Nama : Wan Nor Zaharah binti Wan Osman
No. Ahli PPOM : S084/2025
Antara Lensa dan Harapan : Kisah Awal Dalam Dunia Optometri .
Tahun 1992 menjadi detik bersejarah dalam hidup saya. Tahun inilah saya melangkah masuk ke dunia
optometri secara rasmi. Dengan semangat membara dan ilmu teori yang masih segar dari universiti,
saya memulakan kerjaya sebagai Optometris di sebuah praktis swasta. Pada ketika itu, saya menyimpan
pelbagai harapan dan cita-cita besar. Namun saya tidak pernah menyangka bahawa dalam minggu
pertama bekerja, saya akan menyaksikan satu pengalaman yang mengubah perspektif saya terhadap
profesion ini. Ia bukan sekadar tentang pemeriksaan mata, tetapi tentang satu bentuk perkhidmatan
kemanusiaan yang menyentuh hati dan jiwa.
Pada suatu pagi, seorang wanita muda hadir bersama seorang lelaki warga emas yang merupakan
ayahnya. Wajah mereka kelihatan cemas dan penuh kebimbangan. Wanita itu berkata dengan nada
lembut, "Ini ayah saya, dia perlukan cermin mata sebab penglihatan dia dah mula kabur." Saya
menyambut mereka dengan senyuman mesra sambil memperkenalkan diri dan memulakan sesi seperti
yang telah saya pelajari di universiti. Saya memulakan dengan mengambil sejarah kesihatan dan
mencatat keluhan utama pesakit.
Seterusnya, saya menjalankan ujian ketajaman penglihatan menggunakan carta ‘Snellen’. Pakcik
tersebut kelihatan bersungguh-sungguh mencuba membaca huruf menggunakan mata kanannya, namun
penglihatannya agak kabur. Kemudian, apabila diminta menggunakan mata kiri pula, beliau kelihatan
lebih resah. Beliau menggerakkan kepala ke kiri dan kanan seperti sedang mencari sudut pandang yang
lebih jelas, tetapi tetap tidak berjaya. Akhirnya, beliau bersuara dengan nada perlahan, "Pakcik tak
nampak huruf... cuma nampak bayang saja."
Suasana menjadi sunyi seketika. Tiba-tiba saya terdengar esakan halus dari anak perempuannya.
Tangisannya semakin kuat dan penuh emosi. Beliau memegang tangan ayahnya dan berkata, "Saya
minta maaf, ayah... saya tak tahu ayah tak nampak seteruk ini..." Kata-kata itu benar-benar menyentuh
hati saya. Sebagai seorang Optometris muda yang baru menempuh alam pekerjaan, saya terdiam
seketika, cuba mencari kekuatan untuk mengendalikan situasi yang sangat menyentuh perasaan ini.
Namun saya tahu, dalam saat sebegini, saya perlu kekal profesional dan tenang demi pesakit saya.
Saya menarik nafas dalam-dalam dan meneruskan pemeriksaan dengan menyeluruh. Saya
menggunakan oftalmoskop dan ‘slit-lamp’ bagi menilai struktur dalaman mata pesakit. Hasil
pemeriksaan menunjukkan bahawa pakcik tersebut mengalami masalah katarak yang agak serius. Saya
kemudian menjelaskan kepada mereka dengan tenang dan perlahan, "Pakcik mengalami katarak, satu
keadaan di mana lensa mata menjadi keruh. Namun, ini boleh dirawat melalui pembedahan. InshaAllah,
penglihatan pakcik boleh pulih."
Wajah anak perempuan itu berubah. Daripada panik dan cemas, kini terpancar kelegaan di wajahnya.
"Alhamdulillah, jadi masih ada harapan," katanya sambil mengelap air mata. Saya memberikan surat
rujukan kepada mereka untuk berjumpa dengan doktor mata di hospital swasta yang berdekatan untuk
tindakan selanjutnya. Mereka mengucapkan terima kasih dan keluar dari bilik pemeriksaan dengan
perasaan yang jauh lebih tenang.
Pengalaman ini benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri saya. Ia membuka mata
saya terhadap realiti sebenar masyarakat kita, terutamanya dalam kalangan warga emas. Ramai dalam
kalangan mereka tidak menyedari bahawa penglihatan mereka merosot akibat penyakit seperti katarak.
Mereka menyangka keadaan itu hanyalah kerana usia atau rabun biasa. Lebih menyedihkan, ramai yang
pergi ke kedai cermin mata dan dinyatakan bahawa "power spek dah habis," tanpa diberikan sebarang
penjelasan atau rujukan kepada pemeriksaan lanjut.
Saya masih ingat perbualan pakcik tersebut dalam loghat utara “Patut la depa kata power spek pakcik
dah habis, dan tempahan spek tak boleh dibuat ..”. Ketika itulah saya benar-benar sedar bahawa tahap
kesedaran masyarakat mengenai kesihatan mata masih sangat rendah serta kurangnya pusat optometri
yang bertauliah dan profesional yang dapat memberi khidmat nasihat dan mengurus pesakit dengan
baik.
Kini, dunia optometri telah berkembang dengan pesat. Pelbagai kemajuan teknologi telah
diperkenalkan, termasuk alat diagnostik digital yang canggih dan sistem rekod pesakit elektronik yang
lebih sistematik. Namun, satu perkara yang tidak pernah berubah adalah kepentingan empati dan
komunikasi yang berkesan. Pengalaman pertama saya itu bukan hanya tentang mengenali simptom
katarak, tetapi tentang menyedari bahawa setiap pesakit membawa bersamanya pelbagai cerita, isu serta
penyelesaian yang diinginkan.
Saya belajar bahawa menjadi seorang Optometris bukan hanya tentang ketepatan dalam membuat
diagnosis. Ia juga melibatkan kemampuan untuk menjadi seorang pendengar yang baik, seorang
pendidik yang prihatin, dan seorang penyampai harapan. Saya melihat sendiri kasih sayang yang
mendalam antara seorang anak dan ayahnya. Saya juga menyedari bahawa ilmu yang saya miliki
mampu mengubah rasa takut dan panik kepada rasa lega dan yakin.
Sejak hari itu, saya berjanji pada diri sendiri untuk tidak pernah memandang remeh keluhan pesakit,
walau sekecil mana pun ia kedengaran. Saya juga berazam untuk terus mendidik masyarakat tentang
pentingnya pemeriksaan mata secara berkala dan menyeluruh. Saya percaya bahawa peranan seorang
Optometris bukan sekadar dalam klinik, tetapi juga dalam membina kesedaran dan tanggungjawab
bersama terhadap penjagaan kesihatan mata.
Saya sangat bertuah kerana telah dapat membuka praktis sendiri dan ia menjadikan saya bersama rakan
Optometris yang bekerjasama dapat menunaikan tanggungjawab kami kepada masyarakat dengan cara
yang kami mahukan.Kesihatan mata pesakit menjadi keutamaan kami, khidmat nasihat yang
profesional serta alat bantuan penglihatan yang sesuai serta berpatutan kami sediakan. Kami juga masih
perlu terus ‘up to date ‘tentang ilmu, alatan dan perkembangan terkini dalam bidang optometri.
Cerita ini sentiasa saya kongsi dengan mereka yang menyertai syarikat saya “Kita memeriksa mata
bukan hanya sekadar organ penglihatan namun ia adalah cermin kepada kisah hidup seseorang, sebuah
harapan dan hubungan kasih antara sesama manusia”.
Peristiwa lebih 30 tahun itu adalah titik mula yang menjadikan saya bukan sekadar Optometris, tetapi
insan yang lebih memahami serta mempunyai empati dan lebih bersedia untuk memberikan
perkhidmatan yang tulus ikhlas dengan sepenuh jiwa dan raga.