Hasil Pembelajaran:
1- Memahami konsep merungkai standard kurikulum
2- Memahami konsep penjajaran konstruktif
3- Merancang pentaksiran berdasarkan proses merungkai standard dan penjajaran konstruktif
Unit ini membantu guru merungkai standard kurikulum dan membuat penjajaran antara standard kurikulum, aktiviti pembelajaran dan pentaksiran. Dengan kebolehan merungkai standard, guru dapat meningkatkan keberkesanan pembelajaran dan murid memahami pembelajaran mereka. Guru perlu fahami dan hayati standard kurikulum dengan meneliti perkara-perkara yang terkandung dalam standard kurikulum sebelum mengajar dan mentaksir murid.
Unit ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu:
Bahagian 1: Merungkai Standard Kurikulum
Bahagian 2: Penjajaran Konstruktif
Standard kurikulum ialah pernyataan umum tentang hasil pembelajaran. Di dalamnya mengandungi apakah pengetahuan, kemahiran dan nilai yang sepatutnya dikuasai murid setelah murid belajar. Sebelum mengajar, guru-guru harus kenal apakah yang dikatakan STANDARD KURIKULUM dan STANDARD PRESTASI yang dimuatkan dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).
STANDARD KURIKULUM terbahagi kepada dua iaitu Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran.
Standard Kandungan
Standard Kandungan mengandungi pernyataan umum tentang perkara-perkara dalam bidang ilmu yang yang harus dikuasai murid. Ianya ditulis meliputi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai. Setiap standard kandungan diperincikan kepada beberapa standard pembelajaran.
Standard Pembelajaran
Standard Pembelajaran mengandungi pernyataan kriteria yang menunjukkan kualiti penguasaan murid dalam bidang menunjukkan tanda pencapaian yang ditulis dalam bentuk objektif, tingkah laku yang boleh diukur.
Standard Prestasi adalah satu set kriteria umum yang memperihalkan tahap-tahap penguasaan murid dalam sesuatu yang dipelajari.
Standard Prestasi menjadikan rujukan guru untuk meletakkan di manakah tahap penguasaan/pencapaian murid dalam menguasi pengetahuan, kemahiran & nilai yang ditetapkan dalam Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran.
Standard Prestasi memberi definisi kepada kejayaan murid dan bagaimanakah hasil kerja & tingkah laku yang dikatakan cukup baik untuk diberikan skor tertentu.
INDIKATOR
Petunjuk berbentuk tingkah laku (yang boleh diukur) yang menggambarkan penguasaan pengetahuan, kemahiran dan nilai.
Kesimpulannya, merungkai Standard Kurikulum bermaksud meneliti pernyataan untuk mengenal pasti pengetahuan, kemahiran dan nilai yang terdapat dalam standard berkenaan.
LANGKAH 1
Kenal pasti Bidang & Kandungan Mengikut Tahap/Tahun/Tingkatan
Contoh:
Mata pelajaran : Dunia Sains Komputer
Tahun : 5
Topik : Inkuiri Saintifik
LANGKAH 2
Kenal pasti Standard
Contoh:
Di samping menambah ilmu pengetahuan berkaitan dengan fenomena sains, murid akan membina kemahiran untuk menggunakan proses asas memahami sains melalui pemantauan, penjelasan, membuat andaian, membezakan, mengukur, mengelaskan, meramal soalan, dan menggunakan data untuk membuat justifikasi kesimpulan.
LANGKAH 3
Kenal pasti Indikator
Contoh:
Murid menggunakan kemahiran proses sains untuk memahami sesuatu fenomena berkaitan dengan dunia. Contoh indikator:
Bertanya soalan-soalan dalam bentuk yang boleh dikaji (researchable questions).
Merancang dan menjalankan penyiasatan/inkuiri.
Mengesan dan menginterprestasi maklumat dengan menggunakan alat dan instrumen untuk menjana keputusan.
Memilih dan mengguna pelbagai alat yang sesuai untuk mengukur pemerhatian ke atas kuantiti fizikal.
