaya Perdagangan di Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, Azhar Ali, serta Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak, Datu Ir. Ts. Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan.
Oleh: Norhayati Sarkawi (BMKK)
Foto: Cassidy Lisut Tubong (BKVS)
TYT terima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia
KUCHING, 10 Mac - Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, hari ini menerima kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, Jodi Rae Robinson di kediaman rasmi beliau di Kuching, tengah hari tadi.
Kunjungan hormat tersebut bertujuan untuk bertukar pandangan termasuk perkembangan ekonomi serta tenaga boleh diperbaharui di Sarawak dan sistem parlimen negara.
Turut hadir mengiringi beliau ialah Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri, Dato Fenny Nuli, Pesuruhjaya Perdagangan, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Kanada di Kuala Lumpur, Azhar Ali, serta Pegawai Perhubungan, Chai Li Yeang.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Abdul Hakeem Well (BKVS
Tiga anak syarikat Yayasan Sarawak tunai zakat perniagaan lebih RM435,000
KUCHING, 10 Mac - Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semalam hadir ke Majlis Sungkei Yayasan Sarawak di Dewan Serbaguna, Kompleks Satria Pertiwi, Kuching.
Usai berbuka puasa, Premier Sarawak terlebih dahulu menunaikan solat Maghrib secara berjemaah bersama para jemputan dan jemaah lain.
Kemudiannya, Abang Johari yang juga merupakan Pengerusi Yayasan Sarawak menyaksikan simbolik penyerahan zakat perniagaan daripada tiga anak syarikat Yayasan Sarawak iaitu Petronesa Sdn Bhd sebanyak RM412,390.00 dan Sanjung Etika Sdn Bhd sebanyak RM12,419.72.
Zakat tersebut diserahkan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki kepada Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha bagi mewakili Tabung Baitulmal Sarawak.
Datuk Misnu turut menerima serahan zakat daripada Pometia Sdn Bhd sebanyak RM10,224.00 yang disampaikan oleh Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Junaidi Mohidin.
Selain itu, Premier Sarawak turut menyerahkan simbolik sumbangan duit raya kepada 20 orang pelajar daripada keseluruhan 62 pelajar yang dijemput daripada Yayasan Kemajuan Insan Sarawak (YAKIN) dan Yayasan Sarawak International Secondary School (YSISS).
Majlis diakhiri dengan Premier Sarawak menunaikan solat Fardhu Isya’, solat Sunat Tarawih dan Witir secara berjemaah serta moreh.
Turut hadir pada majlis ini ialah Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan) Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel serta tetamu lain.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Juliana Abdullah (BMKK)
Foto : Lance Dunstan (BKVS)
Jaga etika kewartawanan berdasarkan fakta dalam mencari kebenaran
KUCHING 9 Mac- Para media perlu menjaga etika dalam kewartawanan yang berdasarkan fakta dalam mencari kebenaran yang akhirnya menyumbang kepada hubungan kerajaan pusat dan negeri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata perbezaan pandangan adalah biasa tetapi yang penting adalah menjaga adab dan mencari kebenaran berdasarkan fakta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud mengulas mengenai isu-isu panas berkaitan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri ketika ditemui pada Sesi Santai dan Sungkey bersama media di sebuah restoran di sini, semalam.
"Yang penting adalah perbincangan dan kita ada Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Induk Pelaksanaan MA63 dan di situlah untuk kita bincang dan kita kena hormati semua pandangan untuk mencari penjelasan," katanya lagi.
Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Ahmad Nazib Johari, Pengerusi Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) , Ronnie Teo dan rakan-rakan media daripada 17 agensi media di Sarawak. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Izawati Eni( BMKK)
Foto oleh: Bolhan Basah( BKVS)
RM60K untuk kem Ihya’ Ramadan Petra Jaya, asuh kepimpinan anak muda
KUCHING, 8 Mac - Kerajaan terus komited memperkukuh agenda pembangunan modal insan melalui peruntukan sebanyak RM60,000 bagi penganjuran Kem Ihya’ Ramadan Siri Ke-11 bagi kawasan Parlimen P.194 Petra Jaya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof menegaskan penganjuran program sedemikian adalah pelaburan kritikal dalam mencorak masa depan negara melalui asuhan kepimpinan seawal usia muda.
“Program ini penting bagi mengasuh anak-anak muda yang berkarisma dari awal lagi bagi membentuk masa depan mereka yang lebih baik.
"Dengan asuhan yang betul, kita mampu melahirkan generasi muda untuk menjadi pemimpin berwibawa bukan sahaja dalam keluarga, malah masyarakat dan negara,” katanya.
