JABATAN PENERANGAN MALAYSIA SARAWAK
Oleh: Mohd Ibnu Munir (BMKK)
Foto: Cassidy Lisut Tubong dan Khairul Anwar Ali (BKVS)
KUCHING – Sejarah bukanlah sekadar catatan kaku di atas helaian kertas usang. Ia adalah 'Roh' yang membentuk identiti dan hala tuju sesebuah bangsa. Apabila Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, memulakan siri Program Keberangkatan Kembara D’Astana ke Triso, Sebuyau, dan Lingga baru-baru ini, ia melampaui kerangka lawatan protokol seorang ketua negeri.
Langkah tersebut merupakan sebuah kepulangan nostalgik. Sebuah misi 'Pencarian akar' yang berjaya menyingkap tabir sejarah 'Negeri Banting' yang kian luntur daripada memori zaman.
Pulang ke Tanah Leluhur
Kembara yang berlangsung pada 2 hingga 3 Mei tersebut mempamerkan sisi kepimpinan berjiwa rakyat yang cukup murni. Di Kampung Triso, suasana hening menyambut sesi ziarah Tun Pehin Sri ke tanah perkuburan lama dan tapak kediaman asal keluarga beliau.
Kehadiran beliau di antara telaga lama dan sisa-sisa sejarah peribadi bukan sekadar mengimbau kenangan kanak-kanak, malah menjadi simbolik besar bahawa seorang pemimpin agung tidak sesekali melupakan tanah yang telah membesarkannya.
Diiringi paluan hadrah dan persembahan silat, kembara ini turut diisi dengan pengisian rohani di Masjid Al-Muhajirin dan Al-Muflihin melalui majlis tahlil serta tazkirah bertajuk 'Mengejar Haji Mabrur' sekali gus memperkukuh ukhuwah antara institusi Astana dengan masyarakat akar umbi.
Menyingkap Kerajaan Banting yang 'Hilang'
Sisi paling signifikan dalam kembara ini adalah pendedahan ilmiah mengenai salasilah Keluarga Bin Yahya Sarawak dan sejarah Kerajaan Banting-Lingga. Lingga, yang kini dikenali sebagai daerah yang tenang, rupanya menyimpan rahsia sebuah tamadun berdaulat yang pernah gah suatu ketika dahulu.
Menurut Timbalan Rektor UiTM Sarawak, Saimi Bujang, Lingga merupakan pusat pemerintahan strategik yang diterajui oleh Syarif Jaafar, moyang kepada Tun Pehin Sri sendiri.
"Penemuan Hukum Kanun Lingga-Banting adalah penemuan unik yang membuktikan wilayah ini mempunyai sistem perundangan dan pentadbiran yang sistematik sebelum era pentadbiran Brooke.
"Ia menjadi asas kukuh perkembangan Islam di wilayah ini," jelas beliau.
Fakta ini turut diperkukuh oleh sejarawan tersohor, Datu Dr.Sanib Said. Kajian manuskrip beliau mendedahkan bagaimana pengasas kerajaan tersebut, Sayid Akil, mewariskan kepimpinan kepada Tuanku Jaafar.
Penyelidikan ini penting bagi membetulkan persepsi sejarah dan mengembalikan martabat kaum Sayid yang suatu ketika dahulu dicengkam dasar 'Pecah dan perintah' kolonial.
Mikrokosmos Keharmonian Sarawak
Di sebalik penemuan sejarah, Kembara D’Astana berfungsi sebagai cermin kepada keharmonian kaum. Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu, menegaskan bahawa program ini berjaya menyatukan masyarakat majmuk di pesisir Sarawak.
Di sini, komuniti Melayu yang menguasai sektor perikanan dan masyarakat Iban yang mengusahakan pertanian hidup saling melengkapi dan ia mencerminkan jati diri Sarawak yang sebenar.
Bagi penduduk tempatan seperti Jemayah Sani, 54, kehadiran Tun Pehin Sri adalah satu pengiktirafan tinggi bagi warga kampung.
