Menurut Kamus Dewan diftong bermakna “gabungan dua bunyi vokal yang disebut dalam satu suku kata akibat perubahan kedudukan lidah seperti ai, au dan oi.” Istilah diftong ini diperkenalkan kepada masyarakat melalui buku Tatabahasa Dewan dan juga buku-buku tatabahasa bahasa Melayu yang lain. Dalam Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu, istilah ini membawa maksud yang sama. Diftong boleh terletak pada awal kata, tengah kata dan akhir kata. Dalam Sistem Ejaan Rumi atau Sistem Ejaan Jawi yang disusun oleh Pendeta Za‘ba juga terdapat diftong, tetapi dalam Sistem Ejaan Jawi yang disusun beliau, kata yang mengandungi diftong tidak dibezakan ejaannya. Untuk tujuan itu, Siri Pedoman Jawi pada kali ini hanya akan menyentuh bunyi diftong [ai] dan [au] pada posisi akhir kata yang akan disenaraikan. Hal ini dapat dilihat pada contoh di bawah.
Dapat dilihat daripada contoh di atas bahawa kata yang berakhir dengan huruf i dan kata yang berakhir dengan diftong ai kedua-duanya dieja dengan menggunakan huruf ya dalam ejaan Jawi Za'ba. Demikian juga dengan kata yang berakhir dengan huruf u dengan kata yang berakhir dengan diftong au kedua-duanya dieja dengan menggunakan huruf wau dalam ejaan Jawi Za'ba.
Dalam Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu, kata yang berakhir dengan huruf i [dieja dengan menggunakan huruf ya. Bagi kata yang berakhir dengan diftong ai dilambangkan dengan gabungan huruf alif dan huruf ya menjadi alif ya. Caranya dengan menyisipkan huruf alif sebelum huruf ya.
Demikian juga dengan kata yang berakhir dengan huruf u yang dilambangkan dengan huruf wau dengan kata yang berakhir dengan diftong au yang dilambangkan dengan gabungan huruf alif dan huruf wau menjadi alif wau. Caranya adalah dengan menyisipkan huruf alif sebelum huruf wau.
Soal ejaan Rumi Bahasa Melayu sentiasa menarik perhatian para pengguna. Antara persoalan ejaan yang kerap timbul adalah tentang penggunaan huruf. Ketiadaan tanda atas huruf ‘e’ ini menimbulkan kerumitan untuk menyebut beberapa perkataan. Sebagai contoh ialah kata homonim, iaitu kata yang mempunyai ejaan yang sama tetapi berlainan makna seperti perang, sepak dan semak
Dalam menggubal sistem ejaan baharu ini, beberapa perubahan dibuat agar sistemnya menjadi lebih sempurna dan kemas. Salah satu perubahan adalah dengan menghilangkan lambang e bertanda. Huruf e tanda (e), ialah huruf yang bunyinya seperti yang terdapat dalam perkataan ‘emak’ dan ‘emas’. Dalam ilmu bahasa, (e) begini disebut ‘e pepet’ dan lambangnya dalam ejaan baharu ialah ‘e’. Selain e pepet terdapat satu lagi bunyi yang dilambangkan juga oleh huruf ‘e’, iaitu e taling (è) seperti yang terdapat dalam perkataan ‘elok’ dan ‘belok
Dalam Sistem Ejaan Za’ba, e pepet diberi tanda, sedangkan jumlah perkataan dalam bahasa Melayu yang terdiri daripada e pepet amat banyak. Maka penuhlah tulisan kita dengan huruf ‘e’ yang bertanda. Sebagai contoh, Perkara itu telah disetujui olèh semua pelajar yang menyertai pertandingan tersebut. Dalam ayat ini terdapat 11 huruf e. Sepuluh daripada e itu ialah e pepet (e); kecuali satu e taling (è) iaitu dalam perkataan ‘oleh’. Kesimpulannya, pengguna bahasa Melayu lazimnya sedar tentang penggunaan huruf e pepet. Oleh itu, dalam sistem ejaan baharu, diputuskan supaya dihilangkan lambang e tanda atau e pepet.
Pada amnya, Sistem Ejaan Rumi Baharu disediakan untuk menyenangkan penggunaan ejaan bahasa Melayu di samping menghasilkan satu sistem yang sempurna dan kemas. Jika kita memahaminya dengan jelas, penggunaannya tidaklah sukar.