JABATAN PENERANGAN MALAYSIA SARAWAK
KUCHING, 28 Feb - Program Ramadan Prihatin diharap dapat menjadi jambatan silaturahim yang erat demi kesejahteraan bersama.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri ketika merasmikan program tersebut di Masjid Darul Hana, Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Lima Sarawak, hari ini berkata, bulan Ramadan adalah tanda penghargaan dan kasih sayang kepada mereka yang berkhidmat dengan ikhlas demi negara.
Menurut Nancy , program itu telah dilaksanakan bersama pihak YADIM sejak beliau diberi amanah sebagai Ahli Parlimen.
"Sehubungan itu, saya ingin menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) atas komitmen berterusan dalam menjayakan program kebajikan demi kesejahteraan masyarakat," katanya.
Sebanyak 150 bakul makanan dan wang zakat telah diagihkan kepada anggota beruniform Polis Marin dan golongan asnaf di bawah Zon JAKASEH yang melibatkan kawasan DUN N4 Pantai Damai.
Program Ramadan Prihatin adalah hasil kerjasama antara YADIM dengan Pejabat Khidmat Rakyat P.193 Santubong, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Yayasan Kebajikan Negara, Polis Marin Bintawa Kuching dan Stesen Minyak Petronas.
"Kerjasama ini mencerminkan semangat kebersamaan antara sektor korporat, agensi kerajaan dan masyarakat akar umbi," ujarnya yang juga merupakan Ahli Parlimen P.193 Santubong.
Nancy turut menyumbangkan peruntukan sebanyak RM3,000 kepada Masjid Darul Hana, Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Lima Sarawak ini.
Sejurus selesai penyampaian bakul makanan dan wang zakat kepada anggota beruniform dan asnaf, Nancy seterusnya bergerak ke Stesen Minyak Petronas Ulu Bintawa bagi menghadiri Program Keselamatan Jalan Raya serta agihan bubur lambuk.
Pada program itu pula, sebanyak 1,000 pek bubur as-Syura serta 100 unit topi keledar percuma telah diedar kepada pengguna jalan raya.
Turut hadir ialah Komander Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Lima, Sarawak, ACP Abdul Rahman Mat Hasan, Pengurus Besar Kanan Perhubungan Pihak Berkepentingan PETRONAS, Kharuddin M Jaafar, Pegawai Daerah Kuching, Zaidi Sarkawi, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Kebajikan Negara, Nordina Haron, Pengarah YADIM Zon Sarawak, Awang Dulhadi Awang Mat dan tetamu lain.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Juliana Abdullah (BMKK)
Foto : Cassidy Lisut / Lance Dunstan (BKVS)
KUCHING, 27 Feb – Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) akan memperkasa pengurusan hartanah serta meneroka bidang baharu yang mampu menjana pendapatan mampan demi kestabilan kewangan institusi tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS yang baharu, Datu Abdul Hadi Abdul Kadir memaklumkan perkara tersebut semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi, hari ini.
“Kita membincangkan cadangan untuk memperkasa pengurusan hartanah serta meneroka bidang baharu yang mampu menjana pendapatan mampan demi kestabilan kewangan, di samping memaklumkan perkembangan semasa serta hala tuju strategik institusi LAKMNS,” kata Abdul Hadi.
Tujuan kunjungan tersebut adalah bagi memberi taklimat kepada Abang Johari selaku Pengerusi LAKMNS berhubung aktiviti sedia ada, termasuk pengurusan masjid, tanah perkuburan dan aset-aset berkaitan.
Menurut Abdul Hadi, selain pandangan dan nasihat dalam memperkukuh asas kewangan dan memastikan kelestarian institusi berkenaan, Abang Johari turut menyarankan agar pihak lembaga bekerjasama dengan beberapa entiti strategik di negeri ini bagi mengoptimumkan sumber dan kepakaran dalam menjana hasil yang berterusan.
Setakat ini kedudukan kewangan lembaga berada dalam keadaan kukuh dengan imbangan yang stabil, hasil pelaburan dalam pelbagai sektor termasuk kuari, minyak dan gas serta hartanah.
Selain itu, lembaga juga sedang melihat potensi penjanaan 'green revenue' menerusi inisiatif ekonomi hijau dan tenaga lestari yang selaras dengan dasar pembangunan mampan negeri Sarawak.
Jelasnya, peranan masjid tidak terhad kepada aspek keagamaan semata-mata, malah berfungsi sebagai institusi kebajikan dan pemangkin pembangunan ekonomi ummah.
Tambahnya, sebagai sebuah organisasi kebajikan, LAKMNS akan terus meneroka pelbagai cabang ekonomi Islam bagi menyediakan tapak pembangunan ekonomi ummah secara lebih tersusun dan mampan. -PENERANGAN-
-TAMAT–
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Bolhan Basah (BKVS)
KUCHING, 27 Feb – Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sempena persaraannya yang akan berkuat kuasa esok, selepas 16 tahun menerajui institusi fatwa negeri.
Dalam pertemuan bersama media sejurus kunjungan hormat yang berlangsung di Kompleks Satria Pertiwi, Kipli menyifatkan kunjungan tersebut amat bermakna dan simbol penghargaan terhadap kepercayaan serta keyakinan yang telah diberikan kepadanya.
“Saya terhutang budi atas kepercayaan yang diberikan untuk memimpin institusi fatwa khususnya dan institusi Islam di Sarawak secara amnya.
“Isu keharmonian masyarakat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya yang mula memegang jawatan tersebut pada 1 Mac 2010.
Menurutnya, institusi fatwa memainkan peranan penting dalam memberikan pandangan dan bimbingan kepada masyarakat Islam agar sentiasa berada di landasan yang betul di samping memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama terus terpelihara.
Walaupun fatwa dikhususkan kepada umat Islam, beliau menegaskan setiap keputusan yang dikeluarkan turut mengambil kira sensitiviti masyarakat bukan Islam supaya tidak menyentuh perasaan mana-mana pihak.
“Dengan pendekatan ini, kehidupan masyarakat akan menjadi lebih selesa dan harmoni,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas kerjasama erat kerajaan Sarawak yang disifatkannya sebagai amat bernilai dalam memperkasa peranan institusi fatwa.
Tambahnya, dengan sokongan tersebut ia membolehkan institusi itu berkembang secara teratur dan sistematik, sejajar dengan perkembangan teknologi semasa serta prinsip keterangkuman sosial.
Beliau juga bersyukur kerana hubungan baik dapat dijalin bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, malah bersama masyarakat bukan Islam dan melalui pendekatan yang sederhana, saling menghormati dan bekerjasama itu, ia telah membantu membentuk masyarakat yang harmoni, maju dan makmur. – PENERANGAN .
– TAMAT –
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Bolhan Basah (BKVS)
𝗞𝗨𝗖𝗛𝗜𝗡𝗚, 𝟮𝟳 𝗙𝗲𝗯. – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyantuni ketua-ketua masyarakat sekitar Kuching pada Majlis Berbuka Puasa, Maghrib, Isyak dan Tarawih bersama Pemimpin Masyarakat di Dewan Serbaguna Kompleks Satria Pertiwi, malam tadi.
Beliau yang tiba kira-kira jam 6.45 petang disambut mesra oleh ketua-ketua masyarakat dan kaum yang terdiri daripada pelbagai komuniti masyarakat.
Majlis yang berlangsung itu menghimpunkan kira-kira 300 jemputan terdiri daripada pemimpin masyarakat, ketua kaum, wakil agensi kerajaan serta tetamu kehormat dan dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran sebelum hadirin bersama-sama berbuka puasa.
Sejurus itu, Premier Sarawak bersama para jemputan menunaikan sembahyang Fardhu Maghrib secara berjemaah, diikuti jamuan makan malam sebelum diteruskan dengan sembahyang Fardhu Isyak dan sembahyang sunat Tarawih berjemaah yang diimamkan oleh Imam Besar Sarawak, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi dan diakhiri dengan moreh dan sesi ramah mesra.
Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri, barisan menteri Kabinet Sarawak, timbalan-timbalan Menteri, ketua-ketua jabatan serta para tetamu jemputan. -PENERANGAN.
– TAMAT-
Disediakan oleh: Mohamad Borhan Ahmad Ulis (BMKK).
Foto oleh: Cassidy Lisut (BKVS).
KUCHING, 25 Feb – Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menerima kunjungan hormat daripada rombongan Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) di kediaman rasmi beliau di sini, tengah hari tadi.
Rombongan Ahli Majlis Tertinggi PVATM itu telah diketuai oleh penasihatnya, Mejar (B) Dato’ Peter Runi bertujuan untuk memperkenalkan barisan kepimpinan baharu persatuan tersebut, selain mendapatkan nasihat dan pandangan daripada Pehin Sri Dr. Wan Junaidi berkenaan dengan peranan serta aktiviti-aktiviti kemasyarakatan PVATM.
Selain itu, kunjungan tersebut juga adalah untuk mengusulkan cadangan untuk melantik Yang di-Pertua Negeri Sarawak sebagai Penaung PVATM Sarawak mengikut peruntukan undang-undang dan seperti mana yang diamalkan di negeri-negeri lain.
Hadir sama dalam kunjungan hormat ialah Yang Dipertua PVATM, Jimbau Galu, Timbalan Yang Dipertua PVATM, Kapten (B) Hadzill Awi, Philipsen Jeff Talot, Edwin Jarau dan Garid Sunang.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Ninie Gumbang (BMKK)
Foto : Mohamad Rizal (BKVS)
KUCHING, 25 Feb – Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) terus memperkukuh komitmen sosialnya menerusi penganjuran Majlis Iftar LCDA Darul Hana 2026 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg, semalam.
Majlis bertemakan “45 Tahun LCDA Bersama Komuniti” itu diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-45 agensi berkenaan sekali gus menjadi wadah menghargai sokongan padu pemegang taruh serta masyarakat sepanjang lebih empat dekad penubuhannya.
Dalam majlis sama LCDA menyerahkan Zakat Perniagaan 2025 berjumlah RM1,782,437.05 kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) melalui Pengurus Besar LCDA, Datu Sr Zaidi Mahdi kepada Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie dan disaksikan oleh Premier Sarawak.
Selain itu, seramai 125 penerima daripada 13 kampung di bawah Projek Pembangunan Darul Hana menerima Sumbangan Hari Raya berjumlah keseluruhan RM25,000.
Inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) tahunan ini dilaksanakan bagi membantu meringankan beban golongan memerlukan dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen berterusan LCDA sebagai agensi pembangunan inklusif dan mampan yang menekankan kesejahteraan rakyat melalui pendekatan holistik agar memastikan Projek Pembangunan Darul Hana memacu pembangunan fizikal sambil mengutamakan kebajikan serta kepentingan penduduk setempat.
Majlis iftar yang dihadiri kira-kira 700 tetamu itu turut menjadi medan penghargaan kepada ketua masyarakat agensi dan jabatan kerajaan serta rakan media yang memainkan peranan penting dalam menyokong dan menjayakan setiap inisiatif pembangunan di bawah seliaan LCDA.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Kedua serta Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Utiliti dan Telekomunikasi) merangkap Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam, Datuk Abdul Rahman Junaidi,
Pengerusi LCDA Holdings Sdn Bhd,
Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Dato Husain,
Pengurus Besar LCDA, Datu Sr Zaidi Mahdi dan tetamu-tetamu kehormat yang lain. -Penerangan
-TAMAT-
Disediakan oleh : Nur Alya Adriana Ahmad Sukri (BMKK)
Foto oleh : Saiful Rahman Sabrin (BKVS)
KUCHING, 24 Feb - Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin bakal menamatkan perkhidmatan setelah berkhidmat selama 16 tahun menerajui institusi Jabatan Mufti Sarawak.
