Nama: IRNI SUHANA BINTI MUHAMAD
No. PPOM: 0251-1
KISAH RETINOSKOP DAN OPTOMETRIS
Pada suatu hari, seorang lelaki Melayu berusia sekitar 30-an melangkah masuk ke Klinik Optometri dengan wajah yang sugul. Sudah setahun lamanya dia mengalami masalah penglihatan pada mata kiri. Sepanjang tempoh itu, tiga pasang cermin mata telah dibeli, malah yang terbaharu bernilai RM2000 dengan harapan penglihatannya kembali jelas. Namun, kecewa. Mata kirinya tetap kabur.
Kecewa tetapi tidak berputus asa, dia mencari ikhtiar lain. Dia ke Klinik Kesihatan, di mana doktor akhirnya merujuknya kepada seorang pegawai optometri di Klinik Optometri.
Di klinik, ujian retinoskopi dilakukan. Optometris mengesan sesuatu yang ganjil, refleks cahaya pada mata kiri tidak normal. Seakan ada sesuatu yang menghalang laluan cahaya, namun lokasinya sukar dipastikan. Pemeriksaan menggunakan ‘slit lamp’ dilakukan. Anehnya, semuanya kelihatan normal, kornea bersih, kanta jernih, dan vitreous kelihatan baik.
Tidak berpuas hati, optometris mengambil langkah seterusnya. Ubat dilatasi dititiskan bagi membesarkan pupil. Hanya selepas itu, misteri terungkai. Lelaki itu rupa-rupanya mempunyai masalah katarak! Refleks retinoskopi yang tidak normal tadi menjadi petanda awal kepada penyakit yang tersembunyi.
Tanpa berlengah, pesakit dirujuk ke hospital berpakar untuk bertemu oftalmologis. Diagnosis disahkan katarak, dan pembedahan adalah jalan penyelesaiannya.
Pengajaran dari kisah ini?
Retinoskop, sekadar alat biasa di tangan yang pakar, mampu menjadi penyelamat dalam diagnosis awal. Inilah pentingnya mendapatkan pemeriksaan mata daripada optometris bertauliah. Tanpa pemeriksaan menyeluruh, pesakit bukan sahaja mengalami kesukaran penglihatan yang berpanjangan tetapi juga membazir wang untuk cermin mata yang tidak memberi penyelesaian.
Sayangi mata anda. Pastikan mereka yang berkelayakan yang memeriksa penglihatan anda.