Nama: Nor Azizah Ismail
No. PPOM: 0050-1
September 1998, negara digemparkan dengan berita penangkapan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI), yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Satu negara tersentak, termasuk saya yang ketika itu hanya seorang Pegawai Optometri di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Saya masih dianggap junior kerana baru empat tahun bertugas di situ.
Namun, ini bukan kisah tentang penangkapannya, tetapi tentang satu pertemuan yang tak disangka-sangka. Selepas dua bulan dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, DSAI mengalami masalah kesihatan. Beliau dibawa ke HTAR untuk rawatan, namun setiap kali beliau muncul, rakyat berpusu-pusu datang untuk melihatnya. Suasana menjadi huru-hara. Akhirnya, pihak berkuasa membuat keputusan untuk tidak membenarkan beliau ke hospital lagi. Sebaliknya, kami yang perlu ke penjara bagi memberikan rawatan.
Hari yang ditunggu pun tiba. Jabatan Oftalmologi diarahkan untuk memeriksa mata DSAI, dan Ketua Jabatan saya, Mr. Yogan, mengarahkan saya turut serta. Berdebar? Sudah tentu. Ini kali pertama saya akan memasuki penjara, apatah lagi untuk berhadapan dengan tokoh besar seperti DSAI. Saya bersama Mr. Yogan, mendiang MA Michael, dan seorang atendan kesihatan menaiki kenderaan jabatan dengan membawa peralatan lengkap.
Setiba di Penjara Sungai Buloh, kami disambut dan dibawa masuk ke dalam penjara oleh warder yang bertugas. Saya diapit rapat oleh MA Michael dan Mr Yogan, seolah-olah melindungi saya dari banduan-banduan yang tidak putus-putus memerhatikan saya. Saya tak boleh nak gambarkan bagaimana perasaan saya ketika itu, jakun sebab pertama kali masuk penjara, takut dengan mata-mata liar dari banduan seolah-olah hendak melahap tubuh saya, teruja pun ada sebab bukan senang dapat peluang sebegini.
Sedang kami berjalan melintasi banduan-banduan yang ramai dikeliling kami, mata saya tertancap pada seluar pendek yang dipakai oleh beberapa orang banduan. Seluar pendek tersebut ditebuk pada bahagian punggung, mendedahkan kesan sebatan. Saya terkesima seketika. Luka-luka itu bukan sekadar pada kulit, tetapi seolah-olah menjadi peringatan keras kepada mereka. Saya terasa ngeri membayangkan betapa peritnya kesakitan yang ditanggung.
Kami terus berjalan ke ruang yang telah disediakan untuk memeriksa DSAI. Jauh juga perjalanan itu. Setibanya di sana, DSAI sudah menunggu bersama beberapa orang pegawai atasan penjara. Hati saya berdebar kencang, maklumlah, bukan pesakit biasa yang kami hadapi hari ini. Selesai memasang peralatan, giliran saya tiba untuk memulakan pemeriksaan.
Saya pun menjemput DSAI duduk di kerusi yang disediakan untuk saya mula mengambil tahap penglihatan atau VA beliau. Saya pakaikan trial frame dan menutup mata kiri beliau dan menyuruh DSAI membaca carta Snellen menggunakan mata kanan. Setelah siap, saya tutup pula mata kanan beliau dan DSAI baca carta Snellen menggunakan mata kiri pula.
Selesai ambil VA, saya tutup lampu dan mula melakukan prosedur retinoskopi untuk kedua-dua belah mata. Tangan saya sedikit terketar-ketar ketika hendak meletakkan trial lens di hadapan mata DSAI. Dalam hati saya bersyukur sangat sebab refleks mata DSAI sangat terang dan mudah dilihat dan yang paling penting kuasa mata tidak terlalu tinggi. Urusan saya menjadi lebih mudah. Selesai prosedur retinoskopi, lampu kembali dibuka dan saya meneruskan prosedur refraksi subjektif. Prosedur ini saya lakukan dengan sangat teliti kerana saya tidak mahu membuat kesilapan apabila preskripsi cermin mata dikeluarkan. Setiap langkah dalam prosedur ini saya buat dengan sangat cermat dan saya pastikan saya mengikut respon yang diberikan oleh DSAI supaya beliau selesa dengan preskripsi yang saya akan berikan nanti.
Kemudian detik yang mendebarkan pun tiba. Setelah saya selesai memeriksa, saya menunggu respon DSAI. Dalam hati, saya berharap dia akan berkata, "jelas" atau "terang". Namun perkataan yang keluar dari mulut DSAI yang saya ingat sampai sekarang ( dah 27 tahun) adalah, “Saya rasa awak dah bagi power yang terlalu tinggi untuk mata saya.” Tergamam. Hati saya berdetak kencang, namun saya tetap tenang.
Rasa nak tepuk dahi pun ada, sambil dalam hati cakap, “ Aku optometris ke kau optometris?”. Tapi saya kawal emosi saya. Dengan tenang, sambil tersenyum dan penuh yakin, saya menerangkan dalam bahasa yang tidak terlalu teknikal dan mudah difahami, “Tadi saya ada tanya Datuk Seri nak kurangkan power atau tak, tapi Datuk Seri pilih yang ini sebab nampak lebih terang.” Beliau terdiam seketika sebelum akhirnya berkata, “Owh, ye ke? Kalau macam tu, saya pilih yang ini lah.” Fuhh, lega.
DSAI ni ada auranya yang tersendiri. Bila saya berhadapan dengan beliau, saya dapat rasakan karismanya sebagi pemimpin sangat tinggi. Kalau tak cukup ilmu di dada mau lembik lutut dibuatnya. Saya berlagak sehabis professional depan beliau, dalam hati Allah saja yang tahu. Lepas itu saya terus tulis preskripsi cermin mata untuk beliau dan turunkan tandatangan di atas kertas preskripsi yang dah memang tersedia cop nama dan jawatan saya.
Kemudian saya menyerahkan kepadanya dengan senyuman. Ketika beliau melihat preskripsi itu, DSAI tersenyum dan berkata, “Nama awak sama dengan nama isteri saya.”
Tersengih saya seketika. Itu satu pujian yang tak disangka-sangka. Pengalaman ini bukan sekadar menjalankan tugas, tetapi satu kenangan yang penuh makna. DSAI memang mempunyai aura yang luar biasa. Saya berasa bangga kerana dapat menjalankan tugas dengan baik walaupun berhadapan dengan tokoh hebat seperti beliau. Ini adalah pengalaman yang akan saya ceritakan kepada cucu-cucu saya suatu hari nanti.
Buat adik-adik optometris di luar sana, jangan sesekali shortcut ketika menjalankan pemeriksaan. Lakukan dengan penuh teliti dan mengikut prosedur yang betul, kerana jika kita dihadapkan dengan situasi sebegini, ilmu dan kemahiran kita akan membantu kita mengendalikan keadaan dengan tenang.
Saya masih lagi menyimpan salinan preskripsi tersebut. Walaupun tulisannya sudah pudar namun, memori memeriksa DSAI tetap segar dalam ingatan.