JABATAN PENERANGAN MALAYSIA SARAWAK
KUCHING, 30 April – Seramai 149 individu telah dikurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat dalam Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak yang berlangsung di Dewan Besar, Astana Negeri Sarawak, hari ini.
Istiadat tersebut disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Turut berangkat hadir ialah isteri beliau, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Majlis dimulakan dengan pengurniaan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S) kepada Pakar Perunding Onkologi, Dr. Hadi Ab Jalil sebagai penerima terawal.
Seterusnya, seramai 13 penerima dikurniakan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K), diikuti 18 penerima Pingat Perkhidmatan Bakti (P.P.B).
Dalam istiadat sama, 10 individu menerima Darjah Ahli Bintang Sarawak (A.B.S), manakala 25 lagi dikurniakan Darjah Utama Ahli Bintang Kenyalang (A.B.K).
Selain itu, 38 penerima dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T), sementara jumlah penerima tertinggi ialah bagi Darjah Bentara Bintang Sarawak (B.B.S) dengan seramai 44 orang.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama isteri, Datin Amar Baduyah Bujang, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr. Juanda Jaya, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu serta Pengarah Mufti Sarawak, Ahmad Sukarno Saini. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Juliana Abdullah/ Mohd Munir(BMKK)
Foto : Mohamad Rizal Matasan/Eddie Alan Blanking (BKVS)
KUCHING , 29 April - Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, (JAPEN) Sarawak, Sabri Said telah menerima kunjungan hormat daripada Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Wilayah Sarawak, hari ini.
Yang Di-Pertua MTPN Wilayah Sarawak, Lucas Lau yang mengetuai rombongan tersebut, telah menyampaikan taklimat mengenai kefungsian MTPN selain perbincangan kerjasama strategik yang boleh diterokai di masa hadapan khususnya dalam memberi pendidikan dan kesedaran kepada pengguna.
MTPN pada masa ini mempunyai 103 cawangan di seluruh Malaysia bergiat aktif dalam menyediakan perundingan dan penyelesaian yang mematuhi pengguna dan syarikat di Sarawak.
Turut hadir ialah, Setiausaha MTPN, Syilyna Christie Rija, Biro Pendidikan, Brenda Lai, Biro Pemantauan Pengguna, Ali Chew Song Wee, dan barisan Ketua-ketua Penolong Pengarah JAPEN Sarawak.
-TAMAT-
Disediakan oleh: Izawati Eni (BMKK)
Jurufoto: Abdul Hakeem Well (BKVS)
KUCHING, 27 April – Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, hari ini menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Pingat dan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak kepada seramai 148 penerima.
Istiadat tersebut berlangsung di Dewan Besar, Astana Negeri Sarawak.
Majlis dimulakan dengan pengurniaan Pingat Pentadbiran Awam, Pingat Perkhidmatan Cemerlang (P.P.C) kepada Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh.
Seterusnya, Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S) dikurniakan kepada Ketua Pegawai Perbankan Perniagaan Bank Rakyat, Mohamad Shiblie Abang Sapuan, Ida Rohana Othman dan Susan Clement Ingun.
Istiadat diteruskan dengan Pengurniaan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K) kepada Pengurus Besar CENTEXS Commercial Sarawak, Mohamad Shahren Mohamad Yusri dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water Sdn Bhd, Ir. Ts Daniel Punang serta penerima lain.
Selain itu, Pingat Pentadbiran Awam, Pingat Perkhidmatan Bakti (P.P.B) turut dianugerahkan kepada beberapa penerima termasuk Leftenan Kolonel Ismanizam Ismail, Mejar Chester Richard, Mejar Muhammad Adam Carlos Rakem, Amarizan Madian, Freda Mathew Manggi dan Anthony Ungop.
Dalam pada itu, seramai 13 penerima dikurniakan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Ahli Bintang Sarawak (A.B.S), manakala 21 penerima menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Ahli Bintang Kenyalang (A.B.K).
TYT turut mengurniakan Pingat Pentadbiran Awam, Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T) kepada beberapa penerima termasuk Sub Inspektor Jimmy Ja-ih, Idris Hassan, Luhat Ajang dan Zaini Morshidi.
Sementara itu, Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Bentara Bintang Sarawak (B.B.S) mencatat jumlah penerima tertinggi iaitu seramai 41 orang dalam istiadat kali ini.
Turut hadir ialah isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus ,Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan II, Dato Majang Renggi serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel . -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Cassidy Lisut / Khairul Anwar (BKVS)
KUCHING, 28 April – Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari hari ini mengadakan lawatan rasmi ke tapak projek penambahbaikan dan penaiktarafan fasiliti sukan di Kompleks Sukan Sarawak sebagai persediaan menghadapi penganjuran Sukan SEA 2027.
Lawatan tersebut bertujuan meninjau perkembangan semasa projek yang merupakan antara komponen penting dalam memastikan kesiapsiagaan Sarawak sebagai tuan rumah temasya sukan serantau itu.
Dalam lawatan berkenaan, beliau turut diberikan taklimat terperinci mengenai status pelaksanaan projek oleh pihak berkaitan.
Antara lokasi yang dilawati termasuk Stadium Sarawak, Pusat Akuatik Pandalela Rinong dan Stadium Perpaduan, yang merupakan venue utama penganjuran acara.
Dr. Mohammed Taufiq berkata, pelaksanaan projek penambahbaikan dan penaiktarafan fasiliti sukan setakat ini berjalan lancar mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Beliau turut memuji komitmen Kerajaan Sarawak yang memperuntukkan sebanyak RM630 juta bagi tujuan penaiktarafan fasiliti serta persiapan penganjuran Sukan SEA 2027.
“Saya yakin segala persiapan yang dilaksanakan berada pada landasan terbaik bagi memastikan kelancaran temasya ini,” katanya ketika ditemui media.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang turut hadir berkata Sarawak akan menjadi lokasi upacara pembukaan serta tuan rumah bagi 17 daripada keseluruhan 38 acara sukan yang dipertandingkan.