Katanya lagi ketika berucap di Majlis Penangguhan Kem Ihya’ Ramadan 2026 di Auditorium Centre For Technology Excellence Sarawak (CENTEXS), petang tadi turut mengingatkan kepentingan membekalkan generasi muda dengan nilai akhlak dan kefahaman agama yang utuh bagi mendepani arus teknologi dan pengaruh media sosial.
Ujar beliau, pengisian program tersebut berupaya membekalkan ilmu kehidupan serta daya tahan dalam menghadapi sebarang kesulitan.
“Jangan takut untuk mengharungi kegagalan kerana kegagalan itu mendidik kita untuk menjadi lebih baik,” tambah beliau lagi.
Kem yang bertemakan ‘Kepimpinan Generasi Muda dalam Institusi Kekeluargaan Islam’ ini bermatlamat menyemai kesedaran bahawa kestabilan negara bermula daripada kepimpinan keluarga yang mantap. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Lance Dunstan (BKVS)
Sumbangan Aidilfitri eratkan hubungan komuniti dan golongan yang memerlukan
KUCHING, 8 Mac - Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri buat golongan asnaf anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Muslim Kampung Gita merupakan program tahunan yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan komuniti serta menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Penyampaian sumbangan kepada 345 penerima dari pelbagai kawasan termasuk Kampung Pinang Jawa, Kampung Gita (Laut, Lama, Baru, Tengah), Sri Melati, Sungai Maong, serta beberapa taman perumahan sekitar Matang telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof di Dewan Serbaguna Kampung Pinang Jawa, Gita, di sini hari ini.
Datuk Amar Fadillah Yusof dalam ucapannya menyifatkan majlis tersebut sebagai satu usaha yang membawa niat besar dalam berkongsi rezeki serta membantu meringankan beban mereka yang memerlukan.
"Pemberian bantuan ini bukan sekadar usaha kebajikan, tetapi juga lambang kasih sayang dan keprihatinan dalam masyarakat selaras dengan ajaran Islam yang menekankan kepentingan saling membantu serta menasihati antara satu sama lain ke arah kebaikan," jelas beliau.
Beliau turut mengingatkan masyarakat bahawa agama merupakan asas penting dalam membentuk keharmonian sosial.
Tambah beliau, bulan Ramadan adalah peluang terbaik untuk meningkatkan ketakwaan di mana setiap amalan harus bermula daripada hati yang ikhlas.
“Hati yang baik akan mendorong seseorang melakukan kebaikan kepada keluarga, masyarakat dan negara,” ujar Fadillah lagi.
Turut hadir ialah isteri kepada Fadillah, Datin Amar Ruziah Mohd Tahir, Timbalan Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Dr. Zaiedi Suhaili serta barisan penghulu dan ketua kaum dari sekitar kawasan Matang.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Cassidy Lisut (BKVS)
Program ‘Shoping Raya’ PEKEMA santuni golongan memerlukan
KUCHING, 8 Mac - Program 'Shopping Raya’ anjuran Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) yang bertujuan menyantuni golongan memerlukan terus diperkasakan sebagai manifestasi keprihatinan masyarakat dalam berkongsi kegembiraan menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Sri Nancy Shukri berkata, inisiatif murni itu mencerminkan kepimpinan yang prihatin terhadap keperluan golongan asnaf dan anak yatim.
“Kita mahu anak-anak ini merasai kegembiraan yang sama seperti rakan yang lain dalam menyambut Syawal yang bakal tiba.
“Inisiatif ini bukan sekadar bantuan material, tetapi merupakan simbol sokongan masyarakat terhadap masa depan mereka agar terus bersemangat menempuh hari-hari mendatang,” katanya ketika menyempurnakan program tersebut di sini, hari ini.
Program tersebut memberikan kebebasan kepada penerima memilih sendiri kelengkapan hari raya merangkumi corak, warna, dan saiz mengikut citarasa masing-masing dengan peruntukan sebanyak RM240 seorang.
Pendekatan itu bukan sahaja memberikan kepuasan kepada penerima, malah secara langsung meringankan beban kewangan penjaga dan ibu bapa.
Dalam majlis yang sama, Nancy turut menitipkan pesanan agar anak-anak yang diraikan terus melipatgandakan usaha dalam pelajaran bagi mencapai impian pada masa hadapan.
Hadir sama Presiden PEKEMA Sarawak, Dato Ismail Abang Saufi, Naib Presiden PEKEMA Sarawak, Raja Petra Maruddin Raja Noordin, Timbalan Presiden PEKEMA Sarawak, Dato Tapah Ata, Naib Presiden PEKEMA Sarawak, TS Tuan Yusuf Roy Fitri Mohamad Jonny, Setiausaha Kehormat PEKEMA Malaysia, Ahmad Faresh Ahmad Zahid, Jimbau Munggat, Pengarah LPPKN Negeri Sarawak serta tetamu kehormat yang lain. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Nur Alya Adriana Ahmad Sukri (BMKK)
Foto oleh : Mohamad Rizal (BKVS)
Program CSR PETRONAS Beri Manfaat Kepada Masyarakat
𝗞𝗨𝗖𝗛𝗜𝗡𝗚, 𝟳 𝗠𝗮𝗰 – Timbalan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Fadillah Yusof menzahirkan penghargaan kepada Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) atas komitmen berterusan melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi manfaat kepada masyarakat khususnya golongan memerlukan.
