JABATAN PENERANGAN MALAYSIA SARAWAK
Sarawak kini berada dalam radar komuniti antarabangsa menerusi pendekatan ekonomi baharu
KUCHING, 31 Jan - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata semasa merasmikan Yayasan Sarawak International Secondary School (YSISS) di Dewan Serbaguna YSISS, Jalan Batu 12, Kuching-Serian di sini, Sarawak kini berada dalam radar komuniti antarabangsa menerusi pendekatan ekonomi baharu yang memerlukan pewaris masa depan berdaya saing bagi meneruskan legasi pembangunan negeri ke arah status maju.
Katanya, kerajaan negeri giat meneroka teknologi angkasa lepas melalui pelancaran satelit orbit bumi rendah (LEO) jenis CubeSat untuk pencerapan data geografi dan sumber alam bagi menangani isu perubahan iklim secara efektif.
“Kini teknologi semakin bagus untuk perancangan pembangunan menerusi cerapan imej daripada satelit,” jelasnya.
Tambahnya, penerapan silibus antarabangsa Cambridge IGCSE seiring kurikulum kebangsaan SPM di sekolah milik Yayasan Sarawak bertujuan melahirkan modal insan bertaraf dunia yang fasih berbahasa Inggeris sebagai bahasa ekonomi global bagi membuka peluang melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka.
"Objektif kita ialah melahirkan anak Sarawak yang berilmu kerana hanya ilmu boleh mengubah diri daripada kemiskinan dan jika sebuah keluarga miskin mempunyai seorang anak yang berjaya dalam bidang profesional, mereka akan keluar daripada belenggu kemiskinan itu," katanya.
Inisiatif pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi milik Sarawak bermula tahun 2026 merupakan jaminan kerajaan melahirkan masyarakat berilmu tanpa mengira latar belakang sosial demi memacu negeri ini menjadi bintang ASEAN.
Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Rolland Sagah Wee Inn, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I Datuk Dr. Annuar Rapaee, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak, Datuk Amar Micheal Manyin Jawong, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Mohamad Junaidi Mohidin, Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak International Education Services Noranne Adam Assim, Pengetua YSISS Jimali Sunang dan tetamu kehormat lain.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Bolhan Basah (BKVS)
Perpaduan Pelbagai Kaum Teras Keharmonian Sarawak – Fadillah
KUCHING, 31 Jan - Kepelbagaian kaum, agama dan latar belakang masyarakat di Sarawak terus menjadi kekuatan utama dalam memupuk perpaduan dan keharmonian di Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof semasa Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baru Cina kepada Warga Emas dan Orang Kurang Upaya Kawasan Matang di Dewan Serbaguna SUPP Sungai Tengah, Matang hari ini berkata masyarakat di Sarawak, khususnya di Petra Jaya, ibarat satu keluarga besar yang saling membantu dan menghormati antara satu sama lain tanpa mengira perbezaan bangsa dan kepercayaan.
“Inilah keunikan dan kekuatan Sarawak, kita adalah satu keluarga besar, hidup bersama dalam suasana harmoni, saling membantu dan menghormati antara satu sama lain dan sering dijadikan contoh di peringkat nasional sebagai negeri yang berjaya mengekalkan perpaduan kaum dan keharmonian sosial,” katanya.
Menurutnya, amalan meraikan setiap perayaan secara inklusif, sama ada sebelum atau selepas hari perayaan utama mencerminkan sikap saling memahami dan toleransi yang telah lama menjadi budaya masyarakat negeri ini.
Fadillah turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada barisan kepimpinan tempatan termasuk pemanca, penghulu, kapitan serta kepimpinan parti atas komitmen berterusan mereka memperjuangkan kebajikan rakyat.
Beliau turut menyentuh perkembangan prasarana di kawasan berkenaan, termasuk pembinaan dan penambahbaikan dewan komuniti yang dilaksanakan secara berperingkat, termasuk pembesaran bangunan, kemudahan tandas, pelebaran jalan serta pemasangan pendingin hawa yang dijangka bermula dalam masa terdekat.
“Kita faham segala masalah tidak dapat diselesaikan serentak, namun kita akan laksanakan secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan kerajaan,” jelasnya.
Beliau menegaskan kepentingan perbincangan berterusan antara pemimpin dan rakyat bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap isu pembangunan dan kemudahan asas di kawasan tersebut.
Menjelang sambutan perayaan Tahun Baru Cina tahun ini, Fadillah yang ditemani isteri, Datin Amar Ruziah Mohd Tahir turut menyampaikan sumbangan wang tunai ‘angpao’ dan buah limau kepada 130 penerima, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Di samping itu juga, beliau turut berkesempatan menziarahi kediaman beberapa orang penerima yang menghadapi kesulitan pergerakan untuk hadir ke majlis tersebut dan menyampaikan sumbangan keperluan harian termasuk lampin pakai buang.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzruddin Abdul Rahman mengulas perkembangan terkini Jalan Matang dan memaklumkan bahawa kerja-kerja pembaikan dan naik taraf jalan tersebut kini berada di peringkat akhir dan dijangka siap sepenuhnya dalam masa terdekat.
Tambahnya, cadangan pembinaan laluan alternatif sedang dikaji bersama kepimpinan negeri bagi mengurangkan kesesakan trafik bukan sahaja di Matang, malah di kawasan sekitarnya seperti Taman Malihah, Kampung Baru dan Kampung Sejijak dan dengan usaha ini diharap dapat memberi penyelesaian jangka panjang kepada masalah trafik dan meningkatkan kualiti hidup penduduk.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Dr. Zaiedi Suhaili, Pengerusi Cawangan SUPP Tupong, Jong Nyong Khoon, Pemanca Kawasan Luar Bandar, Tsai Khiun Khian, Penghulu Kawasan Matang dan Sungai Tengah, Bong Jin Swee dan Kapitan-kapitan. –PENERANGAN-
– TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Saiful Rahman Sabri (BKVS)
Wanita artisan pelihara warisan budaya dan membantu jana pendapatan keluarga
KUCHING, 31 Jan - Wanita artisan memainkan peranan besar dalam memelihara warisan budaya, menghasilkan produk tempatan, serta membantu menjana pendapatan keluarga dan komuniti.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri semasa merasmikan Women Artisan Leadership Program (WALP) 2026 di Dayak Chamber Of Commerce And Industry (DCCI), pagi tadi berkata, program itu merupakan satu inisiatif penting untuk memperkasa wanita artisan di negara ini.
“Namun dalam dunia hari ini, bakat sahaja tidak mencukupi dan wanita perlu ilmu perniagaan, akses pasaran, rangkaian dan kemahiran digital supaya mampu bersaing dengan lebih yakin," ujarnya.
Sebab itu katanya, WALP hadir sebagai platform untuk membimbing wanita untuk menjadi pengusaha dan juga pemimpin sertaagen perubahan dalam komuniti masing-masing," katanya lagi.
Menurut Nancy, apabila wanita diperkasa, keluarga menjadi lebih kukuh, ekonomi setempat berkembang dan masyarakat menjadi lebih sejahtera.
Tambahnya, pemerkasaan wanita adalah pelaburan untuk masa depan negara.
Katanya, di Sarawak khususnya, beliau melihat wanita yang sangat kuat, berdikari dan kreatif dan ramai yang datang dari luar bandar dan pedalaman, namun semangat mereka luar biasa.
Nancy turut menyeru kepada wanita Sarawak khasnya untuk merebut peluang yang diberi.
"Jangan tunggu dan jangan rasa ragu dan gunakan setiap latihan, jaringan dan sokongan yang diberi untuk mengubah kehidupan diri dan keluarga.
"Kerajaan dan pelbagai agensi akan terus membuka ruang dan menyediakan sokongan, tetapi kejayaan sebenar bergantung kepada keberanian wanita sendiri untuk melangkah ke hadapan," katanya beliau lagi.
WALP 2026 ini bertujuan membangunkan ciri-ciri kepimpinan wanita, membina keupayaan membuat keputusan serta mengubah cara pemikiran wanita yang sedia ada kepada ke arah globalisasi.
Program itu menyasarkan golongan umur 18 tahun sehingga 60 tahun merangkumi pengamal kraf tradisional, usahawan kraf, pelapis muda dan artisan wanita, pemimpin komuniti kraf dan pereka budaya dan kreatif.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Hanani Sapit, Ahli Majlis Wanita Sarawak Jabatan Pembangunan Wanita, Datu Dr. Rashidah Bolhassan, Pegawai Penyelidik di Majlis Adat Istiadat Sarawak dan pakar rujukan warisan, Datuk Dr. Ipoi Datan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi Majlis Kraf Sarawak (Sarawak Craft Council - SCC), Suriya Charles Boas serta kenamaan yang lain. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Cassidy Lisut (BKVS)
Sabri Said Tinjau Pengisian Reruai Pameran JAPEN
KUCHING, 30 Jan – Pengarah Penerangan Sarawak, Sabri Said telah meluangkan masa turun padang bagi meninjau reruai pameran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) sempena Borneo International Consumer Expo (BICE) 2026, hari ini.
Beliau turut mengambil kesempatan menyantuni para petugas di lokasi serta melawat reruai pameran agensi lain yang mengambil bahagian dalam ekspo di Metrocity Convention Centre tersebut.
Penyertaan JAPEN dalam ekspo ini dimanfaatkan sepenuhnya sebagai platform pemasaran maklumat termasuk mengedarkan bahan penerbitan dan risalah dasar kerajaan kepada para pengunjung.
Usaha penyampaian maklumat secara langsung turut dipergiat menerusi rakaman Influencer@JAPEN Edisi Khas yang mengupas topik 'Komitmen KPDN Menjamin Hak Pengguna Dalam Isu Kos Sara Hidup'.
Sesi perkongsian ilmu tersebut dikendalikan secara santai namun informatif oleh Pegawai Penerangan, Muhammad Izzat Muzaqeer Zamri selaku hos bersama tetamu jemputan, Pegawai Penguatkuasa KPDN, Nuckley Ajik.
Selain pameran agensi, pengisian program sepanjang ekspo ini turut dimeriahkan dengan penganjuran Pertandingan Bakat yang mengetengahkan potensi para penggiat seni tari dan kreatif tempatan.
Program berskala besar ini sedang berlangsung dengan jayanya bermula 29 Januari lalu dan dijadualkan melabuhkan tirainya pada 1 Februari ini.
Kewibawaan ekspo ini turut terserlah menerusi penglibatan antarabangsa yang melibatkan penyertaan delegasi perniagaan serta pameran dari negara jiran iaitu Brunei Darussalam dan Indonesia.
Secara keseluruhannya, lebih 50 entiti yang merangkumi agensi kerajaan, badan korporat serta penggiat industri seperti Bank Negara Malaysia, TVS, Suara Sarawak dan Smart Travel Air telah membuka reruai masing-masing.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Joshua Amir Sibat (BMKK)
Jurufoto : Mohd Rizal (BKVS)
TYT terima kunjungan hormat MDPM
KUCHING, 29 Jan – Tuan Yang Terutama (TYT), Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat daripada delegasi Majlis Datuk-Datuk Persekutuan Malaysia (MDPM) di kediaman rasmi beliau, hari ini.
Delegasi tersebut diketuai oleh Presiden MDPM, Datuk Tee Guan Pian dan turut disertai oleh barisan kepimpinan tertinggi majlis berkenaan.
Antara yang hadir ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim, Setiausaha Agung, Datuk Dr. Ahmed Tasir Lope Pihie, Naib Presiden I, Datuk Wira Rosli Mat Hassan dan Naib Presiden II, Datuk Abdul Razak Dawood.
Kunjungan hormat tersebut bertujuan untuk memperkenalkan barisan kepimpinan MDPM serta mendapatkan nasihat dan pandangan daripada TYT bagi memperkukuh hubungan silaturahim antara majlis tersebut dengan institusi tertinggi negeri.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak turut berbincang mengenai peranan ahli-ahli yang menyandang gelaran Persekutuan dalam aspek perpaduan, sumbangan sosial dan kebajikan bagi menyumbang kepada pembangunan masyarakat di Sarawak selaras dengan agenda nasional.
Tun Dr. Wan Junaidi dalam perbincangan itu berkongsi pandangan bahawa perpaduan kaum di Sarawak merupakan satu contoh terbaik, di mana rakyat pelbagai kaum hidup dalam keadaan harmoni dan akrab.
Turut hadir dalam delegasi tersebut ialah Ahli EXCO, Datuk Mohd Nawawi Awang, Datuk Gnanasambatham Doraisamy, Datuk Jacky Chai Chaun dan Datuk Adrian Wei Hua Ung.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Jurufoto: Bolhan Basah (BKVS)
Wanita Tunjang Keluarga, Tonggak Pembangunan Sarawak - Abang Johari
KUCHING, 28 Jan - Kemajuan dan kemakmuran Sarawak tidak akan dapat dicapai tanpa penglibatan aktif wanita sebagai rakan kongsi pembangunan, selari dengan peranan mereka sebagai tunjang keluarga dan masyarakat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semasa majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Zon Borneo di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini menekankan potensi besar wanita Borneo dalam sektor ekonomi kreatif, digital, kraf, makanan tempatan dan pelancongan komuniti, yang mampu menembusi pasaran nasional dan antarabangsa melalui penggunaan teknologi dan e-dagang.
"Wanita luar bandar dan pribumi memainkan peranan penting sebagai penggerak ekonomi keluarga serta penjaga warisan budaya dan kestabilan sosial komuniti, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
"Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030 menjadi kerangka penting dalam usaha memperkasa wanita secara holistik, merangkumi pemerkasaan ekonomi, pembangunan kepimpinan, perlindungan sosial dan kesejahteraan wanita, selaras dengan aspirasi pembangunan inklusif Sarawak,” jelas Abang Johari.
Beliau yang hadir bersama anaknya, Dayang Norjihan turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta semua pihak yang menjayakan sambutan berkenaan yang disifatkan bukan sekadar acara simbolik, tetapi wadah nasional bagi mengiktiraf sumbangan wanita dalam pelbagai sektor.
Bertepatan dengan tema sambutan tahun ini, 'Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara', membawa mesej jelas bahawa kekuatan negara bermula daripada wanita yang berdaya saing, berilmu dan sejahtera.
Justeru itu, beliau turut menyeru agar penglibatan wanita dalam kepimpinan dan pembuatan dasar terus diperkasa, termasuk melalui penguasaan teknologi, data dan inovasi digital.
Terdahulu, Menteri KPWKM, Dato’ Sri Nancy Shukri dalam ucapan memberi jaminan kementeriannya akan terus komited memastikan pemerkasaan wanita Sarawak dapat dirasai dalam kehidupan seharian menerusi pendekatan turun padang yang memberi tumpuan kepada keperluan sebenar komuniti, khususnya golongan wanita di bandar dan luar bandar.
