Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Dato’ Harun (SMKTDH) mula dibina pada awal tahun 1981 dengan nama Sekolah Menengah Kampung MAHA. Nama tersebut diambil bersempena dengan nama Kampung MAHA yang merupakan tapak pameran pertanian (Malaysia Horticultural and Agricultural Exhibition- MAHA) yang diadakan di kawasan ini.  Nama sekolah kemudian ditukar kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Dato’ Harun (SMK Taman Dato’ Harun/SMKTDH) kerana Kampung MAHA telah ditukar nama kepada Taman Dato’ Harun. Nama ini kekal sehingga kini.

Pada tahun 1983, sekolah ini siap dibina dengan hanya dua blok bangunan sekolah termasuk pejabat pengurusan, bilik darjah, kantin sekolah dan tapak perhimpunan. Sesi persekolahan pertama dimulakan di bawah teraju Tuan Haji Harun bin Haji Hasan selaku pengetua bersama-sama dengan 15 orang guru dan seorang kerani. Jumlah murid pada waktu itu ialah seramai 700 orang yang terdiri daripada 13 kelas tingkatan satu dan empat kelas peralihan.

Seiring dengan perkembangannya dalam arus pendidikan, sekolah tidak terkecuali dalam memastikan segala aspek yang berkaitan turut diambil kira. Majalah sekolah yang diberi nama “MURNI” telah diterbitkan seawal sekolah mula ditubuhkan pada tahun 1984. Lencana sekolah juga diperkenalkan dan diedarkan. Lagu sekolah pula dicipta pada tahun 1985 bagi melengkapkan motivasi diri dengan meningkatkan keyakinan dan rasa bangga berada di sekolah di samping membentuk jati diri yang terpuji dalam kalangan warganya. Tahun 1985 merupakan tahun bersejarah kepada SMKTDH kerana tahun tersebut adalah tahun pertama murid-muridnya menduduki Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP).

Pertambahan penduduk sekitar Taman Dato‘ Harun telah menyebabkan meningkatnya permintaan untuk memasuki sekolah ini. Dengan pertambahan murid setiap tahun, pihak sekolah membuat keputusan untuk membina blok bangunan tambahan yang siap dibina pada tahun 1987. Pentadbiran sekolah pada waktu ini telah beralih di bawah pimpinan Encik Abdullah bin Munam sebagai pengetua bermula tahun 1985 sehingga tahun 1987.

Tampuk pimpinan seterusnya diserahkan kepada pengetua ketiga, Tuan Haji Taib bin Sulaiman (1988 -1991). Seterusnya, Datin Hajah Kamariah binti Jamil  (1991 – 1992), Datin Fatimah binti Abdul Latif (1992 – 1995) dan Tuan Haji Yaakop bin Ideris @ Idris (1995 – 1999) sebagai pengetua yang keenam.

Sehingga tahun 1997, sekolah telah mempunyai tiga blok bangunan tiga tingkat, satu blok setingkat untuk kelas Kemahiran Hidup dan satu blok setingkat yang menempatkan dua buah makmal komputer. Kemudi SMKTDH  kemudiannya diteruskan di bawah pimpinan Encik Mohd. Ashraf bin Manzoor Hussain sebagai pengetua yang ketujuh (1999 – 2003) dan diteruskan oleh Puan Norsiah binti Abd. Ghani selaku pengetua yang kelapan (2003 – 2011).

Tahun demi tahun, SMKTDH terus berkembang dan menjadi pilihan ibu bapa sebagai saluran peningkatan dalam pendidikan anak-anak mereka. Pada tahun 2008, SMKTDH telah mengorak langkah baharu apabila menubuhkan Kelas Aliran Agama (KAA) sebagai salah satu pilihan mata pelajaran.  Kelas ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan dalam kalangan masyarakat khususnya ibu bapa yang inginkan anak-anak mereka menimba ilmu dan cemerlang melalui saluran/aliran agama .

