JABATAN PENERANGAN MALAYSIA SARAWAK
KANOWIT, 1 Oktober - Usaha menyemai semangat patriotisme, memperkukuh jati diri dan meningkatkan kesedaran keselamatan penggunaan internet dalam kalangan generasi muda terus diperkasa menerusi Program JIWA@Kelab Malaysiaku Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kanowit, semalam.
Program anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN) Daerah Kanowit dengan kerjasama Kelab Malaysiaku sekolah berkenaan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Bahagian Sibu itu, menjadi platform pendidikan yang menggabungkan penghayatan kenegaraan berserta kesedaran literasi digital.
Pengisian program dimulakan dengan sesi pengenalan mengenai Sejarah Pembentukan Negara, Jata Negara dan prinsip Rukun Negara yang disampaikan oleh Pegawai Penerangan Daerah Kanowit Rinta Engkamat.
Sesi tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tentang kepentingan memahami lambang kebesaran negara, serta penghayatan Rukun Negara sebagai asas pembentukan masyarakat harmoni yang cintakan tanah air.
Selain itu, Pegawai MCMC Bahagian Sibu Audry Gerry turut menyampaikan taklimat Kempen Internet Selamat bagi memberi kesedaran mengenai penggunaan internet secara bijak, beretika dan bertanggungjawab, khususnya dalam kalangan generasi muda yang semakin aktif dalam dunia digital.
Program yang berlangsung di Makmal Komputer SMK Kanowit itu turut diisi dengan sesi kuiz interaktif bagi menguji tahap pemahaman peserta serta menggalakkan penglibatan aktif pelajar melalui pendekatan yang lebih santai.
Penganjuran program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan JAPEN dalam mendekati golongan muda melalui pendidikan kenegaraan, di samping memperkukuh kerjasama strategik agensi bersama pihak sekolah dalam membentuk generasi yang berjati diri dan celik digital.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan Oleh : Eleannor Bedai Anak Tinggom
Foto Oleh : Nicholas Anak Jenaka
KUCHING, 1 Oktober – Transformasi Sarawak perlu berteraskan matlamat yang jelas untuk membina masa depan lebih kukuh serta membuka peluang lebih baik kepada rakyat selaras dengan perubahan dunia yang semakin pantas.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg ketika merasmikan Sarawak Corporate Leadership Summit 2026 (SCOPE): From Vision to Reality in Sarawak’s Transformation Journey di salah sebuah hotel terkemuka di sini hari ini berkata kepimpinan perlu memahami perubahan global, mengenal pasti kekuatan yang dimiliki Sarawak serta berani membuat keputusan bagi memastikan negeri itu terus bersedia menghadapi perkembangan ekonomi, teknologi dan keperluan generasi akan datang.
“Kita tidak melakukan transformasi hanya kerana transformasi itu menjadi ikutan tetapi kerana dunia di sekeliling kita berubah dan kita mahu mewujudkan masa depan yang lebih kukuh serta peluang yang lebih baik untuk rakyat,” ujarnya.
Menurutnya, perjalanan ekonomi digital Sarawak yang bermula pada 2017 merupakan antara langkah strategik untuk mempelbagaikan sumber pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan kebergantungan terhadap model ekonomi sedia ada.
“Kelebihan Sarawak dalam tenaga hidro, air, gas asli dan biojisim perlu dimanfaatkan untuk membangunkan industri baharu termasuk hidrogen, aktiviti hiliran serta sektor yang memerlukan tenaga bersih dan boleh dipercayai.
“Sarawak juga perlu meningkatkan nilai ekonomi dalam negeri dengan mengembangkan aktiviti hiliran, membina industri berasaskan sumber tempatan, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi serta memperkukuh kepakaran dan keupayaan syarikat tempatan,” tambah beliau.
Dalam perkembangan teknologi, Abang Jo berkata penggunaan data, kecerdasan buatan, pengkomputeran berkemajuan, teknologi satelit dan analitik data perlu mempunyai tujuan yang jelas dengan memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah sebenar serta penciptaan nilai ekonomi dan sosial.
Katanya, beliau turut menekankan pembangunan bakat sebagai asas transformasi Sarawak dengan pendidikan dan kemahiran dalam bidang kejuruteraan, sains, penyelidikan, teknologi, tenaga, keusahawanan serta bidang profesional perlu bergerak seiring dengan perkembangan industri.
Katanya lagi, kedudukan strategik Sarawak di Borneo yang berdekatan Indonesia dan Brunei serta dalam lingkungan ASEAN membuka peluang lebih luas kepada sektor tenaga, perdagangan, pelancongan, logistik, teknologi, perkhidmatan profesional dan pengeluaran makanan untuk menembusi pasaran serantau.
Tambahnya, agenda pembangunan turut perlu bergerak seiring dengan kelestarian alam sekitar melalui pengurusan hutan, biodiversiti, sumber air dan tenaga boleh baharu secara bertanggungjawab selaras dengan hala tuju PCDS 2030 yang menggabungkan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
“Kerajaan sahaja tidak dapat mentransformasikan Sarawak, begitu juga sebuah syarikat, universiti atau institusi secara bersendirian kerana transformasi berlaku apabila pelbagai organisasi, institusi dan individu bergerak ke arah yang sama.
“Visi pembangunan hanya akan menjadi realiti apabila diterjemahkan melalui keputusan, pelaburan, pembangunan keupayaan dan tindakan yang konsisten bagi membentuk Sarawak yang lebih pelbagai, produktif, berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan,” jelas Abang Johari.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian; Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai; Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE), Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar; Ketua Pegawai Eksekutif SCOPE, Joseph Lim;l serta tetamu kehormat lain.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Eddie Alan Blanking (BKVS)
𝗣𝗲𝗿𝗴𝗶𝗮𝘁 𝘂𝘀𝗮𝗵𝗮 𝗺𝗲𝗻𝗴𝗸𝗮𝗷𝗶, 𝗺𝗲𝗿𝗲𝗸𝗼𝗱 𝗱𝗮𝗻 𝗺𝗲𝗻𝗲𝗿𝗯𝗶𝘁𝗸𝗮𝗻 𝘀𝗲𝗷𝗮𝗿𝗮𝗵 𝗦𝗮𝗿𝗮𝘄𝗮𝗸 𝗯𝗲𝗿𝗮𝘀𝗮𝘀𝗸𝗮𝗻 𝘀𝘂𝗺𝗯𝗲𝗿 𝘀𝗮𝗵𝗶𝗵 𝘀𝗲𝗿𝘁𝗮 𝗽𝗲𝗻𝗲𝗹𝗶𝘁𝗶𝗮𝗻 𝗶𝗹𝗺𝗶𝗮𝗵
KUCHING, 1 Oktober — Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menyeru sejarawan tempatan mempergiat usaha mengkaji, merekod dan menerbitkan sejarah Sarawak berasaskan sumber sahih serta penelitian ilmiah.
Menurutnya semasa Syarahan Negarawan 2026 di Wisma Melayu di sini hari ini, sejarah bukan sekadar catatan masa lampau, sebaliknya ilmu yang membantu masyarakat memahami identiti, perjalanan dan pembentukan sesebuah bangsa serta negara.
“Jika kita sendiri tidak menulis sejarah kita, orang lain akan menulisnya untuk kita,” katanya.
Menurutnya, naratif sejarah Sarawak perlu diteliti melangkaui era pentadbiran Brooke dan British dengan mengambil kira warisan kerajaan awal, jaringan perdagangan, tradisi, adat, bahasa, agama serta pengalaman masyarakat pelbagai kaum yang membentuk negeri ini.
Menurutnya lagi, persoalan berkaitan migrasi, tamadun awal, perkembangan kerajaan serta perubahan sempadan dan pentadbiran perlu diteliti secara kritis berdasarkan bukti yang sahih sebelum direkodkan dan diterbitkan sebagai bahan rujukan.
Tambahnya lagi, beliau menyarankan sejarah negeri diteliti melalui kerangka periodisasi yang lebih menyeluruh, merangkumi zaman awal, Kesultanan Brunei, Dinasti Brooke, pendudukan Jepun, Koloni Mahkota British dan pembentukan Malaysia.
Sehubungan itu, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi menyeru universiti, arkib, muzium, perpustakaan, sekolah, persatuan sejarah, badan kebudayaan serta komuniti tempatan mempergiat usaha mengumpul, mendigitalkan dan menerbitkan manuskrip, dokumen, gambar, catatan serta sejarah lisan yang masih tersimpan.
Majlis anjuran Kementerian Perpaduan Negara melalui Arkib Negara Malaysia itu merupakan sebahagian daripada Sambutan Jubli Emas Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak, selain menjadi wadah perkongsian pemikiran dan pengalaman Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi mengenai sejarah kepada pentadbir, penjawat awam, ahli akademik, penyelidik dan masyarakat.
Turut hadir sama ialah Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Dato Haslina Abdul Hamid, Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Zaidin Mohd Noor serta Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak, Datu Dr. Sanib Said.-PENERANGAN-
-TAMAT -
Disediakan oleh: Mohamad Munir
Foto: Cassidy Lisut (BKVS)
MUKAH, 2 Okt -- Seramai 168 penjawat awam Sarawak dan Persekutuan daripada pelbagai jabatan serta agensi menerima Pingat Perkhidmatan Setia Tahun 2026 sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi, komitmen dan khidmat bakti mereka dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Pingat berkenaan disampaikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada satu majlis penganugerahan yang berlangsung di sini, hari ini.
Pegawai Daerah Daro, Zul Usop mendahului senarai penerima sebagai menghargai jasa dan bakti beliau selama 31 tahun dalam perkhidmatan awam.
Daripada keseluruhan jumlah tersebut, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak merekodkan penerima tertinggi dengan 44 orang penerima, diikuti Pejabat Residen Bahagian Mukah (26 penerima), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (22 penerima), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (14 penerima), Jabatan Kerja Raya Sarawak (12 penerima) dan Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (11 penerima).
Turut menerima pingat adalah kakitangan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (10 penerima), manakala Jabatan Pertanian Sarawak dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak masing-masing mencatatkan lapan penerima.
Selain itu, Jabatan Perikanan Laut Sarawak merekodkan lima penerima, diikuti Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Sarawak serta Majlis Daerah Dalat dan Mukah yang masing-masing mempunyai dua penerima.
Senarai penerima turut merangkumi Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak yang masing-masing diwakili oleh seorang penerima.
Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti & Ombudsman), Dato' Murshid Diraja Datuk Dr. Juanda Jaya dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan Oleh : Khalid Aini / Mohd Aziq Asraf Bolhie (JAPEN Mukah)
Foto Oleh : Unit Komunikasi Awam Sarawak
MUKAH, 3 Okt - Rakyat Sarawak khususnya di Bahagian Mukah perlu meningkatkan lagi ilmu pengetahuan baharu selaras dengan perkembangan teknologi dan industri baru dunia yang berasakan kepada sains dan teknologi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata pasaran kerja di Sarawak kini amat memerlukan tenaga pakar dalam bidang berkaitan seperti jurutera mikrocip serta pakar dalam industri minyak, gas dan hidrogen.
Katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sarawakku Sayang Bahagian Mukah 2026, di sini hari ini, penguasaan teknologi terkini dalam kalangan anak tempatan bukan sahaja mampu menarik pelaburan asing, malah berupaya memperluas aplikasi teknologi moden, seperti penggunaan dron dalam aktiviti pertanian.
"Penggunaan dron untuk membaja, meracun dan menanam dapat membantu melahirkan barisan saintis yang mampu menghasilkan benih berkualiti dengan pengeluaran hasil lebih tinggi dan cepat," jelasnya.
Mengambil contoh pemerkasaan tanaman padi berkualiti tinggi di negeri ini, beliau berkata langkah tersebut akan dapat menjamin pengeluaran yang berpanjangan, sekali gus melonjakkan pendapatan petani dan pengusaha padi.
Tambahnya, peningkatan pendapatan itu sudah pasti akan membantu menaikkan taraf hidup rakyat secara keseluruhan.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menggesa generasi muda agar terus mempertingkatkan kemahiran memandangkan dasar Kerajaan Sarawak kini menyediakan kemudahan pendidikan percuma kepada anak Sarawak tanpa mengira latar belakang agama, kaum mahupun keturunan.
"Kerajaan Sarawak setiap tahun menyediakan peruntukan besar untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, termasuk memastikan infrastruktur di pusat pendidikan bertaraf tinggi dan sempurna," ujarnya.
Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Residen Bahagian Mukah, Bujang Rahman Seli.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan Oleh : Khalid Aini / Salleh Immun(JAPEN Mukah)
Foto Oleh : Mohd Aziq Asraf Bolhie (JAPEN Mukah)
BALINGIAN, 4 Okt - Seramai 22 penduduk di kawasan ini menerima kunci kediaman masing-masing di bawah projek Rumah Spektra Permata (RSP) Skim Pembesaran Kampung (SPK) Balingian Fasa 1, semalam.
Majlis penyerahan kunci tersebut disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di tapak projek berkenaan.
Projek RSP SPK Balingian merupakan antara inisiatif strategik kerajaan Sarawak dalam menyediakan perumahan mampu milik yang selesa, khusus untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Terdahulu, sejurus ketibaan di tapak projek, Abang Johari menyempurnakan simbolik memotong reben serta melawat rumah contoh bagi meninjau secara dekat kualiti pembinaan, susun atur dan kemudahan asas yang disediakan.
Beliau bersama rombongan turut diberikan taklimat ringkas mengenai status pelaksanaan serta perincian projek perumahan tersebut oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).