"Keluarga Tun memang berasal dari sini dan kehadiran beliau menyuntik semangat buat kami untuk terus memelihara warisan nenek moyang agar tidak hilang ditelan zaman," katanya dengan nada bangga.
Kesimpulan: Membina Masa Depan dengan Akar Sejarah
Kembara D’Astana telah mencapai matlamat yang melangkaui urusan pentadbiran awam. Ia adalah misi mencari kebenaran, memartabatkan perundangan tempatan, dan mengukuhkan kontrak sosial antara pemimpin dan rakyat.
Apabila institusi tertinggi negeri turun ke jeti nelayan dan dewan orang ramai untuk meneliti manuskrip lama, ia menghantar mesej yang jelas tentang masa depan Sarawak yang gemilang hanya boleh dibina dengan menghargai akar sejarah yang dalam. Lingga dan Banting kini bukan lagi sekadar nama di peta, tetapi lambang kedaulatan yang kembali bernafas dalam sanubari rakyatnya.
-PENERANGAN-
Penulis/Gambar : Nur Alya Adriana Ahmad Sukri & Joshua Amir Sibat (JAPEN Sarawak)
Tanggungpengawa nyadi siku ‘influencer’ ukai pengawa ke muntang taja ba mua nuan semina bisi siti lensa kamera, tang di belakang nya, beribu mata rayat benung meratika kitai. Ungkup raban Opis Pemadah Malaysia (JAPEN) Sarawak, pekara tu ukai semina pengawa nguji gaya gamal, tang tanggungpengawa ngenataika polisi ti dibantaika perintah enggau betul, terang sereta entap.
Ngasaika ubah dunya komunikasyen ti jampat, JAPEN Sarawak ngatur ‘Latih Seni Pemerani ba Mua Lensa’ (Bengkel Seni Keyakinan Depan Lensa) apin lama ke udah. Inisiatif proaktif tu nyadi palan transformasyen raban pengereja pengawa pansut ari zon ti lantang dikena sida ngemekuhka agi seni komunikasyen visual.
Direktor Opis Pemadah Sarawak, Sabri Said netapka visyen sereta madahka pengelandik teknologi semina perengka, tang pengelandik modal mensia nya seput iya. Pemacha berita ti manah patut landik nukar teks nyadi jaku ti idup.
“Raban pengereja pengawa patut ngena formula ‘bacha, meretika lalu perundingka’ isi teks sebedau ngerikod. Teknik tu nentuka pejalai kitai ba pengawa ngenataika pesan lanchar dalam timpuh ti pandak.
“Aku deka sesi latih ninting hari dipejalai berengkah ari diatu nemgah kereban bacha ti dipilih. Pengawa tu deka nguji pengadang enggau pengelanchar raban pengereja pengawa ngansah pengelandik baru ngelui ari pengawa asal sida,” ku iya lebuh bejaku ba pengawa nutup latih nya.
Nya alai, JAPEN Sarawak mega benung begigaka pengelandik mayuh bansa jaku nyengkaum Jaku Melayu, Iban enggau Mandarin dikena ngenataika berita ngagai mensia mayuh.
Pengelicha latih nya, Vanessa Mering madahka pemerani deka nguji pekara ti baru nya siti penemu ti besai, ngelui ari teori atas kertas. Slot praktikal nyadi pugu dikena ngeringka pengandal ati penyereta.
“Bala penyereta mandangka pengelandik ti chukup manah lebuh diberi pengawa latih. Pemerani bejaku ba mua kamera engka enda datai tekala nya. Tang enti bala penyereta tu puh ngelatih diri, sida ulih nyapai tikas penempa ti nyulut agi sereta gaya ti asal,” ku Vanessa.
Pengatur pengawa latih tu, Hatnie Ramlee, 34 lebuh dirandau madahka pengawa tu setipak enggau peminta digital diatu. Ku iya, bala peninga rindu mendingka pesan ti pandak.