Beliau hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di kediaman rasmi beliau di Kasuma Resort.
Kunjungan itu merupakan tanda menjunjung kasih dan setinggi-tinggi penghargaan atas kepimpinan, sokongan serta perhatian yang diberikan oleh Tun Wan Junaidi sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Mufti Sarawak.
Beliau dilantik ke jawatan tersebut buat pertama kali pada 1 Mac 2010 dan akan menamatkan perkhidmatan berkuatkuasa pada 28 Februari 2026.
Kipli dilahirkan pada 3 November 1967 di Selalang, Sarikei dan merupakan anak jati Sarawak berketurunan Melanau.
Beliau adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Kelas Pertama) dan Sarjana Usuluddin dalam bidang Pemikiran Islam dari Universiti Malaya.
Selain itu, beliau turut memiliki sijil dalam bidang latihan dan penilaian dari Australia serta mengikuti kursus khas pengajian Islam di Muslim College, London.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau memainkan peranan penting dalam memperkukuh institusi kefatwaan serta memperkasa pengurusan hal ehwal Islam di negeri ini.
Antara sumbangan utama beliau termasuk menerajui usaha penyeragaman dan pengurusan fatwa di peringkat kebangsaan dan negeri serta penglibatan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Sarawak.
Beliau turut menyertai pasukan penyelidikan Malaysia berkaitan vaksin di Cuba serta bertanggungjawab menasihati Yang di-Pertuan Agong dan Kerajaan Sarawak dalam perkara berkaitan hukum syarak.
Di peringkat Sarawak, beliau berperanan menasihati Majlis Islam Sarawak dalam pengeluaran fatwa dan perkara berkaitan Undang-Undang Islam.
Kipli juga pernah menghasilkan beberapa siri penulisan antaranya, Perpaduan Pemangkin Pembangunan Ummah, Kasihnya Ibu Membawa ke Syurga, Nota Ramdan: Menggapai Taqwa Menapak Semula Fitrah, Indahnya Syawal, Bakti Anak-anak Terhadap Ibu bapa dan Dato Sri Haji Abdul Kadir Hassan: Pemikiran dan Sumbangannya Dalam Perkembangan Islam di Negeri Sarawak.
Hadir sama ialah isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.-PENERANGAN.
-TAMAT-
Oleh: Norhayati Sarkawi (BMKK)
Foto: Abdul Hakeem Well (BKVS)
Kuching, 24 Feb- Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi Openmove AI Berhad, Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, di Pejabat Premier Sarawak, Kompleks Satria Pertiwi di Kuching, hari ini.
Menurut Tengku Mohamad Rizam semasa sidang media selepas kunjungan hormat itu berkata, kunjungan hormat tersebut diadakan bagi meneroka peluang dan menjalin usahasama dengan agensi-agensi kerajaan negeri dalam agenda transformasi melalui kesepakatan yang ditawarkan oleh Openmove AI Berhad.
Tambahnya lagi, mereka berminat untuk menjalin kerjasama kerana melihat usaha-usaha yang telah dilakukan oleh Sarawak dalam agenda transformasi yang telah meletakkan negeri ini antara negeri yang telah maju bergerak ke hadapan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas kunjungan dan khidmat nasihat Premier dalam usaha menjalin kerjasama ini.
Sementara itu, Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam bersama Syarikat Openmove AI Berhad juga telah menyantuni warga Institut Pengajian Tafaqquh & Tahfiz Al-Makki melalui penganjuran Majlis Berbuka Puasa yang diadakan di Kampung Melayu, Kota Samarahan semalam.
Turut hadir ialah Naib Presiden Kanan Movenet (Malaysia) Sdn Bhd, Steven Lim Kee Seng, Naib Presiden Movenet (Malaysia) Sdn Bhd, Dr Ts. Muhammad Fadhli Abdul Malek dan S. Chandra Bogar Samuel Swamiadian. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Juliana Abdullah (BMKK)
Foto : Cassidy Lisut (BKVS)
KUCHING, 24 Februari – Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Sarawak yang diketuai oleh Ketua Biro Muhammad Ammar Shafiq Hamzah bertempat di Ibu Pejabat JAPEN Sarawak, Jalan Diplomatik, Petra Jaya.
Pengarah JAPEN Sarawak, Sabri Said mengalu-alukan kerjasama kedua-dua agensi untuk memperkasa jentera komunikasi bagi menyampaikan maklumat dan berita terkini kepada rakyat.
Hadir sama dalam sesi tersebut ialah Timbalan Pengarah JAPEN Sarawak, Sri Kestury Mohammed Zamhari, Pegawai-pegawai Berita BERNAMA, Rozlin Rusharmeen Rosmin, Anasathia Jenis, Zaphne Philip dan Ketua-ketua Penolong Pengarah JAPEN Sarawak. -TAMAT-
Disediakan oleh: Izawati Eni (BMKK)
Foto oleh: Bolhan Basah (BKVS)
𝗞𝗨𝗖𝗛𝗜𝗡𝗚, 𝟮𝟰 𝗙𝗲𝗯. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud menegaskan bahawa pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pengukuhan budaya kerja Malaysia MADANI dan pembinaan negara bangsa merupakan tiga teras utama dalam memastikan Malaysia terus makmur, sejahtera serta berdaya tahan.
Berucap pada Majlis Amanat YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Bersama Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan di Sarawak di Bangunan Sultan Iskandar di sini pagi tadi, beliau berkata komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap pelaksanaan MA63 dilaksanakan secara berstruktur sejak 2016 dan diperkasa di bawah Kerajaan MADANI melalui penubuhan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63).
“Sehingga kini, sebanyak 29 perkara berkaitan MA63 telah dibincangkan dengan 13 daripadanya berjaya diselesaikan, manakala selebihnya berada dalam pelbagai peringkat tindakan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelancaran Dashboard MA63 Fasa 1 pada 28 Januari 2026 membolehkan orang ramai meneliti perkembangan pelaksanaan MA63 secara telus melalui portal rasmi, sekali gus memastikan maklumat sahih dapat diakses masyarakat.
Mustapha berkata kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang konsisten meletakkan MA63 sebagai agenda nasional membuktikan komitmen kerajaan dalam menjamin keadilan antara wilayah serta memperkukuh kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
Menyentuh aspek pembangunan, beliau berkata pemberian khas interim kepada Sabah dan Sarawak telah meningkat secara signifikan daripada RM300 juta setahun pada 2024 kepada RM600 juta setahun bermula 2025 dan diteruskan dalam Belanjawan 2026.
“Peruntukan pembangunan juga meningkat secara konsisten dan berperingkat, mencerminkan kesungguhan kerajaan mempercepat pembangunan infrastruktur, pendidikan, kesihatan serta kesejahteraan rakyat di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Mengulas budaya kerja Malaysia MADANI, beliau menegaskan ia bukan sekadar slogan tetapi perlu diterjemahkan melalui kecekapan penyampaian perkhidmatan, keprihatinan terhadap rakyat serta rasa tanggungjawab tinggi dalam kalangan penjawat awam.
Beliau berkata, proses Borneonisasi perjawatan awam di Sabah dan Sarawak terus menunjukkan kemajuan dengan kadar penyertaan masing-masing 71.88 peratus di Sabah dan 87.50 peratus di Sarawak, sekali gus memperkukuh kefahaman terhadap keperluan tempatan serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
Dalam pada itu, Mustapha menekankan bahawa MA63 perlu difahami sebagai asas pembinaan negara bangsa dan bukan untuk membuka perbezaan yang boleh menjejaskan perpaduan.
“Perpaduan hanya akan kukuh apabila hak dihormati, tanggungjawab dipikul bersama dan keadilan ditegakkan tanpa mengira kaum, wilayah atau latar belakang,” katanya.
Beliau turut menggariskan beberapa prinsip penting dalam pembinaan negara bangsa, antaranya menerima kepelbagaian sebagai kekuatan, mencari titik persamaan, menegakkan keadilan, mengurus perbezaan secara matang, memartabatkan nilai kemanusiaan dan mengamalkan kepimpinan berintegriti.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Akauntan Negara Malaysia Negeri Sarawak, Zainuddin Manaf; Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sarawak, Abdul Halim Abang Naili; Pengerusi Mahkamah Perusahaan Malaysia Cawangan Sarawak, Mohd Taufik Mohd Yusoff; serta ketua-ketua jabatan, ketua-ketua agensi dan tetamu jemputan lain. – TAMAT –
Disediakan oleh: Mohamad Borhan Ahmad Ulis (BMKK).
Foto oleh: Lance Dunstan (BKVS).
𝗞𝗨𝗖𝗛𝗜𝗡𝗚, 𝟮𝟰 𝗙𝗲𝗯. – Agenda Borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan di Sarawak terus menunjukkan perkembangan positif apabila kira-kira 87 peratus penjawat awam yang berkhidmat di negeri ini terdiri daripada warga Sarawak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, pencapaian tersebut membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkasa penyertaan anak tempatan dalam agensi dan jabatan Persekutuan di Sarawak.
Menurut beliau, di Sabah pula, kadar penyertaan penjawat awam tempatan dalam perkhidmatan Persekutuan telah mencecah sekitar 71 peratus.
“Daripada 13 perkara yang dibincangkan dalam platform rundingan berkaitan hal ehwal Sabah dan Sarawak, sembilan daripadanya berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dan sebahagian besar telah menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Amanat YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Bersama Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan di Sarawak yang berlangsung di Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga, pagi tadi.
Beliau menjelaskan bahawa isu Borneonisasi masih dalam perbincangan lanjut di peringkat jawatankuasa teknikal, namun trend semasa memperlihatkan peningkatan yang konsisten dari segi pengisian jawatan oleh warga tempatan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa agenda tersebut tidak tertumpu kepada penetapan peratusan tertentu semata-mata, sebaliknya memberi fokus kepada usaha berterusan memperkukuh kehadiran dan peranan anak tempatan dalam struktur pentadbiran persekutuan di kedua-dua negeri.
“Yang penting ialah momentum itu berjalan dan menunjukkan peningkatan dan kita melihat kadar penyertaan penjawat awam tempatan semakin baik,” ujarnya.
Pada masa yang sama, beliau turut menggalakkan penjawat awam dari Sabah dan Sarawak supaya berani menyahut cabaran untuk berkhidmat di negeri-negeri lain termasuk di Putrajaya, bagi menimba pengalaman serta memahami budaya kerja di peringkat pusat.
Katanya, pendedahan tersebut penting dalam usaha memperkukuh keupayaan perancangan dan pelaksanaan pembangunan negeri dalam jangka sederhana dan panjang. – TAMAT –
Disediakan oleh: Mohamad Borhan Ahmad Ulis (BMKK).
Foto oleh: Lance Dunstan (BKVS).
KUCHING, 23 Feb — Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg meluangkan masa untuk berbuka puasa bersama dengan penjawat awam di Kompleks Satria Pertiwi, di sini hari ini.
Majlis Berbuka Puasa, Maghrib, Isyak dan Tarawih Berjemaah Bersama Penjawat Awam itu dihadiri oleh penjawat awam dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan dan Sarawak.
Setelah berbuka, beliau dan tetamu yang beragama Islam yang lain menunaikan solat fardhu Maghrib secara berjemaah, diikuti solat Isyak dan solat sunat Tarawih.
Solat pada malam tersebut dipimpin oleh Imam Besar Sarawak, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Dalam majlis yang sama, sebanyak 100 sumbangan ikhlas Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Sarawak berbentuk wang tunai dan cenderamata turut disampaikan kepada 100 penerima.