Salah seorang penerima kunci, Hashim Harun@Hashim, 40, meluahkan rasa gembira dan terharu kerana penantiannya untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya tercapai.
“Saya sangat gembira dan terharu menerima kunci rumah ini dan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian atas keprihatinan serta usaha membantu kami mendapatkan rumah yang selesa untuk keluarga,” katanya.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan Oleh / Foto Oleh : Matsukarmi Suani (JAPEN Balingan)
KUCHING, 5 Oktober – Sarawak perlu terus membangunkan keupayaan, ekosistem inovasi dan kerjasama strategik bagi memastikan idea, teknologi serta kepakaran yang dibangunkan di negeri ini agar mampu berkembang dan menembusi pasaran serantau serta global.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semasa merasmikan International Digital Economy Conference Sarawak (IDECS) 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK) hari in berkata, perkembangan ekonomi digital kini bukan lagi sekadar soal menerima teknologi dari luar, sebaliknya Sarawak perlu membina keupayaan sendiri dan menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital serantau.
Katanya, selari dengan tema IDECS26 yang ke-9 ini, iaitu 'Scaling Innovation Ecosystems for a Borderless Economy: Earth, Orbit and Beyond', Sarawak kini memberi tumpuan kepada bidang strategik termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, infrastruktur digital, tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa dan pengurusan sumber semula jadi yang membolehkan idea, perniagaan dan pengetahuan Sarawak berkembang serta dihubungkan ke pasaran lebih luas.
Katanya lagi, pembangunan 'Sarawak Sovereign AI Infrastructure Platform, Sarawak Artificial Intelligence Centre'(SAIC), ' Sarawak AI Blueprint 2026-2030' serta perancangan membangunkan ' Kuching AI Data Campus' di Tanjung Embang merupakan antara usaha memperkukuh ekosistem AI negeri.
Dalam sektor semikonduktor Abang Johari berkata, 'Sarawak Semiconductor Roadmap 2030' menyediakan laluan untuk Sarawak bergerak ke arah aktiviti bernilai lebih tinggi termasuk reka bentuk, kejuruteraan khusus, penyelidikan dan pembangunan bakat.
Tambahnya, beliau turut menekankan kepentingan pembangunan industri aeroangkasa dan angkasa, termasuk aspirasi Sarawak untuk membangunkan nanosatelit pertama negeri menggunakan teknologi CubeSat menjelang 2030.
“Pembangunan nanosatelit bukan sekadar untuk menghantar satelit ke orbit, tetapi turut memberi peluang menggunakan data dan maklumat bagi menyokong perancangan, pemantauan alam sekitar, pertanian, perhutanan, pengurusan sumber asli serta tindak balas bencana,” katanya.
Dalam majlis sama, Sarawak hari ini turut melancarkan keteq.GaN, cip semikonduktor kuasa Galium Nitrida (GaN) pertama yang direka bentuk dan dibangunkan oleh Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor Sdn Bhd yang menandakan satu pencapaian penting dalam aspirasi berteknologi tinggi di negeri ini.
Selain itu, turut diadakan majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) dengan beberapa pemain industri dan syarikat, mencerminkan usaha memperluas jaringan kerjasama strategik dalam bidang ekonomi digital, teknologi dan inovasi.
Menurut Abang Johari, IDECS terus menjadi platform yang menghubungkan kerajaan, industri, universiti, penyelidik, usahawan dan rakan antarabangsa bagi membentuk perkongsian serta peluang baharu yang dapat menyumbang kepada transformasi ekonomi Sarawak.
Beliau juga mengumumkan bahawa IDECS 2027 akan memasuki edisi ke-10 dan Sarawak akan menjadi tuan rumah 'World Innovation, Technology and Services Alliance (WITSA) Global AI Summit 2027' di Kuching, sekali gus menghubungkan ekosistem AI Sarawak dengan rakan antarabangsa dalam bidang teknologi, pelaburan, penyelidikan dan dasar.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Pengerusi Sarawak Information Systems (SAINS), Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam, Secretary of Department of Energy (DOE) of The Philippines, Sharon S. Garin, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap menteri bertanggungjawab IDECS, Dato Sri Julaihi Narawi dan Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi IDECS, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Cassidy Lisut (BKVS)
KUCHING, 5 Okt - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg hari ini menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Tenaga Filipina, Sharon S. Garin di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.
Kunjungan hormat tersebut bertujuan mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Filipina dan Sarawak terutamanya dalam bidang rangkaian global dan perkembangan kemudahan infrastruktur digital.
Menurut jurucakap delegasi, Sarawak melalui Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) bakal memeterai perjanjian pelaburan bagi sepasang kabel gentian optik tunggal antarabangsa untuk memperkukuh ketersambungan digital negeri ini dengan rangkaian global.
Projek kabel antarabangsa sepanjang lebih 3,000 kilometer tersebut kini telah siap sepenuhnya dan rangkaian utama kabel itu merentasi dari Hong Kong ke Singapura seterusnya ke Kuching dengan pelaksanaan projek tersebut dipacu oleh ledakan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta pertumbuhan pesat pusat data yang kini sedang giat berkembang di peringkat global.
Turut hadir ialah, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi dan Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Safik Effendi Kassim (BMKK)
Jurufoto : Bolhan Basah (BKVS)
KUCHING, 6 Oktober – Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, hari ini menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Hari Lahir Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Ke-80 di Astana Negeri, di sini.
Kunjungan tersebut telah diketuai oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Menteri yang Bertanggungjawab Mengelola Sambutan, Dato Sri Julaihi Narawi yang turut menyampaikan warkah persilaan rasmi kepada Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Selain itu, kunjungan hormat itu turut bertujuan memberi taklimat mengenai persiapan dan rangkaian acara sambutan yang dijadualkan berlangsung dari 8 hingga 11 Oktober 2026.
Pelbagai acara telah disusun bersempena Sambutan Hari Lahir Rasmi TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak Ke-80 dengan melibatkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan, organisasi dan masyarakat.
Tun Pehin Sri dan Toh Puan menzahirkan penghargaan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Induk serta semua pihak yang terlibat atas usaha dan komitmen dalam memastikan persiapan sambutan dilaksanakan dengan sebaiknya.
Turut hadir sama ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Koordinator Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Syarifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (Pelancongan), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Dato Georgina Apphia Ngau, Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS), Datu Hamdan Sharbini dan ketua -ketua jabatan berkenaan.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Mohamad Munir (BMKK)
Foto: Abdul Hakeem Well (BKVS)
KUCHING, 6 Oktober – Industri pelancongan dan hospitaliti Sarawak terus berkembang seiring dengan pembangunan infrastruktur serta peningkatan kemudahan penginapan berkualiti, khususnya di bandar raya Kuching.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan infrastruktur termasuk sistem Transit Aliran Autonomi (ART) dijangka meningkatkan kesalinghubungan serta memberi kemudahan kepada pelancong dan pengunjung yang datang ke Kuching.
Katanya ketika merasmikan The Everly Lhesson Hotel Kuching di sini hari ini, lokasi hotel yang berhampiran dengan stesen ART memberikan nilai tambah kepada pengunjung kerana memudahkan pergerakan mereka ke pelbagai destinasi di sekitar bandar raya Kuching.
“Ini akan memberi kemudahan kepada pelancong untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain, sekali gus menyokong pertumbuhan sektor pelancongan dan hospitaliti di Kuching,” katanya.
Tambahnya, Kuching turut mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai hab persidangan dan acara perniagaan di Borneo yang disokong oleh peningkatan kapasiti hotel serta kemudahan bertaraf antarabangsa seperti Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Katanya lagi, perkembangan sektor Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) bukan sahaja memberi manfaat kepada industri perhotelan, malah turut merancakkan sektor pengangkutan, makanan dan minuman serta perkhidmatan berkaitan di samping mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata sektor pelancongan perubatan turut mempunyai potensi untuk terus berkembang susulan pengembangan kemudahan hospital swasta di Kuching.
Menurut beliau, perkembangan tersebut secara tidak langsung akan meningkatkan permintaan terhadap kemudahan penginapan, khususnya dalam kalangan pesakit dan ahli keluarga yang datang dari luar Sarawak.
Menurutnya lagi, beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh jaringan penerbangan antarabangsa bagi menghubungkan Kuching dengan bandar-bandar utama di Asia dalam usaha merancakkan sektor pelancongan, perniagaan dan pelaburan.
"Keunikan Kuching dari segi budaya, warisan dan gastronomi, selain pengiktirafan UNESCO turut menjadi antara kelebihan utama Sarawak dalam menarik lebih ramai pelancong dan pelabur ke negeri ini," katanya.
Turut hadir sama ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng; Pengarah Urusan The Everly, Dennis Tan serta tetamu jemputan.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh:
Ninie Gumbang (BMKK)
Foto:Mohamad Rizal Matassan (BKVS)
KUCHING, 6 Okt — Kerajaan Sarawak terus memperkukuh usaha tingkat pengeluaran padi melalui penggunaan teknologi, penyelidikan, inovasi serta pengurusan ladang moden bagi meningkatkan tahap sara diri beras negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahmab Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata pendekatan itu penting berikutan perubahan iklim dan ketidaktentuan bekalan makanan dunia yang boleh menjejaskan sumber import beras negara.
“Kerajaan Sarawak sedang mengkaji semula dasar pengeluaran padi dengan memberi tumpuan kepada ketersediaan tanah, jenis benih, teknologi dan sumber manusia bagi meningkatkan hasil pengeluaran,” ujar beliau ketika berucap pada Persidangan Penyelidikan Beras Sarawak ke-2 (SARICON II) 2026 bertemakan Sustained Drive for Future: Innovation, Collaboration and Research di salah sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.
Katanya, Sarawak telah mengenal pasti kira-kira 14,000 hektar tanah, termasuk tanah kerajaan negeri dan tanah pekebun kecil untuk dibangunkan sebagai kawasan pengeluaran padi dengan kira-kira 7,000 hektar daripadanya merupakan tanah kerajaan yang telah digazetkan bagi tujuan berkenaan.
Menurut Abang Johari lagi, penyelidikan terhadap benih baharu termasuk benih hibrid dan padi saka perlu dipergiat bagi mencapai sasaran hasil antara lapan hingga 12 tan sehektar bagi setiap musim berbanding purata semasa sekitar 1.2 tan sehektar.
Katanya, kajian padi saka yang dilaksanakan bersama Universiti Yunnan, China, di kawasan tanah gambut di Baram, Miri menunjukkan perkembangan menggalakkan apabila tanaman berkenaan mampu mengeluarkan tunas baharu selepas dituai tanpa perlu ditanam semula bagi setiap musim.
" Penggunaan teknologi perlu diperluas dalam pengurusan ladang menerusi sistem pengairan pintar, penderiaan jauh, kamera dan kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan keadaan tanaman dipantau serta masalah seperti serangan perosak dikenal pasti dengan lebih pantas.
“Kalau kita dapat mengurus ladang dengan teknologi seperti ini, di mana sahaja kita berada kita masih boleh mengetahui keadaan ladang, termasuk memantau pertumbuhan padi dan mengesan masalah yang berlaku,” ujar beliau.
Tambahnya, berkata Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM1 bilion bagi membangunkan sistem pengairan dan saliran di kawasan yang dikenal pasti untuk penanaman padi selain menggalakkan penyertaan sektor swasta bersama pekebun kecil bagi meningkatkan skala pengeluaran.
Katanya, kejayaan pengeluaran sekitar enam tan padi sehektar di kawasan tanah terbiar di Kuala Rajang dan Gedong membuktikan pendekatan berasaskan teknologi serta kerjasama sektor swasta mampu meningkatkan hasil dan pendapatan petani.
Katanya lagi, transformasi sektor padi tersebut turut memerlukan pembangunan modal insan apabila anak-anak petani digalakkan mengikuti bidang pertanian moden, sains pertanian dan sains hayat menerusi peluang pendidikan tinggi percuma yang disediakan Sarawak, selain menggesa penyelidik meneroka penghasilan beras lebih sihat dengan kandungan karbohidrat yang lebih rendah.
Turut hadir, Penasihat kepada Premier Sarawak bagi Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Tan Sri William Mawan Ikom; Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail; Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datu Sirai Daha; Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Dominic Chunggat dan Presiden Sarawak Institute of Agricultural Scientists (SIAS) Dr Maclin Dayod. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Lance Dunstan (BKVS)
KUCHING, 6 Oktober - Pengalaman, pengetahuan dan kepakaran anggota Dewan Negara perlu dimanfaatkan secara optimum bagi menyumbang pandangan yang konstruktif kepada pembangunan negara.
Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perbezaan pandangan dalam institusi Parlimen merupakan sebahagian daripada proses demokrasi yang sihat, namun perbahasan hendaklah dilaksanakan secara berhemah, berlandaskan fakta serta mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.
Katanya lagi ketika menerima kunjungan hormat delegasi Majlis Senator Malaysia yang diketuai Presidennya, Dato’ Sri Khairudin Es Abd Samad, di Astana Negeri Sarawak, di sini hari ini, pengalaman selama 18 tahun sebagai Ahli Parlimen sebelum diberi kepercayaan memegang jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat memberikan pendedahan mendalam mengenai perjalanan serta peranan institusi Parlimen dalam sistem demokrasi negara.
Selain itu, Tun Pehin Sri Dr.Wan Junaidi turut berkongsi pandangan mengenai keperluan reformasi Parlimen, termasuk usaha memperkukuh kebebasan dan autonomi pentadbirannya daripada cabang eksekutif, di samping mempertingkat akauntabiliti serta keberkesanan institusi legislatif.