Katanya ketika merasmikan Majlis IFTAR PETRONAS Memacu Kehidupan Raya Aidilfitri 2026 di Masjid Ikhwanul Islam, di sini petang tadi, program seumpama itu bukan sahaja membantu meringankan beban golongan memerlukan, malah menyemai nilai kasih sayang, keprihatinan dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat selari dengan penghayatan Ramadan.
“Islam menekankan nilai kasih sayang sesama insan dan amalan berkongsi rezeki membantu jiran tetangga serta mengambil berat terhadap golongan memerlukan amat digalakkan lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan,” katanya.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya turut menegaskan semangat ehsan dan keprihatinan terhadap masyarakat seiring dengan nilai yang diketengahkan dalam gagasan Malaysia MADANI.
Beliau turut menyeru pemimpin masyarakat, wakil rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi berkaitan agar terus memainkan peranan mengenal pasti golongan memerlukan supaya tiada pihak tercicir daripada menerima bantuan sewajarnya.
Pada majlis tersebut, sebahagian daripada 50 keluarga dari kawasan Tupong, Samariang dan Satok menerima sumbangan Bakul Makanan yang mengandungi barangan keperluan asas sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri menerusi program Memacu Kehidupan Raya Aidilfitri 2026.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management (MPM), Datuk Bacho Pilong berkata penganjuran majlis berkenaan bukan sekadar acara berbuka puasa, malah menjadi platform mengeratkan silaturahim antara PETRONAS, pemimpin tempatan dan masyarakat.
Menurut beliau, melalui Yayasan PETRONAS, pelbagai inisiatif di bawah Program Memacu Kehidupan dilaksanakan setiap musim perayaan bagi membawa keceriaan kepada golongan sasaran melalui sumbangan barangan keperluan asas.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri–Persekutuan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Naib Presiden Hubungan Strategik Kumpulan dan Komunikasi PETRONAS, Ir. Norafizal Mat Saad, Pegawai Daerah Kuching, Zaidi Sharkawi, ketua-ketua jabatan, pihak pengurusan PETRONAS, ketua masyarakat dan para penerima sumbangan. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Mohamad Borhan Ahmad Ulis (BMKK).
Foto oleh: Lance Dunstan (BKVS).
Sarawak Tingkat Bantuan SKAS Ringankan Beban Rakyat
KUCHING, 7 Mac — Kerajaan Sarawak tingkat bantuan SKAS bagi meringankan beban rakyat melalui pelancaran Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM539.8 juta.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyempurnakan majlis pelancaran inisiatif tersebut di Bazar Ramadan Stutong, di sini, hari ini.
Program bantuan yang memasuki tahun kedua pelaksanaannya ini bakal memberi manfaat kepada 857,814 penerima yang layak di seluruh negeri berdasarkan data penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 2026.
Mengulas mengenai objektif bantuan tersebut, Abang Johari menegaskan kepentingan memastikan keperluan dapur setiap keluarga di bawah kategori B40 sentiasa mencukupi dan terjamin.
Untuk makluman, penerima SKAS merangkumi kategori isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah, individu bujang berpendapatan RM2,500 dan ke bawah serta warga emas tanpa pasangan atau anak dengan pendapatan RM5,000 dan ke bawah.
“Dasarnya kita mahu semua keluarga setidak-tidaknya dapurnya berasap dan makanan asas termasuklah beras, gula, kopi dan teh mesti ada stok dalam sebuah keluarga," ujarnya.
Kerajaan Sarawak pada tahun ini turut bersetuju meningkatkan nilai bantuan kepada RM950 bagi kategori isi rumah manakala kategori individu bujang meningkat kepada RM300 dan warga emas tanpa pasangan menerima RM500.
"Tahun ini kita tambah peruntukan daripada RM480 juta tahun lepas kepada RM640 juta bagi suntikan dana keseluruhan dan kita tingkatkan kuantum bantuan mengikut kategori masing-masing," tambah beliau.
Penyaluran bantuan akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tiga fasa iaitu pada bulan Mac, Mei dan November 2026 melalui aplikasi S Pay Global di 2,249 pasar raya serta kedai runcit yang mengambil bahagian di seluruh Sarawak.
