Bertamu di panggung berakar dari siulan media dan kicauan di pesisir pantai beratap langit biru muda, dan aku tinggalkan sinema dengan riak wajah gundah gulana bermuram durja. Kerana apa? Kerana filem ini terlalu singkat dan lancar langsung tidak membuka ruang buat aku walau sekadar untuk korek taik hidung dan mengejip biji mata. Sepadu-padu filem berdurasi tiga jam penuh dengan isi dan pedoman serta tarian dan nyanyian inikan pula 75 minit yang tiada tersia. Namun aku bangga kerana ceritera ini berdiri berpaksikan keberanian pihak produksi dalam melayarkan hakiki duniawi di skrin sinema. Setiap karakter yang wujud dalam pengkisahan ini tiada hak untuk dipersalahkan kerana dari kaca hikayat memasing, mereka punya alasan yang kukuh menunjangi setiap tindak-tanduk mereka. Adil untuk dikatakan bahawa filem ini merupakan penterjemahan paling karib dengan realiti, menyilaukan setiap sudut gelap yang sebelum ini kelam gelemat. Tak betah punggung menikmati watak Adi Sarip. "Pasport mana pasport?", hahaha. Runut bunyi yang ditampilkan juga tidak ketinggalan memberi impak dan rasa menghantar aku ke alam pana ketika babak paling hujung sebelum susunan nama meragas skrin.
Tontonlah sebelum tayangan berakhir, kerana filem ini tidak muncul di hari raya tahun depan. Tambahan pula, filem ini sangat tidak sesuai ditonton di kaca tv, sebaiknya nikmatilah ia di panggung wayang gambar. Sayang benda sesedap ini untuk dilepaskan. Selain dendang carutan yang sentiasa digam seolah bunyi ntv7 selepas lagu Negaraku di tengah malam, tiada lagi garis usul yang mampu ku cungkil sebagai modal untuk aku kutuk filem ini.
Pendekatan yang diambil untuk mempromosikan filem ini juga ialah melalui reviu penonton dari mulut ke mulut. Kaedah ini sangat berkesan di sesetengah tempat sebagai contoh, India. Filem-filem seperti Toilet Ek Prem Katha, PadMan, Parmanu dan terbaru, Stree mampu menyeru gelora untuk membadai di pawagam dek kerana sarat dengan mesej dan pengisian yang meyakinkan. Tidak hairanlah jika Stree sekarang sedang menuju ke arah filem Blockbuster (rujuk Taran Adarsh) meski hanya berbekalkan bajet yang sederhana, menjadi anjakan paradigma terhadap rakyatnya yang celik untuk menilai pro dan kontra konten yang menjadi tema pembawaan sesebuah filem.
Bagi aku filem ini seiring dengan kata Adi, seperti tubuh. Ada jiwa, ada laranya, ada sengsaranya. Depangkan tangan, dakapi tubuh ini dan rasailah gelora jumbo yang bertapuk dalam hati sebesar nyamuk.
Apa lagi nak disembang? Aku bukan pakar filem, sekadar sangap benda sedap. Senggama dengan indah yang fana.