Nama: MUHAMMAD HEIKAL BIN ABDUL KARIM
No. PPOM: 0281-1
Terkenang
“Alamak, ni high myope ni,” aku mengeluh perlahan, hanya cukup untuk didengari oleh telingaku dan aku memang tidak berniat ingin berkongsi pendapatku dengan rakan sekerja yang lain. Keluhanku tadi, lebih kepada perasaan kasihan kepada pesakit dan bukannya rasa bimbang berhadapan dengan pesakit rabun jauh yang berkuasa tinggi. Alhamdulillah, mujur di Hospital Tampin, terdapatnya retinoskop simpanan yang sengaja diletakkan dibawah jagaan Hospital Tampin untuk tujuan lawatan pegawai-pegawai optometri daripada Hospital Tuanku Ja’afar. Retinoskop itulah yang kami gunakan secara berkongsi untuk memeriksa mata kanak-kanak sekolah di bawah program Sayangi Mata Vision Clinic Tampin 2019. Pihak penganjur hanya menyediakan bacaan autorefraktometer kepada kami sebagai sumber rujukan untuk kami memulakan pemeriksaan refraksi subjektif kami. Namun, rata-rata kami yang menjadikan retinoskop sebagai teman sehidup semati ini, sangat mendambakan cahaya pantulan retinoskop daripada mata pesakit untuk menjadi pedoman dan panduan agar lebih faham akan keadaan mata pesakit yang sedang kami hadapi.
Keadaan ini membawa aku kembali kepada waktu aku mula-mula memegang retinoskop. Ketika itu, sesi latihan klinikal sedang dijalankan dan pensyarah yang dipertanggungjawabkan untuk mengajar kami teknik asas retinoskop mengarahkan aku untuk melihat pantulan cahaya retinoskop pada mata salah seorang rakan sekuliahku. Beliau kemudian bertanya sama aku dapat melihat pantulan cahaya retinoskop daripada mata rakan sekuliahku. Aku yang gugup kerana belum biasa melihat pantulan cahaya retinoskop, lantas menjawab, “Maaf doktor, saya tak nampak apa-apa pun,”. Jawapan yang aku beri itu telah disambut dengan satu ungkapan yang tidak dapat aku lupakan dan ungkapan inilah yang menjadikan aku benar-benar ingin memahirkan diri menggunakan retinoskop. Pensyarah itu telah mengungkapkan kenyataan seperti berikut, “Kalau tak nampak pantulan cahaya retinoskop tu, tak bolah jadi optometris because retinoscope is our bread and butter,” ujarnya didalam Bahasa Malaysia bercampur Bahasa Inggeris. Kenyataan tersebutlah yang telah aku semat di lubuk sanubariku dan aku tanamkan azam untuk menjadikan retinoskop sebagai ‘sarapan pagiku’ sepanjang perkhidmatanku sebagai pegawai optometri.
“Kelam betul pantulan cahaya retinoskop dalam mata adik ni, sangat kelam sampaikan takda langsung pergerakan pantulan cahaya. Mujurlah ada retinoskop Hospital Tampin ni, sedikit sebanyak dah dapat agak dah kuasa rabun jauh dan silau dia,” aku memberitahu pegawai optometri yang bertugas di Hospital Tuanku Ampuan Najihah yang juga turut serta mengikuti kempen pemeriksaan mata itu. Rakanku itu hanya menganggukkan kepala mengiyakan kenyataan aku itu tadi. Pengalaman bekerja di hospital kerajaan selama 14 tahun dan kekerapan menguruskan pesakit seperti ini, berjaya menafikan walau sekelumit rasa gusar yang timbul apabila berhadapan dengan pesakit rabun berkuasa tinggi.
Ingatanku terus mengimbau kembali ke saat pertama kali aku melihat pantulan cahaya yang kelam daripada retinoskop seperti ini. Tahun 2002, latihan industri klinikal di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, Negeri Sembilan. Ketika itu, Hospital Tuanku Ja’afar hanya mempunyai 3 orang pegawai optometri, dan pada sesi petang klinik mereka, kami sebagai pelajar universiti yang menjalankan latihan pembelajaran di tempat kerja, telah dibenarkan untuk memeriksa beberapa pesakit yang dikira sesuai untuk pembelajaran kami dibawah pengawasan pegawai optometri hospital yang bertindak sebagai supervisor. Cik Asmah, aku masih lagi teringat nama pegawai optometri yang membimbing kami pada petang tersebut. Dia mengarahkan aku untuk melihat pantulan cahaya retinoskop daripada mata pesakit yang baru dilihatnya. Aku mengambil retinoskop daripada tangan Cik Asmah dan melihat sendiri pantulan cahaya daripada mata pesakit. Peluh dingin membasahi dahiku, dan aku mula panik kerana sepanjang sesi klinikal di universiti, aku belum pernah lagi melihat pantulan cahaya seperti yang dilihatku pada waktu itu. Aku menggerakkan retinoskop ke kiri dan ke kanan, ke atas dan ke bawah tetapi masih tiada pergerakan pantulan cahaya. Cik Asmah pun meminta aku memberikan pendapat aku berkenaan pesakit tersebut. Aku yang masih lagi setahun jagung dalam ilmu mengendalikan retinoskop pada waktu itu, dengan rasa ragu-ragu terus menjawab, “Saya tak pasti kak, tapi mungkin pesakit ni malingering,”. Raut wajah Cik Asmah berubah kehairanan. Cik Asmah pun mengajukan soalan untuk merungkaikan kehairanannya, “Kenapa kamu rasa pesakit ni malingering?” dan dengan jujurnya aku menjawab, “Saya tak nampak apa-apa pergerakan pantulan cahaya tadi, dan saya dimaklumkan kalau tiada pergerakan celahan lampu, bermaksud pantulan cahaya sudah neutral dan pesakit tiada ralat refraksi,”. Suasana pada ketika itu bertukar hening, kerana semua yang mendengar sedang cuba menghadam lafaz patah perkataan yang baru aku sampaikan tadi. Kriiik… kriiik…
Hanya pada sukatan itu, tahap ilmuku menggunakan retinoskop pada ketika itu. Malu benar jika mengenangkan kembali insiden tersebut, kerana jawapan aku itu mencerminkan betapa naifnya aku dalam menganggar atau mentafsirkan pantulan cahaya retinoskop daripada mata pesakit. Namun demikian, kredit harus diberikan kepada Cik Asmah kerana tidak memperkecilkan tahap ilmuku pada ketika itu, sebaliknya membimbing dan memperincikan lagi kepadaku berkenaan cahaya pantulan retinoskop yang dilihatku itu.