“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memastikan tiada wanita tercicir, termasuk Program Wanita Dinamik yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan ekonomi.
“Dalam usaha melahirkan pemimpin wanita, selain program Wanita Dinamik, program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) turut diperkenalkan dengan pemilihan 100 wanita di seluruh negara, termasuk 11 peserta dari Sarawak yang menerima geran RM50,000 setiap seorang bagi melatih wanita lain dalam bidang kepimpinan, kreatif dan keusahawanan,” jelas Nancy.
Tambahnya, wanita telah melangkah jauh, melengkapkan setiap usaha pembangunan yang dilaksanakan, maka sebab itulah Hari Wanita Antarabangsa disambut, untuk menghargai pencapaian wanita hari ini, sambil memperkukuh usaha membuka lebih banyak ruang dan peluang pada masa hadapan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Premier, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah dan Timbalan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.–PENERANGAN-
– TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Cassidy Lisut (BKVS)
CubeSat to enhance environmental monitoring, disaster preparedness, and land management across the state
KUCHING, Jan 27 — Sarawak is set to leverage CubeSat technology to enhance environmental monitoring, disaster preparedness, and land management across the state.
Sarawak Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, described CubeSats as a cost-effective and practical solution for monitoring Sarawak’s unique geography, including its forests, rivers, mangroves, and long coastline.
He said, these satellites operate in Low Earth Orbit, completing an orbit every 120 minutes.
"They function in constellations, communicating with one another and transmitting data back to earth,” he said in a media interview following the Asia Pacific Aerospace Conference and Exhibition (APACE) 2026 Launching Ceremony at Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), here today.
Abang Johari explained that the technology would be applied to support environmental conservation, forest management, soil monitoring, and flood control planning.
“CubeSats can identify land characteristics such as mangroves and water flow, and from this data, we can plan detention ponds to collect excess rainwater during the monsoon season,” he said.
During the interview, Abang Jo also highlighted the affordability of CubeSats compared with conventional satellites.
“Conventional satellites cost between £100 million and £300 million, whereas CubeSats cost below £1 million.
"This makes them accessible for practical, mission-driven use in Sarawak,” he said.
Other than that, the Premier said, human capital development is a central component of the plan.
"We need to understand the engineering aspects to train our people, and as mentioned earlier, we need about 30,000 satellite technicians.
“This means the employability is there, but we need the expertise, and that is why i-CATS is collaborating with Tsinghua University and Istanbul University," he said.
He also confirmed that the Borneo Astronomy Centre, located near Santubong, will collaborate with i-CATS for shared research and training facilities, helping to make space technology accessible to local talent.
Regarding operational challenges, he noted CubeSats have a lifespan of four to five years and must be replaced regularly to maintain continuous coverage.
“Every few years, we will need to launch new satellites to ensure ongoing monitoring and reliability,” he said.
By adopting CubeSats, Sarawak aims to turn satellite data into actionable intelligence for farmers, foresters, and disaster response teams, marking a significant step towards integrating space technology into practical state planning and environmental management.- PENERANGAN.
-END-
By: Norhayati Sarkawi (BMKK)
Photos: Cassidy Lisut Tubong (BKVS)
U.S. Ambassador Pays Farewell Call on Sarawak Premier
KUCHING, Jan 26 – United States Ambassador to Malaysia, Edward Kagan, concluded his diplomatic mission with a final courtesy call on Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, ahead of his official departure on February 15.
Reflecting on his five years in Malaysia, including service as Deputy Chief of Mission, the Ambassador highlighted the strong ties built with Sarawak’s leadership, from the late Pehin Sri Adenan Satem to the current Premier.
During the meeting, the envoy expressed deep admiration for the Premier’s leadership style, describing him as a direct and candid partner with an impressive command of details, particularly regarding his ambitious vision for renewable energy and Sarawak’s strategic fit within the broader region.
Addressing the state's push for a digital and green economy, the Ambassador highlighted the distinct value proposition of American corporations, noting that while the U.S. government does not mandate private sector decisions, American firms are reliable partners that bring functional facilities, skills transfer and meaningful corporate social responsibility initiatives.
He voiced strong optimism for future economic collaborations, revealing that there has been a significant surge in awareness among U.S. companies regarding Sarawak's potential, predicting that major investment announcements are likely on the horizon as a result of the state's stable and ambitious policy environment.
Beyond official duties, the Ambassador shared his personal fondness for the Land of the Hornbills, recounting memorable family trips to Mulu, Miri, and Mount Santubong and pledged to return as a private citizen to enjoy the state’s beauty and hospitality without the constraints of diplomatic work.
As he prepares to depart, the Ambassador affirmed his confidence in the ‘Sarawak story’, citing the state’s continued stability and the Premier's clear foresight as key drivers that will ensure the region remains a compelling destination for long-term global partnership.-END-
By: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Photographer: Cassidy Lisut (BKVS)
TYT Terima kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Tinggi Republik Islam Pakistan ke Malaysia
KUCHING, 26 Jan - Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menerima kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Tinggi Republik Islam Pakistan ke Malaysia, Syed Ahsan Raza Shah.
Ia merupakan kunjungan hormat pertama delegasi Syed Ahsan Raza Shah kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Pertemuan dua mata ini membolehkan H.E Syed Ahsan Raza Shah dan Tun Pehin Sri berbincang mengenai hubungan dua hala dalam sektor strategik seperti tenaga boleh diperbaharui, perdagangan produk halal dan eksport minyak kelapa sawit di Sarawak.
Selain itu, turut dibincangkan adalah berkaitan potensi besar dan langkah proaktif Sarawak dalam meneroka pasaran global dan kerjasama baharu seperti dalam sektor ekonomi, pelancongan dan budaya. -TAMAT-
Disediakan oleh: Juliana Abdullah (BMKK)
Foto: Lance Dunstan (BKVS)
Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Adakan Kunjungan Perpisahan kepada TYT
KUCHING, 26 Jan - Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan telah mengadakan kunjungan perpisahan kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, hari ini.
Kunjungan perpisahan ini adalah kunjungan terakhir Edgard kepada TYT Sarawak sebelum menamatkan tempoh perkhidmatan beliau pada 16 Februari 2026.
Edgard menzahirkan rasa kagum dengan kestabilan politik dan pembangunan menyeluruh di Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Pertemuan ini turut memberi ruang kepada Edgard berbincang mengenai pelbagai inisiatif strategik yang melibatkan kepentingan bersama seperti Ekonomi Hijau dan Tenaga Boleh Diperbaharui di Sarawak.
Sebelum bersara, Edgard pernah bekhidmat sebagai Timbalan Ketua Perwakilan sebelum memulakan tugas sebagai Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia pada Disember 2023.
Terdahulu, Edgard juga telah mengadakan kunjungan perpisahan kepada Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi.
Hadir sama ialah Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri Malaysia, Dato Fenny Nuli dan Jurucakap Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, James Dewey.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Juliana Abdullah (BMKK)
Foto: Lance Dunstan (BKVS)
KUCHING, 26 Jan — Sarawak memainkan peranan strategik dalam menyokong agenda pertumbuhan nasional Malaysia, khususnya dalam sektor tenaga bersih, ekonomi hijau dan pembangunan modal insan bertaraf global.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof semasa sesi perbincangan eksklusif, ‘Boundless Horizons: A Sarawak Fireside Chat on Aspiration and Impact’ anjuran The Oxbridge Community of Sarawak, yang menghimpunkan pelajar dan alumni University of Oxford dan Cambridge di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam berkata pembangunan Sarawak selari dengan dasar dan hala tuju nasional termasuk Pelan Peralihan Tenaga Negara kerana memiliki kelebihan dari segi sumber tenaga boleh diperbaharui seperti hidroelektrik, solar dan hidrogen, sekali gus berpotensi menjadi ‘bateri tenaga’ bukan sahaja kepada Malaysia malah kepada rantau ini.
“Ketika ini lebih 60 peratus tenaga elektrik Sarawak datang daripada sumber boleh diperbaharui dan kita sudah mengeksport tenaga ke Kalimantan Barat, Sabah dan pada masa hadapan ke Semenanjung Malaysia serta Singapura melalui kabel dasar laut,” jelas Fadillah.
Beliau turut menyentuh usaha Sarawak mempelbagaikan sumber tenaga hijau termasuk pembangunan tenaga solar berskala besar serta penyelidikan hidrogen sebagai sumber tenaga masa depan yang kompetitif dari segi kos dan kelestarian alam sekitar.
Mengulas mengenai pembangunan modal insan, Fadillah menekankan bahawa kualiti sumber manusia merupakan teras utama daya saing Sarawak dan negara.
Menyedari jumlah penduduk Sarawak yang kecil, pendekatan berfokuskan kualiti bakat menjadi keutamaan kerajaan negeri.
“Pendidikan perlu bermula dari peringkat awal dan kita sedang membangunkan ekosistem pendidikan sendiri dengan kerjasama institusi antarabangsa seperti Cambridge dan universiti terkemuka lain bagi menyediakan laluan kepada pelajar Sarawak ke universiti bertaraf dunia,” katanya.
Beliau turut menyokong usaha membina program bimbingan dan mentor, khususnya dengan penglibatan komuniti alumni Oxbridge, bagi meningkatkan kesedaran dan keyakinan pelajar luar bandar bahawa mereka juga berpotensi melanjutkan pengajian ke universiti elit dunia.
Dalam isu penghijrahan bakat atau ‘brain drain’, Fadillah berpandangan pendekatan lebih realistik perlu diambil.
Menurut beliau, kerajaan tidak harus melihat rakyat Sarawak yang menetap di luar negara sebagai kerugian, sebaliknya memanfaatkan kepakaran mereka melalui kerjasama penyelidikan, industri dan pemindahan ilmu.
“Tidak semua perlu pulang secara fizikal, yang penting ialah sumbangan kepakaran dan semangat untuk membangunkan Sarawak dan Malaysia, walau di mana mereka berada,” katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak serta pelbagai inisiatif lain menyediakan bantuan kewangan, biasiswa dan sokongan berterusan kepada pelajar berprestasi tinggi, termasuk kemungkinan pengecualian ikatan atau pinjaman bagi pencapaian akademik cemerlang dan sumbangan strategik kepada negeri.
Fadillah turut mengajak komuniti Oxbridge Sarawak untuk memainkan peranan lebih aktif sebagai mentor, pemudah cara dan pencetus inspirasi kepada generasi muda, sekali gus membantu membentuk kepimpinan masa depan Sarawak dalam pelbagai sektor.
Penganjuran program perbincangan eksklusif secara santai ini mencerminkan komitmen Komuniti Oxbridge Sarawak dalam memperkukuh jaringan intelektual serta menyemai wacana bermakna antara pemimpin dan masyarakat berpendidikan tinggi dalam merealisasikan aspirasi negeri sebagai hab tenaga hijau, ekonomi mampan dan pusat kecemerlangan modal insan di peringkat global.
Turut hadir semasa majlis ialah Datin Amar Ruziah Mohd Tahir dan alumni University of Oxford dan Cambridge University. -PENERANGAN-
- TAMAT -
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Jurufoto: Bolhan Basah (BKVS)
KOTA KINABALU, 24 Jan– Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan bahawa Projek Sambungan Grid Kuasa Sarawak–Sabah merupakan pencetus penting ke arah merealisasikan Grid Kuasa Borneo (BPG) dan seterusnya menyokong aspirasi pembentukan Grid Kuasa ASEAN (APG) yang lebih bersepadu, mampan dan berdaya tahan.
Ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian 'Energisation of the Sarawak–Sabah Power Grid Interconnection Project' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pagi tadi, beliau berkata projek tersebut bukan sekadar usaha dua hala, sebaliknya langkah strategik untuk memulakan kerjasama tenaga berskala serantau.
“Projek ini adalah sangat penting kerana ia menjadi titik mula kepada Grid Kuasa Borneo dan seterusnya Grid Kuasa ASEAN dan kita telah memulakannya dan saya sendiri telah menyuarakan pandangan ini semasa Sidang Kemuncak Tenaga di Putrajaya,” katanya.
Menurut beliau, ketika ini ASEAN masih belum mempunyai rangka kerja kerjasama tenaga yang menyeluruh melibatkan kesemua 11 negara anggota, khususnya dari segi aspek perundangan dan pertimbangan kepentingan nasional setiap negara.
“ASEAN tidak perlu mencipta semula model baharu dan kita boleh mencontohi model Kesatuan Eropah (EU) dalam sambungan kuasa, yang bukan sahaja melibatkan negara anggota EU, malah negara Nordic yang membekalkan tenaga melalui kabel dasar laut.
"Model kerjasama seperti ini boleh dijadikan rujukan oleh ASEAN,” jelasnya.
Abang Johari berkata, sambungan grid Sarawak–Sabah yang telah beroperasi kini berperanan sebagai pemangkin kepada kerjasama lebih luas di Borneo, termasuk sambungan sedia ada dengan Kalimantan serta perancangan bekalan tenaga ke Brunei dan selatan Filipina.
“Ini bermakna kita sedang membina teras kepada ‘Borneo Green’ dan dalam masa yang sama menyumbang kepada jaringan kuasa serantau, termasuk hubungan tenaga dari Laos melalui Thailand hingga ke Singapura.
"Kita telah memulakan langkah ini, walaupun buat masa ini ia masih bersifat dua hala, bukan pelbagai hala,” katanya.
Beliau menegaskan keperluan untuk membangunkan rangka kerja pelbagai hala yang melibatkan semua negara ASEAN bagi memastikan kesinambungan, kestabilan dan tadbir urus yang jelas dalam perkongsian tenaga rentas sempadan.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menekankan kelebihan sumber tenaga Sarawak yang berasaskan tenaga boleh diperbaharui dan rendah karbon sebagai asas kepada masa depan tenaga Borneo.
“Kita sangat bertuah kerana mempunyai sumber tenaga hidro yang besar serta penjanaan rendah karbon berasaskan gas.
"Kini kita sedang membangunkan projek penjanaan di Miri dengan kapasiti 500 megawatt (MW) untuk dua unit, menjadikan keseluruhannya 1,000 MW," katanya.
Tambahnya, menjelang 2031, kapasiti terpasang Sarawak diunjurkan mencecah 10,000 MW atau 10 gigawatt (GW).
Menurut beliau, kapasiti tersebut bukan sahaja mampu memenuhi keperluan domestik, malah berpotensi menjadi asas kepada pembekalan tenaga serantau yang mampan, menyokong pembangunan ekonomi hijau dan memperkukuh kedudukan Borneo sebagai hab tenaga bersih di rantau ini. - PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Mohamad Borhan Ahmad Ulis (BMKK).