“Kami benung chakah ngiga ‘Duta Layar’ tauka influencer ti bisi etika. Kriteria milih nyengkaum komunikasyen ti terang sereta ngembuan personaliti asal. Tu pengawa beranakka puku ungkup timpuh panjai dikena nempa imej profesional raban pengereja pengawa ti nyadi mua enggau sada nyawa opis,” ku Hatnie.
Ungkup penyereta, pemar ti diasaika iya, iya nya chara nekat penangi ati ba diri. Fify Rozilawaty Jamaluddin, 32 bekunsi rahsia iya ngelaban pengerawan diri empu ngagai pekara ti positif nengah chara ngambu lensa kamera baka bakih diri.
“Kitai patut lantang sereta baka ke berandau enggau bakih diri empu lebuh ba mua kamera enti bisi asai nangi. Kelimpah ari nya, kitai patut liat ati taja dipeda enda tentu lanchar lebuh bejaku.
“Enti kelalu rawan, aku deka ngena gaya jari dikena ngelaban pengesal ati. Gaya tubuh (body language) mantu kitai dipeda enda kelalu melakun, baka gaya diri ti asal,” ku Fify.
Ba penemu siku agi penyereta program, Muhammad Izzat Muzaqeer Zamri, 30 madahka, latih tu nadai bebagi entara pengereja pengawa ba belakang layar enggau lensa. Sesi latih muka runding iya ke alai pengelandik mua lensa diatu siti pekara ti patut dikembuan.
“Aku mujur nukar runding diri nengah chara meda kamera nyadi perengka komunikasyen ti strategik, ukai pekara ti ngenakutka. Latih tu ngubah reti tanggungpengawa aku ngagai pengulih ngenataika pesan visual ti terang,” ku iya.
JAPEN Sarawak diatu benung negapka modal mensia nengah chara holisitk. Pengelandik ti baru tu ukai agi nyadi penanggul tang nyadi senyata ti strategik. Transformasyen tu nentuka genap polisi perintah dikerembaika ngagai renggat baruh nengah penempa visual ti kreatif, jampat sereta ngembuan empas ke tinggi.
-PENERANGAN-
-ABIS-
Penulis/Foto : Nur Alya Adriana Ahmad Sukri & Joshua Amir Sibat (JAPEN Sarawak)
MENGGALAS AMANAH KERAJAAN
Di hadapan bukan hanya sebuah lensa kamera, sebaliknya ribuan mata rakyat sedang memerhati dan menilai. Bagi warga Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak, situasi ini melangkaui sekadar ujian penampilan diri namun ia adalah tentang beratnya menggalas amanah bagi memastikan suara maklumat kerajaan terus disampaikan dengan tepat, tuntas dan penuh wibawa.
Menyedari landskap komunikasi berubah pantas, JAPEN Sarawak telah menganjurkan ‘Bengkel Seni Keyakinan Depan Lensa’ sebagai platform latihan serta lonjakan evolusi memaksa petugas keluar dari zon selesa demi menakluki seni komunikasi visual.
Pengarah Penerangan Sarawak, Sabri Said berkata beliau melihat penguasaan teknologi hanyalah wadah manakala kemahiran insani adalah nyawanya selain turut menekankan penyampai berkesan wajib bijak menterjemah teks kaku menjadi bicara yang hidup.
“Petugas wajib mempraktikkan formula ‘Baca, faham, hadam dan visualisasi’ inti pati teks sebelum rakaman dan teknik ini menjamin kelancaran penyampaian dalam masa singkat.
“Saya mahu sesi latihan harian bermula segera menggunakan bahan bacaan terpilih, langkah ini bakal menguji kesiapsiagaan dan kefasihan petugas mengasah bakat baharu melangkaui tugasan hakiki mereka,” jelas beliau semasa majlis penutupan bengkel tersebut.
