JABATAN PENERANGAN MALAYSIA SARAWAK
BAU, 1 Ogos – Karnival Sukan Komuniti 2026 berjaya menghimpunkan masyarakat pelbagai lapisan usia menerusi pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi yang bukan sahaja membudayakan gaya hidup sihat, malah memperkukuh perpaduan serta semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti setempat.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, sukan bukan sekadar medan pertandingan untuk merebut kemenangan, sebaliknya menjadi wadah yang mampu menyatukan masyarakat, memupuk semangat kerjasama serta mempererat hubungan silaturahim.
Katanya ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Karnival Sukan Komuniti 2026 di Perkarangan Orad Grogo, di sini, hari ini yang bertemakan 'Bersama Semarakkan Sukan, Eratkan Komuniti', karnival tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasa pembangunan masyarakat melalui pembudayaan sukan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, pembangunan modal insan dan komuniti yang inklusif.
Tambahnya, beliau juga merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak atas kejayaan menganjurkan karnival berkenaan di samping menghargai komitmen pemimpin masyarakat, persatuan sukan, pegawai teknikal, pengadil, urus setia, sukarelawan dan seluruh komuniti yang berganding bahu menjayakan program tersebut.
Katanya, sambutan yang amat menggalakkan membuktikan bahawa aktiviti sukan mampu menjadi medium terbaik dalam menyatukan masyarakat tanpa mengira usia, jantina mahupun latar belakang.
Mordi turut mengingatkan bahawa amalan gaya hidup sihat tidak semestinya bermula di gelanggang sukan, sebaliknya boleh dipupuk melalui aktiviti fizikal harian seperti berjalan kaki, berjoging, berbasikal, bersenam bersama keluarga atau menyertai aktiviti rekreasi komuniti.
Dalam pada itu, beliau juga menyeru golongan belia agar terus memainkan peranan sebagai peserta, sukarelawan dan penganjur program komuniti kerana penglibatan aktif mereka penting dalam melahirkan masyarakat yang progresif, berdaya saing dan mempunyai semangat kepimpinan.
Katanya lagi, beliau berharap Karnival Sukan Komuniti akan terus dijadikan acara tahunan dan diperluaskan ke lebih banyak kawasan bagi menggalakkan pembudayaan sukan, memperkukuh perpaduan serta meningkatkan kesejahteraan komuniti.
Turut diadakan adalah penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi setiap kategori pertandingan sebagai tanda penghargaan atas semangat kesukanan dan komitmen yang ditunjukkan sepanjang karnival.
Turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Lamat Nyalau, wakil Ketua Polis Daerah Bau, ASP Mohd Shahir Md Padzil, ketua-ketua masyarakat, ketua-ketua kaum serta penduduk sekitar Grogo.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Mohamad Munir (BMKK)
Jurufoto: Eddie Allan Blanking (BKVS)/ Jabatan Belia dan Sukan Malaysia Sarawak
KUCHING, 1 Ogos - Pelaksanaan Kuching Urban Transportation System (KUTS) bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan bandar moden dan mampan di Sarawak menerusi penyediaan sistem pengangkutan awam yang cekap, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menyokong pertumbuhan bandar yang lebih terancang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan KUTS bukan sekadar menyediakan kemudahan pengangkutan awam moden, malah menjadi pemacu kepada pelaksanaan konsep Transit-Oriented Development (TOD) yang mengintegrasikan pembangunan kediaman, komersial dan kemudahan awam di sekitar stesen transit.
Beliau berkata, Sarawak komited membangunkan sebuah bandar moden yang dilengkapi sistem pengangkutan awam bertaraf dunia bagi meningkatkan mobiliti serta kualiti hidup rakyat.
“KUTS akan menjadi tulang belakang kepada pembangunan bandar masa hadapan dan menyokong pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pertukaran Perjanjian Hak Penamaan Stesen SM07 Kuching Urban Transportation System (KUTS) antara Sarawak Metro Sdn. Bhd. dan Ibraco Berhad, di sini, hari ini yang katanya, kerjasama strategik itu mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh pembangunan sistem pengangkutan awam moden di Sarawak.
Beliau berkata, pembangunan bandar yang bersih serta mempunyai sistem pengangkutan awam yang efisien akan meningkatkan daya tarikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan dan pelaburan.
Menurutnya, usaha tersebut selaras dengan hasrat menjadikan Sarawak antara wilayah paling bersih di dunia, termasuk memiliki kualiti udara yang bersih dan sihat.
Dalam perkembangan berkaitan, Abang Jo memaklumkan bahawa AirBorneo akan memperkenalkan pakej perjalanan bernilai RM375 yang merangkumi tambang penerbangan, penggunaan perkhidmatan Autonomous Rapid Transit (ART) serta pengangkutan dari stesen ART ke hotel bagi memudahkan pergerakan pelancong.
Beliau berkata, inisiatif itu dijangka memberi nilai tambah kepada pengalaman pelancong, sekali gus menggalakkan lebih ramai pelancong berkunjung ke Sarawak serta menyokong pertumbuhan industri pelancongan dan ekonomi negeri.
KUTS merupakan sistem pengangkutan awam bandar pertama di Sarawak yang menggunakan teknologi Autonomous Rapid Transit (ART) dan dijangka menjadi tulang belakang rangkaian mobiliti bandar raya Kuching menerusi Koridor Biru, Koridor Merah dan Koridor Hijau.
Pelaksanaan sistem tersebut selaras dengan aspirasi kerajaan Sarawak untuk mewujudkan bandar yang lebih pintar, hijau, berdaya huni dan mampan, di samping meningkatkan kesejahteraan rakyat serta merancakkan pembangunan sosioekonomi negeri. -PENERANGAN-
-TAMAT
Disediakan oleh: Cahris Yong Kiew Hee (JAPEN Kuching)
Foto: Bolhan Hj Basah (BKVS)
LIMBANG, 1 Ogos - Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Limbang dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Limbang (JTPIL) menganjurkan Seminar Wanita dan Keluarga Islam sebagai usaha memperkukuh sokongan kepada golongan mualaf menerusi penglibatan aktif masyarakat, di sini, hari ini.
Seminar tersebut menghimpunkan ahli PERKIM serta ketua-ketua masyarakat bagi memperkasakan peranan komuniti dalam membimbing dan membantu mualaf, di samping memperkukuh kerjasama antara agensi agama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, berkata seminar berkenaan memberi penekanan terhadap pengukuhan akidah mualaf agar mereka terus istiqamah dalam menghadapi cabaran kehidupan selepas memeluk Islam.
Beliau berkata, inisiatif seumpama itu wajar diteruskan kerana mampu memberi impak positif kepada peserta, selain memperkukuh jaringan sokongan komuniti terhadap kebajikan dan pembangunan mualaf.
“Program seperti ini penting bagi memperkasa peranan komuniti dalam membimbing dan membantu mualaf, di samping memberi penekanan kepada pengukuhan akidah agar mereka terus istiqamah menghadapi cabaran kehidupan pasca-syahadah,” katanya ketika merasmikan seminar tersebut.
Menurut beliau, seminar itu turut menjadi platform dialog dan perkongsian idea bagi mengenal pasti jurang dalam pengurusan kebajikan mualaf, sekali gus merangka pendekatan yang lebih berkesan dan menyeluruh.
Antara pengisian seminar ialah ceramah bertajuk “Teguh Iman di Badai Ujian” serta forum “Sinar Syahadah: Merentasi Cabaran, Mengukuh Jati Diri”, yang memberi fokus kepada aspek pembangunan sahsiah, ketahanan akidah dan sokongan sosial kepada golongan mualaf.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan / foto oleh: Sumardi Sugiman (JAPEN Limbang)
KUCHING, 2 Ogos – Penganjuran Sukan Gemaputera XVIII Sarawak 2026 berjaya menyatukan warga Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) dari seluruh negara di samping membuktikan keupayaan Sarawak sebagai tuan rumah acara berskala besar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kejayaan temasya tersebut amat istimewa kerana Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) kembali diberikan penghormatan selaku tuan rumah selepas kali terakhir menganjurkannya pada tahun 1994.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi pada Majlis Penutupan Sukan GEMAPUTERA XVIII Sarawak 2026 di Wisma Melayu semalam.
Menurut beliau, kejohanan sukan itu bukan sekadar platform pencarian juara, tetapi berfungsi sebagai jambatan perpaduan yang mengeratkan hubungan masyarakat berbilang latar belakang.
"Kita boleh membina jambatan yang menghubungkan dua tebing sungai dan kita boleh membina jalan yang menghubungkan bandar dan pekan, tetapi yang lebih penting daripada itu ialah membina jambatan yang menghubungkan manusia dengan manusia," katanya.
Beliau turut memuji komitmen semua pihak dalam menjayakan temasya yang mengangkat tema 'Agi Idup Agi Ngelaban' yang bukan sekadar lambang perjuangan masyarakat Dayak, malah menterjemahkan semangat untuk terus berusaha dan pantang menyerah kalah dalam mendepani apa jua cabaran.
Sepanjang tujuh hari penganjuran temasya Sukan GEMAPUTERA XVIII Sarawak 2026, lebih 1,000 atlet dan pegawai daripada 14 Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) berhimpun bagi menyertai pelbagai acara yang dipertandingkan.
Pada akhir saingan, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) muncul juara keseluruhan, diikuti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) yang meraih gelaran naib juara, manakala Penang Development Corporation (PDC) menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan.
Sementara itu, Johor Corporation (JCorp) diumumkan sebagai tuan rumah bagi penganjuran Sukan GEMAPUTERA edisi ke-19 yang dijadual berlangsung pada tahun 2028.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Safik Effendi Kassim (BMKK)
Foto : Khairul Anwar Ali (BKVS)
KUCHING, 2 Ogos - Wanita memainkan peranan strategik sebagai pemacu utama transformasi ekonomi digital, pembangunan mampan dan kemajuan negeri, seiring aspirasi Sarawak menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg ketika merasmikan Sambutan Hari Wanita Sarawak 2026 (HW26) di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini berkata, Sarawak komited memastikan golongan wanita bukan sekadar menerima manfaat pembangunan, malah menjadi rakan strategik dan penggerak utama dalam agenda transformasi negeri yang kini beralih daripada ekonomi konvensional kepada ekonomi berasaskan ilmu pengetahuan, teknologi dan pendigitalan.
Katanya lagi, Sarawak akan mempertimbangkan beberapa permohonan berkaitan pemerkasaan wanita yang dikemukakan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) untuk dimasukkan dalam Belanjawan Sarawak 2027.
“Setiap permohonan itu akan diteliti secara terancang berdasarkan kemampuan kewangan negeri bagi memastikan pelaksanaannya memberi manfaat kepada pembangunan wanita,” katanya.
Menurut Abang Johari lagi, kini semakin ramai wanita memegang jawatan penting dalam sektor strategik negeri, sekali gus membuktikan keupayaan mereka sebagai pemimpin, teknokrat dan pembuat dasar yang menyumbang kepada pembangunan Sarawak.
Bertemakan 'Sarawak Women in Digital Economy', HW26 bukan sahaja memberi penghargaan kepada sumbangan wanita, malah menyuntik semangat baharu untuk mereka terus memimpin perubahan dalam pelbagai sektor.
Antara cadangan yang dikemukakan termasuk pembangunan Women Entrepreneurship Dashboard (WED), peningkatan latihan kepimpinan wanita serta pertambahan geran bagi memperkukuh peranan organisasi wanita di seluruh negeri ini.
Dalam perkembangan sama, enam individu dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerima Anugerah Premier Sarawak sempena HW26 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam kepimpinan, pembangunan masyarakat, keusahawanan, kebajikan dan transformasi digital di Sarawak.
Penerima anugerah ialah Sarawak Children's Cancer Society (NGO Cemerlang), Jezzebelle Buyau (Pemimpin Muda Wanita), Ivy Pan (Penggiat Sosial Wanita), Dr. Sharifah Suzana Wan Shukran (Usahawan Wanita), Sim Ko Sin (Sarawak Women in Digital Economy), Dato' Fenny Nuli (Pemimpin Wanita) dan Toh Puan Datin Patinggi Hayati Ahmat (Anugerah Datuk Patinggi Laila Taib).
Selain itu, turut berlangsung penyerahan surat lantikan Kursi Datuk Amar Juma’ani yang berperanan sebagai platform melaksanakan penyelidikan terperinci mengenai isu berkaitan kepimpinan wanita daripada Kementerian Pembangunan Wanita Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) kepada Swinburne University of Sarawak, selain penyampaian tawaran biasiswa Master of Arts in Leadership Development kepada tiga penerima tajaan Yayasan Sarawak, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan modal insan dan melahirkan lebih ramai pemimpin berkualiti di Sarawak.
Turut menghadiri majlis tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri KPWK, Dato Sri Fatimah Abdullah, anak Premier Dayang Norjihan dan jemputan lain. –PENERANGAN-
– TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Cassidy Lisut (BKVS)
KUCHING, 2 Ogos - Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 5.15 petang hari ini bagi mengadakan lawatan kerja rasmi sempena Mesyuarat Jawatankuasa Induk dan Lawatan Tapak Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 Bilangan 1/2026.
Lawatan kerja tersebut merupakan sebahagian daripada persediaan awal menjelang Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 16 September depan.
Ketibaan beliau bersama delegasi disambut oleh Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak, Sabri Said, Pengarah RTM Sarawak, Wan Wizana Hashim serta Pengarah Kanan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Pejabat Wilayah Sarawak, Adiman Ajem.
Sepanjang lawatan kerja tersebut, Datuk Abdul Halim dijadual menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk serta mengadakan lawatan tapak di BCCK bagi meneliti aspek kesiapsiagaan dan penyelarasan penganjuran sambutan melibatkan kementerian, agensi persekutuan dan kerajaan negeri.
Mesyuarat dan lawatan tapak berkenaan menjadi platform penting bagi menyelaras perancangan, memperkukuh kerjasama strategik serta memastikan segala persiapan berjalan lancar ke arah menjayakan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Kuching. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Alya Sukri (BMKK)
Foto : Mohamad Rizal (BKVS)
BAU, 2 Ogos - Seramai 754 penduduk dari kawasan Parlimen P.192 Mas Gading menerima manfaat menerusi Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan SJKC Chung Hua Bau, hari ini.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen P.192 Mas Gading, Mordi Bimol.
Program tersebut memberi peluang kepada peserta yang layak memperoleh Lesen Memandu Kelas B2 selepas berjaya melepasi proses tapisan serta lulus ujian teori dan praktikal yang dikendalikan mengikut prosedur dan piawaian ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia.
Dalam ucapannya, Mordi berkata lesen memandu bukan sekadar memenuhi keperluan undang-undang, malah merupakan satu amanah yang perlu dimanfaatkan secara bertanggungjawab.
Beliau berkata, penerima bantuan perlu menggunakan lesen yang diperoleh untuk tujuan yang bermanfaat seperti pergi bekerja, mengikuti pengajian atau latihan kemahiran, membantu keluarga, membawa ibu bapa mendapatkan rawatan serta mencari rezeki yang halal.
“Jadikan lesen ini sebagai alat untuk membina masa depan yang lebih baik, bukannya punca kepada kemalangan atau penyesalan dan jadilah anak yang membanggakan ibu bapa, anggota masyarakat yang berdisiplin dan sentiasa mengamalkan budi pekerti,” katanya.
Mordi turut mengingatkan semua penerima supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan mengamalkan pemanduan berhemah kerana setiap pengguna jalan raya memikul tanggungjawab menjaga keselamatan diri sendiri serta pengguna lain.
Pada masa sama, beliau menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JPJ agar terus memperkukuh kerjasama dalam meningkatkan penguatkuasaan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, selaras aspirasi kerajaan untuk mengurangkan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang tahun 2030.
Mordi turut menggalakkan golongan belia di Mas Gading memanfaatkan pelbagai inisiatif yang disediakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), termasuk Program Rakan Muda, latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) serta kursus keusahawanan bagi meningkatkan kebolehpasaran dan menjana pendapatan.
Katanya, persatuan belia, kelab sukan dan pertubuhan komuniti juga disaran memanfaatkan sokongan yang disediakan kerajaan bagi memperkasa pembangunan belia dan komuniti setempat.
Selepas majlis penyerahan, Mordi turut melawat pameran yang disertai beberapa agensi bagi meninjau perkhidmatan dan inisiatif yang ditawarkan kepada masyarakat, selain berinteraksi dengan wakil agensi bagi mendapatkan maklum balas berkaitan pelaksanaan program serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 diharap dapat meringankan beban kewangan golongan yang memerlukan di samping melahirkan lebih ramai penunggang motosikal yang berlesen, berdisiplin dan bertanggungjawab, sekali gus menyumbang kepada peningkatan keselamatan jalan raya serta pembangunan sosioekonomi masyarakat di Parlimen P.192 Mas Gading.
Turut hadir mewakili Pengarah JPJ Sarawak ialah Timbalan Pengarah JPJ Sarawak, Mohd Faizal David Jemat, Ketua Bahagian Pelesenan Pemandu JPJ Sarawak, Yusniman Mohamad serta Inspektor Chew Cher Shin yang mewakili Ketua Polis Daerah Bau.-PENERANGAN.
-TAMAT-
Disedia oleh: Loseyeffer Molly (JAPEN Bau)
Foto: Mohamad Ilham (JAPEN Bau)
KUCHING, 2 Ogos - Pengurusan tertinggi Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) tiba di sini sempena lawatan kerja rasmi bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk dan lawatan tapak sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Delegasi diketuai oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Erwin Khairul Ahmad, bersama Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik), Rubaayah Osman.
Rombongan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 8.15 malam dan disambut oleh Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak, Sabri Said, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Komunikasi Visual dan Senireka JAPEN Sarawak, Muhammad Syazwan Abd. Rahman bersama barisan pengurusan JAPEN Sarawak.
Lawatan kerja ini bertujuan menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk serta meninjau lokasi dan membuat penyelarasan awal bagi persiapan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang bakal berlangsung di BCCK.
Delegasi pengurusan tertinggi JAPEN dijangka berlepas pulang ke Kuala Lumpur esok sejurus selesai lawatan kerja rasmi di Kuching.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Alya Sukri (BMKK)
Foto : Mohamad Rizal (BKVS)
KUCHING, 3 Ogos - Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Fahmi Fadzil tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 9.10 pagi hari ini bagi mengadakan lawatan kerja rasmi ke Sarawak.
Lawatan kerja beliau adalah bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk dan Lawatan Tapak Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 sebagai persediaan menjelang sambutan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 16 September ini.
Ketibaan beliau disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Sarawak, Sabri Said, Pengarah RTM Sarawak, Wan Wizana Hashim, Pengarah Kanan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Pejabat Wilayah Sarawak, Adiman Ajem, Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Sarawak, Ajes Tuah serta Pengurus Besar Negeri Telekom Malaysia Berhad (TM) Sarawak, Mohamad Zulkifli Ismuni.
Mesyuarat dan lawatan tapak tersebut bertujuan menyelaras gerak kerja serta meneliti aspek kesiapsiagaan semua agensi terlibat bagi memastikan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 dapat dilaksanakan dengan lancar.
Dato’ Seri Fahmi dijadualkan berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada jam 3.05 petang selepas selesai menghadiri program lawatan kerja berkenaan. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Alya Sukri (BMKK)
Foto : Lance Dunstan (BKVS)
KUCHING, 3 Ogos - Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, menerima tiga kunjungan hormat di Astana Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Kunjungan hormat pertama melibatkan delegasi daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diketuai oleh Rektor UIAM, Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar.
Kunjungan tersebut bertujuan membentangkan cadangan penubuhan kampus cawangan baharu UIAM di Sarawak menerusi pengemukaan Strategic Working Paper: Proposed Framework for the Establishment of the International Islamic University Malaysia (IIUM) Sarawak Campus kepada kerajaan Sarawak.
Cadangan itu selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), khususnya dalam usaha melahirkan modal insan berkemahiran tinggi serta memperkukuh daya saing negeri melalui pembangunan pendidikan tinggi.
Menurut kertas kerja berkenaan, penubuhan kampus tersebut memberi tumpuan kepada tiga teras utama, iaitu mewujudkan kehadiran fizikal UIAM di Sarawak sebagai pusat pembelajaran yang menghubungkan komuniti di Sarawak, Sabah, Brunei dan Kalimantan dengan rangkaian akademik global.
Selain itu, cadangan berkenaan turut menekankan pembangunan sosioekonomi berteraskan nilai Rahmatan lil-’Alamin bagi memperkasa komuniti setempat, di samping memupuk perpaduan dan kesejahteraan masyarakat.
UIAM turut menyasarkan kampus berkenaan sebagai hab serantau strategik bagi melahirkan modal insan yang mampu memenuhi keperluan pembangunan di koridor Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
Turut hadir ialah Ahli Lembaga Gabenor UIAM, Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff, Dekan Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Profesor Dr. Ida Madieha Abdul Ghani, Pengarah Jabatan Perhubungan Alumni UIAM, Ilmyzat Ismail serta rombongan.
Sementara itu, kunjungan hormat kedua disempurnakan oleh Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri, Ambassador Hendy Assan.
Kunjungan tersebut bertujuan memperkenalkan diri kepada Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berikutan pelantikan beliau sebagai Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri pada 22 Julai lalu, menggantikan Ambassador Dato’ Fenny Nuli.
Manakala kunjungan hormat ketiga melibatkan Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Raden Dato’ Mohammad Iman Hascarya Kusumo.
Kunjungan itu diadakan bagi memperkenalkan diri kepada Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar selepas beliau dilantik sebagai Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia pada Januari 2026.
Turut hadir ialah Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Abdullah Zulkifli, Menteri Kaunselor, Kedutaan Besar Republik Indonesia, Jopkie Kurniawan, Naib Konsul, Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Ely Syafitri Handayani, Pegawai Aide-de-Camp (ADC) kepada Duta Besar, Hari Nugraha Sigit serta rombongan.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Mohamad Rizal Matassan (BKVS)
KUCHING, 3 Ogos - Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Fahmi Fadzil selesai mengadakan lawatan kerja rasmi ke Kuching hari ini sebelum berlepas pulang ke ibu negara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 3.05 petang.
Sepanjang lawatan tersebut, beliau menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk dan Lawatan Tapak Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 Bilangan 1/2026 sebagai persediaan menjayakan Sambutan Hari Malaysia yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 16 September depan.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Fahmi Fadzil dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Sambutan Hari Malaysia 2026, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Erwin Khairul Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik) Jabatan Penerangan Malaysia, Rubaayah Osman, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah serta wakil kementerian, jabatan, agensi Persekutuan dan kerajaan Sarawak yang terlibat dalam penganjuran Sambutan Hari Malaysia 2026.
Mesyuarat dan lawatan tapak tersebut bertujuan menyelaras pelbagai aspek pelaksanaan sambutan melibatkan persiapan logistik, protokol, keselamatan, pengurusan acara serta penyelarasan antara kementerian, agensi Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
Selaras dengan penggiliran lokasi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, Sambutan Hari Kebangsaan 2026 akan diadakan di Dataran Putrajaya, manakala Sambutan Hari Malaysia 2026 akan berlangsung di BCCK, Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, tema dan logo rasmi Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 telah dilancarkan pada 26 Jun lalu, manakala lagu rasmi HKHM 2026 berjudul 'Aku Berjanji' nyanyian Faizal Tahir telah dilancarkan pada 19 Julai sebagai usaha menyemarakkan sambutan di seluruh negara.
Turut hadir mengiringi keberangkatan Menteri Komunikasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Sarawak, Sabri Said, Pengarah RTM Sarawak, Wan Wizana Hashim, Pengarah Kanan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Pejabat Wilayah Sarawak, Adiman Ajem, Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Sarawak, Ajes Tuah, Ketua Biro BERNAMA Sarawak, Muhammad Ammar Shafiq Hamzah serta Pengurus Besar Negeri Telekom Malaysia Berhad (TM) Sarawak, Mohamad Zulkifli Ismuni.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Alya Sukri (BMKK)
Foto: Eddie Allan Blanking & Lance Dunstan (BKVS)
BINTULU, 3 Ogos – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg merasmikan 'Congress on Sustainable Agriculture and Food Security 2026' (COSAFS 2026) di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Kongres yang berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Ogos 2026 itu dianjurkan oleh Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) dengan kerjasama Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) serta International Society for Nutraceuticals and Functional Foods (ISNFF), bersempena Sarawak Agrofest 2026.
Menurut Abang Johari, bidang pertanian lebih daripada sekadar menghasilkan makanan untuk Sarawak tetapi juga memastikan keselamatan makanan, menjana kemakmuran ekonomi untuk penduduk luar bandar dan menjaga biodiversiti dan kesejahteraan generasi akan datang.
