Nama: NOOR AIDA BT SAPIEE
No. PPOM: 0066-1
KISAH SEPASANG MATA
“Pn Aida..”, aku terkejut sedikit bila namaku dipanggil. Aku menoleh. ”Oh, Encik Aman rupanya. “Ya, kenapa En Aman?”,sapaku semula. “Emm, bolehkah kalau saya minta tolong sikit?” katanya malu-malu. “Tolong periksa mata saya boleh? Cermin mata saya macam sudah kurang power la..” katanya lagi. “Boleh saja, esok datang klinik ya.” Encik Aman merupakan staf di bahagian pengurusan, selalu juga nampak dia di Klinik Mata, tapi tidak pernah pula bertegur sapa, apatah lagi bertanyakan apa masalah matanya.
Sehelai demi sehelai failnya ku selak. “Sympathetic ophthalmia?”...ujarku perlahan. Sifat ingin tahu menebal. Belum pernah ku dengar nama penyakit ini. Laju saja jari jemari ini bertanyakan encik google. Radang mata yang menjejaskan kedua-dua mata selepas berlakunya penetrating trauma kepada satu mata. Ia dipercayai disebabkan oleh reaksi autoimun yang dicetuskankan oleh uveal antigens yang dibebaskan ke dalam tisu protein yang terdedah pada mata yang trauma itu. Cuma terjadi 3 dalam 10,000,000!. Fuhh! Penyakit mata yang jarang sekali berlaku. Memang En Aman insan terpilih!
Seperti yang dijanjikan, En Aman datang petang itu. Selepas menyuruh beliau membaca huruf di carta Snellen, aku segera mencapai alat magis ku, tanpanya tidak dapatlah aku bekerja. Ya, itulah retinoskopi ku. Kami ibarat kembar, tidak dapat dipisahkan sama sekali. Lantas aku menghalakan retinoskopi ke mata En Aman. Beberapa minit sahaja, dapat ku baca kuasa mata Encik Aman. Rupa-rupanya kuasa matanya meningkat sedikit. Dek kesan steroid yang sudah lama diambilnya, sudah nampak kesan sampingannya. Katarak sudah ada. Mungkin sebab itu jugalah Encik Aman mengadu kurang jelas.
Sambil periksa mata, rancak Encik Aman bercerita mengenai matanya. “Mata kanan saya dulu pernah kena bola ragbi, masa zaman sekolah dulu. Dah buta. Tinggal la sebelah saja yang berfungsi. Tapi, doktor kata mata kiri yang normal ini sudah mula merosot penglihatannya hari demi hari seolah-olah bersimpati dengan mata sebelah yang buta. Jadi mata kiri saya lama kelamaan akan turut buta seperti mata kanan”. Tenang saja riak wajahnya bercerita. Aku pula yang tergamam mendengarnya. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.
Bukan sahaja hubungan sesama manusia, tetapi segala yang wujud berpasangan memerlukan antara satu sama lain. Ibarat pepatah Melayu, cubit peha kanan, peha kiri pula terasa. Betapa istimewanya hubungan sepasang mata ini. Alangkah indahnya ciptaan Tuhan! Sepasang mata! Mengapa dua mata, bukan satu, tiga atau empat. Mengapa pula ada dua mata, tapi semuanya yang kita lihat ternampak satu?. Dua mata untuk kita nampak 3D, dua mata kerana jika satu mata tidak nampak, satu mata lagilah pergantungan kita, dan bukan tiga atau empat kerana lebih banyak kita ada, semakin kurang kita menghargainya. Wallahualam.
Panjang perbualanku dengan Encik Aman. Kagum aku dengan kecekalan dan rasa syukurnya walaupun hanya sebelah mata sahaja berfungsi, dan sebelah mata lagi belum pasti nasibnya. Dua pengajaran yang berguna yang aku belajar hari ini, pertama syukur. Syukur dengan nikmat mata dan penglihatan. Kedua, hubungan sepasang mata yang unik.