Foto oleh: Cassidy Lisut (BKVS)
KUCHING, 24 Jan – Program Hak Kitak Edisi Sekolah anjuran Yayasan Tan Sri Profesor Ahmad Ibrahim (YTSPAI) merupakan satu inisiatif bagi memberi kesedaran kepada pelajar dan masyarakat tentang kepentingan memahami hak masing-masing di bawah perundangan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Fadillah Yusof ketika berucap merasmikan Program Hak Kitak Edisi Sekolah yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman (STAR), Petra Jaya, pagi tadi berkata, program yang julung kali diadakan di Sarawak itu bertujuan memberi pendedahan dan kesedaran mengenai hak-hak di bawah perundangan kepada para pelajar serta masyarakat umum.
“Melalui program ini, kita membekalkan mereka dengan ilmu bagaimana untuk menghadapi tekanan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa selain memberi kesedaran, program itu juga mengajar pelajar cara menyalurkan aduan sekiranya mereka terdedah kepada isu seperti buli dan ancaman lain.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berharap agar program seumpama ini dapat dikembangkan ke seluruh Sarawak memandangkan cabaran masa kini semakin kompleks, terutamanya dengan perkembangan teknologi yang pesat yang turut menyumbang kepada peningkatan kes buli siber dan tekanan sosial.
“Sehubungan itu, kita perlu membekalkan generasi muda dengan ilmu dan kemahiran untuk berhadapan dengan situasi seperti buli dan tekanan,” tambah beliau.
Menurutnya lagi, dengan adanya pengetahuan dan kemahiran tersebut, pelajar akan mengetahui saluran yang betul untuk membuat aduan, cara mengurus tekanan serta memahami kaedah menuntut hak mereka di bawah perundangan.
Turut hadir ialah Pengerusi Yayasan Tan Sri Profesor Ahmad Ibrahim (YTSPAI), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YTSPAI, Datuk Edwin Michael, Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak Omar Mahli,Pengetua SMK Tunku Abdul Rahman (STAR), Faridah Abang Wahab serta tetamu kenamaan yang lain.-PENERANGAN-
— TAMAT —
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Lance Dunstan (BKVS)
KOTA KINABALU, 24 Jan – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan projek Interconnection Sarawak–Sabah Power Grid bukan sekadar inisiatif teknikal, sebaliknya langkah strategik ke arah pembentukan Grid Kuasa Borneo (BPG) serta menyokong aspirasi Grid Kuasa ASEAN (APG) bagi mewujudkan rangkaian tenaga serantau yang lebih bersepadu, mampan dan berdaya tahan.
Berucap pada Majlis Perasmian 'Energisation of the Sarawak–Sabah Power Grid Interconnection Project' bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pagi tadi, beliau berkata kerjasama tenaga itu mencerminkan pelaburan jangka panjang yang memperkukuh keselamatan tenaga, meningkatkan keyakinan pelabur serta menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial di Borneo dan rantau ASEAN.
“Sambungan grid ini membuktikan bagaimana sumber tenaga boleh diperbaharui dapat menyokong peralihan tenaga secara praktikal dan nyata.
"Dengan sistem yang lebih bersambung, tenaga elektrik boleh mengalir dengan lebih cekap merentasi sempadan negeri, mengoptimumkan penggunaan sumber serta memastikan bekalan tersedia apabila dan di mana ia paling diperlukan,” katanya.
Abang Johari berkata, kebolehpercayaan bekalan elektrik merupakan tulang belakang pembangunan ekonomi dan kehidupan seharian, selain menjadi asas kepada keyakinan industri untuk terus melabur.
Menyentuh kekuatan Sarawak dalam tenaga boleh diperbaharui, beliau memaklumkan kapasiti hidroelektrik berskala besar menjadi tunjang kepada sistem elektrik rendah karbon negeri itu.
“Dengan kapasiti sedia ada dan perancangan projek baharu, kita menyasarkan Sarawak sebagai hab tenaga boleh diperbaharui serantau dan ‘Bateri ASEAN’, yang menyumbang kepada keselamatan tenaga dan peralihan tenaga hijau di peringkat rantau,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Sarawak meneroka pembangunan hidroelektrik berperingkat dan pemasangan solar terapung di empangan sedia ada bagi meningkatkan kapasiti penjanaan kepada sekitar 10 gigawatt menjelang 2030 dan 15 gigawatt menjelang 2035.
Pengalaman kerjasama rentas sempadan sejak 2016 melalui eksport elektrik ke Kalimantan Barat, Indonesia, katanya, membuktikan manfaat peningkatan kebolehpercayaan sistem, penggunaan sumber lebih cekap serta pengurangan kebergantungan kepada penjanaan berasaskan karbon.
Dalam konteks serantau, Sarawak bersedia memperluas peranan melalui perancangan sambungan kuasa ke Singapura dan kajian kebolehlaksanaan ke Semenanjung Malaysia bagi melengkapkan pembentukan BPG serta meningkatkan integrasi tenaga boleh diperbaharui di ASEAN.
Sementara itu, Hajiji merakamkan penghargaan kepada Sabah Electricity Sdn Bhd, Sarawak Energy Berhad serta Kerajaan Negeri dan Persekutuan atas kejayaan projek penyambungan grid yang disifatkan sebagai pencapaian besar dalam memperkukuh kestabilan dan kebolehpercayaan bekalan elektrik di Sabah.
Beliau berkata, projek itu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil secara berperingkat, meningkatkan margin rizab sistem serta menyokong agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dengan meletakkan infrastruktur tenaga sebagai teras pertumbuhan ekonomi.
Beliau menambah, Kerajaan Negeri Sabah komited memastikan bekalan elektrik yang stabil dan mampan melalui strategi menyeluruh jangka pendek, sederhana dan panjang, termasuk pembangunan projek penjanaan baharu dengan campuran tenaga yang pelbagai merangkumi gas sebagai sumber peralihan serta pengembangan tenaga boleh diperbaharui seperti hidro, solar, angin dan sistem storan tenaga.
Hajiji turut menekankan peranan strategik Sabah sebagai pintu masuk ke BPG dan APG, membuka potensi perdagangan tenaga rentas sempadan dengan wilayah seperti Kalimantan, Brunei Darussalam dan selatan Filipina, selaras dengan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 bagi menjamin masa depan tenaga yang lebih hijau dan mampan.
Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya; Timbalan Ketua Menteri Sabah II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab; Timbalan Menteri Utiliti hal ehwal Sarawak Energy dan PETROS, merangkap Pengerusi SEB, Datuk Ibrahim Baki; Pengerusi Sabah Electricity Sdn. Bhd., Saadiah Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif SEB, Datuk Sharbini Suhaili; serta Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn. Bhd., Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Mohamad Borhan Ahmad Ulis (BMKK)
Foto oleh: Cassidy Lisut (BKVS)
KUCHING, 24 Jan - Usahawan kini bukan lagi pemain sampingan tetapi merupakan kuasa strategik yang membentuk masa depan negara, ujar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof.
Berucap pada Shell LiveWire Malaysia 2025 National Awards Ceremony yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini, beliau berkata, usahawan masa kini bukan sekadar pencetus idea, malah berperanan sebagai penyelesai masalah, pencipta pekerjaan dan pembina negara.
Tegasnya, keusahawanan bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara, khususnya dalam era global yang semakin mencabar.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kejayaan membina ekosistem keusahawanan yang kukuh bergantung kepada kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan para usahawan yang berani mengambil risiko.
Dalam pada itu, Fadillah turut memuji komitmen Shell Malaysia melalui program Shell LiveWire yang telah memperkasa usahawan di lebih 20 negara, termasuk memberi impak besar kepada pembangunan keusahawanan di Malaysia.
“Kerjasama antara Shell Malaysia dan TEGAS yang kini memasuki tahun kelapan merupakan contoh terbaik bagaimana kepimpinan korporat dan inisiatif kerajaan negeri dapat disatukan untuk membina masa depan yang lebih inklusif dan berdaya tahan,” katanya.
Menurutnya, inisiatif yang digerakkan oleh Kerajaan Sarawak menerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) bukan sahaja menyediakan infrastruktur dan program sokongan, malah menyemai keyakinan bahawa inovasi boleh lahir dari mana-mana, termasuk daripada golongan belia.
“Apabila golongan muda diberikan kepercayaan, alat dan peluang, mereka bukan sekadar memenuhi jangkaan tetapi juga mengubah keadaan,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan inovasi sebagai nadi utama kepada kebolehan perniagaan untuk berkembang, mencipta peluang pekerjaan dan menyumbang secara bermakna kepada transformasi nasional, merangkumi sektor seperti fintech, agritech, tenaga bersih dan ekonomi digital.
Dalam ucapannya, Fadillah juga menyeru usahawan agar berkongsi kisah perjalanan mereka bagi menginspirasi lebih ramai pihak serta menarik minat pelabur.
“Kejayaan sebenar bukan diukur sejauh mana kita naik, tetapi berapa ramai yang kita angkat bersama,” katanya.
Program Shell LiveWire Malaysia 2025 melabuhkan tirainya di Kuching dengan lima perusahaan diumumkan sebagai pemenang peringkat kebangsaan, dipilih daripada 15 finalis yang mewakili Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Lima pemenang peringkat kebangsaan tersebut ialah Earthlings Coffee Workshop Sdn Bhd, Lariss Quna Enterprise dan Lettuboost Enterprise dari Sarawak, Rebooz Technology Sdn Bhd dari Semenanjung Malaysia, serta WAIG Consultancy Sdn Bhd dari Sabah.
Para pemenang dipilih daripada seramai 180 usahawan di seluruh negara berdasarkan kekuatan model perniagaan, keupayaan pasukan dan daya tarikan pasaran.
Setiap pemenang menerima dana permulaan berjumlah RM30,000 serta akses kepada rangkaian global Shell LiveWire.
Selain itu, pemenang dari Sarawak turut menerima sokongan kewangan tambahan sebanyak RM20,000 daripada TEGAS.-PENERANGAN.-
-TAMAT-
Oleh: Norhayati Sarkawi (BMKK)
Foto: Mohamad Rizal Matasan (BKVS)
LAWAS, 23 Jan – Projek Kota 2 Mini Hidroelektrik terus memperkukuhkan komitmen Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam mengurangkan kebergantungan kepada penjanaan diesel setempat serta menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon di kawasan utara Sarawak, kata Pengurus Besar Bahagian Gas SEB, Cheling Sapong.
Beliau berkata sebelum sambungan penuh ke grid utama, penggunaan bahan api diesel di kawasan tersebut mencecah sekitar 100,000 liter sehari, namun jumlah itu kini dapat dikurangkan kepada kira-kira 50,000 liter hasil kemasukan bekalan tenaga daripada grid dan penjanaan tenaga bersih melalui loji mini hidro berkenaan.
“Pada suku kedua tahun ini, sekitar enam megawatt (MW) tenaga dimasukkan ke dalam sistem melalui sambungan grid.
"Dengan penjanaan tambahan daripada Kota 2 Mini Hidro, kita dapat mengurangkan pelepasan karbon secara signifikan,” katanya kepada media selepas lawatan ke loji berkenaan hari ini.
Menurut beliau, secara purata, setiap satu megawatt tenaga konvensional boleh menghasilkan antara satu hingga 1.5 tan karbon dioksida sehari.
Oleh itu, dengan penjanaan 10.5 megawatt tenaga bersih, dianggarkan kira-kira tujuh hingga sembilan tan pelepasan karbon dapat dikurangkan setiap hari.
Cheling berkata, sebelum ini kawasan tersebut bergantung sepenuhnya kepada penjanaan diesel, namun dengan komitmen kepada grid utama, operasi penjana diesel kini diminimumkan dan hanya digunakan sebagai pelan sokongan kecemasan.
“Selebihnya, sekitar tujuh hingga lapan megawatt lagi disumbangkan oleh loji mini hidro, menjadikan bekalan tenaga lebih stabil, bersih dan mampan,” jelasnya.
Sementara itu, Naib Presiden (Hidro) SEB, Jonny Wong berkata, projek Kota 2 merupakan sebahagian daripada pendekatan ‘Cascading power source’ atau sumber kuasa berperingkat, iaitu penggunaan semula aliran air daripada satu loji ke loji seterusnya bagi memaksimumkan penjanaan tenaga.
“Walaupun loji ini berbeza, ia disambungkan secara berperingkat. Air yang digunakan di hulu akan dimanfaatkan semula di loji berikutnya, sekali gus meningkatkan kecekapan tenaga tanpa menjejaskan alam sekitar,” ujarnya.
Beliau berkata, pendekatan tersebut memberi impak minimum kepada ekosistem kerana projek ini menggunakan konsep ‘Run-of-river’ tanpa pembinaan empangan besar.
“Dari segi operasi jangka panjang, kosnya adalah lebih rendah berbanding penjanaan berasaskan bahan api fosil, kerana sumber air adalah percuma dan tidak memerlukan kos bahan api,” katanya.
Jonny berkata, inisiatif itu selari dengan komitmen Kerajaan Sarawak untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 60 peratus tenaga boleh baharu dalam campuran tenaga negeri, selain merancang untuk membangunkan lebih banyak projek sumber kuasa berperingkat menjelang 2035.
“Pendekatan ini adalah sebahagian daripada agenda tenaga boleh baharu Sarawak bagi memastikan bekalan tenaga yang mampan, mesra alam dan berdaya saing untuk jangka panjang,” katanya. -PENERANGAN-
- TAMAT -
Disediakan oleh: Mohamad Borhan Ahmad Ulis (BMKK)
Foto oleh: Cassidy Lisut (BKVS)
LAWAS, 23 Jan – Peranan strategik Substesen Bandar Lawas 275/33 kilovolt (kV) sebagai pintu masuk utama sambungan rangkaian kuasa antara Sarawak dan Sabah terus memperkukuh kebolehpercayaan bekalan elektrik di bahagian utara negeri.
Naib Presiden Sarawak Energy Berhad (SEB), Raphael Chung berkata, pembangunan infrastruktur transmisi yang kukuh dan berdaya tahan merupakan teras kepada visi tenaga Sarawak dalam merealisasikan pertumbuhan mampan serta kemakmuran jangka panjang.
“Tanpa rangkaian transmisi yang mantap, tenaga yang dijana tidak dapat diagihkan secara berkesan kepada pengguna.
"Oleh itu, Sarawak Energy sentiasa memberi keutamaan kepada pelaburan strategik bagi memperkukuh sistem grid negeri,” katanya kepada media selepas sesi taklimat di tapak pencawang, semalam.
Beliau berkata, SEB telah membangunkan rangkaian grid 500 kV sebagai tulang belakang sistem penghantaran elektrik Sarawak, yang disokong oleh jaringan 275 kV bagi menghubungkan pusat penjanaan dengan kawasan beban utama di seluruh negeri.
Menurutnya, Substesen Bandar Lawas berjaya diaktifkan dan disambungkan ke grid utama Sarawak pada 21 November 2025 susulan siapnya talian transmisi 275 kV dari Bunut–Medamit–Lawas, yang melibatkan pembinaan sejauh 326 kilometer dengan 881 menara penghantaran.
