Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Setinggi-tinggi tahniah dan syabas saya tujukan kepada Jawatankuasa Buku Manual Pengurusan Tahun 2023 yang telah bertungkus-lumus bekerja bagi menyiapkan buku ini. Buku pengurusan ini disediakan agar dapat dijadikan rujukan dan panduan warga pendidik di SMK Taman Dato’ Harun untuk merancang serta menjayakan program-program sekolah. Pengagihan tugas yang disediakan dalam buku ini adalah berdasarkan keperluan dan kepentingan sekolah. Oleh itu, saya berharap guru-guru dapat menerimanya dengan hati yang terbuka dan bersikap positif. Sesungguhnya, setiap tugas yang dirancang dengan baik akan membuahkan hasil yang memberangsangkan.

 

Dunia Pendidikan pada alaf ini semakin kompleks dan bersifat global. Tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga pendidik D’Harunians yang telah mencurahkan bakti dan usaha tanpa jemu bagi memastikan kemenjadian murid-murid melalui wadah pendidikan khususnya komitmen yang diberikan dalam memastikan kelangsungan anak-anak murid mendapat akses pendidikan yang baik. Setiap murid mempunyai potensi yang tersendiri dan sepatutnya dikembangkan semaksimum mungkin melalui semua program yang disediakan oleh pihak sekolah yang bertindak sebagai pelaksana dan agen perubahan. Dalam hal ini, kreativiti dan kepedulian daripada semua guru ialah kunci kejayaan untuk memastikan keperibadian murid dapat dibentuk mengikut acuan Pelan Pembangunan Pendididkan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

 

Sistem Pendidikan kita sedang mengalami perubahan yang begitu drastik. Bagi memacu transformasi dalam Gelombang 3 (2021-2025), guru-guru perlu bersedia  dan berupaya menggunakan kemahiran terutama dalam penguasaan pembelajaran digital dengan penerokaan kaedah pengajaran yang lebih efektif, inovatif serta partisipatif. Kualiti pengurusan dan kepimpinan, pengajaran dan pembelajaran, iklim pembelajaran yang kondusif, keterampilan dan kemenjadian murid serta sokongan daripada persekitaran perlu diperkasakan lagi. Keterbukaan minda yang dikawal oleh ilmu dan kemurniaan akhlak membolehkan kita menerima perubahan secara positif. Sebuah kejayaan juga tidak datang sekelip mata.

 

Pada masa kini, modal insan yang berkualiti daripada segala aspek menjadi prasyarat utama kepada kejayaan untuk meningkatkan imej sekolah sekali gus mampu membentuk masyarakat yang bertamadun seiring dengan perkembangan semasa. Sememangnya produktiviti yang didasari dengan kreativiti dan inovasi mampu melonjakkan kecemerlangan daripada segi kemahiran, kecekapan dan keberkesanan khususnya dalam dunia pendidikan. Selain itu, pencapaian yang cemerlang dalam bidang kokurikulum harus dijadikan asas untuk memperhebat usaha melahirkan jaguh dan wira yang mampu mengharumkan nama sekolah. Oleh itu, sekiranya kita dapat memupuk semangat kerjasama dan permuafakatan serta komitmen yang tinggi dalam apa-apa jua tugasan yang diberikan, kejayaan dan kecemerlangan akan pasti menjadi milik kita.

 

Akhir kalam, saya berdoa agar warga D’Harunians akan bergerak secara proaktif, berfikir secara kreatif dan inovatif serta berkolaborasi sebagai satu pasukan untuk melonjakkan prestasi anak-anak murid kita Saya juga mendoakan kesejahteraan buat seluruh warga sekolah untuk terus berusaha dalam mencapai kegemilangan setelah kita menempuh cabaran akibat pandemik Covid-19.Bersama-samalah kita bergerak sederap dan senada demi mencapai kecemerlangan dalam semua bidang terutamanya aspek kemenjadian murid. Insya-Allah.

 

#SederapKePuncakKegemilangan

#Proud2BD’Harunians

Halleyza binti Ibrahim

Pengetua