BURU BAKAT PELBAGAI BAHASA
Selain itu, JAPEN Sarawak turut memburu bakat pelbagai bahasa termasuk Melayu, Iban dan Mandarin demi menyantuni masyarakat majmuk secara inklusif.
Menurut Penceramah bengkel, Vanessa Mering, menyifatkan keberanian mencuba sebagai kunci utama bagi mengatasi teori di atas kertas menerusi slot praktikal menjadi tunjang membina keyakinan peserta.
“Peserta mempamerkan prestasi luar biasa saat diberi tugasan khusus dan keyakinan mungkin tidak hadir sekelip mata namun latihan berterusan pasti membantu peserta mencapai tahap penyampaian lebih tinggi dan semula jadi,” ujarnya.
TUNTUTAN KOMUNIKASI DIGITAL SEMASA
Bagi Urus setia bengkel tersebut pula, Hatnie Ramlee, 34 melihat penganjuran itu sebagai tindak balas terhadap tuntutan komunikasi digital komunikasi semasa. Menurutnya, audiens mendambakan mesej ringkas dan penampilan pegawai sendiri memberi kelebihan kerana mereka nadi yang memahami dasar jabatan.
“Kita giat mengesan ‘Duta layar’ atau pempengaruh (Influencer) jabatan yang beretika dan kriteria pemilihan merangkumi kejelasan komunikasi dan keaslian personaliti.
“Ini pelaburan jangka panjang untuk membina imej profesional warga kerja sebagai wajah dan suara jabatan,” jelas Hatnie.
Bagi salah seorang peserta pula, Fify Rozilawaty Jamaluddin, 32, cabaran sebenar adalah menundukkan rasa ragu terhadap diri sendiri. Menurut beliau yang tampil berkongsi rahsia menukar gemuruh menjadi tenaga positif dengan menganggap lensa kamera sebagai sahabat.
“Kita perlu tenang dan bersahaja seperti bercakap dengan kawan sekiranya berasa gugup selain perlu yakin walaupun mungkin tidak berapa fasih.
“Sekiranya terlalu gementar, saya akan menggerakkan tangan untuk mengawal rasa gemuruh itu agar membantu kita tampil lebih natural,” kongsi Fify.
Sementara itu, Muhammad Izzat Muzaqeer Zamri, 30, pula menyifatkan latihan itu meruntuhkan tembok pemisah antara petugas belakang tabir dengan lensa. Sesi simulasi membuka matanya bahawa kemahiran depan lensa kini satu kemestian.
“Saya berjaya menukar persepsi diri dengan melihat kamera sebagai medium komunikasi strategik bukan ancaman dan bengkel ini mengubah definisi tanggungjawab saya kepada keupayaan menyampaikan mesej visual yang jelas,” katanya.
JAPEN Sarawak kini memperkasa aset modal insan secara holistik. Penemuan bakat baharu menjadikan lensa kamera bukan lagi beban tetapi senjata strategik. Transformasi ini menjamin setiap dasar negara meresap ke akar umbi melalui penyampaian visual yang kreatif, pantas dan berimpak tinggi. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Di saat tirai tahun baharu disingkap, status quo kehidupan marhaen sering kali teruji dengan satu 'jerit perih' yang mencengkam emosi iaitu tekanan kos sara hidup yang kian meruncing. Tatkala loceng persekolahan mula berkumandang, golongan ibu bapa semakin terhimpit, menjadikan realiti ini bukan sekadar statistik ekonomi tetapi satu beban kehidupan yang menuntut penyelesaian tuntas.
Menyedari hakikat inilah, Kerajaan Malaysia di bawah aspirasi Malaysia MADANI pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengambil langkah agresif melalui Bantuan Awal Persekolahan (BAP) untuk menyantuni realiti semasa dan merungkai beban kewangan rakyat sekali gus memastikan pendidikan anak bangsa tidak menjadi mangsa keadaan.
Dasar yang digerakkan oleh kerajaan pusat ini ternyata menjalar pantas ke peringkat akar umbi, menyentuh terus nurani warga pendidik yang menjadi saksi mata di bilik darjah.