Katanya lagi, beliau berharap untuk mengubah pertanian kepada industri moden, berasaskan teknologi dan berpendapatan tinggi menerusi antaranya penggunaan AI, automasi dan bioteknologi.
Dalam majlis yang sama, Premier Sarawak turut melancarkan AgriHub, yang merangkumi tiga inisiatif utama iaitu AgriHub@Gedong, AgriHub@Layar dan AgriHub@Marudi.
Inisiatif tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan pertanian pintar, pemerkasaan komuniti, pengkomersialan teknologi serta pembangunan agroindustri setempat sebagai usaha memperkukuh transformasi sektor agromakanan Sarawak.
Majlis turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Putra Malaysia dan SEDC Nutreco Sdn. Bhd. bagi memperkukuh kerjasama strategik antara institusi akademik dan industri dalam bidang penyelidikan, inovasi serta pembangunan sektor agromakanan negara.
AgriHub merupakan platform transformasi pertanian yang mengintegrasikan penyelidikan, inovasi teknologi serta kerjasama strategik antara kerajaan, institusi akademik, industri dan komuniti ke arah memodenkan sektor agromakanan Sarawak.
Bertemakan 'Feeding the Future, Fostering Sustainable Food', COSAFS2026 menjadi platform akademik dan profesional bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan penyelidik, ahli akademik, profesional industri, pembuat dasar, agensi kerajaan serta peserta dari dalam dan luar negara bagi membincangkan isu-isu berkaitan pertanian lestari, keselamatan makanan, inovasi teknologi dan pembangunan agroindustri.
Kongres tersebut menghimpunkan empat persidangan antarabangsa sebagai program utama, iaitu International Scientific Conference on Indigenous Crops (ISCI2026), International Conference on Fisheries and Animal Sciences (FISAS2026), International Conference on Food and Industrial Crops (ICFIC2026) serta 18th Conference and Exhibition of the International Society for Nutraceuticals and Functional Foods (ISNFF2026).
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom serta tetamu kehormat yang lain.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Siti Faridah Ajek (JAPEN Bintulu)
Foto oleh: Jasper Chunggat Kenneth Armold (JAPEN Bintulu)
LUBOK ANTU, 3 Ogos - Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lubok Antu serta Pos Sempadan Nanga Badau, Indonesia, hari ini bagi meninjau operasi dan kemudahan di pintu masuk sempadan Malaysia–Indonesia.
Lawatan tersebut bertujuan mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai pengoperasian pintu sempadan di samping mendengar taklimat daripada agensi-agensi berkaitan mengenai usaha memperkukuh sistem pengangkutan rentas sempadan yang lebih cekap, selamat dan berkesan.
Sepanjang lawatan, Lee telah diberikan taklimat mengenai perkhidmatan bas rentas sempadan yang dikendalikan oleh Biaramas Express Sdn. Bhd. dari Malaysia dan DAMRI dari Indonesia, yang berperanan memudahkan pergerakan penduduk, pelancong serta aktiviti perdagangan antara Sarawak dan Kalimantan.
Selain itu Lee turut mendengar taklimat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mengenai perkembangan projek serta kemudahan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jelukong yang dijangka dapat meningkatkan keselesaan pengguna jalan raya, khususnya mereka yang menggunakan laluan menuju ke pintu sempadan Lubok Antu–Nanga Badau.
Beliau turut meninjau beberapa kemudahan di Kompleks ICQS Lubok Antu bagi memastikan infrastruktur dan perkhidmatan yang disediakan sentiasa berada pada tahap terbaik serta mampu memenuhi keperluan semasa pengguna.
Menurut beliau lagi, jaringan pengangkutan yang efisien merupakan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan sektor pelancongan dan pengukuhan hubungan perdagangan rentas sempadan.
Sehubungan itu, katanya kerjasama erat antara kerajaan, agensi pelaksana dan pengendali perkhidmatan pengangkutan perlu terus diperkasakan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat.
Lawatan kerja tersebut adalah komitmen berterusan Sarawak dalam memperkukuh jaringan pengangkutan dan logistik di kawasan sempadan, selaras dengan agenda pembangunan wilayah serta usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Selain itu, lawatan itu turut menjadi platform perbincangan antara agensi Malaysia dan Indonesia mengenai aspek pengoperasian sempadan, kemudahan awam, pengangkutan rentas sempadan serta potensi pembangunan masa hadapan dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik kedua-dua negara.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Aileen Madeh Nension (JAPEN Lubok Antu)
Foto : Nyempal Inggang (JAPEN Lubok Antu)
LIMBANG, 3 Ogos — Pesta Makan Tahun Kedayan Limbang (PMTKL) 2026 Edisi Ke-10 terus menjadi platform memperkukuh warisan budaya, perpaduan dan identiti masyarakat Kedayan di samping berpotensi dikembangkan sebagai produk pelancongan komuniti yang mampu menjana ekonomi setempat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pesta yang pada asalnya diraikan sebagai tanda kesyukuran selepas musim menuai padi itu kini berkembang menjadi wadah mengeratkan hubungan kekeluargaan, memupuk perpaduan serta memperkukuh jati diri masyarakat Kedayan.
Menurutnya yang diwakili oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr. Ripin Lamat ketika merasmikan PMTKL 2026 Edisi Ke-10 di Kampung Nauran di sini semalam berkata, pesta tersebut telah berkembang menjadi simbol perpaduan, identiti dan kebanggaan masyarakat Kedayan yang terus diwarisi daripada generasi terdahulu.
Katanya, PMTKL perlu terus diperkasakan kerana bukan sahaja menjadi medan meraikan budaya masyarakat Kedayan ianya juga mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan komuniti berasaskan keunikan makanan tradisional, adat resam, seni budaya dan cara hidup masyarakat berkenaan.
“Dengan keunikan makanan tradisional, adat resam, seni budaya serta cara hidup masyarakat Kedayan, Limbang mempunyai potensi untuk menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara,” katanya lagi.
Tambahnya, usaha memelihara dan mempromosikan budaya masyarakat Kedayan secara berterusan mampu membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat khususnya dalam sektor pelancongan, perusahaan kecil dan produk makanan tradisional.
Menurutnya lagi, masyarakat Kedayan merupakan salah satu daripada lebih 40 kumpulan etnik yang membentuk identiti Sarawak manakala bahasa, makanan, pakaian tradisional serta adat resam mereka ialah khazanah yang tidak ternilai dan perlu terus dipelihara.
PMTKL 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 30 Julai hingga semalam menghimpunkan masyarakat Kedayan dari Bahagian Limbang, Lawas, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Negara Brunei Darussalam dalam usaha memperkukuh hubungan silaturahim serta memartabatkan warisan budaya komuniti itu.
Antara pengisian utama sepanjang pesta ialah pertandingan Junjung Kedayan, Kepala Bangis, Kepala Kapo’o, Anugerah Keluarga Contoh, Anugerah Tokoh Sukan, persembahan kebudayaan, pameran adat resam, hidangan makanan warisan dan cabutan bertuah.
Pesta itu turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Persatuan Kedayan Limbang (PKL) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi melaksanakan Kajian Seni dan Budaya Masyarakat Kedayan Limbang sebagai usaha memperkukuh pemeliharaan serta pendokumentasian warisan budaya masyarakat Kedayan.
Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah; Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail; Timbalan Residen Limbang, Maria Rozita Kulai; Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal; Pengerusi Persatuan Kedayan Limbang, Kr Sufian Mohat; serta Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Kadaruddin Aiyub. -PENERANGAN- -TAMAT-
BINTULU, 4 Ogos - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semalam menyempurnakan Majlis Perasmian Anjung Kasih Hospital Bintulu yang menyediakan kemudahan penginapan sementara secara percuma kepada waris pesakit yang mendapatkan rawatan di Hospital Bintulu.
Anjung Kasih tersebut merupakan hasil kerjasama strategik di bawah inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan tajaan penuh berjumlah RM1.9 juta daripada Bintulu Port Holdings Berhad menerusi Yayasan Bintulu Port.
Dalam ucapan perasmiannya, Abang Johari berkata Anjung Kasih Hospital Bintulu melakar sejarah sebagai fasiliti pertama di Malaysia yang menggunakan Anjung Kasih Management System iaitu sistem pengurusan dan pendaftaran digital yang dibangunkan bagi meningkatkan kecekapan operasi serta memudahkan urusan penghuni.
Katanya, penggunaan sistem tersebut merupakan antara langkah ke arah pendigitalan perkhidmatan di samping membolehkan proses pendaftaran dan pengurusan penginapan dilaksanakan secara lebih sistematik dan teratur.
Katanya lagi, sistem berkenaan turut membantu petugas memberi tumpuan kepada aspek kebajikan penghuni dan keluarga pesakit melalui pengurusan yang lebih cekap.
Fasiliti penginapan tersebut dilengkapi dengan 25 bilik termasuk sebuah bilik mesra Orang Kurang Upaya (OKU) yang mampu menampung sehingga 75 penghuni pada satu-satu masa.
Untuk rekod, Anjung Kasih Hospital Bintulu juga merupakan Anjung Kasih pertama di Sarawak yang ditaja sepenuhnya oleh syarikat korporat. Inisiatif tersebut direalisasikan menerusi kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Hospital Bintulu serta Bintulu Port Holdings Berhad.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Dato’ Sri Nancy Shukri, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah serta tetamu kehormat yang lain. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan dan foto oleh: Siti Faridah bt Ajek (JAPEN Bintulu)
KUCHING, 4 Ogos - Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Semakan dan Kajian Pembaharuan Undang-Undang Kontrak di Malaysia (CRRCL) yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Dato' Seri Vazeer Alam Mydin Meera di Astana Negeri Sarawak, semalam.
Kunjungan hormat itu diadakan bersempena Sesi Libat Urus (SLU) Cadangan Pembaharuan Undang-Undang Kontrak di Malaysia Peringkat Zon Sarawak yang menghimpunkan barisan hakim kanan, pakar perundangan, wakil kerajaan serta ahli akademik bagi membincangkan usaha memperkukuh kerangka perundangan kontrak negara agar kekal relevan dengan perkembangan semasa.
Sesi libat urus tersebut bertujuan mendapatkan pandangan dan maklum balas pelbagai pihak berkepentingan mengenai cadangan pembaharuan undang-undang kontrak negara termasuk menilai keberkesanan peruntukan sedia ada agar selaras dengan keperluan semasa, perkembangan ekonomi serta landskap perundangan yang semakin dinamik.
Dalam pertemuan itu, delegasi turut berkongsi perkembangan semasa berkaitan kajian pembaharuan undang-undang kontrak yang sedang dilaksanakan, selain bertukar pandangan mengenai kepentingan mewujudkan kerangka perundangan yang lebih moden, inklusif dan responsif terhadap cabaran semasa.
Sesi Libat Urus Cadangan Pembaharuan Undang-Undang Kontrak di Malaysia Peringkat Zon Sarawak merupakan sebahagian daripada inisiatif BHEUU JPM untuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pemegang taruh di seluruh negara sebagai input kepada usaha memperbaharui undang-undang kontrak Malaysia agar lebih komprehensif, progresif dan memenuhi keperluan semasa.
Turut mengiringi delegasi ialah Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wong Kian Kheong dan Dato' Azizul Azmi Adnan, Presiden Mahkamah Timbang Tara Asia (AIAC) merangkap Mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, Dato' Mary Lim Thiam Suan, selain wakil Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) yang diketuai Pengarah (Dasar), Kevin Geh Kien Meng, bersama Timbalan Pengarah (Dasar), Dr. Suharmi Ismail.
Hadir sama ialah ahli Jawatankuasa Semakan dan Kajian Pembaharuan Undang-Undang Kontrak di Malaysia serta tokoh akademik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Taylor's University, selain pengamal undang-undang kanan negara.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Safik Effendi Kassim (BMKK)
Jurufoto : Khairul Anwar Ali (BKVS)
KUCHING, 4 Ogos – Kuching terus mengukuhkan pengiktirafannya sebagai Bandar Gastronomi UNESCO apabila menjadi tuan rumah Persidangan Tahunan UNESCO Creative Cities Network (UCCN) – Cities of Gastronomy 2026, yang menghimpunkan kira-kira 40 bandar gastronomi dari seluruh dunia bagi memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam memelihara warisan kulinari, merangsang inovasi serta memacu pembangunan bandar yang kreatif dan mampan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata penganjuran persidangan itu membuktikan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap kekayaan warisan gastronomi Sarawak yang berteraskan kepelbagaian budaya, tradisi dan sumber semula jadi.
Katanya, pengiktirafan Kuching sebagai Bandar Gastronomi UNESCO pada tahun 2021 telah mengangkat keunikan makanan tempatan dan mengiktiraf kepelbagaian budaya lebih 30 kumpulan etnik di Sarawak yang terus memelihara tradisi kulinari sebagai warisan bernilai tinggi.
"Setiap resipi menyimpan sebuah cerita, setiap bahan mencerminkan persekitaran asalnya, setiap masakan membawa kebijaksanaan yang terkumpul serta identiti budaya turun-temurun," katanya ketika menyempurnakan majlis pelancaran persidangan itu di salah sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.
Tambahnya, pembangunan gastronomi juga mampu mewujudkan peluang ekonomi kepada komuniti tempatan, memperkasa perusahaan kecil dan sederhana, di samping memastikan warisan makanan, pengetahuan tradisional serta penggunaan sumber tempatan terus dipelihara termasuk menghubungkan sektor strategik berkaitan rantaian ekonomi yang melibatkan petani, nelayan, pengusaha makanan, usahawan, penyelidik, ahli akademik, penggiat industri kreatif serta sektor pelancongan.
Mengulas tema persidangan, "Heritage Inspires, Future Creates: Gastronomy as a Catalyst for Creative and Sustainable Cities", Abang Johari berkata, warisan budaya perlu terus diperkasakan melalui inovasi tanpa menjejaskan keaslian yang menjadi identiti sesebuah masyarakat.
Sementara itu, Koordinator Kluster Gastronomy Rangkaian Bandar Kreatif Unesco (UCCN) Claudio Cecchinelli berkata, persidangan berkenaan menjadi platform penting untuk memperkukuh jaringan kerjasama antara bandar gastronomi dunia melalui perkongsian pengalaman, amalan terbaik dan idea inovatif dalam memanfaatkan gastronomi sebagai pemacu pembangunan bandar.
Majlis turut menyaksikan pelancaran buku The Travelling Wok: Culinary Passage Between Chaozhou & Kuching yang mengetengahkan hubungan sejarah dan pertukaran budaya kulinari antara Chaozhou dan Kuching.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr. Penguang Manggil, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara, Dato Hilmy Othman, ketua-ketua jabatan serta tetamu kehormat lain. -PENERANGAN-
- TAMAT -
Disediakan oleh: Mohamad Munir (BMKK)
Foto: Cassidy Lisut (BKVS)
KUCHING, 5 Ogos - Sarawak terus memacu langkah menjadi pelopor teknologi angkasa dan telekomunikasi demi memperkasakan ekonomi digital wilayah ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pegangan data strategik dan pembangunan modal insan tempatan menjadi kunci utama kepada kemajuan pesat tanah air.
"Menjelang 2030, kita mensasarkan keterlibatan dengan aeroangkasa dan melancarkan satelit sendiri di angkasa lepas, milik Sarawak.
"Jika kita boleh mengawal mineral atau sumber lain di bawah tanah, kita juga harus mengawal ruang di atas tanah dan data sangat penting untuk kita bergerak ke hadapan dan kerajaan Sarawak merancang untuk membangunkan Kampus Data Kecerdasan Buatan (AI) di Tanjung Embang," ujarnya.
Terdahulu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi memperincikan bahawa Program Pemodenan Rangkaian bernilai RM185 juta yang bermula pada November 2025 dijangka siap sepenuhnya menjelang 2027 bagi meningkatkan kapasiti keseluruhan rangkaian daripada 1.6 terabit sesaat kepada 7.2 terabit sesaat.
Langkah pemodenan dan pengiktirafan itu selari dengan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) bagi memastikan tiada komuniti yang terpinggir daripada arus pemodenan.
Selain itu, fokus utama turut diberikan kepada penguasaan teknologi hab data serta cip semikonduktor termaju seperti Gallium Nitride (GaN) dalam melonjakkan daya saing Sarawak di peringkat antarabangsa.
Sarawak juga turut menyediakan pendidikan percuma kepada anak-anak Sarawak bagi melahirkan tenaga pakar tempatan dalam bidang teknologi aeroangkasa dan kecerdasan buatan (AI).
Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Liwan Lagang, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Peguam Besar Negeri Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SACOFA Syamsul Kahar serta tetamu kehormat lain.-PENERANGAN- -TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Bolhan Haji Basah (BKVS)
KUCHING, 6 Ogos – Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Sarawak (PJPS) kepada 301 penerima yang terdiri daripada pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai tanda penghargaan atas jasa serta pengorbanan mereka dalam mempertahankan keamanan, kedaulatan dan kesejahteraan negara.
Mendahului senarai penerima, Dato' Idris Buang yang pernah memegang jawatan sebagai Inspektor Polis dari tahun 1973 sehingga 1979 diikuti mantan Panglima Angkatan Tentera Malaysia ke-21, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Affendi Buang (Bersara).
Turut menerima anugerah sama ialah mantan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Sri Mohd Jamil Johari, selain Dato' Mohd Chee Kadir yang merupakan bekas pegawai polis, pesara Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato' Nyomek Nyeap, selain 296 penerima lain yang turut menerima pengiktirafan atas khidmat bakti mereka sepanjang berkhidmat dalam pasukan keselamatan negara.
Turut hadir ialah Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee; Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr. Penguang Manggil dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datu Felicia Tan Ya Hua. – PENERANGAN –
-TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Jurufoto: Lance Dunstan/ Khairul Anwar Ali (BKVS)
KUCHING, 6 Ogos – Pembudayaan integriti yang utuh dan adaptasi teknologi moden kini menjadi teras utama dalam memacu transformasi industri pembinaan di Sarawak, sejajar dengan objektif Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, integriti dan ketelusan bukan sahaja bertindak sebagai perisai bagi mencegah ketirisan, malah ia adalah satu kelebihan strategik untuk menarik keyakinan pelabur antarabangsa.
Menurut beliau, para pelabur global pada masa kini tidak lagi sekadar menilai penyediaan kemudahan fizikal semata-mata, sebaliknya melihat secara mendalam kepada kekuatan institusi, kestabilan dasar serta tahap integriti sesebuah destinasi pelaburan.
"Pembangunan modal insan perlu dilatih agar tidak berlakunya pembaziran dalam proses pembangunan dan ini menuntut tahap kebertanggungjawaban yang tinggi.
"Oleh sebab itu, Sarawak akan terus memperkukuh budaya tadbir urus yang baik kerana integriti ini merupakan satu kelebihan strategik dalam ekonomi global," katanya ketika berucap menyempurnakan Hari Integriti & Kecemerlangan Industri Pembinaan Sarawak (IECONS) 2026 di Pusat Konvensyen CIDB Sarawak, petang ini.
Menyentuh mengenai pengurusan projek, Abang Johari berkata adaptasi inovasi digital seperti Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) membolehkan pengiraan kos dilakukan dengan terperinci yang sekali gus memastikan projek dapat disiapkan mengikut bajet walaupun industri berdepan cabaran harga bahan mentah dan mata wang yang turut boleh diatasi menggunakan pendekatan kewangan seperti lindung nilai.
Bagi memantapkan jentera pentadbiran awam, Premier Sarawak menegaskan Sarawak meletakkan penekanan serius terhadap penemuan laporan audit dan telah menempatkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pelbagai agensi kerajaan.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya Malaysia, Dato Sri Alexander Nanta Linggi dalam ucapannya berkata kejayaan sesuatu projek pembinaan tidak wajar diukur berdasarkan kelajuan pelaksanaannya semata-mata.
Sebaliknya, beliau menjelaskan projek yang berjaya perlu disiapkan mengikut jadual dan kos yang ditetapkan, memenuhi spesifikasi serta memberikan nilai terbaik kepada rakyat.
"Dalam konteks agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), tadbir urus merupakan asas yang menyokong usaha melindungi alam sekitar, menjaga kesejahteraan sosial dan memastikan pembangunan mampan.
"Kementerian Kerja Raya kekal komited memperkukuh budaya integriti selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 melalui pemantapan pelaksanaan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS), pengukuhan Unit Integriti, serta pelaksanaan Polisi Tiada Hadiah," jelasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa integriti adalah tanggungjawab bersama seluruh rantaian nilai industri termasuk pegawai perolehan, perunding, pembekal dan penyelia projek dengan tumpuan harus dihalakan kepada pengukuhan sistem bagi menutup ruang salah laku, dan bukan sekadar bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata.
IECONS 2026 yang bertemakan 'Memperkasa Integriti, Mentransformasi Industri Pembinaan' telah berjaya menghimpunkan seramai 912 peserta terdiri daripada wakil kerajaan, badan kawal selia, pemain industri serta institusi akademik.
Turut hadir ialah Pengerusi CIDB Malaysia, Dato Ir. Yusuf Abd. Wahab, Pengarah SPRM Sarawak, Dato Hasbilah Mohamad Salleh dan Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Ahmad Farrin Mokhtar.
-PENERANGAN-
– TAMAT –
Disediakan oleh : Safik Effendi Kassim (BMKK)
Jurufoto : Eddie Alan Blanking (BKVS)
MIRI, 7 Ogos - Sarawak terus memperkukuh agenda keselamatan makanan negeri menerusi pembangunan industri padi apabila projek perintis penanaman padi varieti perennial di Kuala Baram membuktikan kejayaan teknologi pertanian baharu yang berpotensi meningkatkan pengeluaran beras secara mampan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kejayaan projek tersebut merupakan hasil penyelidikan Universiti Yunnan, China dengan kerjasama Borneoland Paddy Sdn. Bhd. yang berjaya membangunkan teknologi membolehkan pokok padi terus hidup dan mengeluarkan hasil semula selepas dituai tanpa perlu ditanam semula.
Katanya, teknologi itu merupakan satu pencapaian penting dalam usaha meningkatkan produktiviti sektor padi kerana tanaman tersebut mampu menghasilkan sehingga dua musim tuaian setahun dan berpotensi melebihi jumlah itu pada masa hadapan.
“Selepas dituai, pokok padi akan tumbuh semula dan ketika ini mampu mengeluarkan hasil dua musim setahun, malah berpotensi melebihi dua musim setahun dengan purata pengeluaran tahunan sebanyak 14.5 tan metrik sehektar,” katanya ketika berucap pada Majlis Penuaian Projek Penanaman Padi Varieti Perennial di Kuala Baram, semalam.
Tambahnya, projek perintis berkenaan turut membuktikan tanaman padi tersebut boleh dituai dalam tempoh kira-kira tiga bulan sebelum mengeluarkan hasil semula selepas penuaian, sekali gus menjadikannya teknologi pertama seumpamanya di Malaysia dan rantau ini.
Abang Johari turut berkata, penggunaan teknologi tersebut diyakini mampu meningkatkan pengeluaran padi khususnya di kawasan tanah paya dan tanah gambut, sekali gus membantu Sarawak mencapai tahap sara diri beras 100 peratus.
Menurutnya lagi, sasaran itu akan mengurangkan kebergantungan kepada import sebanyak kira-kira 240,000 tan beras setahun dan berpotensi membolehkan negeri mengeksport lebihan pengeluaran sekiranya hasil tempatan mencecah 300,000 tan setahun.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah syarikat induk sebagai pembeli utama hasil padi pekebun kecil bagi memastikan pembangunan industri padi terus berkembang secara mampan.
Beberapa kawasan dikenal pasti sebagai hab pengeluaran padi masa hadapan, antaranya Lembah Limbang, Lawas, Spaoh, Lingga, Gedong, Simunjan dan Lundu.
Dalam usaha memperkukuh penyelidikan dan pembangunan industri padi, Borneoland Paddy akan bekerjasama dengan Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak menerusi Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) untuk menubuhkan pusat penyelidikan padi seluas 24 ekar yang akan diperluaskan kepada 50 ekar bagi menjalankan penyelidikan terhadap pelbagai varieti padi.
Turut hadir Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri Pengangkutan Sarawak, Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengurus Besar Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), Zaidi Mahdi.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan / Foto : Geoffery George Sultan
KUCHING, 7 Ogos – Surau Al-Ikhlas, Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak telah menganjurkan Majlis Bacaan Yaasin dan Tahlil.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh Pengarah JAPEN Sarawak, Sabri Said, Timbalan Pengarah JAPEN Sarawak, Sri Kestury Mohammed Zamahari, kakitangan JAPEN Sarawak serta kariah Surau Al-Ikhlas di Kantin JAPEN Sarawak, hari ini.