Kini, pesakit di hadapanku ini, memberikan pantulan cahaya yang sama pada kedua-dua belah matanya. Hal ini bukanlah masalah yang merumitkan kerana berbekalkan kemahiran menggunakan retinoskop yang telah diasah bertahun-tahun sejak mula bekerja dahulu, kemahiran mentafsirkan pantulan cahaya pada mata pesakit sudah menjadi sebati dalam diri seperti kata pepatah, sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya. Kemudian, aku mengambil peluang memerhatikan keadaan di sekeliling dewan dan mataku terus tertumpu pada carta Snellen yang berada 6 meter jaraknya dari kedudukan kami. Aku menoleh ke arah rakan sekerjaku yang sedang menggunakan retinoskop yang digunakan oleh aku sebentar tadi seraya berkata, “Dewan ni terang sangat sebenarnya, mungkin sebab itu pihak penganjur tidak bekalkan kita dengan retinoskop manakala carta yang dibekalkan pula adalah untuk jarak 6 meter dan bukannya 3 meter,”. Rakanku hanya tersenyum kerana sedang berusaha keras untuk memastikan pantulan cahaya retinoskop yang dilihat di dalam mata pesakitnya. Tempat pemeriksaan yang tidak kondusif bukanlah masalah besar bagi aku kerana memang terlatih untuk menghadapi situasi-situasi seperti ini ketika program Perkhidmatan Kesihatan Sekolah semasa berkhidmat di Hospital Sri Aman dahulu.
Dua puluh tahun berkhidmat di Sarawak, di tiga buah hospital yang sangat berbeza jumlah katilnya, layaklah aku nobatkan Bahagian Sri Aman sebagai yang paling daif ketika itu. Bahagian ini sangat besar, dan taburan penduduknya sangat jauh dari hospital manakala sistem pengangkutan awamnya belum mencapai tahap yang sepatutnya. Oleh disebabkan itu, untuk menjayakan program Perkhidmatan Kesihatan Sekolah, aku sendiri terpaksa memandu keluar ke klinik-klinik kesihatan atau sekolah-sekolah yang berkenaan untuk menjayakan program ini yang dijalankan setiap tahun. Aku akan menjalankan pemeriksaan mata secara khususnya refraksi untuk jumlah budak sekolah yang mencapai hampir 40 orang setiap hari di ruang-ruang atau sudut-sudut yang telah disediakan oleh pihak sekolah atau pihak klinik kesihatan tanpa banyak bicara dan cuba beradaptasi dengan keadaan dengan sebaik mungkin. Alhamdulillah, apabila dikenang kembali, program ini menjadi antara kenangan manisku ketika berkhidmat di Hospital Sri Aman kerana longgokkan pengalaman yang diperoleh ketika itu.
Tidak sampai 15 minit, aku pun menyerahkan kertas preskripsi kepada pelajar yang mempunyai kuasa rabun jauh yang tinggi itu dan menghalakannya ke arah stesen pemilihan cermin mata untuknya memilih bingkai cermin mata yang sesuai. Oleh kerana hasil refraksi objektif aku tadi agak baik, masa yang diambil untuk refraksi subjektif hanyalah sekejap sahaja dan dengan izin tuhan, pelajar itu tadi berjaya membaca carta sehingga tahap yang diperlukan.
Aku memang sudah lama berkeinginan untuk menabur khidmat di negeri kelahiranku, tetapi kebarangkalian untuk berpindah keluar dari Sarawak hampir mencapai sifar peratus. Oleh itu, bila diuar-uarkan berkenaan program di Tampin ini, aku terus memberi nama untuk menyertainya. Kini, aku sudahpun memenuhi impian tersebut. Walaupun tempohnya sekejap, namun aku tetap bersyukur dan saki baki tahun perkhidmatanku sebagai pegawai optometri di hospital kerajaan berkemungkinan besar adalah untuk berbakti kepada penduduk Sarawak, wallahu a’lam.