Menurutnya, kerajaan negeri komited untuk memastikan penganjuran berlangsung pada tahap terbaik demi memberikan pengalaman bermakna kepada atlet dan pengunjung.
Beliau turut menambah, pelbagai program sampingan akan dianjurkan bagi memeriahkan temasya, termasuk karnival rakyat yang menampilkan pameran, jualan cenderamata serta sajian makanan menerusi konsep ‘Dapur Malaysia’.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Mohamad Munir (BMKK)
Foto : Abdul Hakeem Well (BKVS)
KUCHING, 26 April - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg hari ini merasmikan Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh keharmonian antara agama di negeri ini.
Majlis perasmian itu menghimpunkan pelbagai pemimpin masyarakat serta wakil agama mencerminkan keunikan Sarawak sebagai negeri berbilang kaum dan kepercayaan yang hidup dalam keadaan aman serta saling menghormati.
Kompleks ikonik yang dibina di atas tanah seluas 3.19 ekar itu terletak kira-kira lima kilometer dari pusat bandar Kuching dan merupakan cetusan idea Premier Sarawak.
Pembinaannya melibatkan kos lebih RM75 juta yang ditanggung oleh kerajaan Sarawak.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan pembinaan kompleks tersebut, khususnya Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta pemimpin-pemimpin agama.
Beliau menegaskan bahawa nilai hormat-menghormati antara agama merupakan asas penting dalam mengekalkan kestabilan dan kesejahteraan negeri.
“Tanpa nilai hormat antara agama, sukar untuk kita melaksanakan usaha kebajikan dan pembangunan iaitu kestabilan adalah kunci kepada kemajuan,” katanya.
Menurut beliau, Kompleks UNIFOR bukan sekadar sebuah bangunan fizikal, tetapi melambangkan komitmen berterusan kerajaan dalam memupuk perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai agama di Sarawak.
Terdahulu, dalam ucapan alu-aluan, Datuk Amar Douglas Uggah berkata lokasi strategik kompleks tersebut, yang berhampiran dengan pelbagai institusi seperti Pusat Penerangan Islam, Dayak Cultural Foundation, Dayak Bidayuh Association, Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak, Sarawak Society for the Blind dan Wisma Melanau, mampu menjadi pemangkin kepada interaksi antara penganut pelbagai agama.
Beliau turut menjelaskan bahawa penubuhan UNIFOR merupakan inisiatif unik Sarawak dalam menyelaras hal ehwal agama selain Islam, termasuk menyalurkan bantuan kepada pembinaan dan penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam di seluruh negeri.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa sejumlah RM30 juta telah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak bagi membantu 155 sekolah mubaligh, khususnya di kawasan luar bandar, selaras dengan usaha meningkatkan akses pendidikan dan kualiti pembelajaran.
“Pendidikan adalah laluan utama untuk keluar daripada kemiskinan melalui penguasaan ilmu dan kemahiran,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, Premier Sarawak turut menandatangani plak sebagai simbolik perasmian kompleks berkenaan.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa PETROS akan menyumbang RM1 juta kepada Lembaga Amanah Kebajikan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain bagi menyokong pelaksanaan program dan aktiviti.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, barisan menteri kabinet negeri, ahli-ahli pemegang amanah, Pengarah UNIFOR, Dato Georgina Apphia Ngau, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Kebajikan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain, John Kennedy Janang, serta dif-dif kenamaan lain. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Mohamad Munir (BMKK)
Foto: Mohammad Rizal & Eddie Alan Blanking (BKVS)
KUCHING, 22 April – Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi Persatuan Kebangsaan Orang Ulu (OUNA) Sarawak di Astana Negeri Sarawak.
Delegasi berkenaan diketuai oleh Presidennya, Dato Dr. Abu Bakar Abdullah @ Tom Belarek bersama barisan Ahli Jawatankuasa Pusat persatuan tersebut.
Kunjungan hormat tersebut bertujuan memperkenalkan barisan kepimpinan baharu OUNA Sarawak di samping menyampaikan jemputan rasmi kepada Tun dan Toh Puan untuk menghadiri Majlis Makan Malam Kesyukuran sempena Sambutan Jubli Intan ke-60 persatuan berkenaan.
OUNA Sarawak merupakan sebuah pertubuhan yang mewakili lebih 20 etnik minoriti Orang Ulu di negeri ini.
Ia ditubuhkan pada 28 Oktober 1996, persatuan tersebut kini mempunyai 12 cawangan aktif di seluruh Sarawak.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden OUNA, Lade Kulong, Setiausaha, Renly Gau serta Ahli Jawatankuasa Pusat persatuan. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Mohamad Munir (BMKK)
Foto: Abdul Hakeem (BKVS)
SANTUBONG, 13 April – Kerajaan meneruskan komitmen memperkukuh sistem bekalan air menerusi pelaksanaan Projek Non-Revenue Water (NRW) Nasional Pendekatan 1 Negeri Sarawak yang kini siap dilaksanakan di Stesen Pam Penggalak Sungai Lumut yang berkapasiti reka bentuk 3 juta liter sehari.
Stesen ini dijangka menyalurkan bekalan air ke beberapa kawasan termasuk Kampung Sungai Lumut, Kampung Buntal, Kampung Santubong dan Damai yang memberi manfaat kepada 1,509 sambungan air dan melibatkan kira-kira 7,545 penduduk.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Fadillah Yusof telah diberi taklimat berkenaan projek tersebut daripada Ketua Pengarah, Jabatan Bekalan Air, PETRA, Ir. Ts. Anita Mohd. Shafie dalam lawatan kerja bersempena Program PETRA Skuad Zon Sarawak 2026, di sini.