Menurut Sylvester Ranggie Rentap, 27, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bakong Terus, Dalat, menyifatkan inisiatif ini melangkaui nilai wang ringgit semata-mata. Beliau melihat BAP sebagai instrumen yang mengangkat maruah seorang murid.
"Bagi kami guru, BAP bukan sekadar bantuan kewangan, ia adalah suntikan penting kepada murid dan bayangkan, apabila seorang murid melangkah masuk ke kelas dengan kelengkapan serba baharu dan lengkap, terpancar keyakinan luar biasa pada wajah mereka.
“Tiada lagi rasa rendah diri dan ia secara langsung membina ekosistem pendidikan yang positif dan memadamkan stigma perbezaan taraf di dalam kelas," ujar Sylvester.
Naratif bantuan ini bertukar menjadi lebih dramatik apabila kita menelusuri cabaran di kawasan pedalaman yang serba rencam. Jarak dan geografi sering menjadi musuh sembunyi kepada ekonomi penduduk desa.
Bagi Dayang Inci Chundau, 27, yang menabur bakti di pedalaman SK Long Jeeh, Baram, mendedahkan betapa besarnya 'kuasa' RM150 itu di kawasan yang terputus dari akses bandar.
"Di pedalaman, cabaran kami ialah kos logistik yang menjadikan harga sebatang pensel jauh lebih mahal berbanding di bandar dan BAP adalah talian hayat kritikal yang merapatkan jurang ini.
“Ia memastikan anak-anak Penan dan Orang Ulu di sini tidak tercicir daripada arus perdana pendidikan hanya kerana ibu bapa tidak mampu menampung kos 'tambahan' akibat faktor geografi dan oleh itu, ia adalah keadilan sosial yang nyata," tegas Dayang Inci.
Menyantuni denyut nadi golongan ibu bapa, BAP hadir umpama 'penawar' ketika demam kewangan awal tahun memuncak.
Menurut Suri Ngerinchil, 36, ibu kepada dua orang anak yang mendapat manfaat ini, tidak dapat menyembunyikan rasa leganya.
"Sebagai ibu, tiada yang lebih perit daripada melihat anak kekurangan kelengkapan. Dengan kos sara hidup yang tidak menentu, BAP memberi kami ruang untuk bernafas.
“Ibu bapa tidak perlu lagi menebalkan muka meminjam atau mengikat perut semata-mata mahu membelikan baju sekolah dan ia satu kemenangan kecil bagi sebuah keluarga dan kesannya sangat besar," luah Suri.
Dalam pada itu, evolusi silibus pendidikan moden menuntut pelaburan intelektual yang bukan sedikit. Menurut Toslin Meyub, 50, melihat BAP dari sudut pandang strategik iaitu sebagai modal untuk membeli ilmu tambahan.
"Pendidikan hari ini bukan sekadar buku teks manakala harga buku rujukan dan bahan bacaan tambahan semakin mahal namun ia keperluan wajib demi kecemerlangan akademik.
“BAP menyelesaikan dilema saya sama ada beli makanan atau buku dan kini, saya boleh melabur untuk masa depan intelektual anak-anak dan membelikan buku rujukan terbaik tanpa ragu-ragu," katanya yang menyifatkan bantuan itu sebagai pelaburan pintar kerajaan.
Namun, keberkesanan sesuatu dasar tidak hanya diukur pada niat sucinya tetapi pada kecekapan pelaksanaannya. Soprin Mairat, 46, pula berkata dengan tampil menyentuh aspek teknikal.
"Niat yang baik perlu disusuli dengan mekanisme yang tuntas dan saya melihat kaedah penyaluran yang pantas dan teratur amat kritikal bagi memastikan tiada ketirisan berlaku.
“Bantuan perlu sampai tepat pada masanya sebelum sesi persekolahan bermula sepenuhnya agar matlamat asalnya tercapai dan ibu bapa dapat merancang perbelanjaan dengan bijak," kata Soprin.