Turut hadir ialah Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Menteri-menteri Sarawak serta dif-dif kenamaan yang lain.-PENERANGAN.
-TAMAT-
Oleh: Norhayati Sarkawi (BMKK)
Foto: Lance Dunstan (BKVS)
KUCHING, 23 Februari – Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) yang diketuai oleh Pengarah AKM Sarawak, Mohamad Faizal Lamat bertempat di Ibu Pejabat JAPEN Sarawak, Jalan Diplomatik, Petra Jaya.
Kunjungan tersebut telah disambut oleh Pengarah Penerangan Sarawak, Sabri Said adalah bertujuan untuk memperkasa jalinan strategik antara kedua-dua agensi dalam usaha menyebarluaskan semangat kenegaraan dan patriotisme kepada masyarakat melalui latihan kenegaraan Malaysia khususnya di Sarawak.
Fokus utama perbincangan adalah untuk berkolaborasi dalam pelbagai program berkaitan mesej kenegaraan.
Hadir sama dalam sesi tersebut ialah Timbalan Pengarah JAPEN Sarawak, Sri Kestury Mohammed Zamhari, pegawai-pegawai AKM, Brendon Anderson Joseph,Muhammad Saufi Suut, Rakhael Kosman serta barisan Ketua-ketua Penolong Pengarah JAPEN Sarawak. -TAMAT-
Disediakan oleh: Izawati Eni (BMKK)
Foto oleh: Bolhan Basah (BKVS)
KUCHING, 20 Februari – Kesihatan mental adalah sama penting dengan kesihatan fizikal dan perlu diberi perhatian serius oleh setiap lapisan masyarakat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri ketika berucap pada Program Mindness Tour Kaunseling Kasih Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) ‘Kamek Nengar, Kamek Nulong’ serta Majlis Penyerahan Bakul Makanan di Dewan Serbaguna Kampung Selabat, Demak Laut pagi tadi berkata setiap individu pasti pernah berdepan tekanan dan cabaran kehidupan, justeru sokongan profesional amat diperlukan bagi memastikan kesejahteraan diri dan keluarga sentiasa terpelihara.
“Masyarakat boleh mendapatkan khidmat kaunseling, nasihat dan sokongan secara profesional daripada Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS).
“Mendapatkan bantuan bukan tanda kelemahan, tetapi satu langkah berani untuk menjaga kesejahteraan diri dan keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai 600 penerima zakat di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjong Datu, Pantai Damai dan Demak Laut telah dikenal pasti menerima bantuan pada tahun ini.
Menurutnya, sebanyak 1,033 bakul makanan telah disumbangkan oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN), PEKEMA dan PETRONAS bagi membantu golongan memerlukan.
Katanya, seramai 77 penerima asnaf daripada 11 buah kampung khususnya Kampung Selabat dan kawasan sekitarnya turut menerima bakul makanan daripada YKN sebagai tanda keprihatinan dan sokongan berterusan.
“Bantuan seperti ini bukan sekadar membantu memenuhi keperluan harian, tetapi juga memberi harapan dan kekuatan kepada masyarakat,” ujarnya.
Tambah beliau, usaha berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan bersama rakan strategik dalam memastikan tiada golongan yang terpinggir serta setiap komuniti terus dibantu dan diperkasakan.
Nancy turut menjelaskan program tersebut merupakan inisiatif YKN untuk turun padang, mendengar sendiri suara rakyat dan menyalurkan bantuan secara langsung kepada masyarakat.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif YKN Nordina Haron, Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Mohd Ali Taib, Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Mohd Kamaluddin Mohd Effendie serta tetamu lain. – PENERANGAN
TAMAT
Disediakan oleh: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Cassidy Lisut (BKVS)
KUCHING, 18 Feb – Program Ihya Ramadan 2026 / 1447H anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan kerjasama Pejabat Parlimen P193 Santubong menghimpunkan barisan kepimpinan bersama-sama dengan warga komuniti dalam mengimarahkan bulan Ramadan melalui pengisian rohani yang penuh makna.
Program yang diadakan di Masjid Darul Hana, malam tadi diserikan dengan kehadiran Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri.
Menurut Nancy yang ditemui media selepas program itu berkata, program tersebut diadakan sebagai persiapan untuk masyarakat Islam menyambut Ramadan yang bakal disambut beberapa hari lagi.
"Melalui program ini, banyak pengajaran yang boleh kita perolehi selain kesedaraan dan persiapan dalam menyambut Ramadan yang boleh kita kongsikan terutama kepada para penduduk yang hadir di Masjid Darul Hana malam ini", kata Nancy.
Usai solat Maghrib berjemaah, para jemaah berselawat dan berqasidah secara beramai-ramai bagi mengimarahkan lagi program malam ini.
Program diteruskan dengan sesi ceramah bertajuk 'Persediaan Kita Menjelang Ramadan' oleh Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki.
Nancy yang juga merupakan Ahli Parlimen P193 Satubong turut menyertai para jemaah mengikuti sesi ceramah selain menunaikan solat Fardhu Maghrib dan Isyak berjemaah.
Turut hadir ialah Datuk Bandar Kuching Utara Dato Hilmy Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak Datu Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir, Pengarah DBKU Ramzi Abdillah, Pegawai Daerah Kuching Zaidi Sarkawi dan tetamu lain. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Juliana Abdullah (BMKK)
Foto : Cassidy Lisut (BKVS)
KUCHING, 17 Feb – Penganjuran Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Kerajaan Sarawak 2026 menyerlahkan manifestasi keutuhan perpaduan rakyat Sarawak yang hidup dalam suasana harmoni serta saling menghormati.
Dalam acara tahunan yang dilangsungkan di Pusat Konvensyen Borneo hari ini, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata tradisi penganjuran rumah terbuka bagi setiap perayaan utama membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menyuburkan prinsip inklusiviti dalam kalangan masyarakat.
“Saya bangga melihat kehadiran masyarakat berbilang kaum termasuk Iban, Melayu dan Cina yang tampil segak mengenakan busana tradisi masing-masing bagi memeriahkan sambutan tersebut.
“Konsep rumah terbuka yang diamalkan di negeri ini amat unik kerana orang ramai dialu-alukan hadir tanpa perlu dijemput, sekali gus mengeratkan ikatan silaturahim sesama anggota masyarakat tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Tambahnya, semangat kebersamaan merupakan elemen kritikal yang menuntut setiap rakyat untuk saling membantu demi menjadikan negeri ini sebuah tempat yang lebih baik dan maju.
Katanya lagi, kestabilan politik dan sosial yang dinikmati Sarawak ketika ini wajar dijadikan teladan oleh semua.
Dr. Sim turut menyeru rakyat supaya menghayati semangat patriotisme dengan menyumbang tenaga dan bakti kepada negeri serta tidak sekadar mengharapkan inisiatif daripada pihak kerajaan semata-mata.
Turut hadir menyerikan majlis ialah Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi yang juga berkesempatan bersama-sama menyempurnakan acara ‘Yee Sang’ sebagai simbol kepada kemewahan, kekayaan, kebahagiaan dan kemakmuran selain disambut meriah dengan Tarian Singa.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Lance Dunstan dan Mohd Rizal (BKVS)
KUCHING, 16 Feb - Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut serta dalam Program Latihan Tembak PDRM Kontinjen Sarawak bagi menguji kemahiran menembak di Lapang Sasar PULAPOL Kuching, pagi tadi.
Pegawai Turus Persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Deputi Superintenden (DSP) Zaidi Said menyampaikan taklimat keselamatan dan teknik pengendalian senjata api sejurus sebelum sesi latihan bermula.
Antara pegawai kanan yang menyertai acara menembak kategori lelaki ialah Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, Komandan PULAPOL Kuching, Senior Asisten Komisioner (SAC) Zulfikar Mohd Ghazali dan Ketua Jabatan Pengurusan, SAC Rizal Abdul Rahman Sidek.
Kategori wanita pula menyaksikan penglibatan isteri Tuan Yang Terutama, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, isteri Pesuruhjaya Polis, Datin Dr. Nitce Isa Medina Machmudi Isa serta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Asisten Komisioner (ACP) Maria Rasid.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu memaklumkan bahawa seramai 20 orang penembak yang terdiri daripada pegawai kanan lelaki dan wanita menyertai latihan julung kali ini.
Beliau menjelaskan bahawa objektif utama penganjuran adalah untuk memastikan tahap kompetensi penggunaan senjata api dalam kalangan warga pasukan keselamatan sentiasa kekal relevan dan optimum.
PDRM turut berhasrat menjadikan program latihan kemahiran seumpama ini sebagai acara tahunan dalam kalendar aktiviti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada masa hadapan.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Abdul Hakeem (BKVS)
KUCHING, 15 Feb– Isteri kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hari ini telah menghadiri Majlis PEWANI (Persatuan Wanita) English Tea Party di sebuah hotel petang tadi.
Ketibaan Toh Puan Fauziah telah disambut oleh Pengerusi PEWANI Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Siti Nur Aishah Jaafar @ Abdullah.
Berucap pada majlis itu, Toh Puan Fauziah memberitahu tema 'English Royal Tea Party: Bloom and Grace' membawa makna yang mendalam di mana 'bloom' melambangkan pertumbuhan dan perkembangan yang berterusan, manakala 'groom' mencerminkan kelembutan, kebijaksanaan, dan kehalusan budi pekerti.
Menurut Toh Puan Fauziah, nilai-nilai ini amat relevan dengan peranan wanita, khususnya sebagai ibu, yang menjadi tunjang keluarga dan pembentuk nilai-nilai dalam komuniti.
"Kita melihat bahawa peranan ibu bukan sahaja membimbing anak-anak, tetapi juga memberi impak langsung kepada keharmonian keluarga, kestabilan masyarakat, dan pembentukan generasi masa depan.
"Di Sarawak, wanita terus menyumbang dalam pelbagai bidang, walaupun menghadapi cabaran seperti perbezaan peluang pendidikan dan ekonomi, tanggungjawab keluarga, dan
keperluan untuk meningkatkan penglibatan dalam kepimpinan komuniti," katanya.
Toh Puan Fauziah berkata, peranan wanita sebagai ibu sentiasa signifikan dalam membentuk kestabilan keluarga dan keharmonian masyarakat.
"Kita melihat bahawa dengan kebijaksanaan, kehalusan budi, dan semangat muafakat, ibu berupaya menjadi jambatan yang menyatukan, menenangkan, dan memperkukuh hubungan dalam pelbagai lapisan masyarakat.
"Dalam konteks ini, kita melihat bagaimana PEWANI di UiTM memainkan peranan penting sebagai platform yang menyokong wanita melalui program pembangunan, aktiviti kebajikan, dan peluang kepimpinan," tambah beliau.
Justeru beliau berharap agar PEWANI terus melaksanakan program-program yang membina, berteraskan nilai murni dan selari dengan aspirasi untuk memperkukuh kesejahteraan serta keharmonian bersama.
Turut hadir ialah barisan kepimpinan PEWANI, Datin Dayang Rosnah Abang Drashid dan tetamu yang lain. -PENERANGAN-
TAMAT
Disediakan: Ninie Gumbang(BMKK)
Foto :Mohammad Rizal (BKVS)
SONG, 15 Feb - Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak , Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyempurnakan Majlis Perlancaran Projek Siap Projek Membaik Pulih Stadium Terbuka Song di sini semalam.
Projek ini dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) bagi memperkukuh prasarana sukan serta menyokong pembangunan belia dan aktiviti komuniti di Bahagian Kapit.
Projek membaik pulih Stadium Terbuka Song telah dilaksanakan dan diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dengan tempoh pelaksanaan selama 12 bulan, bermula pada 25 November 2024 dan siap sepenuhnya pada 5 Disember 2025.