Majlis tersebut diadakan bagi mendoakan ahli keluarga pegawai dan kakitangan JAPEN Sarawak serta Allahyarham Dato Mohd Sukari Ab. Hamid, mantan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yaasin dan diteruskan dengan bacaan tahlil yang dipimpin oleh Pengarah JAPEN Sarawak sebelum diakhiri dengan bacaan doa.
Penganjuran majlis itu bertujuan menyemarakkan penghayatan nilai-nilai kerohanian di samping memperkukuh ukhuwah, memupuk semangat kebersamaan serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga JAPEN Sarawak.
Program anjuran Jawatankuasa Surau Al-Ikhlas JAPEN Sarawak itu turut mencerminkan komitmen jabatan dalam membudayakan aktiviti kerohanian sebagai sebahagian daripada usaha melahirkan warga kerja yang seimbang dari aspek profesionalisme, sahsiah dan nilai murni.
Majlis seumpama ini diharapkan dapat diteruskan secara berkala sebagai platform memperkukuh silaturahim, menyemarakkan amalan keagamaan serta memupuk budaya kerja yang harmoni dalam kalangan warga JAPEN Sarawak. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Soprin Mairat (BMKK)
Foto : Khairul Anwar Ali (BKVS)
SARIKEI, 7 Ogos – Seramai 163 penjawat awam daripada 17 jabatan dan agensi kerajaan menerima Pingat Perkhidmatan Setia Bahagian Sarikei sebagai pengiktirafan terhadap jasa, komitmen dan dedikasi mereka sepanjang berkhidmat dalam sektor perkhidmatan awam.
Majlis Penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia Bahagian Sarikei yang berlangsung di Dewan Majlis, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak petang tadi telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Majlis berkenaan merupakan siri keenam penganjurannya bagi tahun 2026 melibatkan penerima daripada 11 jabatan dan agensi Kerajaan Sarawak serta enam jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan.
Penerima terdiri daripada Pejabat Residen Bahagian Sarikei (14), Jabatan Hutan Sarawak (13), Jabatan Kerja Raya Sarawak (4), Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (18), Jabatan Pertanian Sarawak (10), Jabatan Agama Islam Sarawak (1), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (2), Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (2), Majlis Daerah Sarikei (15), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (12), Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (3), Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sarawak (2), Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak (7), Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Sarawak (2), Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak (6), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (24) serta Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (28).
Antara penerima daripada Pejabat Residen Bahagian Sarikei ialah Shafrie Saili, Minggu Jampong, Dana Ungki dan Keli Mareng.
Jabatan Hutan Sarawak pula diwakili Awang Fadzillah Awang Sallam, Bin Umal dan Jawa Majit, manakala Jabatan Kerja Raya Sarawak melibatkan Lim Yew Leong, Abol Madeli dan Zamiah Ahmad.
Bagi Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, antara penerima ialah Awan Amal, Abdul Azziss Abdul Kadir dan Abang Yusof Abang Halil. Jabatan Pertanian Sarawak pula diwakili Philip Sanjan, Emparie Randi dan Bajai Entilli.
Jabatan Agama Islam Sarawak diwakili Ahmad Amir @ Anthony Abang, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak oleh Matthew Jeffridin dan Juing Benang, manakala Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak melibatkan Haladin Shapie dan Raduan Baram.
Bagi Majlis Daerah Sarikei, antara penerima ialah Lim Su Koon, Daud Ali dan Awangku Abdul Salam Pengiran Bakar.
Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak pula diwakili Manaffery Madhan, Wilfred Johnny Temaga dan Damian Anthony Jinal, manakala Lembaga Sungai-Sungai Sarawak melibatkan Abdul Rahman Bolhi, Ahmadi Mohamed Jamil dan Nurain Law Abdullah.
Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sarawak diwakili Shahakamarullah Abdul Rahman dan Sazeli Buhan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak pula diwakili Fariddy Madhie, Hamdin Ramain dan Mohamad Fadlizatul Kaderi, manakala Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Sarawak melibatkan Abdul Latip Osen dan Mostapa Yusuf.
Bagi Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak, antara penerima ialah Langie Dow, Nyelang Bilon dan Henry Sunang Nelison.
Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak pula diwakili Abang Ahmad Ronnie Abang Noh, Wilfred John Mujang dan Simpang Najong, manakala Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak melibatkan Sunang Nyawai, Takai @Udding Giman dan Asas Ranyau.
Kesemua penerima diiktiraf atas khidmat bakti cemerlang mereka sepanjang tempoh perkhidmatan antara 20 hingga 40 tahun dalam sektor awam.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-timbalan Menteri, Residen Bahagian Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong serta ketua-ketua jabatan. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Magdellina Alfred Jeho (JAPEN Sarikei)
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)
SARIKEI, 8 Ogos - Ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat, khususnya dalam memastikan dasar, inisiatif serta agenda pembangunan kerajaan difahami dan disampaikan dengan tepat kepada masyarakat di peringkat akar umbi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kefahaman yang baik dalam kalangan KMKK terhadap dasar kerajaan mampu memperkukuh hubungan antara pemimpin masyarakat, rakyat dan pentadbiran.
“Jika ketua masyarakat memahami dasar yang diperkenalkan, maka hubungan antara rakyat dengan pemimpin serta pentadbiran akan menjadi lebih erat dan tersusun,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam bersama KMKK Bahagian Sarikei di Dewan Sentral Sarikei, malam tadi, bersempena Program Sarawakku Sayang Bahagian Sarikei.
Menurut beliau, KMKK turut berperanan sebagai mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan maklum balas, pandangan serta keperluan masyarakat kepada pihak pentadbiran.
Katanya, peranan tersebut penting bagi memastikan penyampaian maklumat mengenai dasar dan inisiatif kerajaan dapat dilaksanakan secara berkesan serta sampai kepada masyarakat di peringkat akar umbi.
Sehubungan itu, Abang Johari menyeru KMKK supaya terus memainkan peranan aktif dalam menyampaikan maklumat berkaitan dasar kerajaan kepada masyarakat di samping membimbing dan menggalakkan generasi muda memanfaatkan peluang pendidikan serta kemajuan teknologi yang tersedia.
Beliau Juga turut menekankan kepentingan generasi muda menguasai teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI), sebagai persediaan menghadapi keperluan dan cabaran masa hadapan.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii serta tetamu jemputan lain.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Magdellina Alfred Jeho (JAPEN Sarikei)
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)
KUCHING, 8 Ogos — Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak memperkukuh kerjasama strategik dengan organisasi media menerusi Program Singgah Media sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, yang dimulakan dengan kunjungan ke TVS, hari ini.
Program berkenaan turut menyaksikan Pengarah JAPEN Sarawak, Sabri Said menyerahkan kit Jalur Gemilang kepada pihak TVS sebagai simbolik galakan kepada organisasi media untuk bersama-sama menyemarakkan kempen Kibar Jalur Gemilang, khususnya menerusi kempen ‘1 Rumah, 1 Jalur Gemilang’.
Menurut Sabri, kerjasama erat dengan organisasi media amat penting dalam memperluas penyampaian mesej patriotisme serta menggalakkan masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing.
“Program Singgah Media ini dilaksanakan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
“Hari ini kita singgah di TVS untuk menyerahkan kit Jalur Gemilang sebagai simbolik dan galakan kepada pihak media untuk turut sama melaksanakan kempen '1 Rumah, 1 Jalur Gemilang',” katanya.
Tambahnya, penglibatan media mampu merancakkan kempen berkenaan menerusi pelbagai platform penyiaran dan media sosial, sekali gus memastikan mesej patriotisme dapat disampaikan kepada khalayak secara lebih meluas dan berkesan.
“Bermula di sini, kita akan meneruskan beberapa siri Singgah Media ke beberapa agensi media yang lain bagi memastikan kempen ini terus mendapat sokongan dan penglibatan pelbagai pihak,” katanya.
Kempen ‘1 Rumah, 1 Jalur Gemilang’ digerakkan susulan majlis peluncuran kempen pada 19 Julai lalu di Ipoh, Perak dan susulan itu, JAPEN Sarawak mempergiat pelbagai aktiviti di lapangan menerusi 33 pejabat JAPEN di seluruh daerah selain memanfaatkan platform media sosial.
Sabri turut berharap agar usaha berkenaan mendapat sokongan masyarakat dengan lebih ramai rakyat Sarawak mengibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing sebagai tanda kecintaan terhadap negara.
Terdahulu, rombongan JAPEN Sarawak yang diketuai Sabri disambut pihak pengurusan TVS, Ketua Saluran dan Trafik TVS, Mohd Aizal Ibrahim, serta Pemangku Ketua Pemasaran dan Komunikasi TVS, Iszarul Japar yang kemudiannya dibawa meninjau operasi penyiaran TVS dan diberi penerangan mengenai pengurusan studio serta bilik kawalan, selain melihat dengan lebih dekat proses kerja dan operasi organisasi penyiaran berkenaan.
Program Singgah Media dijangka diteruskan ke beberapa organisasi media lain sebagai usaha memperkukuh jaringan strategik JAPEN bersama pengamal media dalam menyampaikan mesej kemerdekaan, patriotisme dan semangat cintakan negara kepada masyarakat.
Turut hadir semasa program ialah Timbalan Pengarah JAPEN Sarawak, Sri Kestury Mohammed Zamhari, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Dr. Nicholas Balawing Ibas dan KPP Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Hairol Hisham Hamdan. -PENERANGAN-
–TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Lance Dunstan (BKVS)
KUCHING, 8 Ogos - Program JIWA@Komuniti sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 menjadi platform untuk memupuk semangat patriotisme serta kecintaan terhadap negara dalam kalangan masyarakat seawal usia kanak-kanak.
Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak, Sabri Said berkata, penglibatan kanak-kanak dalam aktiviti kenegaraan penting bagi melahirkan generasi yang memahami makna kedaulatan, perpaduan dan kesetiaan kepada negara.
Menurut beliau, program yang dilaksanakan dengan kerjasama Taska Adinda itu merupakan program pertama anjuran JAPEN Sarawak sempena HKHM 2026.
“Pemilihan Taska Adinda bertepatan dengan sambutan Hari Taska Kebangsaan pada 8 Ogos dan menjadi satu usaha untuk memberi motivasi kepada masyarakat supaya bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbol kesetiaan kepada negara,” katanya ketika berucap pada Program JIWA@Komuniti HKHM 2026 dan Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang bersama Taska Adinda di Taman Sahabat, di sini, hari ini.
Katanya lagi, Jalur Gemilang bukan sekadar sebuah bendera, sebaliknya merupakan lambang kedaulatan, perpaduan dan kesetiaan rakyat kepada negara tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
“Walaupun usaha mengibarkan Jalur Gemilang dilihat kecil, tindakan itu mencerminkan kesetiaan dan kecintaan kita kepada negara tempat kita dilahirkan, dibesarkan serta menikmati keamanan dan kemakmuran,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat agar terus memelihara keamanan, perpaduan dan sikap saling menghormati antara satu sama lain bagi memastikan kesejahteraan negara dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
Menurutnya, tema HKHM 2026, Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati, menggambarkan bahawa keamanan, kestabilan politik dan kekuatan ekonomi merupakan asas kepada kesejahteraan yang dinikmati rakyat pada hari ini.
Dalam pada itu, Sabri menyeru individu dan komuniti yang mempunyai Jalur Gemilang yang telah lusuh atau rosak supaya menggantikannya dengan bendera baharu.
“Tindakan menggantikan Jalur Gemilang yang lusuh mencerminkan tekad dan keazaman kita untuk terus memelihara perpaduan, keamanan serta keharmonian negara.
“Pastikan Jalur Gemilang sentiasa berkibar dalam keadaan kemas sebagai lambang tanggungjawab dan kecintaan kita kepada tanah air,” katanya ketika ditemui media selepas program JIWA@Komuniti HKHM 2026.
Program berkenaan diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk perarakan dan mengibarkan Jalur Gemilang, pertandingan mewarna bertemakan Hari Kebangsaan, nyanyian lagu-lagu patriotik serta aktiviti mewarna Jalur Gemilang bersama ibu bapa.
Seramai 50 kanak-kanak Taska Adinda menyertai program tersebut, manakala jumlah keseluruhan penyertaan termasuk ibu bapa dan komuniti setempat melebihi 100 orang.
Kata Sabri lagi, walaupun program berkenaan dilaksanakan dalam skala kecil, semangat yang ditunjukkan oleh para peserta diharapkan dapat diperluaskan kepada seluruh masyarakat.
Sabri menjelaskan, program-program berteraskan kenegaraan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia merupakan antara program utama JAPEN yang dilaksanakan setiap tahun bersama komuniti bagi menyemarakkan semangat patriotisme.
Beliau turut berharap pihak media dapat memainkan peranan dalam memperluas penyampaian maklumat dan menggalakkan masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing sepanjang Bulan Kebangsaan hingga sambutan Hari Malaysia.
JAPEN Sarawak juga akan meneruskan siri Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang melalui program bersama komuniti serta hebahan menerusi unit bergerak Info On Wheels (IOW).
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Alya Sukri (BMKK)
Foto : Eddie Allan Blanking (BKVS)
KUCHING, 8 Ogos - Pengamal media diseru untuk turut menyokong menyemarakkan Kempen ‘1 Rumah 1 Jalur Gemilang’ menerusi Program Singgah Media.
Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak, Sabri Said berkata, penglibatan agensi media amat penting dalam memperluas penyampaian mesej kenegaraan dan menyemai semangat patriotisme kepada masyarakat menerusi pelbagai platform.
Menurut beliau, kerjasama strategik bersama organisasi media dapat membantu memastikan mesej kenegaraan disampaikan secara berkesan.
“Setiap agensi media mempunyai kekuatan dan pendekatan tersendiri dalam menyampaikan maklumat, justeru kita berharap mesej kenegaraan dan penyemaian semangat patriotisme dapat diperluaskan melalui platform masing-masing,” katanya ketika mengadakan kunjungan ke pejabat DayakDaily yang telah disambut Ketua Editor DayakDaily, Karen Bong.
Dalam kunjungan tersebut, Sabri menyerahkan Kit Jalur Gemilang kepada pihak pengurusan dan warga kerja DayakDaily sebagai simbolik sokongan terhadap Kempen ‘1 Rumah 1 Jalur Gemilang’.
Beliau turut menyeru pihak media menggalakkan masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, premis perniagaan dan pejabat sebagai tanda penghargaan terhadap perjuangan kemerdekaan serta lambang kecintaan kepada negara.
Program Singgah Media merupakan inisiatif JAPEN untuk mendekati organisasi media sebagai rakan strategik dalam menyokong penyampaian maklumat kerajaan dan mesej kenegaraan, khususnya sempena HKHM 2026.
Sebelum ini, program sama turut diadakan di TVS dan akan diteruskan ke beberapa agensi media lain di Sarawak sebagai usaha memperkukuh jaringan kerjasama serta memperluas capaian mesej patriotisme kepada masyarakat.
Turut hadir Timbalan Pengarah Penerangan Malaysia Sarawak, Sri Kestury Mohammed Zamhari, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Dr. Nicholas Balawing Ibas serta Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Hairol Hisham Hamdan.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Safik Effendi Kassim (BMKK)
Jurufoto: Eddie Alan Blanking (BKVS)
LUNDU, 8 Ogos – Semangat patriotisme, pendidikan dan kesedaran digital perlu terus diperkasa dalam kalangan generasi muda bagi membentuk generasi berilmu, berintegriti, berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata generasi muda merupakan aset dan harapan masa depan negara yang perlu mengisi kemerdekaan dengan ilmu, perpaduan serta nilai murni.
“Anak-anak pelajar ialah aset dan harapan masa depan negara, justeru manfaatkan peluang pendidikan dengan sebaik-baiknya dan jadilah generasi yang cemerlang dalam akademik, berakhlak mulia, berdisiplin serta memiliki jati diri yang kukuh,” katanya ketika merasmikan Festival Semarak Merdeka sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 di Dewan Sri Gading, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lundu, di sini, hari ini.
Beliau turut menyeru golongan pelajar supaya menjadi pengguna digital yang bijak dan bertanggungjawab dengan mengamalkan budaya 'Semak Sebelum Kongsi', melindungi maklumat peribadi serta memastikan kesahihan maklumat sebelum dikongsi.
Azizul turut menyampaikan 20 unit kalkulator saintifik kepada SMK Lundu sebagai sokongan terhadap kecemerlangan akademik khususnya dalam mata pelajaran Matematik dan Sains.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Lundu, Aishah Latip berkata festival berkenaan menjadi platform Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) mendekati generasi muda melalui pendekatan santai, interaktif dan berinformasi di samping menyemai kesedaran mengenai tanggungjawab mengisi kemerdekaan.
Menurut beliau, kemerdekaan perlu difahami sebagai amanah yang lahir daripada perjuangan dan pengorbanan generasi terdahulu, manakala JAPEN terus berperanan sebagai jambatan penghubung antara kerajaan dengan rakyat melalui penyampaian maklumat yang tepat dan sahih serta usaha memperkukuh semangat patriotisme dan perpaduan.
“JAPEN terus berperanan sebagai jambatan penghubung antara kerajaan dengan rakyat melalui penyampaian maklumat yang tepat dan sahih di samping menyemai patriotisme serta memperkukuh perpaduan,” katanya.
Festival tersebut turut menampilkan ceramah kenegaraan oleh Akademi Kenegaraan Malaysia, ceramah Bahaya Dadah dalam Kalangan Pelajar Sekolah oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu serta ceramah kerjaya oleh Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Lundu.
Para pelajar turut disajikan persembahan artis PENTARAMA yang mengetengahkan konsep hiburan berinformasi sebagai pendekatan kreatif dalam menyampaikan mesej kenegaraan dan kesedaran sosial kepada golongan muda, sekali gus menjadikan festival berkenaan wadah menyemarakkan semangat Merdeka, memperkukuh jati diri serta menyuburkan kecintaan terhadap negara.
Turut hadir Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail; Penolong Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Mohd Fikri Che Nordin; Pengetua SMK Lundu, Azizan Madehi serta ketua-ketua jabatan, ketua-ketua masyarakat dan ketua-ketua kaum daerah Lundu. -PENERANGAN- -TAMAT-
Disediakan oleh: Aishah Latip (JAPEN Lundu)
Foto oleh: Indah Putra / Raymond (JAPEN Lundu)
SARIKEI, 8 Ogos - Lebih 30,000 pengunjung membanjiri Kompleks Sukan Sarikei pagi tadi bagi menghadiri Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang Bahagian Sarikei, yang merupakan destinasi keenam siri Jelajah Sarawakku Sayang.
Majlis tersebut disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dengan dihadiri barisan kepimpinan negeri, ketua-ketua jabatan serta masyarakat setempat.
Dalam ucapannya, Abang Johari menekankan kepentingan pembangunan modal insan yang selari dengan perkembangan teknologi dan keperluan ekonomi masa hadapan, khususnya dalam bidang kejuruteraan.
Menurut beliau, Sarawak memerlukan jurutera generasi baharu yang bukan sahaja memiliki asas ilmu kejuruteraan yang kukuh, malah menguasai pengetahuan dan kemahiran digital bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri yang semakin pesat dan kompleks.
Katanya, penguasaan kaedah serta teknologi digital dalam kalangan jurutera penting bagi meningkatkan kecekapan, produktiviti dan kualiti pelaksanaan projek pembangunan, selain memperkukuh daya saing Sarawak dalam ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi.
Katanya lagi, pembangunan ekonomi perlu terus diperkasa agar Sarawak mampu mencapai tahap daya saing yang setanding dengan negara-negara maju, sekali gus meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat.
Pada majlis sama, Premier turut menyampaikan beberapa inisiatif Kerajaan Sarawak kepada penerima yang layak, termasuk Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) kepada 10 penerima yang terdiri daripada warga emas, isi rumah dan golongan bujang.
Dalam bidang pendidikan pula, seramai 10 penerima menerima manfaat menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES), manakala enam penerima menerima bantuan daripada Yayasan Sarawak International Secondary School (YSISS).
Turut hadir Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian,
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu kehormat lain.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Magdellina Alfred Jeho
(JAPEN Sarikei)
Foto: Ziaulkhumaini Othman
(JAPEN Sarikei)
KUCHING, 9 Ogos - Program Ekspresi Jalur Gemilang JAPEN@PETRONAS di PETRONAS Metrocity, di sini, hari ini menjadi antara inisiatif Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak dalam menyemarakkan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.
Program anjuran Kementerian Komunikasi menerusi JAPEN dengan kerjasama PETRONAS itu dilaksanakan secara serentak di 15 stesen PETRONAS terpilih di seluruh negara, termasuk PETRONAS Metrocity di sini.
Menerusi program tersebut, sebanyak 200 pelekat 'magnet' Jalur Gemilang disediakan untuk diedarkan dan ditampal secara percuma kepada pelanggan PETRONAS Metrocity yang hadir sebagai galakan kepada masyarakat untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kebangsaan.
Pengarah JAPEN Sarawak, Sabri Said, berkata program berkenaan memberi peluang kepada JAPEN dan PETRONAS untuk mendekati masyarakat secara langsung menerusi pendekatan yang lebih santai dan dekat dengan komuniti.
“Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak bersama PETRONAS Metrocity telah mengadakan satu program iaitu Ekspresi Jalur Gemilang JAPEN@PETRONAS untuk menyemarakkan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia,” katanya ketika ditemui media pada program tersebut.
Beliau berkata pengedaran pelekat 'magnet' Jalur Gemilang itu merupakan salah satu kaedah JAPEN dalam menggalakkan orang ramai mengambil bahagian secara langsung dalam kempen berkenaan.
“Ini adalah sebahagian daripada kaedah untuk kita menggalakkan orang ramai untuk mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya.
Menurut siaran media JAPEN, sebanyak 200 kenderaan terawal di setiap stesen PETRONAS yang terlibat menerima pelekat 'magnet' Jalur Gemilang yang ditampal secara percuma dengan inisiatif tersebut bertujuan menggalakkan rakyat mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang semangat patriotik, perpaduan dan cinta akan negara.
Program berkenaan turut mencerminkan kerjasama erat antara sektor awam dan korporat dalam menyokong agenda kenegaraan di samping memperluas penyampaian mesej patriotisme dan semangat cintakan negara kepada masyarakat.
Pada program tersebut, Sabri turut menyerahkan kit Jalur Gemilang kepada wakil PETRONAS, Ketua Jualan Runcit Wilayah Sabah dan Sarawak, Jennifer Ang, sebagai simbolik kerjasama dalam menyemarakkan Kempen Kibar Jalur Gemilang kepada masyarakat di Sarawak.
Dalam pada itu, Sabri menyeru orang ramai agar bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, pejabat, premis perniagaan dan kenderaan masing-masing sehingga 16 September sebagai tanda kecintaan dan kesetiaan kepada negara.
Beliau turut menggalakkan pengamal media mengambil bahagian dalam menjayakan kempen tersebut menerusi platform masing-masing bagi memperluas penyebaran mesej Kibar Jalur Gemilang kepada masyarakat.
Program Ekspresi Jalur Gemilang JAPEN@PETRONAS merupakan antara pendekatan JAPEN dalam mempergiat pelaksanaan Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) serta menggalakkan penyertaan masyarakat dalam menyemarakkan Bulan Kebangsaan.
Turut hadir, Timbalan Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak, Sri Kestury Mohammed Zamhari, Pengurus Kawasan, Ahmad Badruzaman Hamidi, Rakan Niaga PETRONAS Metrocity, Tie Tung Kwong, Pengurus Stesen PETRONAS Metrocity, Tieh Hie Yieng serta ketua-ketua penolong pengarah dan kakitangan JAPEN Sarawak dan PETRONAS Metrocity.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Alya Sukri (BMKK)
Foto : Cassidy Lisut & Khairul Anwar Ali (BKVS)
KUCHING, 9 Ogos - Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, tiba di sini tengah hari tadi bagi meneruskan lawatan kerja beliau di Sarawak selepas mengadakan lawatan kerja di Miri semalam.
Ketibaan beliau bersama rombongan disambut Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Pengangkutan Laut dan Sungai), Datuk Henry Harry Jinep.
Sejurus tiba, beliau meneruskan perjalanan ke Serikin bagi mengadakan lawatan ke Tapak Pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin.
Sepanjang berada di Sarawak, Saarani dijadual menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) Perak serta mengikuti taklimat dan lawatan kerja ke Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sarawak.
Selain itu, beliau turut dijadual mengadakan lawatan di sekitar bandar raya Kuching dan mengunjungi Borneo Cultures Museum sebelum menamatkan lawatan kerja di Sarawak pada 11 Ogos 2026.