Raphael berkata, kemasukan Lawas ke dalam grid utama membolehkan pengurangan secara berperingkat kebergantungan terhadap penjanaan diesel setempat, sekali gus menjimatkan kos operasi tahunan serta mengurangkan pelepasan karbon, di samping meningkatkan kestabilan dan kebolehpercayaan bekalan elektrik kepada penduduk.
Beliau turut memaklumkan bahawa sambungan rangkaian kuasa Sarawak–Sabah melalui talian Lawas–Mengalong telah berjaya diaktifkan pada 13 Disember 2025, sekali gus membolehkan pemindahan kuasa rentas sempadan antara 30 hingga 50 megawatt (MW).
Katanya, inisiatif tersebut merupakan langkah penting ke arah merealisasikan Grid Kuasa Borneo (BPG) serta menyokong aspirasi Grid Kuasa ASEAN (APG) dalam memperkukuh kerjasama tenaga di peringkat serantau.
Tambah beliau, projek ‘Northern Grid Extension’ turut menyokong agenda pembekalan tenaga elektrik luar bandar dengan membolehkan lebih banyak komuniti di kawasan pedalaman menikmati bekalan elektrik yang lebih stabil, selamat dan berterusan.
Seramai 13 peserta daripada pelbagai agensi media dan jabatan kerajaan menyertai ‘program Familiarisation Trip to Lawas 275/33kV Substation’ anjuran Sarawak Energy Berhad (SEB) yang bertujuan memberi pendedahan serta perkongsian maklumat mengenai hala tuju pembekalan tenaga elektrik di kawasan utara Sarawak.
Para peserta akan meneruskan lawatan ke Loji Mini Hidro Kota 2 sebelum bertolak ke Kota Kinabalu, Sabah bagi menghadiri Majlis Perasmian Sarawak-Sabah Interconnection Event yang dijadual dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.- PENERANGAN-
- TAMAT -
Disediakan oleh: Mohamad Borhan Ahmad Ulis (BMKK)
Foto oleh: Cassidy Lisut (BKVS)
KUCHING, 22 Jan - Penganjuran Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Sarawak (OSLYS'26) pada semalam menjadi simbol rasmi permulaan tahun perundangan baharu serta platform strategik bagi memperkasa kebebasan badan kehakiman di Sarawak.
Program anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak yang berlangsung di sini, mengangkat tema iaitu 'Memperkasa Kebebasan Badan Kehakiman dan Perundangan Syariah'.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa prinsip kebebasan kehakiman adalah elemen kritikal dalam menjamin kedaulatan undang-undang tanpa pengaruh luaran.
Beliau menekankan bahawa institusi kehakiman perlu kekal bebas daripada sebarang bentuk tekanan politik, kepentingan peribadi mahupun sentimen awam demi melestarikan kepercayaan mutlak masyarakat terhadap sistem keadilan.
"Sebarang ulasan awam, persepsi atau tekanan melalui media sosial tidak seharusnya menjejaskan kebebasan dan kebijaksanaan hakim dalam membuat keputusan berdasarkan fakta dan undang-undang," katanya.
Abang Johari turut menzahirkan kebimbangan terhadap cabaran era digital masa kini yang mewujudkan fenomena tribunal persepsi awam di media sosial yang sering menjatuhkan hukum tanpa asas ilmu yang sahih.
Bagi memperkukuh tadbir urus, Kerajaan Sarawak telah mengambil langkah proaktif meningkatkan hierarki Mahkamah Syariah daripada tiga kepada empat peringkat menerusi penubuhan Mahkamah Utama Syariah Sarawak.
"Peningkatan hierarki ini haruslah diiringi dengan peningkatan kemahiran dan pengetahuan dalam kalangan warga mahkamah syariah serta penyediaan infrastruktur yang kondusif," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengaitkan ekosistem perundangan Syariah dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan aspek keterangkuman sosial tanpa mengira latar belakang.
"Oleh yang demikian, saya juga berharap ‘No one is left behind’ dalam mendapatkan hak dan keadilan melalui institusi kehakiman syariah," tambah beliau.
Menyentuh aspek pengasingan kuasa, Jabatan Pendakwaan Syariah Sarawak (JPSS) telah mula beroperasi secara rasmi pada tahun ini sebagai entiti yang bergerak berasingan daripada Jabatan Agama Islam Sarawak demi menjamin integriti.
Selain itu, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak dengan kerjasama Persatuan Peguam Syarie Sarawak kini sedang giat menggubal Ordinan Profesion Guaman Syarie Sarawak bagi menaik taraf profesionalisme bidang guaman tersebut.
Dalam majlis sama, Jurnal Mahkamah Syariah telah dilancarkan serta turut disampaikan cenderahati penghargaan kepada Mantan Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Sarawak.
Turut hadir menyerikan majlis ialah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Ketua Hakim Syarie Sarawak Datu Awang Suhaili Ledi, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol serta Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr. Hazland Abang Hipni. -PENERANGAN-
- TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Mohamad Rizal (BKVS)
KUCHING, 20 Januari : Seramai 147 orang penerima telah dikurniakan Pingat dan Darjah Kebesaran Negeri Sarawak oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak di Dewan Besar, Astana Negeri di sini, pagi tadi.
Istiadat dimulakan dengan pengurniaan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Johan Bintang Kenyalang (J.B.K) kepada tujuh orang penerima yang didahului oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.3 Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan; ADUN N.21 Tebedu, Dr Simon Sinang@Sinang Bada; Pengarah Imigresen Negeri Sarawak, Abdul Halim Abang Naili; Pengarah Cawangan Industri Khusus, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia, Vijayen A/L Nagalingam; serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abdul Samat Gany; Bundan Ngila dan Chamles Jack @ Leng Haji Jack.
Pingat Pentadbiran Awam, Pingat Perkhidmatan Cemerlang (P.P.C) pula dikurniakan kepada lapan penerima yang didahului oleh Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putra Yusrie Awang Redzuan; Pengarah Jabatan Mufti Sarawak, Ahmad Sukarno Saini; Pengarah Audit Dalam Jabatan Premier Sarawak, Jeferi Darhman; Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman; Residen Bahagian Kapit, Elvis Didit; Residen Bahagian Serian, Caroline Cleophas Joseph; Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan Sarawak, Mohamad Lotfi Tuah dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Julin Alen.
Istiadat diteruskan dengan pengurniaan Pingat Perwira Negeri (P.P.N. - Perak) kepada tiga orang penerima, Pingat Perwira Negeri (P. P. N.- Gangsa) kepada seorang penerima dan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S) kepada enam orang penerima.
Manakala seramai 14 penerima dikurniakan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K), Pingat Pentadbiran Awam Pingat Perkhidmatan Bakti (P.P.B) kepada 13 orang penerima, Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Ahli Bintang Sarawak (A.B.S) kepada 12 orang penerima, Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Ahli Bintang kenyalang (A.B.K) kepada 12 orang penerima.
Seramai 37 orang pula adalah penerima Pingat Pentadbiran Awam Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T), manakala 34 penerima lagi dikurniakan dengan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Bentara Bintang Sarawak (B.B.S).
Turut hadir pada istiadat tersebut ialah isteri TYT, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni; Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr. Jerip Susil; Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai Dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr. Juanda Jaya serta dif-dif kenamaan yang lain.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Jurufoto: Bolhan Haji Basah/ Cassidy Lisut (BKVS)
KUCHING, 20 Jan - Persatuan Bekas Anggota Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak ( PENERANG) komited untuk terus menyumbang bakti kepada masyarakat.
Pengerusi PENERANG, Bujang Boji telah membuat kunjungan hormat kepada JAPEN Sarawak bertujuan untuk membuka ruang kolaborasi dalam program-program yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat khususnya dalam penyaluran maklumat mengenai inisiatif-inisiatif kerajaan.
Pada sesi ini, pelbagai program dicadangkan selain meneruskan kerjasama strategik bersama Badan Kebajikan Kakitangan Islam (BKKI) JAPEN Sarawak untuk program agihan bubur lambuk pada bulan ramadan yang pernah diadakan sebelum ini.
PENERANG yang ditubuhkan secara rasmi pada 27 Julai 2023 kini mempunyai seramai 70 orang ahli bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan menjaga kebajikan pesara JAPEN dan mengalu-alukan semua pesara JAPEN untuk menyertainya.
Turut hadir ahli Timbalan Pengarah, Sri Kestury Mohammed Zamhari, Timbalan Pengerusi PENERANG, Ustaz Mohamad Firdaus Abdillah, Pengerusi BKKI, Mohd Shazriq Kaderi, Ketua-ketua Penolong Pengarah JAPEN Sarawak dan ahli-ahli Exco PENERANG. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan: Izawati Eni (BMKK)
Foto: Lance Dunstan (BKVS)
KUCHING, 19 Jan - Singapura merancang untuk membuka pejabat konsulat di Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah, dengan jangkaan kedua-dua konsulat tersebut mula beroperasi menjelang pertengahan tahun ini selepas mendapat kelulusan rasmi daripada kerajaan Malaysia pada penghujung November tahun lalu.
Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Malaysia, H.E. Vanu Gopala Menon, berkata, lawatan beliau ke Sarawak kali ini adalah bertujuan untuk mengenal pasti lokasi berpotensi bagi misi diplomatik tersebut.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini hari ini.
Jelasnya, beberapa lokasi di Kuching dan Kota Kinabalu akan dilawati serta diteliti dalam tempoh beberapa hari akan datang bagi mendapatkan gambaran lokasi yang sesuai untuk menempatkan konsulat tersebut, sekurang-kurangnya sebagai permulaan sementara.
"Setelah lokasi dikenal pasti, kami berharap dapat memperoleh kelulusan daripada Kementerian Luar Negeri Malaysia, selain menghantar pegawai untuk mengendalikan operasi konsulat berkenaan,” katanya.
Menurut Menon lagi, penubuhan konsulat berkenaan bertujuan memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat antara Singapura, Sarawak dan Sabah, selain menggalakkan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pelancongan.
Ujar beliau, hubungan perdagangan antara Singapura dan Sarawak menunjukkan pertumbuhan yang positif, justeru kehadiran konsulat di Sarawak adalah penting bagi memudah cara hubungan ekonomi yang lebih erat.
"Kami menyedari bahawa perdagangan antara Sarawak dan Singapura, sebagai contoh, semakin berkembang.
"Oleh itu, adalah penting bagi kami untuk mempunyai wakil di lapangan bagi membantu memudah cara hubungan ekonomi yang lebih kukuh antara kedua-dua tempat, Singapura dan Sarawak,” katanya.
Menyentuh mengenai pelancongan, beliau berkata minat pelancong Singapura ke Sarawak semakin meningkat, termasuk ke destinasi terkenal seperti Gua Mulu.
"Saya percaya Sarawak mempunyai banyak lagi tarikan yang boleh ditawarkan.
“Dengan kehadiran konsulat dan pegawai di sini, kami yakin lebih ramai rakyat Singapura akan berkunjung ke Sarawak, sekali gus meningkatkan hubungan pelancongan dan keterhubungan antara kedua-dua pihak,” katanya.
Turut hadir semasa kunjungan hormat tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri Malaysia, Duta Dato Fenny Nuli; Kaunselor (Politik) Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura di Malaysia; Charlene Chan dan Setiausaha Kedua (Politik) Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura di Malaysia, Valerie Lim.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Oleh: Norhayati Sarkawi (BMKK)
Foto: Abdul Hakeem Well (BKVS)
KUCHING, 19 Jan - Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menerima kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, H.E Vanu Gopala Menon, hari ini.
Kunjungan hormat adalah bertujuan bagi mengadakan perbincangan berhubung cadangan penubuhan pejabat konsulat Singapura pertama di Malaysia Timur dengan Kuching, Sarawak menjadi lokasi pilihan.
Penubuhan konsulat Singapura itu bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dan menyediakan sokongan konsular kepada warganya di Malaysia Timur.
Selain itu, kunjungan itu juga memberi ruang kepada TYT dan H.E Vanu Gopala Menon untuk berkongsi dan bertukar pandangan serta cadangan dalam mengukuhkan hubungan dua hala seperti dalam sektor pelancongan.
Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, H.E Vanu Gopala Menon serta rombongan turut dijangka mengadakan kunjungan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada sebelah petang.
Hadir sama ialah Pengarah Kementerian Luar Negeri Malaysia Pejabat Wilayah Sarawak Dato Fenny Nuli, Kaunselor (Politik) Charlene Chan, Setiausaha Kedua (Politik), Valerie Lim. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Juliana Abdullah (BMKK)
Jurufoto : Mohamad Rizal Matasan (BKVS)
KOTA SAMARAHAN, 17 Jan — Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyempurnakan Majlis Perasmian Pecah Tanah Samarahan Boulevard di Tapak Projek Samarahan Boulevard Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) di sini, pagi tadi.
Berucap pada majlis itu beliau berkata, pembinaan Samarahan Boulevard bakal menjadi pemangkin utama kepada pembangunan menyeluruh di kawasan Samarahan, khususnya dari segi infrastruktur, pergerakan ekonomi dan perancangan bandar moden.
Menurut Abang Johari, projek itu disifatkan sebagai komponen penting dalam menyokong pertumbuhan pesat Samarahan sebagai pusat pembangunan baharu di selatan Kuching.
"Samarahan Boulevard akan berfungsi sebagai rangkaian jalan arteri strategik yang menghubungkan beberapa kawasan utama termasuk Rembus, Gedong, Munggu Kopi, Beliong dan Sejingkat," katanya.
Beliau menambah, pembangunan Samarahan Boulevard turut membuka ruang kepada pertumbuhan sektor perkhidmatan dan komersial melalui perancangan hab perkhidmatan di Tanjung Embang, termasuk cadangan pembinaan lapangan terbang baharu bertaraf Asia.
Beliau menegaskan, Samarahan Boulevard merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang untuk membangunkan Samarahan sebagai bandar rendah karbon dengan sistem pengangkutan awam moden seperti ART berasaskan hidrogen.
Projek itu turut diharap dapat menjadi asas kepada pembangunan bandar bertaraf dunia yang berpaksikan data, teknologi dan keperluan generasi akan datang.
Terdahulu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Budaya Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemandu IRSDA, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam ucapan alu-aluannya berkata, projek Samarahan Boulevard akan dijadikan lokasi utama bagi penganjuran acara berskala besar pada masa akan datang.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan itu menjelaskan, pembinaan dataran tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai tapak perhimpunan, malah turut membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar Samarahan.
"Samarahan Boulevard ini adalah salah satu mercu tanda ikonik yang akan menjadi tapak untuk perjumpaan dan majlis-majlis besar pada masa akan datang," jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata, kawasan Samarahan yang dahulunya merupakan kawasan pedalaman kini telah berkembang pesat menjadi hab ilmu dengan kewujudan dua institusi pengajian tinggi utama.