Projek strategik itu yang bertujuan mengurangkan kadar kehilangan air tidak terhasil melalui penambahbaikan sistem pengukuran, kawalan serta pemetaan rangkaian bekalan air menggunakan teknologi berasaskan Geographic Information System (GIS).
Pelaksanaannya melibatkan pemasangan dan penggantian meter System Input Volume (SIV), meter pengguna, pembangunan sistem GIS serta kerja-kerja pembaikan tangki termasuk pemasangan peralatan pemantauan.
Projek berkenaan dikendalikan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) di bawah Program NRW Kebangsaan.
Melalui pengukuhan aspek pengukuran dan pengurusan data, projek tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada perancangan lebih sistematik dalam usaha mengurangkan kadar NRW di seluruh Sarawak, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi dan pengurusan aset bekalan air negeri.
Semasa majlis, Fadillah turut menyaksikan simbolik Penyerahan Projek Siap daripada pihak kontraktor kepada Jabatan Bekalan Air, PETRA dan seterusnya kepada JBALB Sarawak.
Hadir bersama semasa lawatan ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Dato' Sri Nancy Shukri, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi dan Ketua Setiausaha PETRA, Dato’ Sri Mad Zaidi Mohd Karli. - PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Abdul Hakeem Well (BKVS)
KUCHING, 4 April – kesejahteraan warga emas terus diperkasa melalui pelaksanaan program Senior Citizen – 'We CARE For You' yang memberi tumpuan kepada aspek penuaan sihat, aktif dan bermaruah.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, inisiatif berkenaan selaras dengan peningkatan populasi warga emas di negeri ini yang kini mencecah 14 peratus dan dijangka mencapai status negeri menua menjelang tahun 2028.
Menurut beliau, kementerian turut menjalinkan kerjasama dengan Swinburne University of Technology Kampus Sarawak bagi melaksanakan kajian berkaitan profil serta isu penuaan di seluruh negeri.
“Dapatan kajian ini akan dijadikan asas dalam pembangunan Pelan Induk Penuaan Sihat, Aktif dan Bermaruah Sarawak,” katanya ketika berucap pada program tersebut yang berlangsung di Dewan Serbaguna Taman Sukma, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fatimah berkata antara cabaran utama yang dikenal pasti dihadapi warga emas termasuk isu kesihatan seperti hipertensi, diabetes dan kolesterol tinggi selain kerentanan kewangan, keadaan perumahan yang kurang sesuai, tahap literasi digital yang rendah serta tekanan terhadap penjaga keluarga.
Sehubungan itu, kerajaan memberi tumpuan kepada beberapa keutamaan dasar antaranya memperluas perkhidmatan kesihatan bergerak, menyediakan infrastruktur mesra warga emas, memperkukuh skim bantuan kewangan serta meningkatkan inklusiviti digital.
“Program ini juga menjadi platform untuk menyampaikan maklumat berkaitan pelbagai inisiatif kerajaan bagi memastikan warga emas dapat mengakses kemudahan yang disediakan,” jelasnya.
Antara inisiatif yang diperkenalkan ialah Bantuan Warga Emas oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM600 sebulan, Kenyalang Gold Card yang menawarkan diskaun antara lima hingga 10 peratus di lebih 1,000 rakan strategik, serta Skim Bantuan Ihsan Kematian berjumlah RM1,800 kepada waris yang layak.
Selain itu, Senior Citizen Health Benefit turut disediakan bagi kemudahan rawatan pesakit luar secara tanpa tunai sehingga RM500 setahun di klinik panel terpilih.
Dalam pada itu, satu inovasi baharu berasaskan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dikenali sebagai 'waveja' turut diperkenalkan bagi memudahkan akses perkhidmatan kepada warga emas tanpa memerlukan penggunaan kad atau telefon pintar.
Program berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Turut hadir, Timbalan Menteri KPWK, Datuk Rosey Yunus dan Datuk Mohammad Razi Sitam serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh : Lance Dunstan / Khairul Anwar Ali (BKVS)
𝗞𝗨𝗖𝗛𝗜𝗡𝗚, 𝟱 𝗔𝗽𝗿𝗶𝗹 – Kerajaan sentiasa memantau perkembangan situasi global, khususnya konflik di Asia Barat yang berpotensi menjejaskan bekalan tenaga dunia.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, ketidaktentuan geopolitik semasa boleh memberi kesan langsung kepada kestabilan bekalan minyak dan gas sekali gus meningkatkan kos logistik serta harga barangan import.
“Walaupun konflik berlaku jauh dari negara kita, kesannya tetap dirasai termasuk di Malaysia, terutama jika melibatkan laluan strategik seperti Selat Hormuz,” katanya.
Sehubungan itu ketika berucap pada Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Kampung Samariang Batu di Dewan KASBA, malam tadi beliau menyeru rakyat agar mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah serta mengelakkan pembaziran sebagai langkah berjaga-jaga.
Menurutnya, Malaysia ketika ini masih mempunyai bekalan tenaga mencukupi dalam tempoh terdekat, namun langkah proaktif perlu diambil bagi memastikan kestabilan berterusan.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan Persekutuan terus memantau situasi semasa melalui mesyuarat berkala termasuk melibatkan Menteri Besar, Ketua Menteri dan Premier bagi menyelaras tindakan di peringkat negeri dan nasional.
“Kerajaan akan memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara dan sebarang langkah intervensi akan dilaksanakan sekiranya berlaku peningkatan kos,” jelasnya.
Menyentuh potensi Sarawak, beliau berkata Sarawak mempunyai kelebihan strategik dalam pembangunan sektor tenaga hasil perancangan jangka panjang serta dasar yang inklusif.
“Bekalan tenaga yang mencukupi dan stabil amat penting sebagai pemangkin kepada pertumbuhan industri dan ekonomi negara,” katanya.