Turut hadir menyambut ketibaan beliau ialah Pengarah Imigresen Negeri Sarawak, Abdul Halim Abang Naili dan Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan:Ninie Gumbang( BMKK)
Foto: Bolhan Haji Basah (BKVS)
SIBU, 9 Ogos 2026 - Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) menghimpunkan seramai 410 perwakilan dan pemerhati serta 66 ahli Exco dan Ex-Officio dari seluruh Sarawak sempena Perhimpunan Agung Tritahunan Ke-18 di Hotel Kingwood, di sini, hari ini.
Penganjuran kali ini turut mencatatkan sejarah apabila Sibu kembali menjadi tuan rumah perhimpunan berkenaan selepas hampir 20 tahun dengan kali terakhir diadakan di bahagian itu pada 2006.
Premier Sarawak merangkap Penasihat SABERKAS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg yang merasmikan perhimpunan berkenaan memberikan sokongan positif terhadap cadangan pembangunan Kompleks Baharu SABERKAS di Petra Jaya, tertakluk kepada kos pembinaan yang berpatutan.
Beliau turut menekankan kepentingan kesinambungan kepimpinan dalam memastikan generasi muda mampu meneruskan legasi pembangunan yang telah dilaksanakan oleh pemimpin hari ini.
“Mudah-mudahan kita akan dapat memberi dukungan kepada masyarakat belia kita untuk meneruskan apa yang telah diletakkan oleh pemimpin hari ini dan pimpinan esok mesti meneruskan, mungkin lebih baik daripada pimpinan hari ini,” katanya.
Presiden SABERKAS, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pula berkata, SABERKAS terus kekal aktif dan relevan apabila berjaya melaksanakan 929 aktiviti komuniti dan kebeliaan di pelbagai peringkat bagi tempoh November 2023 hingga Jun 2026.
Menurut beliau, pembangunan kepimpinan muda turut menjadi antara keutamaan pertubuhan itu menerusi pindaan perlembagaan yang dilaksanakan pada 2020.
“Kuota 70 peratus pemegang jawatan disasarkan kepada individu berumur 39 tahun ke bawah, manakala 30 peratus lagi diperuntukkan kepada pemimpin senior dan langkah ini penting bagi membuka ruang seluas-luasnya kepada generasi muda untuk tampil memimpin,” katanya.
Katanya, golongan belia juga perlu bersedia menghadapi perkembangan teknologi dan perubahan era digital dengan tidak hanya menjadi pengguna, sebaliknya berusaha menjadi pencipta teknologi yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi, perpaduan serta komunikasi yang positif.
Perhimpunan tiga tahun sekali itu turut menjadi medan bagi pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi SABERKAS Sarawak bagi sesi 2026 hingga 2029, selain pembentangan laporan aktiviti dan kewangan bagi sesi 2023 hingga 2026 serta perbahasan usul-usul baharu.
Perhimpunan berkenaan disertai sepenuhnya oleh kesemua 82 cawangan SABERKAS.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Belia Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak II, Datuk Michael Tiang Ming Tee, ADUN N.43 Daro merangkap Setiausaha Agung SABERKAS Sarawak, Dr Safiee Ahmad, Naib Presiden (Borneo) Majlis Belia Malaysia, Mohd Nur Hilmie Milus, ADUN, ketua-ketua jabatan serta pemimpin masyarakat.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan / foto oleh: Mohamad Norhasmin (JAPEN Sibu)
LIMBANG, 9 Ogos – Pesta Lumpur Bebuak Kampung Meritam Edisi Ke-7 merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat menerusi pelbagai pengisian menarik yang berlangsung selama dua hari di tapak pesta berkenaan.
Pesta yang bermula semalam dan berakhir hari ini mengetengahkan keunikan kawah lumpur semula jadi sebagai tarikan utama selain menawarkan pelbagai aktiviti kepada pengunjung.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Hasbi Habibollah berkata keunikan lumpur bebuak di Kampung Meritam memberi impak kepada sektor pelancongan, ekonomi setempat dan kesejahteraan masyarakat di Bahagian Limbang.
“Acara mandi lumpur mungkin kelihatan pelik bagi sesetengah orang, tetapi bagi masyarakat Kampung Meritam, aktiviti ini menjadi antara tarikan pelancong ke kawasan ini,” katanya ketika merasmikan Pesta Lumpur Bebuak Kampung Meritam 2026, semalam.
Beliau berkata kewujudan lumpur bebuak yang keluar dari perut bumi mencetuskan fenomena unik sehingga menjadikan Kampung Meritam sebagai tumpuan pengunjung serta membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat.
Antara aktiviti yang menarik perhatian pengunjung pada hari pertama ialah pertandingan kaki tiga, bola tampar lumpur bebuak, mewarna kanak-kanak dan dewasa, petanque terbuka, tarik tali tiga penjuru serta ‘wall climbing’.
Kemeriahan pesta diteruskan hari ini dengan pertandingan rentas desa, Bebuak Warrior, melastik 15 meter kategori lelaki dan perempuan, luncur terjauh, reka cipta lumpur bebuak serta gubahan bunga hidup.
Penganjuran pesta tahunan itu turut mengetengahkan persembahan kebudayaan dan aktiviti komuniti yang memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung selain memperkenalkan keunikan Kampung Meritam sebagai salah satu destinasi pelancongan di Bahagian Limbang.
Pesta berkenaan turut membantu merancakkan aktiviti ekonomi penduduk setempat menerusi kehadiran pengunjung dari dalam dan luar kawasan sepanjang berlangsungnya program.
Turut hadir, Timbalan Residen Bahagian Limbang, Marie Cotilla Louise@Rozita Kulai; Pengerusi Majlis Daerah Limbang, Kaunselor Sufian Mohat; Ketua Kampung Meritam, Mahmud Gampal; ketua-ketua jabatan serta ahli-ahli Majlis Daerah Limbang.
Disediakan/Foto: Sumardi Sugiman (JAPEN Limbang)
LIMBANG, 9 Ogos – Persatuan Badminton Bahagian Limbang (PBBL) memperkukuh pembangunan sukan badminton di bahagian ini menerusi penganjuran Kejohanan Badminton Berpasukan Antara Kelab Jemputan 2026 di Dewan Polis Limbang.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu disertai 13 pasukan dari Kuching, Sibu, Miri, Sabah dan Brunei Darussalam bagi merebut Piala Pusingan Dr Abdul Rahman Ismail.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata kejohanan berkenaan turut menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim dan kerjasama antara kelab serta pemain dari pelbagai kawasan.
“Alhamdulillah, pada tahun ini ada 13 pasukan yang menyertai kejohanan ini dari Kuching, Sibu, Miri, Sabah dan Brunei Darussalam,” katanya ketika merasmikan kejohanan berkenaan.
Beliau yang juga Presiden PBBL berkata penyertaan itu membuktikan kejohanan berkenaan mampu menjadi wadah memperkasa kerjasama dan memupuk semangat muhibah dalam kalangan pemain serta kelab badminton.
“Kejohanan ini membantu kita mencungkil bakat yang ada di Limbang untuk diketengahkan ke peringkat seterusnya,” katanya.
Menurutnya, pertandingan berkenaan turut memberi peluang kepada pemain tempatan menguji kebolehan dalam suasana lebih kompetitif selain membina jaringan baharu dalam kalangan komuniti badminton.
Penganjuran kejohanan secara berterusan ini mampu meningkatkan minat masyarakat terhadap sukan badminton serta menjadikan aktiviti bersukan sebagai amalan hidup sihat.
Johan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta Piala Pusingan, piala iringan dan medal, manakala naib johan menerima RM3,000, piala iringan dan medal serta tempat ketiga bersama menerima RM2,000, piala iringan dan medal.
Kejohanan berkenaan menjadi antara usaha PBBL memperluas penyertaan sukan badminton di Limbang sambil membuka ruang kepada pemain tempatan membina pengalaman dan mengembangkan potensi ke peringkat lebih tinggi.
Disediakan/Foto: Sumardi Sugiman (JAPEN Limbang)
LIMBANG, 9 Ogos 2026 – Kejohanan Sukan Tahunan SK Limbang 2026 mengeratkan hubungan warga sekolah dan komuniti setempat menerusi penglibatan murid dalam pelbagai acara sukan.
Kejohanan yang berlangsung di SK Limbang, semalam, turut memupuk semangat kesukanan, disiplin, kepimpinan dan daya tahan dalam kalangan murid.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata pembangunan murid perlu dilaksanakan secara menyeluruh meliputi aspek akademik, kokurikulum, sahsiah, kepimpinan dan kesejahteraan.
“Pembangunan sukan menjadi antara fokus utama sekolah dalam melahirkan murid yang sihat, cergas dan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata Stadium Mini Ar-Rahman diharap menjadi pusat pelaksanaan pelbagai aktiviti sukan, latihan, kejohanan, pendidikan jasmani, program pembangunan bakat serta aktiviti komuniti.
“Saya percaya kemudahan ini akan melahirkan lebih ramai atlet sekolah yang mampu mengharumkan nama SK Limbang di peringkat daerah, bahagian, negeri dan kebangsaan,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan SK Limbang dan Majlis Perasmian Stadium Mini Ar-Rahman SK Limbang.
Menurutnya, kemudahan berkenaan turut menjadi medan penyatuan warga sekolah dan komuniti setempat serta mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyokong pembangunan pendidikan dan keperluan komuniti di Bahagian Limbang.
Katanya lagi, sebuah sekolah yang hebat perlu dinilai berdasarkan keupayaannya membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Dalam majlis sama, Abdul Rahman menyampaikan hadiah kepada pemenang perbarisan lintas hormat, Olahragawan Harapan 2026, Olahragawati Harapan 2026, Olahragawan 2026, Olahragawati 2026 dan juara keseluruhan kejohanan.
Turut hadir, Guru Besar SK Limbang, Awangku Abdul Razak Awangku Yusop serta guru-guru dan ibu bapa sekolah berkenaan.
Disediakan/Foto: Sumardi Sugiman (JAPEN Limbang)
LUNDU, 9 Ogos - Keganasan rumah tangga bukan lagi isu peribadi atau urusan dalaman keluarga, sebaliknya merupakan isu sosial yang memerlukan keberanian masyarakat untuk bertindak bagi melindungi mangsa dan memutuskan rantaian keganasan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, masyarakat perlu memainkan peranan dengan mengenal pasti situasi berisiko serta membantu mangsa mendapatkan perlindungan dan saluran bantuan yang sewajarnya, katanya ketika berucap pada Program Wonderful Life: Program Kesedaran Keganasan Rumah Tangga JKM Tahun 2026 di sini, hari ini.
Menurut Nancy, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 7,391 kes keganasan rumah tangga di seluruh negara pada 2025, manakala 4,014 kes direkodkan sehingga Jun 2026.
Katanya, di Sarawak pula, sebanyak 552 kes direkodkan pada 2025 dan 298 kes sehingga Jun tahun ini.
“Di sebalik setiap angka, ada wanita yang hidup dalam ketakutan, anak-anak yang membesar dalam trauma dan keluarga yang sedang menanggung penderitaan.
“Justeru, kita perlu melihat isu ini bukan hanya melalui angka, tetapi melalui kesannya terhadap kehidupan manusia dan masa depan sesebuah keluarga,” katanya.
Nancy berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaksanakan Program Wonderful Life bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak mangsa, saluran bantuan serta tindakan yang boleh diambil sekiranya berlaku atau disyaki berlaku keganasan rumah tangga.
Menurutnya, program berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh lima tahun di 10 negeri yang merekodkan jumlah kes keganasan rumah tangga tertinggi, selain memperkukuh kerjasama antara kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi berkaitan dan komuniti.
“Menangani keganasan rumah tangga bukan tanggungjawab KPWKM atau JKM semata-mata. Ia adalah tanggungjawab bersama.
“Kita mahu masyarakat bukan sahaja tahu apa yang perlu dilakukan, tetapi berani bertindak sebelum sesuatu tragedi berlaku,” katanya.
Nancy turut menyeru masyarakat supaya menjadi mata dan telinga komuniti dengan mengambil berat terhadap persekitaran, mengenal pasti situasi berisiko serta membantu mangsa mendapatkan perlindungan.
“Kita semua mempunyai peranan dalam memastikan rumah kembali menjadi tempat yang selamat, bukan tempat yang menimbulkan ketakutan,” katanya. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Aishah Latip (JAPEN Lundu)
Foto: Cassidy Lisut (BKVS)
BAU, 10 Ogos 2026 - Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin menjadi lokasi lawatan penanda aras pengurusan sempadan oleh Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, bersama Ahli-Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Perak, semalam.
Lawatan anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak itu bertujuan memberi pendedahan kepada rombongan mengenai pembangunan, pengurusan dan operasi kemudahan sempadan di Sarawak sebagai rujukan bagi pembangunan baharu Kompleks ICQS Bukit Berapit, Pengkalan Hulu, Perak di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Rombongan turut meninjau tapak pembinaan Kompleks ICQS Serikin serta Pasar Serikin yang merupakan antara lokasi tumpuan aktiviti perdagangan dan pergerakan rentas sempadan di daerah Bau.
Selain itu, rombongan turut menerima taklimat khas berhubung Projek Pembinaan Pos dan Kuarters Imigresen Serikin, Bau yang disampaikan oleh Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuching, Ir. Ts. Wang Say Kwang.
Projek berkenaan melibatkan kos keseluruhan RM43.66 juta dan dijangka siap pada 9 Disember 2027 dengan tempoh pembinaan selama 24 bulan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.2 Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep, berkata pihaknya amat berbesar hati menerima kunjungan Menteri Besar Perak dan rombongan JKKN Perak ke Bau.
Menurut beliau, lawatan penanda aras tersebut bukan sahaja membuka ruang perkongsian pengalaman dalam aspek pengurusan sempadan, malah turut mengukuhkan hubungan dan kerjasama antara Sarawak dengan Perak.
“ICQS Serikin merupakan projek penting bagi memastikan pembangunan kawasan sempadan dapat dilaksanakan secara berterusan dan menjadi pemangkin kepada pembangunan Serikin serta daerah Bau secara keseluruhannya,” katanya.
Tambahnya, pembangunan infrastruktur berkenaan diyakini mampu memperkukuh jaringan ekonomi rentas sempadan, merancakkan aktiviti perdagangan serta membuka peluang ekonomi yang lebih luas antara Bau dengan wilayah di Indonesia.
Katanya, daerah Bau kini melalui transformasi pembangunan yang berterusan dan semakin menyerlah sebagai salah satu destinasi pelancongan yang berpotensi di Sarawak.
“Pembangunan ICQS Serikin bukan sahaja berkaitan aspek keselamatan dan kawalan sempadan, tetapi turut mempunyai kaitan rapat dengan pembangunan komuniti, perdagangan, pelancongan dan ekonomi setempat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pembangunan ICQS Serikin dapat memperkukuhkan lagi hubungan perdagangan dan pergerakan rentas sempadan, sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat setempat serta menyokong pertumbuhan ekonomi di kawasan sempadan. – PENERANGAN –
- TAMAT -
Disedia oleh: Loseyeffer Molly (JAPEN Bau)
Foto oleh: Jackson Abell & Mohamad Ilham (JAPEN Bau)
KUCHING, 10 Ogos - Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad, mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Perak Bil. 2/2026 di Bilik Mesyuarat Simpor, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak, hari ini bagi meneliti rumusan hasil lawatan ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Sarawak serta membincangkan isu keselamatan di Negeri Perak.
Mesyuarat dimaklumkan mengenai hasil lawatan kerja ke ICQS Sungai Tujoh, Miri dan ICQS Bau yang memberi tumpuan kepada aspek pengurusan, operasi serta penyelarasan antara agensi yang terlibat dalam pengurusan pintu masuk negara.
Lawatan tersebut turut meninjau pelaksanaan kawalan keselamatan sempadan, pengurusan pergerakan keluar masuk dan kemudahan kepada pengguna.
Sepanjang mesyuarat, ahli mengambil maklum beberapa amalan dan pendekatan pengurusan yang dikenal pasti berpotensi dijadikan rujukan serta disesuaikan mengikut keperluan semasa di Negeri Perak.
Hasil lawatan itu turut dijadikan input bagi memperkukuh kecekapan pengurusan, penyelarasan tugas antara agensi serta pelaksanaan operasi keselamatan di peringkat negeri.
Selepas mesyuarat, rombongan dijadualkan meneruskan lawatan kerja ke Kompleks ICQS Tebedu, Serian bagi meninjau sendiri pengoperasian pintu masuk antarabangsa serta mendapatkan pendedahan mengenai pengurusan keselamatan dan penyelarasan operasi di kompleks berkenaan.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato' Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Ketua Polis Perak, Dato' Mohd Alwi Zainal Abidin dan Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato' Baharudin Wan Md Nor.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Safik Effendi Kassim (BMKK)
Jurufoto : Lance Dunstan (BKVS)
KUCHING, 10 Ogos — Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama-sama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak Tahun 2026 di Astana Negeri, Petra Jaya, di sini hari ini.
Kunjungan hormat yang diketuai Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2026, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, bertujuan menyampaikan warkah persilaan rasmi kepada Tun Pehin Sri Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah bagi menghadiri acara-acara sempena Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak Tahun 2026.
Bahagian Kapit dipilih sebagai tuan rumah sambutan tahun ini dengan Tun Pehin Sri Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah dijemput sebagai tetamu kehormat bagi acara Sambutan Ambang Kebangsaan, Unity Walk serta Perhimpunan Hari Kebangsaan Tahun 2026 Peringkat Sarawak.
Tun Pehin Sri Wan Junaidi menzahirkan harapan agar sambutan berkenaan dapat memperkukuh semangat kebersamaan, memupuk perpaduan serta menyemarakkan kecintaan terhadap negeri dan negara dalam kalangan rakyat Sarawak yang berbilang kaum.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak I (Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak) Datuk Rosey Yunus; Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak I (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang; Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Pelabuhan) Datuk Majang Renggi; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang Adat dan Adat Istiadat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat; Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Industri Makanan) Datuk Dr Abdul Rahman Ismail; Pengarah Unit Protokol, Pentadbiran dan Urus Setia Negeri Sarawak (UPPANS) Datu Hamdan Sharbini serta Residen Bahagian Kapit Elvis Didit. -PENERANGAN- -TAMAT-
Disediakan oleh : Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Abdul Hakeem (BKVS)
KUCHING, 10 Ogos — Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat Duta Besar Republik Slovakia ke Malaysia, H.E. Peter Spisiak di Astana Negeri Sarawak, di sini hari ini.
Dalam pertemuan itu, Tun Pehin Sri Wan Junaidi dan H.E. Peter Spisiak bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai perkara berkepentingan bersama termasuk perkembangan semasa serta potensi kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan, pendidikan, teknologi, pelancongan dan kebudayaan.
Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi turut berkongsi mengenai kemajuan pembangunan Sarawak dalam pelbagai sektor serta bidang ekonomi baharu seperti tenaga boleh diperbaharui, selain sektor minyak dan gas.
Hadir sama, Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri Malaysia Hendy Assan. -PENERANGAN- -TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Abdul Hakeem (BKVS)
KUCHING, 10 Ogos - Sarawak terus memperkukuh sektor penjagaan kesihatan sebagai bidang strategik yang berpotensi menjana peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, menarik pelaburan serta meningkatkan daya saing ekonomi negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, berkata pembangunan sektor kesihatan perlu disokong oleh ekosistem yang bersepadu merangkumi penyampaian perkhidmatan, pendidikan, penyelidikan, teknologi, inovasi serta pembangunan modal insan.
Katanya berucap pada Majlis Pecah Tanah Regency Specialist Hospital Kuching di NorthBank Township, di sini hari ini, pembangunan HMI Medical Hospital Kuching serta inisiatif berkaitan pembangunan tenaga kerja dalam sektor kesihatan yang merupakan pelaburan penting bagi masa depan Sarawak.
Katanya lagi, perkembangan tersebut turut mencerminkan keyakinan pelabur terhadap Sarawak sebagai destinasi strategik bagi penyediaan perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia.
“Kedua-duanya menghantar mesej yang kuat bahawa Sarawak tidak lagi dilihat hanya sebagai pasaran yang berkembang, tetapi sebagai destinasi strategik di mana perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia, pelaburan dan bakat tempatan dapat berkembang bersama,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), data raya, robotik, teleperubatan, genomik dan perubatan presisi kini menjadi antara pemacu penting dalam transformasi penjagaan kesihatan moden.
Regency Specialist Hospital Kuching yang bakal dibangunkan sebagai hospital SMART generasi baharu akan mengintegrasikan teknologi perubatan termaju, sistem digital bersepadu serta aliran kerja klinikal pintar bagi menyediakan perkhidmatan penjagaan pakar berpusatkan pesakit.
Hospital berkenaan akan dibangunkan dalam dua fasa dengan fasa pertama melibatkan pelaburan melebihi RM400 juta.
Antara kemudahan yang dirancang termasuk pusat kanser komprehensif, wad pintar, bilik pembedahan termaju, unit rawatan rapi serta kemudahan diagnostik dan rawatan pakar pelbagai disiplin.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan HMI Medical, Chin Wei Jia.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Bolhan Haji Basah (BKVS)
KUCHING, 10 Ogos - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, berharap agar Kontinjen Sarawak mengekalkan momentum kecemerlangan dan memberikan tumpuan penuh menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.
Beliau berkata, kejayaan Sarawak muncul sebagai juara pada SUKMA 2024 perlu dijadikan dorongan kepada atlet dan seluruh anggota kontinjen untuk menghadapi persaingan pada edisi kali ini.
“Kita telah digelar nombor satu, kita telah digelar ‘champion’ pada tahun 2024 dan pada tahun 2026, kita mesti mempertahankan kedudukan sebagai ‘champion’,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sarawak ke SUKMA XXII dan Para SUKMA XXII Selangor 2026 di sebuah hotel terkemuka, di sini hari ini.
Abang Johari turut mengingatkan atlet SUKMA dan Para SUKMA Sarawak supaya menjaga kesihatan serta kekal fokus terhadap pertandingan bagi memastikan mereka dapat menampilkan prestasi terbaik sepanjang temasya.
Pada majlis itu, Abang Johari menyempurnakan simbolik penyerahan bendera Kontinjen Sarawak kepada Chef de Mission (CDM) SUKMA Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu sebagai tanda amanah untuk membawa nama dan maruah negeri ke pentas sukan kebangsaan.
Sementara itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Kontinjen Sarawak menyasarkan 75 pingat emas pada edisi kali ini berdasarkan prestasi, kemampuan atlet serta persiapan yang telah dilaksanakan oleh setiap pasukan.
Beliau berkata sasaran itu memerlukan komitmen menyeluruh daripada atlet, jurulatih, pengurus pasukan dan pegawai kerana pencapaian kontinjen merupakan hasil kerja berpasukan.
Kontinjen Sarawak kini memasuki fasa akhir persiapan sebelum berangkat ke Selangor dengan membawa aspirasi 'One Family. One Mission. Sarawak Champion' dan semangat 'Go Sarawak Go, Go for Gold' dalam usaha mempertahankan kejuaraan serta mengharumkan nama Sarawak di pentas sukan kebangsaan.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Chef de Mission Kontinjen Para SUKMA Sarawak, Datuk Dr. Mohammad Razi Sitam, timbalan-timbalan menteri Sarawak, Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak, Mua'Zamir Jili, barisan Assistant Chef de Mission, ketua-ketua jabatan, pengurus pasukan, jurulatih serta atlet.
-PENERANGAN -
-TAMAT -
Disediakan oleh: Mohamad Munir (BMKK)
Jurufoto: Lance Dunstan (BKVS)
SRI AMAN, 11 Ogos — Institusi masjid di Sarawak perlu terus berkembang seiring perubahan zaman dan kemajuan teknologi bagi memperkukuh peranannya sebagai pusat ibadah, ilmu dan pembangunan modal insan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata perkembangan kecerdasan buatan (AI), media sosial dan ekonomi digital membuka ruang kepada masjid untuk bergerak lebih dinamik serta memperluas peranannya dalam pembangunan masyarakat.
Katanya lagi, Sarawak terus memperkasa masjid sebagai rakan strategik dalam memandu kesejahteraan masyarakat melalui pengukuhan rohani selain memperkukuh peranannya sebagai pusat ibadah, ilmu dan pembangunan modal insan.
“Kerajaan terus menyediakan pembangunan fizikal manakala pembangunan rohani memerlukan penglibatan seluruh masyarakat, khususnya institusi masjid," katanya semalam yang teks ucapan beliau dibacakan oleh Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha pada Majlis Perasmian Muktamar Pengurusan dan Pengimarahan Masjid Sarawak 2026 Zon Selatan Siri II (Sri Aman dan Betong) di sini semalam.