Abdul Karim memberitahu, keperluan terhadap kemudahan awam serta kawasan riadah yang lebih tersusun amat penting bagi menjamin kesejahteraan penduduk setempat.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap ADUN Muara Tuang, Dato Idris Buang serta kenamaan yang lain.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Barina Nani (BMKK)
Foto : Bolhan Basah (BKVS)
KUCHING, 16 Jan - Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, berkenan menghadiri Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina AFFIN 2026 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Majlis anjuran AFFIN Bank itu diraikan dalam suasana meriah sebagai manifestasi perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan Kedua dan Ekonomi Baru, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Dalam ucapannya, Uggah berkata sambutan Tahun Baharu Cina 2026 pada 17 Februari depan menandakan kehadiran Tahun Kuda, yang melambangkan tenaga, ketangkasan, dan pergerakan ke hadapan.
Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap peranan AFFIN dalam ekosistem kewangan Sarawak.
“Institusi kewangan seperti AFFIN bukan sekadar penyedia perkhidmatan, malah rakan strategik dalam membina keyakinan serta memacu aktiviti perdagangan dan pelaburan di negeri ini,” katanya.
Uggah menekankan bahawa pendekatan perkhidmatan pelanggan yang tiada tandingan yang diterapkan AFFIN meletakkan pelanggan sebagai keutamaan dan disampaikan secara konsisten dengan prinsip inklusiviti.
“Kepercayaan dibina melalui penyampaian berterusan, piawaian konsisten serta kehadiran sebenar dalam komuniti,” jelas beliau.
Majlis makan malam tersebut bukan sahaja menjadi platform mempererat hubungan kerjasama, malah mencerminkan semangat kebersamaan serta komitmen berterusan ke arah pembangunan dan kemakmuran Sarawak.
Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Pengerusi AFFIN Bank Berhad, Dato’ Agil Nat, Pengerusi AFFIN Islamic Bank, Musa Abdul Malek, Pengerusi AFFIN Hwang Investment Bank Berhad, Hasli Hashim, Pengerusi AFFIN Money Brokers, Tan Sri Ahmad Kamarulzam Ahmad Badarudin, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Razly Abdullah serta tetamu kehormat yang lain.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Nur Alya Adriana Ahmad Sukri (BMKK)
Foto oleh : Bolhan Basah (BKVS)
KUCHING, 16 Jan – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengumumkan kelulusan peruntukan sejumlah RM150 juta bagi pembinaan Pusat Astronomi Sarawak yang bakal berfungsi sebagai hab penyelidikan saintifik serta pengembangan ilmu aeroangkasa di negeri ini.
Pengumuman tersebut dibuat beliau ketika menyempurnakan Majlis Kesyukuran dan Solat Hajat Agensi-Agensi Islam di Dewan Kompleks Islam Sarawak malam tadi yang dihadiri sekitar 300 jemaah bagi mengimarahkan suasana.
Program anjuran Majlis Islam Sarawak ini diadakan bertujuan menzahirkan rasa syukur di samping mengambil iktibar daripada peristiwa Israk dan Mikraj yang akan dihayati oleh seluruh umat Islam pada 17 Januari 2026 bersamaan 27 Rejab 1447H.
Inisiatif strategik Pusat Astronomi yang menggabungkan kepakaran Jabatan Mufti Sarawak dan i-CATS University College ini dirangka khusus demi melahirkan modal insan yang mahir dalam ilmu falak syarie serta berdaya saing dalam teknologi satelit.
Abang Johari dalam amanatnya menegaskan bahawa kekuatan sesebuah negara pada masa kini sangat bergantung kepada kemampuan bangsa tersebut dalam menguasai dan mengawal domain angkasa lepas.
“Justeru kita mahu melahirkan anak-anak Islam yang mempunyai kelengkapan ilmu yang berhubung kait dengan sains angkasa dan dunia moden," katanya.
Beliau turut menekankan bahawa penguasaan subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) terutamanya Fizik, Kimia, dan Matematik Tambahan serta kemahiran Bahasa Inggeris adalah prasyarat utama untuk generasi muda bersaing dalam ekonomi baharu yang dipacu oleh Kecerdasan Buatan (AI).
“Kita menyediakan pendidikan percuma di universiti milik Sarawak agar anak petani, anak nelayan dan golongan B40 mempunyai peluang saksama untuk mendalami teknologi terkini tanpa terbeban dengan masalah kewangan," ujarnya.
Kerajaan negeri juga menurutnya, komited membangunkan kepakaran reka bentuk cip semikonduktor tempatan dengan membawa pulang pakar anak Sarawak dari luar negara bagi memacu keupayaan teknologi kendiri dan mengurangkan kebergantungan tenaga asing.
Terdahulu, pengisian majlis dimulakan dengan Solat Fardhu Maghrib berjemaah diikuti bacaan Surah Yasin dan doa yang dipimpin oleh Imam Besar Sarawak, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Hadirin turut diperdengarkan tazkirah bertajuk Israk dan Mikraj yang disampaikan oleh Pakar Rujuk Syariah Jabatan Mufti Sarawak, Datu Khalidi Ibrahim mengenai kepentingan penghayatan peristiwa tersebut dalam pembentukan sahsiah dan disiplin ibadah.
Majlis diteruskan dengan menunaikan Solat Fardhu Isyak dan Solat Hajat bagi memohon kesejahteraan, keamanan serta keberkatan berterusan buat kepimpinan dan seluruh rakyat Sarawak.
Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Mual Suaud serta tetamu jemputan lain.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Muhammad Izzat Muzaqeer Zamri (BMKK)
Jurufoto: Abdul Hakeem (BKVS)
KUCHING, 16 Januari - Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah menerima kunjungan hormat rombongan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di kediaman rasmi, Kasuma Resort, hari ini.
Rombongan tersebut diketuai oleh Menteri KKM, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang turut diiringi oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hanifah Hajar Taib; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Dato' Indera Dr. Nor Azimi Yunus, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr. Ismuni Bohari dan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr. Veronica Lugah.
Dalam pertemuan tersebut, Dr. Dzulkefly berkongsi perkembangan dan status terkini projek-projek pembangunan hospital dan klinik kesihatan di seluruh Sarawak, termasuk Hospital Petra Jaya yang dijangka siap pada tahun ini serta Pusat Kanser Sarawak, selain inisiatif memperkukuh perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar.
Dr. Dzulkefly dalam rangka kerja rasmi di Kuching telah merasmikan Klinik Kesihatan Serian dan Klinik Kesihatan Siburan, semalam.
Kedua-dua klinik tersebut diwujudkan sebagai pusat sehenti (One Stop Centre) yang mampu menampung sehingga 500 orang pesakit sehari, sekali gus mengurangkan kesesakan di klinik sedia ada serta memendekkan masa dan jarak perjalanan pesakit. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Cassidy Lisut (BKVS)
SIBURAN, 15 Jan - Pembukaan Klinik Kesihatan Serian dan Klinik Kesihatan Siburan menunjukkan komitmen kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk terus membawa perkhidmatan komprehensif kepada komuniti agar tiada yang tercicir mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang diperlukan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad ketika merasmikan kedua-dua klinik tersebut di Klinik Kesihatan Siburan hari ini berkata, pembukaan dua fasiliti itu merupakan manifestasi maruah insan dan lambang iltizam bahawa kesihatan adalah amanah serta mempunyai nilai yang sama.
"Kedua-dua klinik yang kita rasmikan hari ini bukan calang-calang fasilitinya kerana ia direka untuk berfungsi sebagai pusat sehenti (One Stop Centre) dan mampu menampung sehingga 500 orang pesakit sehari, sekali gus mengurangkan kesesakan di hospital utama," katanya.
Dr. Dzulkefly menambah, Klinik Kesihatan Serian kini berfungsi sebagai hab utama yang menggabungkan perkhidmatan yang dahulunya berselerak, manakala Klinik Siburan dibina bagi menampung populasi daerah itu yang pesat membangun.
"Sebelum ini, Unit Pesakit Luar menumpang di Hospital Serian, manakala Klinik Ibu dan Anak serta Klinik Komuniti beroperasi di tempat berasingan tetapi kini, kesemua perkhidmatan ini disatukan di bawah satu bumbung yang kondusif lengkap dengan fasiliti X-Ray, Makmal Perubatan serta Rehabilitasi.
"Klinik Kesihatan Siburan pula kini turut menyediakan perkhidmatan nilai tambah seperti Pusat Sehenti Rawatan Ketagihan (OSCA) dan Penjagaan Paliatif serta Domisiliari, sekali gus membuktikan klinik kesihatan primer kita sudah berevolusi, dan mampu menawarkan rawatan yang holistik kepada komuniti," jelasnya.
Terdahulu, Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr. Veronica Lugah memberitahu, kewujudan kedua-dua klinik itu dijangka dapat mengurangkan kesesakan di klinik sedia ada serta memendekkan masa dan jarak perjalanan pesakit.
"Klinik Kesihatan Serian dibangunkan dengan kos sekitar RM23.9 juta melibatkan keluasan bangunan kira-kira 2,790 meter persegi dan direka khas untuk menyokong kapasiti perkhidmatan antara 300 hingga 500 pesakit sehari, selain dijangka memberi liputan perkhidmatan kepada lebih 85,000 penduduk daerah Serian.
"Sementara itu, Klinik Kesihatan Siburan pula melibatkan kos pembangunan sekitar RM28.7 juta dengan keluasan bangunan setara serta kapasiti yang sama," ujarnya.
Dr. Veronica menjelaskan, kedua-dua klinik kesihatan itu direka bentuk bagi menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer secara menyeluruh dan bersepadu.
"Sebagai sebuah negeri yang luas dengan taburan penduduk yang pelbagai, Sarawak memerlukan pendekatan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang fleksibel dan bersifat kontekstual.
"Dalam konteks ini, klinik kesihatan berperanan sebagai titik sentuh utama antara masyarakat dan sistem kesihatan, bukan sahaja dari segi rawatan, malah sebagai platform saringan awal penyakit berjangkit, intervensi kesihatan mental di peringkat komuniti serta penyampaian penjagaan kesihatan ibu dan anak secara beterusan," katanya lagi.
Justeru beliau yakin Klinik Kesihatan Serian dan Klinik Kesihatan Siburan akan menjadi aset strategik kepada komuniti setempat serta menyumbang secara signifikan kepada pengukuhan sistem kesihatan primer di Sarawak.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Kesihatan Dato Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM Dato Sri Zahrul Hakim Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr. Ismuni Bohari dan Pengarah Bahagian Perkembangan Kesihatan Keluarga, Dato Dr. Norsiah Ali.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Barina Nani (BMKK)
Foto : Abdul Hakeem Well (BKVS)
GEDONG, 15 Jan - Skim Pembesaran Kampung (SPK) Gedong Baharu menjadi projek perintis Kerajaan Sarawak dalam pembangunan perumahan mampu milik berkonsepkan pembinaan moden dan tenaga hijau apabila sebuah rumah contoh dilengkapi sistem panel solar berasaskan Net Energy Metering (NEM).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, inisiatif itu bertujuan membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup melalui penjimatan bil elektrik jangka panjang, selain menyokong agenda pembangunan hijau negeri.
“Ini adalah projek perumahan percubaan menggunakan kaedah pembinaan baharu dan teknologi moden.
Melalui pemasangan panel solar, rumah dapat menjana tenaga elektrik sendiri, mengurangkan kebergantungan kepada grid serta membolehkan lebihan tenaga dikreditkan ke bil elektrik pemilik rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Skim Pembesaran Kampung (SPK) Gedong Baharu, petang tadi.
Menurut Abang Johari, tenaga elektrik yang dijana melalui panel solar berupaya memberikan penjimatan ketara kepada pemilik rumah, termasuk kemungkinan lebihan tenaga digunakan untuk mengimbangi bil elektrik bulanan.
“Sebagai contoh, jika tenaga yang dijana daripada solar bernilai RM180, sedangkan penggunaan elektrik pemilik rumah mencecah RM240, maka baki daripada itulah jumlah yang perlu dibayar oleh isi rumah.
Ini bermakna pemilik rumah bukan sahaja menggunakan tenaga sendiri, malah menikmati penjimatan dalam jangka panjang,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau mengakui pemasangan sistem solar memerlukan pelaburan awal dengan kos dianggarkan sekitar RM30,000 bagi setiap unit.
Namun katanya, Kerajaan Sarawak akan menyalurkan subsidi sebanyak RM15,000 bagi mengurangkan beban pembeli. Kerajaan Sarawak juga turut akan menanggung wang pendahuluan sebanyak RM10,000 kepada pembeli rumah.
Projek yang dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) di bawah peruntukan Projek Rakyat Sarawak itu melibatkan pembinaan 50 unit rumah jenis LCDA Saphire 1, masing-masing berkeluasan kira-kira 871.87 kaki persegi, menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang lebih efisien dan berkualiti.
Kerja-kerja penyediaan infrastruktur asas seperti jalan raya dan sistem perparitan mengikut spesifikasi baharu SPK telah disiapkan oleh Jabatan Tanah dan Survei, manakala pembinaan rumah oleh LCDA dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan suku ketiga 2026.
Dalam pada itu, model rumah LCDA Saphire 1 turut menerima pengiktirafan apabila LCDA CTR Technology Sdn. Bhd. dianugerahkan Anugerah Kontraktor Cemerlang CIDB Malaysia selepas mencapai Skor IBS 92.96 peratus, sekali gus membuktikan keupayaan teknologi pembinaan moden tempatan.
Abang Johari berkata, kejayaan projek perintis di Gedong akan menjadi asas kepada peluasan konsep perumahan berteknologi solar dan IBS ke projek SPK lain di seluruh Sarawak.
“Keutamaan kerajaan negeri ialah memastikan rakyat memiliki rumah yang selesa, mampu milik dan berkualiti, khususnya di kawasan luar bandar,” tegasnya.
Lawatan kerja tersebut turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Pengurus Besar Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), Datu Sr. Zaidi Mahdi, Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Dato Ir. Yusuf Abd. Wahab dan Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Dato Sri Mohd Naroden Majais. - TAMAT -
Disediakan oleh: Mohamad Borhan Ahmad Ulis (BMKK).
Foto oleh: Lance Dunstan/Mohamad Rizal Matasan (BKVS).
GEDONG, 15 Jan – Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak sekali lagi membuktikan keberkesanan pendekatan 'Whole-of-Government' menerusi kejayaan pelaksanaan sistem 'Cloud-Based Clinic Management System' (CCMS), yang kini meliputi 65 peratus fasiliti kesihatan primer di negeri ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kejayaan pendigitalan tersebut adalah hasil sinergi kukuh antara kedua-dua kerajaan, apabila kerajaan Sarawak bertindak proaktif menyediakan peruntukan khas bagi menaik taraf infrastruktur ICT dan internet di fasiliti kesihatan, manakala Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membiayai langganan sistem serta perkakasan operasi.