Tambahnya, kerajaan komited memastikan bekalan tenaga negara kekal mencukupi melalui kepelbagaian sumber termasuk arang batu dan tenaga alternatif ke arah peralihan tenaga yang lebih mampan.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) merangkap ADUN Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Penghulu Kawasan Samariang, Mahidi Pihak, Ketua Kampung Samariang Batu, Mahathir Fatimah serta penduduk setempat. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Mohamad Borhan Ahmad Ulis (BMKK).
Foto oleh: Mohamad Rizal Matasan (BKVS).
KUCHING, 6 April - Usahawan bumiputera Sarawak digalakkan membentuk konsortium strategik bagi merebut peluang dalam Program Solar Berskala Besar Pusingan Keenam (LSS6) yang dijangka dibuka tidak lama lagi di Semenanjung Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, pendekatan kerjasama amat penting memandangkan nilai pelaburan minimum program tersebut dianggarkan sekitar RM350 juta.
Katanya ketika merasmikan Program Jihad Bisnes 2026 anjuran Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) di Dewan Mutiara, Tinggian Demak, pagi tadi penyertaan secara individu mungkin sukar dilaksanakan oleh kebanyakan usahawan tempatan, justeru pembentukan konsortium melibatkan pelbagai pihak dalam kalangan bumiputera perlu diberi keutamaan.
“Sekiranya peluang itu mahu dibuka di Sarawak, tidak ramai dalam kalangan kita mampu menyertainya secara bersendirian dan oleh itu, kita perlu merangka strategi jelas dan bekerjasama bagi membentuk konsortium untuk merebut peluang ini,” katanya.
Fadillah turut menegaskan bahawa walaupun pelaksanaan LSS6 tertumpu di Semenanjung, usahawan Sarawak masih berpotensi terlibat melalui kepelbagaian pengalaman dan latar belakang yang dimiliki.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar persediaan awal dilakukan bagi memastikan penyertaan yang lebih tersusun dan berdaya saing.
Turut hadir Presiden DPIM, Dato’ Mohammad Sahar Mat Din, Timbalan Presiden DPIM merangkap Penasihat DPIM Sarawak, Dato’ (Dr.) Salihin Abang, serta tetamu jemputan lain. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Ninie Gumbang (BMKK)
Foto : Bolhan Basah (BKVS)
KUCHING, 7 April - Program Kempen Derma Darah 3.0 yang berlangsung di Tingkat 17, Bangunan Sultan Iskandar, Simpang Tiga hari ini merupakan inisiatif kerjasama antara Kelab Sukan, Kebajikan dan Rekreasi (KSKR), Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak dan Persatuan Sukarelawan Jalanan Sarawak (SJS).
Menurut Pengerusi KSKR, Ahmad Zaki Affendi, program yang turut melibatkan Unit Tabung Darah Hospital Umum Sarawak itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pendermaan darah secara berkala serta membantu menampung keperluan bekalan darah hospital.
Beliau berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kelab memainkan peranan penting sebagai penghubung antara pihak hospital dan masyarakat awam.
“Tanpa sokongan NGO dan kelab, bekalan darah negara sukar mencapai tahap optimum secara konsisten,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar terus menganjurkan program seumpamanya kerana satu beg darah mampu menyelamatkan tiga nyawa.
Sementara itu, wakil SJS, Suraini Adenan berkata kempen tersebut turut memupuk semangat kesukarelawanan dan keprihatinan sosial dalam kalangan komuniti.
Antara pengisian program ialah sesi pendermaan darah, pendaftaran penderma baharu serta hebahan maklumat kesihatan berkaitan kepentingan pendermaan darah.
Program itu menyasarkan 100 penderma dalam kalangan penjawat awam di Kompleks Persekutuan Sarawak, sukarelawan serta orang awam.
Dalam pada itu, Unit Tabung Darah Hospital Umum Sarawak akan mengadakan kempen derma darah di Boulevard Shopping Mall pada 11 dan 12 April 2026, dari jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang.
Unit tersebut berharap lebih ramai penderma tampil secara berterusan berikutan permintaan darah yang semakin meningkat. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Juliana Abdullah (BMKK)
Foto : Abdul Hekeem Well / Khairul Anwar (BKVS)
KUCHING, 8 April - Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hadir menyerikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2026 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang berlangsung di Atrium Aras 2, DUN Sarawak, hari ini.
Ketibaan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan disambut oleh Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar serta barisan kepimpinan negeri.
Dalam majlis sama, Mohamad Asfia mewakili DUN Sarawak, turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Negeri Sarawak (PERYATIM) sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan memerlukan.
Dalam ucapan aluannya, beliau menyifatkan Tun Wan Junaidi sebagai pemimpin yang memiliki keberanian moral tinggi sepanjang perkhidmatannya di peringkat Persekutuan dan negeri.
Menurutnya, keperibadian serta kepimpinan Tun Wan Junaidi turut membawa pembaharuan dan nafas baharu kepada institusi Astana Negeri Sarawak sejak menerajui tampuk kepimpinan.
“Jika seseorang itu mampu mengubah persekitarannya, maka dia seorang yang berperibadi kuat.
“Sarawak bertuah mempunyai Ketua Negeri yang berilmu dalam undang-undang, bijaksana dalam majlis dan berani di medan tempur,” katanya.
Menyentuh hala tuju ekonomi negeri, beliau berkata Sarawak berada di landasan tepat melalui penguasaan sumber tenaga seperti minyak, gas asli cecair (LNG) dan hidrogen.
“Kita mempunyai negeri yang bersedia dan tidak akan terumbang-ambing dalam mendepani cabaran global.
Beliau turut memuji inisiatif Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam meneroka teknologi hidrogen sebagai langkah strategik ke arah kelestarian ekonomi masa depan.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan sumber air sebagai aset strategik yang berpotensi menjadikan Sarawak sebagai pengeksport utama komoditi tersebut ke negara jiran pada masa hadapan.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Lance Dunstan (BKVS)
𝗞𝗨𝗖𝗛𝗜𝗡𝗚, 𝟵 𝗔𝗽𝗿𝗶𝗹 – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg hari ini menerima kunjungan hormat Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, Dato Sri Ahmad Shabery Cheek di Kompleks Satria Pertiwi.