Pada majlis itu turut diadakan simbolik penyerahan rasmi Manual Pengimarahan Masjid dan Surau Sarawak serta Tatacara Pelaksanaan Solat Fardu Jumaat Sarawak kepada beberapa masjid utama di Bahagian Sri Aman dan Betong bagi membantu jawatankuasa kariah mengurus, mentadbir dan memakmurkan institusi berkenaan secara lebih tersusun dan seragam.
Muktamar dua hari sempena Program Ziarah Mahabbah MIS 1448H/2026M Zon Selatan itu menghimpunkan 193 peserta terdiri daripada 150 ahli Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan Surau, 21 ahli Lembaga Amanah Kebajikan Islam serta 22 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari Bahagian Sri Aman dan Betong.
Program itu turut diisi dengan empat pembentangan utama termasuk Ucaptama Yang Dipertua MIS, Bicara Mufti Sarawak dan Bicara Pengarah JAIS, selain sesi perkongsian amalan terbaik daripada pengurusan Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi, Lembaga Amanah Masjid Kampung Bako dan JKP Masjid An-Nur Sibu.-PENERANGAN- -TAMAT-
Berita dan Foto: Iswandi Kassim (JAPEN Sri Aman)
KUCHING, 11 Ogos — Hubungan dan kerjasama antara Sarawak dan Perak terus diperkukuh menerusi Majlis Makan Malam Rasmi sempena lawatan kerja rasmi Menteri Besar Perak ke Sarawak di Dewan Perdana, Kompleks Satria Pertiwi, di sini semalam.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad hadir pada majlis berkenaan yang turut menjadi platform pertukaran pandangan serta perkongsian pengalaman antara kedua-dua negeri.
Lawatan kerja Saarani ke Sarawak dari 9 hingga 11 Ogos itu memberi tumpuan kepada perkongsian pengalaman dalam aspek pembangunan, keselamatan, pengurusan sempadan dan pembangunan infrastruktur, selain meneroka ruang kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua negeri.
Saarani sebelum ini mengadakan lawatan kerja di Miri sebelum meneruskan agenda di Kuching, termasuk meninjau tapak pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin.
Lawatan ke ICQS Serikin memberi pendedahan kepada rombongan Perak mengenai pembangunan serta pengurusan kemudahan sempadan di Sarawak, khususnya sebagai rujukan bagi pembangunan Kompleks ICQS Bukit Berapit, Pengkalan Hulu, Perak di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Lawatan tersebut turut melibatkan taklimat dan kunjungan kerja berkaitan pengurusan imigresen di Sarawak serta tinjauan beberapa lokasi di sekitar bandar raya Kuching.
Perkongsian pengalaman berkenaan dilihat penting dalam memperkukuh keupayaan pengurusan, keselamatan sempadan dan pembangunan infrastruktur seraya mempererat hubungan antara kedua-dua kerajaan negeri.
Saarani dijadual meneruskan agenda lawatan esok dengan kunjungan ke Muzium Budaya Borneo sebelum mengakhiri lawatan kerja rasmi beliau di Sarawak.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Pembangunan Usahawan), Datuk Dr Ripin Lamat; Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Datuk Martin Ben; Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah; Pesuruhjaya Polis Perak, CP Dato’ Mohd Alwi Zainal Abidin serta Panglima Armada Barat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Dato’ Baharudin Wan Md Nor. -PENERANGAN -TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Khairul Anwar (BKVS)
SONG, 12 Ogos - Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) terus memperluas akses kepada peluang pendidikan, latihan kemahiran dan pembangunan bakat menerusi MEITD Outreach Programme 2026 bagi Bahagian Kapit yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Song, hari ini.
Program yang dirasmikan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, itu menjadi platform penyampaian maklumat secara terus kepada pelajar, ibu bapa dan komuniti setempat mengenai peluang pendidikan, biasiswa, latihan kemahiran serta laluan kerjaya.
Menurut Roland Sagah, program berkenaan penting bagi memastikan peluang pendidikan dan pembangunan modal insan dapat diakses oleh seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi.
“Program MEITD Outreach ini merupakan satu inisiatif tahunan yang menjangkau setiap pelosok Sarawak, termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman. Matlamat utamanya adalah untuk memastikan maklumat mengenai peluang pendidikan dan latihan kemahiran disampaikan secara inklusif, terus dan menyeluruh kepada kumpulan sasaran,” katanya.
Menurutnya lagi, pemilihan Song sebagai lokasi permulaan program tahun ini mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memastikan tiada kawasan tercicir daripada agenda pembangunan pendidikan dan modal insan negeri.
“Sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar, setiap anak Sarawak berhak mendapat peluang yang sama dan program ini merupakan bukti jelas komitmen Kerajaan Sarawak untuk memastikan tiada siapa yang tercicir dalam agenda pendidikan dan pembangunan modal insan,” katanya lagi.
Antara inisiatif yang diketengahkan termasuk Sarawak Education Enhancement Programme (SEEP) yang menyediakan tuisyen percuma, Free Tertiary Education Scheme (FTES), bantuan baucar buku dan komputer riba, biasiswa serta laluan pendidikan akademik dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Mengulas mengenai TVET, beliau berkata bidang itu perlu dilihat sebagai salah satu laluan utama dalam membentuk tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri semasa.
“TVET bukanlah pilihan kedua, sebaliknya, ia merupakan laluan utama bagi ramai anak muda untuk menjadi juruteknologi, jurutera berkemahiran, tenaga profesional serta usahawan yang berjaya,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan penguasaan kemahiran digital dan keusahawanan dalam kalangan generasi muda supaya mereka bukan sahaja bersedia memasuki pasaran pekerjaan, malah berupaya mencipta peluang pekerjaan.
Katanya, dunia hari ini tidak lagi hanya memerlukan pencari pekerjaan, tetapi juga pencipta pekerjaan dan oleh itu, pendidikan moden perlu menggabungkan kemahiran teknologi dan keusahawanan supaya anak-anak kita mampu bersaing serta memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan oleh revolusi digital.
Tambahnya, perkembangan ekonomi digital turut membuka ruang kepada golongan muda untuk memasarkan produk tempatan Sarawak seperti hasil pertanian, kraftangan dan makanan tradisional ke pasaran lebih luas menerusi platform digital.
Program berkenaan turut menampilkan aktiviti interaktif berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan pengetahuan secara praktikal, meneroka minat serta meningkatkan pemahaman terhadap bidang tersebut.
MEITD Outreach Programme sebelum ini dilaksanakan di Engkelili, Spaoh dan Lawas pada tahun lalu, manakala Song dipilih sebagai lokasi permulaan bagi siri program tahun ini.-PENERANGAN.
-TAMAT-
Disediakan oleh : Hamzah Bohari (JAPEN Song)
foto : Danial Zakwan (JAPEN Song)
KUCHING, 12 Ogos – Kelewatan penyiapan projek awam, perbelanjaan yang membazir serta kualiti kerja yang rendah merupakan isu integriti yang akhirnya memberi kesan secara langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata sesuatu projek tidak boleh dianggap berjaya hanya kerana ia telah siap dibina atau peruntukannya telah dihabiskan.
"Projek itu hanya benar-benar berjaya apabila selamat digunakan, berkualiti, menepati keperluan rakyat dan memberikan manfaat yang setimpal dengan perbelanjaan awam," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Integriti Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Menyentuh mengenai Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, beliau mengarahkan setiap kementerian dan agensi kerajaan untuk melaksanakan proses perolehan secara kompetitif, telus dan berpandukan prinsip nilai untuk wang dalam memastikan tiada ketirisan berlaku.
Bagi mengelakkan kepincangan dalam pelaksanaan dasar, Abang Johari turut mengingatkan penjawat awam supaya tidak bekerja secara berasingan sebaliknya bergerak sebagai satu pasukan tanpa meletakkan kepentingan organisasi melebihi kepentingan rakyat.
Dalam memacu ekonomi baharu negeri, beliau berkata inisiatif seperti Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) dan perkhidmatan digital S PAY GLOBAL memerlukan tahap tata kelola yang tinggi khususnya melibatkan aspek keselamatan data dan perlindungan privasi.
Selain itu, pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) juga menuntut pengurusan yang adil bagi memastikan pelaburan strategik jangka panjang itu berjaya melahirkan modal insan tempatan yang berdaya saing tanpa meminggirkan mana-mana golongan.
Dalam usaha memperkukuh integriti dalam sistem penyampaian, beliau berkata penubuhan Ombudsman Sarawak akan memastikan setiap aduan rakyat didengari secara bebas, manakala Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di jabatan kerajaan bertindak sebagai penggerak pematuhan.
Seiring dengan tema sambutan tahun ini iaitu 'Integriti Teras Kemakmuran Sarawak', beliau mahu penerapan nilai murni itu tidak terhad dalam perkhidmatan awam, malah dipupuk dari rumah, sekolah menerusi Kelab Rakan Integriti Sekolah (KRIS), serta komuniti melalui Modul Integriti Kepimpinan Masyarakat (MIKM).
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak, (Integriti & Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya serta tetamu kenamaan yang lain.
-PENERANGAN-
– TAMAT –
Disediakan oleh : Safik Effendi Kassim (BMKK)
Jurufoto : Lance Dunstan dan Abdul Hakeem Well (BKVS)
SAMARAHAN, 12 Ogos – I-LEAD Park INSARA, kemudahan latihan luar dan lasak bernilai RM2.59 juta di Kampus INTAN Samarahan diperkasa sebagai platform pembangunan kepimpinan dan kompetensi penjawat awam menerusi pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.
Kemudahan itu mula dibangunkan pada 28 Jun 2024 dan siap sepenuhnya pada 26 September 2025 sebelum diserahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak kepada INSARA pada 19 Disember 2025.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar telah merasmikan I-LEAD Park INSARA hari ini selain menyaksikan demonstrasi aktiviti turun cenuram (abseiling) oleh Pasukan Fasilitator Aktiviti Tali Aras Tinggi (High Rope) INSARA serta meninjau kemudahan latihan berkenaan.
I-LEAD _Park_ INSARA menyediakan 13 elemen latihan yang dirangka bagi menguji ketahanan fizikal dan mental peserta. membangunkan kemahiran kepimpinan, kerja berpasukan, komunikasi, penyelesaian masalah dan pembuatan keputusan.
Antara elemen latihan berkenaan ialah wild woozy, hole in one, giant’s finger, burmah bucket, burmah bridge, log swing, hobie deebie, wobbly bridge, mutti vine & ship crossing dan flying fox sepanjang 170 meter.
Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman membolehkan peserta mengaplikasikan nilai dan kemahiran kepimpinan secara langsung melalui simulasi situasi yang berkait dengan cabaran sebenar dalam perkhidmatan awam.
Kemudahan itu turut memperluas keupayaan INSARA dalam menawarkan program pembangunan kepimpinan dan organisasi yang lebih inovatif serta dinamik termasuk berpotensi menjadi hab latihan kepada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan di Sarawak.
Skop pembangunan I-LEAD Park INSARA meliputi pembinaan sebuah bangunan utama, 11 elemen latihan luaran, kerja landskap lembut serta pemasangan sistem mekanikal dan elektrik bagi melengkapkan keseluruhan kemudahan.
Projek itu merupakan hasil kerjasama strategik INTAN, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, JKR Sarawak dan Kementerian Ekonomi dalam memperkukuh infrastruktur pembangunan modal insan sektor awam.
I-LEAD Park INSARA dijangka menyumbang kepada pembentukan pemimpin perkhidmatan awam yang berdaya tahan, adaptif dan berintegriti selaras dengan usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam yang cekap, responsif dan berimpak kepada rakyat.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Dato’ Mohd Shaiful Ibrahim; Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohamad Hassan; Pengarah Pembangunan Negeri, Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, Dato Jasni Jubli; Timbalan Ketua Setiausaha (Insfrastruktur Telekomunikasi), Kementerian Komunikasi dan Teknologi Mano Verabathran,Timbalan Pengarah Kanan INTAN, Rusli Harun; serta Jurutera Bahagian JKR Samarahan, Ir. Ts. Mahathir Jokeni.-PENERANGAN- -TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Eddie Blanking (BKVS)
SAMARAHAN, 13 Ogos — Sarawak menyasarkan Taman Bioindustri Sarawak (SBP) sebagai hab bioindustri strategik yang menghubungkan kekayaan biodiversiti, penyelidikan saintifik dan teknologi bagi menghasilkan produk bernilai tinggi untuk pasaran antarabangsa.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, SBP akan menjadi kesinambungan kepada Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) dengan menterjemahkan hasil penyelidikan sumber semula jadi kepada produk industri khususnya dalam bidang kesihatan, kosmetik dan farmaseutikal.
“Penyelidikan boleh dijalankan di Sarawak Biodiversity Centre dan hasil penyelidikan itu mesti diterapkan dalam produk industri, supaya teknologi yang kita miliki dapat menghasilkan produk Sarawak untuk pasaran antarabangsa.”
Beliau berkata, penggunaan kecerdasan buatan (AI), data DNA dan teknologi moden mampu mempercepat proses mengenal pasti sebatian daripada tumbuhan serta sumber biodiversiti untuk dibangunkan sebagai produk yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Menurutnya, pasaran bioteknologi global yang diunjurkan berkembang daripada USD1.53 trilion pada 2026 kepada USD4.33 trilion menjelang 2034 menyediakan ruang besar kepada Sarawak untuk muncul sebagai pemain dalam ekonomi baharu berasaskan sumber biologi dan teknologi.
“Kekayaan hutan dan biodiversiti yang dimiliki Sarawak perlu disokong dengan pembangunan lebih ramai saintis serta pengukuhan penyelidikan dan pembangunan supaya negeri ini mampu menghasilkan produk sendiri dan mengurangkan kebergantungan kepada pemprosesan sumber di luar negara,” tambahnya.
Abang Johari memaklumkan kerajaan negeri akan terus melaburkan hasil negeri dalam bidang penyelidikan bagi memperkukuh keupayaan saintifik sekali gus menggalakkan generasi muda memilih bidang sains dan teknologi sebagai persediaan menghadapi peralihan ekonomi daripada sektor konvensional kepada ekonomi baharu.
Katanya, peningkatan kesedaran sains dalam kalangan masyarakat turut penting apabila kira-kira 60,000 orang telah mengunjungi Pusat Sains Sarawak sejak dibuka manakala pembangunan teknologi padi saka yang berpotensi menghasilkan 12 hingga 14 tan metrik sehektar, mengurangkan kos sehingga 50 peratus dan membolehkan penuaian berulang menunjukkan nilai penyelidikan dalam menangani isu keselamatan makanan.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penubuhan SBP memperkukuh ekosistem inovasi negeri dengan menghubungkan kepakaran penyelidikan, sumber biodiversiti dan keperluan industri bagi mempercepat pembangunan serta pengkomersialan produk berasaskan bio.
Majlis berkenaan turut menyaksikan peletakan batu asas SBP dan pertukaran perjanjian sebagai langkah memperkukuh kerjasama dalam pembangunan industri berasaskan biodiversiti Sarawak.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr. Annuar Rapa’ee,l, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Biodiversity Centre Margarita Naming. -PENERANGAN- -TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Eddie Allan Blanking (BKVS)
KUCHING, 14 Ogos — Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Sarawak hari ini meneruskan Program Singgah Media ke lima agensi media di Sarawak bagi memperluas sokongan dan menyemarakkan Kempen ‘1 Rumah, 1 Jalur Gemilang’ sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026.
Program berkenaan melibatkan kunjungan ke BERNAMA, Suara Sarawak, Sarawak Tribune, TV Al-Hijrah dan Astro Awani sebagai usaha menggalakkan agensi media bersama-sama menyemarakkan kempen berkenaan menerusi pelbagai platform dan pendekatan masing-masing.
Dalam kunjungan tersebut, Pengarah JAPEN Sarawak, Sabri Said, menyerahkan kit Jalur Gemilang kepada agensi media yang dikunjungi sebagai simbolik sokongan dan galakan untuk bersama-sama menyemarakkan Kempen ‘1 Rumah, 1 Jalur Gemilang’.
Kit berkenaan diterima oleh Ketua Biro BERNAMA Sarawak, Muhammad Ammar Syafiq Hamzah; Editor Kanan Suara Sarawak, Christina Ulau; Ketua Editor Sarawak Tribune, Aden Nagrace; serta Ketua Pengarang Astro Awani dan Al-Hijrah Sarawak, Rudi Affendi Khalik.
Menurut Sabri, penglibatan agensi media amat penting dalam memperluas capaian mesej patriotisme serta menggalakkan lebih ramai rakyat mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing sebagai tanda kecintaan terhadap negara.
“Program Singgah Media ini merupakan salah satu inisiatif JAPEN Sarawak untuk mendekati rakan-rakan media dan menggalakkan mereka bersama-sama menyemarakkan HKHM 2026, khususnya Kempen ‘1 Rumah, 1 Jalur Gemilang’.
“Kerjasama dengan media amat penting kerana mesej kempen dapat disampaikan kepada masyarakat secara lebih meluas menerusi pelbagai platform dan pendekatan yang dibuat oleh media masing-masing,” katanya.
Kunjungan tersebut turut menjadi platform kepada JAPEN Sarawak dan pihak media untuk bertukar pandangan mengenai bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan dalam mempergiat penyampaian mesej kemerdekaan, patriotisme dan semangat cintakan negara sempena HKHM 2026.
Program Singgah Media berkenaan merupakan kesinambungan kunjungan JAPEN Sarawak sebelum ini ke beberapa organisasi media, termasuk TVS dan Dayak Daily, dalam usaha memperkukuh jaringan kerjasama strategik bersama pengamal media di Sarawak.
Inisiatif berkenaan akan diteruskan ke beberapa lagi organisasi media sebagai usaha JAPEN Sarawak memperluas jaringan kerjasama serta menggalakkan penyertaan masyarakat dalam menyemarakkan HKHM 2026, khususnya melalui pengibaran Jalur Gemilang di kediaman masing-masing.
Turut hadir semasa program ialah Timbalan Pengarah JAPEN Sarawak, Sri Kestury Mohammed Zamhari, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Media dan Komunikasi Korporat JAPEN Sarawak, Dr. Nicholas Balawing Ibas. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Muhammad Izzat Muzaqeer Zamri (BMKK)
Foto: Abdul Hakeem & Mohamad Rizal (BKVS)
KOTA SAMARAHAN, 14 Ogos – Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak menyeru seluruh rakyat khususnya dalam kalangan generasi muda untuk menyokong dan menjayakan kempen '1 Rumah 1 Jalur Gemilang' bagi menyemarakkan semangat patriotisme bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan.
Pengarah JAPEN Sarawak, Sabri Said berkata kempen tersebut merupakan agenda nasional kerajaan bertujuan memupuk rasa syukur dan menzahirkan rasa cinta rakyat terhadap negara yang pada masa sama melambangkan kedaulatan serta perpaduan kaum.
Beliau turut mencadangkan agar Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) Jabatan Tenaga Manusia Kota Samarahan menjadi antara Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang terawal pada masa akan datang menjalankan kempen mengibarkan Jalur Gemilang bersama-sama komuniti setempat bagi menyahut seruan kempen tersebut.
"Kita mengharapkan para pelajar yang ada pada hari ini menjadi wakil atau ejen untuk turut sama menyemarakkan kempen mengibarkan Jalur Gemilang dalam komuniti mahupun keluarga masing-masing.
"Pada masa yang sama, kita perlu bersama-sama membantu menyebarkan mesej kenegaraan ini kepada ahli keluarga, rakan-rakan serta masyarakat di sekeliling kita," katanya ketika berucap merasmikan Program JIWA@Komuniti sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 di Auditorium ADTEC Kampus Kota Samarahan, hari ini.
Menyentuh mengenai pengisian Bulan Kebangsaan, Sabri mengingatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan tarikh-tarikh penting bermula dengan pelancaran Bulan Kebangsaan di Ipoh, Perak pada 19 Julai, Hari Sarawak (22 Julai), sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak di Kapit (31 Ogos) dan sambutan Hari Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (16 September).
Beliau menambah, tema HKHM 2026 iaitu 'Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati' perlu dihayati sepenuhnya oleh setiap lapisan masyarakat kerana kemajuan sesebuah negara bukan sahaja diukur melalui pertumbuhan ekonomi, malah melalui kesejahteraan hidup, keadilan sosial dan keyakinan rakyat terhadap masa hadapan.
Dalam perkembangan sama, Sabri menekankan tiga kata kunci utama iaitu 'belajar, bekerja dan berjaya' yang perlu dijadikan pegangan oleh generasi muda sebagai pewaris kepimpinan negara pada masa hadapan bagi mengisi kemerdekaan yang telah dikecapi.
Beliau turut memuji bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini mendapat pengiktirafan tinggi dalam pasaran kerja berbanding masa lalu, yang mana graduan kemahiran kini mampu membina kerjaya cemerlang dengan tawaran gaji lumayan serta berpeluang melanjutkan pengajian hingga ke peringkat doktor falsafah (PhD).
Mengulas mengenai pelaksanaan Program JIWA@Komuniti, Sabri menjelaskan bahawa inisiatif JAPEN yang digerakkan di seluruh negara itu memfokuskan lokasi yang menepati keperluan segmen generasi muda.
Beliau berkata objektif utama program tersebut adalah untuk memastikan golongan belia, yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara menyedari peranan mereka dan kekal menghayati semangat patriotisme terutamanya pada Bulan Kebangsaan.
Turut hadir ialah Pengarah ADTEC Jabatan Tenaga Manusia Kota Samarahan, Ts. Mohamad Yasir Aziz, Timbalan Pengarah (Latihan) ADTEC Jabatan Tenaga Manusia Kota Samarahan, Aima Mariaty Ahmad, Timbalan Pengarah JAPEN Sarawak, Sri Kestury Mohammed Zamhari, para pelajar ADTEC serta kakitangan JAPEN Sarawak.
-PENERANGAN-
– TAMAT –
Disediakan oleh : Safik Effendi Kassim (BMKK)
Jurufoto : Bolhan Basah dan Eddie Alan Blanking (BKVS)
KUCHING, 14 Ogos - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, mahu Kuching City Football Club (KCFC) memanfaatkan penyertaan di pentas ASEAN dan Asia sebagai platform untuk mengangkat nama Sarawak ke peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata, peluang KCFC bersaing di peringkat antarabangsa membuktikan perkembangan positif bola sepak Sarawak, sekali gus membuka ruang kepada kelab berkenaan untuk menyasarkan pencapaian lebih besar pada masa hadapan.
“Untuk menang, ia bergantung kepada kemahuan dan strategi,” katanya ketika menyaksikan Majlis Pemeteraian Kerjasama Strategik antara AFFIN Bank Berhad dan KCFC di pejabat AFFIN Bank Berhad, Bangunan Hikmah Exchange, di sini, hari ini.
Menurut beliau, aspirasi tersebut selari dengan usaha Sarawak untuk menerajui pelbagai sektor strategik di peringkat serantau, termasuk sektor tenaga boleh diperbaharui, selain memperkukuh peranan negeri dalam pembangunan ekonomi ASEAN.
Beliau berkata, kerjasama antara AFFIN Bank dan KCFC merupakan satu langkah positif yang menggabungkan kekuatan sektor perbankan dan bola sepak, sekali gus berpotensi menyokong aspirasi kedua-dua pihak serta mengangkat imej Sarawak ke peringkat lebih tinggi.
Dalam perkembangan berkaitan, AFFIN Bank dilantik sebagai Rakan Perbankan Rasmi Kuching City Football Club, menerusi kerjasama strategik yang menyediakan pelbagai manfaat dan pengalaman kepada pelanggan, penyokong serta komuniti melalui platform bola sepak.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali, berkata kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen AFFIN dalam menyokong pembangunan sukan Malaysia, termasuk usaha memupuk bakat muda serta mewujudkan lebih banyak peluang penyertaan dan pembangunan dalam bidang berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif KCFC, YB Dato Fazzrudin Abdul Rahman, berkata kelab itu bukan sekadar mahu bersaing di peringkat antarabangsa, sebaliknya berhasrat menjadikan KCFC dan Sarawak sebagai antara kuasa pembangunan bola sepak di rantau ini.
Menurut beliau, penyertaan di pentas ASEAN dan Asia turut membuka lebih banyak peluang kepada bakat tempatan serta generasi akan datang untuk berkembang dalam bidang bola sepak.
KCFC bakal membuat penampilan sulung dalam ASEAN Club Championship Shopee Cup 2026/2027 dan turut layak beraksi dalam AFC Champions League Two 2026/2027, sekali gus membuka peluang kepada kelab berkenaan membawa nama Kuching dan Sarawak ke pentas bola sepak serantau dan Asia.