“Sinergi ini membuktikan bahawa apabila kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri bergerak seiring, kita mampu melaksanakan transformasi yang pantas dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis yang dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, pagi tadi.
Menurut beliau, KKM kini bertekad untuk menoktahkan kebergantungan kepada rekod manual dan sistem berasaskan kertas, selari dengan reformasi digital menyeluruh sektor kesihatan negara.
“Hari ini, kesihatan digital bukan lagi sekadar alat sokongan, sebaliknya telah menjadi tulang belakang kepada reformasi sistem kesihatan negara.
"Kita sedang bergerak pantas ke arah visi ‘Satu Individu, Satu Rekod Kesihatan’ menerusi National Health Interoperability Platform (NHIP),” jelasnya.
Beliau memaklumkan, sebagai sebahagian daripada agenda besar NHIP, KKM menyasarkan peluasan penggunaan CCMS ke 2,489 fasiliti kesihatan primer di seluruh negara, dengan Sarawak muncul sebagai antara peneraju utama pencapaian sasaran nasional tersebut.
Di Sarawak, pelaksanaan CCMS bermula sebagai projek rintis di lima klinik pada akhir 2023 dan kini telah diperluaskan ke 153 fasiliti kesihatan, melibatkan kira-kira 65 peratus klinik kesihatan di negeri ini.
Satu pencapaian signifikan turut direkodkan apabila pangkalan data CCMS berjaya mendaftarkan seramai 250,000 rakyat Sarawak, bersamaan 10 peratus populasi negeri, dalam tempoh singkat pelaksanaannya.
“Ini mencerminkan tahap penerimaan yang tinggi serta keberkesanan sistem ini, malah di peringkat nasional platform CCMS kini menyokong purata 90,000 transaksi pendaftaran pesakit setiap hari, membuktikan ia benar-benar sistem yang teruji dan stabil,” katanya.
Dari segi impak kepada rakyat, data awal menunjukkan 75 peratus pesakit menerima rawatan dalam tempoh kurang daripada 30 minit, manakala masa tugasan manual kakitangan kesihatan berjaya dikurangkan sehingga 30 peratus.
“Ini membolehkan doktor dan jururawat kita memberi lebih tumpuan kepada pesakit, di samping memperkukuh data-driven clinical decision-making serta kesinambungan rawatan merentasi fasiliti,” ujar beliau.
Dalam majlis sama, Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Sarawak turut dilancarkan yang menekankan peralihan daripada model sick-care kepada health-care berasaskan pencegahan.
Menurut beliau, penggunaan Big Data daripada CCMS membolehkan KKM melaksanakan pendekatan Precision Public Health, termasuk pemetaan risiko penyakit dan perancangan intervensi kesihatan komuniti yang lebih bersasar.
Sebagai komitmen berterusan terhadap kemudahan kesihatan di peringkat tempatan, kerajaan turut menyalurkan peruntukan khas bagi menaik taraf kemudahan dan sokongan pendigitalan di Klinik Kesihatan Gedong, sekali gus memperkukuh perkhidmatan kesihatan digital di kawasan tersebut.
Katanya, beliau yakin dengan semangat kerjasama erat antara KKM dan Kerajaan Sarawak, usaha tersebut dapat direalisasikan demi memastikan akses kesihatan digital yang saksama kepada seluruh rakyat, sama ada di bandar mahupun di pedalaman.
KKM, tambah beliau, kekal komited menerajui inovasi digital kesihatan negara bagi membina sistem kesihatan yang lebih moden, bersepadu dan berpaksikan kesejahteraan rakyat, selari dengan matlamat Agenda Nasional Malaysia Sihat. - TAMAT -
Disediakan oleh: Mohamad Borhan Ahmad Ulis (BMKK).
Foto oleh: Lance Dunstan/Mohamad Rizal Matasan (BKVS).
GEDONG, 15 Jan - Kerajaan Sarawak terus memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negeri dengan melaksanakan pendigitalan klinik kesihatan melalui penggunaan Cloud-Based Clinic Management System (CCMS), sekali gus meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan keselamatan rekod perubatan pesakit.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, berkata, inisiatif itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam mendepani cabaran sistem kesihatan moden, termasuk keperluan pengurusan data perubatan yang lebih sistematik dan selamat.
“Kita pernah berdepan situasi pesakit mengalami asma tetapi tiada rekod perubatan, menyebabkan rawatan terpaksa ditangguhkan.
"Inilah sebabnya kita memperkenalkan sistem digital supaya maklumat kesihatan pesakit dapat diakses dengan cepat dan tepat, tidak kira di mana mereka mendapatkan rawatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pendigitalan Klinik Kesihatan Menggunakan CCMS di Sarawak dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di Dewan Patinggi Ali, Gedong, hari ini.
Menurut beliau, penggunaan CCMS membolehkan rekod kesihatan pesakit disimpan secara maya dan bersepadu, sekali gus meringankan beban petugas kesihatan serta mempercepatkan proses diagnosis dan rawatan.
“Dengan sistem ini, doktor dapat mengetahui latar belakang kesihatan pesakit, termasuk penyakit kronik seperti darah tinggi atau diabetes, walaupun pesakit mendapatkan rawatan di klinik yang berbeza dan ia menjimatkan masa dan meningkatkan kualiti rawatan,” jelasnya.
Abang Johari turut memberi jaminan bahawa keselamatan data peribadi pesakit sentiasa menjadi keutamaan, dengan sistem CCMS dilengkapi ciri keselamatan siber yang tinggi serta kawalan akses yang ketat.
“Data peribadi rakyat dilindungi dan kita mempunyai tahap keselamatan siber yang kukuh bagi mengelakkan penyalahgunaan maklumat atau aktiviti penipuan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), menjadi faktor utama kejayaan pelaksanaan CCMS di negeri ini.
“Ini adalah contoh kerjasama yang baik antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan MADANI Persekutuan dalam memastikan perkhidmatan kesihatan rakyat terus dipertingkatkan,” ujarnya.
Mengulas mengenai cabaran masa depan, Abang Johari berkata, Sarawak bersedia menghadapi isu populasi menua, dengan menyediakan pelbagai inisiatif termasuk pemeriksaan kesihatan percuma kepada rakyat berusia 60 tahun ke atas.
“Apabila umur meningkat, pemeriksaan kesihatan berkala menjadi keperluan dan Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan khas supaya rakyat dapat menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya sekali setahun,” ujarnya.
Beliau turut menyentuh usaha Kerajaan Sarawak membangunkan hospital kanser di Sarawak bagi mengurangkan kebergantungan pesakit kepada rawatan di luar negeri, selain meringankan beban kewangan dan emosi keluarga pesakit.
“Penyakit kanser perlu dikesan dan dirawat di peringkat awal dan sebab itu kita mahu kemudahan rawatan pakar dan hospital kanser diwujudkan di Sarawak, hasil kerjasama Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan,” jelasnya lagi.
Selain itu, Abang Johari memberitahu, Kerajaan Sarawak juga menambah baik perkhidmatan kesihatan luar bandar melalui penyediaan klinik bergerak dan klinik pergigian bergerak, terutama bagi kawasan pedalaman dan luar bandar.
“Kesihatan bermula daripada perkara asas seperti penjagaan gigi dan pemakanan dan Klinik bergerak ini penting untuk memastikan rakyat di kawasan pedalaman turut mendapat akses perkhidmatan kesihatan yang berkualiti,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak akan terus melabur dalam sektor kesihatan kerana ia merupakan asas kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri.
“Dari lahir hingga ke liang lahad, kerajaan sentiasa bersama rakyat dan kesihatan yang baik menjamin umur yang lebih panjang, tenaga yang lebih kuat dan kehidupan yang lebih sejahtera,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr Zulkifli Ahmad, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib serta barisan pemimpin Persekutuan dan Sarawak yang lain. - TAMAT -
Disediakan oleh: Mohamad Borhan Ahmad Ulis (BMKK)
Foto oleh: Lance Dunstan/Mohamad Rizal Matasan (BKVS)
KUCHING, 15 Jan - Dewan Serbaguna Kampung Buntal dipilih sebagai fokus utama projek di bawah Program Kampung Angkat MADANI Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi meningkatkan kemudahan prasarana dan kesejahteraan penduduk setempat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, Kampung Buntal merupakan kampung pertama di Sarawak yang dipilih untuk pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI, selepas inisiatif sama dilaksanakan di beberapa lokasi di Semenanjung Malaysia.
Menurut beliau, pemilihan Dewan Kampung Buntal untuk dinaik taraf adalah selaras dengan matlamat program tersebut yang bertujuan mendekatkan kerajaan dengan rakyat di samping memperbaiki kemudahan asas yang menjadi nadi aktiviti komuniti.
“Seperti yang ditekankan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, program Kampung Angkat MADANI ini adalah untuk membolehkan kita lebih dekat dengan rakyat dan memahami keperluan mereka.
“Di Kampung Buntal ini, kita memilih untuk menaik taraf dewan kampung kerana ia merupakan pusat utama aktiviti masyarakat,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI KPWKM di Dewan Serbaguna Kampung Buntal, di sini, hari ini.
Nancy menjelaskan, usaha menaik taraf dewan kampung itu diharap dapat menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan selamat untuk kegunaan penduduk, khususnya bagi penganjuran program kemasyarakatan, aktiviti kebudayaan serta urusan rasmi kampung.
Dalam perkembangan yang sama, beliau turut menekankan bahawa fungsi dewan tersebut melangkaui kegunaan harian apabila ia juga ditetapkan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekiranya berlaku bencana atau situasi kecemasan, sekali gus meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan keselamatan penduduk kampung.
Selain Kampung Buntal, beliau memaklumkan bahawa Program Kampung Angkat MADANI turut dilaksanakan sebelum ini di Kampung Santubong dan akan diperluaskan ke kampung-kampung lain dalam kawasan Parlimen Santubong serta beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) terlibat.
“Insyaallah, program ini akan diteruskan di kampung-kampung lain kerana ia memberi peluang kepada kementerian dan agensi untuk melihat sendiri keperluan di peringkat akar umbi,” jelasnya.
Program Kampung Angkat MADANI merupakan inisiatif nasional yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan melalui pendekatan pembangunan yang lebih tersusun, berfokus dan berteraskan keperluan sebenar komuniti setempat.
Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Kampung Angkat MADANI KPWKM, Kementerian melalui Bahagian Pembangunan telah melaksanakan kerja-kerja menaik taraf Dewan Serbaguna Kampung Buntal selama 28 minggu, bermula 5 Jun hingga 18 Disember 2025.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Oleh: Norhayati Sarkawi (BMKK)
Foto: Cassidy Lisut Tubong (BKVS)
Premier Lawat PPS Mangsa Banjir Di Bahagian Bintulu
BINTULU, 14 Jan – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir di bahagian Bintulu hari ini.
Antara PPS mangsa banjir yang dibuka di Bintulu ialah PPS Balai Raya Sebauh, PPS Dewan SMK Sebauh dan PPS Dewan Suarah Bintulu.
Ketika sidang media di PPS Dewan Suarah Bintulu, Abang Johari memberitahu, satu pendekatan jangka panjang diperlukan untuk mengatasi masalah banjir di negeri ini.
"Kita memerlukan penyelesaian yang terbaik dan mampan, bukan hanya langkah sementara atau jangka pendek semata-mata," katanya.
Beliau turut memberitahu, jawatankuasa di peringkat negeri akan ditubuhkan oleh Kerajaan Sarawak bagi merangka pelan jangka panjang secara menyeluruh untuk mengatasi isu banjir yang kerap melanda di beberapa kawasan di Sarawak.
Abang Johari menjelaskan, penubuhan jawatankuasa tersebut adalah untuk memastikan setiap cadangan dan langkah mitigasi banjir dilaksanakan secara terancang termasuk penelitian pelbagai aspek kejuruteraan, infrastruktur dan sebagainya serta berasaskan kajian teknikal yang melibatkan semua pihak bekepentingan.
Semasa lawatan tersebut, beliau turut menyampaikan bantuan bungkusan makanan serta beg sekolah kepada mangsa banjir di PPS tersebut.
Menurut laporan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, jumlah mangsa banjir telah menurun dari 7,465 orang ke 1,638 orang setakat hari ini.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Unggah Embas, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N.69 Kemena, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu kehormat lain.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Siti Faridah Ajek (JAPEN Bintulu)
Foto oleh: Rudy Jaya / Mohammad Ariffin Hassan (JAPEN Bintulu)
KUCHING, 14 Jan - Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menerima kunjungan hormat daripada Pejabat Ombudsman Sarawak, Jabatan Premier Sarawak di kediaman rasmi beliau, di sini.
Kunjungan dipimpin oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr. Juanda Jaya, bertujuan memaklumkan peranan serta perkembangan Pejabat Ombudsman Sarawak sebagai sebuah institusi pengawasan bebas yang ditubuhkan di bawah Ordinan Ombudsman Sarawak, 2023,
Sebagai institusi yang diberi mandat untuk menangani salah tadbir, meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam serta mempromosikan keadilan, ketelusan dan integriti dalam sektor awam, Pejabat Ombudsman Sarawak turut berkongsi kepada Tun Wan Junaidi mengenai pencapaian utama sepanjang tahun 2025 yang menumpukan kepada pembangunan institusi, libat urus pihak berkepentingan dan pembinaan kapasiti.
Antara pencapaian utama yang telah dilaksanakan termasuk penganjuran Sesi 'Town Hall' bersama agensi perkhidmatan awam, penganjuran Hari Ombudsman Sarawak 2025 serta lawatan kerja antarabangsa ke Sweden, United Kingdom dan Australia bagi mempelajari amalan terbaik pengendalian aduan dan penyiasatan.
Berdasarkan pencapaian tersebut, pihak delegasi turut memaklumkan kepada Tun Wan Junaidi bahawa program utama bagi tahun 2026 akan memberi penekanan kepada peluasan jangkauan dan kesedaran awam di seluruh Sarawak, pemantapan pengurusan aduan dan proses penyiasatan yang lebih efektif, latihan profesional berstruktur untuk meningkatkan kepakaran kakitangan serta libat urus serantau dan antarabangsa yang berterusan demi menyokong tadbir urus yang berpaksikan rakyat.
Dalam pertemuan tersebut, Tun Wan Junaidi turut diperkenalkan kepada pegawai-pegawai baharu Pejabat Ombudsman Sarawak termasuk Timbalan Ketua Ombudsman Sarawak yang menjalankan tugas Ketua Ombudsman Sarawak, Alexander Unya Ambon, Ombudsman Albert Tang Yew Liong dan Ombudsman Toieyah Tioh.