Turut hadir menyaksikan pelancaran tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak Datu Ir Ts Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan, Ketua-ketua Jabatan dan tetamu jemputan lain.- PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Mohd Rizal (BKVS)
Kerajaan bersedia hadapi kesan konflik Timur Tengah
KUCHING, 7 Mac – Kerajaan Persekutuan sedang membuat persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan kesan ekonomi dan logistik sekiranya konflik di Timur Tengah berlanjutan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Zakat 2026 Cahaya Ramadan di sini, hari ini berkata, perkara tersebut turut dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan setiap kerajaan negeri melakukan penilaian awal terhadap kemungkinan kesan kepada negara.
“Perdana Menteri telah memberi pesanan supaya setiap negeri membuat penilaian dari segi stok barangan asas dan keseluruhan bekalan, selain membuat persiapan sekiranya konflik ini berlanjutan.
“Jika peperangan berlanjutan, sudah pasti kos akan meningkat dan apabila kos logistik meningkat, ia akan memberi kesan kepada harga barangan lain,” katanya.
Fadillah menjelaskan, peningkatan kos tersebut berkemungkinan berlaku kerana kadar insurans penerbangan yang meningkat serta pengurangan jumlah penerbangan ke rantau tersebut.
Katanya, apabila insurans meningkat dan penerbangan berkurangan, kos penerbangan turut meningkat.
"Keadaan ini akhirnya boleh memberi kesan kepada rantaian logistik dan harga barangan yang diimport,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan juga sedang menilai langkah jangka pendek dan jangka sederhana bagi memastikan kesan konflik berkenaan dapat dikurangkan.
Menurutnya, kerajaan melalui Kementerian Luar Negeri Malaysia turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke Timur Tengah buat masa ini sehingga keadaan benar-benar selamat.
Tambah Timbalan Perdana Menteri itu lagi, kerajaan kini sedang mengatur usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa kawasan konflik, termasuk dengan mengatur penerbangan khas menggunakan syarikat penerbangan tempatan.
"Setakat ini dianggarkan hampir 3,000 rakyat Malaysia yang berada di luar negara sebagai pelancong terjejas oleh situasi tersebut, manakala lebih 20,000 lagi merupakan rakyat Malaysia yang bermastautin dan bekerja di rantau berkenaan," ujar beliau.
Oleh: Norhayati Sarkawi (BMKK)
Foto: Lance Dunstan (BKVS)
11 Agensi Penguat Kuasa Terima Pek Makanan Sumbangsih Raya Kerajaan Sarawak
KUCHING, 6 Mac – Sebanyak 11,900 pek makanan Sumbangsih Raya 2026 diagihkan kepada anggota 11 agensi penguat kuasa dan unit beruniform sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Simbolik penyerahan Sumbangsih Raya 2026 tersebut telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Dewan Serbaguna Kompleks Satria Pertiwi, di sini, pagi tadi.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata program Sumbangsih Perayaan merupakan manifestasi penghargaan Kerajaan Sarawak terhadap pengorbanan anggota unit beruniform dan agensi penguatkuasaan yang bertugas pada musim perayaan demi memastikan kedaulatan, keselamatan dan keamanan negeri terus terpelihara.
Menurut beliau, pada tahun ini pek makanan sedia dimakan (retort food/ready-to-eat) telah disediakan atas permintaan wakil agensi penerima yang dibangkitkan dalam mesyuarat perancangan dan persediaan program tersebut.
Tambahnya, selain makanan sedia dimakan, pek sumbangan tersebut turut mengandungi kerepek, kacang, minuman kopi dan teh tiga dalam satu serta mi kolok.
Menurut Fatimah, pek makanan tersebut akan diagihkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (4,000 pek), Polis Diraja Malaysia (2,400 pek), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (1,050 pek), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (1,550 pek), Jabatan Penjara Malaysia (450 pek), Jabatan Imigresen Malaysia (550 pek), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (750 pek), Jabatan Pengangkutan Jalan (550 pek), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (250 pek), Jabatan Sukarelawan Malaysia (250 pek) serta Unit Penguatkuasaan dan Keselamatan Sarawak (100 pek).
Beliau menambah bahawa pek makanan sumbangsih ini merupakan simbol kasih dan penghargaan ikhlas daripada Kerajaan Sarawak kepada para petugas yang terus komited menjalankan amanah walaupun terpaksa berjauhan daripada keluarga tercinta ketika musim perayaan.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar serta menteri dan timbalan menteri kabinet Sarawak.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh:
Ninie Gumbang (BMKK)
Foto : Cassidy Lisut (BKVS)
180 penerima kumpulan sasar KPWKM terima sumbangan Aidilfitri
KUCHING, 6 Mac – Seramai 180 penerima sumbangan daripada kumpulan sasar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KWPKM) menerima sumbangan Aidilfitri berupa duit raya.