-PENERANGAN -
-TAMAT-
Disediakan oleh: Mohamad Munir (BMKK)
Foto: Khairul Anwar (BKVS)
KUCHING, 15 Ogos — Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak memperkasa penglibatan komuniti dalam menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 menerusi Program JIWA@Komuniti serta Kempen ‘1 Rumah, 1 Jalur Gemilang’ di sekitar Kuching dan Padawan, hari ini.
Program tersebut dimulakan di Masjid India Bandar Kuching dan Gereja St. Peter bagi penyerahan kit ‘1 Rumah, 1 Jalur Gemilang’ serta pemasangan bendera Jalur Gemilang di kedua-dua lokasi.
Di Masjid India Bandar Kuching, kit berkenaan diserahkan oleh Pengarah JAPEN Sarawak, Sabri Said, kepada Pengerusi Lembaga Amanah Khairat Masjid India Bandar Kuching, Datu Mohamed Ali Mohamed Sheriff, manakala di Gereja St. Peter, kit berkenaan diserahkan kepada Rector of St Peter Church, Rev. Father Vincent Chin.
Mereka kemudiannya meneruskan perjalanan ke Kampung Segu Bunuk, Padawan bagi menjayakan Program JIWA@Komuniti HKHM 2026 yang melibatkan pelbagai aktiviti bersama komuniti setempat termasuk gotong-royong, pemasangan Jalur Gemilang, persembahan Prelude PENTARAMA, pertandingan pakaian tradisional kanak-kanak dan literasi maklumat.
Menurut Sabri, Program JIWA@Komuniti bertujuan mendekatkan agensi kerajaan dengan masyarakat, menyampaikan maklumat yang tepat serta mendengar pandangan rakyat di peringkat akar umbi.
“Jabatan Penerangan Malaysia bukan hanya hadir untuk menyampaikan dasar kerajaan tetapi kami juga mahu mendengar suara masyarakat seperti apakah keperluan penduduk, apakah cabaran yang dihadapi dan bagaimanakah maklumat kerajaan dapat disampaikan dengan lebih mudah dan berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru penduduk Kampung Segu Bunuk menyokong Kempen ‘1 Rumah, 1 Jalur Gemilang’ dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, balai raya, premis perniagaan dan kenderaan.
“Kibaran Jalur Gemilang bukan hanya untuk mencantikkan kampung tetapi ia merupakan tanda bahawa kita menghargai keamanan, kebebasan dan keharmonian yang kita nikmati pada hari ini,” katanya.
Program turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang kuiz Kahoot dan pertandingan pakaian tradisional kanak-kanak serta simbolik pemasangan papan tanda Program JIWA@Komuniti HKHM 2026.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah JAPEN Sarawak, Sri Kestury Mohammed Zamhari, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Dr. Nicholas Balawing Ibas, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Freda Mathew Manggi, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Hairol Hisham Hamdan, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu, Dr. Ngalih Tingi, kakitangan JAPEN Sarawak serta penduduk dan komuniti setempat. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Muhammad Izzat Muzaqeer Zamri (BMKK)
Foto oleh: Khairul Anwar Ali & Lance Dunstan (BKVS)
Kota Samarahan, 15 Ogos - Anak muda Sarawak perlu berani meneroka bidang baharu serta memanfaatkan ilmu, maklumat dan teknologi untuk mencipta idea, mencari penyelesaian dan menambah nilai kepada negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, berkata golongan belia tidak seharusnya sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya perlu tampil sebagai pencipta, inovator dan peneraju teknologi.
“Anak muda mesti berani meneroka perkara yang belum pernah diterokai dan gunakan ilmu, maklumat dan teknologi untuk mencipta idea baharu, mencari penyelesaian serta menambah nilai kepada Sarawak.
“Kita mahu anak muda Sarawak bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi pencipta, inovator dan peneraju teknologi yang akan meneruskan usaha meletakkan Sarawak sebagai wilayah termaju di Malaysia,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perasmian Minggu Belia Sarawak 2026 di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini, hari ini.
Terdahulu, dalam ucapan alu-aluan, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata belia merupakan rakan strategik kerajaan dalam mencorakkan masa depan negeri.
“Belia bukan sekadar pewaris masa depan, malah merupakan rakan strategik kerajaan Sarawak dalam mencorakkan masa depan negeri.
"Idea, kreativiti dan semangat mereka menjadi pemacu kepada pembangunan Sarawak yang lebih inovatif dan berdaya saing,” katanya.
Majlis turut menyaksikan simbolik perasmian Minggu Belia Sarawak 2026 serta penyampaian Anugerah Belia Sarawak.
Kategori individu menyaksikan Muhammad Khairullah Muhammad Marzidi menerima anugerah lelaki, manakala Ir. Ts. Dr. Lidyana Roslan bagi kategori wanita.
Bagi kategori Persatuan Belia, Kelab Belia Permata Halaman Kurung Sian (BERLIAN) Sarawak muncul Johan, manakala Junior Chamber International (JCI) Sarikei meraih Naib Johan.
Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Dato Idris Buang, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak dan Datuk Dr. Ripin Lamat. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Mohamad Munir (BMKK)
Jurufoto: Eddie Allan Blanking (BKVS)
KUCHING, 17 Ogos - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat daripada Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.
Delegasi UNDP diketuai Wakil Residen, Edwards Mario Vrkic bersama Wakil Timbalan Residen, Besian Xhezo serta rombongan.
Kunjungan hormat tersebut menjadi platform bagi membincangkan peluang kerjasama antara Kerajaan Sarawak dan UNDP, khususnya dalam bidang pembangunan serta ekonomi negeri.
Pertemuan turut memberi ruang untuk bertukar pandangan mengenai bidang-bidang berpotensi yang boleh diterokai melalui kerjasama strategik bagi menyokong agenda pembangunan Sarawak.
Turut hadir, Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri, Ambassador Hendy Assan, Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty), Datu Abang Ahmad Abang Morni, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak, Datu Ir. Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan serta Pengarah Unit Diplomasi Iklim dan Tenaga Sarawak (SACED), Ir. Dr. Angelia Liew San Chuin.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Abdul Hakeem Well (BKVS)
KUCHING, 17 Ogos 2026 - Perjalanan hidup, keteladanan dan sumbangan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi kini diabadikan menerusi buku khas Mawar Astana Mekar di Jiwa yang dilancarkan hari ini.
Buku berkenaan dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, dalam majlis khas di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, yang disaksikan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Fauziah.
Mawar Astana Mekar di Jiwa menghimpunkan perjalanan kehidupan Toh Puan Fauziah sejak zaman persekolahan dan kerjaya sebagai pramugari, kehidupan berkeluarga serta peranannya mendampingi suami dalam pelbagai tanggungjawab rasmi, selain penglibatan dalam kegiatan kebajikan dan kemasyarakatan.
Menurut Dato Sri Fatimah, karya itu membuka ruang untuk masyarakat mengenali Toh Puan Fauziah bukan hanya melalui gelaran, tetapi melalui peranan dan nilai yang membentuk peribadinya sebagai anak, ibu, wanita berkerjaya, isteri dan tokoh masyarakat.
Beliau berkata kesederhanaan, disiplin diri, ketabahan, kesetiaan, keikhlasan dan kejujuran merupakan antara nilai yang terserlah dalam perjalanan hidup Toh Puan Fauziah dan wajar dicontohi, khususnya oleh generasi muda dan wanita.
“Nilai-nilai inilah yang membentuk peribadi seseorang dan menjadikan seseorang itu bukan sahaja cantik pada pandangan mata, tetapi juga pada pandangan mata hati dan jiwa,” katanya ketika merasmikan buku berkenaan.
Sementara itu, Penyelaras Penerbitan buku, Dato Dr Jeniri Amir, berkata karya itu dihasilkan bagi mendokumentasikan sebuah perjalanan kehidupan supaya pengalaman dan teladan yang terkandung di dalamnya dapat menjadi sumber inspirasi kepada generasi kini dan akan datang.
Selain versi bercetak, Mawar Astana Mekar di Jiwa turut tersedia dalam bentuk e-buku interaktif yang dilengkapi audio dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris serta boleh diakses menerusi laman sesawang rasmi Astana Sarawak, sekali gus membolehkan karya itu dinikmati dengan lebih meluas selain mesra peranti.
Turut hadir Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan isteri, Dato Fatimah Mohd Iskandar, selain pemimpin masyarakat, ketua-ketua jabatan dan jemputan.- PENERANGAN -
-TAMAT -
Disediakan oleh: Mohamad Munir (BMKK)
Jurufoto: Lance Dunstan (BKVS)
KUCHING, 17 Ogos - Sarawak kini mempunyai platform kecerdasan buatan (AI) berdaulat yang membolehkan data dan maklumat kerajaan disimpan serta dimanfaatkan secara bersepadu bagi mempercepatkan perancangan dan pembangunan negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, platform berkenaan membolehkan data yang dikumpulkan dalam satu platform digunakan untuk pelbagai tujuan, termasuk merancang pembangunan bandar pintar dengan lebih pantas dan berkesan.
“Dengan adanya satu platform data berdaulat ini, kita dapat membangunkan projek dengan lebih cepat dan mempercepatkan usaha mencari penyelesaian kerana kita menggunakan data yang telah dikumpulkan dalam satu platform,” katanya ketika berucap pada majlis Launching of Sarawak Sovereign Artificial Intelligence Infrastructure Platform di sebuah hotel di sini, hari ini.
Jelasnya, platform tersebut turut mengambil kira perbezaan antara data strategik yang boleh dikongsi dengan data yang perlu dilindungi atas faktor keselamatan, justeru Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS) memainkan peranan penting dalam menentukan data yang boleh dikongsi dan data yang tidak boleh didedahkan.
Tambahnya, platform berkenaan turut akan memberi manfaat kepada rakyat dan sektor perniagaan dengan menyediakan akses kepada maklumat berkaitan potensi pembangunan sesuatu kawasan.
“Semua ada dalam data dan sebab itu kita panggilnya data mutlak, iaitu data kerajaan yang boleh juga diakses orang luar.
“Kalau mereka mahu menjalinkan usaha sama dan membangunkan kilang yang berkaitan dengan biodiversiti, mereka boleh masuk ke platform kita dan melihat lokasi, keluasan kawasan serta maklumat berkaitan dan hanya perlu membuat permohonan kepada kerajaan bagi kawasan berkenaan dan semuanya menjadi lebih cepat,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari berkata Sarawak juga mempunyai infrastruktur penyimpanan data sendiri menerusi dua pusat data kerajaan yang masing-masing terletak di Kota Samarahan dan Santubong.
Bagaimanapun, katanya, perkembangan teknologi masa depan memerlukan Sarawak memberi perhatian kepada penyimpanan data berasaskan awan serta keupayaan mendapatkan data melalui teknologi satelit.
Sehubungan itu, beliau berkata Sarawak perlu merancang pembangunan satelitnya sendiri sebagai sebahagian daripada agenda teknologi masa depan negeri.
“Untuk masa depan, kita perlu merancang satelit kita sendiri sebagai sebahagian daripada agenda teknologi masa depan negeri dan dijangka pelancaran satelit Sarawak adalah pada 2030 nanti,” katanya.
Majlis berkenaan turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara SAINS dan Sarawak Energy Berhad (SEB), selain dihadiri Pengerusi SAINS, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi; Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom; Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Abu Bakar Marzuki serta barisan tetamu kenamaan lain. –PENERANGAN
– TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Mohamad Rizal Matasan (BKVS)
KUCHING, 18 Ogos – Barisan pengurusan tertinggi dan pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak diseru untuk memikul tanggungjawab membimbing pegawai muda bagi memastikan kecemerlangan jabatan terus terpelihara pada masa hadapan.
Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan berkata perkongsian kepakaran dan legasi ilmu amat penting sebagai persediaan generasi pelapis dalam mendepani pelbagai cabaran baharu perkhidmatan awam yang semakin kompleks.
"Saya berharap pengarah, ketua bahagian dan unit di semua cawangan dapat menjaga, membimbing serta mendidik pegawai di bawah seliaan masing-masing kerana kita bertanggungjawab meninggalkan legasi ilmu kepada generasi muda," katanya ketika menyampaikan amanat sempena majlis perasmian Sambutan Hari Imigresen ke-104 Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2026 di Auditorium, Bangunan Sultan Iskandar, di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau merakamkan penghargaan atas dedikasi serta pengorbanan tanpa henti petugas barisan hadapan JIM, yang bertungkus-lumus mengawal pintu-pintu masuk dan sempadan bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan negara sentiasa terjamin.
Menyentuh mengenai rekod cemerlang agensi itu di peringkat nasional, Ahmad Nadzri memuji kecekapan sistem perkhidmatan JIM dalam menguruskan pengeluaran pasport seawal tempoh satu jam, yang menyumbang kepada pengiktirafan Pasport Malaysia sebagai antara tiga pasport terkuat di dunia.
Dalam majlis yang sama, Pengarah Imigresen Negeri Sarawak, Abdul Halim Abang Naili dalam ucapan alu-aluannya menegaskan bahawa jabatan tersebut sentiasa komited dalam merealisasikan tema 'Melakar Wajah Baharu Imigresen' menerusi empat fokus utama.
Beliau berkata fokus berkenaan merangkumi usaha pemerkasaan transformasi digital, peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan, pengukuhan keselamatan di pintu masuk dan sempadan, serta peranan sebagai agensi yang menyokong kemajuan ekonomi negara.
Menurutnya, penggunaan teknologi digital terkini merentasi pelbagai sistem imigresen di seluruh negara, khususnya di Sarawak, akan terus memudah serta mempercepat urusan rakyat tanpa kebergantungan kepada proses manual.
Abdul Halim turut mengingatkan warganya supaya sentiasa menjalankan tugas dengan tahap profesionalisme yang tinggi, ikhlas serta bersikap terbuka menerima kritikan dan maklum balas daripada masyarakat demi penambahbaikan jabatan.
Sempena Sambutan Hari Imigresen ke-104 Peringkat Negeri Sarawak itu, turut diadakan pameran di ruang legar Bangunan Sultan Iskandar dengan pelbagai aktiviti menarik serta kaunter perkhidmatan disediakan di reruai rasmi bagi mendekatkan agensi tersebut dengan masyarakat.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Pengurusan), Roslinda Hanim Mohd Yusoff.
-PENERANGAN-
– TAMAT –
Disediakan oleh : Safik Effendi Kassim (BMKK)
Jurufoto : Lance Dunstan (BKVS)
KUCHING, 18 Ogos: Kepimpinan dan penyertaan wanita amat penting dalam memacu usaha pemuliharaan alam sekitar, tindakan menangani perubahan iklim serta pembangunan mampan di Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, wanita kini telah memainkan peranan penting dalam pelbagai bidang termasuk sains, politik, kejuruteraan, penyelidikan, pemuliharaan, keusahawanan, pembangunan komuniti dan inovasi.
“Namun, kita perlu memastikan wanita bukan sahaja terlibat dalam melaksanakan kerja, malah turut diwakili dalam proses membuat keputusan utama,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, pada majlis perasmian simposium Women in Environment 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurut Abang Johari, komuniti perlu diberi ruang untuk memainkan peranan sebagai rakan kongsi jangka panjang dalam pemuliharaan alam sekitar melalui pemilikan, tanggungjawab dan pengurusan bersama.
"Kepentingan sains dan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), penderiaan jauh, analitik data dan sistem pintar dalam menangani cabaran alam sekitar boleh membantu kita memantau hutan, memahami perubahan alam sekitar, menjejaki pelepasan, membantu industri menggunakan sumber dengan lebih cekap dan membolehkan kerajaan membuat keputusan yang lebih baik,” katanya.
Beliau turut menyeru wanita dalam sektor alam sekitar supaya berani menyuarakan pandangan dan mengambil peranan kepimpinan, kerana pemerkasaan wanita bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan itu, malah turut memberi kesan positif kepada keluarga, komuniti, organisasi dan masyarakat.
Beliau berharap perbincangan sepanjang simposium tidak terhenti selepas persidangan ini, sebaliknya diteruskan menerusi pembentukan kerjasama, idea dan inisiatif baharu dalam memperkukuh kelestarian alam sekitar.
Terdahulu, pengerusi penganjur, Puan Sri Datin Amar Ashima Aziz, yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Malaysian Nature Society (MNS) berkata, simposium itu dianjurkan bersama MNS dan Green Generations, bagi memberi tumpuan kepada pengukuhan komuniti, pemeliharaan alam sekitar serta menterjemahkan agenda kelestarian kepada tindakan bermakna.
Menurutnya, pengisian Women In Environment 2026 disusun berdasarkan empat bidang yang saling berkaitan kerana agenda kelestarian tidak boleh dicapai menerusi satu perspektif sahaja.
“Antara fokus utama ialah dasar iklim, tadbir urus dan kepimpinan global, termasuk bagaimana sains diterjemahkan kepada dasar, penyertaan Malaysia dalam diplomasi iklim global serta kepentingan alam sekitar,” katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Dato Husain. Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin dan Presiden MNS, Anna Wong.
–PENERANGAN
– TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Eddie Allan Blanking (BKVS)
KUCHING, 18 Ogos - Para graduan Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) diseru supaya menjadikan ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang pengajian sebagai amanah untuk terus berbakti kepada agama, masyarakat dan negara, khususnya dalam mendepani cabaran era digital serta perkembangan kecerdasan buatan (AI).
Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata graduan IKMAS mempunyai peranan penting dalam membina ‘infrastruktur insani’ yang berteraskan nilai murni, integriti dan etika bagi menyokong pembangunan Sarawak.
Beliau berkata penguasaan ilmu agama perlu dilengkapi kemahiran digital serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa supaya graduan mampu tampil sebagai ejen perubahan yang menyebarkan ilmu bermanfaat dan memelihara keharmonian masyarakat majmuk di negeri ini.
“Graduan IKMAS mempunyai peranan yang amat kritikal dalam pembangunan Sarawak, khususnya dalam membina ‘infrastruktur insani’ yang berpaksikan nilai murni, integriti dan etika,” katanya ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen IKMAS Kali Ke-22 Tahun 2026 di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini, hari ini.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata para graduan perlu melihat ilmu dan kemahiran yang diperoleh bukan sekadar sebagai pencapaian akademik, sebaliknya amanah yang mesti dimanfaatkan untuk memberi manfaat kepada masyarakat.
Beliau berkata dalam menghadapi perubahan sosioekonomi global dan perkembangan teknologi, termasuk AI, graduan IKMAS perlu menjadi pendakwah yang serba boleh dengan menguasai ilmu agama, teknologi, komunikasi, pengurusan dan keusahawanan, di samping menjadikan akhlak serta integriti sebagai landasan kehidupan.
“Jadilah insan yang memberi manfaat, membawa rahmat dan menjadi ejen perubahan dalam masyarakat, khususnya dalam konteks masyarakat majmuk di Sarawak yang menuntut kita mengamalkan kebersamaan, saling menghormati dan toleransi,” katanya.
Istiadat berkenaan menyaksikan 129 graduan menerima penganugerahan masing-masing, terdiri daripada 102 graduan Diploma Dakwah Islamiah, 12 graduan Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat serta 15 graduan Sijil Pengajian Islam.
Istiadat turut dihadiri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Mufti Sarawak Sahibussamahah Datu Khalidi Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee serta Pengarah IKMAS Tuan Norazamir Alias.
-PENERANGAN -
-TAMAT -
Disediakan oleh: Mohamad Munir (BMKK)
Foto: Khairul Anwar (BKVS)
KUCHING, 17 Ogos – Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak mengajak agensi media memperhebat kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan membudayakan amalan mengibarkan Jalur Gemilang dalam kalangan masyarakat.
Pengarah JAPEN Sarawak, Sabri Said berkata, setiap agensi media mempunyai kekuatan tersendiri dalam menyampaikan mesej kemerdekaan melalui saluran yang dekat dengan khalayak termasuk platform digital.
Beliau berkata demikian ketika Program Singgah Media JAPEN ke Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) sebelum diteruskan ke CATS FM, dengan fokus mengajak warga media menyumbang kepada kempen Kibar Jalur Gemilang melalui pendekatan yang bersesuaian dengan platform masing-masing.
Menurutnya, perubahan landskap media membuka ruang lebih luas kepada pempengaruh dan pencipta kandungan untuk menyampaikan mesej patriotisme secara kreatif terutama kepada generasi muda, termasuk melalui pertandingan penghasilan kandungan media sosial bertemakan kemerdekaan.
Sabri berkata, usaha menyemai semangat kenegaraan sebelum ini turut dilaksanakan melalui esei dan debat kenegaraan, penerbitan buku Pedoman Rakyat serta penglibatan sekolah, komuniti dan masyarakat umum yang kini perlu diperluas ke ruang digital.
Sementara itu, UKAS turut menggerakkan program Semarak Kemerdekaan sejak Julai yang akan diteruskan sehingga sambutan Hari Malaysia pada 16 September sebagai usaha menghidupkan suasana kemerdekaan dan memperkukuh penghayatan masyarakat terhadap semangat kenegaraan.
Sabri berkata, gerakan mengibarkan Jalur Gemilang boleh dilakukan melalui inisiatif bersama tanpa bergantung kepada peruntukan kewangan kerana kesanggupan masyarakat mengambil bahagian mencerminkan kecintaan terhadap negara selain menyeru rakyat menghargai kepelbagaian kaum sebagai kekuatan Malaysia dan tidak membiarkan sengketa di media sosial menghakis perpaduan.
Sementara itu, CATS FM menyatakan kesediaan menyertai program JAPEN termasuk Konvoi Kembara Merdeka selain mencadangkan program akar umbi seperti pengagihan Jalur Gemilang secara pandu lalu di Plaza Merdeka pada 16 September dengan peserta mengenakan pakaian kebangsaan masing-masing.
Sabri turut mengingatkan masyarakat supaya mematuhi panduan rasmi pengibaran Jalur Gemilang termasuk memastikan bendera berada dalam keadaan sempurna manakala pakaian bertemakan Jalur Gemilang hendaklah menggunakan warna bendera tanpa mengubah atau menjadikan bendera itu sebagai pakaian.
Kunjungan ke CATS FM disertai Timbalan Pengarah JAPEN Sarawak, Sri Kestury yang turut bersiaran langsung dalam sesi temu bual bersama penyampai radio Naz Azahari, Elya Nabila dan Fyra Farid, menjadikan stesen itu agensi media kesembilan disantuni JAPEN, dengan masyarakat juga diseru menggantikan Jalur Gemilang yang telah lusuh dengan bendera baharu sebagai simbol pembaharuan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara. -PENERANGAN- -TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Cassidy Lisut Tubong / Bolhan Haji Basah (BKVS)
KUCHING, 19 Ogos - Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak memperhebat Kempen Kibar Jalur Gemilang menerusi inisiatif JAPEN Arena Penggerak Komuniti (JAGO) dengan menggerakkan pelbagai agensi bagi menyemarakkan semangat patriotisme serta menggalakkan masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang.
Pengarah JAPEN Sarawak, Sabri Said, berkata inisiatif berkenaan memberi penekanan kepada mesej ‘Satu Rumah Satu Jalur Gemilang’ sebagai usaha menggalakkan masyarakat, termasuk penjawat awam dan warga kerja pelbagai sektor, bersama-sama menyemarakkan Kempen Kibar Jalur Gemilang.
“JAGO merupakan satu pendekatan JAPEN untuk menggerakkan pelbagai agensi dan komuniti dalam menyampaikan mesej kempen secara lebih meluas. Kita mahu semangat mengibarkan Jalur Gemilang ini dapat diteruskan di setiap peringkat masyarakat,” katanya ketika ditemui pada program JAGO di sini, hari ini.
Beliau berkata, penglibatan pelbagai agensi dalam Kempen Satu Rumah Satu Jalur Gemilang membolehkan mesej patriotisme disampaikan dengan lebih meluas menerusi jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, sektor keselamatan, industri dan kesihatan.
“Melalui penglibatan setiap kluster, kita dapat memperluas capaian kempen dan memastikan mesej patriotisme ini sampai kepada masyarakat melalui agensi serta organisasi yang dekat dengan komuniti,” katanya.
Menerusi program berkenaan, penyerahan kit Jalur Gemilang dilaksanakan kepada wakil agensi yang terlibat dalam empat kluster, iaitu kluster agensi kerajaan, keselamatan, industri dan kesihatan.
Penyerahan kit di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak, Bangunan Sultan Iskandar diterima oleh Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan.
Bagi kluster keselamatan, kit Jalur Gemilang turut diserahkan kepada Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching serta Komander Pintu Masuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Pius Inggong.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB), Kamaruzzaman Razali, menerima kit bagi mewakili kluster industri.
Bagi kluster kesihatan pula, kit Jalur Gemilang diserahkan kepada Ketua Pegawai Operasi (COO) Normah Medical Centre, Vesmawati Jaafar.