Turut hadir ialah isteri yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi; Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak, Jabatan Premier Sarawak, Wan Mohamad Wan Drahman;Penolong Pengarah Kanan Pejabat Ombudsman Sarawak, Sukri Mohtar serta pegawai-pegawai Pejabat Ombudsman Sarawak.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Oleh: Norhayati Sarkawi (BMKK)
Foto: Mohamad Rizal Matasan (BKVS)
KUCHING, 14 Jan - Perubahan minda dan pelaburan strategik dalam pendidikan serta modal insan merupakan teras utama transformasi Sarawak ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semasa Townhall 9 Tahun Bersama YAB Premier Sarawak yang berlangsung semalam berkata, perubahan sebenar tidak boleh dicapai melalui penambahbaikan kecil semata-mata, sebaliknya memerlukan perubahan yang menyeluruh dan mendasar, termasuk cara berfikir dan pendekatan terhadap pembangunan.
“Kalau kita hanya buat perubahan kecil, kita cuma ubah cara bekerja tetapi kalau kita mahu perubahan yang besar dan fundamental, kita mesti ubah cara kita berfikir dan melihat sesuatu,” katanya.
Antara fokus utama perbincangan Townhall ialah pembangunan tenaga bersih, selari dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi peneraju dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, selain memperkukuh kedudukan Sarawak dalam ekonomi hijau dan mampan.
Selain itu, sesi perbincangan turut menekankan transformasi digital sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi baharu di mana Abang Jo menjelaskan bahawa ekonomi digital bukan sekadar penggunaan teknologi, sebaliknya melibatkan perubahan budaya kerja, infrastruktur serta kaedah komunikasi dan pengeluaran.
“Ekonomi digital mengubah cara kita bekerja dan berfikir dan jika tidak menyesuaikan diri, kita akan ketinggalan,” jelas beliau.
Dalam menjawab persoalan berkaitan peluang pekerjaan, beliau menegaskan bahawa pembangunan industri baharu, termasuk industri berasaskan teknologi, tenaga bersih dan inovasi akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada anak-anak Sarawak, khususnya golongan muda.
“Kita mesti sediakan rakyat dengan ilmu dan kemahiran supaya mereka bukan sahaja mendapat pekerjaan, tetapi pekerjaan yang memberi pendapatan lebih baik,” katanya.
Sehubungan itu, inisiatif pembangunan modal insan menjadi agenda utama kerajaan Sarawak, termasuk persediaan ke arah pelaksanaan pendidikan pengajian tinggi percuma bermula tahun 2026.
Inisiatif tersebut dilihat sebagai pelaburan jangka panjang bagi melahirkan tenaga kerja berpengetahuan, berkemahiran tinggi dan berdaya saing.
“Pendidikan adalah jawapan kepada masa depan Sarawak dan dengan ilmu, kita boleh tingkatkan produktiviti, pendapatan dan kualiti hidup rakyat,” katanya.
Townhall 9 Tahun Bersama Premier Sarawak itu bukan sahaja menjadi platform refleksi terhadap pencapaian sepanjang sembilan tahun kepimpinan Sarawak, malah mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak untuk terus mendengar suara rakyat dalam merangka dasar pembangunan yang inklusif dan mampan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Premier Sarawak Merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Dr.Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, serta tetamu-tetamu kehormat lain.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Nur Alya Adriana Ahmad Sukri (BMKK)
Foto oleh : Cassidy Lisut (BKVS)
KUCHING, 13 Jan - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyeru agar semua pihak berganding bahu bergerak ke hadapan dengan komitmen yang tinggi untuk membentuk masa depan Sarawak.
Abang Johari ketika menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Perdana YAB Premier 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini berkata, hala tuju ke arah tujuan tersebut telah ditetapkan, sumber telah disediakan dan institusi telah diperkukuh.
"Apa yang perlu dilakukan kini adalah pelaksanaan yang berdisiplin, konsisten dan berani oleh semua pihak yang terlibat dalam membentuk masa depan Sarawak," katanya.
Menurut beliau, tahun baharu bukan sekadar pertukaran kalendar tetapi ia adalah saat akauntabiliti, iaitu sama ada keputusan, sumber dan institusi yang telah diperkukuh benar-benar dalam menyampaikan kemajuan yang dirasai oleh rakyat.
"Tempoh sembilan tahun sejak saya diamanahkan dengan tanggungjawab memimpin Sarawak, saya melalui era ketidaktentuan ekonomi, ketegangan geopolitik, perubahan teknologi yang pesat, tekanan iklim dan pandemik global yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Apa yang mentakrifkan tempoh ini bukanlah cabaran yang dihadapi Sarawak, tetapi bagaimana kita bertindak balas terhadapnya," ujar Abang Johari.
Tambahnya, dalam menangani isu ini, semua perlu bertindak balas dengan disiplin dalam membuat keputusan, kejelasan hala tuju dan keazaman untuk memastikan Sarawak terus maju ke hadapan dan memilih untuk memacu perubahan daripada hanya menunggu.
"Kita menyedari bahawa tanpa institusi yang kukuh, kewangan yang sihat dan hala tuju yang jelas, tiada pembangunan yang boleh dikekalkan.
"Kefahaman inilah yang membimbing keputusan kita untuk mengukuhkan tadbir urus fiskal, sumber pendapatan, menuntut hak Sarawak dalam Persekutuan dan melabur dalam keupayaan masa hadapan," jelas beliau.
Abang Johari turut menjelaskan dibawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), beberapa staregik telah digariskan untuk memastikan Sarawak memacu ke arah masa depan yang lebih berdaya tahan dan bernilai tinggi.
Antara keutamaan strategik bersepadu ialah transisi tenaga, pembuatan, keselamatan makanan, digitalisasi dan AI, logistik dan modal insan.
Majlis yang bertemakan '9 tahun Yang Gemilang' itu juga menjadi simbolik sembilan tahun Abang Johari selaku pemimpin Sarawak sebagai Ketua Menteri sebelum menjadi Premier Sarawak.
Pada majlis tersebut, Abang Johari turut melancarkan buku 'Greening Transformation - Sarawak 2030 & Beyond' yang bukan sahaja menjadi dokumen rujukan dasar, malah melambangkan komitmen berterusan kepimpinan Sarawak dalam memastikan pembangunan dilaksanakan secara bertanggungjawab demi generasi masa hadapan.
Hadir sama ialah Timbalan-timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri Persekutuan dan Sarawak serta dif kenamaan lain. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Juliana Abdullah (BMKK)
Jurufoto : Lance Dunstan (BKVS)
KUCHING, 12 Jan - Majlis Pelancaran dan Perasmian Program Bas Sekolah Percuma dan Bilik Darjah Pintar yang dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg merupakan satu langkah progresif dalam menangani masalah kesesakan trafik di sekitar kawasan sekolah, khususnya pada waktu puncak persekolahan.
Pelaksanaan program bas sekolah percuma itu dilihat mampu mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya, sekali gus melancarkan aliran trafik serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Menurut Abang Johari, inisiatif tersebut disifatkan sebagai contoh kepimpinan berkesan yang berpaksikan rakyat serta selari dengan agenda pembangunan Sarawak.
Tambahnya lagi, inisiatif tersebut juga selari dengan perancangan jangka panjang sistem pengangkutan awam bersepadu seperti ART yang menekankan penggunaan sistem komunikasi dan keterhubungan menyeluruh bagi menyokong mobiliti bandar yang cekap, selamat dan mesra alam.
Keberkesanan inisiatif tersebut diperkukuh dengan penerapan teknologi pintar, termasuk sistem penjejakan bas secara masa nyata, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di dalam bas serta sistem komunikasi bersepadu.
Langkah itu bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan pelajar, malah memberi keyakinan kepada ibu bapa melalui keupayaan memantau pergerakan anak-anak mereka.
Program itu juga dilihat turut menyokong aspirasi Kuching sebagai bandar pintar dan rendah karbon apabila pengurangan jumlah kenderaan persendirian menyumbang kepada penurunan pelepasan karbon, peningkatan kualiti udara serta pengurangan risiko masalah kesihatan akibat pencemaran udara selain turut membantu penjimatan kos bahan api dan menggalakkan perkongsian sumber secara mampan.
Program Bas Sekolah Percuma dan Bilik Darjah Pintar itu dijangka akan diperluaskan ke tempat lain di Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh memperkukuh sistem pengangkutan awam, meningkatkan nilai pendidikan, memperkasa komunikasi berkesan serta menyediakan sokongan menyeluruh kepada pelajar.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Dato Jonathan Chai Voon Tok serta tetamu-tetamu jemputan lain.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh:Nur Alya Adriana Ahmad Sukri (BMKK)
Foto:Bolhan Basah (BKVS)
KUCHING, 12 Jan – Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menerima kunjungan hormat daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud di kediaman rasmi TYT di sini, pagi tadi.
Kunjungan tersebut telah memberi ruang perbincangan mengenai pelbagai perkara berkaitan pentadbiran dan pembangunan negara, khususnya isu-isu melibatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Dalam pertemuan itu, Tun Wan Junaidi berkongsi pengalaman luas beliau semasa berkhidmat di peringkat Persekutuan, termasuk ketika memegang jawatan sebagai Menteri Penuh dan Timbalan Menteri Persekutuan serta penglibatan beliau dalam urusan pengurusan serta tadbir urus Parlimen, merangkumi Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Perkongsian tersebut memberi telah gambaran menyeluruh mengenai latar belakang sejarah, proses pentadbiran serta pendekatan yang telah dilaksanakan oleh kepimpinan terdahulu dalam menangani tuntutan berkaitan MA63.
Dalam kunjungan tersebut Mustapha menyatakan penghargaan terhadap perkongsian berkenaan yang disifatkan sangat bernilai dalam membantu memperkukuh kefahaman mengenai isu-isu MA63, termasuk usaha semakan dan penyelarasan tuntutan antara Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak.
Kunjungan hormat itu juga turut memperkukuh hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam usaha memastikan pelaksanaan MA63 dapat dilaksanakan secara lebih berkesan, teratur dan berlandaskan kerangka perundangan yang jelas.
Turut hadir ialah Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan dan Setiausaha Bahagian, Mohd Saiful Sungkih Abdullah serta pegawai-pegawai yang mengiringi rombongan. -PENERANGAN-
– TAMAT –
Disediakan oleh: Mohamad Borhan Ahmad Ulis (BMKK).
Foto oleh: Lance Dunstan (BKVS).
KUCHING, 12 Jan - Seramai 1,303 murid di SMK Petra Jaya, Kuching menerima manfaat Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2026 melibatkan peruntukan berjumlah RM195,450.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, bantuan itu bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi pelaburan kerajaan dalam memastikan setiap murid mempunyai peluang yang sama untuk memulakan persekolahan dengan lebih yakin dan bersedia.
“BAP ini adalah manifestasi keprihatinan Kerajaan MADANI melalui Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menjaga kebajikan murid, di samping mengukuhkan asas pembentukan generasi MADANI masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan BAP Tahun 2026 bagi Wilayah Sarawak di SMK Petra Jaya, hari ini.
Menurutnya, bantuan sebanyak RM150 seorang yang diberikan secara sejagat kepada semua murid tanpa mengira pendapatan isi rumah sejak 2023, amat membantu dalam mengurangkan tekanan kewangan keluarga, khususnya pada awal tahun persekolahan.
“Saya yakin BAP ini dapat mengurangkan beban perbelanjaan ibu bapa dan penjaga, sekali gus meningkatkan motivasi murid untuk membina kecemerlangan dan menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara,” ujarnya.
Tambah Mustapha, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM62 juta bagi seluruh Sarawak untuk BAP 2026 yang memberi manfaat kepada 413,380 murid warganegara melibatkan 1,460 sekolah di seluruh negeri.
Beliau berkata, jumlah itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan tiada murid tercicir daripada pendidikan akibat kekangan kewangan.
“Ini adalah bukti usaha berterusan kerajaan dalam menyantuni keperluan rakyat, termasuk di Sarawak, agar pendidikan anak-anak kita terus terjamin secara inklusif,” katanya.
Selain BAP, murid daripada keluarga berpendapatan rendah turut dibantu melalui Inisiatif Sejahtera MADANI.
“Di Sarawak, sebanyak RM370,000 diagihkan kepada 740 Isi Rumah (IR) yang berdaftar sebagai miskin dalam sistem eKasih. Daripada jumlah itu, 370 IR melibatkan murid sekolah rendah dan 370 IR melibatkan murid sekolah menengah.
“Penerima di peringkat sekolah rendah akan menerima baucar bernilai RM500 untuk pembelian pakaian dan peralatan sekolah, manakala bantuan bagi murid sekolah menengah juga akan diberikan pada nilai yang sama,” jelas beliau, sambil memaklumkan inisiatif itu dilaksanakan oleh Pejabat ICU, JPM Sarawak.
Dengan BAP dan Inisiatif Sejahtera MADANI, Kerajaan MADANI terus memperkukuh jaringan keselamatan pendidikan, khususnya bagi murid di Sarawak, selaras dengan teras ‘Ihsan’ dalam gagasan Malaysia MADANI.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato' Fazzrudin Abdul Rahman; Ketua Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah; Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, Adana Jid dan Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Oleh: Norhayati Sarkawi (BMKK)
Foto: Abdul Hakeem Well (BKVS)
KUCHING, 10 Jan - Isteri kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hari ini hadir merasmikan Program Pesta Bubur Pedas anjuran Koperasi Perkumpulan Wanita Sarawak Berhad (KOPERWANIS) di Metrocity Matang.
Ketibaan Toh Puan telah disambut dan diringi oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Pada program tersebut, Toh Puan telah menunjukkan bakat memasak dengan membuat demo masakan bubur pedas iaitu salah satu juadah popular dan digemari umat Islam menjelang Bulan Ramadan.
Program diteruskan dengan Toh Puan Fauziah menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi pertandingan Bumbu Bubur Pedas, mewarna dan masakan tradisional.
Selain itu, Toh Puan turut mengambil kesempatan ini untuk beramah mesra dengan para tetamu dan peserta yang hadir.
Program tersebut merupakan acara komuniti yang menghimpunkan warisan masakan tradisional, aktiviti kekeluargaan dan gaya hidup sihat dalam suasana penuh kemeriahan.
Turut hadir pada program ini ialah Pengerusi Koperasi KOPERWANIS Norjanah Razali, Pengerusi Negeri, Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Dato Norhyati Mohd Ismail, Penasihat, Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Dato Rugayah Abdul Majid dan Datu Rashidah Bolhassan.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Juliana Abdullah (BMKK)
Foto: Lance Dunstan (BKVS)
SERIAN, 10 Jan — Penduduk yang terjejas akibat banjir digesa supaya melaporkan keadaan banjir di kawasan masing-masing dengan segera kepada Pejabat Residen terdekat bagi mempercepatkan penyaluran bantuan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak ketika ditemui media semasa mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kampung Ranchan di sini hari ini berkata, penubuhan 'Community Emergency Response Team' (CERT) yang diketuai oleh Ketua Kampung berperanan penting dalam melatih penduduk memberi respons awal sekiranya berlaku bencana di kawasan masing-masing.