Kunjungan tersebut bertujuan memperkukuh hubungan strategik serta meneroka potensi kerjasama antara FELDA dan Kerajaan Sarawak khususnya dalam pengurusan tanah, perladangan dan ekonomi hijau.
Menurut Ahmad Shabery, walaupun Sarawak tidak mempunyai tanah rancangan FELDA seperti di negeri lain, agensi itu masih mempunyai kepentingan melalui pemilikan aset termasuk tanah, ladang serta pelaburan menerusi anak syarikat seperti FGV Holdings Berhad dan koperasi berkaitan.
Beliau berkata, antara perkara yang dibincangkan ialah keperluan menilai semula penggunaan aset bagi memastikan pulangan optimum, sama ada dikekalkan di bawah FELDA atau diuruskan entiti berkaitan secara lebih strategik.
“FELDA akan mengadakan rundingan lanjut bersama Kerajaan Sarawak bagi mengenal pasti kaedah terbaik dalam pengurusan tanah dan pembangunan aset agar selari dengan keperluan negeri,” katanya dalam sidang media selepas pertemuan itu.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan Sarawak sebagai negeri progresif dalam pelaksanaan ekonomi hijau, termasuk penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan hidro serta amalan ekonomi kitaran.
Katanya, persamaan antara peranan FELDA sebagai agensi perladangan berskala besar dan pendekatan pembangunan lestari Sarawak membuka ruang kerjasama dalam pembentukan dasar di peringkat nasional.
“Kerjasama ini penting dalam konteks dasar alam sekitar Persekutuan, termasuk pelaksanaan cukai karbon dan mekanisme kredit karbon yang berpotensi menjadi sumber pendapatan baharu melalui pengurusan hutan dan ladang secara lestari,” jelas beliau.
Mengulas lanjut, Ahmad Shabery memaklumkan cadangan penjualan Merdeka Palace Hotel & Suites kepada Permodalan Satok Berhad kini di peringkat akhir bagi mendapatkan kelulusan.
Katanya, langkah itu bertujuan memastikan aset bersejarah berkenaan diurus pihak bersesuaian serta dimanfaatkan secara optimum selaras dengan kepentingan negeri dan pemeliharaan nilai warisan.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Abdullah Zaidel, Timbalan Pengurus Besar FELDA, Muhammad Fitri Othman, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Abdullah Julaihi, serta Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood. -PENERANGAN-
– TAMAT –
Disediakan oleh: Mohamad Borhan Ahmad Ulis (BMKK)
Foto oleh: Lance Dunstan & Eddie Allan Blanking (BKVS)
KUCHING, 8 April - Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, hari ini menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Sarawak Sovereign Wealth Future Fund Board (SSWFFB) yang berlangsung di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Dalam ucapannya, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan bahawa penubuhan SSWFFB merupakan langkah strategik dan berwawasan kerajaan Sarawak dalam memastikan pengurusan kewangan negeri dilaksanakan secara mampan untuk jangka panjang.
Katanya, tanggungjawab utama dana tersebut adalah memastikan kekayaan negeri yang dimiliki pada masa ini dapat diterjemahkan kepada kemakmuran berterusan demi kesejahteraan rakyat pada masa hadapan.
“Ini merupakan asas kepada penubuhan dana ini sebagai sebuah institusi untuk memelihara dan mengembangkan kekayaan Sarawak, sekali gus menjamin kestabilan ekonomi negeri,” katanya.
Tambahnya, pada tahun 2025, dana tersebut telah memasuki fasa pelaksanaan pelaburan termasuk dalam instrumen pendapatan tetap di peringkat domestik dan global sebagai langkah awal berteraskan prinsip pemeliharaan modal.
Majlis turut diserikan dengan acara simbolik memasukkan syiling ke dalam tabung oleh Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah yang disaksikan wakil agensi kerajaan serta rakan korporat sebagai lambang semangat kerjasama dalam memperkukuh kedudukan kewangan negeri bagi jangka masa panjang.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai serta timbalan-timbalan menteri. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto oleh: Bolhan Hj Basah / Eddie (BKVS)
KUCHING, 9 April - Program Sinergi Kasih Wanita: Memperkasa Akar Umbi dianjurkan bagi memastikan golongan wanita memperoleh maklumat tepat mengenai pelbagai perkhidmatan serta inisiatif kerajaan yang disediakan untuk mereka.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, wanita perlu merebut peluang yang tersedia serta berperanan menyebarluaskan maklumat tersebut kepada rakan dan komuniti masing-masing.
Katanya ketika merasmikan program Sinergi Kasih Wanita: Memperkasa Akar Umbi (Sektor Ketiga) di sini, hari ini, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau sektor ketiga memainkan peranan penting dalam ekosistem pembangunan masyarakat di Malaysia kerana kedudukannya yang dekat dengan rakyat serta memahami keperluan komuniti setempat.
“NGO sering menjadi pihak terawal dalam membantu golongan memerlukan dan menjadi jambatan antara kerajaan dan masyarakat,” katanya.
Dalam majlis tersebut, beliau turut memperkenalkan Dasar Wanita Negara serta Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030 sebagai komitmen kerajaan dalam memperkasa wanita secara menyeluruh.
Nancy menjelaskan, dasar berkenaan memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu ekonomi, kepimpinan, keselamatan dan kesejahteraan, serta dilaksanakan melalui pelbagai program di peringkat akar umbi.
Antara program yang dilaksanakan melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) termasuk Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) yang bertujuan membina keyakinan diri wanita, serta Skuad Waja yang memberi fokus kepada kesedaran isu buli, gangguan seksual dan keselamatan komuniti.
Selain itu, Agenda Women, Peace and Security (WPS) turut diketengahkan bagi memastikan suara wanita diambil kira dalam perbincangan berkaitan keamanan dan keselamatan negara.
