Nama: MUHAMMAD SYAHIRAN BIN SAMSUDIN
No. PPOM: S074/2025
KISAH DARI RETINOSKOP OPTOMETRIS
Mata, satu nikmat yang diberikan tuhan untuk kegunaan kita melihat, namun nikmat ini sering tidak disyukuri dan diambil acuh tak acuh dalam menjaganya. Beribu cerita dan masalah dapat dirungkap melalui pantulan cahaya dari sebuah alat yang bernama Retinoskop. Optometris dan retinoskop dua entiti yang berpisah tiada.
Aku seorang Optometris, setiap hari masa kerjaku perlu aku gunakan retinoskop untuk memeriksa mata pesakit-pesakitku. Retinoskop digunakan untuk menentukan masalah rabun mata sama ada masalah rabun jauh(myopia) atau rabun dekat (hyperopia) mahupun rabun silau (astigmatism). Retinoskop juga boleh digunakan untuk diagnostik awal bagi masalah selaput katarak, radang dan masalah retina.
Aku pernah menemui pesakitku seorang mak cik tua yang datang untuk melakukan pemeriksaan mata dan hanya berhajat untuk membeli cermin mata bagi kegunaan membaca harian sahaja. Walaubagaimanapun, setelah aku memeriksa mata mak cik tersebut, aku mendapati selain daripada masalah rabunnya, beliau juga mempunyai masalah katarak yang teruk sehingga menghalang penglihatan beliau untuk nampak jelas pada jarak jauh dan dekat. Mak cik tersebut mengharapkan dengan memakai cermin mata dapatlah beliau melihat dengan lebih jelas tapi dengan kadar katarak pada mata mak cik itu, cermin mata tidak dapat membantunya untuk nampak jelas. Setelah aku tanya adakah dia mengetahui masalah katarak pada matanya itu, beliau sudah tahu akan masalah tersebut. Beliau memberitahu aku bahawa anak-anak dia tidak mahu menghantarnya ke hospital dengan alasan sibuk bekerja dan sibuk menjaga anak. Tergamam aku dibuatnya, sibuk akan pekerjaan dan anak-anak sehinggakan ibunya di kampung sudah tidak nampak untuk melihat jauh mahupun melihat dekat. Mak cik tersebut sudah tersenyum dapat melihat sedikit meskipun masalah kataraknya belum selesai dengan menggunakan cermin mata. Kita sebagai anak-anak juga perlu mengambil berat tentang kesihatan ibu bapa kita. lagi-lagi jika masalah itu masih boleh dipulih semula.
Selain itu, aku pernah berjumpa dengan seorang budak perempuan berumur lebih kurang 10 tahun bersama ibu bapanya datang ke kedai aku untuk melakukan pemeriksaan mata. Budak perempuan itu memberitahu masalahnya tentang tidak mampu untuk menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh gurunya. Masalah itu berpunca darinya yang tidak dapat melihat dengan jelas apa yang ditulis oleh gurunya pada papan putih kelasnya. Walaupun budak perempuan tersebut sudah duduk di tempat duduk paling hadapan dalam kelasnya tetapi dia masih tidak boleh melihat dengan jelas perkataan yang ditulis pada papan putih kelasnya. Dengan menggunakan retinoskop, aku mendapati adik tersebut mempunyai ralat refraksi yang agak tinggi. Setelah diberikan cermin pada bingkai pemeriksaannya, tersenyum bahagia muka budak perempuan tersebut kerana dapat melihat dunia dengan lebih terang dan jelas. Budak perempuan tersebut lagi bahagia apabila menyatakan dia dapat melihat muka keluarganya dengan lebih jelas juga. Budak perempuan tersebut menganggap semua orang dapat melihat kejelasan sama seperti apa yang dia lihat tetapi setelah melakukan pemeriksaan mata, baru diketahui matanya mempunyai masalah rabun.
Apa yang nak aku nak sampaikan dalam cerita budak perempuan ini ialah pentingnya ibu bapa untuk mengambil cakna tentang penglihatan anak-anak agar tidak mengganggu kehidupan seharian dan pembelajarannya di sekolah. Ibu bapa perlu membawa anak-anak mereka ke tempat pemeriksaan mata yang mempunyai petugas optometris bertauliah setahun sekali bagi mengetahui status kesihatan mata anak-anak mereka.
Kisah yang aku ceritakan, meskipun tak semegah kisah pembedahan jantung atau selamatkan orang dalam keadaan kritikal, tetapi kita perlu ingat bahawa tanpa mata semua perkerjaan kita tak boleh untuk kita lakukan mahupun melihat muka anak ataupun membaca buku dan Al-quran. Oleh itu semua pihak perlulah cakna akan kesihatan mata masing-masing dan ahli keluarga dengan melakukan pemeriksaan mata secara berkala sekali setahun bagi mengelakkan masalah yang lagi besar jika tidak dirawat dalam masa terdekat.