Menurut beliau, tindakan awal oleh CERT dapat membantu penduduk terjejas banjir, khususnya di kawasan pedalaman yang mengambil masa lebih lama untuk bantuan daripada agensi terlibat tiba.
“Semasa menunggu bantuan sampai, CERT boleh melaksanakan tindakan awal mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) sebelum penduduk dipindahkan ke PPS.
“Ini memerlukan kerjasama semua pihak, bermula daripada komuniti, agensi berkaitan hingga ke kerajaan, kerana keutamaan kita adalah memastikan keselamatan penduduk,” ujarnya.
Uggah turut memaklumkan bahawa lawatan ke beberapa PPS lain di Serian dan Simunjan telah dijalankan yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, bagi menilai tahap kesiapsiagaan serta memastikan bekalan bantuan kepada mangsa di setiap PPS adalah mencukupi.
Turut hadir bersama beliau dalam lawatan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.23 Bukit Semuja John Ilus, Residen Bahagian Serian merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Serian Caroline Cleophas Joseph dan Pegawai Daerah Serian merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Serian, Inting Nyami.
Terdahulu, Uggah turut mengadakan lawatan ke beberapa PPS di Bau dan Serian, antaranya PPS Dewan Kampung Bijuray, Krokong, PPS Dewan Kampung Belimbing, Krokong, serta PPS Dewan Kampung Lintang, Serian.
Setakat tengah hari tadi, PPS Dewan Serbaguna Kampung Ranchan menempatkan seramai 26 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan tiga buah kampung, iaitu Kampung Slabi Empurung (11 KIR), Kampung Ranchan (satu KIR) dan Kampung Slabi Plaman (14 KIR).
Bahagian Serian merekodkan jumlah PPS terbanyak dibuka iaitu sebanyak 24 PPS, yang menempatkan 507 KIR melibatkan seramai 1,779 orang mangsa.
Sementara itu, menurut Infografik Bencana Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 yang dikeluarkan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak, secara keseluruhan sebanyak 39 PPS aktif di seluruh Sarawak, termasuk di Samarahan (enam), Kuching (tiga), Miri (tiga), manakala Mukah dan Sibu masing-masing satu PPS.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Barina Nani (BMKK)
Foto : Bolhan Basah (BKVS) / Pejabat Timbalan Premier Sarawak
KUCHING, 9 Jan - Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Dr. Abdullah Zulkifli telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi hari ini.
Kunjungan hormat tersebut merupakan pertemuan rasmi pertama Dr. Abdullah Zulkifli sejak memulakan tugas di Sarawak pada Oktober lalu yang bertujuan memperkukuh hubungan diplomatik serta meneroka potensi kerjasama strategik antara kedua-dua wilayah.
Menurut beliau, pertemuan tersebut memfokuskan kepada usaha meningkatkan kesalinghubungan (connectivity) dan pembangunan ekonomi sempadan.
Ia termasuk cadangan Premier Sarawak untuk memperluaskan jaringan Kereta Api Borneo (Borneo Railway) agar dapat menembusi wilayah Kalimantan, sekali gus menjadikan Borneo sebagai satu kesatuan ekonomi dan perniagaan yang kukuh.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh mengenai pemerkasaan infrastruktur menerusi Lebuhraya Pan Borneo dan Jalan Pesisir Pantai bagi melancarkan aliran perdagangan dan logistik.
Sementara itu, Konsul Jeneral turut menyatakan hasrat untuk menubuhkan Majlis Perniagaan Sarawak-Indonesia bagi memacu kerjasama dalam sektor tenaga hijau dan perdagangan karbon.
Beliau turut mengakui peranan penting Sarawak yang kini mengeksport tenaga ke Kalimantan serta potensi peluasan ke Sabah, Brunei dan Singapura.
Menjelang penganjuran Sukan SEA 2027 di Sarawak pula, beliau optimis bahawa kesalinghubungan laluan udara Kuching-Pontianak dan Kuching-Jakarta yang kini beroperasi akan meningkatkan kehadiran pelancong dari Indonesia.
Beliau juga mengharapkan sokongan timbal balik bagi penganjuran Borneo Games yang dijadualkan berlangsung di Kalimantan Timur pada tahun yang sama.
Mengakhiri pertemuan, beliau menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas keprihatinan dan perlindungan yang diberikan kepada tenaga kerja Indonesia di negeri ini yang menyumbang kepada produktiviti ekonomi kedua-dua belah pihak.
Menyentuh mengenai pembukaan pejabat Sarawak Trade and Tourism Office (STATOS) di Ibu Kota Nusantara (IKN), beliau memaklumkan bahawa persiapan fizikal dan sistem kini sedang giat dilaksanakan. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Abdul Hakeem (BKVS)
KUCHING, 8 Jan – Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada rombongan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Lumut Naval Shipyard Sdn. Bhd. (LUNAS) di kediaman rasmi di sini, pagi tadi.
Rombongan TLDM diketuai oleh Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato’ Baharudin Wan Mohd Nor, manakala rombongan LUNAS diketuai Ketua Pegawai Eksekutif LUNAS, Azhar Jumaat.
Kunjungan hormat ini bertujuan menyampaikan warkah persilaan dan jemputan rasmi kepada TYT dan isteri bagi menyempurnakan upacara penamaan serta pelancaran Kapal Tempur Pesisir 3 di Ship Lift Area, LUNAS Perak yang dijadualkan berlangsung pada 10 Februari 2026.
Menurut tradisi maritim, pemilihan ‘Lady Sponsor’ bagi upacara penamaan kapal adalah satu penghormatan tertinggi.
Dalam kunjungan hormat itu, Dato’ Baharudin dan Azhar turut memberi taklimat kepada TYT dan Toh Puan mengenai kemajuan pembinaan kapal berkenaan.
Upacara penamaan kapal akan disempurnakan oleh Toh Puan Fauziah melambangkan sokongan padu kepimpinan Sarawak terhadap kedaulatan maritim dan industri pertahanan negara.
Hadir sama dalam kunjungan hormat ialah isteri Panglima Armada Barat, Datin Shafiqah Ismail; Ketua Pengarah Pasukan Littoral Combat Ship (LCS), Laksamana Ir. Ts. En Franklin Jeyasekhar Joseph; Komander Ts En Mohamad Idrus Mat Zain; isteri Ketua Pegawai Eksekutif LUNAS, Noor Afzan Md Noordin; serta anggota Sekretariat Upacara TLDM dan LUNAS.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Ninie Gumbang (BMKK)
Foto : Cassidy Lisut / Rizal (BKVS)
KUCHING, 6 Jan - Pameran Aeroangkasa Asia Pasifik (APACE) 2026 dijadualkan berlangsung selama tiga hari, bermula pada 27 hingga 29 Januari ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya, hari ini.
“APACE 2026 merupakan persidangan dan pameran antarabangsa yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) bersama Kolej Universiti i-CATS, dengan sokongan Business Events Sarawak (BESarawak) serta Borneo Business Connect Sdn Bhd.
“Hampir semua kementerian di Sarawak, khususnya yang berkaitan dengan sektor angkasa dan penerbangan akan terlibat dalam persidangan ini.
"Penglibatan menyeluruh tersebut mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam membangunkan industri aeroangkasa dan penerbangan di Sarawak,” kata Roland.
Objektif utama APACE 2026 adalah untuk membangunkan bakat tempatan dalam bidang aeroangkasa dan penerbangan, termasuk kemahiran dalam avionik, aeroangkasa, teknologi satelit serta bidang berkaitan berteknologi tinggi.
Seiring dengan penubuhan syarikat penerbangan milik negeri iaitu AirBorneo, Roland menegaskan kepentingan untuk memastikan rakyat Sarawak dilengkapi dengan kemahiran dan kepakaran yang relevan dalam industri ini.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I, Datuk Francis Harden Hollis. -PENERANGAN-
– TAMAT –
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Lance Dunstan/ Mohamad Rizal Matasan (BKVS)
KUCHING, 3 Jan – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri menyeru agar lebih ramai wanita menyertai program PERANTIS yang memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan, kapasiti dan keusahawanan wanita secara berstruktur dan berimpak.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Media Program Perantis : Bengkel Pembangunan Kepimpinan (PENDAYA) untuk Usahawan Wanita Dayak di Dayak Chamber di sini, petang tadi.
"PERANTIS memainkan peranan yang sangat penting, bukan sekadar program latihan, tetapi satu usaha membina keyakinan, kepimpinan dan keupayaan wanita untuk bergerak seiring dengan perubahan teknologi dan ekonomi baharu.
"Program seperti PENDAYA memberi ruang kepada wanita untuk belajar, berhubung, diperkasa dan akhirnya memimpin," katanya.
Menurut beliau, sehingga tahun 2025, PERANTIS telah melaksanakan 100 program di seluruh negara, melibatkan 4,770 peserta wanita daripada pelbagai latar belakang.
"Di Sarawak, sebanyak 11 program PERANTIS telah dilaksanakan dengan penglibatan 640 peserta wanita, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan pembangunan kepimpinan wanita dilaksanakan secara inklusif dan seimbang dari segi wilayah.
"Kerajaan telah memperuntukkan RM5 juta untuk tujuan ini dan setiap program PERANTIS berjumlah RM50,000," ujar Nancy.
Beliau yang juga Ahli Parlimen P.193 Santubong turut menambah bahawa landskap ekonomi hari ini menuntut pendekatan yang lebih kreatif, 'versatile' and 'future-oriented'.
"Perkembangan teknologi digital dan Kecerdasan Buatan (AI) kini membuka peluang baharu bukan sahaja untuk menambah pendapatan, tetapi juga untuk membina keyakinan, kemahiran baharu dan kepimpinan dalam penyertaan ekonomi.
"Di Sarawak, pembangunan platform ekonomi digital telah membantu para usahawan memasarkan produk mereka dengan lebih meluas, meningkatkan kemahiran dan memperkukuh rangkaian perniagaan," jelasnya.
Katanya lagi, inisiatif yang diperkenalkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberikan asas yang kukuh dan sokongan yang berharga, membolehkan rakyat melangkah dengan yakin ke pasaran yang lebih besar.
"Banyak peluang yang telah beliau ketengahkan kepada para wanita agar lebih ramai wanita berpeluang meneroka sektor baharu, daripada keusahawanan digital sehinggalah kepada inovasi dan teknologi.
"Sarawak juga mempunyai potensi yang sangat besar, dengan kreativiti, inovasi dan dasar yang menyokong kita dapat mengubah warisan budaya yang kaya menjadi pemacu berkuasa kepada ekonomi moden dan berdaya saing, sambil memperkasakan wanita untuk memimpin dan membentuk transformasi ini," tambahnya.
PENDAYA adalah bengkel pembangunan kepimpinan dua hari yang bakal diadakan pada 12 hingga 13 Januari 2026 di Dayak Chambers.
Program ini yang direka khas untuk 50 orang usahawan wanita Dayak bagi memperkukuh kemahiran kepimpinan, pembuatan keputusan strategik, komunikasi berkesan serta rangkaian perniagaan.
Iai turut menggabungkan pembelajaran interaktif, kajian kes sebenar dan sesi mentorship untuk melahirkan pemimpin wanita Dayak yang yakin, berdaya tahan dan berimpak, selaras dengan aspirasi PERANTIS.
Turut hadir ialah Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Dayak (DCCI), Dato’ Allan Keripin Nangkai; isteri kepada Menteri Kerja Raya, Dato' Angelina Celestine Ujang; Pengerusi Pengelola Program PERANTIS - PENDAYA/Presiden WESNA, Dr. Carolina Sandra Giang dan lain-lain.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Juliana Abdullah (BMKK)
Foto : Cassidy Lisut (BKVS)
KUCHING, 1 Jan - Sambutan Tahun Baharu 2026 Peringkat Negeri Sarawak berlangsung dengan penuh meriah dan berwarna-warni di Tebingan Sungai Kuching, malam tadi, meskipun hujan lebat tidak mematahkan semangat ribuan pengunjung yang hadir menyambut ketibaan tahun baharu.
Sambutan tersebut menarik kehadiran pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus memperlihatkan semangat kebersamaan dan perpaduan rakyat Sarawak dalam meraikan detik ambang 2026.
Majlis Sarawak Countdown 2026 diserikan dengan keberangkatan tiba Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dan disambut oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Budaya Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama isteri, Datin Seri Zuraini Abdul Jabar.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Sim Kui Hian bersama isteri, Dato Enn Ong Siok Ean, mewakili Premier Sarawak.
Majlis dimulakan dengan persembahan pembukaan yang mengetengahkan elemen kebudayaan dan kesenian pelbagai kaum di Sarawak, diikuti tayangan Video Khas Sarawak Countdown 2026 yang memaparkan pencapaian, aspirasi serta hala tuju pembangunan negeri.
Tun Pehin Sri dalam amanat ringkasnya melalui tayangan video khas berkata, tahun baharu perlu dijadikan medan memperteguh iltizam, memperkemas pelaksanaan, dan memastikan setiap usaha memberi manfaat bersama.
“Semoga 2026 menjadi ruang untuk bermuhasabah, bersyukur, dan melangkah ke hadapan dengan azam lebih utuh demi masa depan Sarawak dan generasi akan datang,” ujarnya.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, menekankan perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama sebagai tunjang pembangunan mampan menjelang 2026 dan usaha mencapai status wilayah maju 2030.
“Saya menyeru semua rakyat, tanpa mengira bangsa atau agama, terus memelihara keharmonian dan perpaduan yang menjadi kekuatan Sarawak,” katanya melalui tayangan video khas.
Sambutan diteruskan dengan pelancaran Gateway to a Sarawak Guinness World Record yang melambangkan komitmen Sarawak untuk terus mencipta pencapaian bertaraf antarabangsa.
Malam sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan dan terkenal tanah air, termasuk Dayang Nurfaizah, Naqiu, Jatt Ali serta kumpulan legenda KRU, yang berjaya memukau penonton menjelang detik ambang tahun baharu.
Detik kemuncak sambutan diserikan dengan pertunjukan bunga api berirama yang menerangi langit Tebingan Sungai Kuching, menandakan ketibaan tahun baharu 2026 dalam suasana penuh kegembiraan dan harapan.
Usai pertunjukan bunga api, para pengunjung dihiburkan dengan persembahan istimewa oleh penyanyi terkenal dari Indonesia, Judika, yang tampil dengan persembahan bertenaga dan memukau ribuan hadirin.
Sepanjang berlangsungnya majlis, keadaan kekal terkawal dan teratur hasil kerjasama erat pihak berkuasa keselamatan, sekali gus memastikan keselamatan serta keselesaan orang ramai terpelihara sehingga tamat sambutan.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Muhammad Izzat Muzaqeer Zamri (BMKK)
Foto : Bolhan Basah / Mohd Rizal (BKVS)