Pada tahun 2010, SMKTDH telah mengalami satu perubahan suasana yang cukup mengujakan. Warga sekolah mengalu-alukan kehadiran insan-insan istimewa untuk bersama-sama berjuang menuntut ilmu di bawah satu bumbung yang penuh bermakna. Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran (PPKI) telah dibuka pada tanggal 1 Januari 2010. Kelas PPKI diwujudkan bagi menampung keperluan murid-murid berkeperluan khas masalah pembelajaran yang terdiri daripada beberapa kategori seperti sindrom down, autistik, disleksia, hiperaktif, spastik, slow learner dan lain-lain.  Pada peringkat awal jumlah murid PPKI ialah seramai sembilan orang dan diurus oleh dua orang guru serta seorang Pembantu Pengurusan Murid. Majoriti murid-murid PPKI (berusia antara 13 hingga 19 tahun) adalah terdiri daripada anak-anak penduduk yang tinggal di sekitar Taman Dato’ Harun, Taman Medan, Kampung Lindungan dan juga sekitar Sungai Way Petaling Jaya. Sehubungan dengan itu, bagi menampung keperluan semasa, satu lagi blok bangunan tiga tingkat dibina pada tahun 2010. Blok ini mempunyai beberapa buah bilik darjah, bilik masakan, bilik jahitan, bilik elektronik dan bilik seni.

 

Kerusi kosong Pengetua selepas Persaraan Puan Norsiah binti Abd. Ghani pada akhir tahun 2011 telah diisi oleh Tuan Haji Ghumiat bin Kamdi sebagai pengetua SMKTDH yang kesembilan (2011 – 2013). Peningkatan prestasi warga SMKTDH semakin menyerlah dalam semua bidang kurikulum mahupun kokurikulum. Kejayaan demi kejayaan ditempa telah meletakkan SMKTDH sebaris dengan sekolah-sekolah hebat yang lain di bawah PPD Petaling Utama.  Pertambahan kemudahan dan prasarana sekolah turut berlaku seiring dengan perkembangan positif murid-murid. Pada tahun 2012, sebuah gelanggang serbaguna dibina bagi kemudahan murid untuk berhimpun dan melakukan aktiviti sukan serta aktiviti kokurikulum. Bersesuaian dengan hasrat dan harapan sekolah ingin melahirkan ramai juara dalam bidang sukan dan ko-akademik maka gelanggang serbaguna tersebut diberi  nama “ARENA JUARA”. Satu blok bangunan yang menempatkan murid-murid PPKI turut dibina bagi menampung pertambahan murid PPKI yang memerlukan persekitaran yang sihat dan sempurna.

 

Pada penghujung tahun 2013, warga SMKTDH sekali lagi menyambut kehadiran pengetua baharu, Puan Habsah binti Atan (2013 – 2018). Perkembangan SMKTDH tidak pernah mengecewakan malah telah banyak membuka mata dan mengubah persepsi masyarakat terhadap sekolah. Pelbagai kejayaan telah diraih dan dijulang oleh warganya sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum. Nama baik sekolah terukir di pelbagai peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

 

Pada tahun 2019, di bawah pimpinan Puan Faridah Akhma binti Zulkifli yang lebih mesra dengan panggilan Bonda dalam kalangan warga sekolah (D’Harunians), SMKTDH sedang mengorak langkah sederap bersama dalam menuju ke puncak kegemilangan. Sebagai menyambut tahun 2021, Perpustakaan Komuniti SMK Taman Dato’ Harun yang terletak di Blok D telah siap dibina.

Kini, tampik pimpinan diambil alih oleh Puan Halleyza binti Ibrahim. Semua warga D’Harunians diseru untuk terus melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan demi mencapai misi dan visi sekolah sekaligus merealisasikan serta melestarikan Sistem Pendidikan Kebangsaan menerusi semangat kerjasama dan kekitaan dalam kalangan seluruh warga sekolah yang diperkukuh erat. Sekolah juga dipastikan berada pada landasan yang betul sebagai kesinambungan citra penubuhan SMKTDH lebih 38 tahun yang lalu. Semoga D’Harunians terus mengorak langkah dan melakar kejayaan demi kejayaan.

#SederapKepuncakKegemilangan #Proud2BD’Harunians