Tuntasnya, Bantuan Awal Persekolahan adalah manifestasi jelas keprihatinan kerajaan dalam memartabatkan modal insan negara. Ia bukan sekadar pemberian bermusim sebaliknya simbol kontrak sosial yang utuh untuk memastikan obor ilmu terus menyala di setiap penjuru tanah air, dari kota metropolitan hingga ke hujung desa.
Harapan rakyat agar usaha murni ini terus diperkasa menjadi perisai kepada impian anak bangsa dan bukti bahawa dalam mengejar kemajuan, kebajikan rakyat tidak pernah dikesampingkan. - PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Joshua Amir Sibat / Ihsan Responden
Di sebalik gemerlap lampu neon ibu kota dan kesibukan gaya hidup moden, wujud satu naratif sunyi yang kini bangkit menerusi inisiatif SARA Bujang 2026 - Memadam stigma, membela maruah rakyat. Selama ini, status quo masyarakat sering melabelkan mereka sebagai golongan 'senang', kononnya tiada tanggungan dan memiliki lebihan wang untuk gaya hidup mewah.
Namun, realiti di tahun 2026 menampar kita dengan fakta yang jauh berbeza. Inflasi tidak mengenal status perkahwinan. Harga sekilo beras, sewa bilik mahupun tambang pengangkutan tetap mencengkam ekonomi sama ada anda berkeluarga atau hidup sendirian.
Statistik semasa menunjukkan jurang ketara antara gaji minimum dan kos sara hidup sebenar. Dengan gaji penengah golongan muda yang masih bergelut di paras statik, manakala kadar ‘Gaji Kehidupan Wajar’ (Living Wage) di bandar utama menuntut pendapatan jauh lebih tinggi, golongan bujang sebenarnya adalah mangsa 'miskin bandar' yang paling tidak didengari.
Menyedari kepincangan sosial ini, tindakan Kerajaan memperkenalkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) khusus untuk golongan bujang di bawah aspirasi Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bukan sekadar satu polisi fiskal semata-mata. Ia adalah manifestasi kerajaan yang enggan membiarkan mana-mana kelompok rakyat tercicir dalam arus deras ekonomi negara.
Namun, dasar yang digubal di Putrajaya ini hanya akan kekal sebagai dokumen kaku jika tidak diterjemahkan kepada kelegaan sebenar di lapangan. Adakah bantuan tanpa tunai ini benar-benar menjadi penawar atau sekadar kosmetik ekonomi? Lantas, kami telah turun ke lapangan, menyelami isi hati lima individu bujang daripada pelbagai latar belakang untuk mendapatkan jawapan.
Bagi Mohd Zulhaikal Laji, 24, senyuman di media sosial sering menyembunyikan perit jerih sebenar kehidupan di bandaraya ini.
“Orang nampak bujang macam tiada komitmen tapi realitinya di Kuching atau di mana pun kami berada, perjuangan hidupnya sama perit di mana separuh gaji habis ke sewa bilik dan pengangkutan.
Menurutnya, SARA Bujang 2026 ini bukan sekadar duit tambahan tapi jaminan ‘dapur berasap’ ketika mana ada ketika beliau terpaksa mencatu makan 'maggi' di hujung bulan.
“Bila kerajaan kreditkan bantuan asas ini ke MyKad, sekurang-kurangnya saya tahu stok beras dan telur sentiasa ada dan ia menyelamatkan ‘dapur’ semasa kami,” kongsi beliau yang menyifatkan bantuan ini sebagai talian hayat.
Naratif bujang 'hidup senang' turut disanggah oleh Marilyn Kalapan, 27 kerana sebagai anak sulung, beliau memikul tanggungjawab menjadi penjaga utama keluarga.
"Ramai salah anggap status 'Bujang' bermaksud gaji untuk diri sendiri dan walaupun saya bujang, tapi sayalah tulang belakang yang meringankan ekonomi keluarga dan adik di universiti.