Beliau juga mengingatkan bahawa setiap perbahasan dan interaksi dalam persidangan Dewan Negara hendaklah dilaksanakan melalui Yang di-Pertua Dewan selaras dengan peraturan dan tatacara persidangan.
Dalam pada itu, kunjungan hormat tersebut turut bertujuan menyampaikan jemputan rasmi kepada Tun Pehin Sri untuk menjadi Penaung Majlis Makan Malam anjuran Majlis Senator Malaysia yang akan diadakan di Kuala Lumpur.
Turut hadir ialah Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Naib Presiden Majlis Senator Malaysia, Senator Abun Sui Anyit dan Setiausaha Kehormat, Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim. -PENERANGAN-
–TAMAT–
Disediakan oleh: Mohamad Munir (BMKK)
Foto oleh: Abdul Hakeem Well (BKVS)
KUCHING, 7 Oktober – Pengerusi Institute of Contemporary Leadership (ICL), Profesor Emeritus Dato’ Abang Abdullah Abang Ali telah mengetuai delegasi ICL mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Astana Negeri Sarawak, hari ini.
Kunjungan tersebut telah memberi peluang kepada ICL untuk memperkenalkan peranan, hala tuju strategik serta inisiatif institut dalam memperkasa pembangunan kepimpinan kontemporari di Sarawak dan peringkat serantau.
Selain itu, perbincangan semasa kunjungan hormat tersebut turut menyentuh komitmen ICL untuk mendapatkan pandangan serta sokongan kepimpinan negeri dalam memperluas program dan kerjasama institusi berteraskan tiga tonggak utama iaitu Strategic Foresight, Trustworthiness and Inclusivity (STI).
Antara perkembangan utama yang diketengahkan ialah program Professional Certificate in Contemporary Leadership (PCCL) untuk pemimpin kanan dalam sektor kerajaan, industri, akademia dan organisasi masyarakat sivil.
Turut dimaklumkan bahawa kohort ketiga PCCL (PCCL-3) baru-baru ini menamatkan pengajian pada 19 September 2026 di Markfield, United Kingdom, selain menampilkan kerjasama strategik bersama Oxford Character Project di University of Oxford serta penyertaan peserta dari Sabah, Semenanjung Malaysia dan Filipina.
ICL turut mengemukakan beberapa inisiatif baharu termasuk cadangan menjadikan Sarawak sebagai Global Leadership Tourism Hub, Youth Contemporary Leadership Programme (Y-CLP) dan Community Contemporary Leadership Programme (C-CLP) yang kini dikemukakan kepada kementerian berkaitan untuk pertimbangan dan sokongan.
Dalam usaha memperkukuh ekosistem pembangunan kepimpinan negeri, ICL turut menekankan sinergi dengan Leadership Institute for Sarawak Civil Service (LISCS) dan Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE).
ICL juga kini giat menjalankan penyelidikan dan pembangunan berkaitan kepimpinan kontemporari selain telah menerbitkan edisi pertama Contemporary Leadership Bulletin dan bakal melancarkan podcast Contemporary Leadership.
Turut hadir sama ialah Pemegang Amanah ICL, Profesor Dr. Dayang Affizzah Awang Marikan; Ketua Pegawai Eksekutif LISCS, Datu Dr. Mohd Azhar Ahmad dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Morshidi Fredrick. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Eddie Allan Blanking (BKVS)
KUCHING, 7 Okt – Borneo berpotensi menjadi hab penting dan strategik bagi pertumbuhan ekonomi ASEAN dengan memanfaatkan kedudukan strategiknya, sumber semula jadi, tenaga boleh baharu, biodiversiti, tenaga kerja serta keupayaan ekonomi yang semakin berkembang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata potensi itu boleh direalisasikan menerusi usaha memperkukuh kesalinghubungan, pelaburan, perdagangan dan rantaian nilai serantau di Borneo.
"Kerjasama lebih erat antara Sarawak, Sabah, Kalimantan dan Brunei Darussalam mampu menghubungkan infrastruktur, industri, pasaran dan keupayaan masing-masing, sekali gus membentuk rantaian nilai serantau yang lebih kukuh.
"Ini adalah saat yang penting bagi Borneo kerana berada di persimpangan strategik ASEAN dengan sumber semula jadi yang banyak, potensi tenaga boleh baharu yang besar dan biodiversiti yang kaya," katanya ketika berucap pada 2nd Borneo Economic Forum 2026 bertemakan 'Shaping the Future of Borneo' di salah sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Menurut Abang Johari lagi, tiga bidang yang diberi tumpuan dalam forum berkenaan iaitu kesalinghubungan tenaga, transformasi digital dan pembangunan industri bersepadu menawarkan peluang ekonomi yang besar kepada Borneo.
Dalam aspek tenaga, beliau berkata Sarawak mempunyai sumber tenaga yang besar termasuk hidroelektrik, solar dan sumber boleh baharu lain yang mampu menyokong keperluan tenaga yang semakin meningkat di rantau ini.
Katanya, kesalinghubungan tenaga rentas sempadan bukan sekadar melibatkan pemindahan elektrik antara satu bidang kuasa dengan bidang kuasa lain, malah mampu memperkukuh keselamatan tenaga, memperluas penggunaan tenaga boleh baharu serta menyokong pembangunan industri berintensifkan tenaga.
"Usaha ini memberikan asas untuk kita meneroka peluang lebih luas di bawah 'Borneo Power Grid' dan 'ASEAN Power Grid' yang sedang berkembang," ujarnya.
Katanya lagi, Sarawak turut meneroka cadangan hubungan elektrik dengan Singapura yang berpotensi membekalkan kira-kira satu gigawatt elektrik boleh baharu melalui kabel penghantaran dasar laut.
Menurut beliau, usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada aspirasi menjadikan Sarawak sebagai "Battery of ASEAN" dengan memanfaatkan sumber tenaga boleh baharu bersama infrastruktur dan kerjasama yang diperlukan bagi memperkukuh keselamatan tenaga serta menyokong peralihan kepada tenaga bersih.
Abang Johari turut menekankan komitmen berterusan Sarawak untuk memastikan setiap rancangan pembangunan ekonomi berjalan seiring dengan kelestarian alam sekitar.
Menurutnya, langkah itu penting bagi menjamin kelangsungan khazanah alam semula jadi untuk diwarisi oleh generasi akan datang, sambil terus mencipta pelbagai peluang sosioekonomi kepada rakyat
Turut hadir ialah Menteri Perancangan Pembangunan Nasional/Ketua Badan Perencanaan Pembangunan Nasional Republik Indonesia, Rachmat Pambudy, Pengerusi Ibu Kota Nusantara (IKN), Basuki Hadimuljono, Timbalan Menteri di Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Negara Brunei Darussalam, Datin Seri Paduka Tutiaty Abdul Wahab, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pengangkutan II, Datuk Henry Harry Jinep, Pengerusi Bersama Komuniti Ekonomi Borneo (BEC), M. Arsjad Rasjid serta tetamu kenamaan yang lain.-PENERANGAN-
– TAMAT –
Disediakan oleh : Safik Effendi Kassim (BMKK)
Jurufoto : Cassidy Lisut (BKVS)
KUCHING, 8 Okt – Australia dan Sarawak memperkukuh kerjasama dalam bidang tenaga boleh baharu, pendidikan tinggi, perdagangan dan pelaburan menerusi kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi, hari ini.
Menurut Heinecke, Sarawak merupakan rakan penting dalam hubungan Australia-Malaysia dengan potensi kerjasama yang luas, khususnya dalam peralihan tenaga, pembangunan kemahiran masa depan dan pelaburan infrastruktur.
“Kami berada di Sarawak untuk bertemu Premier Sarawak dan membincangkan bidang kerjasama termasuk Sarawak Energy, Universiti Teknologi Swinburne serta alumni universiti berkenaan,” katanya ketika ditemui media.
Katanya, Australia berkongsi kepakaran teknikal dengan Sarawak bagi meneroka potensi teknologi 'pumped hydro' sebagai sistem penyimpanan tenaga untuk menyokong peralihan kepada tenaga boleh baharu.
Menurutnya lagi, kerjasama pendidikan tinggi melalui Universiti Teknologi Swinburne dan Universiti Curtin di Sarawak turut membuka ruang untuk memperluas pembangunan kemahiran masa depan selaras dengan visi kerajaan negeri menjelang PCDS 2030.
"Program penyelidikan bersama Universiti Teknologi Swinburne di Australia dan Malaysia memberi tumpuan kepada sektor masa depan, termasuk tenaga dan teknologi, dengan peluang untuk memperluas inovasi serta perkongsian kepakaran.
"Kerjasama turut merangkumi penerokaan teknologi dron untuk penghantaran peralatan perubatan dan penggunaan sumber secara lebih berkesan bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan," tambah Heinecke.
Dalam bidang perdagangan dan pelaburan pula, Australia berhasrat menggalakkan lebih banyak syarikatnya melabur di Sarawak, khususnya dalam sektor tenaga, pelabuhan dan infrastruktur.
Sementara itu, wakil Australia yang terlibat dalam kerjasama 'Partnerships for Infrastructure' berkata, kerjasama dengan Sarawak Energy memberi tumpuan kepada sistem penyimpanan tenaga, selain pembangunan bahan api perkapalan hijau bersama Kementerian Pengangkutan di peringkat Persekutuan.
Sarawak berpotensi menjadi rakan utama dalam pembangunan ekosistem bahan api rendah karbon bagi industri perkapalan dengan memanfaatkan keupayaan industri kimia dan bahan api negeri serta kepakaran Australia dalam pengeluaran bahan api hijau.
Turut hadir, Setiausaha Kedua (Politik dan Ekonomi) Lachlan McPhee; Pengurus Kanan (Partnerships for Infrastructure) Michael Ting; Konsul Kehormat Australia ke Sarawak Datuk Dr. Philip Ting Ding Ing; Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri, Ambassador Hendy Assan; Setiausaha Tetap MEESTy, Datu Abang Ahmad Abang Morni; Pengarah SACED, Dr. Angelia Liew San Chuin; Ketua Pegawai Eksekutif SEB, Datuk Sharbini Suhaili dan Ketua Pegawai Eksekutif SEB Dato Ruslan Abdul Ghani. -PENERANGAN- -TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Bolhan Haji Basah (BKVS)
KUCHING, 8 Oktober – Majlis Kesyukuran sempena Sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang ke-80 telah berlangsung di Masjid Jamek Kuching, malam ini.
Ketibaan Tun Wan Junaidi bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di perkarangan masjid telah disambut barisan pemimpin negeri, pegawai kanan kerajaan serta jemaah masjid.
Acara dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti bacaan Yasin dan doa selamat yang dipimpin oleh Imam Besar Sarawak, Sahibul Fadilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi sebelum diteruskan dengan solat Isyak berjemaah.
Sambutan Hari Lahir ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak akan berlangsung selama empat hari bermula 8 hingga 11 Oktober ini dengan pelbagai acara rasmi, adat istiadat dan program bersama rakyat. - PENERANGAN
- TAMAT -
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Khairul Anwar Ali (BKVS)
KUCHING, 10 Okt – Peranan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam usaha memperkukuh pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) wajar terus dikenang sebagai sebahagian daripada sejarah institusi Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata Wan Junaidi telah memainkan peranan penting berhubung perkara itu ketika memegang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap Parlimen dan Undang-Undang.
"Bagi Sarawak, ia bukan sekadar pindaan teknikal kepada peruntukan perlembagaan, tetapi merupakan sebahagian daripada usaha yang lebih besar untuk memperkukuh kedudukan Sarawak dalam Persekutuan," katanya.
Teks ucapan beliau itu dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain bersempena dengan Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Amity Hall, Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di sini, malam tadi.
Selain itu, Abang Johari turut menyifatkan Wan Junaidi sebagai Ketua Negeri yang bertindak selaku lambang kedaulatan, kestabilan dan perpaduan bagi Sarawak.
Menyentuh mengenai pembangunan masa depan negeri, Premier berkata bahawa penguasaan generasi muda dalam bidang ekonomi baharu, sains, teknologi, kejuruteraan dan kecerdasan buatan perlu seiring dengan pendidikan nilai, adab dan institusi keluarga yang kukuh.
"Kita tidak mahu melahirkan generasi yang kaya dengan ilmu tetapi miskin dengan nilai. Kita mahu generasi yang maju dalam teknologi, tetapi tetap menghargai keluarga, menghormati orang lain dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap masyarakat," katanya.
Dalam pada itu, beliau memuji peranan UNIFOR sebagai jambatan penting antara Kerajaan Sarawak dengan komuniti agama-agama lain dalam usaha membina kepercayaan dan ruang komunikasi yang terbuka dan berterusan.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep, Pengarah UNIFOR Datu Georgina Apphia Ngau, ketua-ketua jabatan serta dif-dif jemputan yang lain.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Safik Effendi Kassim (BMKK)
Foto : Bolhan Hj. Basah (BKVS)
𝗞𝗨𝗖𝗛𝗜𝗡𝗚, 𝟭𝟬 𝗢𝗸𝘁 – Kerajaan Sarawak dan rakyat negeri ini menzahirkan penghargaan terhadap jasa serta sumbangan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, sempena sambutan ulang tahun kelahiran beliau yang ke-80 hari ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, berkata institusi Yang di-Pertua Negeri memainkan peranan penting sebagai lambang perpaduan, kestabilan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta agama di Sarawak.
Menurut beliau, keharmonian masyarakat perlu terus dipelihara melalui sikap saling menghormati, toleransi dan kesediaan untuk hidup bersama dalam kepelbagaian.
Tambah beliau, perpaduan dan kestabilan merupakan antara kekuatan utama Sarawak dalam merancang pembangunan jangka panjang, menarik pelaburan serta mewujudkan masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang.