LANGKAH 4
Kenal pasti Pengetahuan - Apa yang murid perlu tahu
Contoh:
Fahami apakah pengetahuan yang murid perlu kuasai - Apa yang murid patut tahu?
Pengetahuan tentang konsep: Fenomena saintifik, pemantauan, pengukuran dan sebagainya.
Pengetahuan tentang prinsip:
Prinsip-prinsip asas Sains, pemantauan, pengkuran, membuat andaian, membuat kesimpulan dan sebagainya.
Pengetahuan tentang kaedah:
Membuat pemantauan, menjalankan kajian saintifik, membuat kesimpulan dan sebagainya.
Pengetahuan tentang Prosedur/langkah:
Menjalankan kajian saintifik, memproses data kajian, memantau dan sebagainya.
Pengetahuan tentang nilai murni dan etika:
Dalam belajar, menjalankan kajian saintifik, membuat andaian, menganalisis data, menginterprestasi data dan sebagainya.
**Contoh mengenal pasti Pengetahuan:
Di samping menambah ilmu pengetahuan berkaitan dengan fenomena sains, murid akan membina kemahiran untuk menggunakan proses asas memahami sains melalui pemantauan, penjelasan, membuat andaian, membezakan, mengukur, mengelaskan, meramal soalan dan menggunakan data untuk membuat justifikasi serta kesimpulan.
Refleksi:
Soalan: Apakah pengetahuan yang murid perlu kuasai?
Jawapan: Murid perlu tahu tentang fenomena saintifik dan proses Sains.
LANGKAH 5
Kenal pasti Kemahiran dan Nilai - Apa yang murid perlu buat
Contoh:
Merujuk kepada standard yang sama. Apakah kemahiran yang murid patut kuasai?
Murid perlu mahir dalam proses sains berikut:
Mengemukakan soalan kajian
Merancang dan menjalankan penyiasatan
Memilih dan mengguna kaedah dan alat
Memantau
Memberi penjelasan
Membuat andaian
Membezakan
Mengukur
Mengelas
Membuat ramalan
Mengguna data untuk membuat kesimpulan
LANGKAH 6
Topik atau Konteks - Apa yang akan digunakan untuk mengajar. Konsep dan kemahiran unit khusus, pengajaran dan aktiviti-aktiviti
Contoh:
Pemantauan dalam dunia sebenar.
LANGKAH 7
Kenal pasti Idea-Idea Utama
Setelah standard dirungkai, langkah seterusnya ialah mengenal pasti idea-idea utama yang terangkum. Rasional dan proses mengenal pasti idea-idea utama akan dijelaskan.
Contoh:
Ciri-ciri idea utama adalah seperti berikut
Ringkas dan tepat: Biasanya lima hingga sepuluh patah perkataan
Konseptual: Tidak boleh dijawab secara fakta atau dengan kenyataan Ya/Tidak
Terbuka (Open-ended): Membolehkan pelbagai perspektif; tidak ada satu jawapan yang betul.
Meluas dan Berpanjangan: Idea yang merentas masa dan boleh digunakan kepada bidang pembelajaran lain.
Refleksi
Soalan: Apakah itu idea utama?
Jawapan:
Idea utama merupakan suatu kesedaran, jumpaan atau kesimpulan yang dicapai sendiri oleh murid, sama ada semasa pengajaran atau selepas pengajaran.
Berbentuk generalisasi utama yang murid perolehi selepas memahami gambaran yang lebih besar (the big picture).
Diperolehi daripada pemahaman yang mendalam tentang konsep yang dikaji.
Pemahaman kekal yang murid pegang dalam proses pembelajaran mereka.
LANGKAH 8
Kenal pasti Soalan-Soalan Penting
Langkah seterusnya adalah proses untuk menulis soalan penting yang guru akan kongsi bersama murid di permulaan unit pengajaran. Soalan-soalan ini digunakan sebagai saringan pengajaran untuk memilih pengajaran dan aktiviti-aktiviti yang akan meningkatkan kefahaman murid tentang konsep dan kemahiran yang dirungkai bagi mendorong murid untuk menemui idea-idea utama dengan sendiri.