Sumbangan tersebut telah disampaikan pada Majlis Ramah Mesra Ramadan Bersama Kumpulan Sasar kementerian itu di salah sebuah hotel di sini, hari ini.
Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Sri Nancy Shukri kepada para penerima yang terdiri daripada kanak-kanak, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), asnaf dan anak yatim.
Dalam ucapannya, Nancy berkata Ramadan merupakan bulan yang amat istimewa kerana ia mendidik manusia menjadi lebih sabar, prihatin dan penuh ihsan terhadap sesama insan.
Beliau menyifatkan Ramadan sebagai 'madrasah kehidupan' yang membentuk jiwa dan mengajar masyarakat memahami kesusahan golongan yang kurang bernasib baik.
“Ramadan bukan sahaja mengajar kita merasai apa yang dirasai oleh mereka yang kekurangan tetapi juga erti pengorbanan serta kepentingan hidup bersama-sama dalam semangat kasih sayang dan hormat-menghormati,” katanya.
Menurut beliau, kehadiran kanak-kanak, warga emas serta rakan-rakan OKU dalam majlis tersebut amat bermakna kerana ia menjadi peringatan bahawa setiap individu mempunyai tempat dan nilai yang penting dalam masyarakat.
"Kehadiran kalian hari ini mengingatkan kita bahawa tanggungjawab kita bersama adalah untuk memastikan setiap orang daripada kita hidup dalam persekitaran yang selamat, dihormati dan tidak ketinggalan dalam arus kehidupan," ujarnya.
Nancy pada masa yang sama juga menyeru golongan muda agar terus berani bermimpi dan memanfaatkan usia muda dengan sebaik-baiknya kerana setiap daripada mereka memiliki potensi besar untuk masa depan.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan, Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, Rizal Il-Ehzan Fadip Azim, Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Kebajikan Negara, Nordina Haron dan Konsultan Operasi McDonald’s Malaysia, Muhammad Shukri Ismail.
Oleh: Norhayati Sarkawi (BMKK)
Foto: Lance Dunstan (BKVS)
TYT Sarawak Seri Majlis Berbuka Puasa PMTTD
SAMARAHAN, 6 Mac - Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi sudi menyerikan Majlis Berbuka Puasa anjuran Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD) di Wisma Perwira Sri Kenyalang, Kem Muara Tuang semalam.
Ketibaan pasangan tetamu kehormat itu disambut oleh Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Khairul Anuar Abdul Aziz bersama isteri, Datin Roslina Abu Bakar.
Program tersebut dimulakan dengan majlis berbuka puasa dan solat Maghrib secara berjemaah di Surau Khalid Al-Walid sebelum para jemputan beredar ke Dewan Banquet bagi menikmati jamuan makan malam.
Kemuncak majlis menyaksikan Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi bersama Toh Puan menyempurnakan penyampaian sumbangan kebajikan kepada enam saudara baharu muslim dalam kalangan anggota dan ahli keluarga warga tentera.
Kehadiran kepimpinan tertinggi negeri ini menterjemahkan kesepaduan antara kerajaan negeri dengan institusi ketenteraan dalam memelihara keharmonian serta memperkukuh nilai kebersamaan dalam masyarakat.
Turut hadir ialah Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nazri Mohd Hassan, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak, Panglima-Panglima Formasi serta Pegawai-Pegawai kanan PMTTD. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Bolhan Basah (BKVS)
Sarawak Energy rai rakan strategik pada Majlis Iftar
KUCHING, 6 Mac - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg meluangkan masa menghadiri Majlis Iftar Sarawak Energy bersama rakan strategik yang diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Usai berbuka puasa, beliau menunaikan solat Maghrib secara berjemaah bersama para jemputan dan jemaah yang hadir.
Selepas menjamu selera, Premier Sarawak turut menunaikan solat fardu Isyak dan solat sunat Terawih secara berjemaah.
Majlis iftar tersebut menghimpunkan kira-kira 400 pihak berkepentingan utama yang terdiri daripada kementerian dan agensi kerajaan, rakan industri serta wakil media.
Penganjuran majlis tahunan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Sarawak Energy dalam memupuk hubungan lebih erat serta memperkukuh kerjasama dengan pihak berkepentingan dan rakan strategik sebagai menghargai sokongan berterusan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili berkata, ramadan menjadi peringatan bermakna terhadap nilai-nilai yang menjadi panduan kepada Sarawak Energy dalam menjalin kerjasama dengan pihak berkepentingan dan komuniti di seluruh negeri.
“Ramadan mengingatkan kita tentang nilai perpaduan, integriti dan belas ihsan.
