Nama: ASMA BINTI HASSAN
No. PPOM: 0286-1
KISAH DARI RETINOSKOP OPTOMETRIS
Hembusan angin menyusup menyegarkan mata serta tubuhku. Mentari pagi yang agak suram menyapa pagi hari berselimutkan kabus tipis. Cuaca seakan mengerti akan keadaan yang akan aku alami hari ini. Langkah kuteruskan seperti biasa memulakan pagi hari untuk bertemu dengan pesakit yang sudah awal lagi menunggu giliran mereka dipanggil.
Kini, tibalah giliran pesakitku yang terakhir bagi sesi temujanji pagi ini. ‘’A123, Bilik 7’’, nombor panggilan dipanggil di skrin TV. Pintu diketuk. Kulihat sepasang suami isteri yang masih muda, lingkungan 30-an, bersama anak kecil di sisi. ‘’Comel’’, getus hatiku. ‘’Puan A, ya?’’ soalku kepada wanita bertudung ungu muda itu. ‘’Ya, saya’’, jawabnya tenang sambil tersenyum manis. Si isteri datang menghampiri dan menyerahkan surat rujukan daripada Pegawai Perubatan yang telah memeriksanya tempoh hari. Tanpa membuang masa, aku terus membaca sekali imbas sebab pesakit ini dirujuk ke optometri. “Oh, untuk pemeriksaan refraksi mata sahaja”, omelku perlahan.
Kulihat tangannya menggenggam erat seakan tersimpan rahsia yang enggan dilepaskan. Gelisah, mungkin pesakit ini pertama kali datang untuk pemeriksaan mata. Kuteruskan pemeriksaan dengan bertanya serta merekod riwayat pesakit. Papan kekunci ditekan sambil menaip data serta maklumat yang diberi oleh pesakit muda ini. Biasa. Ya, aku menjangkakan sang isteri hanya mempunyai masalah refraksi kaca mata sahaja. ‘’Mungkin tiada masalah yang serius’’, gumam egoku. Mudah seperti membalikkan telapak tangan. Aku leka dan alpa dalam mempertimbangkan kesukaran sesuatu benda.
Ku teruskan prosedur biasa yang dilakukan seperti ujian ketajaman penglihatan. Visual akuiti. Semakin perlahan dan lambat nadanya menyebut huruf-huruf yang dipamer di skrin. Pelik. Tanggapanku sebentar tadi goyah. Tahap penglihatannya tidak berubah dengan penggunaan ‘pinhole’. Retinoskop menjadi titik pengukur tahap penglihatan sang isteri. Si anak kecil terpegun melihat ibunya melakukan pelbagai ujian penglihatan. Begitu juga sang suami. Kuteruskan prosedur sambil bertanya lanjut tentang sebarang sejarah keluarga, kecederaan atau masalah mata yang dialaminya.
Sang isteri menghela nafas, memandangku dengan pandangan resah, mengatakan bahawa bapa saudaranya ada mengalami masalah sepertinya. Tutur katanya tenang, biarpun dapat didengar getaran di hujung kata-katanya sebentar tadi. Ujian konfrontasi dilakukan agar aku dapat mengetahui secara kasar medan penglihatan Puan A. Jari ditunjuk ke pelbagai arah. Sempit. Nyata medan penglihatannya tidak seperti orang normal. Ekor mataku melihat sang suami resah melihat respon isterinya saat melakukan prosedur. Aku ingatkan diri untuk terus bersikap professional.
“Puan, boleh bangun dan duduk di kerusi ini ya”, pintaku kepadanya. Pemeriksaan diteruskan lagi dengan melihat keadaan mata di bahagian anterior dan posterior menggunakan slit lamp. Alat yang sangat penting untuk melihat tahap keadaan mata pesakit setanding dengan nilai harganya yang beribu-ribu ringgit Malaysia. Tiada yang abnormal di bahagian anterior. Pemeriksaan fundus diteruskan untuk melihat keadaan semasa fundus Puan A. Ya, dapat dilihat tanda-tanda retinitis pigmentosa di bahagian sekeliling (peripheral).