Stadium Terbuka Song merupakan kemudahan sukan utama di Daerah Song yang berperanan sebagai lokasi penganjuran aktiviti sukan, program belia serta acara kemasyarakatan setempat.
Kerja-kerja naik taraf yang dilaksanakan bertujuan meningkatkan reka bentuk keseluruhan dan keadaan fizikal stadium bagi memaksimumkan potensi penggunaan oleh komuniti setempat.
Berucap pada majlis itu Abdul Karim berkata, penambahbaikan projek juga memberi tumpuan kepada membina ruang awam dan laluan pergerakan yang lebih teratur, mudah diakses serta mesra kepada semua lapisan masyarakat, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna.
Projek membaik pulih Stadium Terbuka Song ini dijangka memperkukuh peranan stadium sebagai pusat tumpuan aktiviti sukan, rekreasi dan kemasyarakatan, di samping mencerminkan kemajuan pembangunan serta warisan budaya masyarakat setempat di Bahagian Kapit.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan/foto : Muhammad Danial Zakwan/Hamzah Bohari (JAPEN Song)
KUCHING, 15 Feb - Sebanyak 30 buah masjid dan 60 buah surau kawasan Petra Jaya telah menerima geran tahunan yang berjumlah keseluruhan RM330,000.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Geran Tahunan Masjid dan Surau kawasan Petra Jaya di Masjid Darul Ibadah semalam berkata, program itu diadakan setiap tahun secara bergilir-gilir di masjid sekitar kawasan Petra Jaya.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menambah, walaupun banyak masjid dan surau di kawasan itu telah dibina dengan baik hasil sokongan kerajaan negeri serta sumbangan orang ramai, cabaran utama kini adalah memastikan institusi berkenaan terus diimarahkan.
"Masjid dan surau bukan sekadar indah dari segi fizikal, sebaliknya perlu dimakmurkan dengan pengisian ilmu serta penyertaan jemaah yang lebih menyeluruh.
"Masjid dan surau perlu menjadi pusat penyatuan umat, tempat menimba ilmu serta medan menyelesaikan masalah masyarakat," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan melengkapkan umat Islam dengan ilmu dunia dan akhirat serta kemahiran menghadapi cabaran semasa, termasuk perkembangan teknologi digital.
Katanya, kemunculan media sosial dan teknologi kecerdasan buatan (AI) memberi manfaat besar jika digunakan dengan betul, namun pada masa sama boleh membawa kesan negatif seperti penyebaran berita palsu dan kandungan mengelirukan.
“Teknologi seperti AI boleh membantu menyebarkan dakwah dan kebaikan sekiranya dimanfaatkan dengan bijak.
"Ceramah di masjid misalnya, bukan hanya untuk jemaah yang hadir, tetapi boleh dikongsi kepada masyarakat luar melalui platform digital,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan pihak pengurusan masjid dan surau supaya memperkasa kemahiran teknologi dalam kalangan ahli jawatankuasa serta jemaah bagi memastikan institusi tersebut kekal relevan dan berperanan aktif dalam masyarakat.
Terdahulu, Fadillah turut meluangkan masa menunaikan Solat Maghrib dan Isyak berjemaah bersama- sama para jemaah yang hadir.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Ketua Penolong Pengarah, Unit Pengimarahan dan Latihan JAIS, Ustaz Mohamad Jol Ahmad, Pengerusi Masjid Darul Ibadah, Kampung Samariang Lama,Awg Hambali Awg Hamdan dan lain-lain.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Juliana Abdullah (BMKK)
Foto: Lance Dunstan (BKVS)
MIRI, 14 Feb - Persidangan Juruaudio Visual (JAV) Tahun 2026 Negeri Sarawak berlangsung selama tiga hari di Miri bermula semalam menjadi wadah bagi memperkukuh jaringan komunikasi antara JAV bersama pihak pengurusan jabatan.
Persidangan yang menghimpunkan 64 orang JAV seluruh Sarawak termasuk pegawai kader dari pelbagai jabatan itu diadakan bertujuan mewujudkan platform bagi para JAV bertukar pengalaman dan pengetahuan.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Julina Johan dalam teks yang dibacakan oleh Pengarah Kanan (Pengurusan) JAPEN, Naim Fahmi Ahmad Tajuddin berkata, JAPEN memainkan peranan sebagai agensi komunikasi strategik kerajaan dalam menyampaikan dasar, falsafah serta inisiatif kerajaan sehingga ke peringkat akar umbi sama ada secara bersemuka mahupun melalui platform digital.
"Namun segala perancangan dan mesej yang dilakukan ini tidak akan bermakna sekiranya tidak dapat disampaikan dengan jelas, tersusun dan juga berkesan.
"Di sinilah peranan JAV yang menjadi nadi sokongan kepada kelancaran fungsi JAPEN”, ujarnya pada majlis perasmian persidangan itu, hari ini.
Beliau menambah, seorang JAV bukan sekadar mengendalikan peralatan teknikal tetapi juga merupakan individu yang akan memastikan setiap suara didengar dengan jelas, setiap mesej sampai tanpa gangguan dan setiap program berlangsung dalam suasana yang penuh profesional.
“Seiring dengan perkembangan teknologi digital yang semakin pesat, JAPEN sentiasa mengambil langkah proaktif untuk memastikan keupayaan teknikal warga kerja berada pada tahap terbaik.
Bagi memastikan peralatan yang dibekalkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para JAV, dalam persidangan pada kali ini turut diadakan sesi ‘outdoor exploration’ bagi memberi peluang kepada para JAV untuk mengendalikan peralatan siaraya digital yang betul, seterusnya meningkatkan kompetensi dan profesionalisme dalam melaksanakan tugas teknikal.
Hari terakhir persidangan akan menyaksikan penyampaian anugerah bagi beberapa kategori kepada para JAV sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dan motivasi untuk terus mempertingkatkan profesionalisme, inovasi dan juga dedikasi dalam setiap tugasan.
Selain itu, turut diadakan sesi pemeriksaan kesihatan diadakan bagi membantu para peserta untuk lebih peka dan sedar terhadap kesihatan diri serta sentiasa mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat dan seimbang.
Slot motivasi yang bertajuk ‘Amanah Dipikul, Integriti Dijunjung’ oleh INTAN Sarawak juga diadakan agar dapat melahirkan warga kerja yang beramanah, bertanggungjawab serta sentiasa menjadikan integriti sebagai teras dalam setiap tugasan dan tindakan.
Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan dan Kewangan JAPEN, Adelina Christine Awen Jon, Pengarah Penerangan Sarawak, Sabri Said, Timbalan Pengarah Penerangan Sarawak, Sri Kestury Mohammed Zamhari serta pegawai kanan dan anggota JAPEN.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disedikan oleh : Mohamed Fazri Yusri (JAPEN Miri)
Foto oleh : Bolhan Haji Basah (BKVS)
KUCHING, 13 Feb: Jepak Bintulu akan menjadi projek perintis pembinaan perumahan bagi golongan pertengahan M40 di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Spektra Permata (RSP) Skim Pembesaran Kampung (SPK) Santubong, petang tadi berkata, kerajaan kini sedang mempertimbangkan penyediaan perumahan khusus untuk golongan M40 yang dilihat berdepan cabaran dalam memiliki rumah sendiri.
“Buat masa ini, saya sedang memikirkan sekiranya rumah mampu milik seperti Spektra ini hanya untuk golongan B40, maka golongan M40 juga akan terkesan,” katanya.
Beliau menjelaskan, golongan M40 sering tersepit kerana rumah berharga tinggi melebihi kemampuan mereka, manakala untuk membeli Rumah Spektra Permata pula, mereka tidak memenuhi syarat kelayakan.
Menurutnya lagi, rumah yang akan dibina untuk golongan M40 dijangka dalam lingkungan harga antara RM300,000 hingga RM550,000.
Projek perumahan tersebut akan dimulakan di Jepak Bintulu sebelum diperluaskan ke kawasan lain.
Dalam perkembangan berkaitan, seramai 60 pemilik RSP SPK Kampung Santubong menerima kunci rumah masing-masing hari ini.
“Kita akan membangunkan 60 unit lagi di atas tanah seluas 15 ekar, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 120 unit.
“Apabila jalan dari Kampung Buntal ke Bako siap hujung tahun ini, saya jangkakan akan ada lebih banyak projek perumahan di kawasan berdekatan.
“Saya jangkakan kita boleh membina antara 500 hingga 1,000 unit dengan adanya jalan tersebut,” ujar beliau.
Program RSP diwujudkan khusus bagi membantu golongan berpendapatan rendah, terutama di kawasan luar bandar dan penempatan baharu, agar mereka berpeluang memiliki rumah sendiri.
Bagi memastikan kualiti dan ketahanan pembinaan, RSP dibangunkan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS), yang menekankan kecekapan pelaksanaan serta piawaian pembinaan jangka panjang.
Setiap unit rumah berkeluasan 800 kaki persegi dan dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, dapur serta anjung kereta.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak dan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.4 Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak, Abdul Yakub Arbi, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Fathi Hambali serta ketua-ketua jabatan.— PENERANGAN —
TAMAT
Disediakan: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto: Mohamad Rizal (BKVS)
KUCHING, 13 Feb - Jabatan Penerangan (JAPEN) Malaysia, Sarawak telah menerima sumbangan limau daripada Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching bersempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2026 di Ibu Pejabat JAPEN Sarawak, hari ini.
Penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr. Kevin Yii Lee Wuen selaku wakil kepada Teo dan telah diterima oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat (BMKK), Dr. Nicholas Balawing mewakili Pengarah JAPEN Sarawak.
Sumbangan tersebut dilihat sebagai menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kerja jabatan dan pejabat Timbalan Menteri.
Turut hadir menyaksikan penyerahan tersebut ialah Ketua Cawangan Media, Barina Nani dan Ketua Cawangan Pemantauan dan Penterjemahan, Muhammad Izzat Muzaqeer. - PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh/Foto: Joshua Amir Sibat (BMKK)
KUCHING, 13 Feb - Kerajaan Sarawak terus memperkukuh kebajikan dan menghargai sumbangan petugas barisan hadapan apabila menyalurkan sumbangan khas sempena Tahun Baharu Cina (TBC) 2026 kepada anggota keselamatan dan penguatkuasaan yang bertugas ketika musim perayaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, inisiatif berkenaan sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang berkhidmat menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat ketika masyarakat lain menyambut perayaan bersama keluarga.
“Pada musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak, ramai anggota kita masih bertugas sama ada di pintu masuk negara, darat mahupun perairan.
“Mereka terpaksa berjauhan daripada keluarga demi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan orang ramai,” katanya ketika berucap pada Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Tahun Baharu Cina 2026 di Dewan Serbaguna Kompleks Satria Pertiwi, di sini hari ini.
Menurut beliau, peningkatan jumlah kemasukan pelawat melalui pintu masuk negeri setiap kali musim perayaan memerlukan lebih ramai pegawai ditempatkan bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan.
Sehubungan itu, kerajaan Sarawak memperluas pemberian sumbangan yang sebelum ini lebih tertumpu kepada sambutan Hari Raya Aidilfitri kepada perayaan lain termasuk Tahun Baharu Cina dan Gawai Dayak.
Katanya lagi, sebanyak RM5.1 juta diperuntuk bagi melaksanakan program sumbangsih perayaan berkenaan pada tahun ini.