Sabri berkata, penglibatan pelbagai agensi menerusi JAGO penting dalam memperluas penyampaian mesej Kempen Kibar Jalur Gemilang kepada masyarakat, di samping memperkukuh kerjasama dalam menjayakan agenda patriotisme.
Beliau turut menyeru seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang atau sektor pekerjaan supaya bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kecintaan dan kebanggaan terhadap negara.
Usaha berkenaan diharap dapat menyemarakkan lagi semangat patriotisme rakyat Sarawak serta meningkatkan penglibatan masyarakat dalam Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Alya Sukri (BMKK)
Foto : Abdul Hakeem Well (BKVS)
BELAGA, 19 Ogos – Projek Akademi MyCorps 2.0 yang dilaksanakan selama sebulan bermula 25 Julai hingga 24 Ogos 2026 di Kampung Kejaman Lasah, Belaga, memberi peluang kepada golongan belia mendekati komuniti serta memahami keperluan dan cabaran masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, MyCorps merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan yang menyediakan ruang kepada golongan belia untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti kesukarelawanan dan kemasyarakatan.
Menurut beliau, program tersebut turut memberi pendedahan kepada peserta dalam aspek kepimpinan, memahami keperluan masyarakat serta mengenal pasti isu setempat dan bersama-sama mencari penyelesaian yang memberi manfaat kepada komuniti.
“Anak-anak muda perlu merasai sendiri kehidupan masyarakat dan memahami cabaran yang dihadapi. Kesukarelawanan memerlukan tenaga, kemahiran, kepimpinan dan yang paling utama ialah keprihatinan terhadap masyarakat lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Akademi MyCorps 2.0 di Kampung Kejaman Lasah, hari ini.
Mordi berkata, walaupun projek yang dilaksanakan tidak berskala besar, setiap usaha tetap mempunyai nilai sekiranya dapat membantu menyelesaikan permasalahan serta memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Katanya, pengalaman sepanjang berada di Kampung Kejaman Lasah bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti, malah menjadi platform pembelajaran kepada sukarelawan untuk memahami realiti kehidupan masyarakat luar bandar, selain memupuk sikap menghargai penerimaan, keterbukaan dan kerjasama komuniti sepanjang pelaksanaan projek.
Beliau berharap pengalaman tersebut dapat membentuk golongan belia yang lebih prihatin, berkemahiran serta mempunyai nilai kepimpinan dan semangat kesukarelawanan yang tinggi.
Sepanjang tempoh pelaksanaan, lima sukarelawan Akademi MyCorps 2.0 telah melaksanakan tiga projek utama iaitu _Safe Steps to School_, _Solar for Safety_ dan _Revive the Longhouse_.
_Safe Steps to School_ memberi tumpuan kepada kerja membaik pulih dan mengukuhkan jambatan menuju ke sekolah yang mengalami kerosakan bagi meningkatkan aspek keselamatan pengguna.
Sementara itu, _Solar for Safety_ melibatkan pemasangan 12 unit lampu solar di beberapa lokasi strategik termasuk jeti dan sekolah bagi meningkatkan pencahayaan serta keselamatan komuniti pada waktu malam.
_Revive the Longhouse_ pula melibatkan kerja mengecat semula ruai di enam blok rumah panjang serta gereja.
Selain projek utama, sukarelawan turut melaksanakan beberapa projek mini menerusi _Academic Support Programme_ yang memberi tumpuan kepada aspek pendidikan dan pembangunan sahsiah pelajar.
Sukarelawan MyCorps turut melaksanakan Jalinan Court yang melibatkan kerja membaik pulih tiang gol serta mengecat semula gelanggang bola tampar bagi menyediakan ruang aktiviti sukan yang lebih selesa dan selamat kepada komuniti.
Turut hadir, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Mohammad Shahnaz Mawardi, Guru Besar SK Long Segaham, Gideon Anyi, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Bintulu, Jeremy Luguh, Penghulu Masyarakat Kawasan Bakun Belaga, Jackson Kubang Luring, Ketua Kaum Kampung Kejaman Lasah Long Segaham, Sylvia Senah Lasah serta tetamu jemputan lain.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Evelyn Lungan (JAPEN Belaga)
Foto: Awangku Hamizan (JAPEN Belaga)
KUCHING, 20 Ogos – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah selamat berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada jam 11.45 pagi tadi dengan menaiki pesawat khas untuk lawatan kerja ke Kuching, Sarawak.
Keberangkatan tiba Baginda telah disambut oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
Sepanjang berada di Kuching, Al-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli ke Majlis Santapan Malam, malam ini selain berkenan berangkat ke Telok Melano untuk Solat Jumaat dan Majlis Perasmian Masjid Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa, keesokan hari.
Baginda dijangka berangkat pulang dari Kuching ke Pahang dengan menaiki pesawat khas pada hari Sabtu ini.
Turut hadir menyambut ketibaan Seri Paduka Baginda di LTAK ialah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng dan Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak, Datu Hamdan Sharbini. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Bolhan Haji Basah (BKVS)
KUCHING, 21 Ogos 2026 - Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam sempena keberangkatan Baginda ke Sarawak, di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersama dif-dif kenamaan serta barisan kepimpinan Pahang dan Sarawak.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran Sarawak, Ibu Pertiwiku dan lagu rasmi Negeri Pahang, Allah Rahmatkan Raja Kami diikuti persembahan selamat datang yang mengetengahkan kepelbagaian seni dan budaya masyarakat Sarawak.
Acara turut diserikan dengan tayangan video khas bertajuk Pahang dan Sarawak, Sulaman Kasih Dua Persada yang menyorot jalinan persahabatan serta hubungan erat antara kedua-dua negeri.
Majlis santapan kemudiannya diserikan dengan persembahan kebudayaan dan hiburan oleh artis jemputan serta kumpulan muzik yang mengetengahkan kepelbagaian etnik dan warisan budaya Sarawak.
Kemuncak majlis menyaksikan persembahan finale menerusi Joget Jinak Merpati dan Berkikis Bulu Betis yang melambangkan kemesraan, kesepakatan serta semangat kebersamaan antara Pahang dan Sarawak.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan menteri dan timbalan menteri Sarawak, dif-dif kenamaan, rombongan Kerabat Diraja Pahang, ketua-ketua jabatan serta pemimpin masyarakat.-PENERANGAN.
-TAMAT-
Disediakan oleh: Mohamad Munir (BMKK)
Jurufoto: Cassidy Lisut (BKVS)
TELOK MELANO, 21 Ogos - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah berkenan menyempurnakan sesi penanaman anak pokok Bauhinia purpurea atau lebih dikenali sebagai pokok tapak unta dan pokok kupu-kupu (butterfly tree) di perkarangan Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Telok Melano, di sini hari ini.
Sesi penanaman tersebut berlangsung pada pukul 2.00 petang sempena keberangkatan KDYMM Sultan Pahang ke Telok Melano.
Bauhinia purpurea merupakan spesies tumbuhan hiasan daripada keluarga Fabaceae yang mempunyai ciri daun terbelah dua menyerupai tapak kaki haiwan atau sayap kupu-kupu, selain menghasilkan bunga berwarna ungu dan merah jambu.
Penanaman pokok berkenaan menjadi simbolik kepada komitmen terhadap usaha menghijaukan persekitaran serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar dalam pembangunan kawasan setempat.
Pemilihan spesies Bauhinia purpurea turut memberikan nilai estetika kepada persekitaran masjid, selain berpotensi menjadi sebahagian daripada landskap hijau di kawasan Telok Melano.
Inisiatif tersebut selaras dengan usaha mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif dan lestari, khususnya di kawasan yang dijangka terus berkembang serta menjadi tumpuan masyarakat dan pengunjung susulan pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam.
Pada masa sama, penanaman pokok tersebut menjadi satu kenangan bermakna sempena keberangkatan KDYMM Sultan Pahang ke Telok Melano, selain membawa mesej kelestarian untuk manfaat generasi akan datang.
Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merupakan antara mercu tanda penting di Telok Melano dan melengkapi pembangunan kawasan berkenaan yang mempunyai kedudukan strategik sebagai salah satu pintu masuk ke Sarawak menerusi jajaran Lebuh Raya Pan Borneo.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, bersama dif-dif kenamaan serta barisan kepimpinan Pahang dan Sarawak. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Aishah Latip (JAPEN Lundu)
Foto : Khairul Anwar Ali & Mohamad Rizal (BKVS)
SEMATAN, 21 Ogos – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menyempurnakan perasmian Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kampung Telok Melano, di sini yang turut disusuli dengan keberangkatan Baginda menunaikan solat Jumaat bersama masyarakat setempat.
Menurutnya, masjid berkenaan diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan serta kesejahteraan masyarakat setempat selain terus berperanan sebagai pusat kegiatan keagamaan dan kemasyarakatan.
“Saya berdoa rumah Allah ini akan menjadi satu pemangkin kepada pembangunan di sini dan mudah-mudahan perancangan pembangunan di persekitaran ini dapat dilaksanakan,” titah Baginda pada majlis perasmian masjid berkenaan.
Al-Sultan Abdullah turut menyeru masyarakat supaya terus mengimarahkan masjid dengan pelbagai kegiatan keagamaan dan kemasyarakatan bagi memastikan rumah ibadah itu sentiasa menjadi tempat perhimpunan serta penyatuan masyarakat.
Selain itu, baginda berharap hubungan antara Pahang dengan Sarawak terus dipererat melalui jalinan silaturahim antara pemimpin dan rakyat kedua-dua negeri.
“Pahang dengan Sarawak ini macam sepupu, saya harap hubungan silaturahim antara pemimpin Sarawak dan Pahang akan terus ditingkatkan dan rakyat Sarawak serta rakyat Pahang dapat mengeratkan lagi ukhuwah,” titah Al-Sultan Abdullah.
Masjid berkenaan yang dibangunkan berhampiran Kilometer 0 Lebuhraya Pan Borneo mampu menampung kira-kira 500 jemaah pada satu-satu masa dan berpotensi menjadi tempat persinggahan umat Islam serta musafir yang berkunjung ke Telok Melano.
Pembinaan masjid itu turut mempunyai nilai sejarah apabila Baginda ketika menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 berkenan menyempurnakan majlis pecah tanah pada 13 September 2023 sempena hari terakhir Kembara Kenali Borneo.
Turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Sri Nancy Shukri, Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan serta tetamu kehormat lain. -PENERANGAN-
- TAMAT-
Disediakan Oleh: Mohamad Munir (BMKK)
Jurufoto: Mohamad Rizal, Khairul Anwar Ali dan Eddie Allan Blanking (BKVS)
MALUDAM, 22 Ogos – Program Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) Kampung Maludam 2026 menyemarakkan semangat patriotisme penduduk menerusi aktiviti gotong-royong dan pengibaran Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak, Sabri Said berkata, penglibatan komuniti dalam program berkenaan mencerminkan kesungguhan penduduk menzahirkan rasa cinta kepada negara melalui penghayatan Bulan Kebangsaan.
“Ambillah peluang untuk kita kibarkan Jalur Gemilang dan dalam masa yang sama sebarkan mesej kepada rakan-rakan kita di tempat-tempat lain ataupun di dalam kampung kita yang mungkin masih belum memasang Jalur Gemilang di rumah masing-masing,” katanya ketika berucap pada program berkenaan di sini, hari ini.
Beliau berkata, Kampung Maludam mempunyai keunikan tersendiri dengan suasana perkampungan tradisional yang berkembang seiring kemudahan asas serta pembangunan setempat sekali gus memperlihatkan kesepakatan dan kekuatan komuniti dalam membangunkan kawasan berkenaan.
Penduduk juga diingatkan agar sentiasa memastikan Jalur Gemilang dikibarkan dengan cara yang betul termasuk memastikan susunan jalur dan kedudukan bintang pada bendera menepati reka bentuk rasmi bagi mengelakkan kesilapan.
“Kalau kita nak kibarkan Jalur Gemilang yang betul, mudah sahaja petuanya iaitu daripada kanan ke kiri dan pastikan jalur warna merah berada di bahagian atas,” katanya.
Sabri berkata, Kempen Satu Rumah Satu Jalur Gemilang yang dilaksanakan Jabatan Penerangan setiap tahun menjadi platform untuk menggalakkan masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing serta menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di peringkat akar umbi.
Beliau memaklumkan bahawa semangat patriotisme perlu bergerak seiring pembangunan fizikal dan kemanusiaan selaras dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, yang menekankan keseimbangan pembangunan serta nilai kemanusiaan dalam membina masa depan negara.
Menurutnya, Jabatan Penerangan turut berperanan membantu masyarakat mendapatkan maklumat berkaitan pelbagai inisiatif kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), SKAS, Bantuan Ibu Bersalin, Kenyalang Gold Card dan Senior Citizen Health Benefit supaya manfaat berkenaan dapat disampaikan kepada golongan yang layak.
Sabri mencadangkan penduduk Kampung Maludam menjadikan pengibaran Jalur Gemilang secara besar-besaran pada awal Ogos tahun hadapan sebagai inisiatif komuniti yang berpotensi menarik perhatian pengunjung dan media selain mengetengahkan produk tempatan sebagai tarikan kampung.
Turut hadir, Penolong Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Maludam Noraini Aden; Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak Sri Kestury Mohammed Zamhari; Penyelia Perpustakaan Desa Maludam Saadiah Mahli; Ketua Kampung Belakang Pasar Abu Hassan Buang dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung setempat.-PENERANGAN- -TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Lance Dunstan dan Khairul Anwar (BKVS)
KUCHING, 22 Ogos - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat pulang ke Pahang hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi tiga hari di Sarawak.
Keberangkatan pulang baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam kira-kira 10.00 pagi tadi menuju Pangkalan Udara TUDM Kuantan dengan menaiki pesawat khas.
Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching disambut oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni.
Dalam lawatan bermula 20 Ogos itu, Baginda berkenan menghadiri Majlis Santapan Malam bersama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Baginda turut berkenan menunaikan solat Jumaat bersama masyarakat setempat dan menyempurnakan perasmian Masjid Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kampung Telok Melano, Sematan, selain menanam anak pokok Bauhinia purpurea di perkarangan masjid.- PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan: Mohamad Munir (BMKK)
Foto : Cassidy Lisut (BKVS)
BELAGA, 22 Ogos – Pembangunan sektor pertanian di Sungai Asap perlu diperkasa menerusi ekosistem pertanian yang lengkap, moden dan berdaya saing bagi meningkatkan produktiviti serta pendapatan masyarakat setempat.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, sektor pertanian perlu beralih daripada kaedah tradisional kepada pendekatan moden melalui penggunaan teknologi seperti Internet of Things (IoT), pertanian pintar (smart farming) dan pertanian persis (precision farming).
Menurutnya, Stesen Pertanian Sungai Asap yang diserahkan hari ini perlu dimanfaatkan bukan sahaja sebagai pusat khidmat nasihat, malah sebagai pemangkin kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D), latihan serta bimbingan kepada petani.
“Stesen ini bukan sekadar tempat penyimpanan, tetapi perlu menjadi pusat R&D, latihan dan khidmat bimbingan bagi membantu petani mengenal pasti tanaman yang sesuai serta mempunyai nilai pasaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Stesen Pertanian Sungai Asap, di sini, hari ini.
Beliau turut menekankan kepentingan membangunkan rantaian bekalan yang lengkap merangkumi aspek pengeluaran, pengangkutan, pemprosesan dan pemasaran bagi memastikan hasil pertanian mempunyai nilai tambah serta pasaran yang lebih terjamin.
Selain itu, Stephen Rundi berkata, kekangan keluasan tanah perlu ditangani menerusi penanaman tanaman bernilai tinggi (high-value crops) dan pelaksanaan pertanian secara berkelompok, di samping usaha meningkatkan keluasan tanah pertanian penduduk Sungai Asap.
“Jangan melihat tanah yang kecil sebagai penghalang. Kita perlu mencari tanaman bernilai tinggi dan menggunakan teknologi baharu supaya tanah yang ada dapat memberikan hasil yang lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyokong usaha meningkatkan keluasan tanah pertanian yang diperuntukkan kepada penduduk Sungai Asap susulan penempatan semula akibat pembangunan Empangan Bakun bagi membolehkan projek pertanian dilaksanakan pada skala yang lebih berdaya maju.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.66 Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, pembangunan sektor pertanian di Sungai Asap perlu disokong dengan tiga komponen utama, iaitu Smart Farming Centre, Food Terminal serta pembinaan dan penaiktarafan jalan pertanian.
Menurutnya, ketiga-tiga komponen tersebut perlu dibangunkan secara bersepadu bagi membentuk rantaian ekonomi pertanian yang lengkap, meliputi aspek teknologi, pengeluaran, akses ke kawasan pertanian dan pemasaran.
“Matlamat kita bukan sekadar membina projek, tetapi membina satu ekosistem pertanian yang mampu meningkatkan pengeluaran, mewujudkan peluang pekerjaan dan seterusnya meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar,” katanya.
Beliau turut berharap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak dapat mempertimbangkan satu pelan hala tuju pembangunan pertanian Sungai Asap yang dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan pembangunan sektor berkenaan lebih tersusun, menyeluruh dan memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Stesen Pertanian Sungai Asap, Belaga mula dibina pada Februari 2024 dan siap sepenuhnya pada Ogos 2026. Projek berkenaan menggantikan bangunan lama Jabatan Pertanian serta menyediakan kemudahan pejabat dan kuarters, sekali gus memperkukuh penyampaian perkhidmatan pertanian kepada komuniti Sungai Asap dan kawasan sekitarnya.
Turut hadir Ahli Dewan Negara, Senator Micheal Mujah Lihan; Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datu Sirai Daha; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Thomas Balan Bang; Residen Bahagian Kapit, Elvis Didit; Pengarah Jabatan Pertanian, Dominic Chunggat; Pegawai Daerah Belaga, Bidah Lujah; Jurutera Jabatan Kerja Raya Bahagian Kapit, Ir. Ts. Jawa Gara; serta Ketua-ketua Masyarakat dan Ketua-ketua Kaum (KMKK) dan ketua-ketua jabatan.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Evelyn Lungan Ajang (JAPEN Belaga)
LUNDU, 22 Ogos - Penjawat awam perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan mempunyai pemikiran terbuka bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat sentiasa relevan, berkesan serta memenuhi keperluan semasa.
Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Ahmad Nadzri Mohd Hassan berkata, penjawat awam di peringkat Persekutuan dan Negeri mempunyai tanggungjawab serta peranan masing-masing dalam memastikan perkhidmatan kerajaan dapat disampaikan dengan sebaiknya.
Menurut beliau, kerjasama erat antara kedua-dua perkhidmatan awam itu perlu terus diperkukuh bagi memastikan usaha pembangunan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan secara bersepadu.
“Saya berbangga melihat kerjasama antara penjawat awam Persekutuan dan Negeri yang sentiasa bergotong-royong serta bekerjasama untuk menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab masing-masing dan dibayar mengikut kaedah serta peranan yang telah ditetapkan. Justeru, amanah tersebut perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab,” katanya ketika berucap pada Program Gotong-royong Bersama Komuniti di Pantai Pandan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Nadzri berkata, penjawat awam juga perlu berupaya melihat sesuatu perkara daripada perspektif yang lebih luas, termasuk mengenal pasti nilai dan potensi yang mungkin tidak disedari oleh orang lain.
Katanya, sesuatu yang dianggap tidak bernilai atau sekadar bahan buangan oleh sesetengah pihak tidak semestinya mempunyai nilai yang sama pada pandangan pihak lain.
“Kadang-kadang apa yang kita anggap sebagai sampah sebenarnya amat berharga kepada orang lain. Sebagai contoh, daun Indian Almond yang mungkin kita lihat tidak bernilai boleh dikumpulkan, dibungkus dan dijual sehingga mempunyai nilai di pasaran.
“Ini menunjukkan penilaian kita terhadap sesuatu perkara tidak semestinya sama dengan orang lain. Sebab itu kita perlu melihat sesuatu dengan fikiran yang lebih terbuka dan berdasarkan ilmu,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan tersebut penting dalam kalangan penjawat awam kerana perubahan keperluan rakyat menuntut perkhidmatan awam yang bukan sahaja cekap, malah kreatif, responsif serta mampu mengenal pasti peluang untuk menambah baik sistem sedia ada.
“Jadilah penjawat awam yang berilmu. Ilmu akan membantu kita membuat penilaian yang lebih tepat, melihat peluang dan memahami bahawa setiap perkara mempunyai nilai serta potensi tersendiri,” katanya.
Turut hadir, Pengarah KPDN Negeri Sarawak, Matthew Dominic Barin dan Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail.
Disediakan oleh: Aishah Latip (JAPEN Lundu)
Foto: UKAS
LUNDU, 22 Ogos – Usaha memperkasa kesedaran dan melindungi hak pengguna di kawasan luar bandar terus diperkukuh menerusi Program Kenyalang Consumer Ride and Outreach sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 yang berlangsung di Waterfront Lundu, hari ini.
Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato’ Ahmad Nadzri Mohd Hassan, berkata pendekatan turun padang seperti itu penting bagi memastikan masyarakat mendapat akses terus kepada maklumat berkaitan kepenggunaan, selain memahami hak serta tanggungjawab mereka ketika berurusan dalam pasaran.
Beliau berkata kesedaran pengguna perlu dipertingkatkan bagi membolehkan masyarakat membuat pilihan pembelian secara bijak, beretika dan tidak mudah terpedaya dengan penipuan perdagangan.
“Program seperti ini memberi ruang kepada kerajaan untuk mendekati masyarakat secara lebih dekat, khususnya di kawasan luar bandar, dengan menyampaikan maklumat berkaitan hak pengguna, kawalan harga, penipuan perdagangan serta peranan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Pada masa sama, ia memberi peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan penjelasan secara terus dan mengetahui saluran yang tersedia sekiranya berdepan isu kepenggunaan,” katanya pada sidang media selepas program berkenaan di sini hari ini.
Program anjuran KPDN Sarawak dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak, Pejabat Daerah Lundu dan Ibu Pejabat Polis Daerah Lundu itu turut mengetengahkan aspek penguatkuasaan melalui Advokasi Penguatkuasaan dan Latihan Ujian Ketepatan Sukatan ke atas pam dispenser di stesen minyak di Lundu.
Ujian menggunakan Tangki Standard berkapasiti 10 liter itu bertujuan memastikan sukatan bahan api yang dikeluarkan adalah tepat dan sepadan dengan jumlah liter yang dipaparkan pada pam dispenser.
Langkah berkenaan secara tidak langsung memberi keyakinan kepada pengguna bahawa transaksi yang dibuat adalah berdasarkan sukatan yang tepat, selain memastikan kepentingan pengguna sentiasa diberi perhatian.
Dalam perkembangan berkaitan, Program Jualan Rahmah MADANI bertemakan HKHM 2026 turut diadakan dengan menawarkan pelbagai barangan keperluan asas pada potongan harga sehingga 30 peratus.
Turut hadir Pengarah KPDN Negeri Sarawak Matthew Anak Dominic Barin. -PENERANGAN-
-TAMAT
Disediakan oleh: Aishah Latip (JAPEN Lundu)
Foto oleh: UKAS
KUCHING, 23 Ogos – Program Sokongan Penjaga Insan Sejahtera (SPeKTRUM) Peringkat Negeri Sarawak dilancarkan hari ini sebagai platform memperkasa golongan penjaga menerusi latihan, pengetahuan, motivasi dan sokongan psikososial.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, penjaga yang menguruskan ahli keluarga uzur, orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik atau terlantar memerlukan kemahiran, kesabaran, kekuatan emosi serta sokongan berterusan.
Menurut beliau, ekosistem penjagaan tidak seharusnya meletakkan keseluruhan tanggungjawab kepada keluarga semata-mata, sebaliknya perlu diperkukuh menerusi perkhidmatan penjagaan di rumah, penjagaan sementara, sokongan psikososial serta jaringan komuniti dan kerajaan.
“Penjaga memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan insan yang memerlukan perhatian khusus sentiasa terpelihara.
“Justeru, mereka perlu diberikan sokongan yang sewajarnya supaya tugas penjagaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan berdaya tahan,” katanya ketika merasmikan Program SPeKTRUM Peringkat Negeri Sarawak di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, di sini, hari ini.
Menurut beliau, sehingga Jun 2026, seramai 42,036 penerima di seluruh negara menerima Bantuan Penjagaan OKU Terlantar, Pesakit Kronik Terlantar dan Pesakit Kronik Tidak Terlantar (BPT), melibatkan peruntukan lebih RM119.5 juta.
