Suara tangisan kuat membingit bergema memecah keheningan awal pagi. Dalam kesamaran pandangan aku sempat melihat kelibat beberapa orang jururawat dengan perlahan-lahan dan sangat berhati-hati cuba untuk mengusung aku keluar dengan selamat. Sebentar tadi aku merasakan seolah sedang menggelongsori terowong yang dindingnya berona merah seakan darah. Aku kurang arif kerana mataku dirasakan seperti diselaputi sejenis cecair bersifat gam yang menyukarkanku untuk menjegilkan kelopak mata seluasnya. Kedua-dua lengan dan kakiku juga kaku tidak mampu ku gerakkan sepertinya aku ini diikat dengan lilitan tali rapia yang tidak bervisual. Kudrat diri ini dirasakan terlalu rapuh, bukan ampuh. Tubuhku juga terasa lemah, tidak semenggah. Sepanjang aku mencuri-curi pandang tidak pula kenampakan untaian tali yang menambat. Hanya terlihat satu benda seakan tali tetapi lembik melengkoi-lengkoi berdekatan six-pack aku. Kalau tak silap benda tu aku selalu nampak dalam velodrom yang aku huni sebelum ni. Aku juga seakan sayup-sayup terdengar suara seorang wanita, comel tuturnya indah runutnya berkata, “Teran cik puan, terannn,” seketika tadi. Hmmm aku sedikit sangsi. Tetapi aku tetap bersyukur kerana setelah sekian lama terperangkap dalam arena kecil yang berselirat ini, akhirnya aku bebas, berpeluang menghirup udara dunia melalui rongga hidungku sendiri. Oh rupanya suara tangisan yang memihit gegendang telinga tadi tu suara aku. Usai meraih merdeka dari kandang yang sering kutendang-tendang macam Dybala yang merembat bola dengan kaki kirinya yang dibahasakan oleh pengulas Martin Tyler dengan patah kata ‘sweet left-foot’, tubuh badanku dicuci kerana kayaknya seperti berkubang di dalam parit berdarah. Selesai saja disteril, si jururawat membungkus erat aku dengan kain napkin tiga lapis bagi mengelakkan aku mati kebekuan. Sebelum itu, dia sempat menampar-nampar lembut duburku. Aku menggumam, “Perlu ka?”
Selajur, aku diserahkan kepada ayahku dalam keadaan menangis tahap muka merah kebiruan. Saat itu, aku merasakan elus nafas lembut menghilir cuping telingaku. Sekilas suara azan ala-ala bilal tv9 pun kedengaran perlahan menerobosi gegendang telinga kananku, meresapi nuraniku. Aku berhenti melalak. Diam. Kemudian, belum sempat aku menguntai doa selepas azan, singgah pula bunyi iqamah gaya imam masjid Sungai Yan di cuping telinga kiriku. “Amboi baru nak sembahyang sunat rawatib,” bisik hatiku.
Azan iqamah silih berganti mengikut nombor giliran yang ditentukan azal. Aku terlena dalam dakapan ayahku, meraih tenang dalam lirik azan dan iqamah seketika tadi. Sebelum itu sempat aku mengerling ke arah jam dinding usang yang tergantung tidak bertali (memanglah sebab ada paku) di wad bersalin itu, jam 1:30. Memandangkan keadaan di luar tingkap ku nampak gelap gelita, aku mengagak bahawa waktu itu adalah tengah malam. “So, specifically I am born at 1:15 in the morning eh,” speaking sisi hatiku yang dijajah mekanisme Barat.
18 tahun kemudian
Jemariku ligat menaip di papan kekunci yang melekap di skrin telefon pintarku yang keretakan, bertujuan untuk mengepos entri baharu di blog aku.