“Program seperti ini selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan kesejahteraan komuniti serta memperkukuh perpaduan dan silaturahim dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Program Sumbangsih Perayaan merupakan program teras serta acara tradisi tahunan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak yang telah dilaksanakan selama 36 tahun sejak penubuhannya sebagai Biro Wanita yang mencerminkan penghargaan Kerajaan Sarawak terhadap pengorbanan serta komitmen pasukan penguat kuasa yang bertugas sepanjang musim perayaan demi memelihara kedaulatan, keselamatan dan keamanan negeri.
Penyerahan Sumbangsih Tahun Baharu Cina 2026 kali ini melibatkan pengagihan sebanyak 11,900 kontena berupa makanan kepada 11 agensi penerima yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia serta Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri Sarawak.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah serta Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom.
Oleh: Norhayati Sarkawi (BMKK)
Foto: Lance Dunstan (BKVS)
KUCHING, 12 Feb : Forum Perniagaan dan Ekonomi ASEAN Sarawak (ASBEF) 2026 menjadi peralihan daripada strategi kepada penskalaan serta menterjemah hasrat dasar kepada hasil yang boleh diyakini oleh pelabur dan perniagaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg ketika merasmikan ASBEF 2026 di sebuah hotel terkemuka di sini pagi tadi berkata, Sarawak tidak menunggu kestabilan global kembali pulih tetapi menyesuaikan diri lebih awal.
"Kita memberi tumpuan kepada perkara yang boleh kita kawal, kita melabur lebih awal daripada permintaan serta mengutamakan sektor di mana kita mempunyai kelebihan jelas, khususnya tenaga, infrastruktur dan keupayaan perindustrian," katanya.
Tambahnya, tenaga merupakan tunjang utama daya saing Sarawak dan permintaan daripada kecerdasan buatan (AI), pusat data dan pembuatan maju menjadikan bekalan elektrik yang boleh dipercayai sebagai isu strategik.
Menurut Abang Johari lagi, Sarawak telah memperkukuh penyelarasan melalui InvestSarawak dan sedang memuktamadkan Dasar Pelaburan Sarawak bagi menyediakan peraturan yang lebih jelas, kelulusan lebih pantas dan proses lebih telus.
ASBEF 2026 menyediakan platform tepat pada masanya untuk menyelaras perspektif sektor awam dan swasta mengenai keutamaan serta hasil yang perlu dicapai bagi kekal berdaya saing menjelang 2030.
Turut hadir ialah Menteri Industri Makanan Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni, Pengerusi ASEAN Economic Club (AEC) merangkap Presiden KSI Strategic Institute for Asia Pacific Malaysia, Tan Sri Micheal Yeoh dan Presiden ASEAN Business Club, Tan Sri Dr. Munir Majid. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan: Ninie Gumbang (BMKK)
Foto : Cassidy Lisut (BKVS)
KUCHING, 12 Feb - Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) terus memperkukuh jalinan hubungan strategik bersama pengamal media menerusi penganjuran Bintulu Port Media Appreciation Night 2026 sebagai tanda apresiasi atas sokongan padu dan liputan berterusan terhadap organisasi berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Dato Ruslan Abdul Ghani menegaskan bahawa peranan media amat signifikan dalam meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap fungsi pelabuhan sebagai pemacu utama ekonomi negara.
Menurut beliau, komitmen rakan media sebagai ‘jambatan’ penyampai maklumat amat dihargai dan BPHB telah menerima lebih daripada 350 liputan sepanjang tahun 2025 yang merangkumi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), acara korporat dan sebagainya.
"BPHB kini sedang giat memperkukuh infrastruktur serta mempercepatkan transformasi digital bagi mencapai sasaran menjadi sebuah pelabuhan yang beroperasi sepenuhnya secara digital," katanya semasa berucap pada majlis tersebut, di sini malam tadi.
Mengulas mengenai sumbangan kepada komuniti, beliau memaklumkan bahawa BPHB kekal komited terhadap tanggungjawab sosial, termasuk sumbangan melebihi RM1 juta bagi kemudahan kepada ahli keluarga pesakit di Hospital Bintulu.
Selain itu, BPHB turut mengesahkan peranannya sebagai rakan strategik bagi Sukan Olimpik Khas Malaysia 2026 yang dijadualkan berlangsung di Bintulu tidak lama lagi.
Penganjuran majlis tersebut dilihat terus dapat mengeratkan kerjasama profesional antara kedua-dua pihak, sekali gus memastikan penyampaian maklumat kepada rakyat sentiasa tepat, sahih dan berintegriti.
Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi BPHB, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta isteri, Dato Baduyah Bujang, Ahli Lembaga Pengarah BPHB, Dato Salihin Abang, Residen Bahagian Kuching, Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi, Pengarah Penerangan Sarawak, Sabri Said, Pengurus Besar Hubungan Pihak Berkepentingan Kumpulan BPHB merangkap Pengerusi Program BPHB Media Appreciation Night, Maslihah Tioh serta tetamu-tetamu kehormat yang lain. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Nur Alya Adriana Ahmad Sukri (BMKK)
Foto oleh : Abd Hakeem Well (BKVS)
KUCHING, 12 Feb – Badan Kebajikan Kakitangan Islam (BKKI) Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak, pada tahun ini sekali lagi menyumbang dan mengagihkan buah kurma buat semua warga JAPEN di seluruh Sarawak pada program Sentuhan Ramadan: Sumbangan Kurma oleh BKKI kepada Warga JAPEN sempena Bulan Ramadan 1447/H.
Simbolik sumbangan itu diserahkan oleh Pengarah Penerangan Sarawak, Sabri Said sekali gus menyantuni pegawai dan anggota JAPEN di setiap bahagian di Ibu Pejabat.
Terdahulu, penyerahan sumbangan dimulakan oleh Pengerusi BKKI, Muhd Shazriq Kaderi kepada Sabri dan seterusnya diserahkan kepada semua Ketua Penolong Pengarah di setiap bahagian di JAPEN Sarawak.
Pengagihan buah kurma diagihkan secara berperingkat bermula di setiap bahagian di ibu pejabat negeri sebelum diagih ke seluruh daerah JAPEN Sarawak.
Menurut Shazriq yang ditemui selepas program, program ini menjadi medium kebajikan yang menyatukan ahli-ahli Kelab BKKI dalam menyemarakkan semangat Ramadan melalui amalan berkongsi rezeki, sekali gus mengeratkan ukhuwah dan keprihatinan sesama warga JAPEN Sarawak.
Beliau menambah, sumbangan kurma kepada warga JAPEN Sarawak tersebut adalah sebagai tanda ingatan dan penghargaan sempena bulan Ramadan, selain dapat mengimarahkan bulan Ramadan dengan aktiviti kebajikan yang memberi makna kepada penerima.
BKKI terus komited untuk mengukuhkan hubungan silaturahim antara warga JAPEN Sarawak dan komuniti melalui program sentuhan kemasyarakatan yang berterusan.
Bagi mengimarahkan lagi bulan Ramadan, BKKI turut akan mengadakan beberapa program lain seperti agihan bubur lambuk dan bubur pedas, Tazkirah Ramadhan, majlis berbuka puasa bersama warga JAPEN, rakaman Takbir Raya, bacaan Surah Yassin dan Tahlil, Program Sentuhan Kasih menyantuni warga dan mantan warga JAPEN yang uzur dan lain- lain.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Penerangan Sarawak, Sri Kestury Mohammed Zamhari.- PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Juliana Abdullah (BMKK)
Jurufoto : Mohamad Rizal Matasan (BKVS)
KUCHING, 11 Feb - Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang mendahului senarai penerima Pingat Perkhidmatan Setia Bahagian Samarahan pada majlis yang berlangsung di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, petang tadi.
Seramai 408 penerima daripada 18 buah jabatan dan agensi, merangkumi 14 jabatan kerajaan negeri dan empat jabatan persekutuan pada majlis pertama diadakan untuk tahun 2026 ini.
Pejabat Residen Bahagian Samarahan menyaksikan 12 penerima pingat pada majlis tersebut termasuk Mohamad Irwan yang telah berkhidmat selama 26 tahun.
Manakala daripada Pejabat Residen Bahagian Serian pula menyaksikan enam penerima didahului Residen Bahagian Serian, Caroline Cleophas Joseph yang telah berkhidmat selama 28 tahun.
Turut tersenarai adalah penerima daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar seramai sembilan individu, Jabatan Kerja Raya (28); Jabatan Tanah dan Survei (45); Jabatan Pertanian (35); Jabatan Kebajikan Masyarakat (tujuh); Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (19); Jabatan Kesihatan Negeri (75) dan Jabatan Pendidikan Negeri (82).
Di samping itu, Majlis Perbandaran Padawan menyaksikan 15 penerima diikuti Majlis Perbandaran Padawan (19); Majlis Daerah Simunjan (7); Majlis Daerah Serian (10); Majlis Sukan Negeri (12); Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah (lima); Kementerian Pertahanan Malaysia, Cawangan Sarawak (10) dan 12 daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Negeri Sarawak.
Secara keseluruhan, seramai tujuh penerima merupakan ketua jabatan manakala tujuh lagi penerima yang telah berkhidmat penuh taat setia dan dedikasi selama 39 tahun.
Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Setia diberikan kepada penjawat awam dalam Perkhidmatan Awam di Sarawak, yang telah berkhidmat selama 20 tahun terus nenerus atau 25 tahun perkhidmatan terkumpul, yang telah menunjukkan mutu perkhidmatan yang cemerlang serta memuaskan dan disokong oleh Ketua Jabatan.
Turut hadir semasa majlis ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Speaker DUN, Dato' Idris Buang. - PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Bolhan Basah
KUCHING, 11 Feb – Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak terus mempergiat usaha menyuburkan budaya ilmu dalam kalangan warganya menerusi penganjuran Taklimat Eksplorasi Sumber Digital @ u-Pustaka di Ibu Pejabat JAPEN Sarawak, hari ini.
Inisiatif anjuran Bahagian Khidmat Pengurusan dan Kewangan ini diadakan bagi menyuntik semangat membaca seiring dengan pemerkasaan literasi digital.
Usaha tersebut bertepatan dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan modal insan yang bukan sahaja berpengetahuan tinggi, malah tangkas memanfaatkan teknologi perpustakaan maya bagi meningkatkan daya saing dalam era pendigitalan sektor awam.
Sesi perkongsian ilmu tersebut telah dijayakan oleh Penolong Pustakawan, Noralia Harun yang berkongsi pendedahan komprehensif mengenai portal u-Pustaka sebagai hab perkhidmatan perpustakaan digital negara yang bersifat inklusif untuk seluruh rakyat Malaysia.
Bagi salah seorang peserta, Farid Izwan, 29, penganjuran taklimat seumpama ini amat signifikan dalam melancarkan tugasan harian pegawai yang menuntut capaian maklumat tepat dan sahih dengan kadar segera.
“Pendedahan mengenai fungsi u-Pustaka ini membolehkan saya mendapatkan bahan rujukan dengan lebih pantas tanpa perlu hadir secara fizikal ke perpustakaan.
"Kini, segala bahan bacaan berada di hujung jari. Ia sekaligus menjimatkan masa dan memudahkan proses pencarian maklumat di mana sahaja kita berada," ujarnya ketika ditemui.
Terdahulu, para peserta turut dibimbing mengenai tatacara pendaftaran keahlian serta teknik pencarian bahan rujukan yang efektif di platform berkenaan.
Langkah proaktif ini dilihat mampu memastikan warga JAPEN Sarawak kekal relevan dalam arus perdana digital, di samping membudayakan akses kepada bahan bacaan berkualiti tanpa sempadan lokasi.-TAMAT-
-PENERANGAN-
Disediakan oleh: Noralia Harun (BKVS)
Foto oleh: Muhd. Rizal Matasan (BKVS)
KUCHING, 11 Feb – Sarawak Unity Education Fund (SUEF) hari ini menyerahkan sumbangan dana berjumlah RM100,000 kepada Persatuan Bagi Kebajikan Kanak-Kanak Terencat Akal Sarawak (PERKATA) bagi memperkasa pendidikan anak istimewa di negeri ini.