Nancy turut menggalakkan NGO memanfaatkan Bantuan Khas Perbendaharaan (BKP) sebagai inisiatif kerajaan untuk memperkukuh peranan mereka sebagai rakan strategik dalam pembangunan komuniti.
“Saya yakin dengan pengalaman dan komitmen NGO, kerjasama ini mampu melahirkan lebih banyak inisiatif yang benar-benar menyentuh keperluan rakyat,” ujarnya.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ahli Dewan Negara, Senator Susan Chemerai Anding, Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Hanani Sapit serta kenamaan lain. -PENERANGAN -
-TAMAT-
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Mohd Rizal (BKVS)
𝗞𝗨𝗖𝗛𝗜𝗡𝗚, 𝟵 𝗔𝗽𝗿𝗶𝗹 – Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi memperkukuh penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, khususnya dalam pelaksanaan dasar karbon serta rangka kerja perubahan iklim negara.
Perkara itu dimuktamadkan susulan kunjungan hormat Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato Sri Arthur Joseph Kurup kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi, hari ini.
Menurut Arthur, jawatankuasa khas tersebut akan berfungsi sebagai platform konsultasi berterusan bagi memastikan segala perancangan dan pelaksanaan dasar, termasuk pembangunan sistem pendaftaran karbon (carbon registry), dapat diselaraskan secara menyeluruh antara kedua-dua pihak.
Katanya, penubuhan jawatankuasa itu juga penting bagi mengharmonikan penilaian kredit karbon agar tidak berlaku perbezaan antara peringkat negeri dan Persekutuan.
“Kerjasama ini penting kerana pelaporan karbon dibuat di peringkat nasional, termasuk di bawah komitmen antarabangsa seperti Perjanjian Paris.
Oleh itu, penyelarasan harga dan nilai kredit karbon perlu selaras antara Sarawak dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata, jawatankuasa khas itu dijangka ditubuhkan dalam masa terdekat, selaras dengan kelulusan rangka kerja dasar oleh Jemaah Menteri serta keperluan penyelarasan undang-undang menjelang pembentangan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara di Parlimen pada pertengahan tahun ini.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan Sarawak telah mempunyai kerangka perundangan sendiri berkaitan pelepasan gas rumah hijau, sekali gus menjadikan penyelarasan antara negeri dan Persekutuan semakin kritikal.
Mengulas lanjut, beliau berkata Sarawak memainkan peranan penting dalam dasar pasaran karbon negara berikutan keluasan litupan hutannya yang melebihi 64 peratus, sekali gus menjadikannya penyumbang utama kepada kredit karbon Malaysia.
Selain itu, pertemuan tersebut turut menyentuh perkembangan penentuan sempadan antarabangsa melibatkan Sarawak serta usaha pengembalian tanah Persekutuan kepada kerajaan negeri di bawah agenda MA63.
Setakat ini, sebanyak 53 daripada 200 lot tanah telah dikembalikan, manakala 11 lot lagi baru diluluskan untuk diserahkan.
Dalam perkembangan berkaitan, kementerian turut memaklumkan pelantikan lebih 325 renjer komuniti di Sarawak tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM11.6 juta bagi memperkukuh pemeliharaan alam sekitar di peringkat akar umbi.
Turut hadir Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin, Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Dato Sri Hazri Hassan serta rombongan lain. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Mohamad Borhan Ahmad Ulis (BMKK).
Foto oleh: Lance Dunstan & Eddie Allan Blanking (BKVS).
KUCHING, 9 April – Kerajaan komited untuk terus memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan pertahanan negara khususnya di Sarawak, menerusi pelbagai inisiatif strategik termasuk pembangunan infrastruktur serta kebajikan anggota.
Menteri Pertahanan Malaysia (MINDEF), Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha memperkasakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Malaysia Timur merupakan antara mandat penting kerajaan bagi memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.
Menurut beliau, ketika ini terdapat lebih 6,000 anggota ATM di Sarawak merangkumi ketiga-tiga cabang perkhidmatan dan jumlah itu dijangka terus meningkat selaras dengan penstrukturan semula kekuatan pertahanan negara.
“Keselamatan dan pertahanan negara perlu sentiasa diperkasa secara berterusan tanpa mengira lokasi, sama ada di Semenanjung, Sabah atau Sarawak,” katanya semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Menteri Pertahanan Bersama Pegawai ATM Zon Kuching di Kem Muara Tuang, di sini, hari ini.
Tambah beliau, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan projek strategik termasuk Kompleks Markas Pemerintahan Medan Timur di Batu Kawa yang dijangka siap mengikut tempoh ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kesiapsiagaan pertahanan bukan sahaja bergantung kepada aset dan teknologi, malah turut melibatkan kebajikan serta kesejahteraan anggota.
Katanya, aspek kehidupan anggota termasuk perumahan, kesihatan dan pendidikan keluarga perlu diberi perhatian agar mereka dapat melaksanakan tugas tanpa gangguan.
Beliau turut mengingatkan anggota ATM supaya sentiasa mengekalkan disiplin tinggi serta mengamalkan nilai murni seperti kesetiaan, keberanian, integriti dan profesionalisme sama ada ketika bertugas atau di luar waktu perkhidmatan.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan serta mendengar taklimat berkaitan pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) pelbagai kelas di kem berkenaan.
Turut hadir, Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Mohd Othman, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris serta Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Jurufoto: Abdul Hakeem Well (BKVS)
KUCHING, 11 April – Program Outreach WCare Pemerkasaan Komuniti Etnik anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus mempergiat usaha mendekati masyarakat luar bandar dengan menyediakan perkhidmatan kesihatan terus ke komuniti setempat.
Menteri KPWKM, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, inisiatif tersebut bertujuan memudahkan akses kepada perkhidmatan kesihatan khususnya bagi komuniti yang berdepan kekangan jarak untuk mendapatkan rawatan di klinik atau hospital.