Pigmentasi retina atau lebih dikenali sebagai retinitis pigmentosa (RP), sejenis penyakit mata yang merupakan penyakit keturunan. Ia biasanya dapat dilihat 1 di dalam 3000 ke 5000 orang. Penyakit ini merupakan penyakit yang progresif iaitu keadaan atau tahap penglihatan mata pesakit yang menghidapi penyakit ini akan semakin menurun dan akhirnya boleh menyebabkan tahap penglihatan semakin terhad atau buta.
RP berlaku disebabkan oleh perubahan pada gen yang mengawal sel-sel retina. Gen yang diubah ini diwarisi oleh ibu bapa kepada anak - anak. Penyakit ini bermula dengan simptom rabun malam atau dikenali sebagai nyctalopia. Selain itu, gejala RP juga termasuklah seseorang individu itu terlalu sensitif terhadap cahaya terang dan kehilangan penglihatan warna. Sehingga kini, tiada rawatan yang dapat merawat penyakit pigmentasi retina atau RP. Namun begitu, alat penglihatan terhad (low vision aids) dan program pemulihan (rehabilitation) boleh membantu pesakit RP untuk memaksimumkan penglihatan mereka sebaik mungkin.
Gambar fundus diambil dan aku meminta Puan A untuk menunggu di luar bilik 7. Aku merekod data dan dapatan yang dijumpai semasa pemeriksaan dijalankan tadi di dalam sistem komputer. Langkah diatur menuju ke bilik Dr B, Pegawai Perubatan yang merujuk Puan A kepadaku. Perbincangan dilakukan dan pesakit ini akan dirujuk ke Jabatan Oftalmologi untuk menentukan diagnosis akhir keadaannya. Aku turut mencadangkan agar Puan A juga dapat dirujuk ke klinik khas optometri (penglihatan terhad) untuk membantunya menyesuaikan tahap penglihatannya dengan aktiviti seharian.
Derapan langkah kuteruskan ke bilik 7. Aku mengambil nafas dalam. Tutur kata serta nada diatur sebaik mungkin agar dirinya faham akan keadaan tahap penglihatan dan dapat menerima dengan tenang. Aku menyampaikan diagnosis awal yang dijumpai kepadanya serta menyatakan kemungkinan keadaan mata Puan A. Kulihat kolam matanya bergenang. Penuh dan akhirnya pecah jua. Titisan air matanya mengalir laju di pipi. Esak tangisnya memecah kesunyian, menjadi sebuah lagu duka yang tidak berpenghujung. Suami di sisi memegang lembut bahu sang isteri yang sedang berperang dengan perasaannya sendiri.
Aku diam seketika. Memberinya ruang untuk bertenang sebentar. Si kecil kulihat tersenyum, leka bermain dengan patung agaknya. Si suami bertanya kepadaku adakah anak juga akan mewarisi penyakit yang sama. Aku memberitahunya bahawa ini adalah kemungkinan diagnosis awal dan jika benar, anak berkemungkinan juga untuk mewarisi penyakit ini. Jadi pemeriksaan mata komprehensif amatlah digalakkan. Si suami mengangguk tanda faham. Si isteri kembali tenang walaupun kabar duka yang diberitahu tadi masih lagi terngiang-ngiang di telinganya. Aku memberitahu Puan A bahawa dirinya akan dirujuk ke klinik mata Jabatan Oftalmologi untuk pemeriksaan lanjut. Dirinya kulihat agak sukar menerima berita sebentar tadi. Aku cuba menyakinkan dia bahawa masih ada rawatan yang boleh dilakukan untuk membantu tahap penglihatannya yang sedia ada. Aku meminta Puan A untuk menunggu di luar kerana nombor panggilannya akan dipanggil ke bilik Dr B untuk mendapatkan surat rujukan. Tangan yang dihulur aku sambut. Puan A memeluk erat diriku dan mengucapkan terima kasih sebagai tanda penghargaan kerana sudah memeriksanya tadi. Langkah yang diatur menuju ke luar bilik nampak perlahan bersama bahu yang semakin jatuh menanggung kesedihan yang tiada berkesudahan.
Kisah Puan A ini menjadi sebuah pengalaman berharga buat diriku. Kenangan ini datang seperti ombak yang menghentam hati, meninggalkan sebuah pengalaman bernilai bagi diriku yang masih setahun jagung berkhidmat sebagai optometris klinik kesihatan. Dan kini aku mengerti bahawa semua individu berhak mendapat rawatan selayaknya tanpa prejudis dan sikap sambil lewa.