Katanya, pengalaman luas Tun Wan Junaidi dalam bidang keselamatan, perundangan, politik dan pentadbiran negara turut mencerminkan komitmen serta khidmat bakti beliau kepada Sarawak dan Malaysia.
"Antara pengalaman penting beliau ialah ketika berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan di Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM) termasuk penglibatan dalam usaha mempertahankan keselamatan Sarawak daripada ancaman komunis," katanya lagi.
Sambutan dimulakan dengan 17 das tembakan meriam dan lintas hormat helikopter di ruang udara, sebelum diteruskan dengan perbarisan membabitkan 107 kontinjen daripada jabatan kerajaan negeri dan persekutuan, agensi swasta, institusi pendidikan, pasukan beruniform serta badan bukan kerajaan (NGO).
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Menteri yang Bertanggungjawab Mengelola Sambutan, Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan kabinet negeri serta ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan. -PENERANGAN -
– TAMAT –
Disediakan oleh: Mohamad Munir (BMKK)
Foto oleh: Lance Dunstan, Mohamad Rizal dan Eddie Allan Blanking (BKVS)
KUCHING, 10 Oktober – Seramai 35 individu telah menerima Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak sempena Sambutan Hari Jadi Ke-80 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri di Dewan Istiadat, Astana Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Pada istiadat tersebut, Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Dato Sri Awang Bemee Awang Ali Basah telah mendahului senarai penerima Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Panglima Negara Bintang Sarawak (P.N.B.S.).
Turut menerima darjah kebesaran yang sama ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Dato Sri Azizah Nawawi, Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dato Sri Abdul Wahab Aziz dan Dato Sri Tay Ah Ching @ Tay Chin Kin.
Sementara itu, tiga individu telah menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (P.G.B.K.) yang membawa gelaran Datuk.
Mereka ialah Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dean Wayne Daly, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Idris Buang dan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (Pelancongan) Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
Enam individu pula menerima Darjah Jasa Bakti Sarawak (D.J.B.S.) yang membawa gelaran Datu, terdiri daripada Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) Datu Dzulkornain Masron, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) Datu Morshidi Fredrick serta Pengarah Unit Diplomasi Iklim dan Tenaga (SACED) Datu Ir. Ts. Dr. Angelia Liew San Chuin.
Turut menerima darjah berkenaan ialah Pengarah Pertanian Sarawak Datu Dominic Chungat, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) merangkap Setiausaha Majlis Islam Sarawak (MIS) Datu Mual Suaud dan Pengurus Besar Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) merangkap Pengarah Urusan Pusat Sains Sarawak (SSCiEX), Datu Ts. Dr. Peter Morin Michael Paong.
Istiadat diteruskan dengan pengurniaan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Panglima Setia Bintang Sarawak (P.S.B.S.) kepada 22 penerima yang membawa gelaran Dato.
Antara penerima ialah Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pesuruhjaya Polis Dato Mohamad Zainal Abdullah, Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) Mejar Jeneral Dato Mohd Sobirin Mohd Yusof, Ahli Dewan Negara Senator Dato Rita Sarimah Patrick Insol dan Senator Dato Susan Chemerai Anding serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.39 Krian Dato Friday Belik.
Turut menerima darjah kebesaran tersebut ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Dato Dr. Ahmad Hata Rasit, Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dato Dr. Veronica Lugah, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) Dato Omar Mahli dan Rektor UiTM Cawangan Sarawak Profesor Dato Dr. Firdaus Abdullah.
Senarai penerima turut merangkumi Pengarah Negeri Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sarawak Dato Abang Ehsan Abang Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Sovereign Wealth Future Fund (SSWFF) Dato Abang Rahmat Shobra Yusuf, Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor Sdn. Bhd. Dato Shariman Jamil, Dato Azerina Mohd. Arip, Dato John Ko Wai Seng, Ir. Profesor Dato Lau Hieng Ho, Dato Lau Kim Swee, Dato Sim Yaw Hang, Dato Kong Chiong Ung, Temenggong Dato Abdullah Jamil, Temenggong Dato Chek Bujang, Temenggong Dato Henry Bujang Sendan serta mendiang Dato Sibat Buyong.
Hadir sama pada istiadat tersebut ialah Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian serta Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar bersama dif-dif kenamaan.
-PENERANGAN-
– TAMAT –
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Bolhan Haji Basah / Khairul Annuar (BKVS)
KUCHING, 11 Okt– Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, diraikan sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-80 beliau menerusi Majlis Jamuan Negeri yang berlangsung di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri Sarawak, semalam.
Majlis dimulakan dengan lagu Ibu Pertiwi dan persembahan Selamat Datang sebelum diteruskan dengan bacaan doa sebagai tanda kesyukuran atas sambutan ulang tahun kelahiran rasmi ketua negeri itu.
Atur cara turut merangkumi upacara memotong kek Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri Sarawak, tayangan video khas serta jamuan makan malam yang diserikan dengan persembahan hiburan.
Sambutan diteruskan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku dan lagu negeri Ibu Pertiwi sebelum Yang di-Pertua Negeri Sarawak berangkat meninggalkan majlis dengan diiringi Premier Sarawak.
Turut diadakan ialah persembahan bunga api di dataran Dewan Undangan Negeri Sarawak bagi memeriahkan sambutan itu.
Turut hadir sama ialah Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi; Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof; Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Dato Sri Awang Bemee Awang Ali Basah; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian; Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi; menteri-menteri; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan-Timbalan menteri; dif-dif kenamaan; Ahli-ahli Yang Berhormat; serta ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua masyarakat.-PENERANGAN- -TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Lance Dunstan dan Mohammad Rizal (BKVS)
KUCHING, 11 Okt: Seramai 3,000 peserta menyertai Program Malaysia Aktif Peringkat Negeri Sarawak 2026 yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, program berkenaan merupakan inisiatif kerajaan untuk menggalakkan masyarakat kekal aktif dan menjadikan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian.
Katanya, aktiviti sukan tidak semestinya berbentuk pertandingan atau kompetitif, sebaliknya masyarakat boleh mengamalkan gaya hidup aktif melalui aktiviti mudah mengikut kemampuan masing-masing.
Dalam perkembangan berkaitan, Mordi memaklumkan bahawa Hari Sukan Negara Peringkat Sarawak 2026 akan berlangsung dari 16 hingga 18 Oktober ini di Dewan Panglima Rentap, Betong dengan acara kemuncak dijadualkan pada 17 Oktober.
Sebanyak 33 aktiviti dirancang sepanjang sambutan itu, merangkumi pelbagai program sukan, rekreasi dan aktiviti komuniti. Beliau turut menyeru masyarakat khususnya penduduk di sekitar Betong agar hadir beramai-ramai bagi memeriahkan sambutan berkenaan.
Dalam majlis sama, Mordi kemudiannya menyempurnakan pelepasan peserta bagi acara larian 5KM dan 3KM.
Program itu turut menampilkan pelbagai aktiviti sukan, kecergasan dan rekreasi antaranya Aerobicthon berkumpulan, futsal 3x3, pertandingan slingshot, stacking sports serta demonstrasi cheerleading dan dancesports.
Program Malaysia Aktif diharap dapat terus meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kecergasan serta menggalakkan amalan gaya hidup aktif secara berterusan demi kesihatan dan kesejahteraan bersama.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Azila Mustaffa (BMKK)
Foto: Lance Dunstan (BKVS)
KUCHING, 11 Oktober – Program SKILLBOX@Kelab Malaysiaku 2026 Zon Sarawak menjadi platform untuk memperkukuh pembangunan sahsiah, kemahiran insaniah, kepimpinan, jati diri dan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda menerusi pelbagai aktiviti interaktif dan pembelajaran secara berkumpulan.
Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak, Sabri Said berkata, program berkenaan memberi peluang kepada pelajar untuk membina keyakinan diri, mengasah bakat kepimpinan serta mengenal pasti potensi diri sebagai persediaan menghadapi cabaran masa hadapan.
Menurut beliau, program selama tiga hari dua malam bermula 9 Oktober itu telah berjaya menghimpunkan seramai 200 pelajar.
"Daripada sejumlah 51 sekolah yang mempunyai Kelab Malaysiaku di Sarawak, hanya lima sekolah telah dipilih untuk menyertai program berkenaan, yang turut menjadi medium untuk memperkukuh kerjasama antara JAPEN Sarawak dengan pihak pendidikan dan sekolah," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program SKILLBOX@Kelab Malaysiaku 2026 Zon Sarawak di sini, hari ini.
Katanya lagi, pengalaman yang diperoleh melalui aktiviti berkenaan penting dalam membentuk pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu berfikir secara matang, berani menyuarakan pandangan dan prihatin terhadap masyarakat.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan peserta supaya tidak membandingkan kebolehan diri dengan orang lain, sebaliknya berani mencuba perkara baharu, belajar daripada kesilapan dan terus berusaha memperbaiki diri.
“Saya mungkin belum berjaya hari ini, tetapi saya mempunyai peluang dan kemampuan untuk menjadi lebih baik pada hari esok,” katanya ketika menyeru para peserta agar menjadikan pengalaman sepanjang program sebagai dorongan untuk terus maju.
Beliau turut menekankan bahawa perkembangan teknologi, kecerdasan buatan (AI), media digital dan perubahan landskap pekerjaan menuntut generasi muda melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran, selain pengetahuan akademik, bagi menghadapi cabaran masa hadapan.
Sepanjang program tersebut, peserta telah mengikuti Modul Kepimpinan dan Jati Diri yang merangkumi sesi pengenalan, 'Ice Breaking', 'Treasure Hunt', Eksplorasi Kepimpinan serta Aktiviti Dinamika Kumpulan, Sivik dan Kerohanian.
Pengisian turut merangkumi Modul Komunikasi seperti Pengurusan Acara, Pengucapan Awam dan Pengacaraan Majlis, selain pendedahan kepada 'Mobile Journalism' (MOJO) dan 'Copywritting' bagi meningkatkan kemahiran komunikasi serta penghasilan kandungan.
Para peserta turut menyertai segmen interaktif bersama pempengaruh tempatan, manakala Modul Kenegaraan dan Patriotisme yang merangkumi kuiz, trivia kenegaraan serta ceramah pameran bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kecintaan terhadap negara.
Program tersebut turut menyaksikan pelaksanaan Majlis Malam Penghargaan SKILLBOX@Kelab Malaysiaku 2026 Zon Sarawak yang mengetengahkan kesenian dan kebudayaan, sebelum diteruskan dengan aktiviti 'Road to Varsity', persembahan PENTARAMA dan Majlis Perasmian Penutupan pada 11 Oktober.
Program SKILLBOX@Kelab Malaysiaku merupakan antara usaha JAPEN untuk membangunkan generasi muda yang berkeyakinan, berkemahiran, mempunyai jati diri kukuh serta memahami nilai kenegaraan dan patriotisme. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Alya Sukri (BMKK)
Foto : Abdul Hakeem Well (BKVS)
𝗞𝗨𝗖𝗛𝗜𝗡𝗚, 𝟭𝟭 𝗢𝗸𝘁 – Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri Majlis Jamuan Teh sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak hari ini yang telah diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di sini.
Majlis tersebut yang merupakan sebahagian daripada aturcara sambutan telah diserikan dengan acara memotong pulut kuning serta penyampaian sumbangan kepada 150 penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, terdiri daripada 26 lelaki dan 124 wanita, termasuk warga emas, ibu tunggal dan kanak-kanak.
Sumbangan wang tunai telah ditaja oleh Astana Negeri Sarawak, manakala sumbangan beras dan hamper ditaja oleh Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) serta Bintulu Port Holdings.
Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian Majlis Seni Sarawak, tayangan video kapsul bertajuk Bukan Sekadar Seorang Pemimpin serta persembahan artis tempatan, termasuk Bob Yusof, Abang Hafidz dan Miey Sanisha.
Kemuncak majlis menyaksikan Tun Wan Junaidi, Premier Sarawak dan tetamu kehormat bersama-sama menyanyikan lagu Masihkah Kau Ingat dan Yale-Yale.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Mengelola Sambutan, Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah serta barisan kabinet negeri dan ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan. -PENERANGAN-
– TAMAT-
Disediakan oleh: Mohamad Munir (BMKK)
Foto: Cassidy Lisut, Khairul Anwar Ali (BKVS)
KUCHING, 12 Oktober– Rul Azhar dari Zon Utara muncul juara Bintang P. Ramlee 2026 selepas menewaskan lima finalis lain pada malam kemuncak pertandingan yang berlangsung di Arena Gemilang, DeTAR PUTRA, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) semalam.
Rul Azhar atau nama sebenarnya Mohamad Faqhrul Azhar Mohamad Zabandi telah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 berserta masing-masing membawa pulang sijil dan trofi atas kejayaan itu.
Sementara itu, Mahathir Zailani dari Zon Sarawak meraih naib juara dengan hadiah wang tunai RM15,000, manakala Jeffryzan Jamil dari Zon Sabah menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM10,000.
Mohd Ridzuan Md Taib dari Zon Selatan pula menerima pengiktirafan Persembahan Terbaik dengan hadiah wang tunai RM2,000 berserta sijil dan trofi.
Hadiah saguhati daripada peruntukan keseluruhan RM5,000 turut diberikan kepada Mohd Ridzuan Md Taib dari Zon Selatan, Mohammad Mushawwir Abdul Rani dari Zon Tengah dan Mohamad Hasnul Hassan dari Zon Timur.
Pertandingan anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Kerajaan Sarawak adalah bertujuan untuk mencungkil bakat nyanyian serta mengangkat karya seni Allahyarham Tan Sri P. Ramlee kepada generasi baharu.