Menurut beliau, program itu memberi penekanan kepada peningkatan kesedaran mengenai kepentingan pengesanan awal kanser serviks melalui ujian saringan HPV DNA.
“Kanser serviks merupakan antara penyakit yang boleh dirawat sekiranya dikesan pada peringkat awal.
“Jangan tunggu hingga terlambat, lebih awal kita kesan, lebih besar peluang untuk sembuh,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.
Beliau turut menyeru masyarakat, khususnya golongan wanita, agar tampil menjalani pemeriksaan tanpa rasa takut atau malu.
Tambahnya, sejak tahun 2019 hingga 31 Mac 2026, seramai 202,889 wanita di seluruh negara telah menjalani ujian HPV DNA.
Di Sarawak sahaja, seramai 55,266 wanita telah disaring dengan 4,710 kes dikesan positif HPV, 92 kes pra-kanser dan 10 kes kanser serviks.
Dalam pada itu, KPWKM turut melatih 20 wanita daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai duta etnik bagi menyebarkan kesedaran kesihatan dalam komuniti masing-masing.
Langkah tersebut dilihat berkesan kerana mesej kesihatan lebih mudah diterima apabila disampaikan oleh individu yang dikenali dalam kalangan masyarakat setempat. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Lance Dunstan (BKVS)
SANTUBONG, 13 April – Kerajaan meneruskan komitmen memperkukuh sistem bekalan air menerusi pelaksanaan Projek Non-Revenue Water (NRW) Nasional Pendekatan 1 Negeri Sarawak yang kini siap dilaksanakan di Stesen Pam Penggalak Sungai Lumut yang berkapasiti reka bentuk 3 juta liter sehari.
Stesen ini dijangka menyalurkan bekalan air ke beberapa kawasan termasuk Kampung Sungai Lumut, Kampung Buntal, Kampung Santubong dan Damai yang memberi manfaat kepada 1,509 sambungan air dan melibatkan kira-kira 7,545 penduduk.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Fadillah Yusof telah diberi taklimat berkenaan projek tersebut daripada Ketua Pengarah, Jabatan Bekalan Air, PETRA, Ir. Ts. Anita Mohd. Shafie dalam lawatan kerja bersempena Program PETRA Skuad Zon Sarawak 2026, di sini.
Projek strategik itu yang bertujuan mengurangkan kadar kehilangan air tidak terhasil melalui penambahbaikan sistem pengukuran, kawalan serta pemetaan rangkaian bekalan air menggunakan teknologi berasaskan Geographic Information System (GIS).
Pelaksanaannya melibatkan pemasangan dan penggantian meter System Input Volume (SIV), meter pengguna, pembangunan sistem GIS serta kerja-kerja pembaikan tangki termasuk pemasangan peralatan pemantauan.
Projek berkenaan dikendalikan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) di bawah Program NRW Kebangsaan.
Melalui pengukuhan aspek pengukuran dan pengurusan data, projek tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada perancangan lebih sistematik dalam usaha mengurangkan kadar NRW di seluruh Sarawak, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi dan pengurusan aset bekalan air negeri.
Semasa majlis, Fadillah turut menyaksikan simbolik Penyerahan Projek Siap daripada pihak kontraktor kepada Jabatan Bekalan Air, PETRA dan seterusnya kepada JBALB Sarawak.
Hadir bersama semasa lawatan ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Dato' Sri Nancy Shukri, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi dan Ketua Setiausaha PETRA, Dato’ Sri Mad Zaidi Mohd Karli. - PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Abdul Hakeem Well (BKVS)
KUCHING, 14 April - Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menjadi antara pengisian utama dalam jelajah PETRA Skuad Zon Sarawak 2026 dengan memberi tumpuan kepada kesejahteraan komuniti serta kelestarian sumber air dan tenaga.
Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bersama agensi dan rakan strategik dalam meningkatkan kesedaran awam serta melaksanakan program berimpak tinggi kepada masyarakat.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA, Datuk Amar Fadillah Yusof telah menyaksikan penyampaian simbolik sumbangan CSR oleh TNB dan SPAN kepada komuniti setempat, yang diterima oleh Pengerusi Masjid Al-Abyad, Matang Jaya, Zainuddin Sastri di sini, semalam.
Menerusi pelaksanaan CSR Wakalah, TNB menyalurkan sumbangan kepada Masjid Darul Malihah di Kota Samarahan dan Masjid Al-Abyad, Matang, Kuching, dengan setiap masjid menerima RM10,000 bagi menyokong pelaksanaan awal pendekatan Wakalah di peringkat komuniti di Sarawak.
Pelaksanaan tersebut merupakan inisiatif awal TNB di negeri ini melalui platform PETRA Skuad dengan fokus kepada dua teras utama iaitu pelaburan komuniti dan pembinaan negara ke arah menghasilkan impak mampan.
TNB turut memainkan peranannya sebagai rakan strategik nasional melalui pelaksanaan CSR dan Wakalah tanpa melibatkan operasi pembekalan tenaga di Sarawak.
Sebagai rekod, TNB membelanjakan lebih RM232.3 juta bagi pelaksanaan program CSR di seluruh negara pada tahun 2025 merangkumi sektor pendidikan, pembangunan sukan, bantuan persekolahan, khidmat komuniti, inisiatif kesihatan serta projek solar di rumah ibadat.
Selain itu, sebanyak RM11.9 juta disalurkan melalui inisiatif zakat Wakalah kepada lebih 36,000 penerima asnaf.
Sementara itu, SPAN melaksanakan program CSR dengan memberi penekanan kepada penjimatan air melalui penyerahan pili cekap air di bawah inisiatif Sekolah Rakan SPAN dan Masjid Rakan SPAN.
