Nama: MOHAMAD AKMAL BIN AZEMI
No. PPOM: 0292-1
Salam
Pagi itu suasana berlangsung seperti biasa, bilik yang digunakan untuk kempen katarak penuh. Sepuluh orang pesakit awal duduk di hadapan akur menunggu giliran pemeriksaan.
Di antara mereka ada seorang pesakit wanita. Berbaju biru, berseluar coklat. Usia hampir 40-an. Sambil melihat pesakit lain disaring, beliau berbual dengan dengan makcik tua di sebelah. Namun melihat dari riak muka yang sugul, seolah-olah ada sesuatu mengganggu fikiran beliau.
Setelah 30 minit menunggu, sampai giliran beliau untuk disaring kondisi mata.
"Dah dekat 5 bulan dah mata kanan makcik ni kabur. Makcik ingat biasa-biasa sahaja, sebab tu tak pernah pergi periksa di klinik mata. Hari ni dapat tahu ada pemeriksaan mata, makcik datanglah."
Kondisi mata pesakit adalah seperti dalam gambar di bawah. Berlaku posterior vitreous detachment pada bahagian hadapan retina. Juga terlihat umpama parut lama pada bahagian retina berdekatan saraf optik. Seakan berlaku edema pada bahagian berdekatan makula (penakulan awal).
Tentu, kes ini perlu dirujuk kepada pakar untuk pemeriksaan lanjut dan diagnosis yang lebih tepat dan terperinci. Namun prognosis penglihatan untuk kecederaan bahagian retina sebegini adalah tidak baik.
Kawan-kawan,
Pesakit ini mengaku pernah mengalami peristiwa pelik semasa beriadah di sungai, 5 bulan lalu. Sewaktu beliau terjun ke sungai dari aras tinggi, beliau perasaan sesuatu 'mengalir' dalam mata kanan. Kemudian penglihatan mata kanan beransur kabur. Namun pesakit tidak mendapatkan rawatan kerana menyangka ianya tidak serius. Ianya berlarutan hingga lima bulan. Bayangkan!
Kawan-kawan, kes kelalaian seperti ini sering berlaku dalam kalangan masyarakat. Menyangka mata yang kabur itu adalah biasa atau akibat dari rabun menyebabkan pesakit bermalas-malasan untuk mendapatkan rawatan awal. Kabur akut atau keadaan dimana penglihatan tiba-tiba kabur (atau gelap) perlu kepada rawatan awal dan cepat.
Apabila berlaku insiden seperti diatas, rujuk dengan doktor mata atau optometris anda dengan kadar segera. Kegagalan mendapatkan rawatan awal meningkatkan lagi risiko kecacatan penglihatan kekal atau kebutaan.
Akhirnya, pesakit ini dirujuk untuk perhatian doktor pakar mata. Moga beliau tabah menghadapi ujian mendatang. Doakan beliau. InsyaAllah.