“Ketika kita berkumpul bersama rakan serta pihak berkepentingan, kami kekal komited untuk menyediakan tenaga yang boleh dipercayai dan boleh diperbaharui sambil bekerjasama memajukan pembangunan Sarawak demi manfaat komuniti,” katanya.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri Brunei Darussalam, Dato Seri Paduka Awang Mohamad Azmi Mohd. Hanifah, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy & Petros), Datuk Ibrahim Baki serta tetamu kenamaan yang lain.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Juliana Abdullah (BMKK)
Jurufoto: Saiful Rahman Sabri (BKVS)
Tun Wan Junaidi Hadiri Majlis Sungkei Perdana Di Astana Negeri Sarawak
𝗞𝗨𝗖𝗛𝗜𝗡𝗚, 𝟱 𝗠𝗮𝗰 - Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri Majlis Sungkei Perdana semalam yang disertai pemimpin-pemimpin tertinggi negeri di Surau Astana Negeri Sarawak malam tadi bersempena 14 Ramadan 1447 Hijrah.
Ketibaan tetamu jemputan bermula seawal jam 6.00 petang diikuti kehadiran menteri-menteri kabinet serta dif-dif kenamaan bersama pasangan masing-masing pada jam 6.15 petang.
Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak bersama Toh Puan kemudiannya berangkat tiba pada jam 6.45 petang.
Majlis dimulakan dengan azan Maghrib pada jam 6.56 petang yang menandakan masuknya waktu berbuka puasa diikuti acara bersungkei bersama para tetamu yang hadir.
Seusai berbuka puasa, para jemputan menunaikan solat fardu Maghrib secara berjemaah sebelum menikmati jamuan makan malam yang disediakan.
Majlis diteruskan dengan solat fardu Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah yang dipimpin oleh Imam Besar Negeri Sarawak, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi, sebelum diakhiri dengan moreh.
Sejurus selesai majlis, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak bersama Toh Puan berangkat meninggalkan majlis dengan diiringi oleh Premier Sarawak.
Turut hadir ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersama anak perempuan beliau Dayang Norjihan. Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian serta Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.-PENERANGAN-
— TAMAT —
Disediakan oleh: Mohamad Borhan Ahmad Ulis (BMKK).
Foto oleh: Lance Dunstan (BKVS).
TYT dan isteri hadiri Majlis Berbuka Puasa bersama PDRM Sarawak
KUCHING, 4 Mac - Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama warga Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak, semalam.
Majlis yang berlangsung di Masjid Al-Mujahiddin, Kompleks Perumahan Polis Tabuan Jaya itu bertujuan mengukuhkan ikatan silaturahim selain menjadi aktiviti tahunan Tun Pehin Sri sepanjang bulan Ramadan dalam menyantuni agensi luar.
Ketibaan Tun Pehin Sri dan Toh Puan Fauziah sekitar jam 6.23 petang disambut oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah bersama barisan kepimpinan tertinggi PDRM Kontinjen Sarawak.
Usai berbuka puasa, Tun Pehin Sri bersama jemaah menunaikan solat fardu Maghrib yang kemudiannya disusuli dengan solat fardu Isyak secara berjemaah.
Pada majlis sama, Tun Pehin Sri turut menyampaikan sumbangan khas kepada 15 anak yatim dan Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam kalangan warga PDRM Sarawak sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Muhammad Izzat Muzaqeer Zamri (BMKK)
Foto: Mohd Rizal (BKVS)
TYT terima kunjungan hormat Jawatankuasa Pengelola Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran
KUCHING, 4 Mac - Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr.Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Pengelola Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Sarawak Tahun 1447H/2026M di kediaman rasmi TYT di Kasuma Resort, di sini.
Kunjungan hormat tersebut diketuai oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi bagi menyampaikan undangan rasmi kepada Tun Wan Junaidi dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi untuk menghadiri majlis berkenaan.
Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Sarawak Tahun 1447H/2026M dijadualkan berlangsung pada Jumaat, 16 Ramadan 1447H bersamaan 6 Mac 2026 bertempat di Masjid Bandar Sri Aman, Sri Aman.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg turut dijangka menghadiri majlis tersebut.
Selain majlis berbuka puasa serta solat fardu Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah, program rasmi pada malam berkenaan akan diserikan dengan bacaan Al-Quran oleh Johan Qari Tilawah Al-Quran Peringkat Sarawak Tahun 2026M, Jubni Sulung, tazkirah Nuzul al-Quran serta amanat daripada Premier Sarawak.
Turut hadir sama ialah Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, Timbalan Pengarah I Jabatan Agama Islam Sarawak, Abang Borhanuddin Abang Ahmad Masuine, Residen Sri Aman, Mahra Salleh, serta Timbalan Pengarah Jabatan Mufti Sarawak, Wan Shaifuddin Wan Madihi.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Oleh: Norhayati Sarkawi (BMKK)
Foto: Abdul Hakeem Well (BKVS)
Premier Sarawak berbuka puasa bersama anak yatim
KUCHING, 4 Mac - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg meluangkan masa menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Solat Berjemaah bersama anak-anak Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim (PERYATIM) di Kompleks Satria Pertiwi, semalam.