Bermula di Sarawak pada 1988 sebelum diperluas ke peringkat kebangsaan pada 1993, pertandingan itu turut memperkenalkan penyertaan antarabangsa pada 2016 sekali gus memperkukuh usaha memartabatkan warisan seni dan muzik tanah air.
Malam kemuncak tahun ini dibahagikan kepada dua segmen, iaitu 'Irama Sang Seniman' yang menampilkan setiap finalis menyampaikan lagu ciptaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee secara solo, serta 'Harmoni Kasih' yang menyaksikan finalis bergandingan dengan penyanyi wanita Sarawak dalam persembahan trio yang didahului lakonan pendek.
Tony Eusoff dan Nabila Huda telah mengendalikan acara berkenaan manakala persembahan artis jemputan menampilkan Aina Abdul, Amir Masdi dan Danie Hasbullah, selain persembahan bersama finalis oleh Nur Hijrah Yahya, Roxy Izzy dan Azie Mustapha.
Turut hadir, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah; Pengarah Bahagian Program Radio Saifuzzaman Yusop serta Pengarah RTM Sarawak Wan Wizana Hashim.-PENERANGAN- -TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Eddie Allan Blanking (BKVS)
KUCHING, 13 Okt — Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menghadiri Majlis Makan Malam Jubli Emas Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) yang mengetengahkan usaha memperkasa aset tanah dan meneroka tenaga baharu sempena ulang tahun ke-50 penubuhan agensi itu di salah sebuah hotel terkemuka, di sini semalam.
Majlis bertemakan 'Sow, Grow & Prosper' itu meraikan pencapaian SALCRA sejak penubuhannya pada 1976 dalam membangunkan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) secara sistematik dan produktif sekali gus meningkatkan pendapatan serta taraf hidup masyarakat luar bandar menerusi pengurusan tanah secara bersepadu.
Abang Johari dalam ucapannya berkata, pembangunan tanah melalui penyatuan pengurusan dan penggunaan teknologi moden mampu meningkatkan nilai ekonomi aset milik masyarakat selain membuka peluang baharu kepada generasi akan datang.
“Tanah ialah aset ekonomi dan jika tidak dibangunkan, kita kehilangan peluang ekonomi,” ujar beliau ketika menekankan kepentingan mengurus tanah secara produktif bagi menjana pulangan yang lebih tinggi kepada pemiliknya.
Abang Johari turut mencadangkan agar SALCRA menjalankan kajian mengenai potensi menghasilkan bahan api penerbangan mampan (SAF) melalui penerokaan teknologi pemprosesan sisa kelapa sawit dan asid lemak yang berpotensi membuka ruang kepada kepelbagaian sumber pendapatan serta memperkukuh ekonomi hijau Sarawak.
Dalam majlis tersebut, Abang Johari turut menyaksikan pelancaran logo korporat baharu SALCRA yang melambangkan ketahanan, kemajuan dan transformasi berterusan, selain menyempurnakan penamaan semula Wisma SALCRA kepada Menara Alfred Jabu sebagai penghormatan terhadap jasa mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dalam penubuhan dan pembangunan agensi berkenaan.
Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran buku peringatan 'Land, People and Progress: Five Decades of SALCRA and Rural Transformation in Sarawak – 50 Years 1976–2026' hasil nukilan Dr. Regina Garai dan Datu Dr. Neilson Ilan Mersat yang mendokumentasikan sejarah, pencapaian serta sumbangan SALCRA terhadap transformasi sosioekonomi masyarakat luar bandar sepanjang lima dekad.
Terdahulu, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah SALCRA, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, agensi itu telah membangunkan kira-kira 55,000 hektar tanah untuk tanaman kelapa sawit yang memberi manfaat kepada lebih 22,000 keluarga peserta dari lebih 400 kampung dan rumah panjang di seluruh Sarawak.
Katanya, SALCRA telah menyalurkan hampir RM1.2 bilion hasil bersih atau dividen kepada peserta sejak 1985, selain menyediakan lebih 4,700 peluang pekerjaan menerusi operasi ladang, kilang dan kemudahan berkaitan sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan serta pengukuhan ekonomi komuniti setempat.
Katanya lagi, SALCRA perlu memperkukuh daya saing melalui Pelan Transformasi SALCRA 2026–2030 yang memberi tumpuan kepada kecekapan operasi, tadbir urus, kelestarian dan kepelbagaian sumber pendapatan termasuk pengkomersialan sisa kelapa sawit yang telah menjana pendapatan lebih RM30 juta dalam tempoh lima tahun lalu.
Majlis Sambutan Jubli Emas tersebut turut mengiktiraf sumbangan mantan pengerusi dan pengurus besar SALCRA di samping meraikan pelaksanaan pelbagai program sepanjang tahun termasuk penyerahan hak milik tanah, penanaman pokok, aktiviti kemasyarakatan, sukan dan pameran yang mendekatkan agensi berkenaan dengan komuniti di wilayah operasinya.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Penasihat di Pejabat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Leonard Linggi Tun Jugah; Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin serta Pengurus Besar SALCRA, Datu Joseph Blandoi. -PENERANGAN- -TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Bolhan Haji Basah (BKVS)
KUCHING, 14 Oktober – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata kepentingan pembangunan bakat berkemahiran tinggi dalam bidang sains, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan tenaga bersih bagi memacu pertumbuhan ekonomi baharu Sarawak.
Katanya, pendidikan kekal sebagai keutamaan kerajaan Sarawak dalam melahirkan modal insan yang relevan dengan perkembangan teknologi serta keperluan industri, khususnya ketika dunia memasuki era Revolusi Industri Kelima (Industri 5.0).
“Sarawak mempunyai kelebihan dari segi sumber tenaga boleh diperbaharui seperti hidroelektrik, solar dan biojisim, selain gas asli, yang berpotensi menyokong pembangunan hidrogen hijau serta industri rendah karbon,” katanya ketika berucap pada majlis Swinburne University of Technology 2026 Appreciation and Awards Dinner yang berlangsung di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Tambahnya, kepentingan kepakaran dalam bidang AI, reka bentuk semikonduktor dan analisis data bagi membolehkan Sarawak bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, malah berupaya mencipta teknologi sendiri serta menghasilkan produk bernilai tinggi.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata komitmen kerajaan Sarawak memperluas akses pendidikan tinggi melalui inisiatif pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri, selain bantuan kewangan bagi meringankan beban pelajar dan keluarga.
“Pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan bakat merupakan langkah penting untuk memastikan rakyat Sarawak mampu memenuhi keperluan industri masa hadapan serta menikmati peluang pekerjaan yang diwujudkan melalui kemasukan pelaburan ke negeri ini,” katanya.
Pada tahun ini, anugerah disampaikan oleh rakan industri universiti, termasuk Sarawak Information Systems Sdn Bhd, CPA Australia Ltd, Ernst & Young PLT, Crowe Malaysia PLT, KPMG Malaysia PLT, Hock Seng Lee Berhad, My Team Stars (M) Sdn Bhd, Sarawak Oil Palms Berhad dan PDC Design Group Sdn Bhd, merangkumi 10 kategori.
Majlis sama turut menyaksikan penyampaian Anugerah Presiden Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) kepada Teo Jia Ming dan Rodney Leonardo Liaw Shoon Yung selain Evan Wong Kuan Seng dan Nursyahida Abdul Rashid yang masing-masing menerima Anugerah Graduan Cemerlang dan Anugerah Graduan Cemerlang Sarawak daripada Yayasan Sarawak sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik mereka.
Turut hadir semasa majlis ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Hui Hian, Vice-President, Education, Experience, and Employability, and Registrar of Swinburne University of Technology, Ewan Evans, Pengerusi Lembaga Pengarah Swinburne Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion dan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapaee. -PENERANGAN
-TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Khairul Anwar Ali (BKVS)
Terletak di barat daya Borneo, berhampiran sempadan Kalimantan Barat, Indonesia, Telok Melano merupakan sebuah perkampungan pesisir pantai yang dikelilingi keindahan alam semula jadi.
Kawasan ini turut berada berhampiran dengan Tempat Perlindungan Hidupan Liar Samunsam, Taman Negara Tanjung Datu dan Taman Negara Gunung Gading, sekali gus menjadikannya antara destinasi yang memiliki potensi besar dalam sektor pelancongan.
Namun, di sebalik keindahan alamnya, perubahan paling ketara yang dirasai oleh masyarakat setempat adalah pembangunan infrastruktur, khususnya pembinaan jajaran Lebuh Raya Pan Borneo yang menghubungkan Sematan dengan Telok Melano sepanjang 33 kilometer.
Jajaran yang siap sepenuhnya pada 6 Januari 2019 itu bukan sekadar memendekkan perjalanan, malah membuka lembaran baharu dalam kehidupan penduduk di kawasan berkenaan.
Jika dahulu, pergerakan penduduk sentiasa berdepan dengan kekangan perhubungan, akan tetapi sekarang perjalanan menjadi lebih mudah dan lancar, sama ada untuk urusan harian, mengunjungi kawasan berdekatan mahupun bergerak ke Kuching dan destinasi lain di Sarawak.
Kemudahan ini secara tidak langsung telah memperluas akses masyarakat kepada pelbagai peluang ekonomi dan kemudahan awam.
Perubahan tersebut turut dirasai oleh Penghulu Ramil Mina, 71, Ketua Masyarakat Bidayuh Salako Daerah Sematan, yang melihat dan merasai sendiri kesan pembangunan berkenaan terhadap kehidupan masyarakat setempat.
Menurut beliau, siapnya jajaran Sematan–Telok Melano telah membawa perubahan positif yang ketara, khususnya kepada penduduk Kampung Pueh, tempat beliau menetap. Kampung tersebut mempunyai sejarah penempatan awal masyarakat Salako sejak tahun 1875.
Ramil, yang mula memegang amanah sebagai penghulu pada Mac 2014, melahirkan rasa syukur dan penghargaan atas usaha kerajaan dalam membangunkan infrastruktur perhubungan tersebut.
Beliau turut mengenang jasa Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, mantan Ketua Menteri Sarawak yang lebih dikenali sebagai Tok Nan, atas inisiatif menghubungkan Pekan Sematan dengan Telok Melano menerusi pembinaan jajaran lebuh raya berkenaan.
Penghargaan tersebut mencerminkan betapa besar makna pembangunan infrastruktur perhubungan kepada masyarakat yang sekian lama mengharapkan kemudahan akses yang lebih baik.
Ramil, yang baru-baru ini dikurniakan pingat Ahli Bintang Sarawak (A.B.S.) oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, menyifatkan jajaran lebuh raya itu sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi serta peningkatan kesejahteraan penduduk setempat.
PELUANG EKONOMI SEMAKIN TERBUKA
Kemudahan perhubungan yang lebih baik turut menjadikan Telok Melano semakin menarik sebagai destinasi pelancongan.
Keunikan kawasan ini, khususnya keindahan pantainya serta kedudukannya sebagai titik permulaan jajaran Lebuh Raya Pan Borneo, mendorong orang ramai berkunjung untuk menikmati keistimewaan yang ditawarkan.
Tidak hairanlah kawasan ini semakin menerima kunjungan pengunjung, terutama pada hujung minggu dan cuti umum.
Kehadiran pengunjung yang semakin meningkat membuka peluang kepada penduduk tempatan untuk menambah pendapatan melalui aktiviti perniagaan dan penyediaan perkhidmatan pelancongan.
Kewujudan gerai-gerai jualan di kawasan berkenaan menjadi bukti bahawa kemudahan perhubungan yang lebih baik bukan sahaja memudahkan pergerakan, malah turut merancakkan kegiatan ekonomi setempat dengan menghubungkan potensi perniagaan penduduk kepada permintaan pengunjung.
Perkembangan sektor pelancongan ini turut mendorong pertumbuhan kemudahan penginapan dan pusat peranginan di sepanjang pesisir pantai dari Sematan hingga Telok Serabang dan Telok Melano. Antara premis yang beroperasi ialah Sematan Palm Beach Resort, Roxy Hotel Sematan, Sematan Cultural Beach Homestay, Roxy Telok Serabang, Telok Serabang Homestay, Mount Kuwai Retreat, Pueh Karomboi Beachstay dan The Mangrove Sematan.
Pertambahan pilihan penginapan ini mencerminkan potensi pelancongan setempat yang semakin berkembang, sekali gus membuka peluang kepada pengusaha tempatan untuk meraih manfaat daripada kehadiran pengunjung.
Pertambahan pilihan penginapan ini memberikan manfaat kepada pengusaha tempatan menerusi tempahan daripada pengunjung dalam dan luar negeri, khususnya pada musim cuti dan hujung minggu.
Pada masa yang sama, peningkatan kunjungan turut membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada penduduk setempat untuk menjana pendapatan melalui penjualan pelbagai barangan dan juadah di gerai serta premis masing-masing.
Perkembangan ini membuktikan bahawa kemudahan infrastruktur yang lebih baik mampu merancakkan kegiatan ekonomi setempat.
Akses perjalanan yang semakin mudah bukan sahaja menarik lebih ramai pengunjung untuk meneroka keistimewaan Telok Melano dan kawasan sekitarnya, malah membuka peluang kepada penduduk tempatan untuk memanfaatkan potensi pelancongan sebagai sumber pendapatan, sekali gus meningkatkan ekonomi keluarga.
DESTINASI SEMAKIN BERKEMBANG, KEMUDAHAN TURUT BERTAMBAH
Seiring dengan peningkatan kunjungan dan perkembangan kegiatan ekonomi, Telok Melano dan kawasan sekitarnya turut mengalami perubahan dari segi pembangunan petempatan.