Inisiatif berteraskan sektor swasta ini digerakkan hasil usaha Pengerusinya, Datuk Richard Lee Say Tshin bagi membantu komuniti setempat dan golongan memerlukan, penyerahan cek cura telah disempurnakan dalam sesi kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi, pagi tadi.
"Sumbangan hari ini merupakan tanda sokongan kami terhadap PERKATA yang telah menabur bakti selama 54 tahun dalam mendidik kanak-kanak kelainan upaya secara berdikari walaupun menghadapi cabaran kewangan," katanya ketika ditemui media.
Beliau menjelaskan bahawa selain bantuan kebajikan, mandat utama penubuhan SUEF adalah untuk menyediakan biasiswa pendidikan kepada anak-anak Sarawak daripada keluarga B40 yang berkelayakan melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan.
"Sejak dilancarkan secara rasmi pada 2024, pihak kami telah menaja seramai 31 pelajar dengan komitmen kewangan mencecah RM1.4 juta dan usaha ini akan diteruskan selagi dana mencukupi demi pembangunan modal insan negeri," tambahnya.
Sementara itu dalam kenyataan, Say Tshin menyeru lebih banyak syarikat korporat dan individu perseorangan untuk tampil menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu kelangsungan operasi sekolah kebajikan seperti PERKATA.
"Walaupun PERKATA menerima geran kerajaan, kos operasi yang tinggi menuntut penglibatan aktif komuniti perniagaan untuk menampung kekurangan dana agar kebajikan anak-anak istimewa ini terus terbela," tegas beliau.
Abang Johari telah berkenan menjadi Penaung SUEF sejak tahun 2023, sekali gus membuktikan sokongan padu kepimpinan negeri terhadap inisiatif swasta ini.
Jumlah kumulatif sumbangan yang telah disalurkan oleh pihak SUEF kepada PERKATA sehingga kini adalah sebanyak RM150,000 sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan yayasan tersebut.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Bendahari SUEF, Datuk Laura Lee Ngien Hion, Penasihat SUEF, Dato Sri Richard Wee Liang Huat, ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah SUEF serta barisan pengurusan kanan PERKATA. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Lance Dunstan (BKVS)
KUCHING, 11 Feb - Kerajaan Sarawak mempergiat agenda pemerkasaan modal insan menerusi peruntukan RM17 juta bagi menyokong pelaksanaan kumpulan kedua inisiatif komputer riba percuma kepada pelajar institusi pengajian tinggi.
Simbolik penyerahan dana tersebut telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pagi tadi semasa menerima kunjungan hormat delegasi Yayasan Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi bagi membolehkan pihak Yayasan Sarawak memulakan proses pengagihan peranti kepada 5,700 penerima yang layak dengan kadar segera menerusi e-dompet (SPay Global).
Kerajaan negeri mensasarkan 10,000 penerima baharu sebagai kesinambungan kepada kejayaan fasa awal program (2024-2025) yang telah memanfaatkan seramai 20,009 orang pelajar dengan peruntukan keseluruhan mencecah RM61 juta.
Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman memaklumkan bahawa jumlah kumulatif peruntukan bagi inisiatif ini pada tahun 2025 sahaja telah mencecah angka RM30 juta.
“Kita telah berjaya mengagihkan bantuan kepada kumpulan pertama melibatkan lebih 5,000 pelajar dan hari ini diteruskan lagi kepada 5,700 penerima baharu menjadikan cakupan inisiatif ini sangat komprehensif,” katanya.
Selain pemberian peranti siswa, Yayasan Sarawak turut melengkapi ekosistem pendidikan negeri melalui penyediaan baucar buku, bantuan pakaian seragam, pengangkutan sekolah percuma serta Skim Bantuan Khas Kewangan.
Dalam perkembangan berkaitan, dasar pendidikan tertiari percuma di universiti milik kerajaan negeri kini menunjukkan impak positif apabila merekodkan peningkatan ketara pendaftaran pelajar khususnya dalam jurusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Kerajaan negeri juga meneruskan Inisiatif Graduan Pulang Sarawak (iGPS) dengan mengekalkan dana tahunan berjumlah RM8 juta bagi menampung kos penerbangan pelajar anak Sarawak.
Mengulas lanjut mengenai iGPS, Fazzrudin menjelaskan bahawa subsidi pengangkutan ini dijangka memanfaatkan sekitar 11,000 pelajar setiap tahun yang merangkumi anggaran 22,000 perjalanan pergi dan balik.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Junaidi Mohidin dan pegawai kanan Yayasan Sarawak. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Lance Dunstan (BKVS)
𝗞𝗨𝗖𝗛𝗜𝗡𝗚, 𝟵 𝗙𝗲𝗯. – Program Pemimpin Warisan Muda Dayung (Dayung Warisan) diwujudkan bagi memperkasa wanita melalui pembangunan kemahiran, penyelidikan serta pendokumentasian warisan budaya supaya kekal relevan dan bermakna untuk generasi masa kini dan akan datang.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Dato Sri Nancy Shukri ketika berucap pada Majlis Penutupan dan Pameran Program Pemimpin Warisan Muda Dayung berkata, warisan terbentuk daripada asal-usul, pengalaman hidup serta amalan masyarakat yang diwarisi dari generasi ke generasi.
Tambahnya, justeru usaha memelihara dan menghidupkannya memerlukan komitmen, kesungguhan serta kefahaman mendalam terhadap identiti budaya.
“Warisan tidak datang dengan mudah, tetapi ia lahir daripada asal-usul, pengalaman dan kehidupan masyarakat, sebab itu usaha mendokumentasi dan menghidupkan warisan amat penting supaya identiti kita terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata, program tersebut memberi ruang kepada wanita membina kemahiran kepimpinan, penyelidikan, ekonomi, sosial dan budaya, di samping meningkatkan keyakinan diri serta keupayaan berdikari termasuk dari aspek kewangan.
Nancy turut menegaskan bahawa warisan bukan sekadar objek lama atau tradisi, sebaliknya merupakan memori, identiti dan jati diri masyarakat yang hidup dalam bahasa, amalan harian serta sejarah lisan.
“Wanita ialah pembawa warisan, pendidik nilai dan pemimpin dalam komuniti. Apabila wanita bangkit, warisan akan terus hidup dan memberi kekuatan kepada generasi seterusnya,” katanya.
Beliau berharap jaringan, semangat kerjasama dan sokongan yang terjalin melalui program tersebut akan terus diperkukuh, sekali gus melahirkan lebih ramai pemimpin warisan wanita dari Sarawak.
Mengulas lanjut, Nancy berkata kerajaan melalui KPWKM komited memperkasa wanita supaya lebih berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain, khususnya dalam aspek ekonomi.
Jelasnya lagi, wanita turut digalakkan menceburi bidang kraf tangan, seni kreatif dan penghasilan produk tempatan berasaskan budaya unik, khususnya di Sarawak, yang mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan kerana penglibatan wanita dalam perniagaan bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan keluarga, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara.
Beliau memberitahu, kerajaan terus membantu wanita melalui penyediaan mesin dan peralatan, kemudahan tempat kerja serta program latihan dan sokongan pemasaran bagi memastikan produk yang dihasilkan mampu menembusi pasaran lebih luas.
Tambahnya, kepelbagaian projek itu membuktikan wanita mempunyai potensi besar dalam bidang kepimpinan, ekonomi, sosial dan budaya apabila diberi peluang serta sokongan sewajarnya.
Program Dayung Warisan merupakan inisiatif kepimpinan warisan dan pembangunan kapasiti yang memperkasa wanita untuk menyelidik, mendokumentasi dan mempersembahkan warisan budaya Sarawak.
Dalam tempoh dua bulan, seramai 27 peserta berjaya menyiapkan 18 projek termasuk dokumentari, podcast, bengkel kraf dan sesi interaktif yang mengetengahkan naratif komuniti serta kepelbagaian budaya negeri ini, sekali gus membuktikan warisan bukan sekadar pemeliharaan, tetapi turut melibatkan kreativiti, penglibatan aktif serta kepimpinan wanita dalam masyarakat.
Pameran Dayung Warisan akan dibuka kepada orang ramai melalui penyertaan dalam Festival Seni Kita di The Spring, Kuching dari 6 hingga 28 Mac 2026 bagi membolehkan masyarakat mendekati projek warisan berteraskan komuniti.
Turut hadir ialah Ahli-ahli Majlis Wanita, Jabatan Pembangunan Wanita, Dato Angelina Celestine Ujang dan Datu Dr. Rashidah Bolhassan; Pengarah Program Dayung Young Heritage Leaders, Steffany Raymond Landong; Setiausaha Politik kepada Menteri, Mohammed Kamaluddin Mohd Effendie; barisan pegawai KPWKM serta para peserta program. – TAMAT –
Disediakan oleh: Mohamad Borhan Ahmad Ulis (BMKK).
Foto oleh: Abdul Hakeem Well (BKVS).
KUCHING, 8 Feb – Laman web Persatuan Wanita India Sarawak (SIWA) perlu berfungsi sebagai platform untuk meluaskan jangkauan, mempamerkan inisiatif dan berhubung dengan rakan kongsi di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri ketika merasmikan Laman Web Rasmi 'South Asia International Women's Assembly 2026 ' di salah sebuah hotel terkemuka hari ini berkata, beliau amat berbesar hati melihat SIWA mengukuhkan kredibiliti institusinya melalui pendigitalan.
"Dengan lebih 20 tahun perkhidmatan, program, pencapaian, dan kisah komuniti anda wajar didokumentasikan serta boleh diakses, dan ketelusan ini membina kepercayaan, mengukuhkan kerjasama serta membuka pintu untuk kolaboratif yang lebih besar," ujar Nancy.
Inisiatif ini juga selaras dengan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025 – 2030 yang memberi penekanan kepada literasi digital, keusahawanan, dan penyertaan wanita yang lebih besar dalam ekonomi moden.
Menurut Nancy, persatuan seperti SIWA memainkan peranan penting dalam menghubungkan dasar-dasar negara dengan keperluan sebenar di lapangan.
"SIWA telah menyumbang secara aktif dalam meningkatkan kebajikan, kemahiran, dan keyakinan wanita India di Sarawak," katanya.
Nancy turut memuji SIWA yang mengambil langkah ke arah harta intelek dan produk berasaskan pengetahuan yang juga mencerminkan pemikiran masa hadapan.
"Dalam masa kos sara hidup yang meningkat, kreativiti dan inovasi boleh menjadi sumber pendapatan yang mampan.
"Apabila organisasi menjadi lebih berdikari, mereka bukan sahaja menyokong diri mereka sendiri tetapi juga membantu Kerajaan menyalurkan bantuan kepada kumpulan lain yang memerlukan," tambahnya yang juga merupakan Ahli Parlimen P.193 Santubong.
Terdahulu dalam ucapan alu-aluan Presiden SIWA, Penghulu Paliani Samba Bilaidom @ Lucy Lingam berkata, platform digital yang diluncurkan hari ini merupakan produk intelektual utama yang kedua, selepas kejayaan penerbitan 'coffee table book' warisan SIWA.
"Laman web ini bukan sekadar portal maklumat tetapi ia adalah aset strategik yang direka untuk menjana nilai dan keterlihatan bagi persatuan kami.