Penganjuran majlis pada tahun ini turut melakar sejarah tersendiri apabila julung kali diadakan di Dewan Serbaguna Kompleks Satria Pertiwi sekali gus menandakan lembaran baharu dalam tradisi tahunan pertubuhan berkenaan.
Ketibaan Premier Sarawak disambut oleh barisan tetamu kenamaan termasuk Ahli Korporat, Tan Sri Dato Sri Bustari Yusof dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak merangkap Pengerusi Ahli Lembaga Amanah PERYATIM, Datuk Misnu Taha.
Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil ringkas dan doa berbuka puasa yang dipimpin oleh Al-Fadhil Ustaz Kasdinata Hashim sebelum para hadirin menikmati juadah berbuka.
Sejurus itu, Premier Sarawak bersama para tetamu menunaikan solat fardu Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah.
Acara kemuncak menyaksikan seramai 63 orang anak asuhan PERYATIM Kuching menerima sumbangan peribadi daripada Premier Sarawak dan keluarga sebagai tanda kasih serta keprihatinan terhadap kebajikan mereka.
Majlis diakhiri dengan jamuan moreh yang memberi peluang kepada warga PERYATIM untuk beramah mesra bersama para tetamu yang hadir.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Cassidy Lisut Tubong (BKVS)
Mengukuhkan silaturahim, memperluas agenda kebajikan
KUCHING, 3 Mac - Program Agihan Bubur Lambuk dan Bubur Pedas anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Islam (BKKI) memberi peluang terbaik untuk mengeratkan silaturahim serta memperluas agenda kebajikan dalam kalangan kakitangan Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak (JAPEN).
Pengarah Penerangan Malaysia Sarawak, Sabri Said berkata program ini juga merupakan sebahagian daripada peranan jabatan dalam kebajikan sosial kepada anggota.
Beliau berharap program seumpama ini dapat diperluas selepas bulan Ramadan bagi melibatkan kakitangan di peringkat daerah selain ibu pejabat.
“Walaupun program ini berskala kecil, jika dimanfaatkan sepenuhnya, ia mampu menggerakkan badan kebajikan dengan program yang lebih bermanfaat,” tambah beliau.
Sempena bulan Ramadan tahun ini, BKKI meneruskan tradisi tahunan dengan agihan sebanyak 500 pek bubur lambuk dan bubur pedas kepada warga Jabatan, PENERANG, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan di agensi lain serta jemputan khas.
Program ini bertujuan meningkatkan penghayatan bulan Ramadan dan menanam semangat perpaduan serta muhibbah di kalangan kakitangan Islam dan bukan Islam.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah JAPEN Sarawak, Sri Kestury Mohammed Zamhari, Timbalan Pengerusi BKKI, Ismalia Hashimi, Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti Sarawak, Ajes Tuah, wakil PENERANG, Saptuyah Senson, wakil Pegawai Perhubungan Awam, Normala Juatan dan lain-lain.- PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Juliana Abdullah (BMKK)
Foto: Lance Dunstan (BKVS)
Unit Diplomasi Iklim Dan Tenaga Sarawak perkukuh penglibatan serantau dan antarabangsa dalam bidang iklim dan peralihan tenaga
KUCHING, 3 Mac - Kerajaan Sarawak memperkukuh penglibatan serantau dan antarabangsa dalam bidang iklim dan peralihan tenaga melalui penubuhan Unit Diplomasi Iklim dan Tenaga.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg ketika berucap pada Majlis Pelancaran Penilaian Institusi Perubahan Iklim Peringkat Subnasional (CCIA) 2026 bertemakan ‘Membina Institusi Untuk Tindakan Iklim dan Daya Tahan Ekonomi’, menjelaskan unit tersebut akan disokong secara teknikal oleh Pusat Perubahan Iklim Sarawak dan berperanan sebagai platform utama bagi menyelaras dasar serta kerjasama strategik berkaitan agenda kelestarian negeri.
Katanya, tindakan iklim tidak boleh dilaksanakan oleh satu institusi sahaja. Ia memerlukan kerjasama, kepercayaan dan penyelarasan merentasi sempadan.
Tambahnya, unit tersebut akan mewakili Sarawak dalam forum iklim global, memberi nasihat mengenai projek dan perjanjian utama serta mengintegrasikan pertimbangan iklim dan tenaga dalam perancangan negeri.
Turut hadir ialah Timbalan-timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki. -PENERANGAN-
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Abdul Hakeem Well (BKVS
PKMM Sarawak perkukuh hubungan strategik bersama kerajaan Sarawak
KUCHING, 2 Mac - Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Cawangan Negeri Sarawak bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sarawak telah mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg hari ini di Kompleks Satria Pertiwi.