Di Sarawak pula, seramai 3,235 penerima menerima manfaat BPT dengan perbelanjaan melebihi RM10.4 juta, manakala Bantuan Warga Emas (BWE) disalurkan kepada 23,034 penerima dengan perbelanjaan melebihi RM94.3 juta dalam tempoh sama.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, Semawi Mohamad; Pengarah Bahagian Kebajikan Produktif, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia;Azahari Mohd Daut, Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sarawak, Jimbau Munggat; dan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Dr. Azizul Ismail.
-PENERANGAN-
-TAMAT -
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Mohamad Rizal Matassan (BKVS)
KUCHING, 23 Ogos 2026 – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg hari ini merasmikan 'AI For Makers'(AIFM) 2026, edisi 'Borneo Makers Festival' yang memfokuskan penerapan kecerdasan buatan (AI) dalam kreativiti, inovasi dan pembangunan penyelesaian teknologi.
Menurut Abang Johari penguasaan AI perlu disokong pembangunan modal insan bagi membolehkan generasi muda Sarawak memanfaatkan kemajuan teknologi serta meneroka potensi sumber dan ekonomi negeri.
Katanya, maklumat yang diproses AI boleh memberikan pandangan kepada manusia, namun maklumat berkenaan perlu dikaji dan dinilai sebelum digunakan.
“Maklumat yang diproses oleh AI boleh memberikan pandangan kepada kita, tetapi kita sebagai manusia mesti mengkaji dan menilai maklumat yang diterima,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian AIFM 2026 di TEGAS Digital Village di sini, hari ini.
Katanya, perkembangan teknologi perlu dimanfaatkan dalam pelbagai sektor termasuk penyelidikan, pertanian, kejuruteraan, tenaga, kesihatan dan penyampaian perkhidmatan awam, manakala generasi muda perlu didekatkan dengan teknologi bagi mempercepat pembangunan ekonomi.
“Jika kita nak menjadi negara yang berkembang, kita perlu mengembangkan anak muda kita, menjadikan mereka dekat dengan teknologi dan kita boleh berkembang lebih cepat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Pengerusi TEGAS, Datuk Haji Len Talif Salleh berkata AIFM 2026 menjadi platform untuk anak Sarawak bukan sekadar mengenali AI, malah mencuba, meneroka dan mencipta menggunakan teknologi berkenaan.
“Rakyat Sarawak, khususnya golongan belia, kini menuju ke arah pembentukan masyarakat yang celik dan mahir AI dan inisiatif ini mengambil kira perkembangan teknologi AI yang sangat pantas bagi memastikan masyarakat kita tidak ketinggalan,” katanya.
Berlangsung selama dua hari, AIFM 2026 menampilkan ceramah, forum, demonstrasi produk AI tempatan, bengkel kemahiran, pameran interaktif serta AI Hackathon dan Creative Showcase peringkat sekolah dan universiti, sekali gus mempertemukan pelajar, pendidik, institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, usahawan dan komuniti teknologi.
Program anjuran TEGAS dengan kerjasama Sarawak Artificial Intelligence Centre (SAIC) itu turut menjadi platform memperluas akses kepada teknologi AI serta menggalakkan komuniti makers membangunkan idea, prototaip dan penyelesaian baharu.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Ahli Lembaga Amanah TEGAS, Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Udin Bujang dan Ketua Pegawai Eksekutif SAIC, Prof Dr Patrick Then. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan: Mohamad Munir (BMKK)
Foto: Cassidy Lisut (BKVS)
KUCHING, 24 Ogos - Selaras dengan Dasar Sosial Negara 2030, kerajaan kini mengangkat sektor penjagaan bukan lagi sekadar cabang kebajikan, sebaliknya sebagai satu keperluan dan pelaburan strategik untuk masa hadapan negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata pemerkasaan sektor penjagaan perlu diperkukuh kerana ia merupakan sebahagian daripada teras pembangunan sosial dan ekonomi Malaysia.
"Pelancaran hari ini menandakan perubahan dalam cara kita melihat industri penjagaan dan penjagaan tidak boleh dilihat sebagai satu kos semata-mata, penjagaan ialah pelaburan kepada manusia, keluarga dan negara," katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Inisiatif Sektor Penjagaan dan Pelancaran Kempen Penjagaan di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Bagi menterjemahkan matlamat dasar berkenaan, Nancy berkata di bawah Belanjawan MADANI 2026, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM8 juta khusus untuk membangunkan ekosistem penjagaan yang lebih tersusun, berkualiti dan profesional.
Daripada jumlah tersebut, beliau menjelaskan sebanyak RM3 juta disalurkan untuk program latihan penjagaan manakala RM5 juta lagi bagi pembangunan Piawaian Penjagaan Nasional Warga Emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).
Mengulas lanjut, beliau berkata keperluan memperkukuh sektor penjagaan selari dengan dasar negara adalah sangat mendesak memandangkan Malaysia sedang melalui perubahan demografi yang pantas dan dijangka beralih ke fasa negara tua menjelang tahun 2036.
Menurutnya, menjelang tempoh tersebut, penduduk berumur 60 tahun dan ke atas dijangka melebihi 15 peratus daripada keseluruhan rakyat di negara ini.
"Pada masa yang sama, kadar kesuburan negara telah menurun daripada 2.93 anak bagi setiap wanita pada tahun 2000 kepada purata 1.60 anak pada tahun 2024.
"Perubahan ini memberi kesan kepada struktur keluarga dan meningkatkan keperluan terhadap perkhidmatan penjagaan jangka panjang," katanya.
Tambahnya, penyediaan sektor penjagaan yang mudah diakses dan diyakini juga akan membolehkan lebih ramai wanita terus kekal dalam pasaran pekerjaan, memandangkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita telah meningkat kepada 56.5 peratus pada 2024 berbanding 47.2 peratus pada tahun 2000.
Bagi menyokong ekosistem yang mampan, beliau berkata kementerian menerusi Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan Malaysia 2026-2030 menyasarkan untuk melahirkan seramai 50,000 penjaga berkemahiran menjelang tahun 2030.
Pada majlis yang sama, Nancy turut melancarkan Kempen Penjagaan bertemakan 'Ilmu Menjaga, KASIH Dirasa' dan menzahirkan harapan agar inisiatif berteraskan dasar negara itu mampu memacu sektor berkenaan sebagai penyedia peluang pekerjaan, keusahawanan serta laluan kerjaya profesional yang menjamin maruah dan kesejahteraan rakyat.
Turut hadir ialah, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Dato' Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Hanani Sapit dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara, Nordina Haron.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Safik Effendi Kassim (BMKK)
Jurufoto : Eddie Alan Blanking (BKVS)
KUCHING, 26 Ogos – Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak, Sabri Said telah berkongsi mengenai persiapan dan pengisian sambutan Hari Kebangsaan 2026 menerusi sesi temu bual bersama Sarawak FM, pagi tadi.
Dalam sesi tersebut, beliau turut memaklumkan persiapan serta pelbagai pengisian yang bakal memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada 31 Ogos 2026 di Dataran Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 mengangkat tema 'Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati' yang menekankan aspirasi untuk memastikan kesejahteraan dapat dirasai dan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia.
Perkongsian tersebut turut menjadi platform bagi menyampaikan maklumat berkaitan sambutan kepada masyarakat di samping menyemarakkan semangat patriotisme serta meningkatkan penghayatan terhadap erti kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.
Sesi temu bual bersama Sarawak FM itu turut memastikan maklumat berkaitan agenda dan sambutan acara kenegaraan dapat disampaikan dan dikongsi secara langsung bersama masyarakat. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Azila Mustaffa (BMKK)
Foto : Khairul Anwar Ali (BKVS)
KUCHING, 26 Ogos – Sarawak bakal menjadi tuan rumah Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP) 2026 yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dari 2 hingga 4 September depan.
Perkara itu dimaklumkan semasa kunjungan hormat Jawatankuasa Penganjur FEIAP 2026 yang diketuai Presiden Institusi Jurutera Malaysia (IEM), Ir. Yau Chau Fong kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.
Kunjungan tersebut antara lain bertujuan menjemput Premier Sarawak sebagai tetamu kehormat pada majlis berkenaan serta membincangkan penyertaan beliau dalam Majlis Pembukaan dan sesi Fireside Chat bertajuk 'Engineering the Future of Asia and the Pacific'.
Dalam pertemuan itu, delegasi turut memberikan taklimat mengenai persiapan penganjuran FEIAP 2026 yang dianjurkan oleh Cawangan IEM Sarawak dengan tema 'Engineering the Sustainable Transition Through Innovation and Resilience'.
Program berkenaan dijangka menjadi himpunan terbesar dalam sejarah 48 tahun FEIAP dengan penyertaan wakil daripada 28 wakil anggota ekonomi FEIAP dari 25 buah negara.
Selain kira-kira 200 delegasi antarabangsa dan anggota FEIAP, program tersebut turut dijangka menarik penyertaan sekitar 500 peserta daripada sektor industri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta perkhidmatan awam di Sarawak.
Antara pengisian utama yang dirancang ialah Perhimpunan Agung FEIAP Ke-34, Kongres dan Pameran Kejuruteraan Dunia serta Pertandingan Inovasi Bakat Muda yang dijangka menarik lebih 3,000 pengunjung perdagangan.
Penganjuran FEIAP 2026 bukan sahaja menghimpunkan profesional dalam bidang kejuruteraan, malah berperanan sebagai platform serantau yang mempertemukan institusi kejuruteraan, penggubal dasar, pemimpin industri, wakil kerajaan, ahli akademik, jurutera muda dan pelajar bagi membincangkan masa depan pembangunan mampan dan inovasi kejuruteraan di rantau Asia Pasifik.
Turut hadir Pengarah Unit Diplomasi Iklim dan Tenaga Sarawak (SACED) merangkap Pengerusi IEM Sarawak dan Pengerusi Penganjur FEIAP 2026, Ir. Dr. Angelia Liew San Chuin, Mantan Presiden FEIAP dan IEM, Tan Sri Prof. Dr. Chuah Hean Teik, Timbalan Dekan (Prasiswazah) Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Ir. Dr. Kasumawati Lias serta delegasi lain.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Ninie Gumbang (BMKK)
Foto : Mohamad Rizal Matassan (BKVS)
KUCHING, 26 Ogos - Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, mengadakan lawatan ke Pusat Sains Sarawak atau lebih dikenali sebagai Sarawak Science Centre Interactive Experience (SSCiEX) di sini, hari ini.
Ketibaan Tun Wan Junaidi di pusat berkenaan di sambut oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn bersama isteri, Datin Sri Kelly Rebid, Setiausaha Tetap MEITD, Datu Adana Jed, Pengarah Urusan SSCiEX, Ts Dr. Peter Morin Nissom serta Ahli-Ahli Lembaga SSCiEX serta ketua-ketua jabatan.
Dalam lawatan yang berlangsung kira-kira sejam tersebut, Tun Wan Junaidi berkenan meninjau kemudahan serta pengalaman interaktif yang ditawarkan di pusat berkenaan dan turut diberi taklimat ringkas oleh pegawai bertugas berhubung pameran dan kemudahan yang disediakan termasuk usaha pusat berkenaan dalam memperkenalkan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) kepada masyarakat.
Selain itu, Tun Wan Junaidi dan isteri turut berkesempatan melihat pelan lakaran PETROS Kuching Low Carbon Hub yang memaparkan perancangan pembangunan hab rendah karbon di Kuching.
SSCiEX merupakan pusat sains interaktif berskala besar pertama di Sarawak yang terletak di Jalan Stadium, Petra Jaya dan telah dirasmikan pembukaannya pada 29 Julai 2026.
Fasa pertama pusat tersebut kini dibuka kepada orang awam melibatkan Aras Bawah dan Aras 1 yang menampilkan pelbagai zon interaktif termasuk galeri dinosaur animatronik, pameran fizik dan sains bumi, permainan air serta ‘mirror maze’.
Apabila siap sepenuhnya, SSCiEX dirancang menempatkan 22 galeri bertema dan lebih 400 pameran interaktif yang menjadikannya menjadi antara kemudahan penting dalam memperkasa pendidikan STEM di Sarawak selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030). -PENERANGAN
-TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Cassidy Lisut (BKVS)
LAWAS, 26 Ogos – Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Lawas 1448H/2026M berlangsung dengan penuh penghayatan dan kesyukuran bagi memperkukuh kecintaan terhadap Rasulullah SAW serta menghayati nilai-nilai murni dalam kehidupan bermasyarakat.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semalam.
Menurut Awang Tengah, sambutan pada tahun ini pada awalnya tidak dapat diadakan berikutan keadaan jerebu yang melanda dengan faktor kesihatan menjadi pertimbangan utama.
Bagaimanapun, sambutan tetap dapat dilaksanakan di dalam dewan dengan lancar, meskipun tanpa perarakan seperti kebiasaan.
Katanya, setiap pemimpin perlu melihat kuasa dan jawatan sebagai satu amanah yang bakal dipertanggungjawabkan, manakala anggota masyarakat perlu melaksanakan peranan masing-masing dengan penuh integriti.
“Nilai-nilai murni ini amat penting bukan sahaja dalam kehidupan individu dan keluarga, malah menjadi tiang seri dalam sistem kepimpinan, pentadbiran serta pembangunan sesebuah negeri,” katanya sambil menambah Rasulullah SAW turut menjadi contoh kepimpinan terbaik yang berteraskan keadilan, amanah, musyawarah (syura) dan keutamaan terhadap kebajikan rakyat.
Awang Tengah turut menyeru masyarakat supaya bersama-sama membina ummah yang berilmu, berakhlak, berintegriti, bersatu padu dan berdaya tahan demi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Tema 'Ummah Maju Makmur' disifatkan bertepatan dengan aspirasi untuk membina Sarawak yang lebih maju, makmur dan sejahtera.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Asri Dalim (JAPEN Lawas)
Foto: Senawi Abang (JAPEN Lawas)
BINTULU, 27 Ogos – Semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat terus diperkukuh menerusi Program JIWA@Komuniti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak yang berlangsung di Dewan Serbaguna JKKK Kampung Jepak Hulu, hari ini.
Program berkenaan menjadi platform mempererat hubungan antara kerajaan dengan masyarakat akar umbi, di samping menyemarakkan penghayatan terhadap erti kemerdekaan dan semangat cintakan negara bersempena sambutan HKHM 2026.
Pengarah JAPEN Sarawak, Sabri Said, dalam ucapannya menyeru masyarakat setempat agar bersama-sama menyokong dan memperhebatkan kempen ‘1 Rumah 1 Jalur Gemilang’ dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman dan premis masing-masing.
Menurut beliau, penglibatan masyarakat dalam mengibarkan Jalur Gemilang bukan sahaja mencerminkan semangat patriotisme, malah menjadi simbol kebersamaan dan kecintaan terhadap negara.
Program turut diserikan dengan pelbagai pengisian antaranya sesi ceramah dan kuiz oleh NADI Jepak, persembahan kebudayaan Gendang Mukun, nyanyian lagu Jalur Gemilang serta Konvoi Jalur Gemilang.
Pada program sama, JAPEN Sarawak turut menyampaikan penghargaan kepada Bintulu Port Holdings Berhad atas komitmen berterusan sebagai rakan strategik dalam menjayakan program-program sempena bulan kebangsaan sejak tahun 2022.
Penghargaan tersebut mencerminkan kerjasama berterusan antara JAPEN Sarawak dengan pihak korporat dalam memperluas penyampaian mesej kenegaraan dan menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan di peringkat komuniti.
Turut hadir Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan, Pengurus Besar, Hubungan Pihak Berkepentingan Kumpulan, Bintulu Port Holdings Berhad, Maslihah Tioh, Timbalan Pengarah JAPEN Sarawak, Sri Kestury Mohammed Zamhari, Penghulu, Idil Ismail serta penduduk setempat. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Siti Faridah Ajek (JAPEN Bintulu)
Jurufoto: Eddie Alan Blanking (BKVS)
KUCHING, 27 Ogos – Seramai 155 individu menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Negeri Sarawak pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Dewan Besar, Astana Negeri Sarawak, di sini hari ini.
Pengurniaan itu melibatkan 14 penerima Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K.), 23 penerima Pingat Perkhidmatan Bakti (P.P.B.), 15 penerima Ahli Bintang Sarawak (A.B.S.), 21 penerima Ahli Bintang Kenyalang (A.B.K.), 39 penerima Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T.) dan 43 penerima Pingat Bentara Bintang Sarawak (B.B.S.).
Antara penerima A.B.S. ialah Datin Nancy Kuyor yang menerima pengurniaan berkenaan sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada negeri Sarawak.
Bagi P.B.K., antara penerima ialah Pemangku Pegawai Daerah Bukit Mabong Jabang Juntan, Pegawai Daerah Sri Aman Shariff Bujang, Pakar Perunding Radiologi Klinikal Normah Medical Specialist Centre Dr. Bujang Julaihi serta Timbalan Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Ir. Ts. Kueh Li Li.
Pengurniaan P.B.K. secara anumerta telah disampaikan kepada Allahyarham Zamzuri Mahdi yang diwakili Siti Suhaila Madji sebagai penghargaan terhadap jasa dan khidmat bakti Allahyarham kepada negeri.
Turut menerima P.B.K. ialah Dr. Emmanuel Joseph Fong Tsung, Hasanal Abdul Wahid, Tan Chee Kang dan Sagu Unting.
Bagi P.P.B. pula, antara penerima ialah Leftenan Kolonel Denis Kueh Abdullah, Superintendant Kamis Sulong, Profesor Madya UiTM Kampus Mukah Dr. Tang Howe Eng dan Zalila @ Azalilah Kassim.
Turut menerima P.P.B. ialah Ketua Bahagian Warisan dan Industri Kreatif Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) yang juga Profesor Madya di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Madya Dr Elena Gregoria Chai Chin Fern, Dr. Lee Beng Yong, Lau Ngie Tung dan Alexander Wong bersama penerima lain daripada pelbagai bidang.
Pengurniaan A.B.K. pula diterima Dr. Mohamad Idres Rosli dan Awangku Nassir Awangku Kerta bersama penerima lain.
Sementara itu, P.P.T. dikurniakan kepada Pegawai Penerangan Daerah Saratok Florence Sebastian Unting, Ng Chip Kiang, Pegawai Hal Ehwal Islam Ustaz Omar Mat, Mulyani Nong Che’ dan Mariani Sebawi.
B.B.S. pula dikurniakan kepada Dr. Awang Habiburllah Awang Ismail bersama 42 penerima lain.
Istiadat berkenaan menghargai sumbangan penerima dalam pelbagai bidang termasuk perkhidmatan awam, keselamatan, kesihatan, pendidikan dan pembangunan masyarakat.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr. Juanda Jaya, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Henry Harry Jinep, Pegawai Kanan Pentadbiran Datu Johnathan Lugoh, Pengurus Besar SALCRA Datu Joseph Blandoi, Pengurus Besar PUSAKA Datu Zainal Abidin Abdullah serta kenamaan lain.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Jurufoto: Lance Dunstan (BKVS)
KUCHING, 29 Ogos — Majlis Penghargaan sempena Pelancaran Buku Mawar Astana Mekar di Jiwa berlangsung penuh bermakna di Dewan Santapan, Astana Negeri Sarawak, malam tadi sebagai tanda penghargaan kepada individu yang bertungkus-lumus merealisasikan penerbitan naskhah yang merakam perjalanan kehidupan dan legasi Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi.
Majlis berkenaan turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah serta Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.
Naskhah setebal 267 halaman itu mengabadikan perjalanan kehidupan, pengalaman, nilai, pengorbanan serta sumbangan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah, di samping mengetengahkan nilai keteladanan dan sisi kemanusiaan beliau sebagai seorang wanita yang menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat.
Penyelaras penerbitan, Datuk Dr Jeniri Amir bersama Editor Eksekutif, Rohana Wahed serta Zarina Abdullah, Syamimi Husna Sabri dan beberapa individu lain turut diraikan atas komitmen, masa, tenaga dan idea yang dicurahkan dalam menghasilkan karya berkenaan.
Lebih istimewa, Mawar Astana Mekar di Jiwa turut diterbitkan dalam bentuk e-buku interaktif yang dilengkapi audio dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris serta boleh diakses menerusi laman sesawang rasmi Astana Sarawak, sekali gus memastikan kandungannya dapat dinikmati secara lebih meluas dan mesra peranti.
Judul buku tersebut membawa makna yang cukup mendalam apabila mawar melambangkan keindahan, kelembutan, keanggunan dan ketabahan, manakala Astana pula menggambarkan latar kehidupan rasmi yang menjadi sebahagian daripada perjalanan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah.
Ungkapan “mekar di jiwa” pula menggambarkan nilai kasih, jasa dan keteladanan yang bukan sahaja terpancar melalui kehidupan beliau, malah terus bersemi dalam ingatan dan hati mereka yang pernah disentuh oleh kebaikan serta sumbangannya.
Buku berkenaan dilancarkan oleh Dato Sri Fatimah dalam majlis khas di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 17 Ogos lalu.
Majlis penghargaan itu bukan sekadar meraikan terbitnya sebuah buku, malah menjadi wadah menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang dalam mendokumentasikan perjalanan kehidupan, jasa dan legasi Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah untuk tatapan generasi kini dan akan datang. -PENERANGAN
-TAMAT –
Disediakan Oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Khairul Anwar Ali (BKVS)
Sarawak berpotensi jadi hab ekonomi progresif rantau ini menjelang 2030
KUCHING, 30 Ogos - Sarawak diyakini berpotensi muncul sebagai sebuah wilayah maju dan hab ekonomi progresif di rantau ini menjelang 2030 berlandaskan kekuatan ekonomi, tenaga bersih, pertanian serta pembangunan industri berteknologi tinggi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, keyakinan tersebut disokong oleh perkembangan ekonomi negeri yang semakin kukuh hasil pelbagai usaha pembangunan yang dilaksanakan sejak 2017.
Menurut beliau, peningkatan hasil negeri lebih dua kali ganda berbanding jumlah lebih sedekad lalu memberi gambaran jelas mengenai kekuatan ekonomi Sarawak.
“Pada tahun 2025 Sarawak mencatatkan hasil sebanyak RM12.5 bilion, dan pada tahun 2024 RM14.2 bilion, suatu rekod dalam sejarah Sarawak, dan juga tertinggi dalam kalangan negeri-negeri,” katanya dalam perutusan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2026.
Beliau berkata, kekuatan Sarawak dalam sektor tenaga bersih turut menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri, dengan kira-kira 61 peratus daripada kapasiti penjanaan tenaga elektrik terpasang datang daripada sumber tenaga boleh diperbaharui, khususnya tenaga hidro.
Katanya, Sarawak menyasarkan kapasiti bekalan tenaga meningkat daripada 5.9 gigawatt kepada 10 gigawatt menjelang 2030, sekali gus menyediakan asas kepada pembangunan hidrogen, industri hijau, pusat data dan pelbagai industri berteknologi tinggi.
“Dengan kekuatan ini, Sarawak mempunyai potensi untuk menjadi antara pusat tenaga bersih utama ASEAN dan memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi rantau ini dengan pengwujudan grid tenaga ASEAN, insya-Allah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kekuatan Sarawak dalam sektor tenaga boleh diperbaharui turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Bintulu diiktiraf sebagai lokasi Transitioning Industrial Cluster (TIC) pertama Malaysia di bawah naungan Forum Ekonomi Dunia.
Menurutnya, pengiktirafan tersebut mencerminkan keupayaan Sarawak dalam memacu transformasi industri hijau di peringkat antarabangsa.
Selain sektor tenaga, beliau berkata Sarawak turut mempunyai kekuatan dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan, termasuk industri kelapa sawit serta potensi pengeluaran beras.
Beliau berkata, penyelidikan yang sedang dilaksanakan di Kuala Baram berkaitan varieti padi perennial turut menunjukkan potensi untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran beras negeri pada masa hadapan.
“Dengan pengurusan tanaman yang baik, padi perennial ini menunjukkan potensi untuk menghasilkan sehingga 14 tan sehektar bagi dua musim tanaman,” katanya.
Dalam usaha memastikan pembangunan yang lebih seimbang, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas jaminan Kerajaan Persekutuan untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Sarawak dan Sabah demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan yang lebih adil dan seimbang.
Beliau yakin semangat kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Sarawak dan Sabah akan membolehkan wilayah ini terus menjalani transformasi daripada ekonomi berasaskan komoditi kepada ekonomi hijau, berteknologi tinggi dan lestari.
Sempena Hari Kebangsaan Ke-69, beliau turut menyeru seluruh rakyat agar terus menghargai keamanan dan keharmonian yang dinikmati serta memelihara perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.
Beliau turut mengajak rakyat bersama-sama membina Sarawak yang menjadi kebanggaan generasi akan datang.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Alya Sukri (BMKK)