"Ia adalah menjadi keyakinan kami bahawa hasil dan kestabilan yang diperoleh daripada harta intelek ini akan memberikan kami kemampuan untuk memiliki 'harta tanah' pada suatu hari nanti." ujarnya.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Nordina Haron, Setiausaha Politik kepada Menteri, Mohammed Kamaluddin Mohd. Effendie, Pengarah Komunikasi Digital Lembaga Pelancongan Sarawak, Melvin Jong, Timbalan Pengarah (Persekutuan) Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak, Mohd Ali Taib dan lain-lain.- PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh : Juliana Abdullah (BMKK)
Jurufoto : Mohamad Rizal Matasan (BKVS)
KUCHING, 8 Feb — Kerajaan Persekutuan meluluskan peningkatan peruntukan sehingga 300 peratus bagi kerja-kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Sarawak pada tahun 2026.
Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi berkata, bagi tahun 2026, Sarawak diperuntuk sebanyak RM200 juta di bawah Program Memperkasa Kontraktor Bumiputera G1-G4 melalui kerja-kerja Penyelenggaraan Jalan Persekutuan Negeri Sarawak, berbanding hanya RM50 juta pada tahun 2025.
“Peningkatan ini adalah sebanyak 300 peratus dan ia jelas menunjukkan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap Sarawak dan Sabah yang sebelum ini menerima peruntukan lebih kecil bagi tujuan penyelenggaraan jalan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Tawaran Cabutan Kerja Undi di Bawah Program Mempercepatkan Penyelenggaraan Jalan dengan Memanfaatkan Kontraktor Bumiputera G1-G4 Tahun 2026 di Hikmah Exchange Event Centre, di sini, hari ini.
Menurutnya, peruntukan tersebut melibatkan 141 kerja penyelenggaraan, merangkumi 95 kerja Berkala 'Pavement' bernilai RM174.6 juta dan 46 kerja Berkala Bukan 'Pavement' bernilai RM25.4 juta bagi penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Sarawak.
"Ia dilaksanakan melalui syarikat konsesi dengan pecahan dengan pecahan empat kerja bagi kontraktor G1, 25 kerja bagi kontraktor G2, 47 kerja bagi kontraktor G3 dan 65 kerja bagi kontraktor G4," ujar Nanta.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan program itu memberi peluang lebih luas kepada kontraktor kecil tempatan khususnya kelas G1 hingga G4, dengan penglibatan seramai 385 kontraktor yang layak dan memenuhi kriteria ditetapkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
“Proses pemilihan dilaksanakan secara telus dan adil melalui kaedah cabutan undi tanpa campur tangan mana-mana pihak,” katanya.
Selain itu, Nanta turut menegaskan bahawa peningkatan peruntukan itu menepis dakwaan kononnya Kerajaan Persekutuan mengabaikan Sarawak dan Sabah, khususnya berkaitan penyelenggaraan jalan.
“Saya berbangga kerana berjaya mendapatkan peruntukan yang besar untuk Sarawak dan Sabah demi memastikan jalan raya lebih selamat dan selesa untuk pengguna,” ujar beliau.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua kontraktor agar melaksanakan kerja dengan penuh integriti dan menepati standard ditetapkan, sambil menegaskan tindakan tegas termasuk senarai hitam boleh dikenakan terhadap kontraktor yang gagal menyiapkan kerja dengan kualiti memuaskan.
“Keselamatan pengguna jalan raya adalah tanggungjawab bersama.
"Kualiti kerja yang baik bukan sahaja soal prestasi, tetapi juga soal nyawa,” tambahnya.
Oleh: Norhayati Sarkawi (BMKK)
Foto: Saiful Rahman Sabri (BKVS)
KUCHING, Feb 6 — The Asia Infrastructure Investment Bank (AIIB) has expressed strong interest in partnering with Malaysia, particularly Sarawak, to support the state’s long-term development goals, with a focus on next-generation technologies and sustainable infrastructure.
AIIB Chief Investment Officer Kim See Lim said the delegation is visiting Malaysia to better understand its development priorities and how the bank can support them.
As part of the visit, Kim led an AIIB delegation in a meeting with the Sarawak Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg at the Kompleks Satria Pertiwi here today, following an official working visit to Kuala Lumpur on the same matter.
According to Kim, AIIB’s mission to finance infrastructure for the future aligns closely with Sarawak’s ambition to invest in advanced technologies, particularly in the renewable energy sector.
“There is strong alignment between Sarawak’s vision and AIIB’s mandate,” Kim said following discussions with the Sarawak Premier, expressing optimism about the potential for collaboration.
She added that both sides are keen to move beyond discussions and focus on the execution and delivery of projects, including energy transition initiatives such as hydrogen development, carbon capture technologies and other approaches to carbon management.
Discussions also covered next-generation fuels for aviation, transportation and ports, as well as projects aimed at enhancing regional connectivity.
AIIB said it is enthusiastic about the opportunities ahead and looks forward to working closely with Sarawak to translate shared visions into tangible projects that support the state’s development goals.
Also present at the meeting were the Director General of the Financial Institutions and Funds Clients Department, Global, Gregory Liu and the Director General of the Public Sector Clients Department (Region 1), Rajat Misra. -PENERANGAN-
— END —
By: Toslin Meyub (BMKK)
Photographer: Lance Dunstan (BKVS)
Premier Sarawak Umum Dividen Interim ASSAR 3 Sen Seunit
𝗞𝗨𝗖𝗛𝗜𝗡𝗚, 𝟲 𝗙𝗲𝗯 – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg hari ini mengumumkan pengagihan dividen interim Amanah Saham Sarawak (ASSAR) sebanyak 3 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, sekali gus mencerminkan prestasi kukuh serta daya tahan dana pelaburan milik rakyat Sarawak itu.
Pengumuman tersebut dibuat ketika Majlis Pengumuman Dividen Interim ASSAR yang berlangsung di Dewan Perdana, Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya, di sini.
Menurut beliau, pengagihan kali kelima selepas penstrukturan semula dana itu melibatkan jumlah RM15.24 juta dan bakal memberi manfaat kepada 57,878 pemegang unit ASSAR, berdasarkan baki pegangan mereka pada 31 Disember 2025.
“Berdasarkan prestasi kukuh ASSAR, saya dengan sukacitanya mengumumkan pengagihan dividen interim sebanyak 3 sen seunit bagi tahun kewangan 2026,” katanya.
Beliau menambah, kejayaan tersebut membuktikan keberkesanan pelan penstrukturan semula yang dilaksanakan pada penghujung tahun 2022 bagi mengimbangi risiko dana, memelihara nilai pelaburan serta memastikan penjanaan pendapatan mampan dalam jangka panjang.
Sejak Januari 2024, ASSAR berjaya mengagihkan dividen secara konsisten setiap enam bulan dengan jumlah kumulatif agihan pasca penstrukturan semula mencecah RM56.85 juta.
Abang Johari turut menjelaskan bahawa bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, ASSAR merekodkan pendapatan kasar RM19.87 juta dengan sebahagian besar disumbangkan oleh sekuriti berpendapatan tetap, diikuti keuntungan penjualan ekuiti, pendapatan dividen serta instrumen pasaran wang.
Beliau turut menegaskan bahawa ASSAR kekal sebagai instrumen pelaburan berisiko rendah dengan jaminan harga minimum RM1.00 seunit, sekali gus memberikan keyakinan kepada pelabur, khususnya masyarakat Bumiputera Sarawak.
Selain prestasi kewangan, beliau memuji inisiatif pengurusan ASSAR dalam memperluaskan akses perkhidmatan melalui kerjasama dengan Service Sarawak di UTC Sibu dan Miri, serta peluasan ke Sarikei, selain penggunaan rangkaian Sarawak Rural Broadband Network (mySRBN) bagi pelaksanaan pejabat bergerak di kawasan luar bandar.
“Saya berharap kadar pengagihan dividen interim yang kompetitif ini dapat mencetus serta menggalakkan lagi semangat dan minat melabur dalam kalangan masyarakat Bumiputera Sarawak,” ujar beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan dan warga kerja ASSAR atas pencapaian berterusan serta menyeru rakyat Sarawak untuk terus menyokong dana pelaburan negeri itu demi membina masa depan kewangan yang lebih mampan dan inklusif.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II serta Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Timbalan Pengerusi Sarawak Sovereign Wealth Future Fund (SSWFF), Datuk Patinggi Tan Sri Leonard Linggi Jugah, Pengerusi Kumpulan Syarikat Permodalan ASSAR, Dato Sri Wahab Dolah, barisan Ahli Lembaga Pengarah Permodalan ASSAR Sdn Bhd, Amanah Saham Sarawak Berhad serta anak-anak syarikatnya, Kumpulan Pengurusan Tertinggi Kumpulan Syarikat Permodalan ASSAR; serta para jemputan lain. – TAMAT –
Disediakan oleh: Mohamad Borhan Ahmad Ulis (BMKK).
Foto oleh: Abdul Hakeem Well (BKVS).
Residen Samarahan Dahului Senarai 152 Penerima Pingat
KUCHING, 5 Feb – Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang mendahului senarai 152 penerima pingat semasa Istiadat Pengurniaan Pingat dan Darjah-darjah Kebesaran Negeri Sarawak, hari ini.
Beliau merupakan salah seorang daripada sembilan penerima bagi Pingat Perkhidmatan Cemerlang (P.P.C) yang juga dikurniakan kepada Pengarah Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak, Jabatan Premier Sarawak, Superi Awang Said, Pengarah Unit Pentadbiran, Jabatan Premier Sarawak, Rusmaliza Mat Darus, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr. Veronica Lugah dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Lo Sheu Sia.
Turut menerima pingat tersebut ialah Ketua Pentadbir Ombudsman Sarawak, Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak, Jabatan Premier Sarawak, Wan Mohamad Wan Drahman, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Syed Ismail Nasiruddin Dato' Sri Wan Hashim dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Komunikasi Sarawak, Syed Mohamad Fauzi Shahaib.
Istiadat disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bertempat di Dewan Besar, Astana Negeri.
Ia kemudian diteruskan dengan pengurniaan Darjah Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S) kepada empat penerima iaitu Pakar Perunding Urologi Borneo Medical Centre, Dr. Lim Meng Shi, Editor Bersekutu New Sarawak Tribune, Murugaiah Meyappan, Pengetua Geomatics Survey Consultants, Sulaiman Salleh dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelarasan, Kawalan dan Pemantauan, Kementerian Ekonomi, Nor Shahida Mohd Sahimi.
Pada istiadat tersebut, Tun Wan Junaidi turut mengurniakan Darjah Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K) kepada 17 penerima dan Pingat Perkhidmatan Bakti (P.P.B) kepada 20 penerima.
Sementara itu, 13 penerima dikurniakan dengan Darjah Ahli Bintang Sarawak (A.B.S), manakala 21 lagi individu menerima Darjah Ahli Bintang Kenyalang (A.B.K).
Turut menerima pingat pada istiadat kali ini ialah seramai 32 penerima bagi Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T).
Mengakhiri istiadat berkenaan ialah pengurniaan Darjah Bentara Bintang Sarawak (B.B.S) kepada 36 penerima, jumlah teramai penerima bagi isitiadat berkenaan.
Turut hadir ialah isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom serta tetamu kenamaan yang lain.
Oleh: Norhayati Sarkawi (BMKK)
Foto: Abdul Hakeem Well (BKVS)
Sarawak dan University of Bristol, UK Perkukuh Ekosistem Semikonduktor Melalui Kerjasama Strategik
KUCHING, 4 Feb – Sarawak terus melangkah ke hadapan dalam usaha membina ekonomi berteknologi tinggi dan berteraskan pengetahuan apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sarawak Microelektronics Design (SMD) Semikonduktor, Yayasan Sarawak dan University of Bristol, United Kingdom (UK), dalam majlis yang berlangsung di Kompleks Satria Pertiwi di sini, hari ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerjasama tersebut menandakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan Sarawak untuk membangunkan ekonomi yang berdaya saing di peringkat global, khususnya dalam industri semikonduktor dan semikonduktor kompaun.
“Kerjasama ini selari dengan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030 – Beyond Moore’s Law serta menyokong aspirasi Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan pelan pembangunan negeri yang lebih luas.
Katanya, pendekatan Sarawak jelas dan konsisten, iaitu membina ekonomi mampan berteraskan inovasi dengan pelaburan berterusan dalam teknologi, bakat dan perkongsian strategik yang memberi impak jangka panjang,” kata Abang Johari.
Menurutnya lagi, penglibatan University of Bristol yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam penyelidikan semikonduktor lanjutan mencerminkan komitmen Sarawak untuk membina keupayaan jangka panjang melalui kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa yang dipercayai.
Katanya, melalui kerjasama dengan university tersebut, SMD akan terlibat dalam reka bentuk, pembangunan dan pengkomersialan teknologi semikonduktor kompaun, dengan tumpuan kepada Gallium Nitride (GaN) dan Gallium Oxide.
“Kepakaran akademik bertaraf dunia yang dimiliki universiti tersebut digabungkan dengan keperluan industri dan keutamaan strategik teknologi Sarawak dan dengan penglibatan Yayasan Sarawak.
“kerjasama ini merangkumi penajaan berstruktur bagi program pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di universiti tersebut bagi melahirkan jurutera dan penyelidik tempatan dalam bidang semikonduktor kompaun,” kata Abang Johari lagi.
Terdahulu, Pengarah Akademik dan Ketua Projek untuk REWIRE, University of Bristol, UK, Profesor Martin Kuball dalam ucapannya berkata, University of Bristol diiktiraf dalam bidang semikonduktor kompaun, aeroangkasa dan teknologi satelit dengan pendekatan menyeluruh yang merangkumi rantaian nilai daripada penyelidikan bahan asas hingga kepada aplikasi pengguna akhir.
Kerjasama antara SMD Semikonduktor dan University of Bristol dilihat berpotensi untuk diperkukuh ke arah pemeteraian MoU sebagai langkah awal membina pakatan strategik jangka panjang dalam bidang semikonduktor kompaun dan pembangunan bakat berkemahiran tinggi.
Ujar Martin lagi, kerjasama strategik yang dicadangkan ini dijangka membuka peluang luas kepada penyelidikan bersama, pembangunan modal insan serta pemindahan teknologi, sekali gus menyumbang kepada usaha Sarawak untuk membina ekosistem semikonduktor yang berdaya saing di peringkat global.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan-timbalan Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis dan Datuk Dr. Annuar Rapaee, Setiausaha Kewangan Sarawak merangkap Pengerusi SMD Semikonduktor, Dato Sri Dr.Wan Lizozman Wan Omar dan Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Junaidi Mohidin. -PENERANGAN-
-TAMAT –
Disediakan oleh: Toslin Meyub (BMKK)
Foto oleh: Mohamad Rizal Matasan
Seni Keyakinan Depan Lensa Gilap Potensi Petugas
KUCHING, 2 Feb – Penganjuran Bengkel Seni Keyakinan Depan Lensa dilihat mampu menggilap potensi petugas Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak dalam menguasai teknik penyampaian maklumat yang berimpak tinggi.
Pengarah Penerangan Sarawak, Sabri Said berkata, penguasaan teknik komunikasi visual adalah elemen kritikal bagi memastikan setiap mesej kerajaan dapat disampaikan dengan jelas dan berkesan kepada masyarakat.
“Petugas perlu mempraktikkan konsep baca, faham dan visualisasi terhadap intipati teks sebelum memulakan sesi rakaman bagi memastikan kelancaran penyampaian dalam tempoh masa yang singkat,” katanya.
Beliau menyarankan agar satu sesi latihan harian dilaksanakan bermula minggu hadapan dengan menggunakan bahan bacaan terpilih bagi menguji tahap kesiapsiagaan serta kefasihan setiap peserta.
“Kita berjaya mengenal pasti beberapa kategori bakat khusus dalam kalangan peserta yang boleh diketengahkan untuk mengisi pelbagai segmen bersesuaian dengan karisma dan kemahiran masing-masing,” tambahnya.
Inisiatif proaktif ini bertindak sebagai platform strategik untuk memperkasakan aset modal insan jabatan dalam menyebarluaskan dasar negara menerusi medium media siber secara lebih kreatif.
“Saya berharap semua petugas bersedia keluar daripada zon selesa dan memanfaatkan peluang ini untuk mengasah bakat baharu walaupun tugasan tersebut mungkin berada di luar bidang kemahiran asal mereka,” ujar beliau.
Jabatan turut merancang untuk memilih penyampai terbaik dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Iban dan Mandarin bagi memenuhi keperluan komunikasi yang lebih meluas, dikongsi teknik bersama pegawai-pegawai di peringkat daerah.
Turut hadir dalam bengkel tersebut ialah Timbalan Pengarah JAPEN Sarawak, Sri Kestury Mohammed Zamhari, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Media Siber JAPEN Sarawak, Hairol Hisham Hamdan serta pegawai-pegawai kanan jabatan.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Abdul Hakeem (BKVS)
JAPEN Perkasa Penyampaian Maklumat Berkesan Menerusi Video
KUCHING, 2 Feb – Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak menganjurkan Bengkel Seni Keyakinan Depan Lensa bagi memperkasa penyampaian maklumat secara berkesan menerusi video dalam kalangan warga kerjanya.
Inisiatif strategik ini bertujuan mencungkil bakat baharu sebagai wajah hadapan penyampai visual jabatan, khususnya sebagai hos bagi segmen pempengaruh (‘influencer’) rasmi agensi.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media Siber JAPEN Sarawak, Hairol Hisham Hamdan berkata, objektif utama penganjuran bengkel ini adalah untuk memantapkan kemahiran pegawai dalam menyebarluaskan mesej kerajaan secara kreatif dan berimpak tinggi melalui platform media sosial.
Beliau berkata, peserta yang dikenal pasti berpotensi akan diketengahkan sebagai jurucakap bagi program Khabar Dari Sarawak, siri audio siar (podcast) serta kandungan visual ‘ad hoc’ agensi.
Menurutnya, penguasaan teknik kawalan gemuruh, ekspresi wajah dan bahasa tubuh yang berkesan amat penting bagi memastikan kredibiliti serta keyakinan penyampai sentiasa terpelihara ketika berhadapan lensa kamera.
Bengkel intensif sehari itu memberi pendedahan menyeluruh merangkumi pembentukan mentaliti ‘on-air’, teknik intonasi suara serta penulisan skrip ringkas dan padat yang sesuai untuk platform media sosial seperti TikTok dan Reels.
Para peserta turut didedahkan dengan sesi simulasi rakaman secara praktikal bagi menilai tahap keyakinan diri serta menerima maklum balas segera terhadap keberkesanan penyampaian masing-masing.
Bengkel ini dikendalikan oleh penceramah jemputan, Penyunting Berita TV merangkap Penerbit Rancangan Radio Televisyen Malaysia, Vanessa Mering, yang memfokuskan kepada aspek psikologi kamera dan bahasa visual.
Secara keseluruhannya, JAPEN optimis usaha pemerkasaan modal insan ini mampu melahirkan pegawai yang kompeten serta bersedia mendepani cabaran komunikasi digital yang semakin pantas dan dinamik.-PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Joshua Amir Sibat (BMKK)
Foto: Abdul Hakeem (BKVS)
TYT Sarawak Hadir Majlis Makan Malam bersama Kepimpinan Sarawak
KUCHING, 2 Feb – Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menghadiri Majlis Makan Malam bersama Kepimpinan Sarawak sempena Ulang Tahun Kelahiran ke-80 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, malam tadi.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Sebelum majlis makan malam dimulakan, terdahulu majlis dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Pegawai Agama Astana, Ustaz Syed Mohd Rusydi Wan Yusup.
Usai makan malam, majlis diteruskan dengan upacara memotong kek ulang tahun kelahiran ke-80 oleh Tun Dr. Wan Junaidi bersama-sama dengan Toh Puan Fauziah.
Majlis kemudiannya diikuti dengan acara pemotongan kek sambutan ulang tahun ke-9 Abang Johari sebagai Premier Sarawak.
Selain itu, turut diraikan pada majlis ini ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah yang menyambut hari lahir yang ke-69.
Para tetamu yang hadir turut dipertontonkan dengan tayangan video Dirgahayu Tuan Yang Terutama Tun bersempena dengan tahun kedua pelantikan TYT sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Majlis sambutan ulang tahun Tun Pehin Sri juga sangat bermakna apabila turut menayangkan video istimewa nukilan Toh Puan Fauziah khas untuk Tun Pehin Sri.
Bukan itu sahaja, Toh Puan Fauziah turut menghasilkan sebuah sajak istimewa khas buat Tun Pehin Sri yang bertajuk : ‘Di Hadapan Semua, Aku Memilih Namamu’.
Acara diakhiri dengan Tun Pehin Sri merakam gambar kenangan bersama-sama dengan para tetamu kenamaan serta tetamu jemputan yang lain.
Turut hadir ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof.Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri-menteri dan Timbalan-timbalan Menteri Kabinet Sarawak dan dif kenamaan lain.- PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Juliana Abdulah (BMKK)
Foto: Bolhan Basah (BKVS)
Pembangunan Taman Botani Lengkapkan Ekosistem Bandar Pintar
KUCHING, 1 Feb — Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan bahawa pembangunan Taman Botani yang terancang bakal melengkapkan ekosistem bandar pintar serta menyokong aspirasi bandar raya rendah karbon.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan program 'Walk For Health' dan simbolik penanaman pokok Agathis Borneensis di Dataran Ibu Pertiwi, hari ini.
Projek berkenaan merangkumi dua komponen utama iaitu taman rekreasi sedia ada dan sambungan Laluan Warisan (Heritage Trail) hingga ke Taman Reservoir yang menawarkan pelbagai tarikan biodiversiti tempatan.
Abang Johari menjelaskan bahawa inisiatif tersebut bukan sahaja menyediakan ruang rekreasi untuk penduduk tempatan dan pelancong malah menyumbang kepada kelestarian alam sekitar menerusi penanaman pelbagai spesies flora tropika seperti buluh.
Penyelenggaraan kawasan tersebut akan dilaksanakan secara kolaboratif melibatkan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Pusat Penyelidikan Biodiversiti Sarawak dan Jabatan Hutan Sarawak bagi memastikan kelangsungannya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Sarawak sedang giat membangunkan Pusat Seni Persembahan moden berinspirasikan Royal Albert Hall, London bagi menarik penganjuran acara seni dan budaya bertaraf antarabangsa.
Terdahulu, program berjalan kaki sejauh 2.5 kilometer merentasi laluan Taman Botani itu disertai kira-kira 300 peserta bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan pembudayaan gaya hidup aktif.
Taman Botani dipilih bagi memastikan peserta merasai sendiri suasana kelestarian alam sekitar yang terdapat di taman tersebut.
Beliau dan tetamu kenamaan lain turut menyertai sesi senamrobik yang dikendalikan oleh 'Angel Fits Squad'dengan suasana ceria dan bertenaga sebelum menyempurnakan acara pelepasan (flag-off) para peserta.
Turut hadir ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta kenamaan lain. -PENERANGAN-
-TAMAT-
Disediakan oleh: Muhammad Izzat Muzaqeer Zamri (BMKK)
Foto: Cassidy Lisut (BKVS)