Menurut Ketua Delegasi merangkap Yang Dipertua PKMM Sarawak, Dato’ Ismail Sut, kunjungan tersebut bertujuan memperkukuh hubungan strategik bersama kerajaan Sarawak selain membincangkan inisiatif pembangunan kapasiti serta hala tuju industri pembinaan di negeri ini.
Beliau berkata, pihak persatuan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan mesin dan jentera pembinaan yang telah disalurkan oleh kerajaan sarawak kepada PKMM Sarawak.
“Sumbangan ini merupakan peralatan pembinaan utama yang amat diperlukan bagi meningkatkan keupayaan pelaksanaan projek,” katanya.
Tambah beliau, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memastikan kontraktor bumiputera kekal berdaya tahan dan kompetitif dalam industri pembinaan yang semakin mencabar.
Dalam pertemuan itu, PKMM Sarawak turut memaklumkan bahawa pelaksanaan latihan serta kursus peningkatan kemahiran untuk ahli persatuan sedang dan akan terus dilaksanakan secara berterusan dengan kerjasama CIDB Malaysia dan ABM Wilayah Sarawak.
“Melalui latihan berstruktur ini, ahli persatuan bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran teknikal, malah memperkukuh aspek tadbir urus serta profesionalisme dalam industri pembinaan,” ujar beliau.
Selain itu, PKMM Sarawak turut berkongsi perancangan pembinaan bangunan baharu persatuan yang dijangka dimulakan dalam masa terdekat sebagai usaha memperkukuh pentadbiran dan operasi organisasi.
Pembinaan bangunan tersebut melambangkan kematangan serta perkembangan positif persatuan dalam memperjuangkan kepentingan ahli di samping menyokong agenda pembangunan negeri.
Turut hadir ialah Penasihat PKMM Sarawak, Dato Dr. Zaiedi Suhaili, Pengerusi CREAM Malaysia, Dato Ir Aliadi Ibrahim, Pengurus Besar Kanan CIDB Malaysia, Suhaimi Mansor, Pengarah CIDB Negeri Sarawak, Ts. Br. Rosmen AG Hassan, serta Ketua Pegawai Eksekutif ABM Wilayah Sarawak, Abdul Rahman Ahmad. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Juliana Abdulah (BMKK)
Foto : Bolhan Basah (BKVS)
Tun Wan Junaidi terima kunjungan hormat Duta Besar Itali
KUCHING, 3 Mac - Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat Duta Besar Itali ke Malaysia, H.E Raffaele Langella di kediaman rasmi, Kasuma Resort, hari ini.
Pertemuan kira-kira satu jam itu merupakan kunjungan rasmi Duta Besar Itali itu sempena pelantikan beliau dan bertujuan memperkukuhkan hubungan diplomatik antara Itali dan Sarawak.
Dalam sesi perbincangan, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai sektor tenaga hijau, perdagangan, pendidikan tinggi serta pemuliharaan biodiversiti termasuk isu alam sekitar.
Tun Wan Junaidi berharap kolaborasi Sarawak dan Itali akan dipertingkatkan sekali gus membuka lebih banyak peluang pembangunan dan manfaat bersama.
Turut hadir ialah Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri Malaysia, Dato Fenny Nuli. -PENERANGAN.
-TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Cassidy Lisut (BKVS)
Premier Sarawak Sertai Majlis Berbuka Puasa DBKU
KUCHING, 2 Mac — Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyertai Majlis Berbuka Puasa Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Kompleks Satria Pertiwi, malam tadi.
Ketibaan beliau disambut oleh Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman serta barisan kepimpinan agensi.
Majlis tersebut menterjemahkan komitmen tinggi kepimpinan negeri dalam menyantuni rakyat sekali gus memperkukuh nilai perpaduan melalui pengisian ibadah pada bulan ramadan.
Atur cara dimulakan dengan majlis berbuka puasa yang disusuli dengan pelaksanaan solat fardhu Maghrib, Isyak serta solat sunat Tarawih secara berjemaah.
Abang Johari turut menyempurnakan upacara penyerahan sumbangan kepada 16 orang anak yatim DBKU dan anak-anak istimewa dari Pusat Kebajikan Juma’ani.
Inisiatif kebajikan ini bertujuan menyemai keceriaan serta meringankan beban golongan memerlukan dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang.
Majlis diakhiri dengan jamuan moreh yang memberi peluang kepada warga kerja DBKU dan komuniti setempat untuk beramah mesra bersama pemimpin.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU Dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Ibrahim Baki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Ketua-ketua Jabatan serta dif kenamaan lain. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Lance Dunstan (BKVS)