LANGKAH 9
Bina Soalan-soalan Penting
Matlamatnya adalah untuk membolehkan murid menjawab soalan-soalan penting dengan idea-idea utama yang dinyatakan dalam perkataan mereka sendiri.
Ciri-ciri soalan penting:
Timbul daripada idea utama.
Ringkas dan padat.
Soalan terbuka yang tidak boleh dijawab dengan Ya atau Tidak, atau dengan mengingat sahaja.
Soalan penting yang baik memerlukan tindak balas kemahiran berfikir aras tinggi.
Untuk guru menilai soalan-soalan penting mereka, persoalan berikut boleh dikemukakan:
Adakah soalan-soalan penting saya berbentuk soalan terbuka?
Adakah soalan-soalan penting boleh melibatkan murid berfikir?
Adakah soalan-soalan penting akan memerlukan murid lebih daripada mengingat maklumat sahaja seperti "siapa, apa, di mana dan bila?" kepada aplikasi dan berfikir aras tinggi seperti "Bagaimana" dan "Mengapa"?
Adakah idea utama saya menjawab dengan ringkas dan padat serta berkesan soalan penting yang dikemukakan.
Apakah maksud Penjajaran?
Penjajaran merupakan proses untuk memastikan persekitaran pembelajaran dan pentaksiran adalah sesuai dan selari dengan objektif pembelajaran.
Apakah maksud Penjajaran Konstruktif?
Penjajaran Konstruktif proses penjajaran yang dilakukan dengan andaian bahawa murid memahami dan membina pembelajaran melalui aktiviti-aktiviti pembelajaran yang relevan.
Dalam penjajaran konstruktif, murid membina kefahaman dan makna
Dalam perancangan, guru harus mengaitkan 3 perkara di bawah:-
1- Objektif atau Hasil Pembelajaran
2- Kaedah atau Aktiviti Pengajaran & Pembelajaran
3- Kaedah/Aktiviti/Tugasan Pentaksiran
TUGAS GURU
Melibatkan murid dalam aktiviti-aktiviti pembelajaran yang akan menggalakan murid berfikir untuk memahami serta memaksimumkan apa yang mereka boleh belajar daripada pengalaman mereka.
LANGKAH 1
Definisikan Hasil Pembelajaran
Maklumat & Objektif
Apakah Murid Akan Belajar?
Hasil Pembelajaran
Tulis Hasil Pembelajaran Berdasarkan Standard
LANGKAH 2
Pilih Kaedah Pembelajaran
Reka bentuk
Strategi
Alat Bantu
LANGKAH 3
Pilih Kaedah Pentaksiran
Kaedah & Aktiviti Pentaksiran yang Sesuai Sama Ada Murid Mencapai Objektif
LANGKAH 4
Semak Kaedah Penskoran
Menyemak Kaedah Penskoran Untuk Melihat Kesesuaian Dan Selari dengan Hasil Pembelajaran
Berdasarkan pernyataan-pernyataan standard yang dipilih mengikut mata pelajar yang di ajar oleh guru, kenal pasti dan tulis maklumat di bawah:
Mata pelajaran :
Tahun/Tingkatan :
Topik/Konteks : Apa konteks yang boleh digunakan untuk mengajar?
Pengetahuan : Apa yang pelajar perlu tahu?
Kemahiran : Apa yang pelajar boleh buat?
Nilai : Apa nilai yang diterapkan?
Indikator : Apakah indikator yang digunakan?
PERHATIAN - Bahan-bahan yang disediakan di portal ini adalah untuk tujuan pendidikan dan sebarang usaha untuk mengaut keuntungan mahupun penyalahgunaan daripada kesemua bahan ini adalah DILARANG dan perlu mendapat kebenaran daripada Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia.