Nama: DIANA MOHAMED
No. PPOM: 0010-0
LOBAK OH LOBAK!
Seorang lelaki separuh abad melangkah masuk ke bilik pemeriksaanku. “Nama Encik Lim Sit Keng? Nombor panggilan 145?” (bukan nama sebenar) ujarku. Beliau terus mengangguk dan menuju ke kerusi pemeriksaan tanpa melengahkan masa. Tampak letih, mungkin akibat menunggu lama untuk giliran dipanggil.
“Selamat tengahari Encik Lim, saya optometris Amelia, boleh beritahu masalah mata apa yang sekarang Encik Lim alami? Cermin mata yang sekarang ni sudah berapa lama dibuat?“ kataku memulakan bicara.
Aduan dan sejarah riwayat pesakit dapat membantu dalam pengurusan pesakit. Kalau melihat gaya Encik Lim menuju ke kerusi tadi, tampak tahap penglihatan beliau tidaklah begitu membimbangkan.
“Saya sudah pakai ini cermin mata dua tahun, mau cek ada ‘mok’ kata ini mata. Susah mau tengok sekarang. Saya pergi kedai cermin mata, mereka kata mesti mau cek hospital dulu” jawab Encik Lim. ‘Mok’ ni merujuk kepada katarak dalam dialek bahasa Cina.
Sambil bertanya, aku dapat merasakan ada yang tidak kena pada Encik Lim. Mataku melirik kepada warna kulit beliau, ada kelainan di situ. Kebiasaan pesakit berbangsa Cina, warna kulit mereka cerah putih. Tetapi pesakit ini memiliki ton warna yang berbeza. Bila aku melihat sklera warna pesakit ni, pun tidaklah seputih seperti yang sepatutnya, namun tidaklah kelihatan warna tidak terlalu kuning dan juga bukan kemerahan.
“Encik Lim ada masalah penyakit apa-apa? Kencing manis, darah tinggi?”
“Tiada, saya ok saja. Pernah cek dulu di klinik ”
“Ada pernah masuk wad ke kebelakangan ini? Bila kali terakhir cek darah?” tanyaku bertubi-tubi. Kulihat warna kulit beliau kelihatan seperti jingga kekuningan. Ada masalah hati ke pesakit ni. Teringat aku kepada pesakit yang mempunyai masalah gangguan fungsi hati yang memang kulitnya akan kelihatan kekuningan.
“Ada pernah demam teruk ke kebelakangan ni?” tanyaku lagi. Cubaan mengorek kalau pesakit ini ada lagi perkara yang belum diceritakan. Kulihat kakinya pun tidak ada tanda-tanda bengkak air juga sebagaimana jika pesakit ada masalah hati atau buah pinggang.
“Tidak ada. Last cek darah sebelum zaman Covid tu” jawabnya ringkas.
“Saya risau tengok warna kulit Encik Lim ni, kalau-kalau ada penyakit yang mungkin lain yang Encik Lim tidak tahu. Encik Lim ada ambil supplemen ke apa-apa ubat atau ubat tradisional?” Masih lagi syak kalau-kalau pesakit mengambil ubat-ubatan tradisional yang berlebihan yang mungkin boleh membawa kepada kerosakan hati dan buah pinggang.
“Saya tidak ada ambil apa-apa ubat. Saya jaga kesihatan selalu. Hari-hari saya minum air carrot. Untuk jaga mata, saya mau mata saya terang” jelas Encik Lim.
“Berapa lama dah Encik Lim minum air carrot?” soalku lagi.
“Saya sudah satu tahun buat macam ni, tiap-tiap pagi saya blend itu carrot, satu beg 1 kilogram satu hari, bikin air jus carrot. Mau jaga mata ma. Carrot bagus untuk mata bukan?” ujar beliau bersahaja.
“Carotenemia!” getusku dalam hati.
Sekarang baru dapat penjelasan kenapa kulit beliau kelihatan kekuningan, bila kuamati semula. Benar-benar sama seperti warna lobak merah. Walaupun lobak merah kaya dengan sumber beta carotene yang boleh ditukarkan kepada vitamin A dalam badan, pengambilan yang berlebihan boleh menyebabkan warna kulit berubah kepada jingga kekuningan, sama seperti warna lobak merah.
Tidak dinafikan lobak merah merupakan sumber Vitamin A yang baik untuk mengekalkan kesihatan mata dan mengandungi lutein (sejenis antioksidan) yang memberikan perlindungan kepada penyakit mata seperti degenerasi makula dan katarak, namun pengambilan perlu secara bersederhana. Jika berlebihan, Vitamin A yang tinggi di dalam darah akan menyebabkan kulit seperti berpigmen warna lobak.
Semasa melakukan refraksi (pemeriksaan tahap rabun mata), ternyata bukan hanya kulit kelihatan jingga kemerahan, malahan sklera iaitu kawasan mata yang biasanya putih turut kelihatan berwarna seperti lobak.
“Encik Lim, saya sudah periksa ‘power’ mata Encik Lim. Perlu tukar kepada cermin mata baru ya, sebab ada perubahan kepada tahap rabun tua Encik Lim. Rabun tua ni kita panggil presbiopia. Biasanya memang setiap dua tahun perlu tukar cermin mata baru sebab perubahan pada ‘power’ dekat.” kataku menjelaskan aduan awal tentang penglihatannya pada permulaan tadi. Memang Masyarakat di Malaysia menggelarkan kuasa kanta bagi ralat refraktif mereka sebagai ‘power’ mata.
“Satu perkara lagi Encik Lim, saya nak beri nasihat. Carrot memang bagus untuk mata sebagai sumber vitamin A, tapi perlu bersederhana. Mengikut saranan diet, 100 gram carrot saja sehari atau segelas sahaja jus carrot sudah cukup untuk kesihatan badan, bukan satu kilogram ya. Saya akan rujuk kepada pakar mata ya Encik Lim.
“Oh ya ke? Baik saya akan ingat nasihat puan. Saya ingatkan minum lagi banyak lagi bagus untuk mata” katanya sambil ketawa.
Selesai melakukan ujian OCT bagi melihat susunan struktur retina Encik Lim, pakar mengesahkan tiada kesan toksik lobak kepada fungsi dan struktur mata. Ini selari dengan kajian yang mengatakan carotenemia tidak memberikan kesan kepada kesihatan mata, tetapi semestinya kita tidak mahu berjalan-jalan dengan kulit berwarna jingga kemerahan bukan.
Ianya berbeza dengan Canthaxanthin retinopathy yang merupakan masalah retina yang berlaku akibat pengambilan makanan yang mempunyai agen pewarna yang tinggi carotenoid yang dinamakan Canthaxanthin. Ia menyebabkan pembentukan kristal pada titik fovea dan penurunan tahap penglihatan sekiranya pengambilan makanan yang mengandungi Canthaxanthin pada jangka masa panjang.
Ujian darah juga dibuat untuk Encik Lim untuk mengenalpasti jika terdapat faktor lain yang menyebabkan carotenemia tersebut seperti hipotiroidism, hiperlipidemia dan hiperkolestronemia.
Akhirnya Encik Lim melangkah keluar dari Klinik Mata dengan senyuman. Di tangannya kelihatan surat rujukan ke Jabatan Perubatan untuk menangani masalah hipotiroidnya yang baru dikesan. Semoga beliau faham bahawa apa jua gaya pemakanan itu perlu bersederhana, pengambilan berlebihan sesuatu yang baik tidak bermakna akan memberikan kesan baik, malah boleh memudaratkan.