“Kos sara hidup pelajar semakin meningkat, ditambah pula adik berada jauh di Semenanjung,” katanya.
Jelasnya, SARA Bujang sangat membantu kerana ia membebaskan sedikit tunai untuk membayar bil utiliti manakala bantuan SARA menampung barang dapur kering dan Ia adalah pengiktirafan bahawa golongan bujang juga ada 'tanggungan tersembunyi' yang berat.
Menyentuh aspek pelaksanaan, Mohd Aniq Amirzee, 26, pekerja swasta, memuji mekanisme tanpa tunai (‘cashless’) yang menutup ruang ketirisan.
"Saya suka cara SARA 2026 dilaksanakan iaitu tiada lagi barisan panjang atau borang manual dan semuanya automatik berdasarkan data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan dikreditkan terus masuk e-Dompet atau MyKad.
“Ini mengelakkan duit bantuan disalah guna untuk perkara merapu seperti rokok atau aksesori kereta dan bila bantuan dikhususkan untuk barang asas di pasar raya terpilih, ia mendidik kita berbelanja ikut keperluan, bukan kehendak,” katanya sambil memuji sistem digunakan adalah pantas, telus dan jelas.
Bagi pendatang baharu dunia pekerjaan, Jesminah Renggi, 22, bantuan ini adalah sokongan kritikal dalam fasa transisi sebelum mendapat pekerjaan tetap.
"SARA Bujang ini memberi kami sedikit 'ruang bernafas' dan tak perlu minta duit ibu bapa untuk membeli keperluan asas.
“Walaupun jumlahnya mungkin tak besar bagi orang kaya, bagi kami yang tiada pendapatan tetap, nilai ini sangat besar dan ia beri motivasi untuk terus berusaha tanpa rasa terlalu terbeban dengan kelangsungan hidup harian,” luahnya.
Namun, di sebalik kesyukuran, wujud nada realistik yang menuntut penyelesaian jangka panjang.
Jolly Pasai, 29, mewakili suara kritikal yang mengingatkan kerajaan tentang punca sebenar masalah.
"Saya terima dan bersyukur namun kita kena jujur bahawa SARA hanyalah 'painkiller', bukan ubat sebenar penyakit ekonomi kita. Sampai bila golongan bujang yang bekerja keras perlu disuap subsidi? Apa yang kami mahukan pada tahun 2027 dan seterusnya adalah kenaikan gaji yang setara dengan inflasi. Bantuan SARA bagus untuk kecemasan tapi jangan sampai ia menjadi alasan untuk majikan tidak menaikkan gaji. Kita mahu kuasa beli yang sebenar, bukan sekadar tongkat subsidi,” tegasnya.
Tuntasnya, SARA Bujang 2026 bukanlah sekadar transaksi kewangan ke dalam MyKad atau e-dompet, ia adalah simbol empati kerajaan semasa terhadap realiti kehidupan yang semakin menekan. Walaupun suara-suara pragmatik mengingatkan kita bahawa subsidi bukanlah penyelesaian muktamad kepada struktur gaji yang statik namun bagi rakyat marhaen, bantuan ini adalah pemisah antara maruah dan keterdesakan.
Kita mungkin belum menang sepenuhnya dalam perang melawan kos sara hidup tetapi langkah ini membuktikan kerajaan mendengar denyut nadi rakyat yang paling sunyi. Harapan kita, inisiatif ini menjadi batu loncatan kepada reformasi ekonomi yang lebih besar iaitu suatu masa kelak, rakyat Malaysia mampu berdiri megah bukan hanya kerana bantuan yang diterima tetapi kerana gaji yang bermaruah.
Buat masa ini, biarlah SARA menjadi pelita yang memastikan ‘dapur rakyat terus berasap’.-PENERANGAN-
–TAMAT-
Disediakan oleh / Foto: Joshua Amir Sibat (BMKK)