Buat julung kali di Sarawak, sebanyak 70 unit pili cekap air diserahkan kepada dua masjid terlibat dengan kos keseluruhan RM2,800, melibatkan 30 unit kepada Masjid Darul Malihah bernilai RM1,200 dan 40 unit kepada Masjid Al-Abyad berjumlah RM1,600.
Menurut SPAN, inisiatif itu bertujuan mempromosikan penggunaan produk berlabel cekap air dalam kalangan masyarakat, khususnya di lokasi tumpuan awam seperti rumah ibadat, sekali gus memastikan penggunaan air yang lebih berhemah dan lestari.
Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Ts. Mohd Fazil Ismail, menyampaikan ceramah mengenai amalan penjimatan air, manakala Pegawai Khas TNB, Mohd Fitri Basri, berkongsi tip penjimatan elektrik serta langkah praktikal mengurangkan penggunaan tenaga di rumah.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato’ Fazzrudin Abdul Rahman. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Toslin Meyub (BMKK)
Foto : Abdul Hakeem Well (BKVS)
KUCHING, 14 April- Pengarah Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak, Sabri Said telah menghadiri Sesi Perjumpaan Pegawai Perhubungan Awam (PPA) JAPEN Sarawak bertempat di ibu pejabat JAPEN Sarawak hari ini.
Perjumpaan tersebut adalah untuk mengeratkan hubungan di antara PPA dengan JAPEN Sarawak meskipun berada di luar jabatan selain berkongsi maklumat mengenai aktiviti agensi masing-masing.
Selain itu, turut diadakan adalah perkongsian mengenai penghasilan 'Creative Slide' daripada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Komunikasi Visual dan Senireka (BKVS), Muhammad Syazwan Abd Rahman antara pengisian ilmiah untuk menambah kemahiran PPA.
Sesi tersebut telah dihadiri seramai 21 orang PPA JAPEN Sarawak yang bertugas di pelbagai agensi di Sarawak, antaranya Hospital Umum Sarawak (HUS), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sarawak, Pusat Jantung Sarawak, Tabung Darah, Kolej-Kolej Komuniti, Politeknik Kuching Sarawak dan Politeknik Mukah, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak serta hospital-hospital bahagian.
Turut hadir dalam sesi perjumpaan itu ialah Timbalan Pengarah JAPEN Sarawak, Sri Kestury Mohammed Zamhari, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Koporat (BMKK), Dr.Nicholas Balawing Ibas, Ketua -Ketua Penolong Pengarah Bahagian JAPEN Sarawak, Ketua Cawangan Komunikasi Korporat BMKK, Izawati Eni dan para pegawai BMKK JAPEN Sarawak.-TAMAT-
Disediakan oleh: Izawati Eni (BMKK)
Foto oleh: Eddie Alan Blanking (BKVS)
𝗞𝗨𝗖𝗛𝗜𝗡𝗚, 𝟭𝟰 𝗔𝗽𝗿𝗶𝗹 - Sebanyak 80 projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) bernilai kira-kira RM3.47 bilion diserahkan kepada Kerajaan Sarawak dalam satu langkah strategik yang disifatkan sebagai pemangkin utama bagi mempercepat pelaksanaan projek demi kesejahteraan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Patinggi Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyerahan pelaksanaan projek tersebut kepada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak diyakini mampu meningkatkan kecekapan penyampaian bekalan air, khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, daripada keseluruhan 80 projek berkenaan, sebanyak 50 projek berada pada peringkat pra pelaksanaan, sembilan projek sedang dilaksanakan, 20 projek telah siap, manakala satu projek dibatalkan.
“Mulai hari ini, pelaksanaan projek-projek ini diserahkan kepada JBALB Sarawak bagi memastikan penyampaian lebih efisien, khususnya melibatkan peruntukan Persekutuan sejak Rancangan Malaysia Ke-11 dan Ke-12,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan Penyerahan Projek BALB kepada Negeri Sarawak yang diadakan di Pejabat Setiausaha Persekutuan, Bangunan Sultan Iskandar, di sini, hari ini.
Tambahnya, kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak komited mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.
Katanya, beberapa sesi perundingan telah diadakan melibatkan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU) bagi menangani kekangan pelaksanaan termasuk aspek peraturan.
“Kita mengambil pendekatan terbuka dan bersedia mempertimbangkan cadangan kerajaan Sarawak, khususnya melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi negeri dalam mencari kaedah pelaksanaan yang lebih cepat tanpa mengetepikan peraturan serta undang-undang sedia ada,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa Sarawak menetapkan sasaran mencapai liputan penuh bekalan air menjelang tahun 2030, dengan pelaksanaan oleh JBALB negeri kini telah mencapai sekitar 93 peratus.
“Pencapaian ini amat memberangsangkan dan menjadi asas keyakinan kerajaan Persekutuan untuk menyerahkan pelaksanaan projek ini kepada kerajaan negeri,” ujarnya.
Penyerahan rasmi projek tersebut dijadualkan berlangsung petang ini dalam pertemuan bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi.
Turut hadir Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Samarahan, Datuk Rubiah Wang serta pegawai kanan daripada kedua-dua pihak. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Mohamad Borhan Ahmad Ulis (BMKK).
Foto oleh: Lance Dunstan (BKVS).
KUCHING, 14 Apr – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Patinggi Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengakhiri lawatan kerja rasmi ke Sarawak, hari ini.
Beliau dan rombongan berlepas pulang ke ibu negara menaiki pesawat khas melalui Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching, di sini pada jam 4.50 petang tadi.
Ahmad Zahid yang juga merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tiba di Kuching semalam dan menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Penyerahan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) kepada Kerajaan Sarawak yang berlangsung di Pejabat Setiausaha Persekutuan, Bangunan Sultan Iskandar di sini.
Seterusnya, beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, pada jam 3.30 petang tadi.
Turut hadir mengiringi beliau di Pangkalan Udara TUDM Kuching ialah Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang dan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben.
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto: Cassidy Lisut (BKVS)