Sejak siapnya jajaran lebuh raya tersebut, Kampung Telok Melano dan Telok Serabang, yang majoriti penduduknya terdiri daripada masyarakat Melayu, memperlihatkan pertambahan bilangan penduduk serta rumah kediaman, mencerminkan perkembangan kawasan itu seiring dengan kemudahan perhubungan yang semakin baik.
Daripada sebuah perkampungan kecil di pesisir pantai, Telok Melano kini semakin dikenali sebagai destinasi persinggahan pengunjung. Peningkatan kunjungan bukan sahaja merancakkan aktiviti perniagaan setempat, malah mendorong keperluan terhadap penyediaan kemudahan yang lebih selesa bagi memenuhi keperluan penduduk dan pelancong.
Antara pembangunan yang menjadi mercu tanda di Telok Melano ialah Masjid Al-Sultan Abdullah, Lundu, yang dibina dengan kos RM8.8 juta dan mampu menampung kira-kira 500 jemaah pada satu-satu masa.
Masjid tersebut telah dirasmikan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada 21 Ogos lalu. Terdahulu, Baginda turut menyempurnakan majlis pecah tanah masjid berkenaan pada 13 September 2023, ketika memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, bersempena dengan Program Kembara Kenali Borneo.
Selain menjadi tempat ibadah, masjid ini turut dilengkapi sebuah bangunan bersebelahan yang menyediakan ruang untuk pengunjung berehat dan menikmati juadah tempatan.
Kemudahan tersebut bukan sahaja menambah keselesaan pengunjung yang singgah di Telok Melano, malah melengkapi prasarana setempat bagi menyokong perkembangan kawasan itu sebagai destinasi kunjungan.
Secara keseluruhannya, perkembangan kemudahan penginapan, premis perniagaan dan prasarana awam mencerminkan perubahan positif yang berlaku secara berperingkat di Telok Melano dan kawasan sekitarnya.
Pembinaan jajaran Lebuh Raya Pan Borneo bukan sahaja melancarkan perjalanan, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi serta mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
PERHUBUNGAN MERAPATKAN MASYARAKAT
Di sebalik kemajuan fizikal dan pertumbuhan ekonomi, keharmonian masyarakat kekal sebagai asas penting dalam menjamin kesejahteraan penduduk setempat.
Kehidupan masyarakat di Kampung Pueh dan kawasan sekitarnya memperlihatkan bagaimana perbezaan kaum, agama dan budaya tidak menjadi penghalang untuk hidup dalam suasana aman dan harmoni.
Malah, amalan perkahwinan campur antara masyarakat berlainan latar belakang turut mengeratkan hubungan kekeluargaan merentasi kampung, sehingga terbentuk ikatan persaudaraan yang menghubungkan penduduk di penempatan berhampiran.
Sebagai penghulu masyarakat Bidayuh Salako, Ramil berharap agar hubungan baik antara masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya di Daerah Sematan terus dipelihara dan diperkukuh demi mengekalkan keharmonian, selain menjamin kemakmuran serta kesejahteraan bersama.
Harapan tersebut memperlihatkan bahawa kemajuan sesebuah kawasan bukan sekadar diukur melalui pembangunan infrastruktur dan pertambahan kemudahan, tetapi juga berdasarkan keupayaan masyarakat menikmati manfaat pembangunan dalam suasana harmoni, aman dan bersatu padu.
Dalam hal ini, kemudahan perhubungan yang semakin baik turut membuka ruang kepada interaksi yang lebih luas antara penduduk dengan pengunjung.
Pertemuan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama masyarakat, malah memupuk sikap saling mengenali, menghormati dan menghargai kepelbagaian budaya, sekali gus memperkukuh keharmonian dalam kalangan masyarakat setempat.
KEMAJUAN MENUNTUT TANGGUNGJAWAB BERSAMA
Perubahan yang berlaku di Telok Melano membuktikan bahawa pembangunan infrastruktur mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Jajaran Raya Pan Borneo bukan sahaja menghubungkan Sematan dengan Telok Melano, malah membuka lebih banyak peluang dalam sektor pelancongan dan perniagaan, di samping mendorong perkembangan kemudahan yang menyokong keperluan penduduk serta pengunjung.
Manfaat pembangunan ini turut diakui oleh penduduk setempat. Hasil tinjauan mendapati kebanyakan responden melahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada kerajaan atas pelaksanaan projek tersebut yang membawa perubahan positif serta meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.
Namun demikian, kemudahan dan kemajuan yang dinikmati perlu disertai tanggungjawab setiap pengguna.
Aspek keselamatan jalan raya hendaklah sentiasa diutamakan dan lebuh raya tidak seharusnya dijadikan medan perlumbaan yang boleh membahayakan nyawa sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.
Pada masa yang sama, kebersihan kawasan pelancongan, pemeliharaan alam sekitar serta penghormatan terhadap adat dan budaya masyarakat setempat perlu diberikan perhatian agar pembangunan yang dicapai dapat dinikmati secara berterusan.
Sesungguhnya, kejayaan pembangunan bukan hanya terletak pada kemudahan infrastruktur yang disediakan, tetapi pada manfaat dan perubahan positif yang dinikmati oleh rakyat.
Bagi masyarakat Sematan dan Telok Melano, Lebuh Raya Pan Borneo bukan sekadar laluan yang menghubungkan dua kawasan, malah menjadi pemangkin kepada peluang ekonomi yang lebih luas, perkembangan sektor pelancongan dan peningkatan kesejahteraan hidup.
Lebih bermakna, kemajuan ini diharapkan terus dinikmati dalam suasana masyarakat yang harmoni, bersatu padu dan saling menghormati.
Sesungguhnya, pembangunan yang bermakna bukan hanya berfungsi untuk menghubungkan tempat, tetapi turut membuka peluang, mengubah kehidupan dan membina masa depan yang lebih sejahtera.
Jajaran Lebuh Raya Pan Borneo Sematan–Telok Melano menjadi bukti bahawa kemudahan infrastruktur mampu menjadi pemangkin kemajuan ekonomi, memperkasa masyarakat setempat dan memperkukuh keharmonian.
Justeru, kemudahan ini hendaklah dihargai, dipelihara dan dimanfaatkan secara bertanggungjawab agar limpahan manfaatnya terus dirasai, bukan sahaja oleh generasi hari ini, malah oleh generasi akan datang.
KUCHING, 15 Okt - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg hari ini menyaksikan majlis pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pelaksanaan projek ‘Kuching Smart City and Digital Connectivity’ di Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Majlis tersebut yang turut disaksikan oleh Menteri Komunikasi, Dato' Seri Fahmi Fadzil, melibatkan pertukaran dokumen antara Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG), Datu Elizabeth Loh.
Projek bernilai RM550 juta ini bertujuan memperluas kesalinghubungan digital dan menyokong transformasi perkhidmatan bandar di kawasan Greater Kuching.
Menurut Fahmi, inisiatif tersebut akan memberi lonjakan besar terhadap infrastruktur digital di kawasan sekitar Kuching yang merangkumi Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).
"Melalui inisiatif bandar pintar ini, kita akan menyediakan kemudahan seperti kabel gentian optik yang dapat membantu pelaksanaan beberapa inisiatif termasuk televisyen litar tertutup (CCTV) dan pelbagai kemudahan lain di bawah usaha Smart City," katanya kepada media selepas majlis berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi mengumumkan penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa seterusnya yang membabitkan enam kluster di seluruh Sarawak dengan nilai peruntukan sebanyak RM545 juta.
Beliau berkata, inisiatif itu diyakini mampu menyelesaikan masalah kesalinghubungan internet di hampir 350 lokasi di seluruh negeri dengan kerja-kerja pembinaan menara telekomunikasi dijangka bermula hampir serta-merta.
Selain itu, Fahmi turut memaklumkan mengenai pelaksanaan projek Sistem Kabel Dasar Laut Madani (SALAM) yang akan melibatkan 10 lokasi pendaratan (landing points) di seluruh negara bagi memperkukuh infrastruktur telekomunikasi nasional.
"Bagi Sarawak, projek ini akan melibatkan tiga lokasi pendaratan dengan salah satu lokasi paling utama di Bintulu, selain Buntal dan Matu dan sebanyak lima lokasi dikenal pasti di Sabah dari Kota Kinabalu hingga ke Tawau, manakala bakinya di Semenanjung," katanya.
Tambahnya, kerja-kerja bagi projek SALAM dijangka bermula pada penghujung tahun ini atau awal tahun depan dan mengambil masa antara dua hingga tiga tahun untuk disiapkan, yang akhirnya bakal menyokong penyampaian perkhidmatan bandar yang lebih responsif serta membuka peluang ekonomi baharu kepada rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia Digital 2030 (MD2030).
Turut hadir ialah, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Professor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Safik Effendi Kassim (BMKK)
Jurufoto : Lance Dunstan (BKVS)
KUCHING, 16 Oktober 2026 – Kerajaan Sarawak menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada setiap keluarga lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service atau FDS) di Long Lellang, Ulu Baram sebagai tanda keprihatinan terhadap keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi pada 8 September lalu.
Penyerahan sumbangan itu
disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, pada majlis yang berlangsung di Dewan Undangan Negeri Sarawak pagi tadi.
"Bantuan kepada waris mangsa yang kehilangan ahli keluarga tidak dapat dinilai dengan wang ringgit, namun bantuan yang disalurkan diharap dapat meringankan beban waris dalam meneruskan kehidupan selepas tragedi berkenaan" kata Abang Johari ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut.
Lima waris yang menerima sumbangan berkenaan ialah Nor Izzati Syamimi Suhaimi, Larry Bilong Kule, Mohd Faiz Ab Malek, John Then Hua Ken dan Stephanie Essah Incham, yang merupakan pasangan kepada lima mangsa yang terkorban.
Menurut Abang Johari lagi, kerajaan turut menawarkan bantuan menerusi Yayasan Sarawak iaitu penajaan
Pendidikan Yayasan Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha memastikan kesinambungan pendidikan anak-anak mangsa mereka menamatkan pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah.
Lima mangsa yang terkorban ialah Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, mendiang Jessie Paya Jok, Allahyarhamah Dr Ainul Baraah Kamarudin, mendiang Debra Moset dan mendiang Alexson Adit Henry.
Selain itu, katanya kerajaan turut menawarkan peluang pekerjaan kepada Stephanie Essah Incham balu mendiang Alexson Adit Henry di Curtin University yang mempunyai kelayakan profesional bagi membolehkannya meneruskan kehidupan dan membantu keluarga.
Sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan mereka, kelima-lima mangsa turut disenaraikan sebagai penerima Pingat Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S.) secara anumerta sempena Sambutan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 10 Oktober 2026.
Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan-Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian dan tetamu jemputan yang lain.
-PENERANGAN-
– TAMAT –
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Bolhan Haji Basah (BKVS)
KUCHING, 17 Okt - Evolusi teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin kompleks menuntut para pemimpin untuk terus mengekalkan integriti, akauntabiliti serta nilai pengawasan manusia yang tinggi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato' Sri Nancy Shukri berkata walaupun teknologi digital mengubah cara manusia bekerja, berkomunikasi dan membuat keputusan, aspek kepercayaan masyarakat tidak boleh diabaikan.
"Sama seperti kehalusan seni tenunan Pua Kumbu di Sarawak, kemajuan hanya akan kekal mampan apabila inovasi dianyam rapat bersama nilai integriti, daya tahan dan rasa hormat terhadap manusia," katanya ketika berucap merasmikan Seminar EmpowerUS 2026 di Pustaka Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Seminar anjuran Persatuan Alumni Universiti Ohio Cawangan Malaysia (OUAAMC) yang bertemakan 'Memperkasa Pemimpin: Kepimpinan Mampan, Berdaya Tahan dan Beretika' itu menghimpunkan hampir 150 orang peserta.
Menyentuh mengenai kepimpinan inklusif, Nancy berkata wanita wajar berada di posisi yang mampu mempengaruhi keputusan, membentuk dasar, memacu inovasi serta melahirkan pemimpin masa hadapan.
Jelas beliau, pemerkasaan penyertaan dan kepimpinan wanita itu terus digerakkan merentas pelbagai sektor menerusi Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025-2030.
"Kementerian turut menawarkan Program Perantis Kepimpinan Wanita bagi menghubungkan bakal pemimpin wanita dengan mentor berpengalaman, selain inisiatif PRISMAnita yang memberi khidmat nasihat, intervensi awal serta sokongan kepada wanita yang memerlukan termasuk mangsa keganasan rumah tangga," katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan peruntukan sebanyak RM4.355 bilion yang disalurkan kepada kementerian menerusi Belanjawan 2027 baru-baru ini sebagai satu pelaburan bermakna untuk kemajuan rakyat.
Tambah beliau, peningkatan belanjawan sebanyak empat peratus itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh sistem perlindungan perlindungan sosial melebihi sekadar ukuran angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak, Datu Dr. Rashidah Bolhassan, Penasihat Kanan kepada Provos mengenai Hal Ehwal Global, Profesor Antropologi, Universiti Ohio Athens, Amerika Syarikat, Profesor Dr. Haley Duschinski dan Presiden Persatuan Alumni Universiti Ohio Cawangan Malaysia, Profesor Dr. Mohad Anizu Mohd Nor.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Safik Effendi Kassim (BMKK)
Jurufoto : Mohamad Rizal (BKVS)
KUCHING, 19 Okt – Sarawak Regatta 2026 menyasarkan kehadiran lebih 100,000 pengunjung menerusi penganjuran pelbagai acara sukan air, kebudayaan dan hiburan sepanjang Sarawak Regatta-Kuching Waterfront Festival 2026 dari 23 Oktober hingga 1 November ini.
Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Regata Sarawak 2026 merangkap Residen Bahagian Kuching, Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi berkata, festival selama 10 hari itu menawarkan pelbagai tarikan kepada masyarakat tempatan dan pelancong sekali gus merancakkan sektor pelancongan di Kuching.
Katanya lagi ketika ditemu bual mengenai persiapan festival berkenaan selepas kunjungan hormat yang diketuai Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi bagi menyampaikan jemputan menghadiri Majlis Penangguhan Sarawak Regatta-Kuching Waterfront Festival 2026 pada 1 November ini, beliau berharap agar orang ramai datang beramai-ramai untuk menyaksikan acara ini, bergembira bersama keluarga dan menikmati suasana meriah di Tebingan Sungai Sarawak.
"Antara tarikan utama festival ialah Kejohanan Perahu Naga Antarabangsa Sarawak dari 23 hingga 25 Oktober, diikuti persembahan kebudayaan, kumpulan muzik, pemuzik jalanan dan pelbagai aktiviti hiburan setiap malam selain Sarawak Kitchen dan Kraft Borneo yang mengetengahkan makanan serta hasil kraftangan tempatan sepanjang festival," katanya.
Sarawak Regatta yang berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November pula bakal menyaksikan persaingan pasukan pendayung tempatan dan luar dalam acara perahu tradisional termasuk perebutan gelaran Raja Sungai yang menawarkan hadiah RM30,000 manakala kejohanan peringkat daerah di Rajang, Baram dan Lundu menjadi medan pemilihan pasukan untuk bersaing di peringkat negeri.
Dayang Joanita juga memberitahu, Kejohanan Perahu Naga Antarabangsa Sarawak terus menarik minat peserta luar negara dengan sasaran penyertaan hampir 80 penyertaan melibatkan 23 negara pada edisi kali ini.
Menurutnya, aspek keselamatan menjadi keutamaan penganjur, termasuk pemakaian jaket keselamatan oleh peserta dan persediaan awal bagi memastikan kelancaran acara selain kelebihan lokasi di Tebingan Sungai Sarawak yang menawarkan pemandangan Astana Negeri, Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak dan bendera Ibu Pertiwi.
Atur cara majlis merangkumi perlumbaan Perahu Bidar 30 Pekayuh Lelaki bagi Piala Antarabangsa Borneo, Perahu Kenyalang 20 Pekayuh Lelaki kategori VIP bagi Piala Premier Sarawak dan Perahu Bidar 30 Pekayuh Lelaki kategori tempatan bagi merebut Piala Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Turut hadir sama ketika kunjungan hormat itu ialah Timbalan Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan; Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew; Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datu Morshidi Fredrick dan kenamaan lain. -PENERANGAN- -TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Bolhan Haji Basah (BKVS)
KUCHING, 19 Okt – Dasar Peluang Kedua yang diperkenalkan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) terus diperkasa bagi membantu individu yang diisytiharkan muflis membina semula kehidupan dan memulakan lembaran baharu menerusi pendekatan pemulihan kewangan yang lebih prihatin terhadap keperluan rakyat.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, Abu Bakar Manat, berkata dasar itu memberi ruang kepada golongan yang memenuhi syarat untuk mendapatkan pelepasan daripada kebankrapan termasuk warga emas, pekerja gig, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan penyara tunggal keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas.
“Bankrap bukanlah penamat bagi segala-galanya kerana individu yang berdepan masalah kewangan masih mempunyai peluang untuk membina semula masa depan mereka melalui mekanisme pelepasan yang diperuntukkan undang-undang,” katanya ketika ditemui selepas kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di Astana Negeri Sarawak, pagi tadi.
Beliau berkata, ambang kebankrapan yang sebelum ini ditetapkan pada RM100,000 dijangka dinaikkan kepada RM150,000 pada tahun hadapan susulan pindaan undang-undang berkaitan seperti diumumkan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan terbaharu.
Menurutnya, MdI kini memberikan penekanan lebih besar terhadap usaha pemulihan dan peluang kedua, khususnya bagi golongan muda yang pertama kali berdepan kebankrapan akibat komitmen kewangan seperti pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan, sewa beli kenderaan dan pinjaman korporat.
Abu Bakar berkata, Yang di-Pertua Negeri Sarawak menyambut baik pendekatan berkenaan serta mengemukakan cadangan tambahan termasuk usaha memperluas peluang perniagaan kepada golongan Bumiputera selaras dengan keutamaan pembangunan ekonomi Sarawak.
Berdasarkan statistik MdI sehingga September 2026, sebanyak 85,117 kes kebankrapan sedang ditadbir di seluruh negara manakala 28,817 kes direkodkan bagi tempoh 2022 hingga September 2026.
Bagi Sarawak, cawangan Kuching merekodkan 4,510 kes kebankrapan, diikuti Sibu dengan 1,519 kes dan Miri sebanyak 1,428 kes manakala Selangor mencatatkan jumlah tertinggi di peringkat negeri dengan 16,618 kes.
Beliau berkata, pinjaman peribadi merupakan penyumbang utama kepada kebankrapan, diikuti pinjaman perniagaan, pinjaman perumahan, sewa beli kenderaan serta pinjaman korporat dan hutang kad kredit.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya membuat pinjaman berdasarkan kemampuan kewangan dan mendapatkan khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) lebih awal sekiranya menghadapi kesukaran membayar komitmen bulanan bagi mengelakkan masalah kewangan berlarutan sehingga ke peringkat kebankrapan.
“Sekiranya telah diisytiharkan muflis, individu berkenaan tidak seharusnya berasa malu atau berputus asa, sebaliknya perlu segera berurusan dengan MdI, mengemukakan penyata hal ehwal dan mematuhi komitmen bayaran mengikut kemampuan bagi membolehkan pelepasan dipertimbangkan berdasarkan peruntukan undang-undang,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa individu yang memenuhi syarat di bawah Seksyen 33C Akta Insolvensi 1967 berpeluang memperoleh pelepasan daripada kebankrapan selepas memenuhi keperluan yang ditetapkan termasuk mengemukakan penyata hal ehwal dan membuat bayaran ansuran mengikut kemampuan manakala kegagalan berurusan dengan MdI boleh menyebabkan status kebankrapan berlarutan selama bertahun-tahun.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa penerbitan notis kebankrapan melalui saluran yang ditetapkan undang-undang masih dilaksanakan bagi memaklumkan pihak berkepentingan termasuk pemiutang, mengenai status seseorang penghutang, dengan sebarang perubahan tertakluk kepada pindaan peruntukan undang-undang berkaitan.
Turut hadir ialah Pengarah Insolvensi Bahagian Kebankrapan Fajrul Shihar Abu Samah, Pengarah Insolvensi Negeri Sarawak Adibah Husna Zainal Abidin, Pegawai Khas I kepada KPI & Ketua Unit, Unit Komunikasi Korporat Muhamad Syah Azlan Abdullah dan Pegawai Khas 2 kepada KPI & Ketua Unit, Seksyen Kajian dan Perundangan, Bahagian Dasar dan Perundangan Romzan Bujang. -PENERANGAN- -TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Bolhan Haji Basah (BKVS)
KUCHING, 19 Okt- Penubuhan Asian International Arbitration Centre (AIAC) di Sarawak bakal memperluas akses kepada perkhidmatan penyelesaian pertikaian alternatif bertaraf antarabangsa, sekali gus menyokong keyakinan pelabur dan pertumbuhan aktiviti perdagangan rentas sempadan di rantau Borneo.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kehadiran AIAC di Kuching berpotensi berkembang sebagai hab serantau yang melengkapi operasi pusat berkenaan di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, kemudahan itu akan menyediakan platform penyelesaian pertikaian komersial antarabangsa melalui timbang tara, pengantaraan dan kaedah penyelesaian pertikaian alternatif lain yang lebih fleksibel.
“Pelabur perlu mempunyai keyakinan bahawa mereka bukan sahaja dilindungi melalui sistem mahkamah, malah mempunyai akses kepada platform penyelesaian pertikaian antarabangsa yang berkesan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pertukaran Perjanjian antara Kerajaan Sarawak dengan AIAC bagi penubuhan AIAC Sarawak di Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Azalina berkata, Sarawak mempunyai potensi besar untuk menjadi pusat aktiviti penyelesaian pertikaian antarabangsa, selaras dengan perkembangan ekonomi negeri serta peningkatan aktiviti perniagaan dan pelaburan rentas sempadan.
Tambahnya, pelaksanaan operasi AIAC Sarawak itu dijangka akan dilaksanakan di sebuah bangunan yang dinaiktaraf yang dahulunya merupakan muzium tekstil dijangka bermula tahun depan, termasuk penempatan anggota bagi menyokong pelaksanaan fungsi pusat berkenaan.
Menurutnya lagi, penubuhan itu turut membuka peluang kepada pengamal undang-undang di Sarawak dan Sabah untuk melibatkan diri dengan lebih aktif dalam bidang timbang tara antarabangsa serta memperluas jaringan profesional dengan firma guaman dan pengamal undang-undang dari luar negara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan kerajaan Sarawak atas sokongan terhadap inisiatif berkenaan.
Majlis pertukaran perjanjian itu disaksikan Premier Sarawak dengan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki mewakili kerajaan negeri, manakala AIAC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Danesh Chandran.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Syarifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Presiden Courts of Arbitration Malaysia Dato’ Mary Lim Thiam Suan.- PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Mohamad Munir
Foto oleh: Mohamad Rizal (BKVS)
KUCHING, 19 Oktober – Institusi Jurutera Malaysia (IEM), yang diketuai oleh Pengerusinya, Datu Ir. Dr. Angelia Liew San Chuin telah mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Kunjungan tersebut antara lain bertujuan menjemput Abang Johari untuk menghadiri Majlis Makan Malam Tahunan IEM yang dijadualkan pada penghujung November 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dan dijangka menarik kehadiran kira-kira 1,300 orang tetamu.
Kunjungan itu juga memberi peluang kepada IEM untuk menzahirkan penghargaan kepada Abang Johari atas sokongan beliau terhadap kejayaan penganjuran acara Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP) pada bulan lepas.
Acara tersebut telah menarik lebih 2,000 pelawat dan kira-kira 800 perwakilan serta ahli dari 25 buah negara Asia Pasifik sekali gus membuka peluang bagi kerjasama masa depan antara Sarawak dan negara-negara yang mengambil bahagian dalam bidang kejuruteraan dan industri.
IEM turut memaklumkan mengenai acara larian tahunan mereka yang akan datang, yang dijadualkan pada 6 Disember 2026, dengan pelepasan peserta ('flag-off') akan berlangsung di Pusat Sains Sarawak (SSCiEX).
Acara ini dijangka mendapat penyertaan yang menggalakkan daripada orang ramai, melangkaui komuniti kejuruteraan sehinggalah kepada ahli masyarakat yang lebih luas. – PENERANGAN
-Tamat-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Abdul Hakeem Well (BKVS)
KUCHING, 21 OKTOBER – Program JIWA@Komuniti Sembang Santai Bersama Bomba anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak (JAPEN) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak telah diadakan di sini bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan kebakaran, jerebu dan keselamatan di tempat kerja.
Program yang berlangsung di Ibu pejabat JAPEN Sarawak itu turut disertai Timbalan Pengarah JAPEN, Sri Kestury Zamhari.
Antara pengisian program ialah demonstrasi pemadaman api dan latihan praktikal yang diadakan di kawasan tempat letak kereta di hadapan pejabat bagi memberi pendedahan kepada peserta mengenai kaedah menangani kebakaran pada peringkat awal.
Demonstrasi tersebut telah dikendalikan oleh Pegawai Bomba Kanan I, Syed Mohd. Azreen Wan Halami dengan bantuan Pegawai Bomba Kanan II, Mohammad Faizul Asree Sihon.
Turut diadakan ialah taklimat berkenaan keselamatan di tempat kerja dan kesedaran jerebu disampaikan oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohammad Raffy Saibi.
Dalam taklimat itu, Mohammad Raffy menjelaskan kepentingan persediaan menghadapi kecemasan, khususnya memastikan sistem keselamatan kebakaran bangunan berfungsi dengan baik serta laluan kecemasan sentiasa bebas daripada halangan.
Beliau turut menerangkan kepentingan penubuhan organisasi keselamatan kebakaran di bangunan komersial, termasuk pelantikan pengurus keselamatan kebakaran dan pasukan tindak balas kecemasan (ERT) yang bertanggungjawab membantu mengawal keadaan sebelum ketibaan pihak bomba.
Selain itu katanya, latihan pengungsian bangunan atau fire drill perlu dilaksanakan bagi membiasakan penghuni dengan laluan keluar kecemasan, tempat berkumpul yang ditetapkan serta prosedur menyelamatkan diri sekiranya berlaku kebakaran.
Taklimat tersebut turut menyentuh kepentingan penyelenggaraan peralatan pemadam api, sistem keselamatan bangunan dan penyediaan pelan tindakan kecemasan bagi memastikan keselamatan penghuni sentiasa terpelihara.
Turut hadir ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Hairol Hamdan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu Dr. Petrus Tinggi Ngalih dan kakitangan JAPEN Sarawak.
– PENERANGAN –
– TAMAT -
Disediakan oleh:
Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Eddie Allan Blanking (BKVS)
SONG, 22 Oktober 2026 – Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA)@Komuniti Sembang Santai Khas Bersama Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara kerajaan dengan masyarakat setempat menerusi pendekatan komunikasi dua hala yang santai, mesra rakyat dan bersemuka.
Program yang berlangsung di Rumah Panjang Jonathan Musin, Sungai Iran di sini itu turut diisi dengan taklimat keselamatan kebakaran oleh Balai Bomba dan Penyelamat Song serta taklimat kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Song bagi meningkatkan kesedaran penduduk mengenai aspek keselamatan dan penjagaan kesihatan dalam kehidupan seharian.
Ketibaan Pengarah JAPEN Sarawak, Sabri Said bersama rombongan telah disambut oleh Tuai Rumah Jonathan Musin, Penghulu Musin Anyok serta penduduk rumah panjang yang hadir bagi menjayakan program berkenaan.
Dalam ucapannya, Sabri Said berkata, program JIWA@Komuniti merupakan antara platform strategik JAPEN dalam menyampaikan maklumat berkaitan dasar, inisiatif, program kerajaan, isu semasa dan agenda kerajaan secara terus kepada masyarakat.
Menurut beliau, program berkenaan bukan sekadar menjadi saluran penyampaian maklumat, malah berperanan sebagai medium komunikasi dua hala yang membolehkan kerajaan mendapatkan maklum balas serta memahami isu dan cabaran yang dihadapi masyarakat di peringkat akar umbi.
“Pendekatan komunikasi secara santai, mesra rakyat dan bersemuka memberi peluang kepada masyarakat untuk berinteraksi secara langsung dengan pihak kerajaan, sekali gus meningkatkan kefahaman terhadap dasar serta inisiatif yang dilaksanakan,” katanya.
Tambahnya, penglibatan aktif pemimpin masyarakat dan penduduk setempat amat penting bagi memastikan maklumat kerajaan dapat disampaikan dengan lebih meluas, tepat dan berkesan, di samping membantu agensi berkaitan memahami keperluan sebenar komuniti untuk tindakan susulan.
Sementara itu, Tuai Rumah Jonathan Musin merakamkan penghargaan kepada JAPEN Sarawak atas pemilihan rumah panjang tersebut sebagai lokasi penganjuran program yang disifatkan mampu mendekatkan agensi kerajaan dengan masyarakat setempat.
Katanya, pendekatan turun padang seperti itu memberi peluang kepada penduduk, khususnya di kawasan luar bandar, untuk mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan dasar, inisiatif dan program kerajaan, selain memahami perkembangan semasa yang berkaitan dengan kehidupan mereka.
Menurut Penghulu Musin Anyok pula, kepentingan kerjasama antara pemimpin masyarakat dengan agensi kerajaan bagi memastikan penyampaian maklumat dapat dilaksanakan secara berkesan hingga ke peringkat akar umbi.
Katanya, beliau berharap agar program seumpama itu diteruskan dari semasa ke semasa kerana sesi libat urus secara bersemuka bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara kerajaan dengan rakyat, malah membuka ruang kepada masyarakat untuk menyampaikan pandangan serta keperluan komuniti.
Penganjuran program JIWA@Komuniti dilihat mencerminkan komitmen JAPEN Sarawak dalam memperkukuh komunikasi dua hala antara kerajaan dengan rakyat melalui pendekatan yang inklusif, mesra dan berkesan, khususnya dalam memastikan masyarakat di kawasan luar bandar mendapat akses kepada maklumat yang tepat dan terkini. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Danial Zakwan (JAPEN Song)
Foto : Filex (JAPEN Song)
KUCHING, 23 Oktober – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berkuat kuasa 26 Oktober 2026 bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Beliau mengumumkan perkara itu pada sidang media khas di Kompleks Satria Pertiwi di sini hari ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menurut Abang Johari, DUN Sarawak ke-19 mula bersidang pada 14 Februari 2022 dan mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Negeri 18 Disember 2021 telah membolehkan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) melaksanakan pelbagai agenda pembangunan, memperkukuh ekonomi, menambah baik infrastruktur dan perkhidmatan awam serta mempertahankan kepentingan Sarawak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, menjelang penghujung penggal pentadbiran, mandat baharu daripada rakyat perlu diperoleh selaras dengan amalan demokrasi berparlimen, sekali gus memberi peluang kepada rakyat Sarawak memilih kerajaan bagi meneruskan agenda pembangunan negeri selaras dengan Perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak, DUN Sarawak dibubarkan berkuat kuasa 26 Oktober 2026.
Sehubungan itu, katanya pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran, manakala persidangan DUN yang baharu hendaklah diadakan tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh berkenaan.
Beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dimaklumkan secara rasmi mengenai pembubaran itu bagi membolehkan persiapan pilihan raya dilaksanakan, termasuk penetapan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.
Dalam tempoh berkenaan, kerajaan negeri akan menjalankan tanggungjawab sebagai kerajaan sementara dengan mematuhi keperluan perlembagaan dan konvensyen yang berkuat kuasa, sementara pentadbiran awam serta perkhidmatan penting diteruskan bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada rakyat Sarawak atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan sepanjang penggal pentadbiran, selain menghargai sumbangan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri serta perkhidmatan awam dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
Beliau turut menyeru rakyat Sarawak supaya terus memelihara keamanan, perpaduan dan keharmonian negeri, di samping menggunakan hak demokrasi masing-masing secara bebas dan bertanggungjawab demi masa depan Sarawak.
Turut hadir ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian dan barisan menteri serta timbalan menteri kabinet Sarawak. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh : Lance Dunstan / Abdul Hakeem Well (BKVS)
KUCHING, 23 Okt – Sarawak International Dragon Boat Regatta edisi ke-12 dan Sarawak Regatta 2026 bertemakan 'Race For Harmony' bakal menghimpunkan peserta dari 22 negara.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, menyempurnakan majlis perasmian di Tebingan Kuching petang tadi.
Majlis itu turut menyaksikan simbolik penyerahan pendayung Sarawak Regatta yang melambangkan kesinambungan tradisi perlumbaan perahu di Sarawak di samping mengetengahkan semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan peserta.
Penganjuran selama 10 hari dari 23 Oktober hingga 1 November itu menampilkan Sarawak sebagai destinasi pelancongan yang menggabungkan pertandingan sukan air, kegiatan kebudayaan dan peluang keusahawanan di sepanjang Sungai Sarawak.
Sebanyak 80 pasukan dengan penyertaan 2,450 peserta daripada 22 negara mengambil bahagian dalam Sarawak International Dragon Boat Regatta tahun ini.
Penyertaan turut melibatkan tujuh negara yang pertama kali menyertai pertandingan berkenaan, iaitu Liechtenstein, Vietnam, Kemboja, Argentina, Fiji, Moldova dan Mexico yang menambah kepelbagaian latar belakang peserta dalam festival tahun ini.
Sebanyak tujuh kategori dipertandingkan dalam acara perahu naga merangkumi kategori terbuka, campuran, wanita, veteran dan Cancer Survivors selain kategori baharu Malaysia Closed Men 12s untuk peserta berusia 50 tahun ke atas.
Jumlah hadiah wang tunai keseluruhan bagi pertandingan perahu naga meningkat kepada RM200,000 berbanding RM100,000 pada tahun lalu bagi menambah daya saing pertandingan dan tarikan kepada pasukan yang mengambil bahagian.
Sementara itu, perlumbaan tradisional Perahu Bidar Sarawak Regatta dijadual berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November dengan 18 acara bagi kategori tempatan dan terbuka termasuk Marathon Antarabangsa Borneo sejauh tiga kilometer.
Kemuncak festival turut diserikan dengan pelbagai pengisian sampingan seperti Festival Kraf Borneo Sarawak 2026, Pentas Kesenian, Showcase Usahawan Sarawak dan Festival Gendang Melayu Sarawak.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Datuk Snowdan Lawan, tetamu -tetamu kehormat serta wakil penaja utama termasuk PETROS, PETRONAS, Sarawak Energy Berhad dan Lembaga Pelabuhan Bintulu. -PENERANGAN- -TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Bolhan Haji Basah dan Eddie Allan Blanking (BKVS)
SEMATAN, 25 Oktober – Pelaburan dalam pembangunan Taman Perindustrian Sematan Fasa 1 disokong kemudahan Anjung Usahawan serta penyerahan hak milik tanah kepada penduduk, menjadi pemangkin kepada usaha memperluas peluang perniagaan, mewujudkan pekerjaan dan meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pembangunan luar bandar perlu memberikan manfaat ekonomi yang nyata kepada rakyat, bukan sekadar menyediakan infrastruktur, malah merangsang aktiviti perniagaan dan membuka peluang kepada penduduk menjana pendapatan secara mampan.
Katanya, kedua-dua kemudahan itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi menarik pengusaha, merancakkan aktiviti ekonomi sokongan serta mewujudkan peluang pekerjaan untuk penduduk setempat.
Taman Perindustrian Sematan Fasa 1 yang dibiayai Kerajaan Sarawak dengan kos RM14 juta menyediakan lima lot industri berserta infrastruktur asas bagi menyokong aktiviti perusahaan, termasuk bengkel membaiki kenderaan dan pengeluaran konkrit siap bancuh.
Bagi Anjung Usahawan Sematan pula, ia menyediakan sembilan gerai makanan dan minuman, tiga premis kedai serta dua premis pemprosesan ringan bagi membantu usahawan tempatan memulakan dan mengembangkan perniagaan.
Dalam majlis sama, seramai 546 penerima dari Sematan dan kawasan sekitarnya menerima 610 Surat Hak Milik Tanah (SHT) di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak, melibatkan keluasan kira-kira 468.20 hektar.
Daripada jumlah itu, sebanyak 531 SHT melibatkan 470 penerima bagi tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), manakala 79 SHT melibatkan 76 penerima bagi kategori Kampung Tradisional.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu Azizul Annuar Adenan, ADUN Jepak Iskandar Turkee, Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelabuhan Sarawak Datu Lester Mattew, Pengerusi Lembaga Amanah Kemajuan Islam Lundu (LAKIL) Datuk Amar Jamilah Anu, Penasihat (PKS) Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Dato Sri Naroden Majais serta Pemangku Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Rozlan Putit.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Aishah Latip (JAPEN Lundu)
KUCHING, 26 Okt – Sarawak komited merangka perancangan bandar raya berteraskan konsep 'Bandar Sedia Masa Hadapan' yang mengintegrasikan kelestarian alam sekitar, teknologi pintar, dan pemeliharaan warisan budaya bagi menjamin kesejahteraan rakyat pada masa akan datang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata wawasan jangka panjang perancangan perbandaran negeri itu turut berjaya menarik minat pelabur antarabangsa ke Kuching.
"Para pelabur memilih kita kerana mereka melihat bahawa kita adalah kelompok yang berpandangan jauh ke hadapan. Sarawak kini sedang berada dalam fasa transisi menuju ekonomi baharu, dan kerajaan telah berjaya mempersiapkan kelompok anak muda Sarawak dengan pendidikan percuma bagi memacu modal insan bertaraf kelas pertama," katanya ketika berucap merasmikan Sarawak Urban Forum (SUF) 2.0 bertemakan 'Future Ready Cities: Building a Resilient Future, Collaborate, Adapt, and Thrive' di Hikmah Exchange Event Centre di sini, hari ini.
Menyentuh mengenai sistem pengangkutan bandar, Abang Abdul Rahman Zohari menegaskan bahawa pelaksanaan projek Transit Aliran Autonomi (ART) bukanlah satu pembaziran sepertimana yang didakwa oleh sesetengah pihak, sebaliknya merupakan pelaburan penting untuk melancarkan kebebasan pergerakan warganegara secara selamat dan bersistematik.
Dalam aspek kelestarian dan penggunaan tanah pula, kerajaan Sarawak mewajibkan penyediaan kawasan hijau di setiap bandar raya bagi membolehkan masyarakat beriadah dan merapatkan ikatan kekeluargaan berikutan ruang kediaman perumahan moden masa kini yang semakin terhad saiznya.
"Kita telah mewartakan sebahagian kawasan untuk Rizab Alam Semulajadi berhampiran Satok, dan sebuah lagi rizab yang lebih besar saiznya di Samarahan. Kawasan lapang yang berkeluasan dua kali ganda Hyde Park ini akan dipenuhi dengan landskap pokok-pokok tempatan dan kita akan mewartakan tanah tersebut," jelasnya.
Selain Kuching dan Samarahan, inisiatif memelihara kawasan hijau turut giat dilaksanakan di Sibu melalui peruntukan penambahbaikan di Bukit Lima serta di Miri menerusi Piasau Nature Reserve.
Menjawab kebimbangan mengenai pemasangan peranti komunikasi pintar dan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi-lokasi strategik, Abang Johari menjelaskan bahawa isu pencerobohan privasi individu tidak relevan kerana di kawasan umum, keutamaan hak jaminan keselamatan awam adalah jauh lebih mustahak.
Tambah beliau, infrastruktur tersebut turut dilengkapi ketersambungan tahap kecemasan yang berhubung secara terus dengan sistem amaran pihak polis dan fasiliti perubatan tempatan.
Dalam pada itu, beliau berharap pelan sokongan evolusi perbandaran Sarawak yang mampan dan disokong oleh kemudahan berskala kelas tinggi ini mampu meredah pasaran moden sejagat, mencipta penawaran pakej kerjaya bergaji tinggi kepada rakyat, di samping mengekalkan identiti interaksi warisan kebudayaan yang unik.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Professor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) dan Penasihat SUF 2.0, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman serta tetamu kenamaan yang lain.
-PENERANGAN-
– TAMAT –
Disediakan oleh : Safik Effendi Kassim (BMKK)
Jurufoto : Abdul Hakeem Well (BKVS)